Anda di halaman 1dari 5

Mengapa Al-Shafii Mewajibkan Zakat Pada Harta Anak Yatim

Muhammad Hanief Awang Yahaya, www.darulkautsar.net

Adakah dikenakan zakat pada harta anak kecil atau anak yatim apabila cukup nisab dan tempoh setahunnya? Ulama berbeza pendapat berhubung perkara ini. Golongan majoriti ulama mewajibkan zakat pada harta kanak-kanak. Mereka ialah al-Shafii, Malik dan Ahmad. Namun Abu Hanifah mengatakan tidak dikenakan zakat padanya. Mengikut beliau, hanya dikenakan ushur pada tanaman milik mereka. Imam al-Tirmidhi menukilkan khilaf yang berlaku di kalangan ulama berhubung dengan masalah ini. Kata beliau:


Ahli ilmu berselisih pendapat berhubung perkara ini, beberapa orang sahabat Nabi s.a.w berpendapat harta anak yatim itu dikenakan zakat, mereka ialah Umar, Ali, A`ishah dan Ibnu Umar, dan itulah pendapat Malik, Shafii, Ahmad dan Ishaq. Sementara segolongan ahli ilmu yang lain pula berpendapat: Tidak dikenakan zakat pada anak yatim, dan itulah pegangan Sufyan al-Thawri dan Abdullah Ibnu al-Mubarak dan Abu Hanifah. Hujah utama majoriti ulama yang terdiri daripada Malik, al-Shafii dan Ahmad ialah umum ayat alQur`an. Imam al-Shafii mengatakan bahawa ayat : Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk) menjelaskan bahawa setiap pemilik harta, yang sempurna milik dan merdeka, maka padanya dikenakan zakat sama ada baligh, kanak-kanak, sihat atau matuh (tidak cerdik). Rasulullah s.a.w. bersabda: Tidak dikenakan zakat pada harta yang kurang daripada 5 wasaq. Dengan ini ia menunjukkan kepada kita jika harta itu kepunyaan seorang muslim yang merdeka maka wajib zakat pada harta itu sendiri bukan (melihat kepada) pemilik. (al-Shafi Sharh Musnad al-Shafii, jil. 3, hal. 100) Allah s.w.t. berfirman: Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau

membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk) (alTawbah: 103) Ayat ini ditujukan secara umum kepada semua orang yang memiliki harta. Demikian juga hadis al-Bukhari dan Muslim beritahulah kepada mereka bahawa Allah telah memfardukan atas mereka zakat dari harta mereka. Dalil kedua:


Daripada Amar bin Shuayb daripada ayahnya daripada datuknya bahawa Rasulullah s.a.w berucap di hadapan para sahabat: Ingatlah! Sesiapa yang menjaga anak yatim yang mempunyai harta hendaklah dia memperniagakan harta itu dan jangan dibiarkan sampai dimakan oleh zakat. Al-Baji berkata, ini merupakan keizinan supaya menyuburkan harta itu. Ini disebabkan penjaga anak yatim itu sama seperti ayah. Antara hukumnya ialah menyuburkannya dan menjadikannya memperolehi hasil untuk anak yatim itu bukan untuk dirinya sendiri kerana pada waktu itu dia tidak menjaganya untuk anak yatim tetapi untuk dirinya sendiri. Sesiapa yang mampu boleh dia mengusahakan dengan memanfaatkan harta itu untuk anak yatim. Jika tidak hendaklah dia menyerahkan kepada seseorang yang boleh dipercayai untuk diusahakan dengan cara mudarabah di mana keuntungan dibahagikan antaranya dan sekalian anak yatim. (al-Muntaqa Sharh al-Muwatta`) Disebutkan makan kerana ia akan mengurangkannya atau menjadikannya habis. Ibn Malik berkata, yani zakat akan diambil daripada hartanya dan ia menjadi kurang sedikit demi sedikit. Hadis ini menjadi dalil kepada ulama yang mewajibkan zakat pada harta kanak-kanak. Ketiga: Riwayat mursal oleh Imam al-Shafii daripada Yusuf bin Mahak:

Carilah (keuntungan dengan perniagaan) pada harta anak yatim atau harta anak-anak yatim janganlah sampai ia habis dimakan zakat. Keempat: Dari segi qiyas, zakat itu terikat dengan sebabnya, ia berkait dengan harta itu sendiri. Walaupun ia berkaitan dengan dhimmah, diri yang memiliki harta, namun sebab harta itu lebih kuat. Zakat ini bukan sahaja ibadat tetapi berkait dengan hak maliy, ia berbeza dengan sembahyang dan puasa kerana kedua-duanya ibadat yang tulen, tidak berkait dengan harta. Ibn Qudamah berkata: Zakat diwajibkan pada harta anak kecil kerana terhimpun tiga sharat: merdeka, Islam dan sempurna milik. Khilaf Abu Hanifah, Sufyan al-Thawri dan Abdullah Ibnu al-Mubarak berpendapat bahawa tidak dikenakan zakat pada harta anak yatim. Hujah mereka ialah penyucian yang tersebut dalam ayat merujuk kepada dosa dan kanak-kanak tidak perlu kepada penyucian itu. Mereka berdalilkan hadis diangkat pena yang diriwayatkan oleh Ahmad, al-Nasa`i, Abu Dawud, ibn Majah, dan Ibn Hibban;

, ,
Perbincangan terhadap dalil mereka, (1) maksud penyucian bukan terbatas kepada dosa yang ada pada mukallaf tetapi merangkumi pendidikan akhlak kanak-kanak, melatih mereka bersifat dengan sifat terpuji seperti dermawan dan tidak cinta kepada harta. (2) Hadis diangkat pena bermaksud diangkat pena dari ditulis dosa, yani tidak diwajibkan atas diri mereka, tetapi zakat itu wajib pada harta. Walaupun dari segi taklif belum sempurna namun kanak-kanak memikul juga tanggungjawab untuk membayar ganti rugi jika dia merosakkan harta orang lain. Oleh itu diangkat pena tidak merangkumi hak kehartaan dan zakat itu sendiri hak kehartaan untuk faqir miskin.

(3) Ibadat zakat merupakan ibadat maliyyah bukan ibadat mahdah (ibadat tulen) secara khusus berkait tubuh badan tetapi berkait juga dengan harta. Ibadat maliyyah mempunyai perbezaan dengan ibadah mahdah badaniyyah seperti sembahyang dan puasa. Sebab itu zakat boleh diwakilkan dan dilakukan oleh orang lain sebagai niyabah, bagi pihak tuan asal. Tetapi sembahyang tidak boleh diwakilkan. Adapun hadis yang menjadi sandaran majoriti ulama (hadis `Ammar bin Shuayb), bagi golongan kedua, mereka mengatakan hadis ini lemah.


Abu Isa berkata: Hadith ini hanya diriwayatkan dari jalan ini dan sanadnya dipertikaikan kerana al-Muthanna bin al-Sabbah dianggap daif dalam hadis dan sebahagian mereka meriwayatkan hadith ini dari Amar bin Shuayb bahawa Umar bin al-Khattab, lalu menyebutkan hadith ini. Antara ulama menghukumkannya sebagai daif ialah Abu Hatim, Ibn Sad, Ibn Hibban, Ibn Abi Umar al-Saji, Sahnun, al-Daruqutni dan lain-lain. Imam Ahmad mengatakan hadisnya itu tidak menyamai apa-apa, beliau seorang yang tidak tetap hadisnya. Ibn Hibban menyatakan sebab kedaifannya kerana berlaku kecelaruan di akhir usianya. Yahya al-Qattan mengatakan kita tidak menerima riwayat bukan kerana hadis `Amr bin Shuayb tetapi ikhtilat yang berlaku kepadanya. Al-Muthanna mempunyai beberapa orang mutabi, dalam sunan al-Daruqutni, Abu Ishaq alShaybani, seorang yang thiqah, tetapi perawi daripadanya adalah Mindal, seorang daif, Bagi pihak al-Shafii dan ulama yang sependapat dengan beliau, riwayat Abdullah bin Amr` boleh dijadikan sokongan kepada penafsiran ayat yang umum di atas dan ia bukan dalil utama. Di samping itu, hadith ini juga diriwayatkan oleh sebahagian ulama secara mawquf kepada Sayyidina Umar. Imam al-Daruqutni dalam Sunannya, no: 1973, jil. 3, hal. 6) menyebutkan:

Manakala al-Awzai pula berpendapat: Harta mereka dikenakan zakat tetapi tidak dikeluarkan selagi mana tidak baligh. Harta itu hendaklah dihitung dan apabila baligh dia sendiri yang mengeluarkannya. Kelihatan pendapat al-Awzai ini cuba memadukan antara pandangan dua mazhab di atas. Walau bagaimanapun ia tetap menunjukkan bahawa zakat perlu juga diambil dari harta anak yatim. Cuma waktunya sahaja yang berbeza.

Sumber: http://www.darulkautsar.net/4787-Mengapa_Al-Shafi %E2%80%99i_Mewajibkan_Zakat_Pada_Harta_Anak_Yatim.html