Anda di halaman 1dari 7

PENDAHULUAN Pengangkutan bermaksud membawa barangan dari satu tempat ke satu tempat yang lain.

Selain itu, pengertian pengangkutan ini juga bermaksud kenderaan. Walaupun definisi pengangkutan disampaikan dengan cara berlainan tetapi masih membawa maksud yang sama iaitu, pengangkutan bermaksud pergerakan untuk membawa penumpang atau barangan dari suatu tempat ke tempat yang lain ataupun mengubah lokasi fizikal sesuatu barangan atau penumpang. Oleh itu, pengangkutan berfungsi sebagai media yang menghubungkan satu lokasi dengan lokasi yang berlainan dan membolehkan melakukan pergerakan manusia. Sebagai satu aktiviti asas manusia, pengangkutan membantu memindahkan manusia dan barangan dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Sistem pengangkutan yang terjalin dibentuk oleh jaringan jalan dan pengangkutan dan seterusnya membentuk pergerakan yang berlaku dalam sesebuah kawasan. Bidang pengangkutan memainkan peranan penting dalam menyelaras segala program pembangunan sesebuah negara. Sektor pengangkutan bukan sahaja merupakan penawaran perkhidmatan yang produktif dan berpotensi, tetapi juga merupakan penawaran kemudahan mod pergerakan umum dalam pelbagai jenis dan bentuk bersesuaian dengan kehendak kemajuan masyarakat. Malah dewasa ini pengangkutan merupakan keperluan dalam kemudahan pergerakan manusia dan barangan yang perlu dimiliki dan menjadi asas utama dalam kehidupan seharian. Dengan perkembangan aktiviti manusia yang kian meningkat dan bertambah kompleks melalui pelbagai fungsi dan aktiviti seharian secara tidak langsung meningkatkan keperluan permintaan terhadap pelbagai jenis kenderaan. Serentak dengan itu, jumlah kenderaan di jalan raya juga meningkat dengan pesatnya pada setiap tahun. Dengan bertambahnya bilangan kenderaan secara berterusan di negara kita ketika ini seperti juga di negara-negara lain terutama di bandar-bandar utama dan di jalan-jalan raya utama secara langsungnya telah menimbulkan pelbagai isu dan permasalahan lalu lintas khususnya kemalangan jalan raya. FUNGSIPENGANGKUTAN Keperluan untuk pengangkutan wujud walaupun dalam masyarakat yang belum mencapai pembangunan ekonomi yang tinggi. Apabila ekonomi sesuatu kawasan makin membangun, permintaan untuk pengangkutan semakin meningkat. Selain fungsi ekonomi, pengangkutan juga mempunyai fungsi sosial untuk menghubungkan silaturahim sesama manusia sama ada ahli keluarga atau sahabat handai. Dengan adanya sistem pengangkutan yang lebih baik manusia boleh memilih untuk bekerja di sesuatu tempat di mana majikan boleh menawarkan gaji yang lumayan tetapi pada masa yang sama memilih untuk tinggal di kawasan pilihan mereka. Pengangkutan juga membolehkan manusia menggunakan masa santainya dengan cara terbaik. Di bandar, sebahagian besar penyediaan kemudahan adalah untuk memenuhi permintaan bergerak daripada pengguna, dari satu tempat kepada satu tempat yang

lain. Antaranya untuk menghubungkan pengguna ke tempat bekerja, pusat perkhidmatan, sekolah dan institut pengajian, tempat membeli belah dan sebagainya. Penyediaan mod pengangkutan yang pelbagai, adalah untuk memberi peluang kepada masyarakat memilih mod pengangkutan yang lebih mesra pengguna, selamat, selesa dan ekonomik. Pengangkutan juga dilihat sebagai pemangkin yang mampu melonjakkan pembangunan ekonomi ke tahap yang lebih tinggi sejajar dengan matlamat untuk meningkatkan pengeluaran barangan dan perkhidmatan, penjanaan, guna tenaga dan pembangunan masyarakat seluruhnya. Pengangkutan berfungsi sebagai faktor integrasi dan koordinasi dalam masyarakat yang kompleks terutamanya dalam masyarakat perusahaan. Pengangkutan berkait rapat dengan pergerakan barangan. Tanpa sistem pengangkutan, sesuatu masyarakat itu tidak dapat berkembang maju dan menerima perubahan dalam sistem sosial, ekonomi dan sebagainya. Pengangkutan juga mempunyai fungsi yang berkaitan dengan pertambahan penduduk, perkembangan bandar dan guna tanah. Pengangkutan boleh mengubah bentuk perkembangan bandar. Pada masa dahulu, pertambahan penduduk hanya tertumpu pada kawasan yang mempunyai sosioekonomi tertentu tetapi dengan perkembangan pengangkutan, perkembangan bandar mengikut perkembangan pengangkutan. Jenis-jenis Pengangkutan Pengangkutan boleh dibahagikan kepada pelbagai jenis. Jika dikaitkan dengan mod atau ragam pengangkutan boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian iaitu pengangkutan darat, pengangkutan air, dan juga pengangkutan udara. Pengangkutan Darat Pengangkutan darat biasanya dikaitkan dengan kenderaan yang menggunakan jalan raya sebagai laluan. Antaranya ialah kenderaan persendirian seperti kereta dan juga motosikal, pengangkutan awam seperti bas ekspres, bas mini, teksi dan juga kereta sewa, serta kenderaan perdagangan seperti lori, bas kilang dan juga treler. Setiap jenis kenderaan mempunyai fungsi serta kapasiti masing-masing. Sebagai contoh, kenderaan persendirian memberi kelebihan dari segi penjimatan masa, perkhidmatan dari pintu ke pintu dan kebolehsampaian. Walau bagaimanapun, kenderaan persendirian hanya mampu menampung 4 hingga 5 orang penumpang untuk kereta ataupun, 6-8 orang untuk kenderaan serba guna (MPV). Sementara pengangkutan awam memberi faedah dari segi kemurahan tambang, keupayaan kenderaan yang tinggi dan juga kemudahan mendapatkan perkhidmatan. Berikut merupakan pendaftaran kenderaan darat mengikut jenis.

ISU DAN MASALAH PENGANGKUTAN DI TAMAN BERANGAN,SUNGAI PETANI Pergantungan yang tinggi terhadap kenderaan persendirian seperti motosikal dan kereta akan memberi implikasi yang negatif dari segi penggunaan sumber tenaga, umpamanya fosil yang dibakar oleh enjin kenderaan boleh mendatangkan dan meningkatkan pencemaran udara dan seterusnya memberi impak negatif kepada persekitaran. Masalah kesesakan lalu lintas yang dialami oleh penduduk di bandar

tidak seharusnya dibiarkan berterusan. Hal ini kerana kesesakan lalu lintas boleh memberi gangguan kepada persekitaran dan psikologi manusia. Di Taman Berangan, banyak isu dan masalah utama yang menjadi kekangan dalam mencapai kualiti hidup yang baik di bandar. Pertambahan penduduk bukan sahaja memerlukan lebih banyak peluang pekerjaan, permintaan terhadap perumahan, kemudahan sosial bahkan turut menambah jumlah kenderaan di jalan raya dan lebuh raya. Perubahan demografi melalui pertumbuhan semula jadi dan migrasi telah meningkatkan lagi permintaan terhadap pengangkutan bagi kemudahan untuk bergerak. Pengangkutan merupakan antara punca terpenting yang menyumbang kepada pencemaran alam sekitar, terutamanya pencemaran udara di kawasan bandar. Masalah ini bukan sahaja berkaitan dengan mod pengangkutan, bahkan turut melibatkan struktur jalan raya yang membahayakan seperti tiadanya pembahagi jalan yang jelas, jalan yang pecah dan berlopak, jalan tidak rata, kurangnya kemudahan lampu isyarat, kesesakan lalu lintas yang boleh memberi kesan kepada fizikal dan psikologi manusia dan beberapa kesan lagi. Keadaan-keadaan seperti ini didapati boleh menyebabkan masyarakat bandar merasa tidak selesa, susah hati, cemas, letih, lesu, kerumitan untuk berinteraksi dan kebimbangan yang serius apabila setiap hari mereka terpaksa menggunakan jalan raya tersebut ke tempat bekerja, ke pasar raya, pusat perkhidmatan atau apa sahaja urusan penting dalam keadaan pengguna tidak mempunyai pilihan yang lain. Selain itu, kemudahan pengangkutan awam yang terdapat di bandar-bandar besar yang tidak dapat memberikan perkhidmatan yang memuaskan dan maksimum kepada pengguna. Mutu perkhidmatan yang tidak memuaskan seperti jadual perjalanan yang tidak konsisten, bilangan penumpang yang terlalu ramai yang menimbulkan kesesakan dalam bas dan monorel, kekerapan perjalanan bas yang terlalu lama, tiada kemudahan penyaman udara dan sebagainya. Keadaan-keadaan seperti ini didapati telah menimbulkan kerumitan yang serius kepada pengguna. Ada kalanya pengguna cuba beralih kepada mod pengangkutan awam, tetapi perkhidmatan yang ditawarkan pula tidak memuaskan. Manakala untuk terus menggunakan kenderaan persendirian ternyata akan lebih menyulitkan apabila terpaksa menghadapi kesesakan lalu lintas yang lama, keletihan, dan sebagainya. Hal-hal seperti ini merupakan antara masalah yang sering berlaku di kawasan bandar.

SISTEM PENGANGKUTAN SEBAGAI FAKTOR PEMBANGUNAN TAMAN BERANGAN,SUNGAI PETANI Pembangunan merupakan satu proses yang berterusan, melalui satu perancangan untuk memperbaiki kehidupan masyarakat dalam pelbagai aspek. Satu aspek yang penting dalam pembangunan tersebut ialah pengangkutan. Hampir seluruh kehidupan manusia tidak terlepas daripada keperluan pengangkutan. Pengangkutan berkembang seiring dengan kemajuan kehidupan dan budaya manusia. Sistem pengangkutan merupakan salah satu faktor penggerak utama dalam pembangunan negara yang secara langsungnya dapat meningkatkan kualiti hidup sosial. Sejarah telah membuktikan bahawa proses perbandaran telah banyak membawa kesan positif

kepada pembangunan negara. Dari awal lagi pusat bandar telah memainkan peranan yang penting sebagai pusat pengumpul, pertukaran barangan melalui aktiviti perniagaan dan perdagangan serta menjadi pusat pengedaran hasil pengeluaran ke kawasan-kawasan lain atau di peringkat tempatan. Proses ini berterusan sehingga fungsi bandar merebak keluar ke kawasankawasan di sekitarnya setelah wujudnya kawasan-kawasan perindustrian, perdagangan, pejabat-pejabat pentadbiran, pasar raya dan kawasan kediaman yang memerlukan kawasan yang lebih luas. Akibatnya wujud pula bandar-bandar lain di pinggir bandar atau di sepanjang jalan pengangkutan utama mengikut fungsinya yang tertentu seperti bandar satelit, bandar baru, bandar peranginan, bandar universiti dan suburb yang terdiri daripada pelbagai jenis seperti suburb perumahan eksklusif, campuran dan suburb perindustrian ringan yang merangkumi kawasan bandar yang lebih luas dan kompleks seperti yang dialami pada masa kini. Justeru itu kesannya tidak dapat dinafikan di kalangan sebahagian penduduknya dalam memperoleh kualiti hidup sosial pada peringkat minimum disebabkan kepesatan proses perbandaran yang tidak terkawal. Bagi setengah kawasan yang lain pula terdapat percanggahan penggunaan tanah dengan ditempatkan kawasan-kawasan industri di kawasan kediaman dan perniagaan di pusat-pusat bandar. Kedudukan bangunan-bangunan peninggalan sejarah sebelum perang yang berdekatan dengan laluan lorong-lorong yang sempit menyebabkan kerjakerja untuk melebarkan jalan raya tidak dapat dilaksanakan. Keadaan ini dijangka menjadi bertambah buruk lagi pada masa akan datang dengan bertambahnya jumlah kenderaan sama ada persendirian, awam atau pengangkutan barangan dengan melibatkan pelbagai mod pengangkutan yang akhirnya membawa banyak masalah kesesakan lalu lintas bukan saja di pusat bandar, tetapi juga di jalan-jalan utama yang sudah pun melebihi had isi padunya terutama pada waktu-waktu kemuncak. Sistem pengangkutan dapatlah dianggap sebagai satu daripada faktor pendorong yang utama di dalam pembangunan, terutama kepada negara yang sedang membangun. Pengangkutan berfungsi sebagai media yang menghubungkan satu tempat dengan satu tempat yang lain dan ini membolehkan pergerakan manusia. Pembinaan jalan-jalan dan kemudahan sistem pengangkutan di dalam dan di luar bandar memberi jalan masuk kepada sesuatu kawasan dan seterusnya memudahkan pengaliran pengaruh terhadap pembangunan dan unsur-unsur pemodenan. Manusia atau masyarakat lazimnya mempunyai ciri-ciri sosioekonomi tertentu. Masyarakat juga dapat dibahagikan kepada beberapa kumpulan mengikut status ekonomi dan ini dapat diukur berdasarkan jenis pekerjaan dan garis pendapatan. Faktor-faktor ini akan mencerminkan kawasan penempatan, kepadatan penduduk dan jenis sistem pengangkutan yang diperlukan. Hal ini menunjukkan jalan-jalan utama melalui pusat-pusat penempatan dan kemudahan pengangkutan awam yang cekap amat diperlukan. Jika pengangkutan di sesuatu kawasan itu baik, murah, tepat pada waktunya, senang didapati dan terletak di lokasi yang strategik, hal ini akan mewujudkan permintaan yang berlebihan. Sesuatu lokasi yang strategik dikaitkan dengan kegiatan tumpuan seperti pusat pelancongan atau pusat membeli-belah. Jika permintaan melepasi peringkat optimum, kesesakan akan wujud dan ini akan merendahkan nilai lokasi kepada pengguna atau masyarakat sedia ada. Kesesakan lokasi sukar diukur dan ini biasanya berlaku di pusat-pusat bandar, di tempat-tempat peranginan, atau di sesebuah kawasan yang menarik. Oleh itu, perancangan pengangkutan hendaklah dikait rapat dengan perancangan guna tanah.

Dengan itu, tiap-tiap aktiviti di dalam bandar merupakan elemen-elemen yang mempunyai fungsi tersendiri. Di antara elemen-elemen penting ialah temp[at tinggal, tempat bekerja atau belajar, tempat membeli-belah dan tempat beristirahat. Tiap-tiap elemen tersebut saling berkaitan dan memerlukan suatu sistem pengangkutan. Di samping itu, kehendak masyarakat juga selalu berubah mengikut peredaran zaman. Perkembangan bandar telah mewujudkan peluang pekerjaan, meningkatkan permintaan perumahan dan memperbanyakkan pejabat. Situasi ini akan meletakkan suatu kawasan atau bandar itu di peringkat optimum, di mana tahap kesesakan amat ketara. Pada kebiasaannya, perkembangan bandar akan meluas ke kawasan pinggir bandar dan hal ini memerlukan suatu sistem perhubungan yang baru dan menjadi faktor kepada pembukaan sesebuah bandar baru.

KESAN PENGANGKUTAN DAN PEMBANGUNAN TERHADAP ALAM SEKITAR Alam sekitar boleh dirujuk kepada segala benda yang berada di sekeliling manusia pada suatu titik ruang dan masa.[6] Pencemaran alam sekitar telah bermula sejak wujudnya revolusi perindustrian lagi. Dalam kita mengejar kemajuan dan meningkatkan taraf hidup, kegiatan ekonomi dan pembangunan yang pesat tidak dapat dielakkan atau dihalang bagi memenuhi keperluan dan kehendak masyarakat. Pencemaran yang disebabkan oleh kegiatan manusia sama ada secara sengaja atau tidak sengaja seperti pelepasan gas-gas beracun oleh kilang-kilang ke ruang udara, pembuangan sisa kumbahan, asap dari kenderaan, pemusnahan dan pembakaran hutan serta aktiviti yang berkaitan dengan pengaruh manusia. Hal ini secara tidak langsung adalah kesan daripada kepesatan pembangunan dan kemajuan sistem pengangkutan di negara kita. Memang tidak dapat dinafikan bahawa pengangkutan moden telah banyak membawa perubahan dan kebaikan pada taraf kehidupan masyarakat Malaysia. Begitu juga dengan pembangunan yang berkembang dengan pesat di negara kita. Impak pembangunan terhadap alam sekitar pada masa ini semakin meningkat, walaupun terdapat pelbagai badan yang dipertanggungjawabkan untuk mengawasinya dan bertambahnya peraturan dan garis panduan yang digubal bagi melawannya.[7] Pencemaran Udara Pencemaran udara adalah salah satu kesan sampingan daripada sistem pengangkutan iaitu kenderaan bermotor.Kesan negatif yang disebabkan oleh sistem pengangkutan merupakan faktor terbesar yang menyebabkan pencemaran udara. Dianggarkan setiap tahun, lebih kurang 13.6 juta tan gas-gas beracun yang berpunca daripada penggunaan kenderaan merosakkan kawasan hutan, tasik dan kehidupan laut. Gas beracun ini juga turut menambahkan kesan rumah hijau serta membahayakan kesihatan manusia sejagat. Ahli sains telah membuktikan bahawa pengangkutan secara keseluruhan menghasilkan 64% gas Nitrogen Oksida (unsur utama yang menyebabkan terjadinya hujan asid), 42% Hidrokarbon, 66% Karbon Monoksida, 32% Plumbum, 30% Karbon Dioksida, 74% Benzena (merupakan bahan beracun), serta Toluena, Xilena, dan Etilena yang tidak diketahui jumlah peratusannya.

Pencemaran Bunyi Pertambahan kenderaan di kawasan bandar boleh menghasilkan bunyi yang bising dan mencemarkan bunyi di bandar. Penduduk yang tinggal berhampiran dengan jalan raya utama dan lebuh raya selalu mengalami keadaan yang bising dan ketenteraman emosi mereka akan terganggu. Selain itu, kerja-kerja pembinaan jalan raya dan lebuh raya juga boleh menghasilkan bunyi bising yang kuat. Perubahan Landskap Pembinaan sistem pengangkutan boleh mengubah landskap fizikal sesuatu kawasan. Pembinaan lebuh raya atau melebarkan jalan raya boleh menyebabkan cerun bukit dipotong dan hutan-hutan ditebang dengan banyaknya. Projek memotong dan menarah bukit boleh menyebabkan kejadian hakisan cerun. Seterusnya apabila berlaku hujan lebat, air hujan boleh melonggarkan tanah dan menyebabkan berlakunya tanah runtuh LANGKAH-LANGKAH PENCEGAHAN PENCEMARAN ALAM SEKITAR Penjagaan alam sekitar adalah sangat penting bagi mengelakkan masalah besar yang akan timbul kemudian hari. Jika alam sekitar tidak dijaga dan dipelihara dengan betul, hal ini boleh memberi masalah kepada masyarakat dan hidupan lain. Oleh itu, langkah pencegahan dan pengawalan telah dijalankan oleh pihak-pihak tertentu bagi menjamin kualiti udara di Malaysia. Antara langkah-langkah pencegahan yang boleh dilakukan adalah dengan mengelakkan penggunaan klorofluorokarbon (CFC) dan melalui perundangan dan penguatkuasaan. Dalam usaha mengawal pencemaran di Malaysia, kerajaan telah membuat beberapa peraturan dan kaedah. Dalam konteks pencemaran udara yang disebabkan oleh kenderaan bermotor, peraturan-peraturan yang ditetapkan boleh didapati dalam Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih), 1978, Kaedah-kaedah Kereta Motor (Kawalan Pelepasan Asap dan gas), 1977. Selain itu, pencemaran udara juga boleh dikawal dengan menggunakan Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekitar (Kawalan Pelepasan daripada Enjin Petrol) 1996 dan Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekitar (Kawalan Pelepasan daripada Enjin Diesel) 1996. Selain itu kita patut mengurangkan penggunaan penyaman udara dalam kenderaan bermotor kecuali jika benar-benar diperlukan. Penggunaan alat penyaman udara boleh menghasilkan gas Klorofluorokarbon (CFC) dan menambahkan penggunaan minyak hingga 12 % terutamanya sewaktu kesesakan lalu lintas. Penggunaan alat penyaman udara boleh digantikan dengan penggunaan ventilator udara dan membuka tingkap sewaktu memandu. Menggunakan kadbod penghalang cahaya di cermin hadapan dan belakang ketika meletakkan kenderaan bermotor di tengah panas juga boleh mengurangkan kepanasan dalam kenderaan bermotor. Dengan ini kita dapat mengurangkan penggunaan alat penyaman udara sewaktu memandu kenderaan seterusnya dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar. Berkongsi kenderaan untuk ke pejabat atau tempat-tempat tertentu bukan sahaja menjimatkan tenaga dan wang, malahan adalah satu cara yang lebih bersih dan bijak dalam memulihara alam sekitar daripada tercemar. Selain itu, menyelesaikan seberapa banyak tugas dalam satu perjalanan juga boleh menjimatkan penggunaan minyak. Akhir sekali kita seharusnya mengurangkan penggunaan kenderaan bermotor bagi perjalanan jarak dekat. Penggunaan basikal, kenderaan awan ataupun berjalan kaki adalah lebih baik untuk alam sekitar di samping memberi kesan yang positif terhadap kesihatan kita. Penglibatan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam melaksanakan tanggungjawabnya hanya akan tercapai dengan kerjasama dan kefahaman masyarakat

umum akan betapa pentingnya penjagaan alam sekitar. Alam sekitar yang bersih dan terlindung mencerminkan masyarakat yang harmonis dan sihat bagi menerajui pembangunan sains dan teknologi negara.

KESIMPULAN Kesimpulannya, kepesatan pembangunan dan perkembangan sistem pengangkutan yang semakin meningkat banyak memberi kesan kepada masyarakat dan alam sekitar, sama ada kesan negatif mahupun kesan positif. Pembangunan sesebuah bandar bertujuan membawa transformasi yang lebih bermakna dan diharapkan agar negara dapat mengharungi arus globalisasi yang kian mencabar dari semasa ke semasa. Kepesatan bandar telah membawa kepada perkembangan sistem pengangkutan yang selaras dengan keperluan masyarakat yang semakin meningkat. Kawasankawasan yang dibangunkan ini mempunyai fungsi yang tersendiri dan memberi faedah antara satu sama lain. Kawasan-kawasan yang dicantumkan sehingga wujudnya wilayah, mempunyai fungsi tertentu yang membolehkan pergantungan berlaku antara satu kawasan dengan kawasan yang lain. Contohnya kawasan yang mempunyai kemudahan pengangkutan mempunyai hubungan rapat dengan kawasan yang terdapat banyak peluang pekerjaan, yang menjadi tempat tumpuan orang ramai. Hal ini jelas menunjukkan bahawa sistem pengangkutan dan pembangunan sesebuah kawasan merupakan dua perkara yang saling berkaitan dan mempunyai kepentingan tersendiri dalam sistem sosial masyarakat khususnya di Malaysia. Walau bagaimanapun, dalam menikmati kepesatan pembangunan dan perkembangan sistem pengangkutan, kesan-kesan di sebaliknya perlu dikawal dan seharusnya langkahlangkah yang sewajarnya perlu diambil bagi mengelakkan kesan negatif terhadap masyarakat dan alam sekitar.