Anda di halaman 1dari 11

PENGENALAN

Ijtihad merupakan nadi kepada persoalan fiqh yang penting kerana dari semasa ke semasa persoalan fiqh sentiasa berkembang seiring dengan kehidupan masyarakat yang semakin hari semakin moden. Di bawah pengaruh dunia baru dengan segala kemajuannya, baik dari segi ekonomi, sosial mahupun sains dan teknologi, hampir semua perkara dalam kehidupan moden sekarang ini telah berubah. Akibatnya keperluan pada transformasi hukum Islam bagi menjawab persoalan hidup semasa dalam masyarakat Islam hari ini sangat dirasakan. Keadaan ini telah membawa kepada perkembangan ilmu fiqh yang telah membuka ruang kepada ijtihad dan memerlukan para mujtahid mengeluarkan hukum kepada masyarakat dalam permasalahan yang berkaitan dengan isu-isu baru. Ringkasnya hukum Islam semasa merupakan perkara teras dalam pengajian Syariah. Ia bukan sesuatu yang baru dan diperlukan pada hari ini tetapi juga sentiasa subur dalam proses ijtihad sejak dari zaman Rasulullah saw sampailah ke hari ini.1 Perkembangan fiqh masa ini menyebabkan perbincangan tentang ijtihad menjadi penting kerana saban hari masyarakat akan bertanya tentang permasalahan baru yang mereka tidak tahu hukumnya kepada mufti atau Majlis Fatwa. Walaupun ruang untuk berijtihad itu ada namun bukan semua orang boleh mengeluarkan fatwa atau hukum terhadap sesuatu kes yang baru timbul sekiranya kes tersebut tiada hukum ketentuannya dalam Al-Quran mahupun Hadis. Seseorang yang terlibat dalam berijtihad itu perlu memiliki syarat-syarat tertentu baik yang berhubungan dengan kelengkapan diri orang yang berijtihad mahupun yang berhubungan dengan sikap ketika menghadapi nas-nas yang berlawanan.2 Dalam hal ini tumpuan turut diberikan kepada kelayakan berijtihad dalam konteks semasa di Malaysia.

1 2

Mohmood Zuhdi bin Hj. Abdul Majid, Sejarah Pembinaan Hukum Islam, hlm 76. Hanafi, M.A, Pengantar Dan Sejarah Hukum Islam, hlm 165.

KONSEP IJTIHAD
Ijtihad berasal dari kata jahada yang membawa maksud mencurahkan segala kemampuan atau menanggung beban kesulitan.3 Menurut bahasa, ijtihad adalah mencurahkan semua kemampuan dalam segala perbuatan. Dalam hukum Islam pula ijtihad bermaksud mencurahkan tenaga memeras fikiran untuk menemukan hukum agama melalui salah satu dalil syara.4 Sekiranya hukum itu ditemukan dengan cara-cara tertentu seperti pemikiran dengan kemahuan sendiri semata-mata maka cara tersebut tidak disebut sebagai ijtihad.5

Para fuqaha sudah sepakat bahawa hukum ijtihad adalah wajib atas beberapa alasan yang telah dikemukan, antaranya seperti yang terkandung dalam firman Allah swt yang bermaksud: Maka ambillah ibarat, wahai orang-orang yang mempunyai pandangan

(Al-Hasyr: 2)

Ayat di atas bermaksud orang-orang yang memahami diperintah untuk mengambil ibarat dan hal ini bererti mangharuskan mereka untuk berijtihad. Selain itu, Allah juga berfirman yang bermaksud: Jika kamu memperseketakan sesuatu, maka kembalikan sesuatu tersebut kepada Allah dan RasulNya

(An-Nisa:59)

3 4

Fathurrahman DJamil, M.A, Metode Ijtihad Majlis Tarjih Muhammadiyah , hlm 12. Tholib Mohammad, Kedudukan Ijtihad Dalam Syariah Islam, hlm 8. 5 Hanafi, Pengantar Dan Sejarah Hukum Islam, hlm 162.

Ayat tersebut bermaksud bagi orang-orang yang mempelajari Al-Quran dan Hadis, mereka harus meneliti hukum-hukum yang ada alasannya agar boleh diterapkan terhadap peristiwa hukum yang lain dan hal ini merupakan ijtihad. Oleh itu, dapatlah dijelaskan bahawa ijtihad itu perlu dan ada ulama-ulama yang mengharuskaan ijtihad. Sahabat Nabi sendiri dan tabiin-tabiin melakukan ijtihad terhadap setiap peristiwa yang terjadi dan yang tiada ketentuan hukumnya. Menurut Maulana Moh Ali, qiyas atau ijmak merupakan salah satu metod atau cara dalam pelaksanaan ijtihad kerana kes-kes atau keadaan tertentu itu tidak terdapat hukumnya dalam Al-Quran mahupun hadis Rasulullah.6 Sebagaimana diketahui ijtihad itu adalah usaha optimal dari fuqaha untuk menemukan hukum atas kes yang baru tetapi masih berlandaskan Al-Quran dan Sunnah.

Secara umumnya, mujtahid yang boleh berijtihad itu perlu memenuhi kriteria-kriteria dan syarat-syarat yang mana sebahagiannya ada yang telah disepakati, dan sebahagian yang lain masih diperdebatkan. Syarat yang telah disepakati antaranya mengetahui Al-Quran yang meliputi pengetahuan tentang asbab al-nuzul, mengetahui As-Sunnah yang meliputi hadis yang nasikh dan mansukh, asbab al-wurud hadis, mengetahui bahasa Arab, mengetahui usul fiqh, mengetahui maksud dan tujuan syariah, mengetahui tempat-tempat Ijma, mengenal manusia dan kehidupan di sekitarannya dan bersifat adil dan taqwa.

SYARAT MUJTAHID UNTUK BERIJTIHAD


Dimana-mana negara Islam sekalipun, untuk berijtihad seseorang mujtahid itu perlu memenuhi syarat asas yang telah disepakati oleh para fuqaha. Begitu juga dalam kelayakan berijtihad dalam konteks semasa di Malaysia. Syarat-syarat asas untuk berijtihad ini perlu
6

Saidus Syahar, Asas-Asas Hukum Islam, hlm 61.

dipenuhi dahulu namun di Malaysia ada syarat tambahan untuk berijtihad dalam kalanagn mujtahid negara yang akan dibincangkan kemudian. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, walaupun ruang untuk berijtihad itu ada namun bukan semua orang boleh mengeluarkan hukum, melainkan orang tersebut memenuhi syarat tertentu iaitu:
Mengetahui ilmu al-Quran

Al-Quran merupakan salah satu sumber hukum Islam yang mana terdapat dasar-dasar hukum Islam didalamnya. Oleh yang demikian, seorang mujtahid harus mengetahui AlQuran secara mendalam. Sesiapa yang tidak mengerti kandungan Al-Quran sudah tentu ia tidak mengerti syariat Islam secara tepat dan kukuh. Memiliki pengetahuan tentang AlQuran tidak cukup dengan hanya mampu membaca, tetapi juga boleh memahami bagaimana Al-Quran memberi cakupan terhadap ayat-ayat hukum. Misalnya al-Ghazali memberi syarat seorang mujtahid harus tahu ayat-ayat ahkam berjumlah sekitar 500 ayat.7 Dalam hal ini, para mujtahid perlu ada pengetahuan tentang asbab al-nuzul iaitu pengetahuan tentang sebab musabab turunnya ayat dan termasuk dalam salah satu syarat mengetahui Al-Quran secara komprehensif, bukan hanya pada paparan teks tetapi mengetahui secara sosial-psikologis. Hal ini kerana dengan mengetahui sebab-sebab turunnya ayat ianya akan memberikan analisis yang komprehensif untuk memahami maksud diturunkannya teks Quran tersebut kepada manusia disamping dapat mengelakkan berlaku keraguan dan kesulitan dan juga yang boleh membawa kepada pemahaman global terhadap nas-nas yang bersifat lahir sehingga sering menimbulkan perselisihan. Seterusnya mujtahid pelu mengetahui nasikh dan mansukh. Hal ini pada dasarnya bertujuan untuk menghindari agar tidak sampai berdalih menguatkan suatu hukum dengan ayat yang sebenarnya telah dinasikhkan dan tidak boleh dipergunakan lagi untuk dalil.
7

Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Institusi Fatwa Dalam Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam Negeri Sembilan , hlm 18.

Mengetahui as-sunnah Syarat mujtahid selanjutnya adalah ia harus mengetahui As-Sunnah. Yang dimaksudkan As-Sunnah adalah ucapan, perbuatan atau ketentuan yang diriwayatkan dari Nabi Muhammad SAW. Pengetahuan tentang sunnah ini terbahagi kepada beberapa pengetahuan yang perlu didalami iaitu pengetahuan tentang ilmu diroyah hadis yang mana ilmu diroyah menurut al-Ghazali ialah mengetahui riwayat dan memisahkan hadis yang shahih dari yang rosak dan hadis yang boleh diterima dari hadis yang ditolak. Seorang mujtahid harus mengetahui pokok-pokok hadis dan ilmunya, mengenai ilmu tentang para perawi hadis, syarat-syarat diterima atau sebab-sebab ditolaknya suatu hadis, tingkat kata dalam menetapkan adil dan cacatnya seorang perawi hadis, dan lain hal-hal yang tercakup dalam ilmu hadis, kemudian tahu mengaplikasikan pengetahuan tadi dalam menggunakan hadis sebagai dasar hukum. Seterusnya mengetahui hadis yang nasikh dan mansukh agar seorang mujtahid tidak sampai berpegang pada suatu hadis yang sudah jelas dihapuskan hukumnya dan tidak boleh diperguna lagi. Seperti hadis yang membolehkan nikah mutah di mana hadis tersebut sudah dinasakh secara pasti oleh hadis-hadis lain. Pengetahuan yang seterusnya adalah mengetahui asbab al-wurud hadis yang mana syarat ini sama dengan seorang mujtahid yang seharusnya menguasai asbab al-nuzul, yakni mengetahui setiap keadaan, lokasi, serta tempoh masa hadis tersebut ada. Mengetahui bahasa Arab Seorang mujtahid wajib mahir bahasa Arab dalam rangka agar penguasaannya pada objek kajian lebih mendalam supaya dapat menetapkan aturan bahasa dalam pengambilan

hukum daripadanya.8 Hal ini perlu kerana Al-Quran itu sendiri diturunkan dalam bahasa Arab dan hal pertama ini penting bagi orang berijtihad kerana pemahaman dalam nas Al-Quran dan Hadis dalam bahasa Arab. Sekiranya mujtahid dapat memahami bahas Arab maka mudah baginya menguasai maksud susunan kata-kata dalam Al-Quran dan Hadis. Mengetahui tempat-tempat ijma Bagi seorang mujtahid, haruslah ia mengetahui hukum-hukum yang telah disepakati oleh para ulama, sehingga tidak terjerumus memberi fatwa yang bertentangan dengan hasil ijma. Sebagaimana ia harus mengetahui nas-nas dalil yang digunakan untuk menghindari fatwa yang bertentangan dengan nas tersebut. Mengetahui usul fiqh Di antara ilmu yang harus dikuasai oleh mujtahid adalah ilmu usul fiqh, iaitu suatu ilmu yang telah diciptakan oleh para fuqaha bagi meletakkan kaedah dan cara untuk mengambil istimbat hukum dari nas dan menyesuaikannya dengan cara pengambilan hukum yang tidak ada nas. Kalau seseoarang berkemampuan dalam ilmu usul fiqh, maka senanglah merujuk setiap masalah yang dihadapi kepada usulnya.9 Dalam usul fiqh, mujtahid juga dituntut untuk memahami qiyas seperti illat dan hikmah penetapan hukum disamping mempunyai pengetahuan tentang fakta-fakta yang ada nasnya dan yang tidak mempunyai nas. Mengetahui maksud dan tujuan syariah Sesungguhnya syariat Islam diturunkan untuk melindungi dan memelihara kepentingan manusia. Pemeliharaan ini dikategorikan dalam tiga tingkat maslahat, yakni adDharuriyyat iaitu keperluan utama manusia, tanpanya maka akan tergugat kehidupan dan membawa kepada kehancuran yang mana apabila dilanggar akan mengancam jiwa, agama,
8 9

Hanafi, M.A, Pengantar Dan Sejarah Hukum Islam, hlm 165. Kassim Salleh, Ijtihad: Sejarah Dan Perkembangan, hlm 169.

harta, akal, dan keturunan. Seterusnya al-Haajiyyat iaitu sesuatu perkara yang mana manusia boleh hidup tanpanya tetapi dalam keadaan yang amat sukar dan al-Tahsiniyyat pelangkap sampingan yang terdiri dari kebiasaan dan akhlak yang baik. Mengenal manusia dan kehidupan sekitarnya Seorang mujtahid harus mengetahui tentang keadaan zamannya, masyarakat, masalahnya, aliran ideologinya, politiknya, agamanya dan mengenal hubungan iaitu

masyarakatnya dengan masyarakat lain serta sejauh mana interaksi saling mempengaruhi antara masyarakat tersebut. Bersifat adil dan taqwa Hal ini bertujuan agar hukum yang telah dikeluarkan oleh mujtahid benar-benar profesional karana memiliki sifat adil, jauh dari kepentingan politik dalam mengeluarkan dan mempertahankan hukumnya.

KRITERIA MUJTAHID/MUFTI BERIJTIHAD DI MALAYSIA


Seterusnya pula merupakan syarat tambahan khususnya yang diguna pakai dalam kelayakan berijtihad dalam konteks semasa di Malaysia. Hasil hukum sesuatu perkara yang diperolehi daripada berijtihad disebut sebagai fatwa. Fatwa ini dikeluarkan oleh Majlis Fatwa dan orang-orang yang terlibat dalam melakukan ijtihad dalam Majlis Fatwa ini terdiri daripada golongan mufti yang dilantik mengikut enakmen 7 tahun 2004, enakmen fatwa dibawah seksyen 4, bahagaian dua iaitu perlantikan mufti dan fungsi mufti, kuasa Majlis Fatwa negari dan fatwa yang berhubung dengan kepentingan nasional.10 Dalam enakmen ini

10

E-Syariah Portal, http://www2.esyariah.gov.my, 21/11/2012.

dinyatakan bahawa Yang di-Pertua Negeri, atas syor Majlis, dengan persetujuan Menteri, boleh melantik mana-mana orang yang layak dan sesuai menjadi mufti kerajaan bagi negeri, Yang di-Pertua Negeri, atas syor majlis, selepas berunding dengan mufti, boleh melantik mana-mana orang yang layak dan sesuai menjadi timbalan mufti kerajaan bagi negeri dan Seseorang layak dilantik di bawah subseksyen (1) dan (2) jika dia seorang warganegara, seorang yang arif tentang hukum syara dan seorang yang mempunyai pengetahuan tentang undang-undang Islam yang berkuat kuasa di Negeri. Seterusnya, pelantikan mufti dan timbalan mufti hendaklah disiarkan dalam Warta. Mufti dalam konteks semasa di Malaysia merupakan golongan mujtahid yang mengeluarkan sesuatu hukum secara ijtihad. Secara ringkasnya fatwa dan mufti di Malaysia telah diinstitusikan oleh kerajaan sebagai jawatan utama yang memberi kuasa serta autoriti dengan rasmi justeru gaji dan elaun yang diberikan adalah halal bahkan sepatutnya martabat dan kedudukan mufti dan jabatannya diangkat.11 Dalam konteks semasa di Malaysia, telah ditetapkan para mufti yang berijtihad hendaklah memiliki beberapa syarat asasi dan kelayakan lain. Syarat tersebut terdiri daripada syarat asas seperti beragama Islam, adil, bertaqwa, mengetahui bahasa Arab, ilmu usul fiqh, maqasid Syariah, realiti masyarakat dan keilmuan semasa.12 Semua syarat ini ditetapkan oleh fuqaha antara lainnya bagi membantu, mendidik dan mengatur kewujudan kelas fuqaha/mufti. Dalam banyak hal, penetapan formula syarat ini memang cukup memberi kelebihan bagi mengelakkan proses pentafsiran agama dibuat secara sewenang-wenang oleh golongan yang tidak bertanggungjawab, yang memang akan wujud di setiap zaman.13 Pendekatan ini ditetapkan bukannya bertujuan untuk memonopoli usaha pentafsiran agama dalam kalangan
11 12

Zulkifli Mohammad Al-Bakri, Fatwa Dan Mufti: Hukum, Etika dan Sejarah, hlm 17. Noor Naemah Abd. Rahman, Ruang Ijtihad Dalam Amalan Fatwa Di Malaysia: Sorotan Dari Sudut Pentadbiran Fatwa, Jurnal Syariah, 10(2), hlm 25. 13 Rahimin Affandi Abdul Rahim, Paizah Ismail dan Nor Hayati Mohd Dahlal. Ijtihad Dalam Institutsi Fatwa Di Malaysia: Satu Analisis. Jurnal Syariah. 17 (1). Hlm 203.

ulama semata-mata. Tetapi ianya dibuat bagi mengelakkan sebarang tindakan rakus daripada masyarakat awam yang jahil tentang prinsip asas Islam, melakukan tafsiran melulu dan tindakan yang boleh merosakkan nama baik Islam. Tujuan ijtihad dilakukan adalah supaya dapat memenuhi keperluan akan hukum karana permasalahan manusia yang semakin hari semakin kompleks yang mana manusia mana memerlukan hukum Islam sebagai penyelesaian terhadap masalah tersebut. Mufti-mufti yang telah dilantik ini juga perlulah mempunyai adab dan etika dalam berijtihad antaranya iklas yang mana usaha ijtihad yang dilakukan ikhlas kerana Allah swt dalam memberikan sepenuh usaha berijtihad bukan semata-mata atas nama kerjaya sebagai mufti yang mendapat iktiraf daripada masyarakat dan kerajaan. Seorang mufti itu perlu mengetahui hukum-hukum syara hal ini kerana ilmu tersebut salah satu aspek penting dalam berijtihad, tanpa ilmu tersebut bagaimana mufti itu boleh diakui kebolehannya dalam mengeluarkan hukum. Seterusnya mempunyai keupayaan berfikir sehingga dapat mengeluarkan hukum, hal ini penting kerana berijtihad itu sendiri merupakan usaha berfikir dengan lebih tinggi mengikut landasan Al-Quran dan Hadis. Selain itu, bersifat warak dan bukannya orang yang ada masalah kematangan atau gila kerana tugasnya itu sangat penting dalam menentukan sesuatu hukum. Mufti juga perlu memahami sesuatu permasalahan dengan meneliti sebelum memberi fatwa dan tidak tergesa-gesa mengeluarkan fatwa mengikut amalan salaf al-soleh.14 Hal ini demikian kerana hukum yang dikeluarkan berdasarkan pemikiran kemahuan sendiri tanpa ada kajian mendalam terhadap sesuatu kes tidak dianggap sebagai ijtihad dan hukum yang dikeluarkan itu tidak boleh diguna pakai kerana diragui keutuhannya.

14

Zulkifli Mohammad Al-Bakri, Fatwa Dan Mufti: Hukum, Etika dan Sejarah, hlm 19.

KESIMPULAN
Ijtihad merupakan satu usaha yang dilakukan bersungguh-sungguh dengan pelbagai metode dan diikuti dengan syarat-syarat yang telah ditentukan untuk mencari dan mengetahui hukum Islam yang kemudiannya akan diguna pakai dalam kehidupan masyarakat yang semakin hari semakin kompleks. Di Malaysia, jawatan mufti merupakan jawatan penting kerana tugas-tugas mufti dalam mengeluarkan fatwa terhadap suatu kes baru yang timbul amat diperlukan. Oleh yang demikian mufti-mufti ini hendaklah menjalankan tanggungjawab mereka dengan teliti dan berhati-hati agar tidak menyeleweng dari landasan agama. Oleh itu, golongan yang menjadi mufti dalam negara ini perlu menepati kriteria-kriteria yang telah ditetapkan dalam syariah Islam disamping memenuhi kriteria yang telah ditetapkan dalam perundangan negara.

10

BIBLIOGRAFI
Fathurrahman DJamil, M.A (1995). Metode Ijtihad Majlis Tarjih Muhammadiyah. Jakarta: Logos Publishing Hause. Hanafi, M. A (1984). Pengantar Dan Sejarah Hukum Islam. Indonesia: P.T Bulan Bintang. Mohmood Zuhdi bin Hj. Abdul Majid (1988). Sejarah Pembinaan Hukum Islam. Kuala Lumpur: Jabatan Penerbitan Universiti Malaya. Noor Naemah Abd. Rahman (2002). Ruang Ijtihad Dalam Amalan Fatwa Di Malaysia: Sorotan Dari Sudut Pentadbiran Fatwa, Jurnal Syariah. 10(2). Kuala Lumpur: Bahagian Pengajian Syariah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Rahimin Affandi Abdul Rahim, Paizah Ismail dan Nor Hayati Mohd Dahlal (2009). Ijtihad Dalam Institutsi Fatwa Di Malaysia: Satu Analisis. Jurnal Syariah. 17 (1). Kuala Lumpur: Bahagian Pengajian Syariah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Saidus Syahar (1978). Asas-Asas Hukum Islam. Bandung: Penerbit Alumni. Tholib Mohammad (1979). Kedudukan Ijtihad Dalam Syariah Islam. Bandung P.T Alma Arif. Zulkifli Mohamad Al-Bakri (2008). Institusi Fatwa Dalam Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam Negeri Sembilan. Negeri Sembilan: Universiti Sains Malaysia.

e-Syariah Portal, http://www2.esyariah.gov.my, 21/11/2012.

11

Anda mungkin juga menyukai