Anda di halaman 1dari 7

RAMALAN 2 - KARANGAN PANJANG PMR 2011

KARANGAN RAMALAN 2 SOALAN: Anak ibarat kain putih, ibu bapalah yang akan mencorakkannya. Jelaskan pendapat anda tentang ungkapan di atas. Anak merupakan kurniaan Ilahi yang paling berharga. Kehadiran setiap anak dalam keluarga lazimnya mewarnai kehidupan berumah tangga kerana cahaya mata merupakan harapan ibu bapa yang utama. Walau bagaimanapun, ibu bapa harus sedar bahawa anak ibarat kain putih, ibu bapalah yang harus mencorakkannya. Ungkapan ini memainkan peranan yang penting dalam menjalankan tanggungjawab keibubapaan. Oleh sebab itu, ibu bapa haruslah memikul tanggungjawab untuk membina generasi baharu yang lebih berkualiti sebagai pemimpin masa depan negara kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Ibu bapa mestilah menjaga anak-anak mereka dengan penuh kasih sayang bagai menatang minyak yang penuh. Hal ini dikatakan penting kerana kasih sayang yang dicurahkan oleh ibu bapa mampu menyedarkan anak-anak tentang betapa pentingnya institusi kekeluargaan demi membina masyarakat yang berkualiti. Mengikut kajian yang dijalankan, lebih 60 peratus anak muda yang terlibat dalam gejala sosial terdiri daripada golongan yang kehausan kasih sayang ibu bapa. Oleh sebab itu, anak-anak harus disayangi dan dijaga dengan baik supaya mereka mudah berasa bersalah dan akan berfikir demi ibu bapa sebelum melakukan perbuatan yang buruk yang mampu menconteng arang di muka ibu bapa. Selain itu, ibu bapa turut memainkan peranan penting untuk memberikan pendidikan kepada anak-anak. Hal ini dikatakan demikian kerana pendidikan yang berkualiti dapat menjamin masa depan anak-anak. Pada kebiasaannya, ibu bapa mula menghantar anak-anak ke tadika sejak umur mereka tiga tahun lagi. Ibu bapa sedar bahawa melentur buluh biarlah dari rebungnya. Dengan ilmu pengetahuan yang dimiliki apabila masuk ke menara gading, anak-anak dapat menjaga ibu bapa dan menjamin masa depan mereka. Oleh itu, ibu bapa haruslah mementingkan pelajaran anak-anak mereka. Lain daripada itu, ibu bapa juga memainkan peranan penting sebagai suri teladan kepada anakanak. Hal ini dikatakan demikian kerana bapa borek anak rintik. Ibu bapa haruslah menunjukkan sikap yang bermoral di hadapan anak-anak. Sebagai contoh, ibu bapa tidak wajar berbahasa kesat mahupun merokok di hadapan anak mereka. Secara tidak langsung, anak-anak akan terdidik untuk mendisiplinkan diri kerana datang daripada keluarga yang baik dan yang mementingkan disiplin kerana kalau asal benih yang baik, jatuh ke laut menjadi pulau . Para ibu bapa juga harus sedar bahawa mereka perlu menjadi tempat anak-anak bergantung hidup. Oleh sebab itu, ibu bapa harus bekerja keras memberikan kehidupan yang terbaik kepada anak-anak mereka. Sebagai contoh, segala keperluan dan kelengkapan belajar haruslah disediakan oleh ibu bapa. Dengan berbuat demikian, ibu bapa sudah pun memenuhi komitmen mereka sebagai pendorong dan penggalak anak-anak mereka untuk menimba ilmu. Saya yakin bahawa anak-anak akan berusaha untuk berjaya dalam bidang akademik dan kokurikulum demi tidak menghampakan ibu bapa mereka sekali gus tidak menjadi seperti kacang lupakan kulitnya.

Ilmu agama merupakan salah satu ajaran yang perlu disalurkan oleh ibu bapa ke dalam sanubari anak-anak mereka. Hal ini dikatakan demikian kerana pegangan agama yang kuat dalam diri seseorang anak akan memperteguh keimanan mereka untuk menghadapi dugaan hidup. Oleh hal yang demikian, ibu bapa haruslah memberikan didikan agama dan moral kepada anak-anak mereka supaya anak-anak tahu membezakan yang mana batu, yang mana permata. Secara tidak langsung, mereka tidak akan menjerumuskan diri dalam kancah jenayah kerana sedar bahawa manusia punya asa, Tuhan punya kuasa. Dengan ini, masalah sosial dan jenayah dalam masyarakat kita akan berkurangan kerana ibu bapa telah menjadi pembimbing dan menunjukkan jalan hidup yang betul kepada anak-anak. Konklusinya, ibu bapa haruslah memerhatikan gerak-geri anak mereka sejak kecil lagi. Saya yakin bahawa tiada seorang pun ibu bapa yang mahu melihat anak mereka tergelincir daripada landasan hidup yang betul. Oleh sebab itu, para ibu bapa haruslah digalakkan menyertai bengkel keibubapaan dan kursus yang berkaitan dengan tanggungjawab ibu bapa mencorak anak-anak menjadi modal insan yang mulia demi masa depan anak-anak mereka. Dengan perkataan lain, segala tindakan ibu bapa terhadap anak mereka bakal memberikan impak yang besar dalam kehidupan anak mereka. Demikianlah kebenaran ungkapan anak ibarat kain putih, ibu bapalah yang akan mencorakkannya.

RAMALAN 3 - KARANGAN PANJANG PMR 2011


KARANGAN RAMALAN 3 SOALAN: Sekolah anda akan menganjurkan kempen masyarakat penyayang. Sempena kempen tersebut, anda sebagai wakil pelajar diminta untuk menyampaikan satu ceramah tentang cara-cara menghargai warga tua. Sediakan teks ceramah anda selengkapnya. Salam sejahtera dan salam 1Malaysia saya ucapkan kepada Tuan Pengerusi Majlis, yang berusaha Tuan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Alam Impian, yang dihormati guru-guru dan ibu bapa yang hadir, serta rakan seperjuangan yang saya kasihi. Kempen masyarakat penyayang merupakan inisiatif pihak sekolah sebagai menyahut seruan kerajaan yang mengadakan Kempen Budi Bahasa dan Nilai Murni di seluruh negara setiap tahun. Hal ini dikatakan demikian kerana kempen ini bukan sahaja dapat memberikan kesedaran kepada kita tentang budi bahasa budaya kita tetapi juga menanamkan nilai-nilai murni dalam sanubari kita. Oleh hal yang demikian, kita haruslah memiliki budi pekerti yang mulia dan mengamalkan nilai murni sepanjang kehidupan kita. Tanpa membuang masa, saya akan menyampaikan ceramah tentang cara-cara menghargai warga tua. Hadirin yang saya hormati, Setiap manusia yang lahir di bumi ini akan melalui proses lahir, tua, sakit dan mati mengikut peribahasa Cina yang popular. Hal ini membuktikan bahawa jika nyawa kita dipajangkan Tuhan, kita akan melalui kehidupan sebagai warga tua selepas berusia lebih 55 tahun. Di Malaysia, golongan warga tua ini mencatatkan 20 peratus daripada bancian penduduk kita. Pada kebiasaannya, golongan ini tidak bekerja lagi dan tinggal di rumah untuk menunggu ajal tiba. Walau bagaimanapun, tanpa mereka kita tidak mungkin dapat menikmati kehidupan yang selesa pada zaman pascakemerdekaan ini. Janganlah kita menjadi seperti kacang lupakan kulit. Oleh hal yang demikian, jasa dan pengorbanan mereka harus kita hargai.

Pihak kerajaan haruslah mengiktiraf warga tua dalam usaha menyemai nilai menghormati mereka. Hal ini demikian kerana warga emas ini lebih banyak makan garam daripada kita dan mempunyai lebih banyak pengalaman hidup. Sebagai contoh, pihak kerajaan haruslah memberi subsidi bantuan penuh kepada warga tua yang menaiki pengangkutan awam dan menggunakan perkhidmatan awam seperti hospital kerajaan. Dengan cara ini, golongan yang sudah tidak bekerja lagi akan berasa dihargai dan disanjung dalam masyarakat. Saya percaya bahawa mereka akan melalui sisa-sisa kehidupan dengan penuh bermakna. Selain itu, pihak kerajaan juga haruslah memperuntukkan belanjawan untuk membina rumah kebajikan untuk warga tua yang teraniaya dan terabai oleh keluarga mereka. Hal ini dikatakan demikian kerana ada golongan muda yang bertopengkan muka manusia tetapi berhati binatang ini mengabaikan kebajikan warga tua demi kepentingan diri. Oleh hal yang demikian, pihak kerajaan haruslah menyediakan tempat berlindung kepada golongan yang kurang mendapat perhatian daripada keluarga ini supaya nyawa mereka tidak diancam bahaya. Dengan usaha ini, warga tua yang pernah berjasa kepada bangsa dan negara ini akan berasa dihargai dan diapresiasi. Usaha ini juga secara langsung dapat membuka minda dan membeliakkan mata rakyat tentang keprihatinan kerajaan menjaga kebajikan warga tua di negara kita supaya dapat dijadikan suri teladan kepada negara maju yang lain. Para hadirin yang budiman, Di samping itu, perlindungan yang sewajarnya harus diberikan kepada warga tua. Hal ini dikatakan demikian kerana banyak laporan akhbar yang melaporkan kejadian anak-anak muda yang melupakan ibu bapa mereka yang sudah tua apabila mendapat wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ibu bapa mereka. Golongan yang berperwatakan ketidakberperikmanusiaan ini berpura-pura menjaga ibu bapa mereka sehingga warga tua ini mencapay usa 55 tahun. Apabila berjaya mengeluarkan wang KWSP, anak-anak muda ini akan melupakan ibu bapa dan hidup mewah dengan wang titik peluh ibu bapa mereka. Oleh sebab itu, kerajaan haruslah memperketat peraturan pengeluaran wang KWSP agar kebajikan dan masa depan warga tua dapat dilindungi. Apabila Kempen Budi Bahasa dan Nilai Murni dijalankan di seluruh pelosok negara, Kementerian Kebajikan Masyarakat turut menyahut seruan kerajaan dengan menampalkan poster hormati yang tua, utamakan yang memerlukan di dalam pengangkutan awam. Hal ini dikatakan amat penting kerana kita haruslah memberikan tempat duduk kepada golongan tua. Golongan yang tua dan lemah ini tidak berdaya untuk berdiri dalam keadaan bas atau tren yang sesak dengan penumpang bagai ikan dalam belat. Oleh sebab itu, kita sebagai pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara haruslah memberikan tempat duduk kepada mereka demi menjaga keselamatan mereka apabila menggunakan pengangkutan awam. Dengan usaha ini, kita dapat menunjukkan penghormatan dan keprihatinan kita kepada golongan yang tua. Sebelum saya mengundurkan diri, Saya berharap agar warga tua mendapat tempat yang sewajarnya dalam masyarakat kini. Hal ini dikatakan demikian kerana warga tua merupakan golongan yang banyak membanting tulang empat kerat untuk membina bangsa dan negara yang merdeka. Kejayaan golongan yang terdahulu menjanjikan kehidupan yang lebih selesa kepada kita pada masa ini. Wahai orang muda, janganlah kita menjadi seperti ulat lupakan daun selepas menikmati keselesaan hidup. Warga tua sewajarnya mendapat pengiktirafan daripada semua pihak supaya mereka dapat

melalui kehidupan dengan penuh ketenangan jiwa. Selum saya menyimpul bicara pada hari ini, dengarkanlah pantun berikut: Bulan purnama ke pekan Kuah, Tengah hari membeli ragi; Dirimu umpama nyiur bertuah, Padat sari harun mewangi. Curah serbat di atas lantai, Basah tikar lupa disidai; Dikau ibarat karang di pantai, Tak pernah gentar dipukul badai. Pohon sena tepi perigi, Tepi paya si pohon jambu; Hadirmu laksana suria pagi, Menyinar maya tdak pernah jemu. Anak dara ke Tanjung Batu, Kamu rasa dari tenggara; Tidak ternilai jasa baktimu, Kepada bangsa juga negara. Tidak goyah pancang seribu, Tika masih badai menderu; Engkau ayah, engkaulah ibu, Menumpang kasih mengubat rindu. Betik muda dibuat halwa, Kelapa muda santan dirasa; Biar muda di dalam jiwa, Dari tua sebelum masa. Sekian, terima kasih.

RAMALAN 4 - KARANGAN PANJANG PMR 2011


KARANGAN RAMALAN 4 SOALAN: Di kawasan tempat tinggal anda, masalah belakan air sering berlaku. Hal ini banyak menimbulkan masalah kepada penduduk. Sebagai wakil penduduk, anda ingin mengemukakan masalah ini kepada pihak berkuasa bekalan air. Tulis surat tersebut selengkapnya.

Sivaji Ram 22, Lorong Pahlawan 29,

Bandar Botanik, 41200 Klang. Selangor Darul Ehsan. __________________________________________________________________________________ ____________ Tuan Pengarah Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) Menara SYABAS Jalan Sultan Ibrahim, 41000 Klang. SELANGOR DARUL EHSAN 10 SEPTEMBER 2011. Tuan, Masalah Bekalan Air di Taman Perumahan Berdasarkan perkara di atas, saya Sivaji Ram selaku wakil penduduk menulis surat ini kepada pihak tuan. Tujuan saya menulis surat ini adalah untuk menyuarakan kesulitan yang kami hadapi akibat masalah bekalan air yang kami hadapi sejak 6 bulan yang lalu. Masalah yang belum diatasi ini membawa pelbagai kesulitan kepada kami. 2. Masalah bekalan air yang berlaku di kawasan perumahan kami telah membawa banyak kesulitan kepada penduduk. Hal ini dikatakan demikian kerana bekalan air sering terputus tanpa diberikan sebarang notis daripada pihak SYABAS. Masalah ini menyebabkan kami tidak dapat menyimpan air yang secukupnya untuk menghadapi keputusan bekalan air yang berlaku pada bila-bila masa sahaja. Oleh hal yang demikian, banyak aktiviti harian seperti mencuci dan membersihkan diri. Masalah ini amat tidak memberikan ketidakselesaan kepada kami. Kami berharap agar notis atau surat pemberitahuan disampaikan kepada kami supaya kami dapat sediakan payung sebelum hujan. 3. Selain itu, kami turut menghadapi masalah bekalan air yang tidak mencukupi sehingga masalah tekanan air rendah berlaku. Hal ini dikatakan demikian kerana tangki air di taman perumahan kami tidak cukup untuk menampung bilangan penduduk yang bertambah seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Masalah ini menjadi lebih serius apabila bekalan air terputus. Apabila bekalan air pulih seperti biasa, tekanan air rendah sehingga kami terpaksa membeli pam air untuk mempertingkatkan tekanan air di rumah kami. Oleh hal yang demikian, permohonan kami supaya tangki air tambahan dibina haruslah pihak tuan kaji. 4. Kami turut menghadapi masalah bekalan air yang kotor. Hal ini dikatakan demikian kerana bekalan air paip yang kami peroleh terus daripada tangki berwarna kekuning-kuningan walaupun sudah melalui tapisan. Kami berasa bimbang sekiraya keadaan ini akan menyebabkan kesihatan rakyat terganggu. Pada masa yang sama, beberapa kes bayi yang mengalami masalah cirit-bicit telah berlaku akibat meminum air susu yang sumbernya daripada air paip yang telah dididih. Sebelum nasi sudah menjadi bubur, kami berharap agar rawatan bekalan air yang pihak tuan lakukan dapat menepati ciri-ciri keselamatan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) agar kesihatan kami terjamin.

5. Di samping masalah di atas, kami juga sering menghadapi masalah kecurian air paip. Hal ini dikatakan demikian kerana kawasan perumahan kami masih baharu dan projek perumahan masih dijalankan oleh pemaju perumahan di kawasan tempat tinggal kami. Hal ini menyebabkan pekerja kontrak pembinaan rumah yang tinggal di kawasan perumahan kami mencuri bekalan air paip dengan membuat sambungan haram tanpa kebenaran pihak SYABAS. Kami berharap agar pihak tuan dapat menyiasat perkara ini supaya kami tidak akan terus mengalami masalah bekalan air. Siasatan yang terperinci perlu pihak tuan lakukan agar sikap pemaju perumahan yang bersikap bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing ini dapat dikenal pasti dan diheret ke muka pengadilan. 6. Masalah seterusnya yang menghantui kami ialah bil bekalan air yang sangat membebankan. Hal ini dikatakan demikian kerana pegawai bertugas yang datang dari rumah ke rumah untuk mendapatkan bacaan meter air bersikap melepaskan batuk di tangga sewaktu menjalankan tugas. Pegawai yang bertugas untuk membaca bil bekalan air tidak mendapatkan bacaan sebenar dan sering kali membuat bacaan anggaran lalu mengenakan bil yang tinggi dan membebankan kami. Kami berharap agar masalah ini akan mendapat perhatian pihak tuan. Bayangkanlah, sebuah rumah yang didiami 3 orang penghuni terpaksa membayar bil air sebanyak RM180 sebulan kerana bil anggaran yang dikeluarkan oleh pegawai pembaca bil yang bertugas. Masalah ini perlu diberikan perhatian dengan serius oleh pihak SYABAS. Kami berharap semua rintihan dan keluhan hati kami di atas akan diperhatikan oleh pihak SYABAS. Kami ingin mengucapkan terima kasih atas segala bantuan dan perkhidmatan yang kami terima setakat ini. Selain itu, kami berharap semoga masalah bekalan air di kawasan tempat tinggal kami dapat diselesaikan secepat mungkin. Kerjasama daripada pihak tuan amat kami hargai. Sekian, terima kasih.

RAMALAN 5 - KARANGAN PANJANG PMR 2011


KARANGAN RAMALAN 5 SOALAN: Seekor kerbau membawa lumpur, semuanya terpalit. Tulis sebuah cerita yang menarik berdasarkan peribahasa tersebut. Peribahasa Melayu memang indah dan istimewa. Peribahasa biasanya memainkan peranan sebagai pendorong dan penyedar kepada kita tentang hakikat yang berlaku di dunia ini. Peribahasa seekor kerbau membawa lumpur, semuanya terpalit membawa maksud kesalahanyang dilakukan oleh seorang menyebabkan seluruh kumpulan yang tidak terbabit dihukum atau dipersalahkan. Peribahasa ini dapat memberikan peringatan kepada anggota masyarakat tentang kepentingan berfikir dengan dalam-dalam sebelum membuat sesuatu yang akan menyusahkan orang lain. Oleh hal yang demikian, peribahasa ini mestilah dijadikan panduan dalam kehidupan kita. Zhengyu merupakan seorang remaja yang nakal. Hal ini dikatakan demikian kerana dia tidak mendengar nasihat orang lain. Dia suka mengusik kawan-kawan di dalam kelas dan mengejek orang lain. Oleh sebab itu, dia tidak disukai oleh kawan-kawan sekelasnya. Walau

bagaimanapun, Zhengyu merupakan seorang pelajar yang mahir dalam subjek Matematik. Hal ini menyebabkan kawan-kawan sekelasnya menjadikan Zhengyu sebagai rujukan mereka. Pada suatu hari, Zhengyu membawa mercun ke sekolah. Dia meletakkan mercun itu ke dalam beg sekolahnya supaya tidak dapat dikesan oleh sesiapa. Oleh sebab Tahun Baharu Cina semakin menjelang, Zhengyu ingin bermain mercun di dalam kelas. Dia tidak sedar bahawa perbuatannya amat berbahaya dan akan membawa kemudaratan dan masalah kepada rakan sekelasnya. Dia mula mengeluarkan mercun dan menyalanya. Pang! Pang! Pang! Bunyi mercun yang meletop menyebabkan seluruh warga sekolah terpinga pinga. Hal ini dikatakan demikian kerana ujian bulanan sedang dijalankan. Hal ini menyebabkan guru disiplin dan tuan pengetua berasa amat marah. Selepas waktu rehat, tuan pengetua mengarahkan para pengawas membuat pemeriksaan secara mengecut ke setiap kelas untuk mencari mercun yang dibawa oleh pelajar yang nakal itu. Para pengawas pun bersiap sedia untuk menjalankan tanggungjawab mereka. Sampai di kelas mereka, pengawas bertugas berjaya menemukan serpihan mercun yang dibuang ke dalam tong sampah. Selain itu, mereka juga berjaya menemukan beberapa papan mercun di dalam beg Zhengyu. Hal ini menyebabkan guru kelas 3 Doritis berasa amat malu atas perbuatan anak muridnya. Tuan pengetua pula memasuki kelas. Beliau menyalahkan ketua tingkatan kerana tidak melaporkan kejadian terbabit kepada pihak sekolah. Akibatnya, tuan pengetua menghukum semua murid yang belajar di dalam kelas 3 Doritis. Perbuatan Zhengyu yang membawa mercun ke sekolah telah menyebabkan rakan sekelasnya menjadi mangsa hukuman pengetua sekolah. Hal ini disebabkan oleh rakan sekelasnya dituduh bersubahat dengan tindakan Zhengyu yang melanggar peraturan sekolah. Oleh sebab itu, semua murid 3 Doritis diwajibkan menulis ayat Saya tidak akan melanggar peraturan sekolah lagi sebanyak 1000 ayat. Selain itu, mereka juga diarahkan menyapu lantai dan mengelop lantai tangga di seluruh kawasan sekolah yang bertangga. Kesimpulannya, tindakan Zhengyu yang membuat kesalahan telah menyebabkan rakan-rakan sekelasnya menerima padah. Keadaan ini sama dengan maksud peribahasa seekor lembu membawa lumpur, semuanya terpalit. Oleh hal yang demikian, kita haruslah me matuhi peraturan sekolah dan berfikir secara masak-masak sebelum membuat sesuatu tindakan bagai mengelakkan rakan-rakan kita juga dihukum. Peribahasa ini amat sesuai untuk dijadikan peringatan kepada para pelajar supaya mereka tidak melanggar peraturan sekolah sesuka hati.Peribahasa ini amat sesuai untuk dijadikan peringatan kepada para pelajar supaya mereka tidak melanggar peraturan sekolah sesuka hati.