Anda di halaman 1dari 10

PUSAT PENGAJIAN ILMU KEMANUSIAAN SIDANG 2011/2012 HGA 101 : PENGHANTAR GEOGRAFI

BINCANGKAN BAGAIMANA PENDUDUK DI NEGARA INI BOLEH MEMBANTU MENYELAMATKAN ALAM SEKITAR DARI KEMUSNAHAN.

NAMA: MUHAMAD SYUKRI BIN SHAFIAI NO. MATRIK: 113313 NO.K/P: 910504015285 TUTORIAL: JUMAAT (11-12TENGAHHARI) TARIKH SERAHAN: 27 April 2012 PENSYARAH: Prof. Madya Dr. Hassan Naziri bin Khalid Prof. Madya Dr. Usman bin Hj. Yaakob Dr. Zullyadini A. Rahaman

Pengenalan

Alam sekitar merupakan satu aset berharga yang perlu dipelihara oleh setiap individu agar kebersihan dan keindahannya dapat diwarisi oleh generasi akan datang di samping dapat membentuk kehidupan yang sihat dan bebas daripada pencemaran. Dewasa ini, isu alam sekitar hangat diperkatakan walaupun ia bukanlah suatu fenomena baru yang melanda masyarakat negara ini. Sejak negara mencapai kemajuan pesat dalam bidang ekonomi dan perindustrian, alam sekitar telah mengalami tekanan yang kuat dan semakin meruncing. Pada masa yang sama aspek-aspek pengurusan alam sekitar juga telah menjadi antara isu-isu penting yang perlu ditangani oleh kerajaan dan penduduk di negara ini demi menjaga tahap kehidupan yang sejahtera, selesa dan selamat. Secara amnya, terdapat beberapa pihak yang bersetuju bahawa terdapat peningkatan dalam kesedaraan alam sekitar dalam kalangan rakyat Malaysia walaupun "kesedaran ini masih belum mencapai peringkat yang realistik" (Surtahman Kastin Hasan dan Abd. Ghafar Ismail, 1997). Malah, isu mengenai alam sekitar sering diperkatakan dan merupakan salah satu isu yang dipandang serius sama ada dalam negara kita sendiri atau di seluruh dunia. Kemusnahan alam sekitar berlaku di seluruh dunia sama ada di bandar-bandar besar negara sedang membangun atau negara-negara yang maju. Terdapat beberapa punca yang menyebabkan berlakunya pencemaran alam sekitar di negara kita secara berleluasa. Antaranya ialah penebangan hutan secara berleluasa, peningkatan jumlah kenderaan bermotor, pembangunan yang tidak terancang serta baja dan bahan kumbahan yang digunakan secara kerap dan besarbesaran dalam sektor pertanian kerana ia mengandungi galian terutamanya nitrat dan fosfat. Selain itu, kawasan pembinaan dan kawasan perbandaran banyak menghasilkan kelodak dan bahan-bahan berbentuk pepejal seperti tanah dan bahan buangan, menyebabkan pencemaran

akibat daripada hakisan tebing sungai. Selain itu, sisa buangan dan sisa toksik daripada kilang-kilang semasa proses pengeluaran, pembasmian hutan semasa projek pembangunan dijalankan dan pelbagai jenis pembangunan industri. Pencemaran boleh dibahagikan kepada dua jenis, iaitu pencemaran jangka pendek dan pencemaran jangka panjang. Pencemaran jangka pendek selalunya boleh terjadi dalam jangka masa yang singkat sahaja. Kebanyakan bahan pencemar selalunya cepat tersebar dan boleh meliputi kawasan yang luas. Manakala pencemaran jangka panjang lebih memerlukan perhatian yang khusus kerana ia boleh member kesan yang besar kepada seluruh ekosistem melalui rantaian hidupan walaupun ia berada pada tahap yang rendah di negara ini. Oleh itu, sebagai masyarakat Malaysia yang prihatin terhadap kemusnahan alam sekitar, pelbagai langkah haruslah dilaksanakan dan dijalankan secara bersistematik dan menyeluruh.

Langkah-langkah Mengoptimumkan sumber tenaga


Penjimatan tenaga dan penggunaan teknologi cekap tenaga perlulah digalakkan sehingga ke peringkat akar umbi. Oleh itu, masyarakat haruslah mengamalkan penjimatan elektrik yang lebih efisien seperti pengunaan lampu neon atau floresen kerana ianya dapat menjimatkan tenaga berbanding daripada lampu pijar dan dapat bertahan lebih lama. Di samping itu, plagplag barangan elektrik yang tidak digunakan haruslah dicabut kerana walaupun suis sudah dimatikan namun tenaga elektrik masih berjalan dan terbazir. Selain itu, masyarakat

Malaysia haruslah menyokong penggunaan bahan api fosil yang lebih bersih dan penggunaan tenaga alternatif yang boleh diperbaharui seperti solar dan hidro.(Zubaidah Abdul Rahman, 1994 : 23) Contohnya penduduk luar bandar yang sukar untuk mendapatkan tenaga elektrik perlu dibantu dengan cara menggunakan sumber yang ada seperti sumber cahaya matahari yang boleh membekalkan tenaga kepada panel solar. Oleh itu, secara tidak langsung penduduk tempatan tersebut telah menyokong penggunaan sumber tenaga alternatif yang lebih bersih dan efisien. Hal ini bukan sahaja dapat menjimatkan sumber asli malah dapat mengurangkan pemanasan global seterusnya dapat mengelakkan kemusnahan alam.

Perancangan dan pengurusan yang mapan terhadap alam sekitar


Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa pembangunan adalah amat penting untuk kemajuan sesebuah negara. Namun pembangunan yang tidak mengambil kira kemampuan alam sekitar sudah semestinya akan menyebabkan konsep pembangunan berterusan tidak dapat direalisasikan. Akibatnya bukan hanya generasi sekarang sahaja yang akan mengalami masalah tetapi generasi masa hadapan juga akan mengalaminya. Oleh itu, timbullah pelbagai

isu dan masalah berkenaan kualiti alam sekitar yang semakin merosot dan diburukkan lagi dengan pelbagai kelemahan dan kekangan dalam menangani isu dan masalah tersebut. Langkah-langkah yang perlu diambil dalam memelihara dan memulihara khazanah alam yang kaya dengan sumber ialah dengan melaksanakan satu sistem pengawasan alam sekitar yang sesuai untuk memudahkan penilaian terhadap kesan projek-projek dan program pembangunan terhadap alam sekitar. Misalnya hutan dan sumber-sumbernya haruslah diurus secara lestari bagi menghasilkan faedah ekonomi seperti keluaran hasil kayu kayan dan perubatan alternatif disamping mengimbangi keperluan ekonomi dan alam sekitar demi kesinambungan generasi akan datang. Kegiatan menukar kawasan tanah pertanian untuk dijadikan kawasan perumahan, bangunan, jalan raya dan industri dalam proses pembandaran juga turut mengancam keseimbangan ekologi di kawasan Bandar. (Katiman Rostam, 1988 : 50). Selain itu, penduduk tempatan juga dapat membantu dalam melestarikan alam sekitar dengan meminimumkan dan menghadkan penebangan kawasan hijau mereka dan menguruskan kawasan gunatanah mereka dengan berkesan. Sebagai contoh jika mereka mempunyai sebidang tanah, mereka seharusnya mengekalkan kawasan hijau dengan memanfaatkan sumber yang ada seperti menanam buah-buahan, sayur-sayuran atau menternak haiwan. Malahan, jika mereka ingin melakukan pembangunan, mereka seharusnya mengimbangi dengan cara menanam semula pokok atau menggunakan kaedah-kaedah yang lebih selamat dan lestari dalam membangunkan sesuatu kawasan tersebut.

Pendidikan
Pendidikan amat penting dalam memberi kesedaran kepada penduduk di negara ini dalam melestarikan alam sekitar. Melalui pendidikan formal, pendidikan alam sekitar haruslah bersifat holistik dan menyeluruh ke semua peringkat dari pendidikan awal kanak-kanak sehingga ke peringkat pengajian tinggi. Setakat ini kajian alam sekitar sebagai satu mata

pelajaran telah pun diperkenalkan di institusi-institusi pengajian tinggi (Abdul Kadir Haji Din, 1990 : 368) Bagi maksud ini, kaedah dan bahan yang sesuai perlu diwujudkan untuk program pendidikan alam sekitar. Hal ini termasuklah mengkaji semula kurikulum di setiap peringkat pendidikan agar matlamat menyelamatkan alam sekitar dapat di capai sepenuhnya.(Abu Bakar Yang, 1998 : 34). Contohnya, kita boleh menggalakkan atau menekankan mata pelajaran yang boleh memberi maklumat tentang alam sekitar dan kesedaran memelihara dan memulihara alam seperti subjek geografi, sains dan sebagainya. Selain itu, aktiviti pendidikan tidak formal perlu digalakkan di peringkat tempatan dan kebangsaan. Hal ini melibatkan institusi keluarga, kumpulan sokongan sosial dan juga badan bukan kerajaan dalam memberi kesedaran alam sekitar seperti mengadakan program ilmiah seperti forum, debat, dialog dan perbincangan. Malahan, mereka juga boleh memberi maklumat tentang alam sekitar melalui pameran atau berbentuk yang lebih santai seperti permainan interaktif menggunakan media baru dengan menyelitkan informasi-informasi berguna mengenai kesedaran alam sekitar kepada masyarakat. Penglibatan masyarakat itu sendiri amat penting kerana ianya dapat memberi impak yang besar dan dapat mendekatkan golongan sasar seperti generasi muda tentang kesedaran kemusnahan alam sekitar.

KEMPEN KESEDARAN Kempen kesedaran perlulah dijalankan oleh masyarakat setempat bagi menggelakkan kemusnahan terutamanya kawasan sekitar tempat tinggal mereka. Oleh itu program kitar semula yang diperkenalkan oleh kerajaan boleh dijalankan bukan sahaja diperingkat nasional malahan peringkat penduduk tempatan sendiri. Sampah sarap akan dapat dikurangkan jika kita dapat mengasingkan sesetengah bahan buangan dan menggunakanya semula.(Ahli Sains Muda: Alam Kita Terancam,DBP 2001:hal 54). Kita juga boleh mengklasifikasikan bahan-

bahan yang tidak diperlukan di dalam tong-tong kitar semula yang boleh dibuat sendiri atas inisiatif penduduk setempat sendiri tanpa menunggu pihak-pihak yang berkenaan untuk menyediakan tong sampah dan menguruskannya. Sebagai contoh, bahan buangan seperti surat khabar boleh dijadikan sebagai tisu. Bahan buangan seperti serbuk kopi,kulit kentang, dan sisa sayuran yang dibuang lama-kelamaan akan reput dan bertukar menjadi baja kompos.(Ahli Sains Muda: Alam Kita Terancam,DBP 2001: hal 54). Oleh itu, sisa domestik dan makanan dapat dimanfaatkan oleh kita disamping dapat mengurangkan sampah sarap dan menggelakkan tumpahan air lecik yang boleh menjejaskan kesihatan manusia. Selain itu, kempen kesedaran boleh dilakukan melalui pengangkutan yang lestari sama ada menggunakan basikal, pengangkutan awan, perkongsian kereta mahupun berjalan kaki. Kempen ini dapat mengurangkan pelepasan gas rumah hijau seperti carbon monoksida seterusnya dapat mengurangkan pencemaran alam dan melambatkan proses pemanasan global. Kempen ini perlulah menarik dan kreatif dalam mempromosi menggunakan kenderaan yang lebih lestari dengan cara memberi insentif atau penghargaan kepada mereka yang sering mengambil berat dan menggunakan kenderaan yang efisien serta lestari. Sokongan kuat pelbagai pihak terutamanya masyarakat dapat membantu dalam menjayakan kempen kesedaran alam sekitar.

Penguatkuasaan Undung-undang
Kerajaan telah mengemukakan beberapa undang-undang bagi mengawal ancaman pencemaran . Satu daripadanya ialah penggubalan Akta Kualiti Alam Sekeliling,1974. Akta ini memberi asas undang-undang untuk menyelaras kesemua aktiviti berkaitan dengan kualiti alam sekitar di Malaysia. Selain itu, akta ini memperlihatkan potensi yang baik kearah pencapaian matlamat-matlamat kesihatan alam sekitar negara ini (Abdul Kadir Haji Din, 1990 : 371). Oleh itu masyarakat tempatan perlulah menyokong dan memberi kerjasama dalam pelaksanaan undang-undang tersebut. Di samping itu, Rondaan oleh pegawai Jabatan Alam Sekitar patut diperbanyakkan, Para pengusaha terutama pengusaha kilang secara besarbesaran patutlah mendapatkan nasihat daripada Jabatan Alam Sekitar(JAS) sebelum sesuatu operasi perindustrian dijalankan. Melalui denda dan hukuman yang berat dapat membuatkan masyarakat berasa takut untuk melanggar peratusan sedia ada malah, sedikit sebanyak dapat mengurangkan merosakkan alam sekitar (Mohmadisa Hashim dan Mohamad Suhaily Yusi Che Ngah, 2005 :137). Negara ini sudah mempunyai banyak peruntukkan undang-undang berkenaan alam sekitar yang jika dikuatkuasakan sepenuhnya mampu menangani masalahmasalah alam sekitar yang timbul kini. Namun, penguatkuasaan sepenuhnya masih tidak dapat dijalankan kerana pelbagai kelemahan dan kekangan yang ada. Dalam hal ini, masyarakat perlulah memandang serius dalam membantu mematuhi dan berkerjasama dalam membendung kemusnahan alam sekitar serta sentiasa peka terhadap perubahan alam yang berlaku disekeliling mereka.

Kesimpulan
Kesimpulannya, kita mesti sedar akan kepentingan memelihara dan memulihara alam semulajadi yang masih ada pada hari ini. Usaha-usaha memupuk kesedaran masyarakat terhadap kepentingan alam sekitar terus dilakukan oleh pelbagai pihak di negara ini seperti kempen kebersihan, seminar, bengkel, pameran, promo media dan penerbitan bahan-bahan cetak dan sebagainya. Semuanya adalah untuk meningkatkan pengetahuan, kesedaran dan penyertaan orang ramai bagi memelihara alam sekitar.Pemuliharaan alam sekitar adalah tanggungjawab bersama. Setiap generasi perlu turut serta supaya pembangunan lestari dikekalkan dan dapat dinikmati sehingga generasi akan datang. Selain itu, pihak swasta dan orang ramai juga perlu memainkan peranan yang lebih dalam meringankan beban kerajaan dan tidak mengharapkan kerajaan semata-mata untuk menangani isu-isu alam sekitar yang timbul. Penyelesaian masalah alam sekitar secara bukan perundangan seperti melalui pendidikan formal dan tidak formal perlu dipergiatkan lagi serta melibatkan pelbagai lapisan masyarakat agar pembangunan terancang dapat dicapai dengan berkesan.

Bibliografi dan Rujukan


Surtahman Kastin Hasan ; Abd. Ghafar Ismail. (1997). Alam sekitar : permasalahan dan pengawalan. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. Katiman Rostam. (1988). Penghantar Geografi Bandar. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. Mohmadisa Hashim dan Mohamad Suhaily Yusri Che Ngah. (2005). Pembangunan dan Alam Sekitar di Malaysia. Perak : Universiti Pendidikan Sultan Idris. .(2001). Ahli Sains Muda: Alam Kita Terancam. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. Zubaidah Abdul Rahman. (1994). Sumber Tenaga. Kuala Lumpur : Prisma Sdn. Bhd. Abu Bakar Yang. (1998). Alam Sekitar Anugerah Tuhan. Seri Kembangan : Jabatan Alam Sekitar, Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar. Laporan Akhir Kajian Alam Sekitar dan Aktiniti Manusia Sebagai Penyumbang Pencemaran. (2004). Disediakan oleh : PROF MADYA ABDULLAH @ KASSTM MOHAMAD dll. Shah Alam. UITM. Abdul Kadir Haji Din. (1990). Undang-undang dan Alam Sekitar : Pembangunan dan alam Sekitar di Malaysia. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

http://www.nre.gov.my/ ( Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar ) www.enviromalaysia.com.my/ ( Alam Sekitar Malaysia Sdn. Bhd ) www.doe.gov.my/ ( Jabatan Alam Sekitar ) www.sabah.edu.my/serasi/ (Sekolah Rakan Alam Sekitar (SERASI) - Sabah Edu.Net)

Anda mungkin juga menyukai