Anda di halaman 1dari 12

ISU 2 : GURU STRESS oleh ANIS BINTI ZAKARIA

ULASAN ARTIKEL
PENDAHULUAN Tekanan atau stress adalah satu tindakbalas fisiologikal dan psikologikal ke atas permintaan terhadap seseorang. Ini bermaksud, tekanan yang melanda seseorang akan menyebabkan fikiran dan fizikal individu tersebut bertindak balas mengikut keadaan dan tahap tekanan tersebut. Sekiranya tahap tekanan tersebut adalah rendah maka tindakbalas individu terbabit juga tidak terlalu besar dan begitu juga sebaliknya. Smither (1994), Kenyataan ini disokong oleh Schafer (1992), yang menyatakan bahawa tekanan sebagai kebangkitan minda dan fizikal seseorang dalam memberi tindakbalas kepada sesuatu permintaan terhadap diri seseorang. Tambahan pula, Fontana (1989), juga menyatakan bahawa tekanan adalah satu bentuk permintaan yang dibuat ke atas keupayaan untuk menyesuaikan minda dan fizikal serta seterusnya menjelaskan sekiranya seseorang itu dapat menerima dan menangani permintaan tersebut, maka tekanan tersebut akan mendatangkan kesan yang positif. Hal ini menunjukkan bahawa cara seseorang menangani tekanan bergantung kepada tahap kesediaan minda dan fizikal seseorang untuk menerima atau menyerap sesuatu tekanan yang diterima. Sekiranya individu terbabit tidak bersedia dari segi fizikal dan mental, maka sudah pastinya tekanan yang datang dalam bentuk permintaan ini tidak mampu dihadapi dengan sempurna yang akhirnya akan menyebabkan individu tersebut tertekan dan menghadapi masalah yang lebih besar. Sementara itu, menurut Levine dan Ursin (2009), tindakbalas tekanan ini adalah satu perubahan fisiologi dan perlakuan yang berlaku terhadap mereka yang menghadapi tekanan. Oleh itu, boleh dikatakan bahawa, tekanan bukanlah satu perkara yang boleh diambil ringan kerana seseorang itu akan menghadapi risiko untuk berubah perlakuannya dengan melakukan perkara-perkara yang tidak sepatutnya seperti bercakap kasar, memulakan pertengkaran, terlibat secara fizikal dalam pergaduhan, penyalahgunaan dadah, terlibat dalam jenayah dan sebagainya yang membuktikan walau sekecil mana sekalipun tekanan tersebut sekiranya tidak diuruskan dengan betul mampu membawa malapetaka yang lebih dahsyat lagi kepada mereka yang terlibat. Namun semuanya bergantung kepada kekuatan mental dan fizikal seseorang kerana ianya dapat membantu seseorang untuk menyerap tekanan dan dapat menerima tekanan tersebut secara positif.

Daripada beberapa definisi yang diberikan di atas, maka boleh dikatakan tekanan terbukti mempunyai hubungan dengan faktor dalaman dan luaran seseorang. Faktor luaran ini bermaksud persekitaran fizikal seperti tugasan dan tanggungjawab di pejabat, tahap perhubungan dengan manusia lain, keadaan fizikal kediaman, tahap kebisingan, kesesakan jalanraya dan sebagainya yang berkaitan dengan kehidupan seharian manusia. Faktor dalaman pula bermaksud faktor yang mempengaruhi seseorang di dalam menangani faktor-faktor luaran tadi seperti tahap kesihatan fizikal dan mental, emosi dan perasaan serta rehat yang mencukupi. Bagi mereka yang mempunyai tahap kesihatan yang tinggi, kemungkinan untuk mereka menghadapi tekanan disebabkan perkara yang remehtemeh adalah rendah dan cara mereka bertindakbalas juga adalah secara sederhana. Manakala mereka yang mempunyai tahap kesihatan yang rendah mempunyai kemungkinan untuk mengalami tekanan dan bertindakbalas secara agresif walaupun atas sebab-sebab yang kecil akibat ketahanan mental dan fizikal yang lemah. Di Malaysia, profesion keguruan merupakan satu bentuk perkhidmatan sosial yang sungguh mencabar. (Ibrahim Ahmad Bajunid, 1995). Semenjak beberapa tahun kebelakangan ini, pelbagai usaha dijalankan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai satu usaha dalam meningkatkan mutu sistem pendidikan di Malaysia. Dengan pelaksanaan pelbagai-bagai reformasi ini, tugas, peranan dan tanggungjawab guru menjadi semakin mencabar.Tekanan terhadap guru memang berkecenderungan untuk menyebabkan guru berada dalam keadaan murung, mengalami tekanan jiwa, kekecewaan dan kebimbangan. Guru yang gagal mengawal diri akibat tekanan akan memberi kesan kepada perhubungan guru dengan pelajar dan juga mutu pengajaran dan pembelajaran seterusnya boleh menjejaskan kualiti pendidikan dan juga profesion perguruan. Bukan sekadar itu, masalah ini akan membantutkan usaha mewujudkan sebuah masyarakat yang mampu membawa Malaysia ke tahap kecemerlangan dan kegemilangan mutu pendidikan. (Dr.Sapora Sipon, 2007). Peratusan kadar stress dalam kalangan pekerja di Malaysia yang telah dicatatkan pada tahun 2011 juga menunjukkan bahawa guru berada pada tempat keempat dengan peratusan sebanyak 45.8 % berbanding pekerjaan-pekerjaan yang lain seperti jururawat, doktor dan sebagainya. Statistik ini membuktikan bahawa tugas guru ini bukan tugasan biasa dan mudah seperti yang diperkatakan oleh sesetengah pihak. Satu kajian telah dijalankan oleh Mohamad Abdillah Royo dan Woo Sew Fun dari Fakulti Pendidikan Universiti Malaya bagi mengenalpasti punca sebenar dan jalan penyelesaian bagi masalah ini. Hasil kajian menunjukkan bahawa pelbagai perkara yang dikenalpasti

menyumbang kepada masalah ini antaranya bebanan tugas, kerenah murid, kurang motivasi dan sebagainya. PERKEMBANGAN HUJAH-HUJAH Stress boleh berlaku kepada semua guru samada guru sekolah menengah mahupun rendah. Satu kajian yang dijalankan oleh Azizi Yahya dan Norliza Othman mengenai punca sebenar berlakunya masalah stress dalam kalangan guru matematik di negeri Johor. Hasil kajian mendapati bahawa faktor yang paling mempengaruhi stress adalah faktor masalah disiplin pelajar yang mencatatkan nilai min keseluruhan tertinggi iaitu 3.83. Kajian juga dijalankan oleh Azrul Hisham Abdul Manaf pada tahun 2009 menunjukkan bahawa guru tidak terlepas daripada perlakuan dan sikap segelintir pelajar yang kadangkala menyakitkan hati. Antara contoh perlakuan pelajar yang membangkitkan kemarahan guru termasuklah datang lewat ke kelas, membuat bising ketika sesi pengajaran dan pembelajaran bermula, tidak hadir ke sekolah tanpa alasan yang munasabah dan bersikap biadap dengan guru. Perkara ini menyebabkan guru mengambil keputusan yang agak drastik dan berasaskan emosi untuk menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan disiplin pelajar. Walaupun tindakan ini melanggar etika dan tatatertib seorang pendidik, namun kadangkala emosi yang tidak stabil boleh menguasai kekuatan akal fikiran yang waras. Terdapat banyak contoh sebenarnya yang berkaitan dengan tindakan disiplin berdasarkan emosi yang dilakukan oleh guru yang berkait dengan masalah disiplin pelajar. Antaranya ialah kejadian di mana 200 orang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bawang Assan di Sarawak yang telah dihukum dengan cara berendam di dalam sebuah kolam yang kotor oleh warden asrama mereka disebabkan masalah disiplin (Utusan Malaysia, 28 Julai 2007). Setahun sebelum itu,seorang guru disiplin di sebuah sekolah menengah di Kelantan telah bertindak memukul seorang pelajar berulang kali di kawasan sekolah kerana memakai seluar jeans pada hari terakhir peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ( Berita Harian, 20 Mei 2006 ). Guru bukan sahaja terpaksa berhadapan dengan para pelajar yang bermasalah tetapi juga berhadapan dengan ibu bapa pelajar yang memberikan harapan yang amat tinggi kepada para guru untuk menjadikan anak-anak mereka cemerlang dalam pelajaran. Hal ini dapat dibuktikan menerusi kajian yang telah dijalankan oleh Unit Kaunseling Jabatan Psikologi, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada tahun 2006 yang mendapati bahawa 83% daripada guru telah mengalami tekanan akibat harapan tinggi yang diletakkan oleh ibu bapa pelajar yang

mengharapkan guru-guru di sekolah boleh membantu untuk menjadikan anak-anak mereka sebagai pelajar yang cemerlang dalam akademik. Kajian yang sama juga menyatakan bahawa kebanyakan ibu bapa akan melepaskan sepenuhnya tanggungjawab untuk mendidik anak-anak mereka kepada guru sekolah sambil mengharapkan anak mereka memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Abu Bakar Hamzah dalam artikelnya yang dimuatkan dalam akhbar Berita Harian bertarikh 23 Februari 2007 mengatakan bahawa ibu bapa kebiasaannya akan mengukur kejayaan mutlak seseorang pelajar berdasarkan kecemerlangan akademik semata-mata tanpa mengira aspek-aspek lain yang tidak kurang pentingnya seperti kemahiran dalam bidang vokasional. Akibat daripada harapan yang terlampau tinggi, kebanyakan guru terpaksa menghabiskan banyak masa mereka di sekolah untuk mengadakan kelas-kelas tambahan di luar waktu persekolahan bagi memastikan harapan ibu bapa dipenuhi. Selain itu, faktor bebanan kerja yang terlampau banyak juga menyebabkan guru-guru mengalami masalah stress. Menurut Esah Sulaiman (2003), guru merupakan pengurus pembelajaran yang bertanggungjawab untuk merancang pengetahuan, kemahiran dan nilai yang hendak diajar kepada pelajar setiap hari. Ini menunjukkan tanggungjawab guru untuk menyediakan maklumat-maklumat untuk diajar tidak semudah yang disangkakan. Guru juga dibebankan dengan tugastugas lain seperti tugas pentadbiran sekolah contohnya merancang dan menjalankan aktiviti sekolah, menjadi penasihat persatuan dan kelab, menjalani kursus yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah atau Jabatan Pendidikan Negeri dan sebagainya. Perkara ini mungkin dilihat mudah oleh sesetengah pihak namun ia merupakan bebanan yang amat tinggi kepada para guru kerana mereka terpaksa melakukan pelbagai jenis kerja yang berkaitan dengan akademik, kokurikulum dan pentadbiran sekaligus setiap hari. Tambahan pula, adakalanya tugas-tugas ini perlu diselesaikan pada hari minggu sehingga menyebabkan guru tidak mendapat ruang waktu untuk berehat dan bersama keluarga. Ia menjadi menjadi satu masalah yang besar dan dipandang serius oleh Kementerian Pelajaran Malaysia sehingga wujudnya satu Jawatankuasa Khas bagi mengkaji bebanan tugas guru yang terlampau banyak. Menurut Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Don yang mempengerusikan jawatankuasa itu, beberapa cadangan sudah dikenalpasti bagi menangani masalah ini. Jawatankuasa ini ditubuhkan bagi memberi maklumbalas terhadap aduan yang dibuat oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) terhadap bebanan tugas guru dalam satu sidang media yang diadakan pada tarikh 30 Mac 2010. Ini membuktikan bahawa banyak pihak yang menyedari akan bebanan tugas guru yang semakin mencabar.

Bagi pekerja di setiap organisasi, etika kepimpinan seseorang pemimpin atasan memainkan peranan yang penting dalam memajukan organisasi tersebut. Perkara yang sama juga berlaku di sekolah apabila etika kepimpinan pengetua atau guru besar yang memainkan peranan yang sangat penting di dalam kemajuan dan pembangunan sekolah serta sumber manusianya. Guru sememangnya bergantung harap kepada guru besar untuk memastikan kelancaran pentadbiran di sekolah di samping menjaga kenajiakn mereka sebaik-baiknya. Sekiranya perkara ini tidak berlaku, guru akan mengalami tekanan kerana persekitaran tempat kerja yang tidak membantu mereka untuk menjadi lebih produktif di dalam perkhidmatan. Hal ini kerana, adakalanya dalam melaksanakan sesuatu program di sekolah, terdapat corak pentadbiran dan tindakan pengetua yang kurang disenangi di sekolah. Malahan, ada juga program yang diatur bukanlah untuk kepentingan sekolah atau pelajar sebaliknya untuk kepentingan peribadi pengetua semata-mata. Keputusankeputusan tentang peraturan dan dasar sekolah yang tidak adil dan kerap berubah juga akan membangkitkan ketidakpuasan hati guru. (Hamedah binti Wok Awang, 2004). Selain itu, ada juga pengetua yang menyalahgunakan peruntukan sekolah untuk kegunaan peribadi seperti hanya menumpukan usaha membesar dan mencantikkan bilik guru besar sahaja walaupun peruntukan tersebut sebenarnya harus digunakan untuk pembangunan fizikal sekolah serta kebajikan kakitangan dan pelajar. Isu ini telah dilaporkan oleh BERNAMA pada 17 Februari 2000, apabila Kementerian Pendidikan akan mengambil tindakan segera terhadap pengetua yang menyalahgunakan kuasa mereka termasuk yang terlibat dalam rasuah. Menurut mantan Menteri Pelajaran Malaysia, hal ini kerana terdapat beberapa kes yang diterima oleh pihak kementerian setiap tahun yang menyebabkan tindakan tegas perlu diambil secara serta merta. Hal ini secara langsung akan mengundang tekanan emosi terhadap guru kerana mereka akan berasa kurang senang dengan keputusan-keputusan yang dibuat tanpa mengambil kira kebajikan perkhidmatan mereka. Apabila keadaan ini semakin berlarutan, ianya akan menghakis kepercayaan guru terhadap kredibiliti dan ketelusan pengetua terbabit. Akhirnya perasaan hormat guru akan hilang dan mereka akan kehilangan motivasi untuk terus berkhidmat dengan cemerlang. IMPLIKASI HUJAH-HUJAH Punca-punca seperti yang dinyatakan di atas akan membawa kepada tekanan terhada guru dan menyebabkan mereka mengambil jalan-jalan tertentu untuk menyelesaikannya. Guru yang tertekan akan melakukan apa sahaja untuk

memastikan tekanan yang melanda mereka berakhir. Ini termasuklah melakukan perkara yang menyalahi undang-undang dan etika pengurusan. Ponteng kerja adalah perkara serius yang dilakukan oleh individu-individu yang tertekan ( Akhiar Pardi dan Shamsina Shamsuddin, 2011 ). Perkara ini dibuktikan melalui pendedahan yang dibuat oleh akhbar Berita Harian bertarikh 12 Disember 2009 iaitu seramai lima peratus daripada keseluruhan penjawat awam di Malaysia terlibat dalam kes ponteng kerja di mana ada sesetengahnya yang tidak hadir ke tempat kerja selama tiga bulan. Satu laporan akhbar daripada Berita Harian bertarikh 27 Mac 2008 menyebutkan isu seorang guru di Perak yang tidak menghadirkan diri ke sekolah selama lebih dari 30 hari tanpa alasan yang kukuh. Akibat dari perlakuan tersebut, pihak Kementerian Pelajaran akan mengambil tindakan disipilin yang tegas terhadap guru terbabit dan mungkin akan memecat beliau dari perkhidmatan perguruan. Hal ini disokong melalui pernyataan yang dibuat oleh Ho (1997) bahawa guru yang ponteng kerja akan menyebabkan proses pembelajaran terganggu untuk satu jangka masa yang panjang. Akibatnya, banyak perkara yang tidak dapat diselesaikan dengan segera seperti kegagalan menghabiskan sukatan pelajaran dan kelewatan menganjurkan aktiviti-aktiviti ko kurikulum di sekolah. Selain itu, rancangan pengajaran yang telah ditetapkan juga tidak dapat diikuti lagi kerana telah tersasar dari perancangan asal menyebabkan perancangan baru perlu disusun semula. Akhirnya, pelajar-pelajar akan mendapat impak yang sangat negatif apabila mereka tidak mampu menjawab soalan-soalan peperiksaan dengan baik terutamanya apabila melibatkan peperiksaan-peperiksaan umum seperti UPSR, PMR dan SPM kesan dari proses pengajaran dan pembelajaran yang tidak lancar. Selain daripada ponteng kerja, guru-guru juga akan cenderung untuk melakukan tindakan yang lebih besar iaitu berhenti kerja kerana tidak lagi mampu untuk bertahan dalam kerjaya ini. Tekanan-tekanan yang datang dari bebanan tugas yang melampau, etika kepimpinan pihak atasan sekolah dan tahap disiplin pelajar yang rendah merupakan faktor utama mengapa guru berniat meninggalkan kerjaya utama mereka. (Azrul Hisham Abdul Manaf, 2009). Isu ini turut disentuh oleh satu kajian kes yang telah dijalankan oleh Erkultu dan Chafra (2006) yang menyebut bahawa tekanan yang terlampau tinggi boleh mengakibatkan pekerja berfikir untuk meletakkan jawatan. Justeru, tidak hairanlah para guru yang sememangnya berhadapan dengan bebanan kerja yang tinggi akan berniat untuk menarik diri daripada jawatan ini. Kajian juga telah dijalankan oleh Jesus (2000), beliau mendapati 50 peratus daripada guru yang menjawab borang soal selidik

mengakui bahawa mereka mahu mencari kerja lain akibat tekanan yang berlebihan di sekolah. Pada pandangan saya, adalah menjadi satu kerugian yang sangat besar sekiranya kebanyakan guru yang menghadapi masalah tekanan ini meneruskan niat untuk meletakkan jawatan kerana ianya akan mengganggu keseluruhan proses pendidikan di sekolah. Selain itu, kerajaan juga terpaksa mengeluarkan kos yang besar dan menghabiskan masa yang panjang untuk memberi latihan kepada guruguru baru bagi menggantikan kekosongan tersebut. Pelbagai langkah yang telah diambil bagi menangani masalah stress dalam kalangan guru yang semakin parah. Antaranya ialah memperkenalkan program latihan fisioterapi khas untuk golongan-golongan guru di seluruh Negara. Menurut pengarah urusan Great Life Physio and Rehabilation, Mohd Rozaimi Che Kamaruddinata, program itu disediakan khas oleh pakar-pakar fisioterapi untuk para guru dalam memberi panduan bagaimana menguruskan stress semasa bertugas. Program ini telah berjaya dijalankan di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Gading, Sungai Buloh Selangor dengan melibatkan 135 orang guru dan kakitangan sekolah tersebut. Program ini disokong penuh oleh pengetua sekolah tersebut, Siti Endon Mohamad Dahlan yang berpendapat bahawa program itu banyak memberi kesedaran kepada guru dalam menangani masalah stress di tempat kerja. Selain daripada itu, guru sepatutnya diberi pengkhususan tugas iaitu memberikan tumpuan kepada pengajaran sahaja. Memetik ucapan presiden NUTP, Hashim bin Adnan, beliau mengatakan bahawa pada hari ini, kita dapat melihat bahawa tugas guru bukan sahaja mengajar sebaliknya melakukan tugas-tugas pengurusan yang lain, di mana tugas-tugas tersebut sepatutnya dijalankan oleh individu lain. Umpamanya, pengurusan data-data murid dan sekolah menggunakan aplikasi atas talian yang baru sahaja diperkenalkan baru-baru ini .Menurut Jaafar Muhammad (2003), kebanyakan individu bekerja selama 45 jam dalam masa seminggu. Baki masa yang selebihnya pula sepatutnya digunakan untuk mengukuhkan perhubungan sosial dengan masyarakat setempat seperti berkomunikasi, menyelesaikan masalah dan melakukan aktiviti bersama keluarga, jiran tetangga dan rakan-rakan mahupun ahli bagi persatuan yang disertai oleh mereka. Sekiranya guru tidak mempunyai masa yang cukup untuk dihabiskan bersama masyarakat setempat, mereka akan membawa masalah-masalah di luar pejabat ke sekolah untuk diselesaikan. Perkara ini seterusnya akan mengganggu pula komitmen mereka terhadap tugas-tugas hakiki di sekolah. Hal ini akan menjadi semakin serius apabila murid-murid mendapat implikasi negatif seperti

gagal dalam peperiksaan utama dan seterusnya negara mengalami kerugian besar terhadap penghasilan sumber manusia. CADANGAN DAN RUMUSAN Seorang guru yang gagal menjalankan tanggungjawab dan tugas akan memberi mudarat kepada seluruh generasi ( Chek Mat, 2008 ). Guru yang baik mestilah sentiasa sedar akan kepentingan diri dan amanah yang dipikul mereka. Oleh yang demikian, guru mestilah memastikan diri mereka terlepas dari masalah stress yang memudaratkan ini. Pemeriksaan kesihatan yang berkala perlu sentiasa dijalankan oleh para guru dalam memastikan tahap kesihatan mereka berada dalam keadaan yang baik. Guru mestilah berusaha menjaga tahap kesihatan mereka kerana hal ini memberikesan yang amat mendalam kepada seorang guru. Umpamanya, guru yang mengalami masalah kesihatan akan lebih cenderung mengalami masalah stress di sekolah sekaligus memberi mudarat kepada profesion secara umumnya dan murid secara khususnya. Guru juga perlu meningkatkan perbincangan dan bersosial dengan rakan-rakan sejawatan sekiranya berlaku sebarang masalah berkaitan tugas di sekolah. Hal ini mungkin dapat menghilangkan sedikit tekanan yang dihadapi oleh guru. Sekiranya masalah-masalah yang dialami disimpan bersendirian, ia akan menyebabkan guru lebih mudah menghadapi tekanan di tempat kerja. Bagi pihak ibu bapa dan pengurusan sekolah, mereka tidak sepatutnya meletakkan harapan yang terlalu tinggi kepada guru-guru di sekolah. Hal ini kerana, tugas mendidik anak adalah tanggungjawab ibu bapa dibantu oleh guru di sekolah. Adalah menjadi satu kesilapan besar sekiranya tugas mendidik anak-anak sekadar diletakkan di bawah tanggungjawab guru dan hal ini secara tidak langsung memberikan tekanan hebat kepada para guru di sekolah. Secara kesimpulannya kerjaya sebagai seorang guru adalah satu kerjaya yang cukup mencabar. Banyak pengorbananyang perlu dilakukan oleh seorang guru untuk memberi yang terbaik kepada para pelajar. Sesuatu yang positif perlu dilakukan segera oleh pihak atasan sekolah dan juga guru bagi mengelakkan puncapunca tekanan ini membawa kesan yang lebih teruk sekiranya dibiarkan berterusan. Boleh dikatakan tekanan dapat dikawal dengan baik oleh guru sekiranya mereka mementingkan kepada cara-cara untuk menguruskan tekanan tersebut. Pengurusantekanan amat kritikal atau diperlukan oleh guru bagi

memastikan mereka sentiasa bersedia untuk menghadapi segala cabaran dalam dunia perguruan yang mendatang. Perubahan demi perubahan yang pantas berlaku akan menjadikan kerjaya seorang guru lebih sukar ataupun complicated. Sekiranya guru tidak mampu mengawal diri dan tekanan mereka dengan baik, sudah pastinya kerjaya mereka bukan sahaja akan berakhir lebih awal malahan dikenakan tindakan-tindakan disiplin yang keras pula atas segala kesalahan yang dilakukan. Perubahan demi perubahan yang berlaku dalam persekitaran dunia pendidikan pada hari ini pula ternyata menyebabkan guru juga perlu berubah, namun tidak ramai yang mampu untuk membuat perubahan secara drastik menyebabkan tekanan mula menguasai mereka dan akhirnya membawa kesan yang besar kepada sistem pendidikan yang dilaksanakan di sekolah amnya dan di Malaysia khasnya. Akhirnya, sokongan yang berterusan daripada pihak pengetua sehinggalah kepada kakitangan pentadbiran amat penting bagi menjamin persekitaran tempat kerja yang harmoni dan aman untuk semua pihak. Konflik yang sedang berlaku akan berterusan tanpa noktah sekiranya masih tiada ruang untuk bekerjasama dibuka seluas-luasnya untuk kedua-dua belah pihak iaitu pentadbiran dan akademik. Keprihatinan terhadap beban tugas guru perlu ditingkatkan oleh segenap lapisan masyarakat demi memastikan kelangsungan sistem pendidikan di Malaysia seterusnya usaha melahirkan generasi pewaris negara berterusan dan tidak terhenti.

REFLEKSI
Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Illahi akhirnya tugasan ini berjaya dilaksanakan dengan jayanya. Jutaan terima kasih kepada semua pihak yang membantu secara langsung dan tidak langsung terutamanya pensyarah, Puan Salina binti Mokhtar. Pada mulanya, tugasan ini dilihat sebagai satu tugasan yang sangat mencabar buat saya. Saya ditugaskan untuk menganalisis satu artikel dan membina satu laman blog untuk memuatkan artikel yang dihasilkan. Tugasan ini sangat mencabar kerana ini merupakan pengalaman pertama saya menghasilkan blog, apatah lagi blog yang bersifat ilmiah seperti ini. Namun Alhamdulillah, tugasan berjaya disiapkan sepenuhnya. Kami berganding bahu mempelajari cara-cara membuat blog dengan menggunakan aplikasi atas talian yang sangat banyak di

laman sesawang. Kami bersama-sama meneroka maklumat-maklumat dan tutorial yang disediakan dan akhirnya tugasan tersebut berjaya dijalankan. Kami juga meminta bantuan rakan-rakan yang mahir dalam bidang ini untuk mengajar kami cara menghasilkan sebuah laman blog yang menarik dan berkualiti. Selain daripada itu, saya juga menghadapi masalah apabila berlaku kekangan masa dalam usaha menyiapkan tugasan ini. Tambahan pula, cuti hari raya yang diperuntukkan agak padat dengan jadual-jadual lain menyebabkan saya tergesa-gesa menyiapkan tugasan ini. Namun, berkat sokongan dan dorongan rakan-rakan sekumpulan, saya berjaya mengatasi masalah ini. Saya juga berpuas hati kerana berjaya menghasilkan satu penulisan artikel yang pada hemat saya sebuah artikel yang baik untuk menjadi rujukan semua pembaca. Pelbagai kemahiran baru yang diperolehi dalam tugasan ini. Antaranya ialah kemahiran menggunakan ICT sebagai medium menyampaikan maklumat kepada seluruh masyarakat. Selain itu, kemahiran yang saya perolehi ialah kemahiran menganalisis sesuatu isu menggunakan bukti-bukti kukuh bagi memantapkan hujahhujah yang dilontarkan atau lebih dikenali sebagai penulisan ilmiah. Kemahiran ini juga sangat penting buat saya dalam usaha untuk menyelesaikan penulisan kajian tindakan pada semester ini. Secara keseluruhannya, tugasan ini memberi saya semangat baru untuk lebih giat menulis artikel ilmiah setelah memasuki alam kerjaya kelak. Seterusnya, menggunakan medium ICT sebagai wadah untuk menyebarkan idea dan penulisan tersebut. Hal ini bukan sahaja dapat meningkatkan mutu pendidikan, tetapi juga membantu memajukan diri sendiri dalam bidang yang menjadi pilihan ini. Penulisan artikel ilmiah juga merupakan satu cara terbaik bagi seorang guru meluahkan masalah-masalah dan mengetengahkan isu-isu pendidikan kepada masyarakat umum. Sekian, terima kasih.

BIBLIOGRAFI

Akhiar Pardi & Shamsina Shamsuddin. (2011). Pengendalian Disiplin Remaja di Sekolah dan di Rumah. Penerbitan Multimedia. Kuala Lumpur
Azizi Yahya & Norliza Othman (2010), Stres Dalam Kalangan Guru Sekolah Menengah Di Empat Buah Negeri Di Malaysia. Asia Pacific Journal of Educators and Education. Kuala Lumpur

Azrul Hisham Abdul Manaf (2009), Faktor-Faktor Tekanan Dan Kesannya Kepada Guru Sekolah Menengah Kebangsaan : Satu Kajian Di Daerah Timur Laut, Pulau Pinang. UPM. Kuala Lumpur Chek Mat (2008). Ujian Psikologi & Pengurusan. Unipress Printer Sdn Bhd. 2008 Dr Sapura Sipon (2007). Tekanan Kerja Di Kalangan Guru-Guru Di Sebuah Sekolah Menengah Kerajaan Dan Sebuah Sekolah Menengah Swasta. Kertas Projek Bacelor Sains: Serdang. Universiti Putra Malaysia. Erkutlu, H.V. & Chafra, J. (2006), Relationship Between Leadership Power Bases And Job Stress Of Subordinates : Example From Boutique Hotels . Journal Management Research News, London Esah Sulaiman (2003), Modul Pengajaran : Asas Pedagogi. Skudai: Jabatan Asas Fontan, D. (1989), Managing Stress. British Psychological Society & Routledge Ltd Hamedah Wok Awang. (2004), Cerita-Cerita Motivasi Untuk Guru. PTS Millenia Sdn Bhd. Kuala Lumpur Ho, J. (1997), Corporate Wellness Programmes in Singapore: Effect on Stress, Ibrahim Ahmad Bajunid (1995). Tinjauan Tahap Tekanan dan Punca Stress di Kalangan Guru Sekolah Sabak Bernam. Universiti Teknologi Malaysia. Tesis Sarjana Muda. Jaafar Muhammad, (2003), Kelakuan Organisasi. Kuala Lumpur. Leeds Publications
Mohd Abdillah Royo & Woo Sew Fun (2010), Faktor-Faktor yang Mendorong Tekanan Kerja ( Stress ) di Kalangan Guru-Guru SJK(C) : Satu Kajian. Universiti Teknologi Mara. Selangor Smither, R. (1994). Stress and teachers: Old wine in new bottle. Urban Education,London

Smither, R.D. (1994), The Physchology of Work And Human Performance (2nd ed.). Journal of Managerial Psychology Guru Alami Tekanan Mental & Emosi, Kata NUTP. (18 Ogos 2005). BERNAMA

Kementerian Akui Ada Masalah Kekurangan Guru. (17 Disember 2003). BERNAMA Tip Mengatasi Stres. (25 Jun 2006). Utusan Malaysia Guru Di Bandar Lebih Tertekan. (18 Disember 1997).Utusan Malaysia Tuala Wanita: 200 Pelajar Direndam Dalam Kolam Kotor. (28 Julai 2007). Utusan Malaysia. Ibu Bapa Punca Guru Tertekan. (23 Februari 2007). Berita Harian Ramai Guru Berpenyakit Akibat Stres .( 20 Mei 2006), Utusan Malaysia Lima Peratus Penjawat Awam Ponteng Kerja. (21 April 2009). Berita Harian Guru Ponteng Sebulan Boleh Diberhenti Kerja. (12 Mei 2008). Berita Harian Guru Ponteng : Tindakan Tegas akan Diambil. (12 Mei 2008). Berita Harian Pengetua Sekolah Yang Langgar Arahan Akan Dikenakan Tindakan Disiplin. (1 Jun 1997). BERNAMA Pengetua Salahguna Kuasa Akan Dikenakan Tindakan. (4 Mac 2000). BERNAMA