Anda di halaman 1dari 3

Mengikut Prof Michael Gibbons (2003), Setiausaha Agong Persatuan Universisti Komanwel (ACU), globalisasi pendidikan ialah proses

perubahan untuk amalan dan pelaksanaan pengajaran yang berkualiti. Fungsi utama globalisasi pendidikan adalah menghasilkan sumber-sumber yang diperlukan untuk pendidikan dan pembelajaran sepanjang hayat. Ia merupakan proses berterusan untuk meningkatkan tahap kemahiran dan pengalaman individu. Dalam rangka kerja untuk meningkatkan tahap kemahiran dan cabaran individu ini, sememangnya sudah menjadi resam untuk para guru menghadapi cabaran dan halangan yang tersendiri dek kehadiran globalisasi pendidikan ini. Segalanya pasti akan berbeza pada masa yang akan datang. Dalam tempoh sedekad yang akan datang, tidak mustahil bagi seorang guru untuk mewajibkan diri untuk memahirkan diri dengan pelbagai kemahiran-kemahiran luar atau sebarang kemahiran yang menjadi nilai tambah kepada pendidikan itu sendiri. Tidak dilupakan, guru juga sememangnya akan lebih bersifat komprehensif dan mencakupi pelbagai aspek dalam menyampaikan pengajaran. Persoalannya sekarang, mengapa perkara-perkara ini perlu dititikberatkan pada masa kini? Menyelusuri aspek kepelbagaian sosiobudaya di bilik-bilik darjah di Malaysia, terdapat pelbagai cabaran yang akan menganggu gugat pendidikan itu sendiri. 1. Tergugatnya pendemokrasian pendidikan

Cabaran yang pertama yang akan terjadi ialah halangan dalam mendemokrasikan pendidikan itu sendiri. Pendidikan akan menjadi suatu perkara yang remeh. Tahap mentaliti pelajar yang berbeza akan menjadikan jurang kefahaman dalam pendidikan itu cukup mendalam. Konsep kesamarataan yang direncanakan dalam konteks pendemokrasian pendidikan itu sendiri akan tergugat. Masyarakat Cina khususnya pastinya akan lebih dominan dalam aspek multimedia dan teknologi jika dibandingkan dengan masyarakat Iban atau Bidayuh dek ketidaksama rataan tahap sosioekonomi serta taraf hidup mereka. Pada masa yang sama, aspek keyakinan diri serta kesungguh pelajar akan tergugat kerana kurangnya pendedahan serta kemudahan yang tersedia. Hal ini sememangnya akan menganggu gugat sistem pendidikan itu sendiri kerana tidak dapat diselaraskan dengan baik serta pengajaran yang berlangsung akan tidak bersifat holistik dan pada masa yang sama ketidak efisienan pengajaran pasti berlaku. Pada masa yang sama, pelajar yang lemah akan lebih pasif manakala pelajar yang lebih arif akan lebih dominan serta doktrin kapitalis dimana yang pandai akan terus pandai, yang bodoh akan terus bodoh akan terlaksana dengan jayanya. Maka hal ini tidak mungkin sama sekali akan membantu pendemokrasian pendidikan di negara kita Malaysia.

2. Integrasi nasional ibarat telur di hujung tanduk.

Selain daripada itu, konsep integrasi nasional yang mendasari sistem pendidikan negara kita Malaysia berkemungkinan besar akan terjejas secara serius. Hal ini kerana penggunaan teknologi tanpa wayar serta penggunaan alatan elektronik ini

sememangnya menganggu gugat hubungan antara pelajar itu sendiri. Sebagai contoh, kesan daripada kewujudan permainan elektronik pada masa sekarang. Sedarkah anda, integrasi tidak berlaku kerana masing-masing melakukan perkara secara bersendirian. Pelajar lebih gemar berada di hadapan komputer daripada keluar bermain di taman-taman dan bergaul mesra antara satu sama lain. Maka, percanggahan dalam kefahaman dari aspek sosiobudaya berkemungkinan besar akan terhasil. Pada masa yang sama, pelajar akan lebih mudah melabelkan sesuatu kaum itu dengan sikap dan rencam mereka sendiri. Hal ini sememangnya akan mengundang musibah kepada integrasi nasional. Perkara sebeginilah yang akan menganggu gugat keharmonian dan kedamaian rakyat yang berbilang kaum di Malaysia, pada masa yang akan datang. 3. Guru : Mengajar atau diajar?

Dalam sedar atau tidak, pelajar sememangnya akan lebih mendahului mengenai teknologi dan perkara-perkara yang berkaitan dengan zaman mereka sendiri. Sebagai contoh ringkas, guru veteran berusia dalam lingkungan 50-an jika diberikan komputer secara majoritinya pasti tidak cukup mahir dan bijak mengendalikan komputer itu sendiri. Perkara yang sebaliknya berlaku kepada pelajar masa kini. Bagaimana pula dengan pelajar akan datang? Bilik darjah semestinya akan lebih sugul dan pengajaran yan berlangsung pastinya akan menjadi tidak efisien secara logiknya jika ditimbang tara secara jelas. Ditambah pula dengan keadaan sosiobudaya di dalam bilik darjah yang majoritinya didominasi oleh pelajar-pelajar yang mengguna pakai bahasa warisan masing-masing. Ketidak mahiran guru dalam mengendalikan gajet-gajet teknologi serta kemudahan elektronik serta kekurangan dalam kemahiran memahamkan pelajar nescaya akan membawa kepada pendidikan yang tidak efektif sama sekali. Pada masa yang sama, berkemungkinan besar guru itu sendiri akan diejek dan tidak dihormati oleh pelajarpelajarnya kerana tidak mahir dalam mengguna pakai alatan serta gajet-gajet tersebut.

4. Sekolah : Sekadar tempat persinggahan sementara,

Dari aspek kemasyarakatan, tidak mengira kaum mahupun agama, sekolah merupakan tempat yang cukup penting dalam kehidupan seseorang individu. Sedarkah anda, suatu hari nanti, dek kerana ledakan maklumat dan globalisasi, sekolah hanya menjadi tempat persinggahan sementara. Hal ini kerana, sekolah tidak berupaya memberi input yang cukup baik kepada pelajar, khususnya pelajar yang lebih cerdik dan golongan pintar cerdas. Ibu bapa juga menjadikan sekolah sebagai medium untuk mengelakkan diri dari perlu mencari penjaga atau pengasuh anakanak mereka. Hal ini kerana mereka akan menyalahkan pihak sekolah akan sebarang ketidak upayaan atau kelemahan yang ada pada anak mereka. Hal ini sudah pun berlaku pada masa kini dan dikhuatiri akan menjadi lebih dahsyat pada masa akan datang. Selain itu, perkauman juga akan berlaku. Ini berkemungkinan disebabkan oleh sikap acuh tidak acuh yang datangnya dari rumah. Prinsip buat hal sendiri menjadikan masyarakat dan komuniti sekolah lebih tidak efisien sekaligus menebalkan semangat perkauman antara pelajar di sesebuah sekolah. Aspek sosial sebegini sememangnya menjadi tamparan hebat kepada guru-guru pada masa yang akan datang.

5. Fakta atau Auta?

Kebenaran sesuatu maklumat sememangnya akan menjadi isu panas sekiranya ledakan maklumat meruncing dengan semakin teruk pada masa akan datang. Sedar atau tidak, globalisasi memungkinkan perkara ini untuk berlaku. Hal ini sememangnya akan menganggu gugat kemahiran dan kredibiliti seseorang guru itu sendiri. Pelajar akan lebih mudah mempercayai fakta di laman-laman sosial serta di layar internet jika dibandingkan dengan apa yang diperkatakan oleh guru itu sendiri. Segala perkara yang bersifat fakta dan maklumat-maklumat akan sukar diklasifikasikan sama ada ianya benar-benar fakta atau hanya auta semata. Dari aspek sosiobudaya, lembaran sejarah akan menjadi masalah utama cabaran pendidikan ini. Kaum India dengan persepsi mereka, kaum Cina dengan pendirian yang mereka galas, manakala Melayu tetap dengan pegangan sejarah tersendiri. Masing-masing mendongak ke langit mengatakan apa yang dibawa oleh mereka benar. Dan ketidak sefahaman akan berlaku dengan sangat mudah dan ini

sememangnya tidak membantu dalam keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia.