Anda di halaman 1dari 9

LAKUAN BAHASA HASIL PEMBELAJARAN Pada akhir unit ini, anda diharapkan dapat: 1.

Mengenal pasti lakuan bahasa iaitu lokusi, ilokusi, perlokusi dan ujaran performatif. 2. Menghuraikan implikatur perbualan iaitu bahasa tersirat, bahasa sindiran dan bahasa halus. 3. Membezakan setiap lakuan bahasa.

PENGENALAN Terbentuknya sistem sosial dalam masyarakat adalah melalui bahasa yang digunakan untuk berkomunikasi dalam pergaulan dan perhubungan antara sesama manusia. Bahasa adalah sistem lambang bunyi yang arbiter yang dipergunakan oleh masyarakat untuk berhubungan dan bekerjasama, berinteraksi dan mengidentifikasi diri, (Kridalaksana, 1993:1). Bidang bahasa atau linguistik telah lama dikaji dari pelbagai aspek oleh para sarjana untuk memastikan bidang ini terus berkembang selaras dengan penggunaannya yang dinamik. Hal ini demikian kerana pengkajian yang mendalam dalam bidang ini juga sangat relevan terhadap aspek makna atau semantik yang mendasari bidang linguistik ini. Menurut Imran Ho Abdullah dalam penulisannya mengatakan semantik adalah cabang ilmu linguistik yang mengkaji makna. Semantik merupakan satu cabang kajian falsafah yang kemudiannya digunakan oleh disiplin linguistik sebagai salah satu daripada komponen bahasa yang utama selain sintaksis, morfologi dan fonologi jika dilihat dari aspek sejarah ilmu semantik barat. Oleh itu, terdapat pendapat yang merasakan bahawa kajian semantik seharusnya menjadi fokus utama dalam linguistik kerana peranan utama bahasa adalah untuk mengujarkan sesuatu yang bermakna. Selain itu, pragmatik pula merupakan cabang ilmu linguistik yang mula mendapat perhatian pada akhir 1970an. Ilmu ini digunakan bagaimana manusia memahami dan menggunakan bahasa dalam komunikasi harian. Oleh itu, sesuatu ungkapan linguistik dianggap sebagai lakuan bahasa. Lakuan bahasa hanya wujud dalam satu situasi komunikasi lazimnya yang terdapat dalam perbualan atau wacana. Justeru, pragmatik juga dikenali sebagai analisa perbualan atau secara umumnya ialah analisa wacana. TEORI LAKUAN BAHASA Lakuan bahasa hanya wujud dalam satu proses interaksi dan lazimnya terdapat di dalam sesuatu perbualan atau wacana (Abdullah Yusof, 2009). Justeru, lakuan bahasa sangat penting dalam pengajaran dan pembelajaran kerana lakuan bahasa digunakan oleh guru semasa proses pengajaran. Setiap bentuk ujaran yang diucapkan oleh guru mempunyai tujuan yang berbeza-beza bergantung kepada sesuatu situasi atau keadaan. Menurut Umar Solikhan (2005), ujaran dapat berfungsi untuk memerintah, menyampaikan maklumat dan menyatakan perasaan. Menurut Ahmad Mahmood Musanif (1998), teori lakuan bahasa telah dikembangkan oleh Austin (1962) dan Searle (1969). Kedua-dua ahli falsafah terkenal ini mengemukakan bahawa lakuan-lakuan yang dipersembahkan adalah berdasarkan bahasa yang diujarkan. Oleh itu, teori ini menumpukan kepada perkaitan antara makna dan lakuan dengan bahasa yang dituturkan.

Selain itu, menurut Abdullah Yusof et al., (2009), teori lakuan bahasa ini telah dipelopori oleh J. L. Austin yang dibuktikan berdasarkan syarahan beliau yang berlangsung pada tahun 1955 bertempat di Universiti Harvad. Siri syarahan ini kemudiannya diterbitkan sebagai sebuah buku yang berjudul How To Do Things with Words pada tahuan 1962, iaitu selepas beliau meninggal dunia. Oleh itu, buku ini menjadi asas kepada Teori Lakuan Bahasa. Pelajar beliau, John R. Searle telah menyambung usaha beliau terutama di dalam buku yang berjudul Speech Acts: An Essay in the Philosophy of Language (1969) terbitan Universiti Cambridge. Menurut Ahmad Musanif (1998) istilah Speech Act Theory diterjemahkan sebagai Teori Lakuan Bahasa atau Teori Lakuan Pengucapan atau Teori Perilaku Bahasa. Interaksi bilik darjah adalah wacana yang merupakan komunikasi secara bersemuka di antara dua orang atau lebih, misalnya di antara guru dengan pelajar atau di antara pelajar dengan pelajar. Menurut hipotesis Searle (1969:16) dalam Ahmad Mahmood Musanif (1998:85), bercakap dengan sesuatu bahasa bererti menceburkan diri ke dalam satu bentuk perlakuan yang terikat dengan peraturan. Berkomunikasi melibatkan kepelbagaian fungsi dalam bahasa tersebut. Apabila seseorang bertutur, bahasa yang digunakan mempunyai tujuan yang tertentu misalnya menggunakan ayat perintah untuk memberikan arahan atau permintaan. Asmah Haji Omar (1997:21), menyatakan lakuan bahasa sebagai tindakan yang tergambar dalam bahasa yang digunakan. Lakuan bahasa boleh disamakan juga dengan fungsi butir pertuturan atau tutur kata. Sewaktu bertutur, seseorang akan melakukan satu lakuan pertuturan misalnya, membuat pernyataan, memberi perintah, menanyakan soalan dan membuat janji. Berdasarkan contoh ayat di bawah, ia boleh dianggap sebagai membuat pernyataan iaitu untuk menghuraikan suatu keadaan. Namun, dalam sesetengah konteks bagi ujaran tersebut, ia mempunyai fungsi lebih untuk membuat kenyataan. Terdapat juga dalam sesetangah konteks ujaran seperti ayat 1-4, mungkin langsung bukan berbentuk kenyataan. 1. Ada ular di bawah meja. 2. Bilik ini sungguh panas. 3. Awak ini kelakarlah. 4. Opah jatuh. Menurut ayat-ayat di atas, ujaran 1 berfungsi untuk memberi amaran. Ujaran 2 pula berfungsi untuk memohon agar sesuatu dilakukan dan ujaran 3 adalah untuk menandakan tidak bersetuju. Oleh yang demikian, sesuatu kenyataan bergantung kepada konteks ujaran. Seperti ayat 1 hingga 4 tadi, ia bukan sekadar untuk membuat pernyataan. Bagi ayat 4 misalnya, ia boleh mempunyai fungsi yang berbeza iaitu: a. konteks nenek duduk bersama = tolong bawa nenek ke klinik b. konteks nenek duduk di tempat lain = bawa emak menziarah Dalam hal ini, teori lakuan bahasa mungkin mempunyai persamaan dengan cakap berlapik dalam masyarakat Melayu. Selain itu, jika ayat tersebut bukan dari jenis ayat seperti ayat tanya dan ayat suruhan, ia juga boleh dianalisis dari sudut lakuan atau perbuatan yang dilakukan oleh ujaran atau

ayat tersebut. Jelas terdapat dalam contoh ayat yang seterusnya, di mana lakuan bahasa yang sama boleh tercapai dengan menggunakan ujaran yang berlainan dengan struktur ayat yang berbeza. Dengan kata lain, tidak kira jenis ayat, sama ada ayat tanya, ayat seruan, ayat penyata, kesemua ujaran itu boleh bertindak sebagai lakuan meminta. Ringkasnya, lakuan bahasa dapat dihuraikan sebagai tindakan yang wujud secara langsung ketika seseorang berkomunikasi. Setiap pertuturan mempunyai makna yang tersirat bukan hanya menumpukan kepada aspek tatabahasa semata-mata. Oleh itu, setiap penutur perlu bijak memilih bentuk bahasa yang sesuai dalam berkomunikasi bagi memastikan matlamat dan tujuan pertuturan dapat dicapai. KONTEKS TEORI LAKUAN BAHASA DARI SEGI SEJARAH DAN FALSAFAH LINGUISTIK Menurut Austin dalam Abdullah Yusof et. al., (2009), perkara penting dalam lakuan bahasa adalah dari sudut apa yang dilakukan oleh ujaran tersebut. Hal ini bermaksud ujaran ini mungkin berupa satu pernyataan dan lakuan itu pula adalah satu lakuan membuat kenyataan. Namun, ujaran itu juga boleh digunakan untuk bercakap benar atau bercakap besar atau mungkin juga untuk memberi amaran. Perkara penting yang ditekankan ialah apa yang mahu dilakukan atau yang mahu dicapai oleh penutur (penulis) apabila beliau membuat ujaran tersebut. Bercakap atau membuat ujaran adalah sama dengan dengan membuat perbuatan seperti menendang bola, mengangkat tangan, menabik, menadah tangan atau berjabat tangan. Perbuatan yang boleh dilakukan melalui ujaran termasuklah memberi salam, mengucapkan tahniah atau takziah, memanggil seseorang, melarang sesuatu dan sebagainya. Oleh itu, dalam hal ini teori lakuan bahasa boleh diaplikasikan kepada pelbagai pelbagai bahasa dan berkemungkinan lakuan bahasa Melayu mempunyai perbezaan dan persamaan dengan lakuan bahasa Inggeris, bahasa Arab atau bahasa Jepun. Kaedah memberi salam dalam pelbagai bahasa mungkin berbeza dan bersifat spesifik kepada bahasa tersebut. Kita boleh lihat contoh lakuan acts of welcoming / expressions of goodwill / (greetings) yang digunakan sebagai pembuka bicara dalam bahasa Melayu iaitu Selamat Pagi, Selamat Tengahari, Selamat Petang. Ucapan ini boleh berubah kepada Selamat Datang, Selamat Tinggal, Selamat Pengantin Baru, Selamat Tahun Baru Cina dan Selamat Hari Raya. Namun, dalam bahasa Inggeris pula pola greetings atau ucapan selamat bermula dengan good, seperti good morning, good afternoon, good evening. Menurut Searle, bahasa yang digunakan sebagai satu kegiatan atau perbuatan yang menghasilkan lakuan bahasa atau unit asas atau dikenali juga sebagai minima komunikasi linguistik. KONSEP ASAS DALAM LAKUAN BAHASA Lakuan bahasa yang dikaji oleh Austin (1962), melibatkan tiga jenis sahaja iaitu lakuan pengucapan (locutionari acts), lakuan niat pengucapan (illocutionary acts) dan lakuan tindak balas pengucapan (perlocutionary acts). Lakuan pengucapan bermaksud sejenis lakuan yang berfungsi untuk mengujarkan sesuatu ayat dengan makna yang tertentu. Menurut Parker (1994) pula, perlakuan ini semata-mata merujuk kepada ujaran ayat dalam satu bahasa. Ia merupakan pernyataan terhadap apa yang diucapkan oleh penutur.

Lokusi Lokusi bermaksud lakuan pengucapan. Lakuan pengucapan atau ujaran ini merupakan bentuk katakata hakiki iaitu dalam bentuk nyata yang dituturkan. Menurut penulisan Geofrey Leech, lokusi bermaksud melakukan lakuan menyatakan sesuatu (Azhar M. Simin, 1993:239) dalam Abdullah Yusof et al. (2009). Maksud semantik bagi kata-kata yang diujarkan oleh penutur terlibat dalam lakuan pengucapan ini. Misalnya contoh ujaran panasnya bilik ini mempunyai lakuan pengucapan yang mengandungi tiga kata yang dimaksudkan sebagai bilik itu mempunyai suhu yang agak tinggi. Selain itu, contoh ayat yang mengandungi lakuan pengucapan ialah seperti berikut: (1) Ikan paus ialah haiwan mamalia. Ayat (1) merupakan lakuan pengucapan kerana penuturnya hanya ingin memaklumkan sesuatu dan bukannya mengharapkan pendengar untuk bertindak. Nababan (1987), dalam Dewa Putu Wijana (1996:18) mengatakan bahawa lakuan pengucapan ini berkaitan dengan proposisi ayat yang terdiri daripada subjek dan predikat. Ilokusi Ilokusi bermaksud lakuan niat pengucapan. Lakuan niat pengucapan berkait dengan apa yang dilakukan oleh penutur dengan melafazkan ujaran tersebut. Lakuan niat pengucapan ini boleh dikaitkan dengan fungsi ucapan tersebut seperti untuk mengarah atau memberi arahan, membuat tawaran, membuat janji, mengugut, mengucapkan terima kasih dan sebagainya. Misalnya di dalam ayat panasnya bilik ini. Lakuan niat pengucapan tersebut mungkin adalah untuk mengadu atau mungkin untuk meminta agar tingkap dibuka, menawar untuk membuka tingkap dan memohon pertukaran bilik. Secara ringkasnya disini, ilokusi bermakna melakukan lakuan apabila menyatakan sesuatu (Azhar M. Simin, 1993:23) dalam Abdullah Yusof et al. (2009). Selain itu, jenis lakuan yang kedua iaitu lakuan niat pengucapan pula melibatkan niat dalam sesuatu ujaran tertentu. Namun, Parker (1994) menyatakan bahawa lakuan ini merujuk kepada apa yang akan dilakukan oleh penutur apabila mengujarkan ayat tersebut, misalnya, pernyataan, perjanjian, permohonan maaf, menjangka, mengugut, memerintah dan membuat permintaan. Ayat lakuan niat pengucapan adalah seperti berikut: (2) Cuaca hari ini mendung. Ayat (2) merupakan lakuan niat pengucapan kerana penutur inginkan pendengar bertindak berdasarkan ayat yang diujarkan. Hal ini kerana penutur mungkin inginkan pendengar membawa payung kerana cuaca mendung. Lakuan bahasa niat pengucapan ini harus dipertimbangkan beberapa faktor seperti penutur, pendengar, bila dan di mana lakuan bahasa itu berlaku dan sebagainya. Perlokusi Perlokusi merupakan lakuan tindak balas pengucapan. Lakuan tindak balas pengucapan berkait dengan reaksi pendengar apabila telah mendengar sesuatu ujaran. Oleh yang demikian, jelas bahawa lakuan pengucapan yang sama berkemungkinan mempunyai daya lakuan niat pengucapan yang berbeza. Pada masa yang sama, lakuan pengucapan yang berbeza boleh mempunyai daya lakuan niat pengucapan yang sama. Dalam contoh yang sama untuk lakuan niat mengadu, pengucap juga boleh

menggunakan ayat tanya Tidak ada bilik yang lebih panas?. Reaksi pendengar atau lakuan tindak balas pengucapan yang dilakukan ialah mungkin pendengar akan membuka tingkap, meninggalkan bilik, memberi penjelasan dan sebagainya. Perkara penting dalam perlokusi ialah mengenai perbuatan melakukan sesuatu lakuan dengan menyatakan sesuatu (Azhar M. Simin, 1993:239) dalam Abdullah Yusof et al. (2009). Seterusnya, lakuan tindak balas pengucapan adalah lakuan yang boleh mempengaruhi pendengar disebabkan oleh maksud ujaran yang disampaikan oleh penutur. Ia merujuk kepada kesan terhadap pendengar tentang apa yang diujarkan oleh penutur. Hal ini meliputi tentang desakan, memalukan, mengancam, membosankan, menyakitkan hati dan sebagainya (Parker, 1994). Oleh itu, lakuan jenis ini digunakan untuk mendorong pendengar melakukan sesuatu kerana merasa takut, terancam dan sebagainya. Ayat lakuan tindak balas pengucapan adalah seperti berikut. (3) Saya tidak mempunyai wang, ayah. Ayat (3) yang diujarkan tidak hanya membawa maksud penutur tidak hanya memberitahu bahawa dia tidak mempunyai wang malah meminta wang daripada ayahnya. Kesan daripada ujaran ini ialah ayah tersebut akan memberi wang kepada anaknya. Ujaran Perfomatif Menurut Abdullah Yusof et al. (2009), ujaran performatif bermaksud melakukan sesuatu yang jelas berdasarkan kata kerja yang digunakan. Kita boleh lihat bahawa berbahasa boleh dianggap sebagai satu perbuatan yang jelas. Sebagai contoh, kita mengucapkan syabas kepada seseorang dengan mengujarkan kata syabas. Perbuatan atau aksi mengucap syabas boleh juga disampaikan dengan menepuk belakang bahu individu tersebut atau dengan memberi isyarat thumbs up, iaitu dengan ibu jari ke atas dan jari yang lain digenggam. Kita juga boleh melakukan perbuatan melarang seseorang daripada merokok dengan ujaran Jangan merokok di sini atau dengan hanya menggelengkan kepala dan tangan. Oleh itu, memandangkan ujaran dalam dua keadaan membawa kesan atau pengertian yang boleh dilakukan dengan perbuatan tanpa berbahasa, maka ujaran tersebut boleh disamakan dengan perbuatan tanpa bahasa itu. Hal ini menyokong teori lakuan bahasa, iaitu bahasa merupakan sejenis perbuatan. JENIS LAKUAN BAHASA Lakuan Bahasa Tidak Langsung Terdapat pelbagai ciri lakuan bahasa tidak langsung termasuklah ciri yang pertama iaitu kepelbagaian maksud atau niat penutur, Abdullah Yusof et al. (2009). Jika dibandingkan dengan lakuan bahasa langsung, umumnya ia hanya mempunyai satu maksud atau satu niat pengucapan. Menurut Searle, lakuan bahasa tidak langsung kebiasaannya mempunyai lebih daripada satu maksud atau niat pengucapan. 1) Tempat itu agak jauhlah. Berdasarkan contoh ayat tersebut, lakuan bahasa yang terkandung di dalam ayat itu ialah untuk membuat pernyataan tentang jarak sesuatu tempat. Manakala lakuan bahasa tidak langsung mungin untuk memohon pertukaran tempat. Secara ringkasnya, lakuan bahasa langsung dan lakuan bahasa

tidak langsung merupakan dua bahagian maksud yang terkandung dalam ujaran tersebut. Selain itu, ciri yang kedua ialah memberi keutamaan logikal maksud, Abdullah Yusof et. al., (2009). Perkara ini dimulakan dari ciri kepelbagaian maksud, di mana ciri ketertiban logikal ini menyatakan bahawa kepelbagaian maksud itu tidak berlaku serentak atau selari mahupun mempunyai kedudukan yang sama rata. Sebaliknya, maksud yang pelbagai itu berbentuk satu rantaian maksud yang berurutan mengikut keutamaan logikal. Contohnya, guru bertanya Siapa yang bertugas hari ini? ketika masuk ke dalam bilik darjah yang kotor. Ayat tersebut mengandungi dua maksud. Maksud yang pertama ialah menanyakan sesuatu (lakuan bahasa langsung), manakala maksud yang kedua ialah untuk meminta mereka yang bertugas membersihkan bilik darjah (lakuan bahasa tidak langsung). Di samping itu, ujaran tadi memberi maksud yang ketiga iaitu mungkin membentuk satu rantaian lain yang bebas daripada rantaian maksud pertama dan maksud kedua. Selain di atas, lakuan bahasa tidak langsung perlulah rasional, Abdullah Yusof et. al., (2009). Menurut Searle (1975), pergantungan logikal antara dua maksud sesuatu lakuan bahasa tidak langsung adalah rasional. Hal ini bermaksud bahawa andaian penutur dan pendengar mempunyai pengetahuan yang sama tentang sesuatu perkara yang diujarkan. Seterusnya, ciri yang keempat tentang lakuan bahasa tidak langsung ini ialah kelaziman, Abdullah Yusof et. al., (2009). Hal ini bermaksud lakuan bahasa itu sebagai satu kebiasaan. Dalam bahasa Melayu, ucapan selamat boleh dianggap sebagai satu lakuan bahasa tidak langsung berbentuk lazim, iaitu satu peranti semantik untuk membuat lakuan bahasa tidak langsung. Misalnya, ucapan Selamat Pagi sebagai lakuan bahasa tidak langsung, ia merupakan pembuka bicara kata untuk lakuan bahasa seterusnya. Ciri yang seterusnya ialah lakuan bahasa tidak langsung perlu mempunyai kesantunan, Abdullah Yusof et. al., (2009). Menurut Brown dan Levinson (1978), kewujudan lakuan bahasa tidak langsung dalam bahasa tabii merupakan satu keperluan untuk kesantunan. Manakala ciri yang terakhir ialah bermatlamat, Abdullah Yusof et. al., (2009). Hal ini bermaksud sesuatu lakuan bahasa secara umumnya mempunyai matlamat yang tersendiri seperti niat pengucapan yang bertujuan untuk memberikan apa-apa kesan kepada pendengar atau mendapatkan sesuatu tindak balas daripada pendengar (tindak balas pengucapan). Oleh itu, lakuan bahasa yang membuat pernyataan adalah bertujuan untuk meyakinkan pendengar tentang sesuatu ujaran, manakala lakuan bahasa yang meminta sesuatu mungkin bertujuan supaya pendengar melakukan sesuatu. Oleh yang demikian, secara kesimpulannya, lakuan bahasa merupakan satu ujaran yang menggambarkan perbuatan yang dilakukan oleh seseorang penutur. Ia juga mampu memberi gambaran yang sama dalam perlakuan yang berbeza. Seseorang penutur boleh mengujarkan sesuatu perkara yang diikuti dengan perbuatan yang meneguhkan lagi ujaran tersebut. Misalnya, seorang guru mengucapkan syabas kepada pelajarnya dengan ujaran syabas dan disertakan tindakan guru itu menepuk bahu pelajarnya. Implikatur (Implicature) Menurut Abdullah Yusof et. al., (2009), implikatur adalah makna yang tersembunyi di dalam ujaran. Oleh yang demikian, implikatur dapat dibahagikan menjadi implikatur perbualan dan implikatur konvensional. Implikatur perbualan iaitu makna yang tersembunyi di dalam percakapan. Implikatur konvensional iaitu makna yang tidak berasal dari prinsip-prinsip percakapan seperti maksim-maksim tetapi mudah dikaitkan dengan keterangan-keterangan yang berhubungan dengan bahasa atau ekspresi.

Grice, seperti diungkap oleh Thomas (1995:57) dalam Abdullah Yusof e.t al., (2009), menyebut terdapat dua jenis implikatur. Antaranya ialah implikatur konvensional dan implikatur konversasional (percakapan). Implikatur konvensional merupakan implikatur yang dihasilkan daripada penalaran logika, ujaran yang mengandungi implikatur jenis ini, seperti diungkap oleh Gunarwan (2004), dapat dicontohkan dengan penggunaan kata sedangkan. Implikatur konversasional merupakan implikatur yang dihasilkan kerana tuntutan konteks tertentu (Thomas, 1995) dalam Abdullah Yusof e.t al., (2009). Contoh: (a) Sedangkan Perdana Menteri menghadiri majlis perkahwinan anak saya. (b) Saya kebetulan ke London untuk belajar selama dua tahun dan berangkat esok. Contoh (a) di atas merupakan implikatur konvensional yang beerti Perdana Menteri biasanya tidak menghadiri acara perkahwinan, sedangkan contoh (b) merupakan implikatur konversasional yang bermakna tidak dan merupakan jawapan kepada pertanyaan, Mahukah anda menghadiri majlis perkahwinan anak saya? Berbeza dengan Grice, menurut Gazdar dengan menggunakan prinsip kerjasama Grice dalam Abdullah Yusof et al. (2009), implikatur dapat dibezakan menjadi implikatur khusus dan implikatur umum. Yang pertama ada kerana konteks ujaran, misalnya contoh (a) di atas, sedangkan yang kedua tidak, misalnya contoh (b) di atas. Implikatur Perbualan Implikatur perbualan atau implikatur percakapan (conversational implicature) merupakan konsep yang amat penting dalam pragmatik disebabkan empat perkara (Levinson, 1983) dalam Abdullah Yusof e.t al., (2009). Perkara yang pertama memungkinkan penjelasan fakta-fakta kebahasaan yang tidak terjangkau oleh teori linguistik. Perkara yang kedua, konsep implikatur memberikan penjelasan tentang makna berbeza dengan yang dikatakan secara asal. Seterusnya yang ketiga ialah konsep implikatur dapat menyederhanakan struktur dan isi deskripsi semantik. Perkara yang keempat melibatkan konsep implikatur dapat menjelaskan beberapa fakta bahasa secara tepat. Contohnya: (a) Pukul berapa sekarang? (b) Adik sudah bangun tidur. Berdasarkan contoh tersebut, dapat dilihat bahawa ayat (a) dan ayat (b) tidak berkaitan secara konvensional. Namun, penutur kedua sudah mengetahui bahawa jawapan yang disampaikan sudah cukup untuk menjawab soalan penutur pertama, kerana dia sudah mengetahui pukul berapa biasanya adik bangun tidur. Selain itu, implikatur perbualan secara harafiahnya bermaksud tutur kata yang tidak disebutkan secara jelas atau nyata. Ia hanya diungkapkan secara sindiran atau secara tersirat dan bukan secara langsung. Justeru, penutur pertama dan penutur kedua perlu memahami konteks perbualan supaya maksud implikatur ini dapat difahami oleh kedua-dua pihak. Implikatur perbualan terdiri daripada dua elemen iaitu bahasa sindiran dan bahasa tersirat, Abdullah Yusof e.t al., (2009).

Bahasa Sindiran Menurut Abdullah Yusof et. al., (2009), bahasa sindiran merupakan perkataan yang ditujukan untuk menyatakan sesuatu maksud kepada seseorang, tidak disebutkan atau dinyatakan secara tepat. Bahasa sindiran hanya disampaikan secara sinis dengan dikias-kiaskan atau dilambangkan kepada perkara lain. Ia juga tidak dinyatakan atau disebutkan secara terus-terang atau ditujukan tepat kepada seseorang. Oleh yang demikian, ia sesuai dengan tujuannya untuk menyindir seseorang dengan tidak menyatakan secara tepat, dan penggunaannya juga dikiaskan kepada perkara yang lain. Tuturan yang bernada menyindir adalah tuturan yang mengacu kepada maksud ujaran untuk mencela atau mengejek pihak lain secara tidak langsung atau tidak terus terang. Contoh: (a) Nampaknya mendung sahaja hari ini, hari pun dah lama tak hujan! (ditujukan kepada seseorang yang berwajah muram atau masam sahaja.) Menurut Abdullah Yusof e.t al., (2009), terdapat lima sifat bahasa sindiran. Antaranya ialah penutur tidak mahu menyebutkan kata-kata tersebut secara terus-terang. Sifat yang kedua ialah orang yang ditujukan kata-kata itu mestilah mengerti bahawa kata-kata itu ditujukan kepadanya. Seterusnya ialah ia boleh dinyatakan dalam bentuk frasa, ayat atau pantun. Sifat yang keempat ialah ia boleh diucapkan dengan menyatakan sesuatu perkara yang lain. Sifat bahasa sindiran yang terakhir ialah ia digunakan untuk menempelak penutur kedua. Abdullah Yusof et al. (2009) menyatakan bahawa di dalam contoh novel Matahari di Hujung Malam, adalah berkaitan dengan jenis ragam ini. Bahasa Tersirat Menurut Abdullah Yusof e.t al., (2009), bahasa tersirat merupakan bahasa yang digunakan untuk menyampaikan sesuatu maksud tetapi tidak disampaikan secara terus. Cara penyampaian bahasa ini juga adalah lebih bersopan dan tidak menggunakan nada menyindir seperti dalam bahasa sindiran. Bahasa tersirat juga digunakan untuk menyampaikan maksud penolakan tetapi tidak disampaikan sehingga menyakitkan hati penutur kedua. Selain itu, bahasa tersirat juga berkehendakan penutur kedua memahami maksud yang ingin disampaikan oleh penutur pertama supaya perbualan tersebut dapat berjalan lancar. Kegagalan penutur kedua untuk memahami maksud penutur pertama yang menggunakan bahasa tersirat boleh menyebabkan salah faham dalam konteks perbualan tersebut. Contoh: (a) Apabila seorang Datuk Bendahara berkata kepada sultan, patik kurang periksa, tuanku, ia tidak bermaksud beliau sebagai orang besar tidak mempunyai kapasiti untuk memeriksa sesuatu hal. Ia secara tersirat bermaksud, aku tak tahulah!. Ini adalah bahasa-bahasa tersirat yang sering digunakan agar tidak melukakan hati pihak lain. Masalah sering timbul apabila mesej yang cuba disampaikan tidak diterima dengan baik, lalu disalah anggap. Jika mesej tidak diterima dengan betul, sultan tadi mungkin berkata, kalau kurang periksa, pergilah periksa sampai habis. Oleh yang demikian, bahasa-bahasa terisrat ini banyak digunakan setiap hari, banyak didengari tetapi tidak difahami. Justeru, untuk menjadi seorang good listener atau pendengar yang baik, seseorang perlu melatih diri untuk merenung kata-kata orang lain. Hal ini penting supaya bahasa tersirat yang cuba disampaikan dapat difahami dengan baik dan tidak disalah

anggap. Menurut Abdullah Yusof et. al., (2009), terdapat pelbagai sifat bahasa tersirat termasuklah penutur tidak menuturkan maksud ayat secara terus terang. Selain itu, ayat yang digunakan adalah untuk menjaga hati penutur kedua. Selain itu, penggunaan bahasa tersirat dalalm konteks yang lebih bersopan. Manakala sifat yang terakhir ialah memerlukan penutur kedua memahami maksud bahasa tersirat. KESIMPULAN Oleh yang demikian, bahasa Melayu sangat kaya dan istimewa dengan bentuk-bentuk bahasa yang terdapat di dalamnya. Bahasa yang dimaksudkan ialah bahasa halus dan bahasa kiasan. Biasa kiasan lama biasanya akan lenyap daripada penggunaan dan digantikan dengan bahasa kiasan baharu yang sama erti atau pun bentuk lama itu mendapat makna baharu, Abdullah Yusof e.t al., (2009). Bahasa halus ini manis didengar dan intonasinya tidak keras serta perkataan terbaik sahaja yang akan digunakan oleh penutur ketika berbicara. Begitu juga melalui penggunaan peribahasa dalam masyarakat Melayu yang telah sebati dan penggunaannya menjadi warisan budaya bangsa Melayu. Bahasa halus merujuk kepada bahasa yang baik, sopan, dan beradab, memancarkan peribadi yang mulia serta menunjukkan penghormatan kepada pihak yang menjadi teman bicaranya. Justeru, dalam bahasa Melayu bentuk-bentuk bahasa halus termasuk juga bahasa kiasan yang dapat diklasifikasikan kepada bahasa kiasan bukan peribahasa dan bahasa kiasan peribahasa. Justeru, khazanah Melayu yang telah lama tercipta ini menjadi cerminan falsafah masyarakat Melayu yang tidak boleh diluputkan begitu sahaja. RUJUKAN Abdullah Yusof, (2009). Semantik dan Pragmatik Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Guru. Kuala Lumpur: Penerbit Icon Regian Sdn Bhd Austin, J.L. (1962). How To Do Things With Words, Cambrige, Mass : Harvard U.P. Abdullah Yusof, Alias Mohd Yatim dan Mohd Rain Shaari. (2009). Semantik dan Pragmatik Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Pustaka Salam Sdn. Bhd. Searle, J.R. (1969). Speech Acts: An Essay In The Philosophy Of Language, Cambridge : Cambridge U.P.