Anda di halaman 1dari 16

PERLEMBAGAAN, ISLAM DAN INSTITUSI RAJA

Sedutan titah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Perak Darul Ridzuan Raja Dr. Nazrin Shah pada Seminar Institusi Raja 2013, anjuran Universiti Malaysia Perlis di Lanai Kijang, Bank Negara Malaysia. Kuala Lumpur pada Rabu 5 Mei 2013

KEPADA Mu Ya ALLAH! dipohonkan petunjuk - dimohon hidayat, mengupayakan HambaMu ini menghuraikan mauduk 'Perlembagaan dan Islam - Peranan Institusi Raja'; yang mengandungi tiga kata kunci; pertama: Perlembagaan, kedua: Islam, ketiga: Institusi Raja. Menghadap Paduka Kekanda, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis; menghadap Paduka Kekanda Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perempuan Perlis. Ampun Tuanku, sembah Paduka Adinda mohon diampun. Sesungguhnya Paduka Adinda berasa begitu terhormat dengan keberangkatan hadir Paduka Kekanda berdua, mencemar duli untuk turut mengikuti huraian Paduka Adinda atas mauduk yang telah diamanahkan. Paduka Adinda juga amat menghargai keberangkatan hadir Paduka Anakanda Raja Muda Perlis bersama Paduka Anakanda Raja Puan Muda Perlis. PERLEMBAGAAN

PERLEMBAGAAN sesebuah negara adalah undang-undang yang telah digubal, lalu diterima pakai sebagai prinsip dan panduan pemerintahan. Dalam konteks negara Malaysia, ia dikenali sebagai Perlembagaan Malaysia, lebih kerap dirujuk sebagai Perlembagaan Persekutuan; malah naskhah asalnya lebih dikenali sebagai Perlembagaan Merdeka.

Proses menggubal Perlembagaan Persekutuan, bermula daripada persidangan yang berlangsung di London dari 18 Januari hingga 6 Februari 1956. Delegasi Persekutuan Tanah Melayu terdiri dari: i. Empat wakil Raja-Raja Melayu ii. Ketua Menteri bersama tiga Menteri Persekutuan Tanah Melayu. iii. Pesuruhjaya Tinggi Inggeris berserta barisan penasihat.

Suruhanjaya Reid ditubuhkan; diberikan tanggungjawab melakukan kajian, seterusnya mengemukakan perakuan kandungan Perlembagaan Persekutuan. Suruhanjaya Reid diketuai oleh Hakim Lord Reid, dan dianggotai oleh:

i. Sir Ivor Jennings, pakar perundangan perlembagaan negara-negara Komanwel ii. Sir William McKell, mantan Gabenor Jeneral Australia. iii. Mr. B. Malik, mantan Ketua Hakim Mahkamah Tinggi India. iv. Justice Abdul Hamid, Hakim Mahkamah Tinggi Pakistan Barat.

Antara Jun hingga Oktober 1956, Suruhanjaya Reid mengadakan 118 sesi pendengaran (hearings) sebelum merumuskan perakuan pada 20 Februari 1957. Antara perakuan utama yang terkandung dalam draf pelan induk Perlembagaan Merdeka menyentuh perkara-perkara berikut:

(i) Keunggulan Perlembagaan. (ii) Badan Kehakiman yang bebas dengan kuasa melakukan kajian semula kehakiman (judicial review). (iii) Kerajaan berteraskan sistem Persekutuan. (iv) Raja Berperlembagaan di Peringkat Persekutuan dan Negeri. (v) Perlindungan khas hak Raja-Raja Melayu. (vi) Kedudukan istimewa orang Melayu. (vii) Hak kerakyatan kepada setiap orang yang dilahirkan di Persekutuan. (viii) Hak agama, budaya dan bahasa kalangan bukan Melayu.

Permohonan Perikatan, begitu juga hasrat UMNO mahu meletakkan Islam di bawah kuasa Persekutuan tidak diterima; di sebaliknya Suruhanjaya Reid menerima tuntutan Raja-Raja Melayu, mengekalkan agama di bawah kuasa negeri. Ini mungkin diasaskan kepada faktor bahawa kuasa Raja berhubung Islam tidak pernah disentuh, di masa negerinegeri Melayu berada di bawah pentadbiran de facto Residen Inggeris. Kumpulan Kerja Pakatan Tiga Pihak (Tripartite Working Party) mewakili Raja-Raja Melayu, Perikatan dan Kerajaan Kolonial telah ditubuhkan untuk mengkaji perakuan Suruhanjaya Reid. Raja-Raja Melayu diwakili oleh Penyimpan Mohor Besar, Haji Mustapha Albakri, Shamsuddin Nain, Tunku Ismail dan Neil Lawson, QC; Perikatan diwakili oleh Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman, Datuk Abdul Razak, Ong Yoke Lim dan V.T. Sambanthan, dan Kerajaan Kolonial, diwakili oleh Pesuruhjaya Tinggi MacGillivray, Ketua Setiausaha Negara, Sir David Watherston, Peguam Negara TV A Brodie, dan E.O. Laird berperanan sebagai setiausaha.

Antara 23 Februari hingga 27 April 1957, Kumpulan Kerja telah mengadakan dua puluh tiga mesyuarat, melakukan pengubahsuaian kepada perakuan asal Suruhanjaya Reid. Antara pengubahsuaian signifikan yang dilakukan menyentuh perkara-perkara berikut:

(i) Memperkukuh peranan Majlis Raja-Raja; sebagai forum yang melantik Ketua Negara; Majlis Raja-Raja berperanan menasihati Yang di-Pertuan Agong berhubung urusan lantikan tertentu menurut yang termaktub di dalam Perlembagaan; dan Majlis Raja-Raja perlu dirunding dalam perkara-perkara penting seperti perubahan sempadan dan wilayah, serta perkara yang menyentuh bidang kuasa Raja.

(ii) Menggugurkan perakuan yang meletakkan batasan masa lima belas tahun untuk melindungi keistimewaan orang Melayu. (iii) Islam dikanunkan sebagai agama Persekutuan tetapi tidak mengubah status Raja sebagai Ketua Agama Islam di negeri masing-masing. (iv) Menjamin kebebasan beragama kepada bukan Islam. (v) Membenarkan pengajaran bahasa Cina dan Tamil serta penggunaan bahasabahasa tersebut dalam urusan tidak rasmi.

Suruhanjaya Reid, memberi perhatian aspek pergantungan kewangan negeri-negeri dari sumber pendapatan di peringkat Persekutuan. Dalam tahun 1956, keseluruhan perolehan pendapatan Persekutuan berjumlah tujuh ratus empat puluh empat (744) juta ringgit, sementara jumlah perolehan pendapatan negeri-negeri hanyalah sembilan puluh sembilan (99) juta ringgit.

Raja-Raja dan Perikatan tidak menemui kata sepakat dalam isu menyentuh agihan dan perkongsian hasil negara di antara pusat dengan negeri, lalu wakil Raja-Raja telah memulau mesyuarat yang berlangsung pada 9 April 1957. Kompromi akhirnya dicapai apabila Perikatan memberikan persetujuan memperuntukkan geran kepada negeri.

Ketika kesetiaan warga kepada negeri masih begitu mendalam - ketika warga kuat memiliki kebanggaan terhadap warisan, adat dan tradisi setempat, Raja-Raja Melayu telah mempamerkan jiwa besar, memberi perkenan untuk memungkinkan penubuhan sebuah Persekutuan. Jiwa besar yang dipamerkan oleh Raja-Raja Melayu telah memudahkan urusan penggubalan Perlembagaan. Lantas Perlembagaan Merdeka berjaya disiapkan mengikut jadual.

Sesungguhnya sembilan Raja Melayu pada hakikatnya telah membuktikan sebaikbaik contoh, semangat untuk merealisasikan perwujudan sebuah negara bangsa, dengan perkenan mengurniakan sebahagian besar kedaulatan dan menyerahkan sebahagian besar kuasa negeri masing-masing untuk memungkinkan tertubuhnya sebuah Persekutuan, di bawah konsep Federalisme. Apabila Raja menemui kata muafakat, warga mencapai kata sepakat.

Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu telah ditandatangani pada 5 Ogos 1957 oleh Sir Donald Charels MacGillivray bagi pihak Ratu Inggeris dengan lapan Raja Melayu; dan bagi Negeri Sembilan, ditandatangani secara bersama oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan berserta empat Undang dan Tengku Besar Tampin. Pada tarikh keramat, 31 Ogos 1957, Duke of Gloucester bagi pihak Ratu Inggeris menyerahkan Perlembagaan Persekutuan kepada Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putera, dalam gegak gempita teriakan Merdeka: berkibarlah bendera Jalur Gemilang, berkumandanglah lagu Negaraku, lalu lahir sebuah negara merdeka lagi berdaulat. Perlembagaan Persekutuan berperanan sebagai carta dan kompas, sauh dan layar kepada sebuah bahtera merdeka. Pada September 1963, Parlimen Malaysia menggubal Akta Malaysia 26/1963, memberi wajah baru kepada Perlembagaan Merdeka selaras dengan pembentukan negara Malaysia.

Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi negara. Terkandung 183 perkara di dalamnya. Perlembagaan Negara kita adalah antara Perlembagaan bertulis yang paling komprehensif, mengandungi pelbagai perkara, begitu menyeluruh, digubal secara terperinci - dihalusi secara teliti. Dalam bab akhir buku An Introduction To The Constitution of Malaysia, Tun Mohamed Suffian telah mencatat frasa berikut:

Petikan: For such a small country Malaysia has a fearfully long and elaborate Constitution and the visitor from Mars may be forgiven for thinking that our Constitution must have been devised by a mad professor of constitutional law".

Perlembagaan sesebuah negara, sui generis sifatnya, iaitu berada dalam kelas tersendiri. Perlembagaan Persekutuan tidak sekadar dokumen undang-undang. Perlembagaan Persekutuan pada hakikatnya mengandungi semangat dan roh negara, mencerminkan persetujuan-persetujuan yang di capai kemerdekaan. ketika negara memperoleh

Ia

memperlihatkan

semangat

persefahaman

ia

mempamerkan

kesediaan

berkompromi pelbagai pihak - ia memanifestasikan pencapaian kata sepakat antara takhta dengan rakyat, antara rakyat sesama rakyat yang berlatar belakangkan pelbagai agama, kaum, budaya dan bahasa. Perlembagaan Persekutuan digubal bersumberkan warisan sejarah, satu kesinambungan yang berjaya mengekalkan tradisi ketika mengharung modenisasi.

Termaktub di dalamnya, aspek warisan berkerajaan - aspek sejarah bernegara, berpayungkan Raja, bertiangkan Islam, bersalut budaya dan bahasa peribumi. Amanat yang terkandung dalam tujuh wasiat Raja-Raja Melayu dianyam secara tersirat dalam dokumen yang tersurat.

Terpahat secara tersirat - tertera secara tersurat di dalam Perlembagaan Persekutuan semangat menjunjung Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu yang secara tegas menetapkan antaranya, kedaulatan Raja-Raja Melayu, Islam sebagai agama Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, Tanah Simpanan Melayu, kedudukan istimewa Orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain, diberikan jaminan untuk dilindungi pada setiap masa.

Perkara-perkara ini tidak boleh dipinda di dalam Perlembagaan tanpa perkenan RajaRaja. Perkara-perkara yang telah sama-sama dipersetujui ketika penggubalan Perlembagaan Merdeka, menyentuh prinsip-prinsip asas, tidak boleh sama sekali diperdagangkan untuk tujuan meraih keuntungan politik jangka pendek.

Perlembagaan Persekutuan hendaklah ditafsirkan secara menyeluruh kerana kesemua peruntukan yang terkandung di dalamnya adalah berikat dan berkuasa. Perlembagaan Persekutuan hendaklah dijadikan rujukan utama dalam mengurus tadbir negara. Ia mengatasi segala undang-undang lain. Tidak ada undang-undang lain yang harus mencabar keunggulannya. Mematuhi dan menghormati perkara-perkara yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan bukan satu pilihan tetapi adalah satu kemestian untuk membolehkan sistem pemerintahan demokrasi yang sejati dapat ditegakkan.

ISLAM

Islam terpahat kukuh di persada sejarah negara. Islam mula berakar di Tanah Melayu sejak kurun keempat belas. Terdapat penemuan-penemuan yang menunjukkan Islam telah

tersebar di negeri-negeri Kedah, Kelantan, Pahang dan Terengganu lebih awal dari Melaka. Raja Kedah, Phra Ong Mahawangsa memeluk Islam dalam tahun 1136 Masihi, menukar nama kepada Sultan Mudzafar Shah, dan mengasaskan Kesultanan Islam di Kedah.

Di Melaka, Parameswara setelah memeluk Islam, menukar nama kepada Raja Iskandar Shah. Dengan pengislaman Raja Melaka pada tahun 1409, Islam bertapak lebih kukuh di alam Melayu, dijadikan agama rasmi di Melaka semasa pemerintahan Sultan Muzaffar Shah (1446-1458).

Penduduk di Nusantara Melayu, memeluk Islam kerana dorongan dan dakwah RajaRaja, bukan kerana ditakluk atau dipaksa. Islam berevolusi menjadi titik penyatuan negara bangsa di bawah pemerintahan Raja-Raja. Kesultanan Melaka dianggap sebagai salah sebuah Kerajaan Islam yang ulung di Asia Tenggara, berperanan sebagai pusat penyebaran Islam di Nusantara.

Proses pengislaman di alam Melayu berlangsung dalam masa yang singkat dan merupakan tenaga terkuat yang mencorakkan kepercayaan, nilai dan sikap masyarakat. Ajaran Islam cepat menyerap di kalangan umat Melayu kerana Islam merupakan satu keratan lapisan yang diletakkan atas sistem kepercayaan yang sedia wujud, memperlihatkan kebijaksanaan umat Melayu melakukan asimilasi, menyesuaikan sistem kepercayaan lama dengan yang baru.

Islam memberi dimensi baru kepada minda Melayu; ia mencetuskan satu revolusi pemikiran; mengupayakan umat menyemai nilai dan semangat keagamaan yang luhur. Islam telah merobah bukan sahaja struktur zahir masyarakat Melayu malah turut menyentuh struktur batinnya. Berpalinglah pandangan hidup umat Melayu, gugur dari singgahsana alam seni dan alam mitos yang khayal, berpindah ke alam akal dan budi yang menuntut kepada gaya tertib yang lebih teratur, berjaya membina daya rasionalisme - daya intelektualisme, mengangkat adab dan susila serta kesedaran umat terhadap kemuliaan insan dan keagungan Tuhan.

Lalu berlaku pengubahsuaian dalam sistem pemerintahan, menjelmakan identiti baru. Raja dan Kerajaan diberi taraf baru, menghapuskan konsepsi lama yang menganggap Raja sebagai 'penjelmaan Tuhan di bumi', status yang meletakkan Raja sama taraf dengan Tuhan, beralih kepada konsepsi bahawa Raja adalah 'bayangan Allah di muka bumi ( zillulah fi al-Ard)". Hubungan batiniah Raja dengan para dewata ditinggalkan, di sebaliknya talian

spiritual dirangkaikan dengan Allah dan Rasul serta kekudusan tokoh para aulia - para anbia.

Berdasarkan konsepsi baru ini, Raja hanya bertaraf wakil atau khalifah di bumi dengan sifat-sifat kemanusiaan. Kuasa Raja disandarkan dengan hukum kerana Raja juga tidak boleh mengingkari tuntutan syarak. Kemuliaan Raja dinilai dari sudut amal makruf menyempurnakan tanggungjawab, lantas menginsafkan Raja bahawa kuasa pemerintahan adalah satu amanah Ilahi yang sama sekali tidak boleh disalahgunakan. Raja wajib menjunjung amanah pemerintahan, melaksanakan keadilan untuk kesejahteraan rakyat mengikut hukum yang telah ditetapkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala.

Islam dan Melayu adalah tunggak utama Tanah Melayu. Undang-undang Islam diguna pakai untuk mentadbir negeri-negeri di Tanah Melayu. Negeri Melaka telah mengkanunkan Hukum Kanun Melaka dan Undang-Undang Laut Melaka berdasarkan Hukum Syarak. Di negeri Perak, Undang-Undang 99 digubal, berdasarkan prinsip Hukum Syarak; Terengganu, Kelantan dan Kedah menyerapkan pengaruh Islam dalam pentadbiran.

Selepas kejatuhan Melaka, kerajaan-kerajaan di Tanah Melayu kekal meneruskan tradisi pemerintahan beraja berteraskan undang-undang Islam sehingga munculnya penglibatan Inggeris. Inggeris telah memisahkan urusan pentadbiran negeri dengan agama Islam. Proses peralihan sistem perundangan dilakukan dari negeri ke negeri dengan penerimaan Common Law Inggeris, mengganti perundangan berlandaskan syarak; akibatnya Islam terpisah dari arus perdana pentadbiran, malah hal ehwal Islam ditadbirkan secara berasingan dengan penubuhan institusi-institusi yang dibatasi bidang kuasanya.

Terbukti, bahawa dalam era pemerintahan Kesultanan Melayu. urus tadbir berpaksikan Islam yang merangkumi aspek-aspek perundangan, ekonomi, pendidikan dan sosial, telah diterima sebagai cara hidup masyarakat berbilang kaum dan berbilang agama di bumi ini. Pengiktirafan tersebut selanjutnya diperkukuhkan melalui penghakiman kes Raman lawan Laton, apabila Mahkamah Rayuan bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu memutuskan bahawa Islam adalah "lex loci of the land".

Berasaskan hakikat ini, Hakim Abdul Hamid yang menganggotai Suruhanjaya Reid telah bersetuju dengan memorandum yang dikemukakan oleh Parti Perikatan agar Islam dijadikan agama bagi Persekutuan Tanah Melayu. Parti Perikatan adalah gabungan partiparti politik yang mewakili masyarakat Melayu, Cina dan India, tiga kumpulan etnik utama di kalangan penduduk Tanah Melayu.

Dengan pertimbangan bahawa sudah terdapat lima belas negara di dunia ketika itu meletakkan agama dalam Perlembagaan mereka, Hakim Abdul Hamid mengakui bahawa Islam memiliki kedudukan istimewa di Negeri-Negeri Tanah Melayu dengan menyatakan:

Petikan:

"If in these countries a religion has been declared to be the religion of the State and that declaration has not been found to have caused hardships to anybody, no harm will ensure if such a declaration is included in the Constitution of Malaya. In fact in all the Constitutions of Malayan States a provision of this type already exists. All that is required is to transplant it from the State Constitution and to embed it in the Federal".

Pengiktirafan Islam sebagai agama Negara bukan komponen baru di bumi ini, ia sebenarnya adalah kesinambungan tradisi dan penerusan hak yang telah lama berakar, ia adalah 'Magna Carta', satu kontrak sosial yang tersirat, di samping termaktub sebagai komponen yang tersurat di dalam Perlembagaan. Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang diperlengkap dan diperkukuh dengan beberapa peruntukan lain, telah memartabatkan Agama Islam sebagai agama bagi Persekutuan. Kedudukan Raja sebagai Ketua Agama Islam dalam negerinya, berserta keistimewaan, hak kedaulatan dan kuasa yang dinikmati oleh Raja-Raja Melayu yang tidak tersentuh dan tercacat, termaktub dalam Perkara 3(2) Perlembagaan.

Perkara-perkara utama mengenai Islam yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan tidak boleh ditafsir secara harfiah. Ia perlu ditafsirkan secara holistik, dikaitkan dengan peruntukan-peruntukan lain yang berkaitan, demi memastikan, tujuan sebenar peruntukan-peruntukan tersebut tidak dimanipulasikan hingga menidakkan hak yang nyata kepada umat Islam.

Islam adalah agama yang memiliki benteng perlindungan dan taraf keistimewaan mutlak di dalam Perlembagaan Persekutuan . Yang Arif Hakim Mohd. Noor Abdullah dalam penghakiman kes Meor Atiqulrahman Ishak dan yang lain - lawan - Fatimah Sihi dan yang lain, telah memberikan tafsiran berikut:

Petikan: "... Peruntukan 'Islam ialah agama bagi Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai' bermakna Islam adalah agama utama di antara

agama-agama lain yang dianuti di negara ini. Islam bukan setaraf dengan agama lain, bukan duduk berganding bahu atau berdiri sama tegak. Ia duduk di atas, ia berjalan dahulu, terletak di tempat medan dan suaranya lantang kedengaran. Ini bermakna Kerajaan bertanggungjawab memelihara, menyemarak dan mengembangkan Islam seperti mana yang termampu dilakukan oleh Kerajaan sekarang, dan agama-agama lain hendaklah diatursuai dan dihala tuju ke arah yang menjamin supaya ia diamalkan dengan aman damai dan tidak menggugat kedudukan utama agama Islam...."

Setelah hampir lima puluh enam tahun tanah air mencapai kemerdekaan, setelah empat belas kali Raja Melayu secara bergilir bertakhta di singgah sana Ketua Utama Negara, setelah tiga belas kali pilihan raya umum dilangsungkan, dan setelah enam Perdana Menteri memimpin Kerajaan Persekutuan, pentafsiran Perlembagaan dengan perspektif yang menghormati sejarah penubuhan Malaysia, amatlah penting diperingatkan semula, malah wajib terus diperingatkan.

Segala persetujuan, wajib dihormati. Prinsip-prinsip asas, terutama menyentuh Islam dan Melayu tidak boleh sama sekali dikompromikan. Walau apa sekalipun alasan, walau apa muslihatnya, matlamat jangka pendek oleh mana-mana pihak, jangan sampai ke peringkat menggadaikan nasib ummah di hari ini dan di hari muka. Ummah wajib berdiri teguh - berpendirian tegas, tidak berundur, walau setapak sekalipun.

RAJA

SEMBILAN negeri di Malaysia kekal berada di bawah payung naungan Raja. Institusi Raja telah wujud lebih enam abad dan telah berakar umbi di bumi ini. Perlu difahami bahawa penduduk di negeri-negeri beraja di alam Melayu, menganggap mereka menetap bukannya dalam wilayah sempadan geografi mengikut tradisi Eropah, tetapi hidup tertakluk kepada kesetiaan di bawah payung naungan Raja. Istilah Kerajaan berasal daripada perkataan Sanskrit Ke-Raja-An ; mengandungi istilah Raja, bermaksud rakyat yang tertakluk kepada seorang Raja Pemerintah. Sembilan Raja Pemerintah yang masih kekal bertakhta adalah pewaris pemerintahan di negeri masing-masing.

Sesungguhnya sistem beraja telah menjadi benteng penghalang dari memudahkan imperialis British melakukan penjajahan mutlak; British sekadar berupaya memperkenalkan

sistem Residen, satu bentuk penjajahan tidak langsung atau pemerintahan de facto yang masih mengekalkan kedaulatan Raja Melayu.

British, terpaksa mengadakan rundingan dengan setiap Sultan, dan hanya berupaya melakukan penjajahan secara mencantumkan perjanjian-perjanjian yang diperoleh secara berasingan.

Ketika merangka formula membentuk kerajaan merdeka, Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra (Almarhum) amat menghayati, bahawa sistem pemerintahan berteraskan Raja terlalu berharga dan terlalu bernilai untuk ditiadakan. Tanah Melayu yang merdeka telah memilih untuk memeterai sistem pemerintahan beraja yang kekal segar dengan menjelmakannya dalam bentuk dan acuan kontemporari. Institusi Raja diluhurkan dengan sebaik-baik pendekatan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri. Lalu diperkenalkan sistem berkerajaan dan bernegara yang menggabungkan institusi Raja dengan institusi rakyat, berasaskan konsep Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen. Kedaulatan Raja diberikan wajah baru, dirangkaikan dengan suara rakyat dalam satu ikatan harmoni. Raja, termaktub dalam Perlembagaan diwujudkan berasas undang-undang. Sepuluh peratus atau 19 daripada 183 Perkara di dalam Perlembagaan Persekutuan adalah Perkara-Perkara berkaitan Raja. Berpandukan Perlembagaan, adalah jelas dan nyata, Raja Berperlembagaan di Malaysia berperanan penting dalam struktur kerajaan dan struktur negara bangsa.

Ketetapan untuk terus mendaulatkan institusi Raja adalah satu pelanjutan adat - satu kesinambungan budaya, berlangsung dalam era modenisasi; betapa keindahan adat betapa kekayaan budaya, kukuh teranyam dalam tradisi negara bangsa.

Persekutuan Tanah Melayu ketika menghadapi opsyen menggubal Perlembagaan Merdeka tidak sekadar mengekalkan tradisi beraja di peringkat negeri malah telah memperkenalkan satu lagi lapisan pemerintahan beraja dalam sistem Persekutuan, dengan mewujudkan seorang Ketua Utama Negara bergelar Yang di-Pertuan Agong; Raja kepada seluruh Persekutuan. Secara harfiahnya gelaran tersebut bermaksud Dia Yang Terulung Dalam Kalangan Kami, iaitu primus inter pares

Sesungguhnya, kewujudan takhta Ketua Utama Negara dan kaedah lantikan Yang diPertuan Agong, adalah satu kehebatan keaslian inovasi yang telah mengekalkan identiti negara bangsa. Perlembagaan Persekutuan meletakkan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Utama Negara, secara undang-undang menganggotai tiga cabang Kerajaan yang terdiri daripada cabang Perundangan, cabang Eksekutif dan cabang Kehakiman. Parlimen mengandungi tiga komponen, terdiri dari Yang di-Pertuan Agong, Dewan Negara dan Dewan Rakyat.

Diperuntukkan supaya Yang di-Pertuan Agong menurunkan cap mohor kepada Rang Undang-Undang yang telah diluluskan oleh Badan Perundangan. Baginda mempunyai kuasa memanggil, menangguh dan membubarkan Parlimen. Baginda adalah Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Persekutuan. Baginda berkuasa mengampuni dan

menangguhkan sesuatu hukuman.

Baginda bertanggungjawab memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera serta kepentingan sah kaum-kaum lain. Baginda diperuntukkan budi bicara melantik seorang Perdana Menteri, tidak mempersetujui permintaan membubarkan Parlimen, menitahkan supaya diadakan mesyuarat Majlis Raja-Raja untuk membincangkan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.

Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Agama Islam bagi negeri Baginda di samping berperanan sebagai Ketua Agama Islam di negeri-negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan. Baginda diperuntukkan kuasa melantik dan

membatalkan lantikan jawatan Menteri dan Timbalan Menteri. Baginda diperuntukkan kuasa membuat pengisytiharan darurat serta mengisytiharkan apa-apa ordinan sekiranya keduadua Dewan Parlimen tidak bersidang secara serentak.

Baginda diperuntukkan kuasa atas nasihat Perdana Menteri untuk melantik ahli Suruhanjaya Pasukan Polis, dan menurut budi bicara setelah menimbang nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja melantik ahli-ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran. Majoriti ahli-ahli Majlis Angkatan Tentera adalah atas lantikan Baginda. Bahagian Sembilan, Perlembagaan Persekutuan menggariskan peranan Yang diPertuan Agong dalam bidang Kehakiman. Atas nasihat Perdana Menteri dan selepas

berunding dengan Majlis Raja-Raja Baginda melantik Juru Audit Negara, sementara Peguam Negara dilantik oleh Baginda atas nasihat Perdana Menteri.

Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan lima ahli Suruhanjaya Pilihan Raya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja dan Baginda dipertanggungjawab untuk memastikan Suruhanjaya Pilihan Raya mendapat kepercayaan awam.

Demikian senarai peranan dan tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu amatlah tidak munasabah jika jawatan Ketua Utama Negara itu diwujudkan sekadar untuk menyempurnakan tugas-tugas ceremonial atau dianggap boneka untuk menurunkan mohor perkenan kepada setiap dokumen yang dipersembahkan, dengan mata tertutup, mulut terkunci dan tangan terikat, diwajibkan tanpa opsyen memberi sepenuh perkenan tanpa soal atas apa juga nasihat yang diangkat sembah kepada Baginda, meskipun nasihat tersebut menyimpang daripada undang-undang atau tergelincir dari landasan keadilan atau berunsur penindasan atau boleh memudaratkan negara bangsa.

Raja adalah payung kedaulatan negara untuk memberi naungan saksama kepada setiap warga tanpa mengira kaum - tanpa mengira agama - tanpa mengira kabilah politik. Raja yang bersemayam di puncak struktur pemerintahan merupakan lambang kuasa dan simbol perpaduan. Raja berperanan sebagai tonggak kestabilan - sumber keadilan, teras perpaduan - payung penyatuan.

Untuk itu amatlah penting bagi Raja bersifat berkecuali, memastikan berada di atas segala polemik politik untuk membolehkan institusi Raja berupaya berperanan secara berkesan sebagai penimbang tara yang adil lagi saksama dalam mendamaikan sebarang perselisihan dan untuk memastikan takhta diterima dengan dada lapang dan hati terbuka apabila diperlukan berperanan menurunkan suhu panas yang berkemungkinan mendidihkan lava-lava persengketaan.

Raja

Pemerintah

mempunyai

tanggungjawab

memastikan

bahawa

semangat

Perlembagaan, falsafah di sebalik setiap undang-undang yang digubal serta kepentingan lebih besar negara dan warga senantiasa dilindungi. Pada pertengahan abad kesembilan belas, Walter Bagehot telah memperkenalkan konsep triniti klasik, dengan menggariskan bahawa Raja Berperlembagaan memiliki tiga hak; pertama: hak untuk dirunding, kedua: hak untuk memberi nasihat, ketiga: hak untuk memberi peringatan.

Dalam perkara-perkara, termaktub secara nyata dalam Perlembagaan, bahawa Raja perlu bertindak atas nasihat, Duli-Duli Baginda hendaklah menerima nasihat tersebut; tetapi Raja juga tidak harus rasa tertekan dan tidak semestinya memberikan perkenan jika nasihat yang disembahkan bercanggah dengan tuntutan syarak, bercanggah dengan semangat Perlembagaan, bercanggah dengan undang-undang dan

bercanggah dengan keadilan hingga memungkinkan berlakunya penindasan dan kezaliman.

Apabila Raja dirujuk, Duli-Duli Baginda hendaklah memberikan pandangan secara bebas tanpa perasaan ragu atau pilih kasih; dan dalam perkara Raja perlu bertindak atas budi bicara, Duli-Duli Baginda hendaklah menyempurnakannya dengan hikmah dan kebijaksanaan demi membuktikan Raja bersifat arif, adil lagi saksama, sebagai penimbang tara yang bebas kepada cabang-cabang legislatif, eksekutif dan kehakiman, sekali gus memperkukuhkan mekanisme semak dan imbang, demi menjamin berlangsungnya tadbir urus negara yang baik. Institusi Raja yang berjaya mencerminkan sifat-sifat kearifan dan keadilan pastinya akan menjadi sumber rujukan pilihan apabila tercetusnya sesuatu krisis.

Tugas tersebut bukanlah ringan; ia memerlukan kearifan dan hikmah, pengalaman dan kematangan. Tugas tersebut bertambah mencabar dalam menghadapi demografi warga yang berlatar belakangkan pelbagai kaum - pelbagai agama; ditambah pula dengan komposisi warga muda yang bertambah meningkat bilangannya, memiliki pelbagai idealisme, di samping terdedah kepada pengaruh globalisasi. Pada hari ini, pemahaman warga terhadap Institusi Raja bagaikan berada di dua penghujung pendulum, ada yang menghargai relevansinya, ada pula yang kabur akan peranannya.

Sesungguhnya, para pengasas kemerdekaan negara ini telah mendapat petunjuk Ilahi, dengan wawasan bijak membentuk Kerajaan Merdeka di bawah naungan Raja Berperlembagaan. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab Raja Pemerintah untuk memperlihatkan kepada warga akan relevansi Institusi Raja, terutama untuk memenuhi peranan semak dan imbang dalam urus tadbir kerajaan yang berpaksikan sistem Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen.

Pada masa ini, daripada jumlah 192 negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, hanya empat puluh tiga (43) negara masih mempunyai Institusi Raja; Enam belas (16) daripadanya mengiktiraf Ratu Elizabeth II sebagai Raja Pemerintah di bawah sistem Raja Berperlembagaan, Enam belas (16) negara lagi mengamalkan sistem Raja

Berperlembagaan, empat (4) sistem Raja Separa Autonomi, dan tujuh (7) negara mengamalkan sistem Raja Secara Mutlak.

The Economist Intelligence Unit Democracy Index mencatatkan: tujuh daripada sepuluh negara di tangga teratas yang mengamalkan demokrasi sepenuhnya adalah negara yang mempunyai Institusi Raja Berperlembagaan; sementara penemuan Transparency Internationals Corruption Perception Index mencatatkan tujuh daripada sepuluh negara yang berada di tangga terbaik adalah negara yang mempunyai Institusi Raja

Berperlembagaan.

Sebelas daripada dua puluh negara dalam UNDP Human Development Index yang berada di tangga teratas, adalah negara-negara yang mempunyai Institusi Raja Berperlembagaan, dan sembilan daripada dua puluh negara di tangga teratas mengikut yang dikategorikan oleh Heritage Foundations Index of Economic Freedom memiliki Institusi Raja Berperlembagaan.

Dalam menghadapi cabaran dinamik politik yang sedang berlaku, Institusi Raja sedang melalui satu lagi tahap evolusi. Berpedomankan pengalaman dan hikmah takhta Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bersama Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, Institusi Raja di bumi ini, akan menemui paksi baru untuk melakarkan ruang peranan yang lebih relevan dalam era yang semakin berubah, membantu membina imej institusi takhta yang terus bertenaga - kekal dinamik, berupaya menangani tuntutan dan keperluan semasa, terutama dalam memenuhi peranan sebagai instrumen kesatuan dalam kepelbagaian.

Sebenarnya, takhta ketika ini, berhadapan cabaran lebih kompleks, malah diperlu untuk menyempurnakan peranan yang semakin mencabar dalam orbit moden Malaysia. Keunggulan sifatnya, menjadikan peranan Raja begitu jitu terutama ketika menghadapi keadaan yang mendesak. Ciri-ciri keunggulan yang membezakannya dari versi stereotaip, memperlihatkan keistimewaan keupayaan, menggabungkan tiga tenaga utama, pertama: institusi takhta, dilambangkan oleh Raja, kedua: institusi demokrasi, dimanifestasikan melalui Perlembagaan, ketiga: institusi moral atas nama Islam. Bahawa kejayaan yang tercipta sehingga kini adalah hasil daripada peranan bersepadu di antara tatanegara sosial dan sivil; gabungan Raja, Perlembagaan dan Islam.

Kebijaksanaan Raja sehingga kini adalah kejayaan mengintegrasikan ketiga-tiga tenaga utama tersebut menjadi satu tenaga yang amat dinamik dalam menstabilkan dan

memakmurkan sebuah negara merdeka lagi berdaulat. Kesaktian daripada rangkuman tiga komponen - Raja, Perlembagaan dan Islam telah menghasilkan kepaduan yang dihasratkan. Ia turut memberikan kesinambungan serta membuahkan nikmat keharmonian sosial, juga turut memperkukuhkan cara demokrasi dapat berfungsi dan mendasari kestabilan sosial serta kestabilan politik.

PENUTUP

Ujian kepada kandungan yang tersirat dalam Perlembagaan akan menjelma ketika berlakunya situasi kejutan yang tidak ada duluan (precedent), situasi kejutan yang berpotensi mencetuskan senario baru. Ketika menghadapi saat-saat sedemikian, hikmah pemimpin, terutama Raja yang bertakhta di atas politik dan bersemayam di atas birokrasi pentadbiran harian, berperanan amat penting untuk melakukan analisis bijak lagi tepat dengan merumuskan penyelesaian secara adil lagi saksama.

Bermula daripada Pilihan Raya Umum Kedua Belas, landskap politik negara menghadapi perubahan. Dikatakan telah berlaku tsunami politik, memperlihatkan negara semakin menuju kepada senario politik dua parti. Senario ini, jika berlangsung secara tertib, meluhurkan Perlembagaan, mendaulatkan undang-undang, ditangani secara bijak lagi berhikmah, dilihat, berpotensi memberikan impak positif, menyuburkan amalan demokrasi.

Tetapi, kelihatan, kaedah menuju ke senario tersebut, bagai mencetuskan gelombang perpecahan, yang ombaknya semakin menghempas minda warga. Warga kelihatan semakin terpisah hingga benteng perpaduan kelihatan semakin retak. Lebih membimbangkan, jika keretakan itu tercetus atas nama agama - atas nama kaum.

Dalam senario sedemikian, keluhuran institusi Raja perlu dilindungi daripada sebarang bentuk penodaan, agar warga kekal menabur bunga setia. Ketika warga kelihatan semakin hanyut dilambung emosi, amatlah penting diperingatkan semula, kisah perit hikayat lama; betapa akibat fitnah dan hasad dengki, takhta telah disalah pengaruh.

Tercetuslah sengketa antara dua saudara yang sebangsa - seagama - seperguruan. Bisa Taming Sari ditusuk ke dada saudara sendiri; yang tewas terkubur tanpa setunggul nisan jasa, yang menang dihempas gelombang serba salah sepanjang masa, betapa Dang Baru memamah pahit sirih derita, bergambir dan berpinang sengsara ke akhir usia, dan keagungan Melaka akhirnya luntur.

Segala yang berlaku ketika ini sedang diikuti oleh istana secara dekat, diteliti dan dihalusi, ditimbangkan cerita - diimbangkan berita. Raja juga dikurniakan Ilahi dengan akal dengan fikiran, dilengkapkan dengan deria - disempurnakan dengan hati. Raja juga memikul amanah Allah Subhanahu Wata ala yang wajib dipenuhi. Sebagai Amirulmukminin, Raja bertanggungjawab menyempurnakan tuntutan Fardu Kifayah kepada watan - kepada ummah.

Setiap minggu di mimbar Jumaat, Katib mendoakan - jemaah mengaminkan, akan kesejahteraan Raja, agar Raja berdaulat lagi mulia, gagah lagi perkasa, memerintah secara adil lagi saksama, supaya negara aman, sentosa, selamat lagi sejahtera. Warga semestinya meletakkan harapan agar doa mereka dikabulkan Ilahi. Ia tidak sekadar doa, ia juga seruan - ia juga peringatan, akan tanggungjawab dan harapan yang diletakkan kepada Raja. Utusan Malaysia, 6 dan 7 Jun 2013

http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130606/re_01/Perlembagaan,-Islam-dan-InstitusiRaja#ixzz2VfVBzUr7

http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130607/re_01/Peranan-Institusi-Raja#ixzz2VfTl2GPe