Anda di halaman 1dari 2

TEKS UCAPAN WAKIL PELAJAR MPPPB

Bismillahirrahmanirrahim Assalamualaikum w.b.t. dan salam sejahtera

Yang Berbahagia, Dr. Muhammad bin Ab. Rahman, Pengarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pendidikan Teknik; Yang Berusaha, Dr. Mahmud bin Yahya, Timbalan Pengarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pendidikan Teknik; Yang Berusaha, Ustaz Muaaz bin Muhammad, Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar;

Ketua-ketua Jabatan; Ketua-ketua Unit; Para pensyarah; Barisan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar Sesi 2013/2014; seterusnya rakan-rakan guru pelatih Ambilan Jun 2013 yang dikasihi sekalian. Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah s.w.t. kerana dengan limpah kurnia dan inayahnya, dapatlah kita sama-sama berkumpul di dalam Dewan Serbaguna dan seterusnya, membenarkan kita bersama-sama dalam satu majlis bagi meraikan Majlis Penutupan Pengurusan Pelajar Baru bagi Ambilan Jun 2013. Pertama-tamanya, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kerana telah memberikan saya peluang bagi mewakili rakan-rakan guru pelatih baru dalam menyampaikan sepatah dua kata. Sepanjang seminggu menjalani minggu pengurusan pelajar baru, saya dan rakan-rakan yang lain telah berjaya menyesuaikan diri berada di IPG Kampus Pendidikan Teknik, Bandar Enstek.

Banyak perkara yang telah didedahkan kepada kami sepanjang minggu pengurusan pelajar baru. Antaranya ialah pendedahan kepada lagu-lagu ipg seperti lagu guru Malaysia, lagu IPG Teknik, tayangan video tentang pengalaman guru-guru di kawasan pedalaman, hal-hal berkaitan Akta 174 dan sebagainya. Selain itu, kami juga ditekankan untuk menjaga disiplin sepanjang program dijalankan. Walaupun menghadapi sedikit kekangan seperti jarak di antara kolej kediaman dan tempat aktiviti dijalankan agak jauh, tetapi kami tetap berusaha untuk tiba tepat pada waktunya. Pada kesempatan ini juga, saya mewakili rakan-rakan guru pelatih yang lain ingin merakamkan ribuan terima kasih dan tahniah kepada barisan kepimpinan JPP sesi 2012/2013 yang telah menjaga kebajikan kami sepanjang seminggu kami menjalani Minggu Pengurusan Pelajar Baru. Saya mewakili semua guru pelatih baru berharap agar pengalaman sepanjang minggu pengurusan pelajar baru dapat mematangkan dan memberikan kami suntikan semangat yang baru dalam menjalani kehidupan sebagai guru pelatih di IPG Kampus Pendidikan Teknik.

Sekian, terima kasih.