Anda di halaman 1dari 3

UCAPAN HARI GURU SK AIR JERNIH

Alhamdulillah. Bersyukur kita ke hadrat Allat S.W.T kerana dengan izin dan limpah kurnianya dapat kita berhimpun pada hari yang berbahagia ini sempena sambutan hari guru. Sambutan Hari Guru pada hari ini adalah sebagai tanda pengiktirafan kita yang tidak terhingga terhadap jasa dan sumbangan para guru. Selaku Guru Besar SK. AIR JERNIH, saya ingin mengambil kesempatan pada hari yang amat bermakna ini, untuk mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua guru di sekolah ini. Saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan atas segala pengorbanan dan sumbangan besar para guru terhadap murid-murid dan sekolah ini. Pencapaian demi pencapaian diperolehi dan kejayaan demi kejayaan dikecapi baik dalam bidang akademik mahupun kokurikulum sehingga sekolah ini mula digeruni oleh sekolah-sekolah rendah yang lain. Malah sekolah ini mula dijadikan sebagai penanda aras kepada sekolah-sekolah yang lain. Inilah bukti yang menunjukkan bahawa para guru di sekolah ini sentiasa positif dalam melonjakkan transformasi pendidikan negara.

Murid-murid dan guru-guru yang dirahmati Allah sekalian,

GURU MALAYSIA : 1 ASPIRASI, 1 AGENDA. Begitulah tema hari guru pada tahun ini. Pada pendapat saya, guru-guru di sekolah ini telah memainkan peranan ke arah merealisasikan pendidikan bertaraf dunia. Apa yang saya lihat ialah para guru di sekolah ini bukan sahaja menekankan aspek akademik dan kokurikulum semata-mata. Para guru di sekolah ini juga berusaha untuk membangunkan modal insan dengan memberi tumpuan kepada sistem nilai iaitu aspek disiplin, sahsiah, akhlak dan jati diri para pelajar.

HURAIAN 1ASPIRASI: Semua Guru Malaysia mempunyai satu aspirasi untuk membangunkan sistem pendidikan berkualiti bertaraf dunia seperti yang dihasratkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025. Adalah menjadi tanggungjawab semua guru ke arah melahirkan murid yang mempunyai enam aspirasi iaitu berpengetahuan,kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, beretika dan kerohanian serta beridentiti nasional.

1 ASPIRASI juga diterjemahkan kepada cita-cita murni PPPM 2013-2025 iaitu ke arah system pendidikan negara yang memastikan akses kepada kejayaan, kualiti standard

antarabangsa yang tinggi, ekuiti untuk semua murid, memupuk perpaduan dalam kalangan murid dan pelaksanaan berkecekapan tinggi.

HURAIAN 1AGENDA: Semua Guru Malaysia berpegang kepada satu agenda iaitu memastikan kejayaan PPPM 2013-2025. Guru perlu berpegang teguh kepada etika profesion keguruan yang mempunyai satu agenda atau tugas utama iaitu melahirkan murid seimbang berdasarkan Falsasah Pendidikan Negara.

Guru memainkan peranan yang signifikan kepada pembinaan dan pembangunan sahsiah dan peribadi murid-murid. Malah, dengan perkembangan semasa yang mana berlakunya gejala ponteng sekolah, pergaduhan dan lain-lain dipikul oleh guru dengan rasa penuh tanggungjawab. Bertepatan dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menuntut agar para guru dapat melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

Hadirin yang saya muliakan,

Saya yakin dengan adanya guru-guru yang berdedikasi, proaktif, inovatif dan ibu bapa yang prihatin maka Insya-Allah proses melonjakkan transformasi pendidikan negara di sekolah ini dapat direalisasikan. Dengan keringat guru-guru ini, maka sekolah dapat melahirkan insan yang mulia dan membina masa depan yang sejahtera.

Hadirin sekalian,

Bertitik tolak daripada sumbangan dan pengorbanan guru ini, maka sewajarnya murid-murid dan masyarakat meraikan sambutan hari guru pada hari ini sebagai menghargai warga pendidik . Bak kata pujangga tentang guru ialah,

Dialah pemberi paling setia, Tiap akar ilmu miliknya,

Pelita dan lampu segala, Untuk manusia sebelum jadi dewasa. Dialah ibu dialah bapa, dia juga sahabat Alur kesetiaan mengalirkan nasihat Pemimpin yang ditauliahkan segala umat Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Akhir kata, sekali lagi saya ingin mengucapkan Selamat Hari Guru. Semoga para guru sekalian akan terus diberi kekuatan oleh Allah s.w.t. untuk terus menabur jasa kepada nusa dan bangsa.

Sekian, Terima kasih.