Anda di halaman 1dari 2

DEDAHKAN ANAK DENGAN ILMUWAN ISLAM SEJAK KECIL

Ditulis oleh Mastura binti Mohd Zain. Posted in Berita Harian Kebetulan agak banyak menerima undangan majlis perkahwinan sejak akhir-akhir ini. Kesempatan itu juga digunakan untuk melihat gelagat orang di sekeliling dan dari pemerhatian didapati rata-rata masyarakat Melayu di Malaysia amat menggemari hiburan. Sesuatu majlis akan dilihat pincang jika tiada hiburan dan nyanyian. Di akhir majlis pula kanakkanak seawal usia dua tiga tahun sudah pandai menyanyi di atas pentas dan menerima tepukan gemuruh. Ia seolah-olah memberi galakan kepada kanak-kanak itu. Di televisyen pun kita dapati banyak rancangan hiburan yang melibatkan kanak-kanak dalam pertandingan menyanyi. Mengapakah jadi begini? Jika keadaan ini berterusan, kita khuatir umat Islam di negara ini akan sentiasa terkebelakang dan sukar untuk berjaya dan bersaing dengan negara lain. Kita mempunyai ramai tokoh ilmuwan Islam di zaman kegemilangan Islam dahulu, mengapa kita tidak dedahkan anak-anak kita dengan kejayaan mereka ini? Sekurang-kurangnya ia dapat dijadikan sumber inspirasi untuk anak-anak kita menjadi cemerlang seperti ilmuwan Islam terdahulu. Ceritakan kepada anak-anak kita kehebatan tokoh Islam dahulu yang mampu menguasai beberapa ilmu sekaligus. Berikan mereka galakan dan dorongan untuk mencontohi ilmuwan -ilmuwan Islam tersebut dan bukannya mencontohi penyanyi. Contohnya, Abu Bakar Muhammad bin Zakaria ar-Razi atau dikenali sebagai Rhazes di dunia barat merupakan salah seorang pakar sains Iran yang hidup antara tahun 864-930. Ar-Razi juga diketahui sebagai ilmuwan serba boleh dan dianggap sebagai salah satu ilmuwan terbesar dalam Islam. Ar-Razi sejak muda telah mempelajari falsafah, kimia, matematik dan kesusasteraan. Sebagai seorang doktor utama di rumah sakit di Baghdad, al-Razi merupakan orang pertama yang membuat penjelasan seputar penyakit cacar. Razi diketahui sebagai seorang ilmuwan yang menemukan penyakit "alergi asma" dan ilmuwan pertama yang menulis tentang alergi dan imunologi. Pada salah satu tulisannya, dia menjelaskan timbulnya penyakit rhintis setelah mencium bunga mawar pada musim panas. Razi juga merupakan ilmuwan pertama yang menjelaskan demam sebagai mekanisme tubuh untuk melindungi diri. Pada bidang farmasi, ar-Razi juga menyumbang membuat peralatan seperti tabung, spatula dan mortar. Ar-Razi juga mengembangkan ubat-ubatan yang berasal dari merkuri.

Seorang lagi tokoh ilmuwan Islam adalah Abu Ali Muhammad al-Hassan ibnu al-Haitham atau Ibnu Haitham, dikenali di kalangan cerdik pandai di Barat, dengan nama Alhazen, adalah seorang ilmuwan Islam yang ahli dalam bidang sains, falak, matematik, geometri, perubatan dan falsafah. Dia banyak pula melakukan penyelidikan mengenai cahaya, dan telah memberikan ilham kepada ahli sains barat dalam menciptakan mikroskop serta teleskop. Terdapat juga Abu Ali Al-Hussein Ibnu Sina atau dikenal dengan nama Avicenna, yang hidup antara tahun 986-1037 M. Seorang ilmuwan Muslim yang ke istimewanya antara lain pada masa umur 10 tahun sudah hafal Al-Quran, kemudian pada usia 18 tahun sudah mampu menguasai semua ilmu yang ada pada waktu itu. Bidang keahliannya adalah ilmu kedoktoran, ilmu fizik, geologi, mineralogy. Seorang lagi ilmuwan matematik Islam adalah Al-Khwarizmi, atau nama sebenarnya Muhammad ibn Musa al-Khwarizmi yang berketurunan Parsi. Al-Khwarizmi adalah salah seorang ilmuwan matematik di Bait al-Hikmah (House of Wisdom) yang diasaskan oleh Khalifah al-Ma'mun pada zaman pemerintahan Kerajaan Islam Abbasiyyah. Dilahirkan di sekitar tahun 780 Masihi dan meninggal dunia pada tahun sekitar 850 Masihi. Selain sebagai ahli matematik, beliau juga adalah ahli astronomi dan juga ahli geografi di Bait alHikmah. Sumbangan terbesar beliau adalah dalam bidang matematik, astronomi, astrologi, geografi, dan cartography (tentang peta) serta pengasas kepada perkembangan dalam ilmu algebra dan juga trigonometri. Ramai lagi tokoh ilmuwan Islam yang boleh dijadikan contoh kepada anak-anak kita. Jika kita perhatikan kebanyakan ilmuwan Islam adalah penghafaz Al-Quran. Sayangnya tokoh-tokoh sains Islam ini semakin dilupakan dunia. Satu ciri yang dapat diperhatikan pada para tokoh ilmuwan Islam ialah mereka tidak sekadar dapat menguasai ilmu tersebut pada usia yang muda, tetapi mereka juga menguasai keilmuwan tersebut dalam masa yang singkat dan dapat menguasai beberapa bidang ilmu secara bersama. Satu ketika dahulu umat Islam adalah pelopor ilmu pengetahuan. Mereka berlumba-lumba menimba ilmu atas dasar keimanan kepada Allah. Namun hari ini budaya ilmu kurang menjadi budaya umat Islam dan akibatnya mereka ketinggalan ke belakang dari segi ilmu pengetahuan. Negara memerlukan modal insan yang berkemahiran dan berakhlak mulia. Pembangunan modal insan adalah dengan membudayakan semula ilmu pengetahuan berdasarkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah. Ibu bapa harus menekankan kepentingan agama kepada anak-anak mereka dan bukan hanya memberi ilmu akademik semata-mata. Yang pasti di belakang setiap ilmuwan Islam terdahulu tentulah ibubapa yang tidak pernah meminggirkan agama dan mendidik mereka sehingga berjaya.