Anda di halaman 1dari 3

Globalisasi menurut pengertian Kamus Dewan bermaksud fenomena yang menjadikan dunia kelihatan mengecil dari segi perhubungan

manusia disebabkan kepantasan perkembangan teknologi maklumat. Namun dalam pengertian lain, ia bermaksud dunia ini tidak lagi mempunyai sempadan dan manusia bebas ke manamana tanpa sekatan dan halangan. Dunia bukan sahaja tidak bersempadan geografi tetapi pengaruh globalissasi menjangkau sempadan ekonomi, teknologi, bahasa, budaya, ideologi, politik dan dari segenap aspek kehidupan sesebuah masyarakat. Kerajaan Malaysia memberi keutamaan kepada globalisasi ekonomi. Di samping itu, ia memberi perhatian besar kepada globalisasi maklumat dan ilmu dan globalisasi saintifik serta teknologi. Kesungguhan Kerajaan dalam menangani tiga jenis globalisasi ini jelas kelihatan pada berbagai-bagai bentuk wacana di peringkat nasional dan peringkat antarabangsa seperti dialog, seminar, persidangan dan forum dan juga pada penubuhan berbagai-bagai jenis institusi dan projek. Koridor Raya Multimedia (MSC) adalah simbol harapan serta kemegahan Malaysia dalam menyahut panggilan globalisasi. Globalisasi juga merujuk kepada perpindahan nilai, terutamanya cara berfikir dan gaya bertindak dari satu daerah dunia kepada daerah dunia yang lain. Globalisasi yang diberi erti luas ini adalah suatu hakikat yang tidak dapat dipertikaikan. Hakikatnya globalisasi itu sudah wujud sebelum istilah globalisasi diperkenalkan lagi. Fenomena globalisasi boleh dikiaskan sebagai gelombang yang melanda dunia. Sektor perbankan yang ternyata terkedepan dalam arus globalisasi ini seperti penggunaan mesin juruwang bukan sahaja membolehkan pelanggan dapat mengeluarkan wang dengan mudah, memeriksa baki akaun, menyimpan wangdan memindahkan wang. Sebaliknya, mesin-mesin ATM berkenaan bertindak

menggantikan peranan manusia sama ada untuk urusan bayaran pinjaman, kad kredit, mencetak baki akaun, menghantar sejumlah wang yang banyak ke negaranegara lain dan sebagainya. Selain itu, pendidikan jarak jauh dibolehkan dengan wujudnya rangkaian pendidikan yang lengkap. Trenda semasa semakin menampakkan masa depan

pengajaran dengan cara jarak jauh tetapi ini tidak bermakna pendidikan konvensional perlu dihapuskan sama sekali. Sesetengah daripadanya perlu dikekalkan bagi membolehkan pelajar membelajari kemahiran tertentu yang tidak boleh diperolehi melalui teknologi maklumat. Contohnya cara persembahan menggunakan komputer amat berbeza dengan cara konvensional. Namun kita tidak harus bergantung sepenuhnya kepada komputer dan melahirkan golongan yang tidak mampu berinteraksi tanpa komputer. Natijah daripada dunia tanpa sempadan, pendidikan di negara ini menjadi terbuka kepada dunia luar sama ada untuk belajar mahupun menubuhkan cawangan universiti asing di sini. Sudah tentu peluang yang sebegini akan diambil oleh universiti luar, terutamanya yang terkemuka dan berprestij. Mereka akan membuka cawangannya di negara ini. Walaupun cara ini merupakan suatu persaingan yang sihat, namun institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan masih belum bersedia untuk menghadapi situasi ini. Hal ini akan memberi kesan yang besar kepada IPT tempatan, terutamanya Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS). Para pelajar tentu akan memilih universiti luar yang terkemuka demi pasaran kerja mereka. Hal seperti ini telahpun berlaku apabila graduan IPT luar negara menjadi pilihan utama majikan berbanding graduan IPT tempatan. Dengan demikian juga, IPT tempatan akan mengalami masalah kekurangan pelajar dan akhirnya membawa kepada penutupan IPT berkenaan, khususnya IPTS yang bersaiz kecil.

Kesan globalisasi ini juga akan meminggirkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Hal ini berlaku kerana para pelajar mudah mendapat maklumat melalui internet. Maklumat yang disebarkan melalui internet sebahagian besarnya dalam bahasa Inggeris. Selain itu, cawangan universiti luar akan terus menjadikan bahasa Inggeris sebagai wahana dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Pada masa ini juga, sudah banyak IPTS yang telah menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Hal sebegini akan meminggirkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu walaupun sudah terbukti bahawa bahasa Melayu mampu menjadi bahasa ilmu dalam semua bidang. Jika hal ini berlaku, bahasa Melayu akan menjadi bahasa kedua dalam kehidupan masyarakat Malaysia dan usaha ke arah pembinaan bangsa Malaysia berdasarkan bahasa Melayu akan terbantut.

Kesan seterusnya yang akan timbul ialah penghayatan ilmu itu semakin terhakis. Hal ini demikian kerana para pelajar hanya belajar ilmu sahaja tanpa menghayati ilmu itu sendiri. Mereka belajar hanya untuk tujuan peperiksaan atau demi memenuhi tugasan yang diberikan sahaja. Ini akan melahirkan generasi yang cerdik pandai tanpa diimbangi dengan penghayatan ilmu itu sendiri. Akibatnya, kemahiran yang mereka miliki mungkin akan digunakan untuk tujuan negatif seperti melakukan pecah amanah, menipu dan sebagainya.

Kesimpulannya, semua pihak harus menyedari kesan globalisasi ini dan bersedia dengan langkah yang komprehensif. Kita tidak boleh mengelak daripada menghadapi globalisasi kerana tanpanya kita akan terus ketinggalan. Oleh itu, kita perlu bersedia untuk mengatasi sebarang cabaran yang wujud daripada fenomena globalisasi ini.

http://azmipasak.blogspot.com/2012/03/cabaran-globalisasi.html

http://aishahnetty.blogspot.com/2012/08/cabaran-globalisasi-dalam-pendidikan.html

http://finolla-5aminuddin.blogspot.com/

http://numieseducation.blogspot.com/2012/07/tajuk-1-14-globalisasi-pendidikan.html