Anda di halaman 1dari 2

Latar Belakang Kehidupan

Khalifah al-Makmun termasuk seorang khalifah daripada kerajaan Abbasiyah yang terkenal selain Khalifah Abu Jaafar al-Mansur dan Khalifah Harun al-Rasyid. Baginda menaiki takhta kerajaan selepas menggulingkan abangnya, Khalifah al-Amin. Baginda adalah anak kepada Khalifah Harun al-Rasyid yang telah berkahwin dengan ibu baginda yang berketurunan Parsi. Nama penuh baginda ialah Abdullah Abul Abbas al-Makmun. Baginda menaiki takhta kerajaan pada tahun 813 M. Khalifah al-Makmun seorang yang cerdik dan berpengetahuan tinggi. Baginda begitu berminat dalam hal-hal yang berkaitan dengan agama Islam, ilmu bahasa, sastera, astronomi dan ilmu yang berkaitan dengan akal fikiran dan falsafah. Oleh sebab itu, baginda menggalakkan usaha-usaha penyelidikan dan memberi layanan yang istimewa kepada para ulama dan bijak pandai Islam. Baginda juga mengamalkan kebebasan berfikir dan tidak suka memperbesar-besarkan perbezaan yang terdapat dalam pelbagai aliran atau mazhab yang terdapat dalam Islam. Menaiki Takhta Selepas berjaya mengalahkan abangnya, Khalifah al-Makmun tidak terus datang ke Baghdad yang ketika itu menjadi pusat pentadbiran kerajaan. Baginda tinggal di Merv dan menyuruh Fadz bin Sahl menguruskan pentadbiran di Baghdad. Khalifah al-Makmun tinggal di Merv selama enam tahun. Baginda meneruskan minat baginda dalam bidang ilmu pengetahuan dengan berbincang bersama para cerdik pandai Islam. Selain itu, Khalifah al-Makmun juga cuba berbaik-baik dengan golongan Syiah dengan melantik Ali al-Redha sebagai putera mahkota. Hal ini tidak disenangi oleh penyokong-penyokong Abbasiyah yang kemudian melantik bapa saudara baginda Ibrahim al-Mahdi untuk menjadi khalifah yang baru di Baghdad. Apabila Khalifah al-Makmun mengetahui tentang perkara ini dan beberapa pemberontakan yang berlaku, baginda telah pergi ke Baghdad untuk memulihkan keamanan dan perpaduan negara Islam. Ketika dalam perjalanan ke Baghdad inilah, Fadz bin Sahl dan Ali al-Redha telah terbunuh. Baginda telah menghantar beberapa orang

panglima dan pasukan askar untuk menghancurkan pemberontakanpemberontakan yang berlaku. Baginda kemudian cuba menukar dasar pemerintahan baginda setelah itu.