Anda di halaman 1dari 4

Rausyanfikir' jadi-jadian dalam pelan pendidikan baru

ULASAN Ketika dijemput menjadi panelis Dialog Orang Muda (DOM) di Rumah Pena pada 21 Oktober lalu anjuran PENA, perkara pertama yang saya tanyakan adalah berkenaan tajuknya yang terlalu umum. Saya tegaskan kepada rakan tersebut - "Pelan Pembangunan Pendidikan - Madu atau Racun" agak sukar untuk dikupas tanpa titik fokal dan akan menyebabkan panelis berserta audiens bercakap tanpa fokus yang jelas. Inilah yang berlaku di Rumah Pena sewaktu majlis DOM sesi Oktober tersebut. Pusingan pertama saya membentangkan empat ciri rangka dasar Pendidikan 2013-2025 yang meragukan iaitu:

Tidak wujud penyelesaian konkrit terhadap sistem pembinaan guru berkualiti. Tiada roadmap' yang jelas tentang isu jurang pendidikan. Masalah suasana sekolah yang tidak disentuh. Bloated centralised ministry.

Panelis kedua menyentuh tentang isu sosio-budaya dan mengambil kira pendapat Aminudin Baki terhadap budaya dan pendidikan, yang mengakibatkan wujudnya jurang. Manakala panelis ketiga pula memperkatakan tentang matlamat rangka dasar ini yang menurutnya menjadikan ekonomi sebagai hala tuju utama, selain juga mengkritik Falsafah Pendidikan Negara yang menurutnya belum holistik. Pusingan kedua menyaksikan panel kedua membentangkan konsep "jiwa hamba" sebagai hasil dari sikap rendah diri akibat terlalu lama dijajah dan isu dikotomi di antara aliran sains dan sastera. Panel ketiga pula bicara perihal KPM lawan KPT dan perihal betapa Bahasa Melayu yang sedang dibunuh bukan sahaja di sekolah malah di universiti. Pusingan ketiga dan terakhir pula adalah pusingan di mana setiap panelis disoal sehingga empat soalan berkaitan kedudukan bahasa dan sastera dalam rangka dasar 2013-2025 (isu dikotomi sastera dan sains, isu dwibahasa, isu sastera kebangsaan dan apakah usaha terbaik mengatasi kesemuanya). Bagaimanapun rata-rata setiap panelis tidak dapat menjawab dengan baik. Saya tidak berniat untuk mengulas perihal tajuk wacana DOM yang pada akhirnya telah menyebabkan dialog tersebut tidak lebih dari sembang-sembang minum petang; tanpa fokus. Akibatnya, panelis mengulas secara campur aduk antara judgement de faite dan judgement de valeur terhadap rangka dasar 2013-2025 itu, menjadikan perbincangan sangat rencam dan sukar. Saya juga tidak berniat untuk memanjangkan perihal acara DOM kali ini yang menurut saya,

tidak menawarkan apa-apa penyelesaian konkrit atau resolusi praktikal berkait dengan tajuk wacana. Bagaimanapun, saya fikir ada baiknya saya kongsikan beberapa perkara yang tidak saya kongsikan sewaktu dialog tersebut. Ideologi kaum intelektual Ali Shariati dalam Civilization and Modernization memulakan makalah dengan persoalan; siapakah yang kita juluki sebagai intelektual? Siapa kaum intelektual itu dan apa peranan serta tanggungjawab mereka? Menurutnya, intelektual haruslah seseorang yang sedar status kemanusiaannya sendiri, dan kesedaran itu meletakkan beban tanggungjawab ke atasnya. Dengan penuh tanggungjawab dan kesedaran diri, golongan intelektual ini akan membangkitkan reaksi ilmiah, sosial dan revolusi dari masyarakat. Kemudian dalam Ideology, Ali Shariati menjelaskan perbezaan peranan yang dimainkan oleh intelektual dan para ahli falsafah terhadap sejarah. Aristotle menurutnya bukanlah seorang raushanfikir ataupun pemikir merdeka kerana tidak mengetuai satu pun gerakan sosial mahupun revolusi dalam masyarakat untuk menyedarkan rakyat yang menderita pada zamannya. Begitu juga Plato. Ali Shariati menegaskan kalau pun Yunani mempunyai sehingga 1,000 manusia seperti Aristotle atau Plato sekalipun, kehidupan mereka tidak akan berubah kerana intelektual sebegini tidak mampu memecahkan masalah sosial. Namun berbeza dengan sosok seperti Muhammad SAW dan Ibrahim. Nabi Muhammad dan Nabi Ibrahim adalah yatim piatu. Nabi Ibrahim adalah tukang kayu, sementara Nabi Muhammad ialah pengembala. Bezanya, gerakan-gerakan yang dipimpin oleh para nabi ini ialah gerakan ideologi yang bermaksud untuk membimbing dan mencerahkan manusia. Ini menerangkan bagaimana pencerahan dan pengetahuan dapat membangkitkan kesedaran dan tanggungjawab, bukan melalui kajian terhadap ilmu semata-mata. Beliau menambah lagi bahawa sejarah membuktikan bagaimana seseorang yang tidak berpendidikan dapat memberi tenaga baharu buat masyarakat, sedangkan banyak ilmuwan tidak mengambil satu langkah pun dalam mencipta kesedaran, keyakinan atau satu ideologi yang akan menggerakkan masyarakatnya. Isu marginal & pedagogi kaum tertindas M Agus Nuryatno (2011) di dalam bukunya Mazhab Pendidikan Kritis menyatakan mazhab yang dikenali sebagai radical education oleh Henry Giroux (1993) atau revolutionary pedagogy oleh Paula Allman (1998) ini disatukan dalam satu tujuan yang sama iaitu memberdayakan kaum tertindas dan mentranformasikan ketidakadilan sosial yang berlaku akibat pendidikan.

Patti Lather (1986) menyatakan tiga rujukan utama teori dan metodologi mazhab pendidikan kritis ini ialah Frankfurt, Antonio Gramsci dan Paulo Freire. Dalam Pedagogy of the Oppressed, Freire mahukan individu membentuk dirinya dari dibentuk. Untuk itu, beliau mencadangkan topik-topik pembelajaran diambil berdasarkan pengalaman harian untuk mengelakkan pengalaman palsu. Selain itu Freire juga mencadangkan beberapa praktis untuk melawan situasi yang menutup peluang sebagai sebahagian dari produk resistance terhadap kelas penindas. Beliau juga memperincikan bagaimana ideologi digunakan oleh golongan penindas untuk mempertahankan kekuasaan mereka. Di negara ini sendiri, kita tidak terlepas dari isu golongan marginal seperti Orang Asli, keluarga miskin dan anak yatim yang terkait dengan isu jurang besar di dalam pendidikan. Ketika kita sibuk berforum, wacana, dialog dan berfalsafah; masih ramai anak-anak diluar sana yang tidak cukup kasih sayang, belum lancar membaca dan mengira malah sudah berputus asa dengan kehidupan mereka. Dalam On the Plight of Oppressed People, Ali Shariati berpesan lagi; "Di waktu ini dan masyarakat ini, kita benar-benar memerlukannya. Ia tidak seperti para pemikir, para ahli falsafah dan orang-orang lain yang hanya berfikir tanpa bertindak atau berjuang; atau orangorang biasa bertindak tanpa berfikir, hikmah dan ketakwaan." Pesan Abhijit Banerjee dan Esther Duflo dalam Poor Economics, di India sahaja terdapat 50 juta anak-anak yang ke sekolah, tetapi masih gagal membaca ayat mudah dengan lancar. Penyelesaian kreatif lawan filsuf semantik Saya bersetuju dengan cadangan M Bakri Musa dalam makalahnya The Havoc Education Reform Inflicts berkenaan dengan sudut pandang kita dengan negara lain yang lebih maju. Menurutnya, masalah negara kita yang berbilang kaum tidak dapat diselesaikan semata-mata meniru model pendidikan Korea Selatan mahupun Finland. Apa yang kita perlukan kini ialah inisiatif kreatif sebagaimana yang telah ditunjukkan di Mexico melalui Program Progressa mahupun di Rwanda dengan program One-Laptop-Per-Child (OLPC). Sebagaimana saya tegaskan dalam dialog di atas, usaha meningkatkan pencapaian golongan bawahan dan tertindas akan menyebabkan pencapaian pendidikan melonjak secara tidak lansung kerana dapat mengurangkan jurang antara kelas dan sosial. Saya masih ingat ketika membentangkan kertas kerja berkaitan Aktif Intelek Mulla Sadra dan Kurikulum Masa Depan di sebuah persidangan antarabangsa di Bandung tahun lalu. Seorang ahli akademik telah bertanya apakah konsep Aktif Intelek ini sesuai untuk menggantikan Taksonomi Bloom yang sudah digunakan sekian lama. Jawapan ringkas saya kepada penyoal itu; adakah kerangka Taksonomi Bloom yang kita ceduk dan gunakan hari ini sebenarnya sesuai dengan sistem sosial dan budaya masyarakat kita khususnya masyarakat Islam di rantau Melayu?

Ingin saya ingatkan, kedudukan Malaysia di Indeks Pendidikan Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu 2011 ialah 98 daripada 181 negara, manakala kedudukan Malaysia dalam peperiksaan PISA 2009 pula ialah 55 daripada 74 negara yang mengambil bahagian. Di titik ini, apakah kita akan kekal menjadi rausyanfikir jadi-jadian - sang filsuf yang asyik bermain ilmu semantik; atau menyambut saranan rausyanfikir sebenar, Ali Shariati dalam Where Shall We Begin iaitu "menjadi intelektual yang menjadi jambatan antara dua kutub, teori dan praktikal, terus ke dalam hati nurani masyarakat". ZUL FIKRI ZAMIR MOHAMAD MUNIR pelajar pascasiswazah Universiti Malaya dan penyelidik dalam Teach for The Needs. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini. Beliau menambah lagi bahawa sejarah membuktikan bagaimana seseorang yang tidak berpendidikan dapat memberi tenaga baharu buat masyarakat, sedangkan banyak ilmuwan tidak mengambil satu langkah pun dalam mencipta kesedaran, keyakinan atau satu ideologi yang akan menggerakkan masyarakatnya." Kenapa jadi begini? Sebab Allah jadikan setiap manusia itu mempunyai BAKATNYA tersendiri. Malangnya, di Malaysia kita masih lagi beranggapan kena ada Sijil, Diploma, Ijazah, Master atau kelayakkan tertinggi baru orang pandang. Syed Mohktar Al-Bukhary, Bill Gates, Jimmy Choo dan ramai lagi orang2 yang berjaya di luar sana berjaya membuktikan bahawa KONSEP USAHA dan mendengar pendapat masyarakat membawa mereka ke serata DUNIA. Tetapi apakah yang difikirkan oleh GOLONGAN CENDIAKIAWAN di Malaysia? Mereka hanya belajar dan makan gaji sahaja. TIDAK MAMPU BERFIKIR secara KRITIS. Maka lahirlah anak2 yang hanya dibebani dengan MENTELAAH BUKU. Sedangkan di negara2 maju, mereka menggarap anak2 muda dengan pelbagai bidang ilmu. Sukan, Vokasional, Kemahiran lebih menyakinkan dari golongan cendiakiawan. Sebab itu gaji seorang pemain bola Profesional di luar negara mampu mengalahkan CENDIAKIAWAN yang hanya menjadikan buku sebagai rujukkan mereka. Ada pro & kon disini. Tak boleh nak ulas panjang. Sebab nie MalaysiaKini punya platform. :)

Anda mungkin juga menyukai