Anda di halaman 1dari 52

ETIKA DAN LEGAL ISU DALAM KAUNSELING KELOMPOK

1- PENGENALAN KAUNSELING KELOMPOK

Kaunseling Kelompok adalah satu proses antara individu (interpersonal process) yang melibatkan seorang kaunselor dengan beberapa orang ahli atau klien yang meneroka diri serta situasi yang dialami. Jadi proses ini menekankan pemikiran yang sedar, dari segi perasaan dan kelakuan. Tujuan kaunseling kelompok ini adalah untuk memperbaiki tingkah laku klien yang tidak mengikut norma-norma kehidupan yang tidak berkesan atau tidak mendatangkan faedah. Mengikut Corey (1990), kaunseling kelompok bertujuan mencegah serta memulih . Hansen et. al (1976), tujuan mencegah klien dari mengulangi tingkahlaku yang tidak diingini daripada berterusan. Dapat mengatasi masalah yang dihadapi sebelum masalah tersebut menjadi serius. Tujuan memulih pula adalah bagi klien yang sedang mengalami masalah yang serius di mana kaunseling kelompok merupakan satu proses intervensi untuk menukar kelakuan . Kaunseling kelompok berorientasikan masalah yang spesifik, sama ada masalah itu masalah pembelajaran, kerjaya, sosial atau emosi. Isi dan fokus perbincangan dalam kelompok sebahagain besarnya ditentukan oleh klien yang terdiri daripada individu yang normal (dapat berfungsi dengan sepenuhnya). Masalah-masalah yang sering di bawa ke dalam kelompok ialah berkaitan dengan tugas perkembangan dalam hidup seharian. Fungsi kaunseling kelompok ini serta klien adalah memberi sokongan dan empati yang diperlukan untuk menimbulkan suasana yang selamat dan menyembuh yang membawa kepada kepercayaan ahli berkongsi maklumat dan perasaan ke arah menimbulkan celik akal, membaiki sikap serta perlakuan.

Teoriteori kaunseling kelompok adalah guidelines yang digunakan supaya proses kaunseling yang dijalankan mendatangkan hasil yang baik atau efektif. Hansen et al (1976), each theory proposes a process whereby the counselor and group can participate in the process of changing the members behavior.Dalam menjalankan sesi, kaunselor perlulah mematuhi beberapa etika demi matlamat yang hendak dicapai.

2- DEFINISI ETIKA KAUNSELING KELOMPOK

Etika berasal daripada perkataan Yunani, iaitu ethos yang bermaksud hukum, adat resam, kebiasaan dan budi pekerti. Dengan kata lain etika merupakan sesuatu yang berkaitan dengan peraturan masyarakat yang terdiri dari tatahukum, tatasusila atau tatatertib masyarakat. Peraturan masyarakat biasa juga dimaksudkan dengan tradisi, norma, kebiasaan atau adat, kod, nilai dan pantang larang masyarakat. Peraturan masyarakat wujud di luar diri individu. Peraturan itu juga bersifat konkrit serta ditetapkan oleh autoriti dalam sesebuah masyarakat.

Menurut Kamus Dewan DBP (Edisi Ketiga, 2002), etika adalah prinsip atau nilai akhlak yang menjadi pegangan seseorang atau dengan kata lain garis panduan yang harus dipatuhi oleh seseorang semasa menjalankan tugas mereka.

Etika (dalam Abdul Rahman Md. Aroff, 1999) adalah disiplin falsafah yang memberi perhatian khusus kepada penilaian kritikal terhadap norma dan piawai yang mewajarkan kelakuan persaorangan serta antara individu. Durkheim (1961) pula menyatakan bahawa etika terdiri daripada suatu sistem peraturan yang telah ditentukan terlebih dahulu tentang bagaimana seseorang itu mesti bertindak dalam situasi tertentu.

Etika adalah suatu tindakan yang menuntut kepatuhan terhadap piawaian profesional serta undang-undang tentang apa yang dianggap betul dan yang salah. Menurut Othman Mohamed (1999), kod etika merupakan tatasusila yang menentukan peraturan kawalan diri terhadap praktis yang dijalankan oleh ahli sesuatu profesion. Ianya merupakan standard asas bagi mencerminkan satu praktis profesional.

Etika juga boleh membawa maksud yang berlainan tetapi saling berhubungan di antara satu dengan yang lain, iaitu ; 1) pola hidup am atau suatu cara hidup 2) set peraturan tingkah laku atau kod moral 3) tatacara mengenai cara hidup atau peraturan tingkah laku. Daripada beberapa definisi di atas, dapatlah disimpulkan bahawa etika mengkaji tingkah laku manusia sama ada patut atau tidak manusia bertingkah laku (bagaimana seharusnya manusia bertingkah laku). Etika melibatkan peraturan masyarakat yang didasarkan norma-norma dan nilai-nilai yang baik di dalam

sesebuah masyarakat itu. Oleh itu mematuhi kod etika dianggap penting bai membantu membuat keputusan dalam pengendalian kelompok.

3- KEPENTINGAN ETIKA KAUNSELING KELOMPOK

Setiap profesion yang melibatkan interaksi antara individu, memerlukan satu bentuk peraturan atau etika yang tersendiri bagi keperluan ahli-ahlinya. Begitu juga di dalam kaunseling kelompok, etika memainkan peranan yang penting sebagai satu garis panduan atau peraturan untuk menjaga profesionalisma kaunselor, kepentingan ahli kelompok serta perjalanan kelompok itu sendiri.

Pandangan yang diberikan oleh Swanson & Van Hoose (1977) yang menyatakan, Standard or code of ethics are designed to protect the public and also to give guidelines to practitioner so that difficulty with the law may be avoided by the person who follow the profesions code, menguatkan lagi fakta di atas.

Di antara-antara kepentingan-kepentingan itu ialah;

1) memberi perlindungan kepada ahli dalam profesion kaunseling daripada sebarang tindakan yang boleh menyebabkan public condemnation( penghinaan masyarakat).

2) Memberi perlindungan kepada klien daripada sebarang tindakan atau layanan yang tidak profesional, atau kecuaian pihak kaunselor.

3) Sebagai pengukur kepada self-regulation dalam profesion itu sendiri.

4) Melindungi kaunselor daripada tindakan undang-undang sekiranya berlaku perkara-perkara yang tidak diingini bukan disebabkan oleh kesalahan kaunselor itu sendiri.

5) Mempertingkatkan keberkesanan diri melalui perkongsian pengetahuan dan kemahiran selaras dengan tuntutan dan kesedaran pihak klien berkaitan hak mereka dalam undang-undang.

4- ETIKA DALAM KAUNSELING KELOMPOK 4.1- Pandangan Tokoh-Tokoh:

Etika kelompok diolah mengikut keperluan sesuatu kelompok. Menurut Gazda (1977), adalah penting bagi ketua kelompok untuk mengolah satu model bagi mencapai perubahan tingkah laku. Tambah beliau lagi, bila sesi dirakamkan ahli patut diberitahu yang mereka boleh memberhentikan rakaman bila-bila masa jika mereka merasakan ini menyekat penglibatan mereka.

Bagi Feignberg (1977) pula, etika dalam kaunseling kelompok di mana ketua kelompok harus mempunyai latihan yang cukup dalam teori dan prosedur kelompok. Mereka juga harus sedar tentang kepelbagaian kesan yang mungkin timbul daripada prosedur dan proses kelompok.

Memberikan pandangannya, Bindrim (1977) menyatakan menjadi satu polisi yang wajar jika ketua meminta ahli menandatangani satu perjanjian yang memerlukan mereka bersetuju supaya tidak berbincang atau menulis tentang perkara-perkara yang berlaku dalam kelompok atau mendedahkan identiti ahli lain.

4.2- Kelayakan Pemimpin Kelompok:

Pemimpin kelompok mestilah mempunyai kelayakan profesional serta pengalaman yang diperlukan sesuai mengikut kelompok yang mereka pimpin. Pemimpin seharusnya seorang yang teraputik, cekap dan berkesan serta bersedia untuk dicabar dan diuji untuk mendapatkan kepercayaan.

Pemimpin kelompok juga mesti mempunyai fokus yang jelas terhadap tujuan dan matlamat kelompok, memilih kaedah-kaedah yang sesuai dan mampu mengendalikan aktiviti-aktiviti sepanjang perjalanan kelompok bagi mencapai tujuan dan matlamat sesuatu kelompok itu.

Pemimpin kelompok mestilah bijak mengendalikan kelompok. Seandainya terdapat sebarang bentuk pertentangan di dalam kelompok, contohnya desakan kelompok yang bercanggah dengan kehendak ahli-ahl lain, pemimpin perlulah peka dan bertindak bijak mengatasi isu tersebut. Seandainya ada ahli yang menjadi sasaran di dalam kelompok, pemimpin haruslah berani campur tangan.

Sebagai pemimpin kelompok, perlulah turut melakukan aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh ahli-ahli kelompok sebagai sokongan kepada kelompok untuk melakukan perkara itu dengan penuh yakin dan berani. Pemimpin juga harus faham tentang nilai-nilai dalam kelompok dan sedar bahawa nilai-nilai itu adalah selaras dengan etika profesionnya. Etika dalam kaunseling kelompok juga melibatkan tanggungjawab yang dituntut daripada seorang ahli profesional seperti kaunselor atau pemimpin kepada kelompok yang spesifik seperti orang-orang yang memerlukan bantuan atau sesuatu khidmat dari pemimpin tersebut. Menjadi tanggungjawab pemimpin kelompok untuk memaklumkan kepada bakal ahli kelompok tentang prosedur dan matlamat kelompok, peraturan kelompok, teknik-teknik yang akan digunakan, harapan ahli, risiko psikologikal dan faktor lain yang boleh mempengaruhi mereka dalam membuat keputusan untuk melibatkan diri dengan kelompok.

Ahli kelompok seharusnya bersedia mentafsirkan pembelajaran mereka dalam kelompok dengan kehidupan seharian mereka dan menggunakannya dengan berkesan. Jesteru itu etika kaunseling kelompok berkait rapat dengan prinsip-prinsip akhlak dan moral yang perlu ada pada kaunselor semasa sesi kaunseling dijalankan. Semasa sesi perjanjian dijalankan satu perjanjian bertulis perlu dimenterai antara ahli dengan kaunselor. Prosedur ini penting kerana melindungi hak-hak ahli dan juga kaunselor.

Pemimpin kelompok seharusnya berusaha menggendalikan sesi kelompok dan seterusnya menilai kesan bagi kelompok pimpinannya. Proses susulan di dalam kelompok adalah penting kerana ia merupakan satu aspek akauntabiliti pemimpin kelompok. Melalui proses ini juga akan mendorong ahli kelompok untuk meneruskan tingkah laku positif yang mereka pelajari dalam kelompok setelah mengetahui adanya proses susulan setelah tamat sesi kelompok.

Akhirnya, pemimpin kelompok perlu berwaspada dengan tanda-tanda kelemahan psikologikal ahli kelompok seperti ahli menangis sepanjang masa berada di dalam kelompok, ahli seperti dalam keadaan celaru serta tertekan (berada dalam dunianya yang tersendiri), ahli berdiam diri sepanjang masa dalam kelompok dan tanda-tanda psikologikal lain. Ini menandakan penglibatan mereka di dalam kelompok harus di tamatkan.

Adalah tidak beretika mengamalkan kaunseling tanpa persediaan yang rapi American Group Psychotherapy Association dan Association for Specialists in Group Work (ASGW), menggariskan secara terperinci, piawaian terbaik bagi latihan yang diperlukan oleh kaunselor.

4.3- Kerahsiaan:

Kerahsiaan merupakan salah satu etika di dalam kelompok yang perlu dititikberatkan. Ahli-ahli perlu mendapat makluman tentang kerahsiaan di dalam kelompok, seawal waktu penstrukturan, semasa sesi berjalan dan apabila kelompok berakhir. Maklumat kelompok tidak akan diberitahu kepada mana-mana pihak melainkan setelah mendapat kebenaran dan persetujuan kelompok demi kebaikan kelompok sendiri.

Selain daripada itu identiti setiap ahli dalam kelompok hendaklah dirahsiakan dan menjadi tanggungjawab ke atas semua ahli (Kod Etika Kaunselor, 2005)

5- ISU-ISU DALAM KAUNSELING KELOMPOK

Proses kaunseling kelompok akan menjadi lebih bermakna dan sangat berkesan sekiranya proses tersebut dapat berjalan mengikut nilai, norma dan tingkah laku yang diterima dalam persekitaran masyarakat. Peterson (1970). Satu Sistem etika adalah menjadi panduan berdasarkan nilai-nilai yang biasa dipegang dan dihargai oleh masyarakat. Kaunseling kelompok juga dapat membantu ahli mencapai matlamat dan tujuan yang telah digariskan bersama dengan ahli kelompok dalam menentukan hala tuju dan matlamat yang hendak dicapai dalam persetujuan bersama.

Namun walaubagaimanapun terdapat halangan-halangan yang menyebabkan proses ini tidak dapat dilaksanakan seperti yang diharapkan. Ini adalah disebabkan isu-isu yang wujud dalam kaunseling kelompok yang boleh memberi kesan yang buruk atau pengalaman yang ngeri terhadap ahli sekaligus mencemar nilai kepercayaan dan penerimaan ahli terhadap kaunseling kelompok.

Selain itu juga isu-isu yang wujud dalam kaunseling kelompok akan memberi kesan yang lebih mendalam kerana bukan seorang ahli yang akan mengalami trauma atau tekanan tetapi ramai, kerana jumlah ahli dalam kelompok adalah lebih daripada satu. Maka sudah tentu akan memburukkan lagi pandangan masyarakat terhadap kaunseling kelompok serta menghilangkan nilai kepercayaan masyarakat terhadap kaunseling kelompok.

5.1- Pemimpin Kelompok:

Antara isu-isu yang terdapat dalam kelompok ialah isu melibatkan kepimpinan. Isu ini secara keseluruhannya melibatkan tahap kredibiliti yang dimiliki oleh pemimpin atau kaunselor yang bertindak sebagai ketua atau penggerak utama dalam proses kaunseling kelompok. Tidak kira apa jenis kelompok yang dipimpin, apa pendekatan yang digunakan atau apa gaya kepimpinan yang dilaksanakan dalam kaunseling kelompok, kejayaan kelompok sangat bergantung kepada pemimpin yang mengetuai kelompok tersebut.

Terdapat pelbagai permasalahan atau persoalan yang ditimbulkan tentang pemimipin kelompok sama ada dari segi latihan yang diperoleh, kelayakan yang dimiliki, kecekapan dan pengalaman pemimpin dalam menerajui sesuatu kelompok. Disamping itu juga isu kepimpinan ini mengukur tahap kemampuan pemimpin dalam menguasai masalah yang diketengahkan dalam kelompok.

Ini antara isu yang dikaitkan dengan pemimpin dalam kelompok. Adalah menjadi tanggungjawab pemimpin dalam memimpin ahli kelompok mencapai matlamat yang telah dipersetujui bersama tanpa wujud perkara yang bercanggah dengan nilai dan norma persekitaran masyarakat. Rosenbaum (1972). Bakal ketua perlu diberitahu tentang beberapa jenis kelompok dalam proses pengajaran yang formal dan perlu mendapat peluang untuk mengolah teori sendiri yang rasional dan praktikal.

5.2- Keahlian Kelompok:

Selain itu juga isu keahlian dalam kelompok merupakan sesuatu yang perlu dititi beratkan. Ini kerana kejayaan kelompok dalam mencapai matlamatnya sangat bergantung kepada ahli-ahli yang terlibat dalam sesuatu kelompok. Ini menunjukkan pemilihan ahli dalam kelompok mestilah mengikut klasifikasi jenis kelompok yang hendak dilaksanakan dan kaedah kepimpinan yang akan digunakan oleh pemimpin dalam mengendalikan kelompok tersebut.

Bagi menentukan pemilihan ahli kelompok adakah menjadi tanggungjawab pemimpin untuk membuat pemilihan ahli kelompok. Tidak kira apa jenis kelompok yang hendak ditubuhkan, pemilihan ahli mesti mengikut klasifikasi jenis kelompok yang hendak dikendalikan oleh pemimpin . The American Psychological Association (APA) dalam Guidelines for Psychologists Conducting Growth Group (1973) mencadangkan Satu temu bual menapis peserta harus dijalankan oleh ketua kelompok sebelum individu diterima menjadi ahli. Adalah menjadi tanggungjawab ketua menapis dan menolak mereka yang memikirkan bahawa pengalaman kelompok tidak sesuai bagi mereka. Cadangan ini dipersetujui oleh Gazda (1977) dan menambah, proses menapis patut diolah untuk memastikan peserta faham apa yang diharapkan daripada mereka dan menerima yang mungkin menikmati faedah yang lebih daripada pengalaman kelompok. Yalom (1975) menyatakan, jika penapisan pemilihan ahli kelompok tidak dijalankan dengan teliti, ahli itu boleh meninggalkan kelompok dengan perasaan hampa dan tawar hati. Yalom menerangkan bahawa lebih mudah mengenal pasti individu yang sesuai.

Maka jelas tanggungjawab terhadap ketua untuk memilih ahli bagi sesuatu penubuhan sesuatu kelompok bertujuan mengelakkan berlakunya konflik sesama ahli menyebabkan proses atau sesi tidak dapat dijalankan dan wujud gangguangangguan yang menyebabkan timbulnya isu dalam kelompok sekaligus menyekat

proses kelompok. Ahli juga perlu dinyatakan kenapa dan mengapa pemilihan ahli perlu dilakukan sebelum kelompok ditubuhkan.

5.3- Kerahsiaan Kelompok:

Kerahsiaan merupakan faktor yang perlu dititikberatkan dan perlu diberi penjelasan yang terperinci atau mendalam kepada ahli kelompok semasa peringkat penstrukturan dilakukan. Ini kerana kerahsiaan dalam kaunseling kelompok sangat sukar untuk dikawal kerana jumlah ahli yang ramai, sudah tentunya pemimpin tidak dapat memberi jaminan terhadap kerahsiaan dalam pelaksanaan kelompok. Olsen (1971) menyatakan Ketua kelompok boleh menjamin kerahsiaan untuk dirinya sahaja, dia mesti memberitahu ahli tentang tanggungjawab mereka menghormati rahsia yang telah dibincangkan. Dia juga harus menyedarkan ahli bahawa dia tidak boleh menjamin kerahsiaan ahli lain dalam hal ini.

Isu kerahsiaan ini sangat sensitif, oleh itu pemimpin perlu membincangkan secara khusus kepada ahli tentang kerahsiaan yang perlu dititikberatkan dan perlu jujur untuk tidak berlakunya kebocoran hal-hal peribadi, hal-hal yang sensitif mengenai seseorang ahli dalam kelompok. Disarankan kepada pemimpin setiap kali berakhir pertemuan ataupun sesi, pemimpin perlu memberi penegasan atau penekanan terhadap ahli tentang prinsip kerahsiaan dalam kelompok.

Corey, Corey dan Callanan (1984). Bagi kaunselor walaupun aspek kerahsiaan ini telah diberitahu pada awal kelompok, adalah menjadi tanggungjawab kaunselor untuk mengingatkan ahli tentang prinsip kerahsiaan ini dari masa ke semasa.

5.4- Penilaian Kelompok

Isu yang ada dalam kaunseling kelompok ialah penilaian dan tindakan susulan Pemimpin perlu memberi penekanan terhadap tindakan susulan selepas tamat sesi kaunseling kelompok. Pemimpin boleh melaksanakan tindakan susulan ini selepas sebulan atau tiga bulan selepas sesi tamat. Ini bertujuan untuk membincangkan tentang kesan kaunseling kelompok dan hasil yang diperoleh dalam kelompok.

Melalui sesi susulan ini pemimpin dapat gambaran yang sebenar dan dapat melihat sendiri sama ada ahli-ahli dapat menggunakan pengalaman dan pengajaran yang dilalui dalam kelompok. Selain itu juga ahli dapat meluah serta berkongsi pengalaman yang telah dilalui untuk sama-sama mendapat maklum balas dan pengukuhan selepas meninggalkan sesi kelompok.

Tempoh ini ahli digalakkan membuat pendedahan kendiri yang mendalam. Namun menjadi tanggungjawab pemimpin untuk mengajar dan menerangkan kaedah pendedahan kendiri yang perlu dilakukan oleh ahli. Pemimpin jangan terlalu mendesak untuk ahli mendedahkan hal-hal yang agak sulit sebelum mereka bersedia. Jika tidak ahli akan menarik diri dengan perasaan malu kerana telah menceritakan lebih dari yang sepatutnya.

6- CONTOH-CONTOH KES

Kes 1:

Olympia-Jabatan Kesihatan menahan seorang kaunselor Preston Carbery yang memiliki license of Mental Health(CLH 00006880) di atas kesalahan melakukan hubungan seksual semasa mengendalikan kaunseling. Carbery disabitkan kesalahan pada 7 September 2005 di Steven County Supervisor Court dengan melakukan 3 kali perkosaan ke atas kliennya. Carbery didapati tidak dapat menjadi seorang kaunselor yang baik, dan beliau yang masih mempunyai kontrak dengan Jabatan Perkhidmatan Sosial dan Kesihatan yang menyediakan perkhidmatan kaunseling kesihatan kepada kliennya.

Tuduhan ini menyatakan Carbery terlibat dengan hubungan seksual dengan dua orang klien perempuan semasa mengadakan perkihmatan kaunseling. Carbery juga

didapati bersalah kerana cuba menakutkan kliennya dengan mengugut sekiranya kejadian tersebut dilaporkan kepada Jabatan Perkhidmatan Sosial, Carbery akan mengancam anak-anak kliennya. Carbery mempunyai 20 hari untuk memberikan maklum balas di atas tuduhan tersebut.

Daripada kes tersebut, didapati kaunselor telah menyalahi etikanya sebagai seorang kaunselor yang bertauliah kerana merujuk kepada Kod Etika Kaunselor 2005, batasan seksual , bukan sahaja bersifat fizikal tetapi juga melibatkan pertuturan. Contohnya, kaunselor dilarang menggunakan ayat-ayat yang berbaur lucah. Justeru itu, gangguan seksual akan menyebabkan ahli-ahli kelompok tidak selamat dan kebolehpercayaannya terhadap kaunselor tergugat.

Kes 2:

Seorang kaunselor pembimbing didapati bersalah kerana mengadakan seks dengan kliennya yang berusia 16 tahun. Jenniffer Villacrusis disabitkan kesalahan minggu lepas, kerana menyalahgunakan kuasanya sebagai kaunselor dan secara tidak langsung melanggar etika seorang kaunselor. Menurut laporan polis, beliau dan pelajar melakukan kesalahan tersebut di pejabatnya,Hugesville Junior High School dan di rumah kediamannya. East Lycony School Superintendent Dave Price, mengesahkan Villacrusis telah digantung bekerja pada hari Selasa, dan kes ini akan didengar pada 22 Januari di bilik mesyuarat. Ahli mesyuarat akan membuat keputusan sama ada beliau akan terus atau berhenti daripada kerjaya sebagai seorang kaunselor. Polis turut mengesahkan satu penyiasatan terhadap remaja tersebut terpaksa ditangguhkan kerana Villacrusis tidak memberikan kerjasama. Penyiasatan ini bermula minggu lepas selepas Villacrusis mendapatkan perkhidmatan hospital dan memberitahu kepada seorang jururawat bahawa dia telah dirogol dan tidak mahu membuat laporan polis.

Kes 3:

Olympia- Jabatan Kesihatan Negeri Washington telah menahan James F. Durham seorang kaunselor yang juga mempunyai banyak kepakaran professional dalam mengendalikan bahan kimia . Beliau ditahan diatas tuduhan penyalahgunaan kuasa

dan penyalahgunaan dadah. Tindakan disiplin dikenali sebagai pergantungan tanpa perbincanganbermaksud Durham yang mempunyai sijil CP 828 dan berdaftar sebagai RC11842, didapati tidak dibenarkan bekerja sebagai seorang kaunselor dan juga pakar mengendalikan bahan kimia sehinggalah kes beliau dibicarakan semula.

Durham mempunyai 20 hari untuk memberikan respond diatas tuduhan tersebut. Durham ditahan di atas berurusan dengan kumpulan kecil untuk tujuan yang tidak bermoral pada 3 June 2001.Perbicaraan beliau dijadualkan pada 18 Oktober 2001. sebelum ini Durham didapati banyak melakukan perbuatan tidak bermoral dan masih berhubungan dengan pesalah-pesalah juvana untuk urusan peribadi. Penyiasat yang ditugaskan daripada Jabatan Kesihatan mendapati Durham gagal menunjukkan kesalahan jenayah di kawasan Yakima dan King. semasa permohananya sebagai pakar penggunaan bahan kimia . Rekod jenayah Durham sebelum ini mengandungi rompakan berbahaya pada tahun 1978 dan kejadian jenayah kredibilitinya pada Mac 2000.

Merujuk kepada kes ini pula, kaunselor didapati melanggar etika serta menghilangkan kepercayaan kelompok terhadap kewibawaan kaunselor. Oleh itu. Dengan tertubuhnya, Akta Kaunselor 580 pada tahun 1998, dengan ini mengesahkan bahawa sebarang salahlaku , maka secara automatiknya, jawatan kaunselor akan digantung sehinggalah kes tersebut dibicarakan.

Kesimpulan daripada kes-kes di atas, dapat mengukuhkan lagi bahawa wujud isuisu yang berlaku dalam kaunseling kelompok yang mengganggu proses ataupun sesi dari berjalan dengan lancar mengikut kaedah yang sebenarnya. Namun isu-isu ini dapat dielakkan jika pemimpin yang mengendalikan kelompok mempunyai etika yang telus.

7- PENUTUP

Seorang kaunselor kelompok akan dihadapi dengan maklumat yang banyak, hasil dari proses berkelompok. Ia memerlukan satu rangka untuk menyusun maklumat tersebut supaya membawa makna yang senang difahami, untuk membantu ahli menangani masalah yang di hadapi. Dengan itu, teori akan membantu kaunselor menyusun, memahami, melihat perkembangan proses kaunseling supaya dapat mencapai matlamat yang ditujui.

Selain itu, kaunseling kelompok dapat membentuk peluang-peluang keemasan yang berlanjutan kepada klien bagi memperkembangan hubungan biasa dan positif dengan orang lain, Secara tidak langsung akan memberi kesedaran kepada ahli-ahli kelompok. Jesteru itu mematuhi etika amat penting dalam setiap kaunseling kelompok yang dijalankan. Etika akan membantu proses kaunseling kelompok itu sama ada berjalan lancar atau tidak. Mematuhi etika sedikit sebanyak akan mengurangkan isu-isu yang akan timbul dalam kaunseling kelompok nanti.

Dengan tertubuhnya Akta Kaunselor 580 pada tahun 1998 dan sebuah Lembaga Kebangsaan ia dapat mengawal dan menyelia amalan kaunseling di Malaysia. Ini sekaligus dapat meningkatkan taraf profesional kaunseling di Malaysia.

8- BIBLIOGRAFI

Corey, G,. (1990). Theory and Practice of Group Counseling, Brooks/Cole Publishing Company, Pacific Grove, California.

Douglas, T. (1991). A Hand Book of Common Group Work Problems, Tavistock/Routledge, London and new York.

Gazda, M.G, (Editor). 1982. Basic Approaches to Group Psychotherapy and Group Counseling. Chales C Thomas, USA.

Gazda, M.G, (1976). Theories and Methods of Group Counseling in The Schools. Chales C Thomas, USA.

Ida Hartina Ahmed Tharbe. (2006). Memimpin Kaunseling Kelompok. Kuala Lumpur. PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.

Mok Soon Sang, (2002). Bimbingan dan Kaunseling Untuk Kursus Diploma Perguruan Semester 3&4. Subang Jaya Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.

Muhd. Mansur Abdullah, (2000), Kaunseling Teori, Proses dan Kaedah. Petaling Jaya. Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Muhd. Mansur Abdullah & Siti Nordinar Mohd Tamin, (1996). Pengantar Kaunseling. Kuala Lumpur: DBP.

Mohamad Fadzil Che Din & Rashidah Omar. (2002). Pengantar Bimbingan dan Kaunseling. Mc Graw-Hill Education: Kuala Lumpur.

Nordin Kardi & Mohamad Fadzil Che Din. (2003). Falsafah, Prinsip & Etika Kaunseling: UPM. Selangor.

Othman Mohamad. (2000). Prinsip Psikoterapi dan Pengurusan dalam Kaunseling. UPM: Serdang. Selangor.

Ramlan Hamzah, Lily Mastura Harun, PHD (2006). Bimbingan dan Kaunseling Untuk Pra Sarjana Muda dan KPLI. Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.

Shaffer, John B. P, and Galinsky, M. David (1989). Models of Group Therapy, Prentice Hall, Eagle Wood Cliffs, New Jersey.

The News Station, Guidance Counselor suspended daripada http://www.wnep.com/Global/story.asp?S=5881320

Washington State Department of Health, Stevens County counselor charged with sexual misconduct and suspended daripada http://www.doh.gov/publicat/2005news/05-140.htm.

Washington State Department of Health, State suspends Yakima County for corruption and drug abuse. daripada http://www.doh.gov/publicat/2001- news/01106.htm

Zuraidah Abd. Rahman, (2004). Pengenalan Kaunseling Kelompok. Selangor. IBS Buku Sdn. Bhd. Posted by kaunseling at 5:46 PM 3 comments:

ISU-ISU DALAM KELOMPOK KAUNSELING

1.0 PENGENALAN

Sesi kaunseling kelompok akan lebih berkesan dan berjaya jika tujuan, matlamat dan proses kaunseling kelompok itu jelas dan difahami oleh ahli kelompok. Peranan Ketua Kelompok atau Pemimpin kelompok amat penting dan mampu mempengaruhi keberkesanan sesuatu kelompok kaunseling. Keberkesanan sesuatu kelompok kaunseling bermula di peringkat pemilihan ahli kelompok untuk mempastikan semua ahli boleh menerima peraturan dan etika kelompok. Gandingan kedua-dua pihak iaitu pemimpin kelompok dan ahli-ahli yang faham etika dan peraturan kelompok akan membantu ke arah pencapaian matlamat sesi kaunseling kelompok. Kelompok kaunseling adalah bebas untuk berkembang tetapi masih bergantung kepada jenis masalah atau isu yang dibincangkan. Namun ia perlu mengambil kira aspek-aspek nilai, norma serta budaya masyarakat setempat.

Di sinilah letaknya peranan pemimpin kelompok untuk mempastikan semua ahli kelompok dapat menerima persetujuan ini dan pada masa yang sama berusaha dengan sedaya upaya untuk mencapai matlamat sesi kaunseling kelompok yang dijalankan. Pemimpin kelompok juga berperanan penting untuk menentukan ahli-ahli kelompok berjaya mencapai hasrat pemulihan diri mereka. Ahli-ahli kelompok juga berjaya melakukan perubahan tingkah laku mereka ke arah yang lebih positif setelah selesai menjalani sesi kelompok kaunseling. Secara semulajadinya manusia lebih bersedia bersama dalam kumpulan atau kelompok dalam usaha menyelesaikan permasalahan yang mereka hadapi. Melalui kelompok, seseorang individu dapat mencapai matlamat sendiri dengan berkongsi idea yang inovatif dan produktif (McClure, 1990). Manusia mungkin tidak dapat meneruskan kehidupan atau terus berkembang tanpa penglibatan kelompok atau kumpulan. Dalam usaha menjadikan kelompok kaunseling lebih berkesan, pemimpin kelompok perlu sedar tentang kekuatan dan potensi sesebuah kelompok. Pemimpin kelompok perlu merancang lebih awal dan sentiasa peka kepada tahap-tahap perkembangan kelompok. Pemimpin kelompok yang mempunyai pengetahuan mampu mengesan tahap perkembangan kelompok berkenaan. Di samping itu juga, pemimpin kelompok boleh memanafaatkan kemahiran yang ada untuk membantu perkembangan kelompok dengan lancar dan berkesan (Gladding, 1994). Hakikatnya, perancangan yang rapi dan intervensi yang strategik akan menjamin kejayaan sesebuah kelompok kaunseling.

2.0 ISU-ISU BERKAITAN KEPIMPINAN DALAM KAUNSELING KELOMPOK Dalam kertas kerja ini kami membahagikan isu-isu berkaitan kepimpinan dalam kelompok tersebut kepada 3 bahagian iaitu isu-isu sebelum permulaan kelompok (initial stages), isu-isu semasa proses kelompok (progressing stages) dan isu-isu selepas kelompok (closing stages).

2.1 Isu-isu sebelum permulaan kelompok (Initial Stages) 2.1.1 Persediaan Pemimpin Kelompok Selain itu pemimpin kelompok juga perlu bersedia untuk menjadi pemimpin kelompok lebih-lebih lagi persediaan dari segi psikologikal. Antara persediaan yang perlu ditanya bagi seorang pemimpin kelompok ialah : 1. Adakah saya sudah bersedia untuk mengendalikan sebuah kelompok? 2. Adakah saya mahu kendalikan kelompok? 3. Apakah perasaan yang saya sedang alami dalam hidup? 4. Adakah saya seorang yang yakin dengan kemampuan profesional saya? 5. Adakah saya percaya kepada proses kelompok? Persoalan-persoalan tersebut adalah merupakan isu yang perlu ditangani oleh seseorang pemimpin apabila ingin memulakan sesuatu kelompok. Ia akan dapat membantu pemimpin menilai sejauh mana persediaan mereka untuk memimpin sesebuah kelompok. Corey (1985) menyatakan sebagai persediaan, pemimpin harus memikirkan beberapa perkara mengenai kelompok iaitu jenis kelompok, tujuan dan matlamat kelompok, masa dan tempat kelompok, apa yang ahli jangkakan dari kelompok, garis panduan untuk menentukan siapakah yang sesuai untuk menyertai kelompok dan yuran yang dikenakan. Oleh yang demikian pemimpin kelompok memainkan peranan untuk merancang perjalanan kelompok dengan sebaik mungkin. Yaqub (2001) menyatakan dalam pendekatan kelompok Islam persediaan pemimpin memainkan peranan penting dalam menggerakkan kelompok. Antara persediaan yang perlu dilakukan oleh pemimpin yang mengendalikan kelompok Islam ialah pemimpin harus memastikan hari-hari, masa dan tempat kelompok dijalankan, ditetapkan terlebih dahulu dan dimaklumkan kepada semua ahli bagi memudahkan ahli berkumpul tepat pada waktunya. Selain itu pemimpin juga bertanggungjawab menyediakan bahan aktiviti untuk kelompok berbentuk arahan-arahan kerja sebagai latihan bagi memdidik dan membiasakan setiap ahli memikul tanggungjawab. Pemimpin juga perlu menyediakan bahan-bahan rujukan yang sesuai dan fakta-fakta yang tepat kepada ahli kelompok, ini adalah bagi memudahkan ahli kelompok membuat rujukan yang tepat dan betul. Di samping itu pemimpin kelompok juga perlu menyediakan isi kandungan perjalanan kelompok mengikut sukatan dan arahan-arahan yang jelas kepada ahli-ahli kelompok.

2.1.2 Tapisan (Screening) dan hak ahli

Menurut ACA (1995), pemimpin kelompok harus menapis ahli mereka yang bakal sertai kelompok setakat mana yang boleh. Individu yang ingin menjadi ahli kelompok perlu ditapis bagi mengelakkan risiko sepanjang berada dalam kelompok. Dalam proses tapisan ini pemimpin kelompok terlebih dahulu perlu tahu siapa yang patut menjadi ahli kelompok. Ahli-ahli kelompok boleh ditapis dengan beberapa cara iaitu : 1. Kenalpasti kesesuaian ahli dengan tujuan kelompok ditubuhkan. 2. Kenalpasti dari mana ahli-ahli kelompok datang. Contohnya hospital, banduan, ahli masyarakat, sekolah dan sebagainya. 3. Tentukan samada ahli datang secara sukarela atau dirujuk. 4. Tentukan komposisi kelompok mengikut gender, umur, tahap kelulusan akademik dan sebagainya. Dalam peringkat tapisan ini pemimpin kelompok harus memilih ahli yang mempunyai keperluan dan tujuan yang sehaluan dengan tujuan kelompok. Ini bagi mengelakkan timbul konflik dan halangan semasa proses kelompok dan juga supaya ahli yang menyertai kelompok tidak mengalami sebarang risiko dan kebajikan mereka tidak diabaikan. Pemimpin kelompok juga perlu mengenalpasti kesediaan individu untuk menjadi ahli kelompok. Ini adalah bagi mengelakkan penentangan (resistance) yang berpunca daripada ketidakfahaman proses kelompok dan salah faham mengenai tujuan kelompok. Seseorang pemimpin perlu jelas tentang pengharapan ahli terhadap kelompok dan pemimpin juga perlu menjelaskan tujuan kelompok, prosedur kelompok, kebaikan dan risiko menyertai kelompok. Antara risiko yang perlu diketahui oleh ahli apabila menyertai kelompok ialah : 1. Ahli mungkin mengalami gangguan ke atas kehidupannya apabila menyertai kelompok. 2. Ahli sering dikehendaki terbuka dan ini boleh merupakan perlanggaran privacy. 3. Tekanan dari kelompok contohnya dalam merubah sikap dan pemikiran. 4. Masalah scape goating iaitu mencari salah pada seseorang dalam kelompok tersebut. 5. Perbincangan dalam kelompok tidak terjamin kerahsiaannya. 6. Kemungkinan kecederaan fizikal kerana penglibatan dalam aktiviti kelompok. 7. Risiko psikologikal contohnya jika ada ahli yang memberitahu ingin bunuh diri kemungkinan akan memberi kesan psikologikal kepada ahli kelompok.

Pemimpin kelompok juga perlu terlebih dahulu mendapatkan persetujuan termaklum dengan ahli-ahli kelompok (informed consent) samada datang secara sukarela atau dirujuk. Selain itu hak-hak ahli kelompok yang perlu diambil kira oleh pemimpin kelompok ialah berkaitan ahli meninggalkan kelompok. Ahli-ahli adalah bebas meninggalkan kelompok namun perlu dimaklumkan apa prosedur yang perlu dilakukan sebelum meninggalkan kelompok. Setiap ahli yang ingin meninggalkan kelompok perlu mendapat persetujuan ahli-ahli kelompok yang lain. Yalom (1995) menyatakan seseorang boleh meninggalkan kelompok atas persetujuan ahli kelompok yang lain. Beberapa sebab ahli bertindak meninggalkan kelompok iaitu : 1. Tekanan 2. Berpindah 3. Penyakit Ahli-ahli kelompok berhak mengeluarkan ahli dari kelompok jika ahli tersebut boleh mengancam keselamatan dan membahayakan ahli-ahli yang lain. Dalam keadaan ini pemimpin harus menangani situasi ini dengan sebaik mungkin bagi menjamin keputusan yang dibuat adalah beretika dan tidak menganiayai mana-mana pihak.

2.1.3 Kelayakan dan Kemampuan Pemimpin Kelompok (Kaunselor) Kemampuan dan kelayakan kaunselor yang memainkan peranan sebagai ketua kelompok atau pemimpin kelompok kaunseling tidak lepas dari menjadi persoalan kepada pengamal kaunseling di Malaysia. Perkembangan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di Malaysia menyaksikan pelbagai pihak sama ada secara individu atau kumpulan tertentu mula mengambil kesempatan menawarkan perkhidmatan menolong ini. Individu dan kumpulan yang muncul atas jenama konsultan dan pakar motivasi bercambah dengan pesat menawarkan berbagai perkhidmatan yang melibatkan individu dan juga kelompok orang ramai. Iklan-iklan perkhidmatan mereka sering kelihatan saban waktu cuti persekolahan dan telah menarik minat orang ramai terutamanya ibubapa yang inginkan anak mereka cemerlang. Persoalan yang timbul ialah bagaimana golongan ini boleh menjalankan aktiviti-aktiviti mereka dengan sewenang-wenangnya? Malah, ketua kelompok yang tidak terlatih dalam bidang pengendalian kelompok kaunseling juga menjalankan sesi terapi keluarga. Nilai-nilai yang dititikberatkan oleh golongan ini ialah pendedahan emosi dan konfrantasi yang mendalam. Manakala aktiviti susulan untuk mengesan tahap keberkesanan kelompok tidak dilakukan langsung. Keadaan ini akan menyebabkan berlakunya masalah yang tidak selesai atau unfinished bussiness di kalangan ahli kelompok. Kesan yang lebih buruk lagi akan melanda ahli-ahli dalam kelompok kaunseling kerana bilangan mereka ramai.

Mengikut AMFT (American Mariage & Family Therapy) 1991, seorang kaunselor yang menjadi pemimpin kelompok kaunseling tidak boleh membuat penilaian atau diagnosis dalam kes-kes psikosis, merawat dan memberi nasihat tentang masalah yang di luar kemampuan dan kecekapan yang diikhtiraf. Manakala menurut ACA (American Counseling Associattion) 1995, kaunselor atau pemimpin kelompok kaunseling hanya boleh mempraktikkan kemahiran dan latihan yang setara dengan kelayakannya. Menurut Zuraidah (1996), terdapat ketua kelompok atau pemimpin kelompok yang tidak terlatih tetapi mengendalikan terapi keluarga malah menggunakan hipnosis terhadap ahli kelompok. Kepakaran mengendalikan kelompok kaunseling tidak akan mencapai matlamat jika pemimpin kelompok hanya bersandarkan kepada ijazah yang di perolehi semata-mata. Pengendalian kelompok kaunseling berkesan adalah berdasarkan kepada latihan dan sejauh mana pengalaman seseorang pemimpin kelompok. Jacobs, Harvill dan Masson (1994) menyenaraikan jenis-jenis kelayakan dan pengalaman yang perlu ada pada pemimpin kelompok ialah : 1. Mempunyai pengetahuan yang baik berkaitan teori-toeri kaunseling. 2. Berpengalaman dengan individu. 3. Berpengalaman menjalani dan mengendalikan kelompok. 4. Mempunyai kemahiran merancang dan mengatur. 5. Berpengetahuan berkaitan topik yang dibincangkan 6. Mampu memahami konflik dan dilema asas manusia. Kelayakan dan pengalaman ini akan banyak membantu pemimpin untuk menggerakkan kelompok dengan memainkan fungsinya dengan berkesan. Begitu juga seorang pemimpin perlu tahu akan limitasi bidang kepakarannya. Limitasi adalah merupakan batas-batas kemampuan dan keyakinan yang mampu dilakukan berdasarkan pengalaman dan kelayakan yang ada pada seseorang pemimpin.

2.1.4 Isu Co-leader Seorang pemimpin kelompok juga perlu memikirkan sama ada ingin menjalankan kelompok itu secara berseorangan atau dengan dibantu oleh seorang pembantu. Penggunaan co-leader ini ada unsur-unsur pro dan kontranya.

Bagi pemimpin yang ingin dibantu oleh co-leader maka kelompok tersebut telah mendapat kelebihan dari segi kepakaran dan tenaga. Contohnya jika pemimpin tidak dapat hadir pembantu pemimpin boleh mengambil alih peranan pemimpin dan dengan itu proses kelompok tetap akan berjalan tanpa adanya kekangan dan sebagai. Jacobs, Mason & Harvill (2002) menyatakan memimpin kelompok dengan lebih dari seorang pemimpin akan memberi banyak kelebihan terutamanya kepada pemimpin yang baru. Co-leader boleh menyumbangkan idea-idea tambahan untuk merancang dan menjadikan kelompok lebih efektif. Namun beberapa kelemahan apabila ada co-leader ialah kemungkinan berlaku percanggahan cara dan pendekatan dalam memimpin kelompok. Ini kerana coleader mungkin mempunyai pandangan yang berbeza dengan pemimpin terhadap kelompok. Oleh yang demikian pemilihan co-leader perlu berhati-hati agar pemilihannya sesuai dengan tujuan dan hala tuju kelompok.

2.2 Isu-isu Semasa Proses Kelompok Berjalan (Progressing Stages) 2.2.1 Gaya Kepimpinan Pemimpin Kelompok Gaya kepimpinan yang dipraktikkan oleh seseorang pemimpin kelompok menjadi faktor penting kepada keberkesanan kaunseling kelompok. Di antara gaya kepimpinan umum ialah gaya autokratik, demokratik, dan laissez-faire (bebas). Pemimpin kelompok sebagai individu yang normal telah terdidik dengan pandangan dan gaya berfikir tersendiri. Begitu juga dengan gaya kepimpinan seorang pemimpin kelompok. Pemimpin yang mengamalkan gaya autokratik akan cenderung menggunakan pertimbangan sendiri dalam menentukan proses kelompok. Biasanya mereka bersifat mengarah, memberi nasihat, melakukan pentaksiran secara aktif, memonopoli perbincangan dalam kelompok dari aspek komunikasi, keputusan dan sebagainya. Pemimpin yang memiliki gaya ini mempunyai karisma dan berpengaruh serta mereka akan menjadi ikutan kepada ahli kerana mereka mampu memberikan arahan dengan berkesan. Bagi pemimpin kelompok yang mengamalkan gaya demokratik pula mereka percaya bahawa setiap ahli mampu bergerak sendiri dan dapat menyumbang secara aktif kepada perjalanan kelompok. Pemimpin jenis ini biasanya tidak bersifat mengarah tetapi lebih kepada bentuk kerjasama dalam apa sahaja tindakan dan keputusan yang dibuat dalam kelompok. Pemimpin yang memiliki gaya ini akan dapat menerapkan rasa seronok dan rasa dihargai dalam kalangan ahli kelompok. Seterusnya gaya kepimpinan laissez faire pula lebih kepada pemimpin membiarkan kelompok bergerak dengan sendiri. Pemimpin gaya ini memberi sepenuhnya

tanggungjawab merancang, mengendali, menjalankan aktiviti dan membuat keputusan tanpa bantuan pemimpin. Akibatnya kelompok yang wujud tidak mempunyai struktur yang jelas dan peranan pemimpin tiada langsung. Kemugkinan yang berlaku, kelompok ini akan wujud ahli-ahli yang mendominasi kelompok dan ada juga ahli yang tidak aktif langsung. Sesungguhnya gaya kepimpinan dalam kelompok mendatangkan kesan kepada ahli kelompok, namun jika gaya tersebut digabungkan mengikut kesesuaian masa, jenis kelompok, teori yang digunakan dan hasil yang diingini maka ia akan dapat menghasilkan kelompok yang dinamik dan efektif.

2.2.2 Personaliti Pemimpin Kelompok Pemimpin kelompok yang berkesan sudah semestinya harus mempunyai personaliti yang mampu menarik penghormatan dan kepercayaan setiap ahli kelompok. Menurut Corey (2002), pemimpin adalah orang yang paling signifikan dalam memastikan sama ada kelompok itu berjaya atau gagal. Dalam hal ini Corey menyatakan personaliti seseorang pemimpin memainkan peranan penting untuk menjayakan sesuatu kelompok. Antara ciri-ciri personaliti pemimpin yang perlu ialah berani, bersedia sebagai model, mengambil berat, percaya dengan proses kelompok, terbuka, kuasa peribadi, stamina, kesedaran kendiri, unsur humor, terbuka, presence, bersedia untuk dikritik, sensitif pada kepelbagaian budaya, berkemahuan untuk belajar pengalaman baru, dan komitmen yang tinggi. Jacobs (2001) menyatakan personaliti yang perlu ada pada pemimpin ialah mengambil berat, terbuka, fleksibel, bersemangat, objektif, dipercayai, jujur, kekuatan, sabar dan sensitif, suka pada manusia, selesa untuk memimpin, yakin untuk memimpin dan empati. Kottler (1994) pemimpin yang berkesan perlu mempunyai ciri-ciri peribadi seperti boleh dipercayai dan boleh menyimpan rahsia, memiliki keyakinan diri, menerima diri sendiri dan bersikap terbuka, berani mengambil risiko, kreatif, memiliki disiplin diri yang tinggi, bersemangat, bebas daripada perasaan negatif, memiliki perasaan belas kasihan, memiliki sifat humor, berkarisma, memiliki kelenturan, sensitif pada kepelbagaian individu dan budaya serta mesra dan terbuka. Sementara itu dalam pendekatan Islam personaliti pemimpin kelompok adalah begitu dititik beratkan. Personaliti seorang pemimpin Islam harus mempunyai sifatsifat dan ciri-ciri kenabian. Dengan adanya sifat kenabian itu seseorang pemimpin boleh memainkan peranan yang berkesan. Sifat-sifat yang perlu ada pada seorang pemimpin ialah sidiq (benar), amanah, tabligh (menyampaikan) dan fatanah (bijaksana). Mohamed Sharif (1998) telah membincangkan sifat-sifat utama yang perlu ada pada seorang pemimpin Islam ialah beriman dan bertakwa kepada Allah, jujur dan ikhlas,

benar (sidiq), berani, adil, pemurah dan ramah, sabar dan tenang, beradab dan berakhlak, percakapan yang baik, tidak munafik dan menepati janji. 1. Beriman dan bertakwa kepada Allah Beriman dan bertakwa kepada Allah adalah merupakan asas peribadi yang mampu membentuk personaliti mulia seseorang manusia. Dengan iman dan taqwa yang teguh seseorang pemimpin akan mempunyai keyakinan yang teguh dalam menjalankan proses tolong bantu.

2. Jujur dan Ikhlas Jujur dan ikhlas bermaksud bertutur atau memberitahu atau membuat sesuatu dengan sebenarnya. Islam begitu mengambil berat soal kejujuran dan keikhlasan tidak kira dari segi pertuturan, pemikiran dan perlakuan. Seseorang itu perlu jujur pada diri sendiri dan juga kepada ahli-ahli dalam kelompoknya.

3. Benar (Sidiq) Sifat pemimpin juga harus benar dalam percakapan dan perbuatan. Benar dalam percakapan ialah berterus terang dan tidak menokok tambah apa saja yang didengari.

4. Berani Berani iaitu berani kerana Allah dan berani kerana hak. Sebagai pemimpin harus ada keberanian untuk menegakkan yang hak dan menentang yang batil. Dalam kelompok kemungkinan akan timbul percanggahan nilai, moral dan pemikiran. Oleh sebagai pemimpin Islam harus berani untuk menyatakan yang hak mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh Islam.

5. Adil Adil bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya. Pemimpin dituntut berlaku adil dalam berbicara, mengambil tindakan dan membuat keputusan. Sikap dan personaliti pemimpin yang adil menjadikan ahli kelompok berasa puas hati, dihargai dan dihormati.

6. Pemurah dan ramah

Sifat pemurah dan ramah adalah intipati kepada membina perhubungan yang jelekit. Seorang pemimpin yang pemurah dan ramah iaitu kaya dengan senyuman, air muka yang manis, tutur kata yang lembut dan sopan akan membuatkan ahli kelompok rasa dihargai. 7. Sabar dan tenang Seorang pemimpin yang memiliki sifat ini akan dapat mengawal emosi dan keadaan jika timbulnya sebarang masalah, ketegangan dan konflik. Sifat sabar dan tenang mampu mengawal seseorang itu bertindak diluar batasan dan mampu untuk merancang sebarang tindakan dengan penuh hikmah.

8. Adab dan akhlak Adab dan akhlak yang baik akan dapat membina pergaulan yang yang baik. Bagi seseorang yang beradab dan berakhlak ialah mereka tidak berdendam, boleh memaafkan kesalahan orang lain dan menghormati orang lain. Adab dan akhlak pemimpin dalam kelompok akan dapat menjalin ukhuwah yang mesra dengan ahliahli kelompok.

9. Percakapan yang baik Sebagai pemimpin Islam percakapan yang baik adalah melambang keperibadian dan personaliti seseorang inidividu. Ini kerana melalui percakapan boleh menarik hati orang yang mendengar serta dapat menimbulkan interaksi yang mesra dan harmoni.

10. Tidak Munafik Munafik ialah seseorang yang suka berbohong iaitu banyak berpura-pura dan hipokrit. Seorang pemimpin dalam Islam adalah merupakan model yang paling berkesan dan ahli-ahli kelompok akan menilai setiap perkataan dan perbuatan seseorang pemimpin itu lebih-lebih lagi masyarakat kita yang terkenal dengan budaya ketimuran.

11. Menepati Janji Islam amat menitik beratkan soal menepati janji. Janji adalah satu lafaz yang perlu lahir dari hati suci bersih untuk melaksanakannya. Dalam pengendalian kelompok seseorang pemimpin perlu menepati sebarang janji yang telah dilafazkan contohnya dari segi ketepatan masa perjumpaan, tindakan dan sebagainya.

2.2.3 Isu Kerahsiaan Menurut Gladding, (2003) kerahsiaan adalah hak ahli mendedahkan pemikiran, perasaan dan maklumat peribadi kepada pemimpin dan ahli kelompok yang lain dan mengharapkan supaya maklumat itu tidak didedahkan kepada individu lain di luar kelompok. Semua ahli kelompok mengharapkan kelompok ini memberi peluang untuk berkongsi masalah dan yakin masalah ini tidak akan dikongsi oleh orang lain, melainkan ia menggugat keselamatan dan kesejahteraan individu ataupun orang ramai (Gazda dan rakan-rakan 2001). Menurut Jacobs, Masson dan Harvill, (2002) terdapat dua isu berkenaan kerahsian iaitu pemimpin kelompok perlu bertanggungjawab untuk menyimpan kerahsiaan isu kelompok dan pemimpin kelompok tidak mempunyai sepenuh jaminan dalam memastikan ahli kelompok untuk merahsiakan isu yang dibincangkan. Kerahsiaan adalah berasaskan kepercayaan ahli kepada pemimpin dan ahli kelompok yang lain. Adalah penting bagi menekankan etika kerahsiaan kepada semua ahli kelompok yang berpotensi (Corey dan Callanan, 1998). Mereka diharapkan menjaga kerahsiaan sebagai cara bagi mewujudkan kepercayaan, kejelekitan dan perkembangan dalam kelompok. Dari segi kerahsiaan ini terdapat tiga isu utama yang sering ditekankan : Pemimpin mempunyai tanggugjawab etika bagi memastikan etika dan kerahsiaan bahan dan maklumat kelompok. Pemimpin kekurangan kawalan atas kerahsiaan bahan dan maklumat yang dibincang dalam kelompok. Ahli perlu diberi kesedaran berkaitan kepentingan menjaga kerahsiaan sesi walaupun mereka tidak tertakluk sepenuhnya kepada etika kerahsiaan. Pemimpin kelompok perlu menjamin kerahsiaan daripada semua pihak luaran kecuali apabila pendedahan diperlukan daripada segi undang-undang iaitu melibatkan bahaya yang jelas dan nyata kepada keselamatan ahli ataupun orang lain. Pemimpin kelompok tidak dapat menjamin kerahsiaan penuh kerana ahli kelompok bebas berbincang dengan sesiapa saja di luar sesi walaupun telah dibuat penstrukturan. Corey (1990) mencadangkan cara yang terbaik bagi menggelakkan pembocoran rahsia adalah dengan membincangkan isu yang timbul di dalam kelompok sekiranya perlu. Pemimpin kelompok perlu peka dalam isu kerahsiaan ini dan jika mengesyaki ahli melanggar etika kerahsiaan maka tugas pemimpin kelompok adalah membawa isu ini ke dalam kelompok.

Walaupun pemimpin kelompok dapat menjanjikan dan menjamin kerahsiaan antara ahli, ini belum tentu dapat memastikan ahli kelompok berkongsi isu kelompok dengan orang lain (Gazda dan rakan-rakan, 2001). Dalam konteks ini pemimpin kelompok perlu peka dan melaksanakan perstrukturan yang jelas untuk memastikan kerahsiaan ini dapat dilaksanakan dengan sebaikbaiknya oleh ahli. Tugas pemimpin kelompok bukan sahaja untuk memastikan tanggungjawab kerahsiaan ini dilaksanakan, malah perlu peka untuk membawa isu kerahsiaan ini ke dalam kelompok jikalau dirasakan ahli kelompok melanggar etika kerahsiaan. Pemimipin kelompok perlu mewujudkan suasana kerahsiaan ini sentiasa dititikberatkan untuk menjamin kepercayaan bagi setiap ahli. Di dalam Islam telah menekan bahawa setiap individu perlu menjaga rahsia ataupun keaiban saudara-mara dan sahabatnya. Ini secara tidak langsung dapat memberi satu panduan dan ikutan kepada pemimpin mahupun ahli kelompok untuk sentiasa menjaga etika kerahsiaan kelompok.

2.2.4 Isu Malpractice atau Salah Amalan Isu malpractice ataupun salah amalan ini perlu diambil perhatian oleh semua pemimpin kelompok. Menurut Corey (2004) pemimpin kelompok perlu mengamalkan kod dan etika yang telah ditetapkan dan perlu mematuhi piawai yang sah. Tindakan undang-undang dapat dikenakan ke atas pemimpin kelompok sekiranya ahli melaporkan mereka mengalami kecederaan fizikal, trauma emosi, kemudaratan psikologi ataupun kewangan akibat daripada penyertaan dalam pengalaman kelompok ( Shaffer dan Galinsky, 1989; Swenson, 1977). Saman salah amalan boleh dikenakan ke atas pemimpin kelompok sekiranya mereka melanggar peruntukan etika kolompok. Cara terbaik untuk menjaga pemimpin kelompok daripada salah amalan ialah dengan mengambil tindakan pencegahan iaitu tidak melaksanakan sesuatu tindakan yang melampaui kecekapan (Corey, 2004). Gladding (2003) telah menyenaraikan beberapa garis panduan untuk memastikan pemimpin kelompok tidak melakukan malpractice iaitu : Mematuhi setiap kod etika yang ditetapkan oleh badan profesional Melakukan tapisan supaya dapat menggelakan ahli yang berpotensi mendatangkan masalah Hanya mengamalkan teori dan teknik yang berdasarkan kemampuan, latihan dan teknik yang dimiliki sahaja. Meluangkan masa pada permulaan sesi pertama bagi membincangkan peraturan kelompok dan tanggungjawab ahli kelompok.

Mendapatkan inform consent daripada klien ataupun ibu bapa klien sekiranya klien masih minor. Menjalani penyeliaan secara berterusan semasa menjalankan kelompok. Mematuhi syarat bayaran perkhidmatan dan amalan penyimpanan rekod yang ditetapkan undang-undang. Memperkasakan ahli bagi memantau, menilai dan bertanggung- jawab atas perkembangan diri sendiri. Menyedarkan ahli berkaitan kepentingan menjaga kerahsiaan dan situasi hak kerahsiaan boleh dimansuhkan. Sentiasa mengikuti perkembangan kajian, teori dan teknik amalan dalam bidang kepakaran masing-masing.

Untuk menggelakkan pemimpin kelompok melakukan salah amalan ialah dengan mengekalkan kemunasabahan, kelaziman dan latihan yang berhemat (Corey, 2004). Menurut Swenson (1997) terdapat 3 jenis salah amal yang sering berlaku iaitu : Memberi perkhidmatan yang tidak cekap dan berkesan sedangkan bayaran yang dikenakan mahal. Gagal melindungi orang lain daripada klien. Pencabulan hak peribadi klien seperti berkait dengan seks ataupun mengganggu hak privasy klien.

Isu salah amalan ini perlu dielakkan oleh pemimpin kelompok kerana ianya bukan sahaja memudaratkan pemimpin kelompok tetapi ahli kelompok juga akan menerima musibahnya. Pemimpin kelompok perlu mematuhi setiap peraturan dan kod etika yang telah ditetapkan oleh piawaian yang disahkan untuk menjamin proses kelompok ini berjalan dengan lancar. Penguasaan kecekapan juga memainkan peranan penting untuk menggelakkan salah amalan ini berlaku.

2.2.5 Isu Dwi Hubungan antara pemimpin kelompok dengan ahli Gazda dan rakan-rakan, (2001) menyatakan terdapat beberapa yang akan menyebabkan delima etika : 1. Pemimpin kelompok berkemungkinan akan membangunkan kelompok baru dan ada diantara ahli mempunyai kaitan ataupun hubungan dengan pemimpin kelompok.

Seperti contohnya pemimpin kelompok pernah bekerja bersama-sama ahli sperti guru dan pelajar ataupun teman sekerja dan sebagainya. Ini berkemungkinan akan menyebabkan konflik. 2. Selepas kaunseling kelompok bermula, konflik akan berlaku apabila ahli dan pemimpin kelompok saling mengenali antara satu sama lain. Dalam sesetengah situasi contohnya ketua kelompok telah menyedari bahawa di dalam kumpulannya terdapat bekas pasangan kliennya yang telah mengikuti kaunseling individu. Ini akan menyebabkan isu dwi hubungan berlaku antara pemimpin dengan ahli kelompoknya. 3. Tarikan fizikal juga berkemungkinan akan berlaku antara pemimpin dan ahli kelompoknya. Ini akan mewujudkan masalah kesaksamaan dan keadilan antara ahli dan pemimpin kelompok. 4. Isu dwi hubungan juga berlaku apabila pemimpin mempunyai 2 fungsi kepada kliennya iaitu sebagai pemimpin kelompok di dalam kelompok dan sebagai kaunselor di dalam kaunseling individu. Menurut Neukrug, Miliken dan Walden (2001), walaupun sesetengahdwi hubungan tidak dapt dielakkan dan nampak seolah-olah tidak membahayakan, semua jenis dwi hubungan ini mempunyai risiko dan potensi bagi membahayakan kerana kelemahan dan ketidakseimbangan kuasa antara kaunselor dan kliennya. Pemimpin kelompok mempunyai tugas dan tanggungjawab memastikan hubungan yang terapeutik tidak terjejas sekiranya wujud sebarang dwi hubungan yang tidak dapat dielakkan. Pemimpin perlu dapat mengawal situasi dan keadaan untuk mewujudkan satu kelompok yang betul-betul bebas daripada konflik yang bakal timbul apabila terdapat isu dwi hubungan ini.

2.2.6 Membuat keputusan yang beretika Dalam isu pemimpin membuat keputusan yang beretika ini ada 6 prinsip yang berkaitan iaitu : 1. Non-malifecence iaitu apabila ahli meninggalkan kelompok ianya tidak menganiaya ahli kelompok yang lain. 2. Benificence iaitu jika seseorang ahli dikeluarkan sejauh mana ia mendatangkan kebaikan kepada ahli kelompok yang lain. 3. Fidelity yang merujuk kepada kesetiaan dan tanggungjawab samaada pemimpin mahupun ahli terhadap kelompok. 4. Autonomi iaitu kebebasan ahli membuat keputusan. 5. Keadilan iaitu layanan sama rata untuk semua ahli.

6. Veracity iaitu kejujuran terhadap ahli kelompok. Ini penting bagi mengekalkan hubungan baik dan keterbukaan ahli pada pengalaman kelompok. Pemimpin harus mendapatkan kerjasama dari semua ahli kelompok bagi memastikan tiada perlanggaran undang-undang berlaku sepanjang sesi kelompok. Swenson (1997) memberi empat garis panduan bagi memastikan pemimpin itu bertindak secara etika iaitu : 1. Kejujuran peribadi dan profesional ahli 2. Bertindak bagi kepentingan ahli 3. Bertindak tanpa niat jahat atau kepentingan peribadi 4. Sama ada pemimpin dapat membuktikan tindakan adalah penilaian terbaik berkaitan apa yang sepatutnya dilakukan berdasarkan panduan terkini profesion.

2.2.7 Isu nilai dan silang budaya Setiap individu mempunyai nilai dan budaya yang berbeza. Dalam kaunseling memang tidak dapat dielak bahawa sistem nilai pemimpin akan sedikit sebanyak mempengaruhi pandangan pemimpin mengenai matlamat kelompok dan jenis pendekatan yang digunakan. Konflik nilai akan timbul apabila ahli kelompok datang dari pelbagai latar belakang dan pengalaman yang berbeza dari segi budaya tahap sosioekonomi, perbezaan umur dan gender, sistem kepercayaan, etnik dan agama yang berbeza. Nilai agama adalah merupakan salah satu punca berlakunya konflik nilai dalam kelompok. Konflik timbul apabila ada ahli yang membicarakan soal gay, lesbian, persetubuhan haram, penagihan alkohol, pengguguran dan sebagainya. Dalam keadaan ini pemimpin kelompok harus bijak menangani konflik nilai dalam kaunseling (Strupp, 1980 & Simon, 1978). Kebanyakan kelompok yang dibentuk adalah dari populasi yang pelbagai. Oleh yang demikian apabila seseorang pemimpin berada dalam kelompok dari populasi yang pelbagai, maka mereka perlu sensitif untuk melakukan pengubahsuaian dari segi konsep dan teknik intervensi bagi menyesuaikannya dengan kepelbagaian kelompok. Apa yang penting ialah pemimpin perlu bersedia untuk bekerja dalam kerangka kelompok pelbagai budaya (Han & Vasquez, 2000). Dalam masyarakat Malaysia pendekatan kaunseling pelbagai budaya khususnya dalam perjalanan sesebuah kelompok adalah penting memandangkan negara ini terdiri dari pelbagai etnik iaitu Melayu, Cina, India, Kadazan, Dusun dan sebagainya. Oleh yang demikian seorang pemimpin kelompok harus tahu tentang kepercayaan dan sikap sesuatu etnik supaya mereka tiada bias dan sedar tentang kepelbagaian ahli kelompok. Di samping itu pemimpin kelompok perlu ada pengetahuan

bagaimana asumsi nilai beberapa teori dan pendekatan mungkin akan bertindak dengan nilai-nilai kelompok etnik yang berlainan budaya. Pemimpin kelompok juga perlu sedar akan metod yang membantu culture-specific. Oleh itu pemimpin kelompok harus berupaya menggunakan kepelbagaian gaya kepimpinan yang kongruen dengan sistem nilai kelompok-kelompok etnik yang berbeza.

2.2.8 Pendedahan Kendiri Seseorang pemimpin akan mengalami konflik sama ada perlu atau tidak untuk membuat pendedahan kendiri. Pemimpin menghadapi dilema sejauhmanakah pendedahan kendiri yang perlu mereka lakukan. Ada sesetengah pemimpin hanya membuat pendedahan kendiri seminima yang mungkin bagi mengekalkan jarak diantara dirinya dengan ahli. Keadaan ini akan menyebabkan pemimpin sukar untuk melahirkan perasaan mereka kepada ahli dan kelompok dan ini akan menghadkan intervensi mereka dalam kelompok. Menurut Corey (1985), adakalanya pemimpin mengambil sikap hanya melakukan sedikit pendedahan kendiri. Mereka berlindung disebalik keprofesionalan mereka dan takut jika dilihat tidak profesional atau hilang hormat dari ahli kelompok. Menurutnya lagi jika pemimpin berhasrat untuk berkongsi sesuatu yang peribadi ia seharusnya dilakukan setelah memikirkan kebaikan dan keburukan kepada ahli atau untuk menggalakkan ahli supaya membuat pendedahan kendiri yang sama.

2.2.9 Kesan Nilai Pemimpin Kepada Kelompok Kebiasaannya nilai yang dipegang oleh seseorang pemimpin akan banyak mempengaruhi kelompok. Dalam kes ini menurut Corey (1985) dua isu penting iaitu imposing value dan exposing value. Imposing value ialah pemimpin dilihat tidak menghormati integriti ahli seolah-olah ahli-ahli tidak ada nilai sendiri untuk bertindak, manakala exposing value pula ialah pemimpin membenarkan ahli mencabar dirinya tanpa rasa bersalah jika ahli-ahli tidak menerima nilai pemimpin. Oleh itu pemimpin perlu menggunakan kemahirannya untuk menggerakkan ahliahlinya mencari nilai sendiri dan tidak mengharapkan orang lain menentukan untuk mereka.

2.2.9 Membuat Rujukan Apabila seseorang pemimpin merasakan tidak mampu untuk membantu mana-mana ahli maka mereka perlu merujukkan ahli tersebut kepada orang yang lebih pakar. Contohnya pemimpin tiada kemahiran berkaitan lesbian maka kes tersebut perlu dirujuk kepada orang yang ada kemahiran dalam mengendalikan kes tersebut.

Dalam hal ini seseorang pemimpin itu perlu merujuk ahlinya jika ada sebab-sebab berikut iaitu : i) Timbul konflik antara pemimpin dan ahli dan ia tidak dapat diselesaikan. Contohnya pemimpin telah jatuh hati pada ahlinya. ii) Ahli didapati tidak sesuai menjalani sesi kelompok tetapi lebih sesuai menjalani kaunseling individu dan pemimpin tidak menjalankan sesi individu maka pemimpin perlu merujuk ahli tersebut kepada orang yang menjalankan sesi individu. iii) Ahli tidak memerlukan sesi kelompok tetapi perlu kepada bantuan pihak berkuasa dan badan sokongan lain seperti kes jenayah dan sebagainya. iv) Pemimpin berasa dirinya tidak mampu menolong atau membantu ahlinya. Oleh itu dalam membuat rujukan itu pemimpin perlu mendapatkan persetujuan ahli tersebut terlebih dahulu dan sebarang keputusan adalah terletak di tangan ahli. Pemimpin kelompok juga perlu menilai sumber rujukan yang berpotensi dan sebaiknya menghubungi sumber tersebut bagi menentukan kesediaan dan kesesuaian memberi khidmat kepada ahli.

2.3 Isu-isu Selepas Kelompok (Closing Stages) 2.3.1 Penamatan Sesi kelompok Kelompok adalah koleksi inidividu. Apabila kelompok berakhir ahli-ahli akan pergi dengan maklumat baru, kepercayaan baru, pandangan hidup (world view) yang baru, tingkahlaku baru dan sudah ada keputusan yang ingin diambil tentang sesuatu perkara. Tahap penamatan adalah tahap penting dalam sesuatu sesi kelompok. Pada tahap ini pemimpin kelompok harus bijak untuk menamatkan kelompok supaya tidak timbul isu-isu berbangkit dalam kalangan ahli kelompok. Penamatan sesuatu kelompok juga akan meninggalkan kesan kehilangan kepada ahli. Jika isu rasa kehilangan ini tidak diatasi maka ia akan memberi kesan kepada proses teraputik yang telah berlaku sepanjang proses kelompok. Bagi menamatkan sesuatu sesi kelompok dengan jayanya pemimpin harus galakkan ahli kelompok untuk berkongsi perasaan sepanjang sesi berlangsung, ini boleh meningkatkan kejelekitan (cohesiveness) sesama ahli kelompok. Perkongsian perasaan ini adalah untuk mendengar perasaan ahli jika ada ahli yang tidak berpuas hati dengan kelompok. Isu yang penting pada tahap penamatan ini juga ialah tentang pembiaran (abandonment) iaitu selepas kelompok tamat ahli-ahli dibiarkan tanpa ada susulan. Pemimpin kelompok harus membuat tindakan susulan kepada semua ahli kelompok. Ini bagi menjaga kebajikan ahli-ahli klien dan terus memberikan bantuan dan sokongan kepada ahli-ahli kelompok. Ia juga dapat memberikan pemimpin maklum

balas berkaitan keberkesanan kelompok daripada ahli selepas ahli keluar dan menjalani kehidupan biasa. Oleh itu pemimpin dapat menilai keberkesanan kepimpinannya dan dapat membuat penambahbaikan sekiranya perlu.

3.0 Kesimpulan Kepimpinan dalam kelompok memainkan peranan yang besar untuk menjayakan sesebuah kelompok. Pelbagai cara,gaya dan pendekatan yang digunakan oleh pemimpin kelompok untuk menjayakan kelompok yang dipimpinnya. Isu-isu yang dibincangkan dan diketengahkan dalam kertas kerja ini boleh memberikan kesan ke atas sama ada berjaya atau gagal. Oleh itu seorang pemimpin perlu bertindak dengan sebaik mungkin supaya mereka mampu mengendalikan kelompok dengan berkesan dan mencapai matlamatnya. Rujukan Gazda G. M., Ginter E. J., & Horne A. M. (2001). Group Counseling and Group Therapy: Theory and Application. Needham Heights, MA: A Pearson Education Company.

Ida Hartina Ahmed Tharbe (2006). Memimpin Kaunseling Kelompok. Kuala Lumpur: PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.

Mohamed Sharif b Mustafa (1998). Jurnal Pendidikan UTM. JLd 4 bil 1 hal 19-30. Skudai: Penerbit UTM.

Zuraidah A.R.(1996). Pengenalan Kaunseling Kelompok. Petaling Jaya: IBS Buku Sdn. Bhd. Posted by kaunseling at 5:41 PM No comments:

JENIS-JENIS KELOMPOK KAUNSELING

1.0 Pengenalan

Kaunseling kelompok boleh dibahagikan kepada beberapa jenis. Jenis kaunseling kelompok ini dibahagikan bergantung kepada tujuan kelompok itu dibentuk, saiz kelompok, jangka masa kelompok itu berjalan, tanggungjawab pemimpin, tahap keseriusan masalah, kecekapan dan ketrampilan pemimpin dan kandungan perbincangan kelompok (Mahler, 1971). Corey (2000) mengklasifikasikan kelompok kepada kelompok psikoterapi, psikopembelajaran, kelompok bantu diri, kelompok brief dan kelompok orientasi tugas. Keseluruhannya kelompok kaunseling boleh dibahagikan kepada 2 jenis yang utama iaitu: 1. Kelompok berdasarkan perawatan 2. Kelompok berdasarkan populasi tertentu

2.0 Jenis-jenis Kelompok

2.1. Kelompok berdasarkan perawatan Kelompok yang dibentuk berdasarkan perawatan atau dipanggil juga kelompok pemulihan atau pendidikan dibahagikan kepada beberapa jenis yang utama iaitu : 1. Kelompok tugasan 2. Kelompok Psikoterapi 3. Kelompok Perkembangan ataupun pengalaman 4. Kelompok kaunseling ataupun teraputik 5. Kelompok Bantu diri 6. Kelompok Bimbingan

Kelompok Tugasan Kelompok tugasan adalah merupakan kelompok yang dibentuk dengan tujuan untuk mencapai sesuatu matlamat yang telah disasarkan. Kelompok jenis ini adalah memfokuskan pencapaian tugasan bagi kumpulan dan tidak menfokus kepada pencapaian individu. Menurut Association for Specialist in Group Work (ASGW, 2000) kelompok tugasan mempromosi pencapaian tugasan kumpulan yang cekap dan berkesan di kalangan individu yang dikumpul bagi melaksanakan tugas itu.

Kelompok ini tidak berfokus untuk mengubah individu sebaliknya penekanan adalah kepada pencapaian dalam melaksanakan sesuatu tugas yang telah diberikan. Proses dalam kelompok berlaku dengan penumpuan diberikan untuk menyelesaikan masalah mengikut tugasan kelompok. Ahli kelompok memberikan sepenuh perhatian kepada tugasan yang ditetapkan, brainstorming dilakukan bagi memikirkan pelan tindakan dan kata sepakat harus dicapai bagi melaksanakan pelan tindakan yang telah dibincangkan. Kejayaan kelompok tugasan ini banyak bergantung kepada sejauh mana dinamiknya kelompok itu. Pemimpin kelompok memainkan peranan penting untuk membina kelompok yang dinamik tersebut. Oleh itu pemimpin kelompok harus menggunakan kemahiran teraputiknya untuk membina kepercayaan, kerjasama dan kejelekitan dalam kalangan ahli kelompok bagi menggerakkan kelompok menjadi kelompok yang proaktif dan produktif. Setelah tahap kejelekitan telah wujud maka ia akan menarik komitmen, penglibatan dan sokongan setiap ahli kelompok. Namun demikian terdapat beberapa kelemahan dalam pengendalian kelompok jenis ini iaitu: 1. Ahli tidak jelas dengan peranan dan tujuan kelompok. Ahli-ahli kelompok mungkin ada yang tidak jelas peranan mereka dan tujuan berada dalam kelompok. Oleh itu mereka tidak dapat memberikan komitmen yang sepenuhnya semasa berada dalam kelompok. 2. Ahli yang pasif Oleh kerana ada ahli tidak jelas maka mereka akan lebih banyak berdiam diri dalam kelompok. Ahli yang pasif juga disebabkan mungkin adal dalam kalangan mereka yang tidak pernah mengikuti sesi kelompok dan apabila berada dalam kelompok mereka merasa tidak selesa dan sukar untuk memberikan kerjasama kepada ahliahli lain dalam kelompok. Oleh yang demikian Hulse-Killacky, Killacky & Donigian (2000) dalam Ida (2006), telah menggariskan beberapa andaian untuk memastikan kelompok tugasan berfungsi dengan lebih baik iaitu : 1. Tujuan kelompok jelas kepada semua ahli. 2. Proses dan kandungan kelompok adalah seimbang. 3. Sistem kelompok yang mengandungi pemimpin ahli dikenal pasti serta diperakui. 4. Masa yang mencukupi diambil bagi membina budaya dan pembelajaran berkaitan satu sama lain. 5. Etika kerjasama dan rasa hormat diperkembangkan dan disemai. 6. Konflik dikenal pasti.

7. Maklum balas diberikan. 8. Pemimpin memberi tumpuan kepada isu di sini dan kini 9. Ahli adalah merupakan sumber yang aktif. 10. Ahli mempelajari cara bagi ahli yang berkesan dan berpengaruh. 11. Pemimpin mempamerkan set kemahiran yang ditetapkan bagi membantu ahli menangani isu tugas dan hubungan kemanusiaan. 12. Ahli dan pemimpin mengambil masa bagi mengimbas apa yang berlaku sepanjang sesi. Andaian-andaian di atas jika dapat dipenuhi akan dapat memastikan kelompok berfungsi dengan baik.

Kelompok Psikoterapi Kelompok Psikoterapi adalah merupakan satu pendekatan kaunseling yang bersifat merawat dan memulihkan. Ia memberi tumpuan kepada ahli yang mengalami gangguan psikologi yang kronik bagi memperbetulkan emosi dan tingkah laku binormal sehingga menyebabkan disfungsi diri. Matlamat utama kelompok ini adalah perubahan personaliti individu sama ada kecil atau besar. Oleh kerana ia melibatkan perubahan personality maka proses kelompok psikoterapi ini mengambil masa yang agak panjang. Kelompok jenis ini berbeza dengan kelompok jenis lain kerana klien atau ahli kelompok terdiri daripada mereka yang mengalami gangguan mental, kecelaruan serius, kebimbangan kronik, depresi, kecelaruan identity, anxiety dan sebagainya. Klien dalam kelompok ini harus menepati diagnosis dalam Diagnostic Statistical Manual of Mental Disorder (DSMIV). Pemimpin kelompok ini juga berbeza dengan kelompok yang lain kerana ia melibatkan professional terlatih dalam pelbagai bidang perubatan dan kesihatan mental. Biasanya pemimpin kelompok jenis ini terdiri daripada ahli psikiatri ataupun ahli psikologi yang terlatih dan berlesen. Kelompok ini biasa dijalankan di hospital, pusat kesihatan mental dan melalui program pesakit luar. Dalam suasana seperti hospital pemimpin kelompok dapat memantau perkembangan pesakit setiap hari. Apabila pesakit beransur pulih mereka dikehendaki menjalani sesi kelompok seminggu sekali melalui program rawatan pesakit luar. Dalam kelompok ini biasanya kes-kes adalah berisiko tinggi. Oleh yang demikian menjalankan sesi dalam kelompok ini begitu mencabar, ini kerana pemimpin kelompok tidak dapat menjangka dengan tepat apa yang akan berlaku. Di samping itu juga ahli-ahli kemungkinan tidak mempunyai masalah yang sama, dan ini menyukarkan pemimpin kelompok untuk menggunakan pendekatan rawatan yang

sesuai untuk semua ahli kelompok. Oleh yang demikian pemimpin yang memimpin kelompok jenis ini memerlukan kemahiran yang tinggi dan struktur yang jelas.

Kelompok Perkembangan dan pengalaman Kelompok jenis ini adalah bertujuan membantu individu-individu yang sihat dari segi psikologinya. Kelompok jenis ini boleh dibahagikan kepada tiga jenis iaitu kelompok latihan atau T-Group, kelompok pertembungan dan kelompok marathon.

1. Kelompok Latihan atau T-Group Kelompok latihan atau T-Group adalah berorientasikan latihan bagi memperkembangkan sensitivity dan kemahiran interpersonal klien. Ahli belajar berkaitan diri sendiri dan orang lain. Ahli-ahli bebas menentukan apa yang mereka mahu pelajari dan mereka boleh menguji perlakuan mereka, menganalisa maklumat dan membuat keputusan.

2. Kelompok Pertembungan Kelompok pertembungan pula adalah bermula dari kelompok latihan dan ia berasaskan penyelesaian masalah. Namun ianya menggabungkan peluang supaya dapat berkembang dalam setting yang berbeza. Dalam kelompok ini ahli akan diproses untuk menjadi setulen yang mungkin melalui kaedah konfrantasi dan ini akan menjadikan keadaan kelompok lebih intensif dan emosional. Keadaan ini akan mewujudkan kurang selesa kepada ahli dalam kelompok dan ini memerlukan pemimpin kelompok bijak untuk menggunakan kemahiran-kemahiran mereka.

3. Kelompok Maraton Kelompok ini adalah merupakan jenis kelompok yang bercirikan perjalanan sesi yang agak panjang sehingga berminggu-minggu. Perjalanan sesi yang panjang ini adalah bagi membina hubungan yang efektif melalui interaksi yang mendalam. Ahli kelompok akan menjalankan aktiviti bersama sepanjang hari sehingga tempoh kelompok tamat. Antara ciri-ciri kelompok perkembangan adalah menekankan kepada: 1. Pembelajaran secara tindakan berbanding hanya berbincang berkaitan sesuatu isu.

2. Keutamaan diberi kepada pengalaman secara langsung hasil daripada peningkatan kesedaran dan tindakan. 3. Interaksi antara ahli amat digalakkan bagi memberi ahli peluang dan berani mengambil risiko serta mampu menjadi setulen yang mungkin. 4. Menurut Johnson & Johnson, 2000 ahli diberi latihan berstruktur sehingga kemahiran baru itu menjadi sebahagian dari fungsi formal seseorang individu.

Kelompok Kaunseling atau Teraputik Kelompok kaunseling adalah merupakan kelompok yang dibentuk bagi mewakili keadaan sebenar sebaik mungkin. Dalam kelompok ini, ahli-ahli akan memainkan peranan untuk membantu ahli yang mengalami masalah. Kelompok ini lebih berorientasikan masalah ataupun penyelesaian masalah, bersifat memulihkan dan mampu menghalang masalah yang bakal berlaku. Menurut Zuraidah, 1989 kaunseling kelompok ialah satu pendekatan yang boleh digunakan oleh kaunselor terlatih untuk memberi pertolongan yang berkesan kepada individu yang normal yang menghadapi masalah-masalah seharian yang biasa dalam satu jangka waktu yang sama. Fokus utama kaunseling kelompok adalah membantu individu menerokai dan mengkonfrantasi ketidakpuasan yang dilalui oleh mereka. Ahli-ahli yang mengalami masalah akan dibantu mencari jalan dan melaksanakan strategi bagi menyelesaikan masalah tersebut. Pemimpin kelompok harus cuba menyediakan suasana yang teraputik bagi memberi keselesaan, rasa selamat dan penuh kepercayaan bagi membolehkan setiap individu menilai diri-sendiri, meningkatkan perkembangan diri dan dapat berhubung dengan orang lain dengan lebih berkesan. Jumlah ahli kelompok adalah sekitar 6 hingga 12 orang dan keahlian adalah heterogeneous atau pelbagai. Ini adalah bagi mempertingkatkan sumber dalam kelompok. Dengan sumber yang pelbagai ini akan meningkatkan motivasi dan minat kelompok untuk kekal. Ahli-ahli dalam kelompok ini perlu bersikap terbuka dan fleksibel. Kelompok kaunseling menggunakan potensi ahli bagi memahami diri sendiri, merancang, mengubah dan melaksanakan pelan tindakan yang dirancang dalam kelompok.

Kelompok Bantu Diri Kelompok ini berbeza dengan kelompok kaunseling. Ianya tidak memerlukan pemimpin yang pakar kerana setiap ahli memainkan peranan untuk berkongsi pengalaman-pengalaman mereka, memberikan sokongan emosi dan social antara satu sama lain. Fungsi utama kelompok ini adalah sebagai system sokongan kepada

setiap ahli dan ahli dengan bantuan kumpulan bertanggungjawab kepada dirinya dan juga sebarang keputusan yang dibuat. Ciri-ciri kelompok ini juga ialah ahli adalah homogeneous, ahli bertindak sebagai agen sokongan dan bantuan dan sekiranya ada pemimpin dalam kelompok itu ia lebih bertindak sebagai fisilitator dan kebiasaannya pemimpin dilantik dalam kalangan ahli kelompok itu sendiri (Ida, 2006).Contoh kelompok bantu diri adalah kelompok untuk penagihan dadah, ketagihan alcohol, pesakit kanser, kurang upaya dan lain-lain. Terdapat beberapa kelemahan dalam kelompok ini iaitu dari segi peranan pemimpin yang kurang jelas, ini kerana pemimpin dilantik dalam kalangan ahli kelompok dan bertindak hanya sebagai fasilitator sahaja. Selain itu timbul persoalan sejauhmana keberkesanan kelompok kerana ahli hanya berkongsi pengalaman bukannya kepakaran dan pengalaman itu mungkin tidak sesuai bagi ahli yang lain kerana setiap individu berbeza latar belakang, pendidikan dan sebagainya. Ahli juga mungkin hanya meluahkan emosi dan tekanan yang dihadapi tanpa membantu ahli lain dan ini akan mewujudkan kebergantungan kepada kelompok.

Kelompok Bimbingan Kelompok bimbingan kebiasaannya banyak dijalankan di sekolah-sekolah dalam proses membimbing para pelajar. Ianya lebih berkisar kepada menyampaikan maklumat dan tidak melibatkan penerokaan yang mendalam. Dalam kelompok ini Thompson & Poppen (1979) menyatakan focus dan kandungan kelompok bimbingan di sekolah adalah perkembangan konsep kendiri, disiplin kendiri pelajar, hubungan rakan sebaya, hubungan interpersonal dengan individu lain, kemahiran belajar, perkembangan kerjaya dan mengembangkan suasana perkembangan yang efektif. Trotzer (1980) dalam Ida (2006) menyatakan bahawa kelompok bimbingan membekalkan maklumat dan kemahiran yang berguna secara peribadi dan menggalakkan hubungan interpersonal, perbincangan dan perkongsian demi membantu ahli kelompok memahami diri, perkembangan dan dunia mereka. Ida (2006) membahagikan kelompok bimbingan kepada 2 jenis iaitu: 1. Kelompok Bimbingan besar 2. Kelompok bimbingan kecil Kelompok bimbingan besar mampu menjangkau berpuluh-puluh peserta bergantung kepada keupayaan fasilitator yang menguruskan kelompok tersebut. Biasanya cara yang digunakan adalah seperti ceramah, tayangan video, forum dan lain-lain. Kelompok ini sangat menjimatkan masa kerana pemimpin kelompok dapat menyampaikan maklumat kepada khalayak yang besar dalam jangkamasa yang singkat. Namun terdapat kelemahan iaitu pemimpin atau fasilitator sukar untuk mengesan keberkesanan penyampaian maklumat tersebut.

Manakala kelompok bimbingan kecil pula hanya melibatkan 8 hingga 12 orang ahli pada setiap masa. Oleh yang demikian sesuatu isu dapat dibincangkan dengan lebih mendalam dan kebiasaannya tumpuan dalam kelompok ini lebih kepada perbincangan berbanding pembentangan oleh fasilitator atau pemimpin.

2. Kelompok Berdasarkan Populasi Tertentu Kaunseling kelompok berdasarkan populasi tertentu boleh dibahagikan kepada : 1. Kelompok kaunseling untuk kanak-kanak 2. Kelompok kaunseling untuk remaja 3. Kelompok kaunseling untuk pelajar 4. Kelompok kaunseling untuk orang tua

1. Kaunseling kelompok untuk kanak-kanak Kelompok ini tertumpu kepada pencegahan atau pemulihan. Kaunseling kelompok ini digunakan dengan tujuan untuk memberi peluang kepada kanak-kanak meluahkan perasaan mereka tentang masalah dan konflik yang mereka hadapi. Kebiasaannya terdapat kanak-kanak yang agresif iaitu suka bergaduh, susah untuk bergaul, panas baran, kurang perhatian dirumah, kelesuan dan keadaan diri yang terabai. Oleh yang demikian kanak-kanak yang mangalami masalah emosi dan tingkahlaku yang serius ini dibantu dengan diberi pemulihan awal untuk membantu mereka secara psikologi untuk menghadapi segala perkembangan hidup dengan lebih berkesan dan kanak-kanak ini dibantu bagi mengubah tingkahlaku mereka kea rah yang tingkahlaku normal.

2. Kaunseling kelompok untuk remaja Ketika menempuhi zaman remaja individu akan merasa kesunyian dan menghadapi kesukaran dalam membuat pilihan dan keputusan. Ini kerana pada zaman ini remaja masih lagi mencari-cari identiti diri mereka. Melalui kaunseling kelompok remaja dibantu dengan memberi ruang kepada mereka untuk meluahkan konflik-konflik perasaan yang dihadapi, keraguan kepada kebolehan diri dan menyedari semua keadaan tersebut dikongsi bersama dengan rakan remaja yang lain. Dalam kelompok mereka belajar untuk berinteraksi dengan rakan remaja yang lain dan mereka mendapat faedah dari contoh interaksi mereka dengan pemimpin kelompok yang biasanya dikendalikan oleh kaunselor, bahkan mereka belajar untuk meluahkan keprihatinan mereka dan bagaimana pendapat mereka didengari. Dalam

konteks ini remaja belajar untuk membantu orang lain untuk mencapai persefahaman dan penerimaan diri.

3. Kaunseling kelompok untuk pelajar Kaunseling kelompok ini biasanya digunakan di sekolah, kolej dan juga universiti. Ia juga dikenali dengan panggilan home rome dan sebagainya. Kelompok ini digunakan sebagai medan kepada pelajar yang menghadapi masalah perkembangan sosial dan emosi seperti masalah pemilihan kerjaya, hubungan antara rakan sebaya, krisis identiti, perasaan dipinggirkan dan sebagainya.

4. Kaunseling kelompok untuk orang tua Apabila menjejaki usia tua maka akan timbul perasaan kesunyian dan rasa terpinggir. Kaunseling kelompok ini lebih tertumpu kepada bagaimana untuk mencegah kesunyian dan menawarkan galakkan yang penting ketika mereka mencari makna kehidupan sebenar supaya mereka dapat melalui kehidupan yang lebih bermakna. Melalui kaunseling kelompok ini golongan tua harus sedar bahawa banyak benda yang boleh dilakukan apabila mereka berjaya membuang tanggapan negatif seperti rasa terpinggir dan rasa tidak berguna kepada membina rasa hormat, rasa tulus dan rasa sempurna.

3.0 Kesimpulan Terdapat dua jenis kaunseling kelompok yang telah dikategorikan. Kaunseling kelompok tersebut bergerak dengan tujuan dan matlamat yang berbeza bergantung kepada tujuan kelompok itu mula-mula dibentuk.

4.0 Rujukan

Corey, G. (2000). Theory & Practice of Group Counseling. (5th Ed). California: Brooks/ Cole Publishing Company.

Hulse-Killacky, D., Killacky, J. & Donigian, J. (2000). Making Task Group Work In Your World. Upper Saddle River, NJ: Prentice Hall.

Ida Hartina Ahmed Tharbe. (2006). Memimpin Kaunseling Kelompok. Kuala Lumpur: Pts Publications.

Johnson, D. W. & Johnson, J. P (2000). Joining Together: Group Theories and Group Skills. Needham Heights: Allyn and Bacon.

Mahler, M. S. (1971). A Study of the separation and individuation process: The Psychoanalytic Study of the Child. New York: Quadrangle.

Thompson, C. L. & Poppen, W. A (1979). Guidence Activities for Counselors and Teachers. Monterey, CA: Brooks/ Cole.

Zuraidah A.R.(1989). Pengenalan Kaunseling Kelompok. Petaling Jaya: IBS Buku Sdn. Bhd. Posted by kaunseling at 5:39 PM No comments: KAUNSELING KELOMPOK

1.0 Pengenalan Kaunseling kelompok telah memperlihatkan potensi yang besar dalam membantu individu dalam bilangan yang besar. Menjadi lumrah manusia hidup dalam satu komuniti masyarakat. Perasaan saling memerlukan antara satu sama lain wujud sejak dilahirkan lagi. Ini kerana setiap manusia saling perlu-memerlukan antara satu sama lain. Dalam institusi pendidikan keberkesanan intervensi kelompok telah terbukti. Menurut Corey (1995), kaunseling kelompok boleh membantu bilangan pelajar yang lebih besar di institusi pendidikan.

2.0 Definisi Kelompok Kaunseling dan Kaunseling Kelompok

Menurut Websters Third New World International Dictionary kelompok didefinisikan sebagai: ...a number of individuals bound together by a community of interest, purpose or function.

Johnson and Johnson (1991) pula berpendapat kelompok adalah:

..a collection of two or more individuals, who meet in face to face interaction, independently, with the awareness that each belongs to the group and for the purpose of achieving mutually agreed-upon goals

Gadza (1978) mendefinisikan kelompok sebagai:

group work refers to the dynamic interaction between collections of individuals for prevention or remediation of difficulties or for the enhancement of personal growth/ enrichment through the interaction of those who meet together for a commonly agreed on purpose and at prearranged times.

Kaunseling Kaunseling pula adalah satu proses tolong bantu bagi menyesuaikan diri dengan kehidupan seharian. Rogers (1961) mendefinisikan kaunseling sebagai:

..counseling is a relaxed, safe, and facilitative relationship in which an incongruent, disorganized and troubled person moves towards becoming open, integrated, secure and fully functioning.

Cottle (1973) pula berpendapat:

..counseling is the psychological by which a professional person helps a relatively normal client to explore, understand and accept behavior so that future behavioral choices can be made particularly those of an educational or vocational nature.

Gibson dan Mitchell (1986), mentakrifkan kaunseling sebagai :

satu proses dalam membantu klien menyesuaikan diri dengan hal-hal seharian mengenai perkembangan dan memperbaiki perkembangan itu sama ada pembaikan terhadap tingkahlaku, perhubungan peribadi, nilai-nilai dan pemilihan kerjayanya di samping membina kemahiran-kemahiran dalam bidang berkaitan.

Brammer and Shostrom (1960) pula mendefinisikan kaunseling sebagai:

a one to one relationship between counselor and client which focuses on rational planning, problem solving, decision making and situational pressures as related to the clients daily living).

Kaunseling Kelompok Kaunseling kelompok boleh didefinisikan sebagai pengumpulan beberapa orang individu yang berinteraksi serta mempunyai perhubungan psikologi di antara satu sama lain. Ia melibatkan proses perhubungan individu dalam kumpulan secara dinamik tentang tingkahlaku dan pemikiran. Ia juga melibatkan fungsi-fungsi terapi yang mana ahli-ahli dalam kelompok berkongsi masalah peribadi bersama rakan sebaya dan kaunselor. Hansen, Warner dan Smith (1980) menghuraikan kaunseling kelompok sebagai satu perhubungan di antara kaunselor dengan beberapa orang klien atau ahli-ahli. Mereka menilai diri dan keadaan dalam usaha mengubah sikap dan kelakuan. Fokusnya adalah pada pencegahan dan rawatan. Kaunseling pencegahan menolong ahli-ahli menyelesaikan masalah sebelum ia bertambah rumit. Carl Rogers (1970) mendefinisikan kaunseling kelompok sebagai orientasi permasalahan dan pemulihan proses yang mana setiap orang dirasionalkan mengikut kehendak ramai. Kaunseling kelompok adalah satu proses perhubungan antara individu secara berkelompok yang melibatkan seorang kaunselor dengan beberapa orang ahli yang

mencerminkan diri mereka serta situasi yang dialami. Tujuan perhubungan tersebut adalah untuk mengubah sikap dan kelakuan.

Ohlsen, Horne and Lawe (1988) menyatakan kaunseling kelompok sebagai:

..a helping process that provides the opportunity for counseless to identify goals of change to develop skills necessary to archieve those goals and to practice those skills within a safe and structure setting.

Menurut Gadza, Duncan and Meadows (1967) :

..group counseling is a dynamic interpersonal process focusing on conscious thought and behavior and involving the therapy functions of permissiveness, orientations to reality, catharsis and mutual trust, caring, understanding, acceptance and support. The therapy functions are created and nurtured in a small group through the sharing of personal concerns with ones peers and the counselors. The group counselees are basically normal individuals with various concerns which are not debilitating to the extent requiring extensive personality change. The group counselees may utilize the group interaction to increase understanding and acceptance of value and goals and to learn and unlearn certain attitudes and behaviors.

Gladding (1995) mendefinisikan kaunseling kelompok ialah dua orang atau lebih yang berkumpul bersama untuk tujuan beberapa interaksi yang telah dirancang. Pemimpin membentuk kumpulan untuk membincangkan atau membuat keputusan tentang sesuatu perkara, meneroka masalah peribadi atau untuk menyiapkan tugas khusus untuk mencapai matlamat yang spesifik. Berdasarkan definisi-definisi di atas dapat dirumuskan bahawa kaunseling kelompok adalah satu proses interaksi antara individu yang dinamik dan melibatkan seorang kaunselor terlatih yang berperanan sebagai pemimpin dengan beberapa orang ahli yang ingin menerokai diri sendiri serta keadaan yang dialami dalam usaha mengubah sikap untuk memperoleh penyesuaian dan perkembangan diri. Kaunseling kelompok mempunyai ciri-ciri tertentu iaitu dari segi jenis kelompok, matlamat kelompok, tahap-tahap perkembangan dalam kelompok, peranan ahli-ahli dalam kelompok dan ia juga ada kelebihan dan terdapat juga limitasi dalam pengendalian kaunseling kelompok.

Kaunseling kelompok melibatkan ahli yang ramai. Oleh yang demikian setiap ahli mempunyai peranan masing-masing. Kaunselor adalah merupakan pemimpin kelompok yang mana berperanan untuk menggerakkan kelompok kearah matlamat yang ingin dicapai dalam kelompok. Dari segi jenis kelompok terdapat pelbagai jenis kelompok dan ianya bergantung kepada tujuan kelompok itu dibentuk. Antara jenis kelompok ialah kelompok bimbingan, kelompok kaunseling, kelompok T dan kelompok psikoterapi.

3.0 Matlamat Kaunseling Kelompok Dalam kelompok ia mempunyai matlamat tertentu. Secara umumnya tujuan atau matlamat kaunseling kelompok adalah untuk memperbaiki sikap serta perlakuan klien yang tidak berkesan atau yang tidak mendatangkan faedah. Corey (1995) berpendapat kaunseling kelompok mempunyai tujuan untuk pencegahan dan pemulihan. Hansen (1976) menjelaskan tujuan mencegah adalah supaya klien dapat mengatasi masalah yang dihadapi sebelum masalah tersebut menjadi serius manakala tujuan memulih pula adalah bagi klien yang sedang mengalami masalah yang serius dan kaunseling kelompok merupakan satu proses intervensi untuk mengubah tingkahlaku. Corey (1995) berpendapat adalah baik sekiranya setiap ahli kelompok dapat membuat matlamat khusus dalam kelompok. Beberapa matlamat umum yang dikongsi bersama ahli kelompok ialah : 1. Belajar mempercayai diri sendiri dan orang lain 2. Memperoleh pengetahuan tentang diri sendiri dan membentuk keunikan identity diri. 3. Mengenalpasti kesamaan tentang keperluan dan masalah ahli dengan itu berusaha mewujudkan perasaan kesejagatan 4. Meningkatkan penerimaan, keyakinan dan hormat diri supaya dapat melihat diri dari perspektif yang baru. 5. Mencari alternative dalam menangani isu perkembangan dalam hidup dan mengatasi konflik tertentu. 6. Meningkatkan arah diri, outonomi dan bertanggungjawab terhadap diri dan orang lain. 7. Menyedari hak membuat pilihan secara bijaksana.

4.0 Kelebihan Kaunseling Kelompok

Kaunseling kelompok mempunyai kelebihan tertentu. Antara kelebihan kaunseling kelompok ialah: 1. Kaunseling kelompok lebih menjimatkan masa dan usaha. Tidak banyak klien yang dapat dibantu oleh kaunselor melalui kaunseling individu. Dengan membentuk program kelompok yang baik seseorang kaunselor kelompok dapat membantu ahli menjelaskan nilai atau menyelesaikan masalah di samping melayan ahli yang memerlukan tumpuan individu. Pendekatan ini sesuai digunakan di institusi yang mempunyai kekangan masa dan kemudahan seperti sekolah, penjara dan pusat kesihatan mental. 2. Kehadiran ahli yang ramai dapat memainkan peranan sebagai sumber dalam berkongsi maklumat, menyumbangkan pelbagai pandangan atau meneroka nilai peribadi individu yang lain. Pandangan dan pendapat yang berbeza dapat menjadikan sesuatu pengalaman itu lebih menarik dan lebih rapat dan berkait dengan realiti hidup. 3. Ahli kelompok dapat memberikan sokongan yang lebih luas berbanding dengan kaunseling individu terutama sekali untuk masalah yang berkaitan dengan konflik antara perseorangan. Ahli dalam kelompok berpeluang menyelesaikan masalah itu dalam setting sosial yang berstruktur. Mereka dapat mencuba dan melatih tingkahlaku baru dan memperoleh sokongan dan maklumbalas daripada ahli yang lain. 4. Ahli kelompok dapat meletakkan masalah mereka dalam perspektif dan memahami persamaan atau perbezaan masalahnya dengan masalah orang lain.

Proses kaunseling kelompok mempunyai kesesuaian kepada individu seperti berikut : 1. Mereka yang rasa malu atau agresif apabila berinteraksi dengan orang lain. 2. Mereka yang suka membantah atau mengakur kepada jangkaan sosial 3. Mereka yang sukar mendapat kawan atau menjalin hubungan yang lama dengan kawan dan perlu mempelajari kemahiran bersosial dan berkomunikasi. 4. Mereka yang perlu berkongsi sesuatu dengan orang lain untuk mencapai keperluan merasai dirinya dipunyai dan diterima. 5. Mereka yang perlu mempelajari menghormati dan memahami sifat manusia yang berbeza-beza. Namun kaunseling kelompok tidak sesuai kepada golongan berikut:

1. Mereka yang mangalami konflik peribadi atau konflik antara perseorangan yang terlalu peribadi untuk dikongsi bersama. 2. Mereka yang mempunyai rahsia yang tidak dapat dikongsi bersama untuk menjaga nama baik klien atau orang lain. 3. Mereka yang terlalu takut berinteraksi sosial dengan orang lain. 4. Mereka yang mempunyai pengalaman traumatic dalam kelompok. 5. Mereka yang tiada kawalan diri dalam situasi berkelompok 6. Mereka yang tidak faham dan sedar tentang perasaan sendiri sehingga dia merasa terumbang-ambing dan tidak tahu bagaimana berkongsi perasaan dan pengalaman dengan orang lain.

5.0 Limitasi Kaunseling Kelompok Walaupun banyak kelebihan dalam kaunseling kelompok namun ia juga ada limitasi atau batasannya. Menurut Shertzer dan Stone (1974) antara limitasi ialah: 1. Ada ahli yang tidak sesuai untuk kaunseling kelompok kerana ia lebih sesuai untuk mendapatkan bantuan individu sebelum mereka dapat berfungsi dengan baik dalam kelompok. Ahli ini mungkin rasa tidak selamat dan tidak terdaya apabila berada dalam kelompok tanpa mengalami proses individu terlebih dahulu. 2. Selain itu ada juga ahli yang sukar untuk membina kepercayaan terhadap ahli lain. Dengan itu mereka tidak menimbulkan isu berkaitan sikap, perasaan, nilai dan tingkahlaku yang mereka merasakan tidak akan diterima oleh ahli lain dalam kelompok. 3. Perkembangan kelompok tersekat oleh isu yang memerlukan masa yang lama untuk ditangani bersama. Keadaan ini menyebabkan tumpuan ke atas ahli yang lain semakin kurang. 4. Peranan pemimpin dalam kelompok tidak luas dan lebih kompleks kerana ahli yang ramai.

6.0 Kesimpulan

Sesungguhnya kaunseling kelompok adalah merupakan satu medium yang begitu praktikal dalam proses membantu setiap klien mencapai kehendak diri kea rah menjadi yang lebih baik. Kaunseling kelompok merupakan agen pencegahan atau pengubatan kepada seseorang individu. Melalui kaunseling kelompok akan membantu seseorang individu dan ahli lain mengalami proses memperbaiki tingkahlaku. Menurut Mahler (1971) melalui kelompok mereka bukan sahaja bekerjasama secara berpasukan malah mereka juga merasai apa yang dirasai oleh ahli dalam kelompok tersebut.

7.0 Rujukan

Brammer, L. M., & Shostrom, E. L. (1960). Therapeutic Psychology. Englewood Cliffs, NJ: Prentice Hall.

Corey, G. (1995). Theory and Practice of Group Counseling (4th Ed). Pacific Grove, CA: Brooks/ Cole Publishing Company.

Gazda, G. M., Duncan, J. A. Meadows, M. E. (1967). Group Counseling and Group Procedures- Report of a Survey. Counselor Education and Supervision.

Gazda, G. M. (1989). Group Counseling : A Developmental Approach (4th Ed). Boston, MA: Allyn and Bacon.

Gibson, R. L. & Mitchell, M. H. (1986). Introduction to Counseling and Guidence (2nd Ed). NY: Macmilan Publishing Company.

Gladding, S. T. (1995). Group Work. A Counseling Speciality (2nd Ed). Englewood Cliffs, NJ: Prentice Hall.

Hansen, J. C., Warner, R. W. & Smith, E. J. (1980). Group Counseling. Theory and Process (2nd Ed). Chicago: Rand McNally. Johnson, D.W., & Johnson, F. P. (1991). Joining Together (4th Ed). Englewood Cliffs, NJ. Prentice Hall.

Mahler, M. S. (1971). A Study of the separation and individuation process: The Psychoanalytic Study of the Child. New York: Quadrangle.

Ohlsen, M. M., Horne, A. M. & Lawe, C. F. (1988). Group Counseling (3rd Ed). New York: Holt, Rinehart & Winston.

Rogers, C. (1961). On Becoming A Person: A Place of the Person In The World. Boston: Houghton Mifflin Inc.

Rogers, C. (1967). Carl Rogers On Encounter Groups. New York: Harper & Row.

Shertzer, B. & Stone, S. (1974). Fundamental of Counseling (2nd Ed). Boston: Houghton Mifflin Inc. Posted by kaunseling at 5:33 PM No comments:

KESIHATAN MENTAL

Kesihatan mental berkait rapat dengan kehidupan kita. Orang ramai sering mengaitkan kesihatan mental dengan penyakit mentalm tetapi kenyataan ini adalah kurang tepat.

Ia melibatkan kehidupan harian yang merangkumi:

* Memupuk perasaan, fikiran dan tingkahlaku yang positif dalam diri sendiri. * Kemampuan untuk berinteraksi secara sihat dengan orang lain, kumpulan dan persekitarannya. * Bagaimana seseorang itu mengendalikan tanggungjawab, masalah dan tekanan yang timbul dari kehidupan harian.

Ciri-ciri kesihatan mental yang positif

Terhadap diri sendiri

* Menyedari kelemahan dan kekuatan diri sendiri. * Berupaya mengawal perasaan. * Sanggup menerima kegagalan. * Mampu menghindari kegiatan yang tidak bermoral. * Menghargai diri sendiri.

Terhadap orang lain

* Mampu berkomunikasi secara berkesan dengan orang lain. * Mampu memberi dan menerima kasih sayang.

* Tahu menghargai dan mempercayai orang lain. * Dapat menerima pendapat orang lain secara terbuka.

Terhadap cabaran

* Berupaya menghadapi dan menyelesaikan masalah. * Mampu mengatasi konflik dengan bijak. * Mampu membuat keputusan untuk diri sendiri. * Bersedia mendapatkan pertolongan sekiranya gagal menyelesaikan masalah harian.

10 Langkah Ke Arah Kesihatan Mental Yang Positif

* Menerima kenyataan diri secara realistik. * Mengendali masa dengan baik (time management) * Merancang perubahan dalam kehidupan secara bijak. * Memupuk hubungan harmoni dan kasih sayang dengan ahli keluarga dan orang lain. * Menjaga kesihatan fizikal. * Menyediakan masa untuk aktiviti fizikal dan riadah. * Memastikan rehat dan tidur yang cukup. * Mengendalikan tekanan mental secara berkesan. * Mengamalkan asas-asas kerohanian yang baik. * Berkongsi masalah dengan orang lain dan mendapat pertolongan profesional sekiranya perlu.

Akibat Kesihatan Mental Yang Diabaikan Seseorang Itu Mungkin Mengalami:

* Perasaan rendah diri. * Tekanan dalam hidup. * Pertelingkahan dan keruntuhan rumahtangga / keluarga. * Kecenderungan melakukan kegiatan tidak bermoral (minum arak, bohsia, penyalahgunaan najis dadah, sumbang muhrim dan perzinaan) * Suasana tempat kerja yang tidak menyenangkan. * Kecenderungan menggunakan keganasan untuk menyelesaikan masalah (penderaan kanak-kanak / pasangan, buli jalanraya, buli sekolah) * Peningkatan risiko penyakit mental.