Anda di halaman 1dari 2

REFLEKSI

Oleh: Khairul Bariah binti Kassim PISMP Matematik Januari 2011 Pada 10 Mac 2013 yang lalu, guru pelatih PISMP Matematik Januari 2011 telah mengadakan sebuah Lawatan Penanda Aras ke SK Sulaiman 1, Kuala Terengganu. Lawatan penanda aras yang juga merupakan program Bina Insan Guru (BIG) ini bertujuan untuk melihat dan mengambil input dan pengalaman yang berguna daripada sekolah yang kami lawati untuk dijadikan contoh dan tauladan sewaktu kami bergelar pendidik kelak. Kami juga diberi peluang untuk melihat amalan-amalan professional yang ditunjukkan oleh kakitangan sekolah ini dan menjadikan ia sebagai panduan dan penanda aras pada masa akan datang.

Melalui pemerhatian saya, kekuatan yang dapat dilihat melalui penganjuran program lawatan penanda aras ini adalah komitmen yang ditunjukkan oleh ahli jawatankuasa pengelola yang terdiri daripada guru-guru pelatih di dalam kelas kami. Mereka bersikap professional dan bertanggungjawab dalam melaksanakan setiap bidang tugas yang telah diamanahkan. Kesannya, kami dapat menyelesaikan masalah pengangkutan yang kami hadapi dengan baik sekali. Masalah pengangkutan ini bukan sahaja mewujudkan ruang komunikasi yang baik antara kami sewaktu bekerja bahkan ia memberi pengalaman baru kepada kami untuk berurusan dengan pihak luar bagi mendapatkan kebenaran meminjam bas dari Jabatan Pelajaran Negeri Melaka.

Antara kekuatan lain yang dapat dilihat adalah program seperti ini dapat memberikan pengalaman baru kepada kami untuk menjalani kehidupan sebagai seorang guru kelak. Tambahan pula, sekolah yang kami lawati ini merupakan salah sebuah sekolah cemerlang dan berprestasi tinggi di Terengganu, maka setiap usaha dan aktiviti yang dijalankan adalah bertujuan

untuk membangun dan meningkatkan lagi mutu dan kualiti pendidikan di sekolah ini. Antara budaya positif yang ditunjukkan di sekolah ini adalah hubungan mesra yang diamalkan antara pentadbir dengan guru-guru biasa di sekolah ini.

Selain itu, murid-murid juga sangat menghormati guru-guru di sekolah ini dengan mewujudkan budaya tunduk dan memberi salam kepada guru-guru mahupun pelawat seperti kami. Sekolah ini ternyata berjaya menunjukkan potensi dan kemampuannya dalam melahirkan murid-murid yang cemerlang bukan sahaja dalam bidang pelajaran namun juga turut cemerlang dalam bidang kokurikulum sehingga berjaya melahirkan murid-murid yang mampu meluaskan kemahiran dan kebolehan mereka ke peringkat antarabangsa.

Saya berasa amat bersyukur kerana diberi kesempatan peluang dan ruang untuk bersama-sama menimba pengalaman dan pengetahuan di sekolah yang berprestasi tinggi seperti ini. Setiap ilmu yang dikongsi amat bermanfaat dan berguna pada masa hadapan. Kesimpulan yang dapat saya buat ialah program bina insan guru ini telah mengajar saya banyak perkara baharu yang boleh dipraktikkan pada masa hadapan. Perjalanan hidup bergelar seorang guru merupakan satu cabaran yang harus ditempuh dengan sabar dan penuh dedikasi. Maka saya haruslah menghargai peluang yang ada dengan sebaiknya dan menjaga amanah yang telah diberikan.