Anda di halaman 1dari 12

Aku Mahu Jadi Masterchef e-NovelComel

Oleh: AinMaisarah
Ina! Amir! Ya, mama. Keduanya menyahut sambil lewa. Mama dan papa hendak ke hospital. Mak Usu dan Pak Usu pun ikut sekali. Okey. Serentak jawapan pendek keluar dari mulut mereka berdua. Ternyata rancangan konsert khas raya Akademi Fantasia yang baru bermula itu lebih penting dari segalanya. Mata sudah digam kukuh ke arah skrin TV. Tidak berkelip-kelip tanpa kompromi! Kami balik lewat. Encik Hazamin turut menyampuk dan sudah mencapai kunci kereta. Puan Mastura mengekor suaminya, mendekati pintu keluar. Sempat dia menoleh buat kali terakhir sebelum membuka pintu. Ina. ingat pesan mama. Kacau rendang atas kuali selalu. Jangan sampai hangus. Peringatan itu khas ditujukan buat Ina. Ina hanya mengangguk acuh tidak acuh. Mata Puan Mastura teralih kepada anak sulungnya pula. Amir jangan lupa balikbalikkan lemang setiap lima minit ya? Biar lemang masak sekata. Amir juga tidak memandang. Hanya mulut dengan mudah menyatakan kesanggupan. Jangan bimbanglah, mama. Balik-balikkan lemang itu kerja senang. Sebelum keluar, sempat lagi Puan Mastura mengerut kening. Memerhati kawasan sekeliling. Mana Azim? Puan Mastura mahu kepastian tentang lokasi anak bongsunya.

Azim di luar, main bunga api dengan anak-anak Mak Usu. Ina menjawab tanpa memandang. Tengok-tengokkan Azim sekali. Setelah memesan dan melambai buat kali terakhir, Puan Mastura dan Encik Hazimin keluar beriringan. Tinggallah dua remaja itu duduk berdua melopong di hadapan TV di malam raya. @@@@ Buat pertama kali dalam sejarah, raya tahun ini terasa amat berbeza. Kebiasaannya, malam raya menyaksikan kemeriahan persiapan. Kaum wanita tentu sibuk memasak lauk-pauk raya. Kaum lelaki pula pasti bergotong-royong mengacau dodol dan menjaga lemang. Kanakkanak mengambil peluang bermain bunga api dengan riang. Namun tahun ini berlainan sekali. Seminggu sebelum raya, datuk Ina dan Amir telah dimasukkan ke hospital kerana pembedahan batu karang. Akibatnya, kali ini mereka tidak dapat beraya di kampung Perak. Sebaliknya semua berkumpul di rumah Mak Usu di Subang supaya senang berulang-alik ke Subang Jaya Medical Centre bagi melawat datuk yang diwadkan di situ. Tahun ini, pertama kali raya disambut di bandar. Pertama kali juga raya disambut dengan persiapan yang sangat sederhana. Masing-masing lebih risaukan keadaan dan kesihatan datuk yang masih ditahan di hospital. Itu membuatkan hanya dua masakan yang menjadi menu hari raya. Sebuah periuk besar berisi rendang daging sedang dimasak di atas dapur. Hanya tunggu kuahnya kering. Dua puluh batang lemang pula sedang dibakar. Satu jam sahaja lagi tentu masak elok campuran beras pulut dan santan. Seperti diamanahkan, Ina disuruh mengacau rendang. Amir pula diminta membalikbalikkan lemang. Kanak-kanak lain riuh kecoh main lari-lari di luar rumah. Selang dua minit menonton konsert, Ina mencuit Amir dan memberi peringatan. Along, pergilah tengok lemang. Mama pesan suruh balik-balikkan selalu.

Amir menjeling, geram apabila keamanan menonton aksi Hafiz dan Mawi diganggu gugat. Dengan gaya teramat malas, Amir bangun juga dari sofa empuk. Dia melangkah

meninggalkan ruang tamu dan keluar dari rumah. Mendekati kawasan halaman tempat lemang dibakar, Amir membetul-betulkan susunan kayu dan lemang. Dikuis-kuis bara api supaya berada sekata membakar barisan lemang yang ada. Pedih mata Amir menahan asap yang masuk ke mata. Sedang dia membalik-balikkan satu per satu batang lemang yang ada, adik bongsunya Azim datang mendekati. Along buat apa? Jaga lemang. Amir menjawab pendek. Mengapa kena jaga lemang? Anak Mak Usu bernama Irwan turut bersuara. Biar jangan hangus. Amir memberitahu lagi. Boleh kami jaga lemang? Seorang lagi anak Mak Usu bernama Ihsan pula berkata-kata. Ketika mendengar permintaan tiga kanak-kanak itu, wajah bosan Amir jadi sedikit bercahaya. Bagus juga! Ada sukarelawan yang mahu membantu. Ada penolong tidak bergaji yang hendak menolong. Amir yang sememangnya bosan disuruh menunggu lemang itu cepat sahaja ada idea bijak yang boleh memudahkan hidupnya. Okey! Kamu bertiga jaga dan tolong tengok-tengokkan lemang ini. Panggil Along setiap lima minit. Boleh? Amir sudah bangun dari cangkungnya dan meluruskan pinggang. Boleh! Boleh! Dengan wajah teruja tiga budak lelaki itu tersenyum gembira. Dalam kepala sudah terbayang imaginasi hendak bermain perang-perang. Lemang yang berbaris itu laksana meriam. Api yang membara itu tentunya dibayangkan jadi periuk api yang bila-bila masa boleh meletup apabila terkena mangsa. Begini barulah ganas dan macho! Azim, Ihsan dan Irwan tersengih-sengih dan berbisik sesama sendiri. Sudah dirancang permainan malam raya

yang terhebat di abad ini. Tidak lagi bermain pusing-pusing bunga api macam budak perempuan sahaja. Along masuk dalam dahulu. Tetapi ingat setiap lima minit, panggil along. Along hendak balik-balikkan lemang ini. Yes, sir! Tiga kanak-kanak itu sudah tabik hormat bersama-sama. Amir melangkah pantas menjauhi lemang. Konsert Akademi Fantasia sedang menunggu. Sambil itu sempat Amir tersengih dan berkata sendiri. Hai! Macam ini barulah senang s edikit hidup aku! @@@@ Sekiranya Amir menggunakan khidmat tiga budak lelaki bagi memperingatkannya tentang masa membalikkan lemang, Ina pula ada cara tersendiri. Ina menggunapakai teknologi lebih canggih. Ina mengunci fungsi jam loceng yang ada pada telefon bimbitnya. Setiap dua minit, telefon akan berbunyi menandakan sudah tiba masa mengacau-ngacau rendang dalam periuk. Keduanya perlu memastikan ada masa peringatan khas bagi menjaga lemang dan rendang. Maklumlah, sekali-sekala apabila melihat keletah Aznil dan AC Mizal yang berganding bahu jadi pengacara. boleh lupa dunia dibuatnya! Tambah lagi apabila Mawi muncul di kaca TV. Ina akan ternganga menonton penuh teruja. Amir pula memberi perhatian tidak berbelah bahagi apabila Farah Breep Breep ada depan mata. Amir memang terkena penyakit angau dengan perempuan bernama Farah. Di alam nyata, Amir meminati Farah, kawan baik adiknya sendiri. Ina dan Farah sama-sama belajar di Sekolah Sri Bangsar. Di alam selebriti, Amir meminati suara lunak merdu penyanyi bertudung Farah Breep Breep pula. Masing-masing ada idola sendiri. Keduanya tidak mahu berganjak menonton konsert hingga tamat ke penghujung rancangan.

Sedang seronok menonton, terdengar satu suara melaung mengingatkan. Along! Sekarang sudah lima minit. Masa untuk tengok lemang! Azim terjerit-jerit dari luar pintu. Amir mengeluh. Matanya dibulatkan tanda bosan. Ina yang sedang menonton TV juga terganggu tumpuan apabila loceng telefon bimbitnya berbunyi. Ina membebel sendiri. Alah! Lambat betul rendang hendak kering! Asyik-asyik kena kacau! Penatlah! Along lagi teruk! Mama kata lemang kena balik-balikkan selalu. Lagi setengah jam baru masak. Ina dan Amir bangun serentak melaksanakan tugas menjaga menu hidangan raya yang sedang dimasak. Walau hati penuh rungutan, mereka berdua tetap melaksanakan amanah yang diberikan. Kedua-duanya melangkah longlai meninggalkan keempukan sofa. Hiburan di kaca TV juga perlu dilupakan buat seketika. Keutamaan malam raya sebegini tentulah lemang dan rendang, hidangan penting perayaan meriah setahun sekali ketika bulan Syawal menjelma. @@@@ Konsert khas raya Akademi Fantasia berterusan menjadi rancangan pilihan Ina dan Amir. Tidak bertukar-tukar, tidak beralih siaran. Makin seronok apabila di pertengahan konsert itu, hadirin dikejutkan dengan kemunculan khas Datin Seri Siti Nurhaliza sebagai juri jemputan. Ketika itu semua penonton bertepuk hebat. Paling tidak disangka, turut memunculkan diri adalah suami penyanyi popular itu. Siapa lagi kalau bukan Dato K yang bermisai tebal! Ina dan Amir ketawa tidak kering gusi melihat telatah Dato K yang dibuli oleh Aznil dan AC Mizal. Aznil memang kelakar betul! Ina sempat mengulas dalam ketawanya. AC Mizal pun okey juga. Buat lawak selamba. Amir pun terhibur dengan rancangan itu. Dua adik-beradik terus leka menonton. Tidak menyedari keganjilan yang berlaku, sehinggalah hidung terbau sesuatu. Ketika itu Amir dan Ina berbalas pandang. Wajah masing-

masing panik. Serentak mereka sama-sama bingkas bangun dan berlari ke arah berbeza. Ina sempat menjerit-jerit macam terkena histeria lagaknya. Amir pula ketika itu memecut sekuat hati. Kalah pelari Olimpik. Dia meluru ke pintu. Tidak sempat menyarung selipar ke kaki, dia bagaikan mahu menerkam menuju ke tempat pembakaran lemang di halaman rumah Mak Usunya. Sebaik sahaja sampai, dia pantas menguis ke tepi semua bara yang ada. Tepat seperti telahan, lemang yang dijaga itu sudah rentung sebelah bahagian. Tanpa disangka-sangka, terdengar jeritan dua adik-beradik di malam raya. Bagaikan berpadu suara. Bagaikan sudah dirancang serentak bunyinya. HANGIT SEMUANYA! HABISLAH KITA! @@@@ Ina masih menyeka airmata. Amir pula termenung melihat dua puluh batang lemang yang disusun atas meja. Masing-masing tidak tahu hendak buat apa. Rendang sudah hangit dan berkerak di buntut periuk. Lemang pula sudah rentung sebelah. Nampaknya dua hidangan raya itu sudah tidak boleh diselamatkan lagi. Habislah! Mati kita kena marah dengan mama dan papa. Suara Ina sayup-sayup kedengaran. Amir di sebelah juga mengangguk lemah. Mak Usu dan Pak Usu pun mesti mengamuk tahap gaban. Keduanya termenung lagi. Ketika itu perasaan menyesal menguasai. Itulah! Pentingkan TV sahaja! Konon bijak sangat mencipta cara mengingatkan tentang rendang yang perlu dikacau dan lemang yang mesti dibalikkan. Cara Ina mengunci telefon bimbitnya supaya berbunyi setiap dua minit sekali nyata tidak berjaya. Seronok sangat menonton konsert sehingga Ina tidak sedar bateri telefon bimbit itu mati. Deringan peringatan setiap dua minit tidak kedengaran lagi. Akhirnya rendang jadi hangit apabila tidak dijaga seperti yang diamanahkan kepadanya.

Strategi Amir yang menggunapakai khidmat tiga sukarelawan juga tidak berjaya. Sangkanya, dia boleh mengharap bantuan dan peringatan tiga kanak-kanak yang memang sentiasa berada di luar rumah main bunga api di malam raya. Namun, peringatan daripada tiga sukarelawan itu hanya datang pada waktu setengah jam yang pertama. Selepas itu ketiga-tiga mereka tertidur kepenatan di sofa luar rumah. Sungguh tidak disangka! Ina terus merenung periuk rendang di hadapan mata. Tangan menguis-nguis daging yang kering itu dengan senduk yang dipegangnya. Seketul daging kecil pada senduk itu dicubit dan dimasukkan dalam mulut. Perlahan Ina mengunyah dan merasa. Matanya terkelip-kelip. Seketika kemudian mata Ina bulat bercahaya dan laju tangan menepuk bahu abangnya. Along! Rendang ini okey rasanya! Mungkin bahagian bawah sahaja yang hangit! Wajah Ina benar-benar ceria. Amir mengerut dahi. Dia turut menyenduk sedikit ketulan daging dan memakannya. Beberapa kali kunyahan, Amir juga mengangguk kepala dan sedikit senyuman terukir dibibirnya. Memang betullah! Rendang ni masih boleh dimakan. Ina dengan pantas bangun dari duduknya. Dia menuju ke kabinet dapur dan mencapai sebuah bekas besar. Dia mula menceduk dan mengasingkan rendang yang masih elok. Tangannya laju bekerja. Amir di sebelah memerhati sahaja, sehinggalah Ina mengangkat muka dan memandang abangnya. Along bukalah semua lemang itu. Tentu ada lemang yang tidak hangit sepenuhnya dan masih boleh dimakan. Ina memberi arahan segera. Amir bagaikan tersedar dari lamunan. Dia segera menurut perintah Ina. Sebuah pisau panjang dicapai. Batang lemang itu dipegang dan dikekah pada permukaannya. Apabila sudah dapat mengopek batang buluh itu, isi pulut dialihkan dengan berhati-hati. Amir mencapai pula sebilah pisau kecil. Dipotong isi pulut itu seperti memotong kek gulung.

Apabila melihat isinya, Amir terus menunjuk pada Ina. Dapat dilihat, keliling bulatan lemang itu berwarna coklat dan terlebih keras kerana telah dibiarkan terlalu lama di bawah api yang menyala. Wajah Amir jelas kecewa. Lemang memang tidak boleh makan. Keras dan berkerak jadinya. Ina mengeluh. Dia mencapai sepotong lemang itu. Benar seperti dikata. Bahagian keliling lemang memang keras tidak boleh dimakan. Dia memicit pula bahagian tengahnya, masih lembut. Lalu Ina mencubit dan merasa isi di tengah-tengah bulatan itu. Beberapa saat Ina mengunyah sebelum Ina tersenyum sendiri. Bahagian tengah lemang masih boleh dimakan. Hanya tepi-tepinya yang keras dan berkerak. Amir mengangguk tetapi dahinya masih berkerut. Habis? Apa boleh kita buat? Ina mencapai pisau kecil dari tangan abangnya. Dipotong keliling lemang yang keras lalu ditolak ke tepi. Hanya bahagian tengah sahaja diletakkan atas pinggan. Along asingkan isi lemang. Keliling yang keras buang dan isi tengahnya yang boleh dimakan ini kita simpan. Arahan Ina itu segera diturut oleh Amir. Dia mula membelah dengan laju dua puluh batang lemang di atas meja. Kerja-kerja pengasingan dilakukan sepantas mungkin. Ina tidak bercakap dan sangat fokus pada kerjanya. Amir pula tekun memeriksa satu per satu isi lemang. Dua beradik itu nyata sedang berusaha menyelamatkan hidangan raya dengan sedaya upaya! @@@@ Akhirnya! Kerja-kerja pengasingan selesai juga. Sebekas rendang yang boleh dimakan sudah tersedia. Isi lemang juga sudah terlihat seperti semangkuk pulut. Ina dan Amir kini merenung dua hidangan itu pula.

Macam mana kita hendak hidang makanan raya macam ni? Lemang dah jadi pulut. Rendang pun tinggal separuh sahaja yang boleh dimakan. Amir sudah putus asa dan tidak tahu hendak buat apa. Ina memerhati lama dua bekas depan mata. Memang tidak menarik menghidang lemang yang bertukar rupa menjadi pulut itu kepada tetamu. Walau boleh dimakan, ianya tetap tidak boleh dipotong-potong bentuk kiub bulat seperti selalu. Nanti perlu diceduk gaya nasi pula. Tetapi masalahnya pulut itu teksturnya melekat-lekat. Tentu sukar diletak dalam pinggan hidang. Ina dan Amir termenung lagi. Mata Ina mengerling segenap ruang dapur, cuba mencari inspirasi. Hinggalah matanya tertacap pada satu peralatan yang sangat berguna di kala kecemasan sebegini. Ina mencapai alat itu. Dia segera menayang-nayang di hadapan mata abangnya. Along! Inilah penyelesaian kita! Eh? Apa ini? Macam tikar buluh mini. Amir berkerut kening dan menggaru kepala. Dia hanya menyaksikan sahaja jari jemari Ina laju menceduk pulut dan dilecek-lecek supaya rata. Kemudian Ina mengambil pula sedikit rendang dan diletakkan di atasnya. Dengan bantuan alat itu, Ina mula bereksperimen dan mencuba-cuba. Beberapa saat kemudian, Ina mempersembahkan hasil rekaannya. Amir tersengih sampai nampak gusi dibuatnya. Bijak! Bijak! Ina yang tidak tahan kena puji sudah kembang-kembang lubang hidung. Akhirnya! Malapetaka malam raya sudah dapat diselamatkan dengan kebijaksanaan otak cap Kancil milik Ina! @@@@ Keesokan harinya ketika takbir sayup-sayup bergema.

Semua mata tetamu menjeling ke arah meja makan itu. Tidak berkata apa kecuali berkerut kening hingga tercantum di tengahnya. Puan Mastura menjadi orang pertama bertanya. Apa ini? Ina tampil ke hadapan mendepangkan tangan gaya chef terkemuka. Inilah menu moden hari raya kita. Namanya Le Shu Ren Tok. Ina menyebut nama hidangan itu gaya lidah orang Perancis. Le Shu Ren Tok? Apa bendanya ni? Mak Usu orang pertama berani mencapai satu kepingan bulat makanan bernama Le Shu Ren Tok itu. Dimasukkan ke dalam mulut dan dikunyah perlahan-lahan. Hmm rasa lemang dicecah rendang. Mak Usu memberitahu laporan kunyahannya kepada semua. Buat pengetahuan semua, Le Shu Ren Tok adalah ringkasan Lemang Sushi Rendang Tok. Ianya memang lemang dan rendang yang dibentuk menjadi sushi. Kami cuba gabungkan budaya Jepun dan Melayu pada menu raya kali ini. Amir pula mengambil tanggungjawab menerangkan menu mereka. Puan Mastura dan Encik Hazimin bersama berpadu tenaga menjeling anak-anaknya. Hampir serentak mereka bertanya, Apa jadi dengan lemang dan rendang yang sebenarnya? Akhirnya Ina dan Amir bercerita dari A sampai Z apa yang sebenarnya berlaku pada malam raya. Insiden lemang dan rendang yang hangit diberitahu. Percubaan menyelamatkan hidangan juga dikongsi bersama. Ina bercerita tentang strateginya menggunakan alatan menggulung dan membuat sushi. Pulut yang terselamat dilecek-lecek supaya rata. Kemudian rendang pula diracik halus-halus dan dijadikan inti yang diletak ditengahnya. Setelah itu ianya digulung persis kek gulung. Setelah mampat paduan keduanya, Ina memotongnya menjadi cakera bulat-bulat sama bentuk dengan sushi yang dijual di pasaraya.

Mendengar penjelasan Ina dan Amir, Encik Hazimin geleng kepala. Kalau macam itu, namanya bukanlah Le Shu Ren Tok. Tetapi kita kena panggil Le Ren Tung ringkasan nama Lemang Rendang Rentung! Semua yang ada ketawa besar di pagi raya! Dan sejak itu, Ina dan Amir digelar Masterchef kerana berjaya mencipta resepi unik dalam keluarga besar mereka! @TAMAT@ Assalamualaikum dan salam sejahtera, Moga semua ceria-ceria sentiasa! Kak Ain ucapkan terima kasih kerana sudi membaca e-novelcomel bertajuk Aku Mahu Jadi Masterchef ini. Harap ianya menyeronokkan! Buat pengetahuan semua, enovelcomel ini Kak Ain berikan percuma kepada semua yang baru sahaja mendaftar di Kelab Blink. Kak Ain minta kerjasama pembaca agar memastikan e-novelcomel ini tidak dikongsi dengan kawan-kawan lain kerana ianya eksklusif untuk ahli kelab sahaja. Kalau rakan-rakan lain mahu baca, minta mereka mendaftar jadi ahli kelab juga ya! Jadi jangan cetak rompak cerita ini. Jangan edarkan secara percuma atau forward e-mel pada kawan-kawan kerana itu TIDAK DIBENARKAN ya! Kak Ain ucapkan terima kasih kerana para pembaca menjaga amanah ini. Terus setia bersama Kelab Blink, ada banyak lagi keseronokan yang menunggu semua pembaca! Salam Mesra, AinMaisarah

Anda mungkin juga menyukai