Anda di halaman 1dari 2

Khairaummah.

com

Akhlak Solusi yang Terabaikan


Disumbang Oleh Khalif Muammar Friday, 02 June 2006 Kemas Kini Terakhir Friday, 02 June 2006

Umat Islam hari ini tidak memberikan perhatian yang sewajarnya terhadap Akhlak. Ramai yang mengaggap Akhlak sebagai perkara sampingan, tidak penting atau hanya pelengkap sahaja. Masyarakat hari ini cenderung untuk menumpukan pada kecemerlangan akademik dan kejayaan material seseorang. Tanpa menyedari bahawa kejayaan dalam hidup dan kebahagiaan sebenar tidak dapat dicapai hanya dengan pencapaian akademik dan material. Akibatnya, keruntuhan Akhlak semakin berleluasa dan masa depan bangsa dan Negara tampak semakin kabur Antara faktor utama kurangnya penekanan masyarakat terhadap akhlak ialah salah faham dan kecetekan Umat Islam terhadap ajaran Islam itu sendiri. Akhlak pada hakikatnya bukan hanya budi bahasa, sopan santun atau tatasusila. Budi bahasa, sopan santun dan tata susila hanya sebahagian kecil daripada Akhlak. Bahkan semua itu boleh dikatakan aspek luaran yang boleh jadi dibuat-buat. Sebenarnya Akhlak mementingkan dalaman seseorang individu. Oleh kerananya Imam al-Ghazali ketika mendefinisikan Akhlak beliau mengatakan akhlak adalah kondisi jiwa yang tetap sehingga segala perilaku seseorang tercermin daripadanya tanpa memerlukan persiapan dan pemikiran. Ringkasnya Akhlak lebih kepada cara hidup yang mewarnai segala gerak-geri seseorang, memandu dan membatasinya, ia adalah ketelusan, integriti, disiplin diri, kesungguhan, ketaatan, kasih sayang, pengorbanan dll.

Seseorang yang berakhlak tidak akan terkeliru dalam menentukan jalan hidupnya. Ia sentiasa menjaga dirinya daripada melakukan perkara keji dan munkar. Kemampuan menilai dengan betul perkara yang baik, buruk, benar dan salah jelas sangat penting. kekeliruan dalam menilai hal ini boleh membawa malapetaka dan kehancuran. Seorang remaja yang hidup membesar dengan melihat kemaksiatan dilakukan di depan matanya akan merasakan maksiat adalah sesuatu yang lumrah, maka lama kelamaan ia rasa tidak bersalah mencubanya kerana ramai orang yang melakukannya. Maka tanpa benteng akhlak ia sedikit demi sedikit terbawa kepada lembah kemaksiatan tanpa disedarinya dan menghancurkan masa depannya dengan pujuk rayu syaitan. Kepentingan dan kedudukan Akhlak tercermin dalam Hadis masyhur yang berbunyi: "innama bu'ithtu liutammima makarimal akhlak" maksudnya: “Sesungguhnya aku diutus dengan tujuan untuk menyempurnakan Akhlak”. Kalau penyempurnaan akhlak menjadi tujuan utama kerasulan, bukankah ia sepatutnya menjadi perbincangan utama pembangunan ummat manusia? Ini juga bermakna setiap suruhan, kewajipan, peraturan yang Allah berikan kepada manusia pada akhirnya bertujuan untuk pembentukan peribadi mulia. Kewajipan Solat misalnya kita lihat bertujuan untuk bukan sahaja mendekatkan diri kepada Allah tetapi juga mempunyai peranan untuk menjadi perisai yang akan menahan gejolak hawa nafsu untuk melakukan perkara keji dan munkar (Al-‘Ankabut:45). Perhatian besar yang diberikan oleh Islam terhadap Akhlak tentunya atas justifikasi yang kuat. Penulis bahkan berkesimpulan kebahagian hidup tidak akan dapat dicapai tanpa Akhlak. Seseorang yang tidak berakhlak: mementingkan diri sendiri, bersikap sombong dan congkak akan dibenci oleh orang ramai dan oleh kerananya ia tidak akan mendapat ketenangan dan kedamaian dalam hidup. Sifat-sifat mulia memberi banyak manfaat kepada manusia dan masyarakat. Sebaliknya kita lihat hari ini, dengan terhakisnya nilai-nilai murni dalam masyarakat kita, kita lihat masyarakat hidup dalam ketakutan, kebencian dan permusuhan. Masyarakat hari ini yang banyak dipengaruhi oleh cara hidup barat menunjukkan bahawa Akhlak bukanlah hal yang utama dalam membicarakan pembangunan manusia. Ini kerana cara hidup barat banyak dipengaruhi oleh falsafah materialisme, sekularisme dan immanentisme. Moraliti dalam pemikiran Barat juga tertumpu pada kebahagiaan inderawi ataupun keseronokan dan keselesaan individu. Falsafah Utilitarianisme mengukur baik buruk dengan melihat sejauh mana ianya memberi keuntungan atau manfaat pada diri seseorang individu, apabila homoseksual misalnya dirasakan memberi kebahagiaan pada seseorang atau ramai orang maka ia patut dibenarkan oleh Negara. Sebaliknya apabila pengharaman arak dilihat merugikan ramai orang maka ia patut dibiarkan dan tidak diharamkan. Kekeliruan falsafah moral Barat ini semakin terserlah apabila Jeremy Bentham, pengasas Utilitarianisme, mengatakan “Pleasure is the only thing worth having”(keseronokan adalah satu-satunya perkara yang bernilai). Selain Falsafah Utilitarianisme yang kini banyak diguna pakai oleh masyarakat Barat, ramai juga yang mengikuti Falsafah Eksistensialisme yang dibina oleh Sartre. Falsafah Eksistensialisme menggariskan bahawa kebaikan adalah sesuatu perbuatan yang dilakukan oleh seseorang individu secara bebas, tanpa campur tangan pihak lain termasuk agama dan Tuhan. Falsafah seperti ini sudah tentu akan melahirkan masyarakat yang mementingkan diri sendiri dan cenderung memberontak terhadap sebarang garis panduan Tuhan. Dengan falsafah seperti ini tidak hairan apabila seks bebas menjadi satu fenomena biasa di Barat. Orang yang mengaku dirinya beragama Islam tidak sepatutnya terikut-ikut dengan gejala-gejala disebutkan di atas, ini kerana falsafah Utilitarianisme dan Eksistensialisme tidak mempunyai asal-usulnya di alam Melayu. Falsafah-falsafah ini muncul di Barat untuk menggantikan pedoman agama (Nasrani) dalam mengatur moraliti individu. Orang Islam sepatutnya merasa bersyukur kerana Islam sampai sekarang tidak tergugat dari segi kerelevanannya dalam kehidupan manusia. Oleh kerananya pengaruh budaya Barat terhadap masyarakat hari ini lebih bersifat tiruan dan bukan terbit dari pemikiran sendiri. Keruntuhan Akhlak juga diperparah dengan budaya hiburan yang keterlaluan dalam masyarakat hari ini. Sememangnya hiburan sesuatu yang dibolehkan dalam Islam kerana ia sebahagian dari naluri manusia. Namun, Islam menggariskan beberapa syarat agar ianya tidak menjerumuskan dan melalaikan manusia. Yang menjadi masalah pada hari ini adalah kecenderungan untuk memerangkap seramai mungkin golongan remaja supaya tenggelam dalam budaya hiburan yang akhirnya akan merugikan bukan sahaja diri sendiri tetapi juga bangsa dan masyarakat. Budaya hedonistik Barat yang menular pada masyarakat kita hari ini patut dibendung bukan sahaja kerana ia bertentangan
http://khairaummah.com Menggunakan Joomla! Generated: 5 June, 2011, 03:52

Khairaummah.com

dengan ajaran Islam tetapi juga merugikan wawasan pembangunan Negara iaitu pembangunan modal insan. Pada hakikatnya, Kecemerlangan Akhlak sangat menentukan masa depan seseorang. Berapa ramai yang cemerlang dari segi akademik tetapi ternyata tidak berjaya dalam hidupnya, bahkan orang yang cerdik tetapi tidak berakhlak merupakan ancaman kepada masyarakat. Dan ramai yang berjaya dari segi material tetapi hidupnya porak peranda kerana keliru dan hilang pedoman. Namun sebaliknya orang yang berakhlak tetap merupakan aset bagi bangsa dan negara kerana ia akan sentiasa memberikan hasil yang baik dan berguna. Oleh kerananya dapat disimpulkan bahawa Akhlak sebenarnya lebih penting daripada kecemerlangan akademik semata-mata dan kejayaan material. Namun realitinya masyarakat hari ini lebih meletakkan akhlak di tingkat yang terendah sekali dalam prioriti kehidupan. Justeru dalam Islam ukuran kemuliaan seseorang terletak pada Akhlaknya. Al-Qur’an meletakkan akhlak sebagai criteria utama yang patut menjadi ukuran “Sesungguhnya sebaik-baik orang yang engkau upah adalah orang yang kuat dan amanah”(al-Qasas:26); “Sesungguhnya orang yang paling mulia di kalangan kamu adalah orang yang bertaqwa” (al-Hujurat:13). Rasulullah s.a.w. juga pernah bersabda yang maksudnya “Orang yang terbaik di kalangan kamu adalah yang paling baik Akhlaknya”.(H.R. Bukhari, Muslim dan Tirmizi) Masyarakat hari ini mempunyai dua pilihan; mengikuti sepenuhnya ajaran Islam dan ini tentunya akan dapat melahirkan generasi yang baik, atau membiarkan keruntuhan Akhlak berleluasa yang akhirnya menghancurkan masa depan generasi muda. Apa yang jelas adalah bahawa kebangkitan umat Islam tidak akan berhasil dengan baik tanpa kebangkitan yang menyeluruh mencakupi kedua aspek material dan spiritual, di mana penekanan terhadap aspek-aspek ekonomi, politik, moral dan sosial diberikan perhatian yang seimbang.

http://khairaummah.com

Menggunakan Joomla!

Generated: 5 June, 2011, 03:52

Anda mungkin juga menyukai