Anda di halaman 1dari 2

Bahagian A : Karangan Berpandu

Soalan : Huraikan pendapat anda tentang kepentingan rekreasi kepada masyarakat.Panjangnya huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.

Dewasa ini, masyarakat di Malaysia semakin sibuk mengejar arus pembangunan yang semakin rancak dari semasa ke semasa. Kesibukan yang semakin menghambat diri masyarakat telah menyebabkan mereka kekurangan masa untuk menjalankan aktiviti rekreasi. Situasi ini telah memberi impak yang amat besar khasnya kepada kesihatan masyarakat. Majoriti masyarakat di Malaysia mengalami masalah obesiti dan tekanan darah tinggi kerana kurangnya aktiviti rekreasi. Oleh itu, segala persoalan yang berkaitan dengan kepentingan rekreasi kepada masyarakat akan dikaji dengan teliti sehingga ke akar umbi. Sebagai pembuka tirai perbincangan, kepentingan utama rekreasi kepada masyarakat yang dapat dikenal pasti ialah mengeratkan hubungan kekeluargaan dan persaudaraan. Hal ini perlu diberi keutamaan kerana masyarakat dapat beramah mesra dan bercampur gaul ketika melakukan aktiviti rekreasi. Perkara ini dapat direalisasikan dengan meluangkan masa bersama-sama keluarga melakukan aktiviti rekreasi pada hujung minggu atau cuti umum. Sebagai contohnya, ahli keluarga boleh melakukan aktiviti rekreasi seperti berkelah bersamasama keluarga di Taman Merdeka, Johor Bahru atau bersantai bersama-sama keluarga di Pantai Desaru, Kota Tinggi, Johor. Aktivit ini dapat mengeratkan hubungan persaudaraan dalam keluarga bak kata peribahasa air dicincang tidak akan putus. Melalui perkara ini, jelaslah bahawa amalan rekreasi dalam kalangan masyarakat dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan dan persaudaraan. Selain itu, antara kepentingan rekreasi kepada masyarakat termasuklah melapangkan fikiran masyarakat. Hal ini sangat penting kerana otak dan tubuh manusia dapat berehat sebentar daripada memikirkan tekanan di tempat kerja atau di sekolah dengan menjalani aktiviti rekreasi. Situasi ini dapat diwujudkan dengan mencari kawasan peranginan seperti di tempat pantai dan tanah tinggi untuk berehat sambil membaca buku. Contoh yang dapat dikongsi bersama-sama bagi menyokong pernyataan ini ialah masyarakat boleh memilih kawasan peranginan tanah tinggi yang nyaman di Cameron Highlands atau menghirup udara yang segar di Pantai Air Papan, Mersing. Aktiviti ini bertetapatan dengan aspirasi kerajaan untuk membentuk masyarakat yang sihat dan cerdas. Berdasarkan perkara ini, jelaslah bahawa aktiviti rekreasi dapat melapangkan fikiran masyarakat. Di samping itu, lontara idea yang ketiga tentang kepentingan rekreasi kepada masyarakat ialah bertukar-tukar pendapat untuk menyelesaikan sesuatu masalah dalam

kehidupan. Hal ini perlu diberi perhatian mendalam kerana setiap perkongsian idea akan berjalan lancar ketika masyarakat berekreasi khasnya di taman-taman bunga atau taman rekreasi. Aspirasi murni ini dapat dizahirkan dengan mengadakan perjumpaan atau perbincangan berkumpulan di taman-taman rekreasi. Sebagai contohnya, penduduk setempat boleh menggunakan taman rekreasi yang berhampiran seperti Hutan Bandar Johor Bahru untuk berkumpul dan membincangkan masalah yang dihadapi di kawasan tempat tinggal mereka. Para pelajar juga boleh menggunakan gazebo yang terdapat di sekitar Taman Bunga Istana Johor untuk mengadakan sesi belajar secara berkumpulan. Melalui wacana ini, jelaslah bahawa kepentingan rekreasi kepada masyarakat ialah dapat bertukar-tukar pendapat.

Seterusnya, perbincangan yang keempat tentang kepentingan rekreasi kepada masyarakat ialah menyihatkan tubuh. Hujah ini perlu dipandang serius kerana toksin yang berbahaya untuk badan dapat dibuang melalui peluh ketika masyarakat menjalankan aktiviti rekreasi. Setiap perkara yang dibincangkan ini mampu diwujudkan dengan bersenam pada setiap hujung minggu untuk memastikan badan sentiasa sihat dan cerdas. Contoh yang dapat dibuktikan bagi merungkai segala persoalan ialah Kementerian Kesihatan Malaysia sentiasa menggalakkan masyarakat supaya berjalan kaki sebanyak 10 ribu langkah di kawasan rekreasi yang disediakan kerana aktiviti itu boleh membakar kalori dan menyingkirkan toksin. Berdasarkan hal ini, sudah terang lagi bersuluh bahawa aktiviti rekreasi dapat meniyhatkan badan masyarakat. Sebagai penutup bicara, kepentingan rekreasi memberi banyak kemaslahatan kepada setiap lapisan masyarakat di Malaysia. Namun, manfaat ini tidak akan dapat dikecapi oleh setiap lapisan masyarakat jika mereka sentiasa alpa dengan kesibukan mengejar kemewahan dunia. Oleh itu, setiap lapisan masyarakat di bawah payung Satu Malaysia hendaklah menjalankan aktiviti rekreasi demi melahirkan modal insan yang sihat.

Anda mungkin juga menyukai