Anda di halaman 1dari 48

MATIKU IBADAHKU

Menyambut Kematian Dengan Senyuman


Dr. H. Hanny Ronosulistyo, Sp.OG(K)., M.M. K.H. Aceng Zakaria Gani Yordani

Isi Kandungan
Sekapur Sirih Bab 1 Bab 2 Bab 3 Bab 4 Bab 5 Bab 6 Bab 7 Bab 8 : : : : : : : : Kunjungan Malaikat Maut Mengingat Mati Persiapan Bekalan Jauhi Kezaliman Muhasabah dan Berubah Menyambut Kematian Dengan Senyuman Perpisahan Yang Menyedihkan Pesanan Buat yang Ditinggalkan

Tentang Penulis

SEKAPUR SIRIH Apabila perkataan matiku ibadahku terkeluar dari mulut saya sewaktu berbual-bual kosong dengan rakan-rakan, salah seorang daripada mereka mula bertanya, kalau sudah mati, macamana pula hendak beribadah? Kalau sakit, memang betul, boleh jadi ibadah! Pernyataan itu menimbulkan perdebatan kecil antara saya dengan rakan-rakan yang berada di situ. Perdebatan itu disebabkan perbezaan pandangan bagi meletakkan perkataan ibadahku pada perkataan kedua kalimat tersebut. Seorang rakan saya mengutarakan pendapat dari sudut fekah, berserta dalil yang menyebut bahawa apabila seseorang itu meninggal dunia, maka terputuslah pahala amal ibadah seseorang hamba. Ini bermakna, dia tidak ada peluang lagi untuk menambah pahala ibadah di dunia ini. Namun, seorang rakan yang lain pula menyelami perkataan itu dari sudut kosa kata, iaitu matiku ibadahku bukanlah bererti orang yang meninggal masih boleh beribadah kerana jelas bahawa pintu amalan telah tertutup, tetapi ia bermaksud bagaimana seseorang hamba memperoleh ibadah pada hujung hayatnya. Melalui perbualan kecil bersama rakan-rakan tersebut, saya mula mendapat ilham untuk menulis buku ini. Bahkan, dalam bab satu buku ini juga adalah cetusan daripada perdebatan pada malam tersebut. Saya teringat kisah seorang pemuda yang meminta dirinya dipindahkan oleh Nabi Sulaiman ke India kerana merasa takut dengan tatapan tajam seseorang yang hadir dalam Majlis yang dikendalikan oleh Nabi Sulaiman a.s. Setelah pemuda itu dipindahkan, Nabi Sulaiman kemudian memanggil orang yang menatap pemuda tersebut. Ternyata orang itu adalah Malaikat Maut yang menyerupai seorang lelaki. Nabi Sulaiman bertanya, mengapa engkau memandang pemuda tadi dengan pandangan yang luar biasa? Malaikat Maut menjawab, saya mendapat perintah dari TUHAN untuk mencabut nyawanya di India. Saya keliru, mengapa dia berada di sini? Padahal saya diperintahkan oleh ALLAH untuk mencabut nyawanya hari ini di India! Nabi Sulaiman kemudian berkata, sekarang pemuda itu sudah ada di India atas permintaannya sendiri. Firman ALLAH S.W.T:

Dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan diusahakannya esok. Dan tiada seorang pun yang mengetahui di bumi mana dia akan mati. Sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal. - Surah Luqman: 34. Sabda Rasulullah s.a.w: Apabila ALLAH hendak mencabut nyawa seseorang di suatu tempat, ALLAH menjadikan dia mendatangi tempat tersebut. Hadis riwayat Ahmad dan al-Tirmizi. Semoga buku ini bermanfaat bagi kita semua. Amiin ya Rabb al alamiin. Penulis BAB 1 KUNJUNGAN MALAIKAT MAUT Kematian adalah suatu proses yang pasti dilalui oleh setiap anak Adam sebagai salah satu fasa untuk memasuki alam berikutnya, iaitu alam barzah (alam kubur). Ia merupakan suatu alam di mana seseorang yang telah meninggal menanti untuk ke fasa berikutnya, iaitu hari kiamat. Kemudian diikuti proses yang lain iaitu dibangkitkan dari kubur, berkumpul di padang mahsyar, hisab dan akhirnya memasuki syurga atau neraka yang abadi. Waktu dan tempat kematian seseorang telah ditentukan oleh Pencipta. Ini seperti yang termaktub dalam firman-NYA: DIAlah Yang Menciptakan kamu dari tanah. Sesudah itu ditentukannya ajal (kematianmu)... - Surah al-Anam: 2. Tidak ada seorang pun yang dapat menghindari kematian walau bagaimana tinggi pun pangkatnya di dunia ini. Firman ALLAH S.W.T: Setiap yang bernyawa pasti akan merasai kematian dan KAMI menguji kalian dengan keburukan dan kebaikan sebagai fitnah (ujian) dan hanya kepada KAMIlah kalian akan dikembalikan. Surah al-Anbiyak: 35. Apabila tiba waktunya, Malaikat Maut pasti akan berkunjung. Tiada kuasa di dunia ini yang dapat menghalangnya. Ia akan mengunjungi orang soleh atau derhaka, penguasa atau rakyat biasa, ahli perniagaan atau golongan miskin. Ia juga akan mendatangi seorang nenek yang telah tua atau bayi kecil yang baru sahaja menghirup udara dunia.

Firman ALLAH S.W.T: Di mana saja kalian berada, kematian pasti akan mendapatkan kalian, walaupun kalian berada di dalam benteng yang tinggi lagi kukuh. - Surah al-Nisa: 78. Ini bermakna walaupun kamu berada di hospital termahal dan terbaik sekalipun, dirawat oleh doktor dan jururawat yang pakar dan hebat, menggunakan ubatubatan serta alat bantuan perubatan yang terkini dan tercanggih, tetap tidak akan mampu menghalang kunjungan Malaikat Maut. Ini merangkumi semua sama ada pesakit, jururawat mahupun doktor. Salah seorang teman saya yang merupakan seorang doktor pernah meninggal dunia secara mengejut ketika sedang solat di ruangan ICU tempat dia bertugas. Sedangkan rakan-rakan yang berada di situ tidak mampu berbuat apa-apa untuk membantunya. Sedangkan di dalam bilik tersebut lengkap dengan peralatan canggih dan moden untuk memberi bantuan yang sepatutnya. Firman ALLAH S.W.T: Katakanlah, AKU tidak berkuasa mendatangkan mudarat mahupun manfaat kepada diriku, melainkan apa yang dikehendaki oleh ALLAH. Tiap-tiap umat mempunyai ajal. Apabila ia datang, maka mereka tidak dapat mengundurkannya walau sedikit pun dan tidak (pula) mendahulukan(nya). - Surah Yunus: 49. Demikianlah cara ALLAH menetapkan ajal seseorang hamba. Tiada manusia yang boleh mengubah ketentuan ALLAH yang satu ini. Firman ALLAH S.W.T: DIAlah Yang Menciptakan kamu dari tanah kemudian dari setitis air mani. Sesudah itu dari segumpal darah. Kemudian dilahirkannya kamu sebagai seorang anak. Kemudian (kamu dibiarkan hidup) supaya kamu sampai kepada masa (dewasa). Kemudian (dibiarkan kamu hidup lagi) sampai tua. Di antara kamu ada yang diwafatkan sebelum itu. (Kami perbuat demikian) supaya kamu sampai kepada ajal yang ditentukan dan supaya kamu memahami(nya). - Surah al-Mukmin: 67. Apabila tiba ketetapan ini, maka tiada seorang pun dapat mengelak atau menangguhkannya. Firman ALLAH S.W.T:

Maka apabila telah tiba ajal mereka (waktu yang telah ditentukan), tidaklah mereka dapat menangguhkannya walau sesaat pun dan tidak pula mereka dapat mendahulukannya. Surah al-Nahl: 61. Dan ALLAH sekali-kali tidak akan menangguhkan kematian seseorang apabila telah datang ajalnya. Surah al-Munafiqun: 11. Firman ALLAH S.W.T: Katakanlah: Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, maka ia akan menemuimu. Kemudian kamu akan dikembalikan kepada ALLAH yang mengetahui perkara ghaib dan yang nyata. Lalu DIA beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan." Surah al-Jumuah: 8. Apa itu Sakaratul Maut Sakarat artinya mabuk atau tidak sedar. Sakaratul maut ertinya mabuk atau tidak sedar di saat ruh seseorang ingin keluar daripada jasad. Demikian diertikan sakaratul maut yang sering menjadi sebutan ramai. Sifat Malaikat maut Ketika Mencabut Nyawa Manusia yang Derhaka Firman ALLAH S.W.T: ...alangkah dahsyatnya sekiranya kamu melihat saat orang-orang yang zalim berada dalam tekanan sakaratul maut, sedang para malaikat memukul dengan tangannya (sambil berkata): Keluarkanlah nyawamu di hari ini kamu dibalas dengan seksa yang sangat menghinakan kerana kamu selalu mengatakan terhadap ALLAH (perkataan) yang tidak benar (kerana) kamu selalu menyombongkan diri terhadap ayat-ayat-NYA. - Surah al-Anam: 93. Ayat di atas menggambarkan betapa dahsyatnya keadaan orang-orang yang zalim di saat ruhnya ingin dikeluarkan daripada jasad. Ditambah pula dengan rupa dan kekasaran para malaikat yang memukul si mati itu. Demikianlah balasan yang diterima oleh manusia yang sombong dan bongkak semasa di dunia.

Waliyazubillahi min dzalik. Firman ALLAH S.W.T:

Bagaimanakah (keadaan mereka) apabila malaikat mencabut nyawa mereka seraya memukul-mukul muka dan punggung mereka? Yang demikian itu adalah kerana sesungguhnya mereka mengikuti apa yang menimbulkan kemurkaan ALLAH dan kerana mereka membenci keredhaan-NYA sebab itu ALLAH menghapus (pahala) amal-amal mereka. - Surah Muhammad: 27 28. Bagi manusia yang zalim dan sering melakukan perbuatan yang dimurkai ALLAH, apabila tiba saat kematian, mereka akan diazab oleh ALLAH. Sebagai balasannya, ALLAH menghapuskan segala pahala amal yang mereka lakukan. Firman ALLAH S.W.T: Dan sesungguhnya kamu datang kepada KAMI dalam keadaan sendirian sebagaimana KAMI ciptakan kamu pada mulanya dan kamu tinggalkan di belakangmu (di dunia) apa yang telah KAMI kurniakan kepadamu. Dan KAMI tidak melihat bersamamu pemberi syafaat yang kamu anggap mereka itu sekutu-sekutu TUHAN di antara kamu. Sungguh telah terputuslah (pertalian) antara kamu dan telah lenyap daripada kamu apa yang dahulu kamu anggap (sebagai sekutu ALLAH). - Surah al-Anam: 94. Keadaan manusia ketika menghadap ALLAH di akhirat kelak adalah bersendirian sebagaimana dia diciptakan di dalam rahim ibu pada awal penciptaan. Segala pertalian darah tidak mendatangkan apa-apa makna lagi pada hari tersebut. Masing-masing hanya mahu menyelamatkan diri sendiri daripada azab ALLAH yang maha hebat. Kesimpulan daripada ayat-ayat di atas adalah orang yang sedang nazak dapat melihat malaikat maut yang mencabut nyawanya dalam tempoh sakaratul maut. Bagi yang derhaka, malaikat akan mencabut ruhya secara kasar. Wajah dan punggung mereka ditampar oleh malaikat ketika itu. Manusia akan datang menghadap ALLAH pada akhir hayatnya dalam keadaan sendirian seperti di awal kejadian. Segala harta yang dibanggakan akan ditinggalkan dan tidak bererti lagi. Pada masa itu penyesalan sudah tidak bermakna kerana segala ibadah tidak akan diterima oleh ALLAH. Sifat Malaikat maut Ketika Mencabut Nyawa Manusia yang Taat

Firman ALLAH S.W.T: (Iaitu) orang-orang yang dimatikan dalam keadaan baik oleh para malaikat dengan mengatakan (kepada mereka): Salaamun'alaikum, masuklah kamu ke dalam syurga itu disebabkan apa yang telah kamu kerjakan. - Surah al-Nahl: 32. Firman ALLAH S.W.T: Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan TUHAN kami ialah ALLAH kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, maka malaikat akan turun kepada mereka dengan mengatakan: Janganlah kamu takut dan janganlah merasa sedih. Gembirakanlah mereka dengan syurga yang telah dijanjikan ALLAH kepadamu. Kamilah pelindungmu dalam kehidupan dunia dan akhirat. Di dalamnya kamu memperoleh apa yang kamu inginkan dan memperoleh (pula) di dalamnya apa yang kamu minta. Sebagai hidangan (bagimu) daripada TUHAN Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. - Surah Fushshilat: 32. Ayat-ayat di atas mengingatkan kita bahawa malaikat begitu mesra ketika mencabut nyawa orang mukmin. Ia memberikan khabar gembira dengan berkata, janganlah kamu takut dan bersedih kerana syurga telah menanti kedatanganmu. Malaikat juga memberikan berita tentang kenikmatan di dalam syurga. Syurga menyediakan apa saja yang diinginkan dan apa saja yang diminta sebagai hidangan daripada TUHAN yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. SAAT RUH BERPISAH DARI JASAD Setelah melalui tempoh sakaratul maut, maka terpisahlah ruh seseorang daripada jasad. Ketika itu, orang yang banyak melakukan amal soleh berharap agar jasadnya cepat-cepat dikuburkan kerana tidak sabar menanti kebahagiaan yang bakal dirasai. Berbeza dengan ahli maksiat di mana mereka tidak putus-putus menyesal dengan dosa-dosa yang pernah dilakukan selama hidup di dunia. Ketika jasad itu dimasukkan ke dalam keranda dan diusung ke tanah perkuburan, dia berteriak, celaka! ke mana jasadku hendak dibawa? Pertanyaan itu bukan kerana ia tidak tahu tetapi disebabkan panik dan cemas untuk menghadapi alam barzakh yang mengerikan.

Abu Said al-Khudri r.a berkata, Rasulullah s.a.w bersabda: Saat jenazah dibaringkan dan orang ramai mengusungnya, jika dia termasuk golongan soleh, maka dia berkata, segeralah bawa aku ke kubur! Namun jika sebaliknya dia berkata, celaka! ke mana jasadku hendak dibawa? Seluruh makhluk mendengar suara itu kecuali manusia kerana bila manusia mendengar pasti mereka akan sangat terkejut. Hadis Riwayat al-Bukhari. Ruh orang yang soleh akan disambut oleh Malaikat Rahmat sambil memberi khabar gembira tentang syurga yang telah dijanjikan ALLAH. Firman ALLAH S.W.T: Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan, TUHAN kami ialah ALLAH kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, maka malaikat akan turun kepada mereka dengan mengatakan, janganlah kamu takut dan merasa sedih. Bergembiralah mereka dengan syurga yang telah dijanjikan ALLAH." - Surah Fushilat: 30. Bagi mereka yang memenuhi kehidupan dengan maksiat, maka ia tidak disambut sedemikian rupa. Malah, dengan herdikan dan seksaan daripada malaikat yang ditugaskan berbuat demikian. Firman ALLAH S.W.T: Hingga apabila datang kematian kepada seseorang daripada mereka, dia berkata: Ya TUHANku kembalikanlah aku (ke dunia), agar aku berbuat amal soleh yang telah aku tinggalkan. Sekali-kali tidak. Sesungguhnya itu adalah perkataan yang diucapkannya saja. Dan di hadapan mereka ada dinding sehingga hari mereka dibangkitkan. - Surah alMukminun: 99 100.

SAAT RUH BERPINDAH ALAM Setelah ruh terpisah dari jasad, ia kemudian akan segera memasuki alam baru iaitu alam kubur. Alam kubur memiliki makna yang berbeza dengan tanah perkuburan. Tanah perkuburan adalah tempat tinggal jasad kita setelah kematian sedangkan alam kubur adalah alam tempat di mana ruh kita berada sambil menanti tibanya hari kiamat. Ini kerana, alam kubur disebut juga alam barzakh bererti alam penantian.

Semasa di alam kubur (barzakh), seseorang akan mendapat azab atau nikmat. Sebaik sampai ke alam ini, seseorang itu telah pun mengetahui tempatnya di akhirat kelak sama ada selamat atau sebaliknya. Oleh sebab itu, Uthman r.a sering menangis apabila berdiri di hadapan kubur. Apabila ditanya oleh pelayannya, mengapa apabila engkau teringat syurga dan neraka engkau tidak menangis, namun saat mengingati kubur engkau seringkali menangis? Uthman r.a menjawab, aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya kubur merupakan persinggahan awal bagi akhirat. Jika selamat pada persinggahan pertama (alam kubur), maka akan ringan pada persinggahan berikutnya. Namun, jika tidak selamat, maka pada persinggahan berikutnya akan menghadapi kesulitan yang sangat berat. Hadis riwayat al-Tirmizi. Mengenai nikmat dan azab kubur, Rasulullah s.a.w menerangkan melalui sabdanya: Apabila salah seorang antara kamu meninggal dunia, akan ditayangkan kepadanya setiap pagi dan petang tempat tinggalnya (sama ada syurga atau neraka). Jika dia termasuk penghuni syurga, maka akan ditayangkan kepadanya kenikmatan syurga dan jika dia penghuni neraka akan ditayangkan kepadanya seksa neraka. Lalu dikatakan kepada mereka: Itulah tempat tinggalmu, hingga ALLAH bangkitkan kamu pada hari kiamat. Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim. Sabda Rasulullah s.a.w: Sesungguhnya jika seseorang telah diletakkan di dalam kubur dan ditinggalkan oleh teman-temannya, maka dia mendengar bunyi kasut mereka. Maka saat itu dia didatangi oleh dua malaikat yang kemudian mendudukkannya dan bertanya, bagaimana pendapatmu tentang ini (maksudnya Nabi Muhammad s.a.w)? Seorang mukmin akan menjawab, aku bersaksi bahawa ia adalah hamba dan utusan ALLAH. Lalu malaikat itu berkata kepadanya, lihatlah tempatmu di neraka sana sudah diganti oleh ALLAH dengan tempat di syurga, kemudian ia melihat kedua-dua tempat itu. Ada pun orang munafik dan kafir ketika ditanya, bagaimana pendapatmu tentang orang ini (maksudnya Nabi Muhammad s.a.w)? Ia menjawab, aku tidak tahu, aku hanya mengatakan apa yang orang kata sahaja. Lalu dikatakan kepadanya, kamu tidak tahu dan tidak pernah membaca namanya! Lalu dia dipukul dengan palu besi hingga menjerit

kesakitan, di mana jeritan itu didengar oleh makhluk di sekitarnya, kecuali manusia dan jin. Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim. Oleh itu, Rasulullah s.a.w mengajar kita untuk berdoa, meminta perlindungan kepada-NYA dari azab kubur. Sabda Rasulullah s.a.w: Berlindunglah kamu kepada ALLAH daripada azab kubur. Sesungguhnya azab kubur itu benar-benar terjadi! Hadis riwayat al-Thabrani. Salah satu doa yang dibaca oleh Rasulullah s.a.w adalah: Ya ALLAH, sesungguhnya aku berlindung kepada-MU dari sifat lemah semangat, malas, penakut, bakhil dan nyanyuk. Dan aku berlindung kepada-MU dari azab kubur, aku berlindung kepada-MU daripada ujian kehidupan dan kematian. Hadis riwayat alBukhari dan Muslim. BAB 2 MENGINGAT MATI Dengan usia yang masih muda, tubuh badan yang kuat dan sehat seringkali membuatkan kita terleka dan merasa bahawa kematian masih jauh daripada kita. Padahal, mungkin baru satu minggu yang lalu kita pergi berjumpa doktor disebabkan sakit tertentu seperti demam, batuk dan pening kepala. Manusia jarang sekali menjadikan rasa sakit yang dilami sebagai peringatan untuk menuju alam kematian. Lebih-lebih lagi jika sakit berkenaan tidak terlalu parah. Padahal, boleh jadi sakit yang kita alami itu adalah pemberitahuan bahawa kita perlu berjaga-jaga kerana hidup kita mungkin semakin hampir kepada penghujungnya. Oleh itu, Rasulullah s.a.w memberikan teladan kepada kita untuk selalu mengingati mati dalam apa keadaan sekalipun sama ada tua atau muda, sehat atau sakit. Golongan muda yang selalu ingat mati, akan menggunakan masa muda yang ditempohi dengan hal-hal yang bermanfaat untuk diri sendiri dan juga orang lain. Dia tidak akan mensia-siakan kesempatan yang diberikan oleh ALLAH untuk terus mengembangkan potensi diri ke tahap paling maksimum. Seorang tua, apabila mengingati mati, dia tidak akan merasakan bahawa hidupnya tidak berguna. Bahkan terus memberikan kebaikan kepada orang lain agar beroleh pahala jariyah (bekal hidupnya di alam barzah) kelak. Kita umpamakan

seorang pakcik tua yang menanam buah durian. Dia amat sedar bahawa pada usia yang telah senja itu, dia takkan mungkin merasakan kelezatan buah itu kerana tempoh yang diambil untuk berbuah agak panjang. Namun, apabila memikirkan ia akan dapat dinikmati oleh oleh orang lain dan beroleh pahala disebabkan itu, maka niat tersebut tetap diteruskan. Apabila seorang yang sakit mengingati mati, ia akan menjalaninya sisa-sisa hidup ini dengan penuh kesabaran dan membasahi bibir dengan zikrullah, meninggalkan sikap keluh kesah dan tidak akan mencari-cari kesalahan orang lain. Apabila sembuh, dia akan menjadi manusia yang pandai bersyukur dan memanfaatkan kesihatannya sebaik mungkin. Bagi seseorang yang mengingati mati saat mendapat kejayaan, dia akan menjadi manusia yang bersikap rendah diri dan tidak sombong dengan nikmat kejayaan tersebut. Dia sentiasa sedar bahawa kebahagiaan dan kejayaan yang dimiliki itu tidak akan kekal menjadi miliknya. Bahkan, apabila kematian datang menjemput, ia tidak memberi apa-apa makna lagi. Begitu juga jika seseorang yang dalam kesedihan. Apabila dia ingat akan kematian, dia akan sedar bahawa kesedihan itu hanya sementara. Akhirnya nanti dia akan mengadap ILAHI berbekalkan amalan yang dibawa. Dengan berfikiran sedemikian, dadanya akan lapang. Menurut Hasan al-Bashri r.h, hati seorang hamba yang sering mengingat mati, akan merasakan dunia ini kecil dan tidak bererti. Semua yang ada di dunia ini amatlah hina baginya. Secara umumnya, mengingati mati akan memberikan kesan yang positif, iaitu membuatkan seseorang bersemangat untuk mengamalkan perintah agama dan menjauhi perbuatan maksiat. Oleh itu, orang yang banyak mengingat mati dianggap sebagai bijak. Menurut Abdullah bin Umar r.a, ketika beliau sedang duduk bersama Rasulullah s.a.w datang seorang lelaki dari kalangan Ansar. Dia mengucapkan salam kepada Rasulullah s.a.w lalu berkata: Ya Rasulullah, mukmin manakah yang paling afdal? Baginda menjawab, yang paling baik akhlaknya di antara mereka. Dia pun bertanya lagi, mukmin manakah yang paling bijak? Rasulullah s.a.w menjawab, orang yang paling banyak mengingat mati dan paling

baik persiapannya untuk kehidupan setelah mati. Mereka itulah orang-orang yang bijak. Hadis riwayat Ibnu Majah, no. 4259. Hadis ini dihasankan oleh al-Albani r.h alSahihah, no. 1384. Dalam hadis lain, Rasulullah s.a.w bersabda: Perbanyakkan mengingat pemutus kelezatan (yakni kematian). Hadis riwayat alTirmidzi. Rasulullah s.a.w bersabda kepada Abdullah bin Umar r.a: Apabila kamu berada pada pagi hari, maka janganlah kamu berangan-angan untuk sampai ke petang hari. Apabila kamu memasuki waktu petang, maka janganlah kamu mengangankan esok hari. Manfaatkan kehidupanmu untuk kematianmu dan manfaatkanlah kesihatanmu untuk masa sakitmu. Ini kerana sesungguhnya kamu wahai Abdullah tidak mengetahui apa akan terjadi pada esok hari. Menurut Imam al-Qurtubi r.h: Al-Daqqaq mengatakan, sesiapa yang banyak mengingat mati, dia akan menjadi mulia kerana tiga perkara, iaitu bersegera untuk bertaubat, hati merasa cukup dan bersemangat dalam beribadah. Sebaliknya, sesiapa yang melupakan mati, dia akan dihukum dengan tiga perkara, iaitu menunda taubat, tidak redha dengan apa yang ada dan malas beribadah. Maka fikirkanlah wahai orang yang tertipu. Yang merasakan dirinya tidak akan dijemput kematian, tidak akan merasa sekaratul maut, kepayahan dan keperitannya. Cukuplah kematian itu sebagai pengetuk hati, membuatkan mata menangis, melupuskan kelazatan dan mencantas angan-angan. Apakah engkau, wahai anak Adam, mahu memikirkan dan membayangkan datangnya hari kematianmu dan perpindahan dari tempat hidupmu yang sekarang? - al-Tazkirah, ms. 9. Menurut Ummul Mukminin Safiyyah Binti Huyai: Ada seorang wanita mengadu kepada Aisyah r.a tentang kekerasan hatinya. Lalu Aisyah r.a berkata, perbanyakkanlah mengingati mati, nescaya hatimu menjadi lembut. Kemudian wanita itu melakukannya, sehingga hatinya menjadi lembut. Lalu ia datang berterima kasih kepada Aisyah. Al-Rabi bin Khaitsam menggali kubur di rumahnya dan setiap hari tidur di dalamnya beberapa kali untuk memastikan agar dia mengingati kematian. Bahkan

dia berkata, seandainya ingatan kematian ini terpisah dari hatiku walau sesaat, nescaya rosaklah hatiku. Yazid al-Raqasyi berkata kepada dirinya, celaka engkau wahai Yazid! Siapakah yang akan menunaikan solat untukmu setelah kematianmu? Siapakah yang melakukan ibadah puasamu setelah kamu mati? Siapakah yang akan memohon keredhaan TUHAN untukmu setelah kematianmu? Kemudian dia berkata, wahai sekalian manusia, tidakkah kalian menangis dan meratapi diri kalian dalam sisa-sisa hidup ini? Duhai orang yang dicari oleh kematian, di mana kubur akan menjadi rumahnya, tanah akan menjadi permadaninya dan ulat-ulat akan menjadi temannya, dalam keadaan menanti dibangkitkan pada hari yang amat mengerikan. Bagaimanakah keadaan orang ini? Kemudian Yazid menangis hingga jatuh pengsan. - al-Tazkirah, ms. 8 9. Umar bin Abdul Aziz r.h apabila mengingat mati, beliau berasa gementar seperti seekor burung. Beliau mengumpulkan para ulama, lalu mereka saling mengingati kematian, hari kiamat dan akhirat. Kemudian mereka menangis sehingga seakanakan di hadapan mereka ada jenazah. - al-Tadzkirah, ms. 9. Bayangkanlah saat sakaratul maut datang, ibu ayah, isteri, anak-anak, sahabat handai dan seluruh kaum kerabat duduk mengelilingi jasad kita. Linangan air mata mereka tidak mampu membuatkan malaikat maut luluh hati untuk menunda ajal kita. Antara perkara yang boleh membantu kita mengingati mati ialah: 1. Menziarahi orang yang sakit. Ini kerana, kita dapat melihat manusia tidak berdaya ketika bertarung dengan kesakitan itu. Bagi mereka yang sakit itu, mereka ada dua kemungkinan. Pertama, dia akan sembuh daripada kesakitan tersebut dan kedua tidak akan sembuh sehingga meninggal dunia. 2. Mengunjungi orang yang meninggal dunia. ALLAH menjanjikan pahala yang besar bagi sesiapa yang menziarahi kematian. Begitu juga pahala besar menanti mereka yang menyembahyangkan jenazah kemudian diikuti menghantar jenazah ke tanah perkuburan. Melalui kunjungan ini, kita akan

mendapat pengajaran buat diri sendiri saat kematian itu datang kepada kita suatu hari nanti. 3. Menziarahi kubur. Selain secara langsung melihat tempat kembalinya manusia setelah ajal menjemput, kita juga diajar oleh Rasulullah s.a.w berdoa ketika menziarahi kubur. Pada akhir doa tersebut berbunyi, ...kalian telah mendahului kami dan kami insya-ALLAH akan menyusul kalian.

BAB 3 PERSIAPAN BEKALAN Apabila kita sering mengingati mati, maka tentunya ia harus diiringi dengan persiapan menuju ke alam itu. Ini kerana, ia datang tanpa tanda dan tiada amalan lagi yang boleh dilakukan apabila masanya benar-benar tiba. Ini merangkumi persiapan dari sudut menjaga hubungan sesama manusia dan juga hubungan dengan ALLAH S.W.T. Orang yang mengingat mati diiringi dengan amal soleh untuk menjaga kedua-dua hubungan tersebut adalah seorang yang bijaksana. Rasulullah s.a.w juga berpesan agar kita tidak takut untuk menghadapi mati. Namun, apa yang wajar ditakuti adalah kehidupan selepas itu, iaitu azab dan nikmat kubur di alam barzah serta balasan syurga dan neraka di akhirat kelak. Keimanan ini pasti memberi kesan kepada pertambahan amalan untuk

mempersiapkan bekal bagi menjamin keselesaan hidup di sana. Kesempatan yang ada digunakan untuk melakukan amal soleh. Sedikit harta yang diusahakan juga tidak lupa untuk diberikan kepada golongan yang memerlukan. Ilmu agama yang dituntut juga diamalkan sebaik mungkin agar tidak disia-siakan. Didikan diberikan kepada anak-anak sebaik mungkin agar mereka menjadi anak-anak yang soleh yang dapat mendoakan kesejahteraan mereka di alam baqa kelak. Sabda Rasullah s.a.w: Apabila seseorang anak Adam meninggal dunia, maka terputuslah segala amalnya, kecuali tiga perkara yang pahalanya akan terus mengalir hingga hari akhirat, iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakan.

Sepatutnya apabila mengetahui kewujudan alam selepas mati, maka sudah sewajarnya bekalan dipersiapkan agar dapat menghadapinya dengan hati yang tenteram. Namun, apa yang berlaku sebaliknya. Ramai di kalangan kita meyakini adanya syurga dan neraka. Namun, enggan mempersiapkan bekalan menuju ke alam itu. Kita juga enggan meninggalkan maksiat dan dosa. Seorang penyair menulis dalam puisinya: Aku tahu aku akan mati namun aku tak takut Hatiku keras bak sebongkah batu Aku mencari dunia seakan-akan hidupku kekal Seakan lupa kematian mengintai di belakang Padahal, ALLAH S.W.T telah mengingatkan kita melalui firman-NYA: Dan hendaklah setiap jiwa memerhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat). Surah al-Hasyr: 18. Al-Hafiz Ibnu Katsir r.h menjelaskan ayat di atas dengan menyatakan: Hisablah diri kalian sebelum kalian dihisab dan lihatlah amal soleh yang telah kalian simpan sebagai bekal di hari kebangkitan dan hari kalian mengadap TUHAN kalian. - Al-Mishbahul Munir fi Tahdzib Tafsir Ibni Katsir, ms. 1388. ALLAH S.W.T telah memberikan peringatan yang begitu jelas mengenai bekal yang harus kita siapkan untuk kehidupan setelah mati agar tidak menyesal di kala ajal tiba dan tidak juga mengharapkan penangguhan daripada-NYA. Firman ALLAH S.W.T: Dan nafkahkanlah sebagian daripada apa yang telah KAMI berikan kepada kalian sebelum datang kematian kepada salah seorang di antara kalian, lalu dia berkata, wahai TUHANku, mengapa ENGKAU tidak menangguhkan kematianku sampai waktu yang dekat hingga aku berkesempatan untuk bersedekah dan aku termasuk orang-orang yang soleh? Surah al-Munafiqun: 10. ALLAH S.W.T telah memberikan banyak kesempatan kepada kita untuk beramal. Apabila hati kita masih tidak dapat melihat kesempatan itu, ALLAH Yang Maha Pengasih memberikan kita peringatan demi peringatan agar mata hati kita terbuka dan mampu memanfaatkan kesempatan yang diberikan sebaik-baiknya. Antara peringatan tersebut adalah sakit yang menimpa kita atau ahli keluarga

terdekat, uban yang memutih di kepala, kematian sahabat handai dan sebagainya. Bahkan melalui doa-doa yang diajar oleh rasul-NYA kepada kita. Sayangnya, peringatan tersebut dianggap seperti angin lalu yang tidak memberikan apa-apa erti. Tiada perubahan yang dilakukan terhadap amalan ibadat mahupun akhlak sesama muslim. Maka, apabila sampai waktunya maka barulah timbul penyesalan yang tidak terhingga. Ketika itu, penyesalan yang menggunung sudah tidak bererti lagi. Firman ALLAH S.W.T: Dan taubat itu tidak diterima oleh ALLAH daripada orang-orang yang mengerjakan kejahatan (yang) hingga apabila datang ajal kepada seseorang di antara mereka, (barulah) ia mengatakan: Sesungguhnya aku bertaubat sekarang. Dan tidak (lagi diterima taubat) orangorang yang mati sedang mereka di dalam kekafiran. Bagi orang-orang itu telah KAMI sediakan seksa yang pedih. - Surah al-Nisa: 18. Manfaatkan Lima Perkara Sebelum Datang Lima Perkara Rasulullah s.a.w berpesan agar kita memanfaatkan sebaik-baiknya lima perkara sebelum tibanya lima perkara, iaitu: 1. Sihat Sebelum Sakit Jika hari ini kita diberikan kesihatan, maka pergunakanlah nikmat tersebut sebaik-baiknya dengan melakukan aktiviti yang boleh memberikan impak positif kepada diri dan orang lain. Boleh jadi besok tubuh kita tidak sebaik hari ini sehingga kita tidak dapat melakukan aktiviti yang disukai kerana tiada siapa mengetahui bila sesuatu penyakit akan menyerang. 2. Masa Muda Sebelum Tua Hari-hari yang kita lalui secara beransur-ansur menjadikan kulit yang pada mulanya halus mulus menjadi berkedut-kedut. Otot yang kenyal dan padat menjadi lembik. Sendi-sendi yang bergerak dengan lentur menjadi semakin kaku. Telinga yang peka menjadi semakin berkurang jelas. Penglihatan yang tajam pula semakin kabur. Oleh itu, jika hari ini keadaan fizikal kita masih baik kerana faktor usia, maka gunakanlah dengan sebaik mungkin untuk merebut peluang pahala. Ini kerana, suatu hari pasti ia semakin lemah seiring dengan berlalunya masa.

3. Kaya Sebelum Miskin Jika hari ini kita dikurniakan harta yang melimpah-ruah, salurkanlah ke jalan ALLAH. Jangan sampai kita menjadi golongan yang disebut oleh-NYA di dalam surah al-Takatsur, iaitu orang-orang yang harta mereka menimbun dan saban hari tidak puas-puas menghitungnya kerana menganggap ia kekal selama-lamanya. Islam menganjurkan agar kita berusaha mengubah kehidupan daripada susah kepada lebih senang. Namun, jangan lupa kepada golongan miskin lagi daif kerana pada harta tersebut terkandung hak mereka. Sepatutnya, semakin kaya seseorang itu, maka semakin banyak pula harta yang didermakan kepada golongan fakir miskin. Gunakanlah harta itu mengikut apa yang dianjurkan oleh agama. Jadilah orang kaya yang pemurah. Jauhi sifat bakhil kerana ia dibenci oleh manusia dan lebih-lebih lagi empunya kekayaan tersebut. Tiada siapa tahu sampai bila kekayaan itu berada di tangan kita. Hari ini mungkin kita kaya, tetapi esok lusa tidak mustahil ia pergi daripada kita. Berapa ramai orang kaya yang tiba-tiba jatuh muflis atas pelbagai sebab. Berdoalah kepada ALLAH agar kita menjadi hamba yang pemurah dan dikasihi oleh-NYA. 4. Waktu Lapang Sebelum Sempit Kita sering mensia-siakan masa lapang yang ada dan tidak digunakan sebaik mungkin. Tidak salah sekali sekala bercuti dan bersantai bersama kaum keluarga. Tetapi bersantai tanpa tujuan dan diiringi perkara sia-sia akan mendatangkan dosa tanpa disedari. ALLAH S.W.T telah memberikan panduan kepada hamba-NYA agar sentiasa mengisi waktu lapang dengan pekerjaan yang berfaedah sama ada untuk diri mahupun orang lain. Firman ALLAH S.W.T: Maka apabila kamu telah selesai melakukan suatu pekerjaan, kerjakanlah dengan bersungguh-sungguh pekerjaan yang lain. - Surah al-Insyirah: 7.

Sesiapa yang mengabaikan perintah ini, maka rugilah hidupnya dunia dan akhirat. Terlalu banyak aktiviti bermanfaat yang boleh difikirkan sama ada yang mendatangkan manfaat untuk diri, keluarga mahupun masyarakat. 5. Hidup Sebelum Mati Selagi tubuh manusia belum kaku, selagi nafas masih boleh dihirup, manfaatkanlah hidup ini dengan kebaikan dan amal ibadah. Lakukanlah apa sahaja kebaikan yang terlintas di fikiran kita. Ini kerana, kita tidak tahu berapa lama lagi jantung ini akan terus berdenyut. Malam ini mungkin kita berpeluang mendirikan solat isyak secara berjemaah di masjid dengan sahabat handai atau kaum keluarga. Tetapi tidak mustahil apabila azan subuh berkumandang, kita telah dimandikan, dikafan, dan diusung ke masjid untuk disembahyangkan. Perjalanan hidup manusia ibarat seseorang yang dikejar harimau di hutan belantara, kemudian dia lari lintang-pukang dan memanjat pokok. Dia berasa tenang tinggal di atas pokok. Tidak lama kemudian, batang pokok itu digigit oleh sekumpulan tikus tanpa henti. Dia sendiri tidak sedar bahawa batang pokok itu hampir tumbang disebabkan leka menghisap madu di atas dahan pokok. Sedangkan sang harimau sedia menanti di bawah. Saat pokok itu roboh, dia terjatuh dan terperanjat kerana sang harimau telah bersedia untuk menerkamnya. Harimau itu adalah alam kubur. Menunggu setiap saat. Batang pokok itu pula adalah usia manusia yang kian hari kian berkurang kerana telah kembali kepada TUHANnya. Usia itu pula ibarat tikus yang menggigit batang pokok dan madu yang dinikmati pula adalah kenikmatan dunia yang membuatnya terlena. Amat rugi jika lima perkara di atas tidak dimanfaatkan sebaik mungkin. Padahal, saban hari bumi menasihati kita: Ingatlah wahai anak Adam! Aku adalah makhluk yang baru lahir dan aku yang akan menjadi saksi untuk mencatat amal perbuatanmu. Berbekallah amal soleh denganku kerana aku tidak akan bertemu lagi denganmu sampai hari kiamat.

Ungkapan di atas bermaksud, setiap hari yang kita jalani adalah hari yang baru muncul di hadapan kita dan ia akan segera meninggalkan kita. Hari Isnin yang kita lalui hari ini, bukanlah seperti hari Isnin minggu lalu. Hari Isnin minggu lalu telah berlalu seminggu yang lalu dan telah meninggalkan kita untuk selama-lamanya membawa catatan amal kita. Kerana itu, hari-hari yang kita jalani sudah sepatutnya kita lalui dengan sebaik-baiknya sehingga ia pergi meninggalkan kita sambil membawa catatan amal soleh yang kita tinggalkan. Ibn al-Jauzi r.h berkata: Jika manusia tahu bahawa kematian akan menghentikan segala aktivitinya, maka dia pasti akan melakukan perbuatan dalam hidupnya di mana pahalanya terus mengalir setelah dia mati. - Ibn al-Jauzi, Said al-Khatir, jil. 1, ms. 22. Justeru itu, lakukanlah apa sahaja amalan untuk menambahkan bekalan untuk hari akhirat kelak. Kematian pasti menjemput dan hari akhirat pasti akan tiba. Pada hari itu setiap manusia akan diserahkan buku catatan amalan masing-masing. Sabda Rasulullah s.a.w: Akan diperlihatkan kepada anak Adam nanti di hari kiamat tiga catatan, iaitu catatan amal saleh, catatan dosa dan pelanggaran serta catatan nikmat dan anugerah daripada ALLAH. Kemudian ALLAH memerintahkan malaikat untuk mengambil nikmat yang terkecil, lalu ALLAH berfirman: Bandingkanlah nilai nikmat itu dengan amal solehnya. Malaikat menjawab, habis ya ALLAH. Ternyata amal solehnya tidak cukup untuk mengimbangi nikmat-MU yang terkecil. Apalagi pelbagai nikmat lain yang lebih besar, sementara dosa belumlah diperhitungkan. Lantas, bagaimana kira-kira nasib dirinya? Sedangkan amal solehnya sudah habis hanya untuk mengimbangi nikmat terkecil yang ALLAH berikan kepadanya. Kemudian ALLAH memutuskan melalui firman-NYA: Wahai hamba-KU, AKU lipat gandakan pahala kebaikanmu dan AKU maafkan seluruh kesalahanmu. Sedangkan nikmat-KU, AKU berikan sahaja secara percuma. - Ibnu Katsir, jil. 2, ms. 54. Dalam hal ini, Ali bin Abi Thalib r.a berpesan:

Jadilah kalian hamba-hamba akhirat dan jangan menjadi hamba-hamba dunia. Sesungguhnya kehidupan dunia itu tempat beramal dan bukan tempat perhitungan (hisab). Sedangkan kehidupan akhirat merupakan tempat perhitungan dan bukan tempat beramal. Apabila kita menyiapkan bekalan untuk kehidupan setelah mati, maka kita akan mendapatkan dua keuntungan sekali gus. Kebahagiaan dunia dan kebahagiaan akhirat. Namun, apabila kita hanya menyiapkan bekal untuk kehidupan dunia semata-mata, maka kita hanya akan mendapatkan apa yang kita usahakan di dunia ini. Sedangkan kebahagiaan di akhirat kelak terlepas daripada kita. Malah, di dunia juga tidak dapat mengecapi kebahagiaan yang hakiki, sebagaimana disebutkan di dalam hadis qudsi berikut: Wahai hamba-KU, sempatkanlah beribadah kepada-KU, nanti AKU penuhi hatimu dengan kekayaan (rasa cukup) dan AKU penuhi tanganmu dengan rezeki. Janganlah menjauhkan diri dari-KU. Nanti AKU penuhi hatimu dengan kemiskinan dan tanganmu akan sarat dengan kesibukan. Hadis riwayat al-Tirmizi.

BAB 4 JAUHI KEZALIMAN Pada masa kini, kezaliman dan keadilan sudah tidak dapat dibezakan lagi. Malah, ramai di kalangan umat Islam mengamalkan kezaliman sama ada disedari atau tidak. Ia sudah dianggap sebagai suatu kebiasaan bukan dosa yang wajib ditinggalkan. Antaranya seperti fitnah dan mengumpat yang menjadi kebiasaan di pejabat-pejabat, tempat awam, masjid bahkan melalui media sekalipun perkara ini sudah dianggap biasa. Malah, mencari-cari keaiban orang lain menjadi kerjaya sebahagian mereka. Padahal, ALLAH S.W.T secara jelas telah memberi peringatan yang sangat keras terhadap perbuatan tersebut. Firman ALLAH S.W.T: Hai orang-orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang lelaki merendahkan kumpulan yang lain. Boleh jadi yang direndahkankan itu lebih baik daripada mereka. Dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan yang lainnya. Boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik. Dan janganlah suka mencela dirimu sendiri dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandung ejekan. Seburuk-buruk panggilan adalah

(panggilan) yang buruk sesudah iman dan sesiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan prasangka (curiga) kerana sebagian dari prasangka itu mengandungi dosa. Janganlah mencari-cari keburukan orang dan janganlah mengumpat antara satu sama lain. Adakah seorang di antara kamu suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada ALLAH. Sesungguhnya ALLAH Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang. - Surah al-Hujurat: 11 12. ALLAH S.W.T mengibaratkan orang yang suka mengumpat sesama saudaranya sebagai memakan bangkainya. Ia adalah sangat menjijikkan. Bahkan, jika perbuatan itu yang teramat keji sekalipun tidak boleh diumpat keji. Firman ALLAH S.W.T: Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar (berita) perbuatan yang amat keji itu tersiar di kalangan orang-orang yang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat. ALLAH Mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui. - Surah al-Nur: 19. Namun, yang nyata peringatan tersebut dianggap sepi bagi kebanyakan manusia pada masa ini. Malah, menjadi kebiasaan dalam kehidupan harian. Pada hari perhitungan kelak orang yang diumpat itu akan dihadapkan kepada pengumpat dan pembuat fitnah itu kemudian dia akan diadili oleh ALLAH di hadapan manusia lain. Suatu saat, Rasulullah s.a.w bertanya kepada para sahabat tentang orang yang muflis. Sahabat menjawab bahawa mereka adalah orang yang tidak memperolehi keuntungan hasil perniagaannya, malahan modal perniagaan turut hangus. Rasulullah s.a.w kemudian memberitahu para sahabat bahawa muflis yang sebenar adalah apabila ia mendatangkan penyesalan yang tidak berkesudahan. Mereka adalah golongan yang membawa begitu banyak amalan di hadapan ALLAH pada hari kiamat kelak (hablum minallah) seperti solat dan puasa. Tetapi tidak menjaga hubungan sesama manusia (hablum min nas) sehingga ramai rakan dan jiran tetangga merasa tidak tenteram dengan ucapan dan perbuatannya. Pada hari hisab, semua orang yang pernah difitnah dan diumpatnya, akan dihadirkan di hadapannya. Maka, malaikat memberikan pahala ibadahnya kepada

orang-orang yang pernah dizalimi sama ada melalui perkataan mahupun perbuatan mengikut kadar kezaliman yang pernah dilakukan. Jika pahala amalannya telah habis diberikan, maka dosa orang-orang yang dizalimi itu pula dipindahkan kepadanya mengikut kadar kezaliman yang dilakukan. Jadi, wajah manusia yang pada awalnya penuh yakin dirinya boleh masuk syurga disebabkan banyaknya amalan yang dibawa tiba-tiba menjadi muram. Ini kerana, dia terkejut dan kecewa secara tiba-tiba harus terjun ke jurang api neraka disebabkan kezaliman yang sering dilakukan semasa di dunia dahulu. Inilah muflis yang tiada bandingannya. Kita harus berhati-hati terhadap perbuatan negatif dan maksiat di sisi ALLAH S.W.T yang dianggap remeh oleh kebanyakan umat pada zaman ini. Umar bin alKhatab begitu prihatin dan bimbang dirinya berbuat zalim kepada orang lain. Dia begitu takut membayangkan dirinya dipersoalkan di hadapan Hakim yang Maha Adil di atas kezaliman yang pernah dilakukan semasa hayatnya. Kisah Umar r.a ini dirakamkan dalam tinta sejarah. Suatu malam beliau berjalan menyusuri lorong-lorong Kota Madinah. Apabila sampai di hadapan sebuah rumah, beliau terdengar seorang wanita sedang menangis. Beliau terdiam dan

mendengarkan tangisan wanita itu! Aslam pelayannya bertanya, apa yang terjadi wahai Amirul Mukminin? Sambil menangis Umar r.a menjawab, mari kita pergi, Aslam. Mereka menuju Baitulmal. Beliau mengambil sekarung gandum, minyak zaitun dan tepung. Kemudian berkata, Aslam, tolong letakkan di atas belakangku. Wahai Amirul Mukminin, biar saya yang membawanya. Kata Aslam. Dengan tegas beliau menjawab, mahukah engkau memikul dosaku di hari kiamat kelak? Kemudian beliau memikulnya menuju ke rumah wanita tadi. Beliau mengucapkan salam dan minta izin untuk masuk. Kemudian beliau duduk di sudut rumah, membuatkan makan malam untuk keluarga tersebut. Wanita pemilik rumah yang itu berkata, siapakah engkau? Semoga ALLAH mengasihimu. Demi ALLAH, engkau jauh lebih baik daripada Amirul Mukminin Umar bin Khattab! Umar dan Aslam kemudian pulang menjelang subuh dan solat bersama. Ketika membaca al-Quran sampai pada ayat:

Dan tahanlah mereka (di tempat perhentian) kerana mereka sesungguhnya akan ditanya! - Surah al-Soffat: 24. Umar r.a menangis tersedu-sedu sehingga didengari oleh makmun di barisan paling belakang. Keesokannya beliau jatuh sakit selama sebulan kerana terlalu takutkan ALLAH S.W.T. Bagaimana dengan kita? Adakah kita dapat merasai apa yang dirasakan oleh Umar r.a ketika membaca ayat tersebut? Pernahkah kita berasa bimbang terhadap kezaliman-kezaliman kita anggap biasa saat ini? Padahal ALLAH S.W.T telah memperingatkan kita melalui firman-NYA: ...ingatlah, sesungguhnya orang- orang yang zalim itu berada dalam azab yang kekal. Surah al-Syura: 45. Saat kita melakukan kezaliman kepada orang lain, pada hakikatnya kita telah berlaku zalim terhadap diri sendiri. Ini kerana, ALLAH akan memberikan balasan yang seadil-adilnya kepada setiap makhluk-NYA di akhirat kelak. Firman ALLAH S.W.T: Sesungguhnya ALLAH tidak berbuat zalim kepada manusia sedikit pun akan tetapi manusia itulah yang berbuat zalim kepada diri mereka sendiri. - Surah Yunus: 44. Firman ALLAH S.W.T: Dan janganlah sekali-kali kamu (Muhammad) mengira bahawa ALLAH lalai daripada apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim. Sesungguhnya ALLAH menangguhkan kepada mereka sampai hari yang pada waktu itu mata (mereka) terbeliak. Mereka datang tergesa-gesa memenuhi panggilan dengan mangangkat kepalanya, sedang mata mereka tidak berkedip-kedip dan hati mereka kosong. Dan berikanlah peringatan kepada manusia terhadap hari (yang pada waktu itu) datang azab kepada mereka, maka berkatalah orang-orang yang zalim: "Ya TUHAN kami, tangguhkanlah kami (kembalikanlah kami ke dunia) walaupun dalam waktu yang sedikit, nescaya kami akan mematuhi seruan-MU dan akan mengikuti rasul-rasul. (Kepada mereka dikatakan): Bukankah kamu telah bersumpah dahulu (di dunia) bahawa sekali-kali kamu tidak akan binasa? - Surah Ibrahim: 42 45. Justeru itu, berusahalah untuk menjauhi kezaliman tidak kira kecil atau besar. Ini kerana, ia pasti diadili oleh Hakim Yang Maha Adil lagi Bijaksana. Perbuatan zalim

tidak akan berubah menjadi harus walaupun dianggap biasa oleh kebanyakan manusia. Terlalu banyak ayat yang memperingatkan manusia tentang balasan ke atas perbuatan zalim. Firman ALLAH S.W.T: Mereka ditimpa akibat buruk daripada apa yang mereka usahakan. Dan orang-orang yang zalim di antara mereka akan ditimpa akibat buruk dari usahanya dan mereka tidak dapat melepaskan diri. - Surah al-Zumar: 51. Ayat di atas menunjukkan bahawa manusia yang zalim tidak akan sama sekali dapat melepaskan diri daripada hukuman yang telah ditetapkan pada hari pengadilan di akhirat kelak. Mungkin di dunia ini dia bebas daripada pengadilan dunia. Namun, di akhirat sana tidak ada tempat untuknya melarikan diri atau bersembunyi. Semuanya akan dihadapkan dan dihitung dengan adil dan saksama. Firman ALLAH S.W.T: Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu akan memdapat azab yang amat pedih. Kamu lihat orang-orang yang zalim sangat ketakutan kerana kejahatan- kejahatan yang telah mereka kerjakan, sedang seksaan menimpa mereka... - Surah al-Syura: 22. Firman ALLAH S.W.T: Kamu akan melihat orang-orang yang zalim ketika mereka melihat azab lalu berkata: Adakah jalan untuk kembali (ke dunia)?" - Surah al-Syura: 44. Dua ayat di atas menggambarkan keadaan orang yang zalim di mana mereka begitu takut apabila melihat azab yang amat dahsyat di hadapan mata. Sehingga terpacul soalan bagaimana cara untuk mereka kembali ke dunia agar dapat menambah amal soleh padahal mereka tahu bahawa ia takkan berlaku sama sekali. Firman ALLAH S.W.T: Orang-orang yang zalim tidak ada bagi mereka seorang pelindung pun dan tidak pula seorang penolong. - Surah al-Syura: 8 Firman ALLAH S.W.T: Orang-orang yang zalim tidak mempunyai teman setia seorang pun dan tidak (pula) mempunyai seorang pemberi syafaat yang diterima syafaatnya. - Surah al-Mukmin: 18.

Melalui dua ayat di atas, ALLAH S.W.T mengingatkan manusia berwaspada dan menjahui sikap zalim ini kerana mereka kelak tidak akan ada penolong, pelindung, teman mahupun pemberi syafaat untuk selamat daripada azab ALLAH di hari kiamat kelak. Jenis Kezaliman 1. Zalim terhadap ALLAH S.W.T Kezaliman terbesar dari jenis ini adalah kufur (mengingkari ALLAH), syirik (menyekutukan ALLAH) dan nifaq (munafiq). Firman ALLAH S.W.T: Sesungguhnya mempersekutukan (ALLAH) adalah benar-benar kezaliman yang besar. Surah Luqman: 13. Firman ALLAH S.W.T: Maka siapakah yang lebih zalim daripada orang yang membuat-buat dusta terhadap ALLAH dan mendustakan kebenaran ketika datang kepadanya? - Surah al-Zumar: 32. Demikianlah, dosa menyekutukan ALLAH termasuk dosa besar dan diharamkan pelakunya daripada syurga ALLAH. Anatarnya seperti

mendustakan ayat-ayat ALLAH dan menafikan kebenaran agama yang suci ini. 2. Zalim terhadap Sesama Manusia Berbuat sesuatu yang menyebabkan orang lain mengalami kerugian atau kesusahan seperti melanggar janji, membuat kerosakan, menindas golongan lemah dan sebagainya termasuk dalam kategori ini. Berkenaan dengan kezaliman sesama manusia, ALLAH S.W.T berfirman: Dan balasan terhadap sesuatu kejahatan adalah kejahatan yang serupa. Maka sesiapa yang memaafkan dan berbuat baik, maka pahalanya atas (tanggungan) ALLAH. Sesungguhnya DIA tidak menyukai orang-orang yang zalim. - Surah alSyura: 40. 3. Zalim Terhadap Diri Sendiri Termasuk dalam perbuatan menzalimi diri sendiri adalah melakukan maksiat dan kederhakaan, seperti berzina, minum arak, melanggar larangan ALLAH,

mengurangi atau menambah ketentuan yang ditetapkan ALLAH dan sebagainya. Firman ALLAH S.W.T: Kemudian kitab itu KAMI wariskan kepada orang-orang yang KAMI pilih di antara hamba-hamba KAMI, lalu di antara mereka ada yang menganiaya diri sendiri... - Surah Fathir: 32. Tiga jenis kezaliman di atas itu, pada hakikatnya bermula daripada kezaliman terhadap diri sendiri. Orang yang melakukan kezaliman terhadap ALLAH dan orang lain, sebenarnya telah menzalimi diri sendiri. Dia akan menderita kerana perbuatan itu. Hayatilah ayat-ayat suci di bawah sebagai peringatan agar kita sentiasa beringat untuk menjauhi kezaliman. Firman ALLAH S.W.T: ...dan tidaklah mereka menganiaya KAMI akan tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri. - Surah al-Baqarah: 57. Firman ALLAH S.W.T: Apabila kamu menceraikan isteri-isterimu, lalu mereka mendekati akhir idahnya, maka rujuklah mereka dengan cara yang makruf atau ceraikanlah mereka dengan cara yang makruf (juga). Janganlah kamu rujuk mereka untuk memberi kemudaratan kerana dengan demikian kamu menganiaya mereka. Sesiapa yang berbuat demikian, maka sungguh dia telah berbuat zalim terhadap diri sendiri. Janganlah kamu jadikan hukum-hukum ALLAH sebagai permainan dan ingatlah nikmat ALLAH kepadamu. Apa yang telah diturunkan ALLAH kepadamu, iaitu al-Kitab dan al-Hikmah (sunnah), ALLAH memberi pengajaran kepadamu dengan apa yang diturunkan-NYA itu. Bertakwalah kepada ALLAH serta ketahuilah bahawa ALLAH Maha Mengetahui segala sesuatu. - Surah al-Baqarah: 231.

BAB 5 MUHASABAH DAN MENGUBAH DIRI Muhasabah mengandungi makna yang sangat dalam. Ia bukan sekadar melakukan perubahan terhadap sesuatu kesalahan yang kita lakukan, tetapi lebih daripada itu, di dalamnya terkandung makna tafakur atas segala kelemahan dan kelebihan yang ada di dalam diri kita.

Dalam usaha untuk muhasabah diri, persoalan-persoalan di bawah wajar dijadikan panduan: 1. Sudahkah kita memperbaiki kelemahan dalam diri atau kita menyuburkan lagi kelemahan itu hingga berakar umbi di dalam jiwa? 2. Sudahkah kita memanfaatkan potensi diri yang ALLAH kurniakan kepada kita atau kita malah mensia-siakan kelebihan itu? 3. Sudah kita kembangkan potensi tersebut ke tahap yang paling optimum atau membiarkan potensi itu tanpa dimanfaatkan sebaiknya? 4. Adakah potensi itu sudah dimanfaatkan kepada sesama manusia atau ia dijadikan alat untuk merugikan manusia lain? 5. Sudahkah kita mengagihkan nikmat yang diberikan oleh ALLAH atau kita tidak mahu orang lain merasai nikmat seperti yang kita rasakan? 6. Sudahkah kita berkongsi sebahagian rezeki yang kita perolehi kepada yang berhak menerimanya atau tanpa segan silu memakan harta mereka dengan cara mengabaikan pemberian zakat daripada harta kita perolehi? Pertanyaan-pertanyaan seperti di atas harus kerap ditujukan kepada diri sendiri dengan harapan kita sendiri dapat melakukan anjakan paradigma dalam diri. Tujuan persoalan ini dikemukakan adalah agar kita dapat didik dan nasihat diri sendiri untuk lebih baik berbanding hari-hari semalam. Nasihat kepada diri sendiri jauh lebih berkesan daripada nasihat daripada orang lain. Muhasabah ke atas diri sendiri harus diikuti dengan perubahan secara spontan tanpa bertangguh lagi. Ini kerana, kita harus tanamkan dalam diri bahawa jika perubahan tidak dilakukan sekarang, dibimbangi kita tiada masa lagi untuk berubah. Ingatlah bahawa kita boleh dijemput oleh ALLAH AZZA WA JALLA pada bila-bila masa sahaja tanpa sebarang tanda. Pernahkah kita mengenang saat-saat hidup yang sementara ini hingga menitiskan air mata keinsafan? Ingatlah bahawa liang lahat yang bakal ditempatkan kita di alam kubur nanti amat sempit dan padat. Tiada teman mahupun taulan. Hanya jasad kaku menghadap ILAHI membawa bekalan-bekalan yang telah disiapkan.

Suami, isteri, anak-anak, rakan taulan, harta-benda, pangkat dan kuasa tidak dapat menolong kita pada hari tersebut. Sebaik ditanam dan ditinggalkan keseorangan, datang malaikat penjaga kubur menyapa dengan soalan-soalan yang telah disenaraikan. Hanya amalan kita yang menentukan sama ada persoalan tersebut terjawab atau tidak. Oleh itu, perbanyakkan bertaubat dan memohon ampun kepada ALLAH di atas dosa-dosa yang dilakukan. Mohonlah agar dijauhi segala azab dan seksa kubur setiap ketika. Sesungguhnya fitnah alam kubur amat menggerunkan jiwa apabila diinsafi. Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah r.h menjelaskan bahawa khauf (ketakutan) menghalang kita daripada berbuat dosa. Itulah ketakutan yang dicari. Para sahabat menjadi manusia istimewa kerana terlalu takut kepada ALLAH yang Maha Hidup dan Maha Kuasa. Imam Ahmad menceritakan bahawa Abu Bakar r.a bersama para sahabat masuk ke sebuah kebun kurma milik seorang sahabat daripada golongan Ansar Madinah. Ketika itu bunga kurma sedang kembang mekar dan mulai berbuah. Pucuk-pucuk kurma yang penuh dengan buah kurma muda itu dihinggapi oleh sekumpulan burung. Sementara para sahabat beristirehat, Abu Bakar r.a duduk sambil menangis. Mereka pun bertanya sebab beliau menangis. Abu Bakar berkata, lihatlah burung itu! Alangkah bahagianya ia. Hinggap dari dahan satu pokok ke dahan yang lain dan makan dengan bebasnya. Ia mendatangi mata air dan minum dengan puasnya. Kemudian mati tanpa dihisab mahupun diseksa. Andaikan aku menjadi seekor burung... Andaikan ibuku tak

melahirkanku... Para sahabat pun terharu dan ikut menangis. Cubalah kita bayangkan bagaimana seorang sahabat yang telah dijamin syurga oleh Rasulullah s.a.w boleh terharu dan menitiskan air mata keinsafan apabila mengenangkan hari hisab yang pasti menjelma itu. Suatu ketika beliau berkata, demi ALLAH, aku tidak akan merasa aman daripada seksa ALLAH meskipun salah satu kakiku berada di syurga, sementara yang satu lagi masih di luar syurga. Tidak ada yang merasa aman dari seksa ALLAH kecuali kaum yang rugi. Ibnul Jauzi r.h berkata:

Seorang mukmin ketika melihat segala sesuatu pasti teringat akan apa yang bakal terjadi pada hari kiamat. Ketika berbaring hendak tidur, dia teringat kematian. Ketika melihat buah-buahan, ia teringat syurga. Dan ketika melihat api, orang yang terseksa dan dipenjara, dia teringat akan seksa api neraka. Cuba lihat diri kita. Adakah kita tergolong mukmin seperti yang digambarkan oleh Ibnul Jauzi yang selalu bermuhasabah dan memperbaiki diri secara berterusan? Ternyata hati kita masih juga keras untuk mengisafi semua itu. Masih lalai dan leka dengan kenikmatan dunia sehingga lupa mencari bekal untuk mendapat kenikmatan akhirat. Hati tidak juga terbuka untuk terus beristighfar dan bertaubat atas dosa-dosa yang dilakukan. Adakah kita yakin bahawa diri ini akan masuk syurga dengan tangan kosong tanpa sebarang persiapan untuk menuju ke alam itu? Sedangkan para sahabat dan solihin pun gerun memikirkan kedudukan mereka pada hari itu, apakah kita masih merasa aman dan terus lalai dengan kehidupan dunia? Kenikmatan Syurga Rasulullah s.a.w mengatakan bahawa pada hakikatnya kenikmatan syurga itu tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengar oleh telinga dan tidak pernah terlintas dalam fikiran seseorang. Apa yang diungkapkan di dalam al-Quran dan sunnah merupakan gambaran daripada ALLAH S.W.T sebagai khabar gembira bagi manusia yang patuh pada ketetapan-NYA. Antara nikmat syurga yang tertulis di dalam al-Quran dan hadis adalah: 1. Tempat pengakhiran yang penuh kenikmatan disediakan oleh ALLAH untuk hamba-hamba-NYA yang beriman dan beramal soleh. 2. Manusia yang mendapat nikmat ini akan kekal abadi dalam keadaan itu selama-lamanya. 3. ALLAH dan malaikat-NYA akan menyambut kedatangan ahli syurga dengan mengucapkan selamat ke atas mereka dan terus mempersilakan mereka masuk ke dalamnya. 4. Keluarga yang soleh dan taat kepada agama akan dipertemukan di syurga kelak.

5. ALLAH menyediakan

pelbagai makanan dan minuman yang

baik

menggunakan pinggan mangkuk yang diperbuat daripada emas dan perak. Begitu juga dilengkapi dengan buah-buahan yang pelbagai jenis. 6. ALLAH akan menyediakan pakaian yang berkualiti dari sutera disertai perhiasan dari emas dan permata. 7. ALLAH menyediakan bidadari yang belum pernah disentuh oleh mana-mana lelaki. Mereka umpama mutiara yang tersimpan dengan baik. 8. Orang mukmin akan dapat melihat ALLAH S.W.T di dalam syurga secara langsung tiada perasaan iri hati atau dengki-mendengki di kalangan mereka. 9. Penghuni syurga terbahagi kepada tiga golongan: Pertama, masuk syurga tanpa hisab, iaitu mereka yang berlumba-lumba dalam kebaikan dan tidak melakukan syirik kepada ALLAH. Kedua, masuk syurga dengan rahmat ALLAH, iaitu mereka yang berusaha melakukan kewajiban dan meninggalkan apa-apa yang diharamkan. Ketiga, masuk syurga dengan syafaat Nabi Muhammad s.a.w, iaitu mereka yang masih melakukan pelanggaran dan masih lalai melakukan kewajiban. Ada juga di antara mereka yang masuk neraka terlebih dahulu tetapi akhirnya masuk syurga mengikut timbangan dosa masing-masing. 10. Syurga itu bukan hanya untuk orang kaya, tuan guru dan ustaz. Bahkan, orang miskin juga berhak masuk syurga. Paling utama yang akan menjejakkan kaki ke syurga adalah orang yang fakir daripada kalangan Muhajirin. Penderitaan Api Neraka Seperti halnya dengan kenikmatan syurga, penderitaan di neraka juga tidak pernah dilihat oleh mata kita selama hayat ini, tidak pernah terdengar oleh telinga, dan tidak pernah terlintas dalam fikiran. Apa yang diungkapkan di dalam al-Quran dan hadis merupakan gambaran dari ALLAH S.W.T yang disampaikan kepada Rasulullah s.a.w sebagai peringatan bagi manusia. Antara penderitaan yang akan ditanggung oleh penghuni neraka seperti yang termaktub dalam al-Quran dan sunnah adalah seperti berikut:

1. Neraka adalah tempat penyeksaan yang disediakan oleh ALLAH untuk orang-orang kafir yang menentang ajarannya. 2. Ahli neraka ada yang kekal abadi di neraka dan ada juga yang mendapat pengampunan dari ALLAH lalu dikeluarkan dari neraka. 3. Bahan bakar api neraka terdiri dari batu dan manusia itu sendiri. 4. Neraka adalah tempat seksaan yang tidak ada tolok bandingannya. Tiada seksaan yang boleh diumpamakan dengan seksa neraka, tiada belenggu seperti belenggu neraka, tiada panas seperti panasnya neraka, setiap kulit hancur diganti lagi dengan kulit yang baru agar penghuninya terus disiksa. 5. Orang yang tidak infak di jalan ALLAH akan diseterika, muka dan sekujur tubuhnya. 6. ALLAH tidak akan menerima sebarang tebusan bagi melepas ahli neraka walaupun dengan bumi yang dipenuhi emas. 7. Makanan ahli neraka adalah dzari (pohon yang berduri) atau pohon zaqum. 8. Orang kafir rela mengorbankan anak atau isterinya jika hal itu boleh menebus dirinya dari bakaran api neraka. 9. Penghuni syurga tidak peduli terhadap ahli neraka, walaupun anak atau ibu bapanya sendiri. 10. Penghuni neraka diberi pakaian dari api neraka kemudian mereka disiram dengan air yang mendidih di atas kepala. 11. Panas api neraka boleh disamakan dengan 70 kali ganda api di dunia. 12. Antara penyebab manusia disumbat ke dalam api neraka ialah: Meninggalkan solat. Tidak membantu golongan fakir miskin. Tidak menuntut ilmu. Tidak mengambil tahu kepentingan agama.

Setelah mengetahui kenikmatan syurga dan penderitaan neraka, diharapkan kita sama-sama dapat bermuhasabah diri serta berusaha mengubah diri ke arah yang lebih baik secara istiqamah. Iringilah perubahan itu dengan doa seperti yang diajar oleh Rasulullah s.a.w:

Allahumma ashlih lii diini alladzii huwa ishmatu amri, wa ashlih lii dun -yaaya allatii hiya maaasyii, wa ashlih lii aakhirotii allatii fiihaa maaadii, wajalil hayaata ziiyadatan lii fii kulli khoirin, wajallil mauta roohatan lii min kulli syarri. (Ya ALLAH, perbaikilah untukku agamaku yang menjadi pangkal urusanku, perbaikilah urusan duniaku yang menjdi tempat penghidupanku dan perbaikilah akhiratku yang padanya tempat aku kembali. Jadikanlah hidup ini (sebagai tempat) bertambahnya kebaikan untukku dan jadikanlah matiku kesenangan bagiku dari segala kejahatan. Hadis riwayat Muslim.

BAB 6 MENYAMBUT KEMATIAN DENGAN SENYUMAN Yaa ayyatuhan-nafsul muthmainnah, Irjiii ilaa Robbiki roodliyatam-mardliyyah. Fadkhulii fii ibadii. Wadkhulii jannatii... (Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada TUHANmu dengan hati yang redha dan diredhai. Maka, masuklah ke dalam golongan hamba-hamba-KU dan masuklah ke dalam syurga-KU. Surah al-Fajr: 28 30.

Amal ibadah yang kita lakukan seumur hidup tidak akan dapat menjadikan kita penghuni syurga. Bahkan tidak mampu menebus nikmat sebelah mata yang dikurniakan oleh ALLAH. Hanya kerana rahmat ALLAH kita dapat memasuki syurga-NYA dan ketika sakaratul maut menjemput, kita dapat menyaksikan keindahan syurga yang dijanjikan untuk orang-orang soleh. Sebagai mukmin yang patuh, kita mesti meyakini kedatangan Malaikat Maut, sentiasa mengingat mati dalam setiap kesempatan, menyiapkan bekal untuk kehidupan setelah mati, menjauhi kezaliman, muhasabah dan mengubah diri dari semasa ke semasa. Selain itu, tanamkan sikap takut (khauf) dan harap (raja) kepadaNYA dalam melalui liku-liku kehidupan. Dalam sebuah hadis Qudsi, ALLAH S.W.T mengingatkan: Aku tidak akan menghimpunkan dua jenis ketakutan bagi hamba-KU dan tidak pula mengumpulkan dua jenis keamanan kepadanya. Jika ia merasa aman dari-KU di alam dunia, AKU akan berikan rasa takut kepadanya pada hari kiamat. Dan jika ia merasa takut kepadaKU di alam dunia, AKU akan berikan kepadanya rasa aman pada hari kiamat.

Seorang muslim yang merasa takut kepada ALLAH ketika di dunia, akan mendapat kebahagiaan ketika ajal datang menjemput. Begitu juga ketika melihat kehadiran Malaikat Maut. Itulah saat yang paling dinantikan dalam hidupnya. Ketika hidup, hati, lidah dan tindak-tanduknya menjurus kepada rasa takut kepada ALLAH. Rasa takut kepada ALLAH dapat diatasi dengan rasa tidak sabar untuk meninggalkan dunia dan isinya serta menuju ke alam yang kekal abadi penuh nikmat. Oleh itu, kedatangan Malaikat Maut disambut senyuman kegembiraan. Bagi penderhaka pula, kedatangan Malaikat Maut amat digeruni dan disambut dengan tangisan kesedihan, kekecewaan dan penyesalan. Dengan wajah yang pucat lesi perkataan yang terpatul daripada mulutnya adalah, berilah aku masa sedikit sahaja lagi agar aku dapat beramal soleh. Namun, ajal yang telah ditentukan itu tidak dapat ditangguhkan walau sesaat. Maka, dia disambar maut dalam keadaan tidak bersedia dan penyesalan yang tiada kesudahan. Demikian perbandingan antara seorang mukmin yang soleh dan seorang yang derhaka. Renungkanlah bagaimana keadaan kita ketika menyambut kedatangan Malaikat Maut. Dengan senyuman atau tangisan penyesalan? Apa yang pasti, kita masih ada kesempatan untuk bertaubat dan memperbaiki diri selagi nyawa belum sampai ke tenggorok dan selagi matahari belum terbit dari barat. Menurut Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: Siapa sahaja bertaubat sebelum matahari terbit dari barat, nescaya ALLAH menerima taubatnya itu.-Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim. Menurut Abu Abdul Rahman Abdullah bin Umar bin Khatthab r.a, Nabi s.a.w bersabda: Sesungguhnya ALLAH Yang Maha Agung akan menerima taubat seseorang sebelum nyawa sampai ke tenggorok (sekaratul maut). Hadis riwayat Muslim. Justeru itu, segeralah bertaubat dan memohon rahmat daripada ALLAH S.W.T agar diampuni setiap kesalahan yang dilakukan. Mudah-mudahan kita termasuk di kalangan manusia yang memperoleh keuntungan dunia dan akhirat. Amin. Firman ALLAH S.W.T: Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada ALLAH wahai orang-orang beriman, agar kamu beruntung. - Surah al-Nur: 31.

Apabila dosa kita seluas langit dan bumi, tentunya kita harus merasa takut kepada ALLAH S.W.T. Namun, rasa takut itu kemudian harus disertai dengan pengharapan dan keyakinan bahawa rahmat dan pengampunan-NYA yang begitu luas. DIA akan memberi kepada hamba yang benar-benar mengharap keampunanNYA. Rasa takut (khauf) diiringi harap (raja) akan mendatangkan semangat untuk memperbaiki diri ke arah yang lebih baik. Firman ALLAH S.W.T: Katakanlah hai hamba-hamba-KU yang malampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa daripada rahmat ALLAH. Sesungguhnya ALLAH mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya DIAlah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. - Surah al-Zumar: 53. Dalam hadis qudsi dinyatakan: Wahai anak Adam, jika engkau meminta permohonan dan pengharapan kepada-KU, AKU ampuni segala yang ada padamu tanpa peduli. Wahai anak Adam, sekalipun dosamu menimbun-nimbun hingga setinggi langit, tetapi kemudian engkau meminta ampun kepadaKU, nescaya AKU ampuni dosamu. Wahai anak Adam, sekiranya engkau datang dengan dosa sepenuh bumi, kemudian engkau menemui AKU (iaitu, mati) dalam keadaan tidak menyekutukan-KU dengan suatu pun, nescaya AKU kurniakan keampunan sebanyak dosa itu juga. Hadis Qudsi Riwayat al-Tirmizi daripada Anas r.a. Demikianlah, betapa luasnya keampunan dan rahmat ALLAH S.W.T. Dalam hadis lain Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya ALLAH TAALA itu membentangkan tangan-NYA pada waktu malam untuk menerima taubat orang yang berbuat dosa pada siang hari. Dan DIA membentangkankan tangan-NYA pada waktu siang untuk menerima taubat orang yang berbuat dosa pada malam hari, sehingga matahari terbit dari Barat. Hadis riwayat Muslim. Hadis di atas bukan bermakna kita boleh mengulang-ulang dosa dan menjadikan taubat sebagai permainan. Sebaliknya menerangkan bahawa ALLAH Maha Pengampun sehingga kita diperintahkan untuk tidak menunda-nunda taubat kepada-NYA. Selain itu, kita dilarang berputus asa daripada rahmat ALLAH. Firman ALLAH S.W.T:

Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat ALLAH, melainkan kaum yang kafir. Surah Yusuf: 87. Apa yang penting ialah kita perlu tanamkan dalam fikiran bahawa jika kita melakukan dosa sama ada secara sengaja atau tidak, maka janganlah menganggap bahawa pintu taubat sudah tertutup buat kita. Sebaliknya, selagi nyawa belum sampai ke tenggorok dan matahari tidak terbit ikut barat, maka kita masih ada peluang untuk memperbaiki diri. Tidak kira sebesar mana pun dosa yang dilakukan, rahmat ALLAH lebih besar daripada itu. Jadilah hamba yang tidak pernah jemu memohon keampunan ALLAH. Menurut Abu Said bin Malik bin Sinan al-Khudri r.a, Nabi s.a.w bersabda: Sebelum kalian, ada seorang lelaki membunuh 99 orang. Kemudian dia bertanya kepada penduduk sekitar tentang seorang yang alim, maka ditunjukkan kepadanya seorang rahib (pendeta Bani Israel). Setelah mendatanginya, dia menceritakan bahawa dia telah membunuh 99 orang. Kemudian lelaki itu bertanya, adakah taubat saya akan diterima? Ternyata pendeta itu menjawab, tidak! Maka pendeta itu pun dibunuh sehingga genaplah jumlahnya 100 orang. Kemudian dia bertanya lagi tentang seorang yang paling alim di atas muka bumi ini. Lalu ditunjukkan kepadanya seorang lelaki alim. Setelah menghadapnya, dia pun bercerita bahawa dirinya telah membunuh seratus jiwa lalu dia bertanya, bolehkah saya bertaubat? Orang alim itu menjawab, ya. Siapakah yang akan menghalangi orang bertaubat? Pergilah kamu ke kota ini (menunjukkan ciri-ciri kota yang dimaksud) sebab di sana terdapat orangorang yang menyembah ALLAH TAALA. Beribadahlah kepada ALLAH bersama mereka dan jangan kembali ke kotamu kerana kotamu kota yang keji! Lelaki itu pun berangkat. Ketika menempuh separuh perjalanan, maut menghampirinya. Kemudian timbullah perselisihan antara Malaikat Rahmat dengan Malaikat Azab, siapakah yang lebih berhak membawa rohnya. Malaikat Rahmat beralasan bahawa orang itu datang dalam keadaan bertaubat dan menghadapkan hatinya kepada ALLAH. Sedangkan Malaikat Azab (bertugas menyiksa hamba ALLAH yang berdosa itu) dengan alasan bahawa orang itu tidak pernah melakukan amal kebaikan. Kemudian ALLAH mengutus malaikat yang menyerupai manusia mendatangi keduaduanya untuk menyelesaikan masalah itu dan berkata: Ukurlah jarak kota tempat dia meninggal antara kota asalnya dengan kota yang akan dituju. Mana yang lebih dekat, maka

itulah bahagiannya. Para malaikat itu lalu mengukur. Ternyata mereka mendapati si pembunuh meninggal dekat dengan kota yang dituju, maka Malaikat Rahmatlah yang berhak membawa ruh orang itu. hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim. Dalam riwayat lain, di dalam kitab al-Sahih disebutkan: Kemudian ALLAH TAALA memerintahkan kepada daerah hitam itu untuk menjauh dan memerintahkan kepada daerah yang baik itu untuk mendekat. Kemudian menyuruh kedua-dua malaikat itu mengukurnya, akhirnya mereka mendapati daerah yang baik itu sejengkal lebih dekat, sehingga ia diampuni. Melalui hadis di atas, kita fahami bahawa ALLAH S.W.T begitu menghargai niat dan upaya seseorang untuk bertaubat, menggapai rahmat dan keampunan-NYA. Dengan kekuasaan-NYA yang tidak terbatas, DIA boleh melakukan apa sahaja yang dikehendaki semata-mata untuk memberi rahmat kepada hamba yang dipilih-NYA. ALLAH Maha Mengetahui hati seorang hamba yang ikhlas ingin menyucikan diri. DIA memberikan penghargaan yang begitu tinggi terhadap usaha lelaki yang ingin bertaubat itu. Dalam riwayat lain, disebutkan bahawa ALLAH begitu gembira menerima taubat hamba-NYA. Padahal, DIA tidak sedikit pun mendapat kebaikan daripada hamba-NYA itu. Sebaliknya, seorang hambalah yang amat berhajat kepada keampunan dan rahmat-NYA. Andai kata seluruh manusia di bumi ini tunduk dan patuh kepada-NYA, hal itu tidak memberikan apa-apa keuntungan kepada ALLAH. Begitu juga jika seluruh manusia di muka bumi ini berbuat derhaka dan melanggar perintah-NYA, DIA tidak sedikit pun mengalami kerugian. Zat-NYA Berdiri Sendiri. tidak bergantung kepada siapa pun. DIAlah Yang Maha Kuasa atas segala sesuatu. Namun, kerana rahmat dan kasih sayang-NYA yang luas, ALLAH amat Gembira menerima taubat hamba-NYA. Pintu taubat dibuka selebar-lebarnya untuk mereka yang ikhlas bertaubat. DIAlah TUHAN yang Maha Pengasih lagi Maha Pengampun. Menurut Abu Hamzah Anas bin Malik al-Anshari, Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya ALLAH gembira menerima taubat hamba-NYA, melebihi kegembiraan seseorang di antara kalian ketika menemui kembali untanya yang hilang di padang yang luas. Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Dalam riwayat yang lain, baginda Rasul s.a.w bersabda: Sesungguhnya ALLAH sangat gembira menerima taubat hamba-NYA ketika bertaubat kepada-NYA melebihi dari kegembiraan seseorang yang berkendaraan di tengah padang pasir tetapi haiwan yang ditunggangi itu lari meninggalkannya. Padahal di atas haiwan itu terdapat makanan dan minuman. Kemudian dia berteduh di bawah pohon dan membaringkan badannya, sedangkan ia benar-benar berputus asa untuk menemukan kembali haiwan yang ditungganginya itu. Ketika dia bangun, tiba-tiba dia mendapati haiwan itu datang kepadanya lengkap dengan bekalan yang dibawa. Dia pun segera memegang talinya, seraya berkata kerana sangat gembira: Ya ALLAH, ENGKAU adalah hambaku dan aku adalah tuhan-MU. DIA tersasul mengucapkan kalimat itu kerana terlalu gembira. Hadis riwayat Muslim. Demikianlah, janji ALLAH untuk mengampuni orang yang bertaubat dan kegembiraan ALLAH menerima taubat hamba-hamba-NYA perlu dijadikan sumber inspirasi untuk kita segera menuju rahmat dan keampunan-NYA. Dengan itu, apabila sampai masa Malaikat Maut datang menjemput, dapatlah kita menyambut kehadiranya dengan wajah kegembiraan. Bahkan, saat mengadap kematian itu juga memiliki nilai ibadah kerana ia memberi pelajaran berharga kepada kaum keluarga dan sahabat handai yang menyaksikan peristiwa itu untuk segera menuju keampunan ILAHI. Dengan itu, diharapkan kematian kita termasuk dalam bentuk husnul khatimah, iaitu seorang hamba yang bersih jiwa dan diampuni ALLAH saat kematiannya. Mudah-mudahan kita termasuk ke dalam golongan tersebut. Perjalanan hidup manusia sejak kecil hingga dewasa atau usia tua terbahagi kepada beberapa kategori, iaitu: 1. Husnul Bidayah dan Husnul Khatimah Mereka ini adalah golongan yang melakukan kebaikan semenjak zaman remaja sehingga menginjak usia tua. Bermula dari remaja mereka rajin solat, membaca al-Quran, berpuasa sunat, berakhlak mulia dan sebagainya. Hubungan baik dipupuk dengan Pencipta dan sesama makhluk sehingga ajal menjemput. Maka dia akan memperolehi husnul khatimah. 2. Husnul Bidayah tetapi Suul Khatimah

Mereka ini seorang rajin solat, mengaji, puasa, hormat pada orang tua semasa muda, tetapi disebabkan pengaruh luar yang tidak baik, sifat tersebut beransur-ansur hilang sedikit demi sedikit. Kemudian digantikan dengan sifat-sifat yang tercela. Apabila tiba waktu ajal, dia berada di lautan maksiat dan dosa. Maka, dia memperolehi suul khatimah pada pengakhirat hayatnya. 3. Suul Bidayah tetapi Husnul Khatimah Golongan ini pada waktu mudanya dipenuhi maksiat dan akhlak yang buruk. Tetapi kemudian dia bertaubat dan banyak mengerjakan amal soleh sama ada sesama manusia mahupun dengan Pencipta. Mereka ini, apabila kematian menjemput, berada dalam rahmat dan ampunan ALLAH serta didoakan kesejahteraan oleh orang ramai kerana bersungguh-sungguh untuk

melakukan islah dan perubahan dalam hidup. 4. Suul Bidayah dan Suul Khatimah Orang yang tergolong dalam kategori ini pula adalah mereka yang dari remaja hingga ke usia senja kerjanya bergelumang dengan dosa. Tidak terlintas di fikirannya untuk mengubah diri menjadi lebih baik. Bahkan, hari yang dilaluinya lebih buruk bersama berlalunya masa. Tatkala ajal menjemput, dia tetap dalam kumbahan dosa, sehingga memperoleh suul khatimah. Ada satu kisah yang menarik berkaitan dengan husnul khatimah ini. Di dalam sebuah rumah tinggal dua orang pemuda. Mereka bolehlah digelar sebagai pemuda A dan pemuda B. Pemuda A tinggal di tingkat bawah manakala pemuda B tinggal di tingkat atas. Pemuda A merupakan seorang ahli maksiat, kami minum, berzina dan mencuri. Sedangkan Pemuda B pula seorang yang rajin beribadah. Suatu ketika, timbul sifat takabur di dalam diri Pemuda B. Dia merasa bahawa dirinya telah begitu banyak beribadah dan berbuat kebaikan. Syaitan pula mengambil kesempatan ini untuk menyesatkannya. Ia mula membisikkan ke dalam hati Pemuda B pujian demi pujian. Sehingga dia merasakan di dalam kampung itu tiada siapa yang boleh mencapai tahap kesolehannya. Ditambah pula dengan usianya yang masih muda dan amal ibadah yang tidak putus-putus dilakukannya. Dia telah mencapai tahap prestasi ibadah yang sangat luar biasa.

Maka timbullah sifat takabur pada diri pemuda itu. Kemudian, syaitan meneruskan hasutannya dengan mebisikkan agar pemuda B itu menghitung-hitung ibadah yang telah dilakukan selama puluhan tahun. Maka, dia pun membuat telahan, mungkin pahala yang dikumpulkan juga sudah terlalu banyak. Dengan itu, tiada salahnya jika dia ingin melakukan sedikit maksiat seperti yang dilakukan oleh pemuda A selama puluhan tahun ini. Dia pun mula membuat kira-kira segala amal ibadah yang dilakukan selama ini. Hatinya terdetik bahawa jika dia setakat berseronok untuk mengecapi kenikmatan dunia hanya seketika, mungkin tiada apa yang dapat menjejaskan kedudukan pahala yang dikumpulnya selama puluhan tahun ini. Selepas berseronok dalam masa sehari, bolehlah dia kembali dengan kehidupan rutinnya kembali. Pada masa yang sama, Pemuda A pula sedang termenung. Dia berfikir betapa selama ini ia telah mensia-siakan masa mudanya. Sampai bila agaknya dia akan jadi seperti itu. Persoalan yang mula terlintas di benaknya adalah, bagaimana jika esok pagi tiba-tiba sahaja aku mati? Padahal, belum ada sedikit pun kebaikan yang aku lakukan. Sedangkan dosa-dosaku begitu banyak dan tidak mustahil sudah memenuhi segenap ruang yang ada di bumi ini. Fikirnya. Dia pun membulatkan tekad untuk bertaubat, meninggalkan masa-masa kelam yang telah dijalaninya selama bertahun-tahun. Kemudian dia bergegas menaiki tangga. Mahu ditemui pemuda B untuk mendapatkan bimbingan. Saat itu pula pemuda B pula sedang bergegas menuruni anak tangga. Hajatnya hanya satu, iaitu untuk menemui pemuda A dan mengajaknya berseronok Cuma untuk satu hari sahaja. Tanpa disangka kakinya tersilap langkah lalu terjatuh dari tangga menimpa pemuda A. Malaikat Maut pun berkunjung pada kedua-dua pemuda itu. Didapati bahawa pemuda A memperolehi husnul khatimah sedangkan pemuda B pula mendapatkan suul khatimah. Kisah di atas mengajar bahawa ada banyak perkara yang boleh dilakukan untuk memperolehi husnul khatimah, antara lain: 1. Jangan sekali-kali merasa bahawa kita sudah banyak melakukan ibadah atau amal kebaikan, agar kita tidak terjerumus kepada sifat takbur atau merasa diri

suci daripada dosa. Sifat takbur terhadap amalan dilakukan akan membuatkan kita lalai sekali gus menghapus pahala amal tersebut tanpa kita disedari. 2. Kaitan pahala dan dosa dengan suul khatimah dan husnul khatimah tidak boleh dibuat perkiraan logik. Tetapi ia berkaitan dengan niat dan keikhlasan hati. Ini semua terserah kepada ALLAH sebagai TUHAN yang Mengetahui isi langit dan bumi. 3. Seorang mukmin harus istiqamah dalam melakukan kebaikan. 4. Jangan sekali-kali putus asa daripada rahmat dan keampunan ALLAH walaupun dosa kita sudah memenuhi langit dan bumi. Ampunan-NYA lebih luas daripada dosa yang kita lakukan. Firman ALLAH S.W.T: Hai hamba-hamba-KU yang malampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa daripada rahmat ALLAH. Sesungguhnya ALLAH mengampuni segala dosa. Sesungguhnya DIA Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Dan kembalilah kamu kepada TUHANmu dan berserah dirilah kepadaNYA sebelum datang azab kepadamu kemudian kamu tidak dapat ditolong (lagi). Surah al-Zumar: 53-54. 5. Segeralah bertaubat setiap ketika kerana kita tidak tahu bila ajal akan tiba. Iringi taubat dengan amal kebaikan. Sabda Rasulullah s.a.w: Bertakwalah kepada ALLAH di mana pun kamu berada dan ikutilah kesalahanmu dengan kebaikan. Bergaullah dengan manusia dengan sebaik-baik pergaulan. Hadis riwayat al-Tirmizi. Antara tanda-tanda husnul khatimah ialah: 1. Sempat mengucapkan kalimah laa ilaha illallah sebelum menghembuskan nafas terakhir. Sabda Rasulullah s.a.w: Sesiapa yang ucapan terakhirnya laa ilaaha illallah, dia pasti masuk syurga. Hadis riwayat al-Hakim. Kalimah tersebut mungkin mudah diucapkan ketika hayat. Namun, saat ajal tiba, ucapan tersebut tidak akan menjadi mudah untuk diungkapkan. Sebaliknya, ia bergantung kepada amal soleh yang dilakukan sepanjang

hayat. Diikuti dengan niat dan keikhlasan hati. Pada saat yang getir itu, kalimat syahadah boleh diucapkan jika kandungan kalimah itu telah pun dipraktikkan sepanjang hayat seseorang itu. Sehingga seluruh gerak-geri dan tingkah laku hanya berlandaskan kalimah itu semata-mata. Oleh itu, kita harus menyedari bahawa kita selalu diperhatikan oleh ALLAH S.W.T setiap ketika. Amal yang dilakukan ikhlas dengan untuk tujuan mencari keredhaan-NYA dan yakin bahawa tidak ada tuhan selain ALLAH. Berusahalah meneladani peribadi Muhammad s.a.w dan meyakini bahawa baginda adalah utusan yang diciptakan untuk menyempurnakan akhlak. Jika ini dapat dilakukan dengan baik, dua kalimah syahadah akan mudah diucapkan menjelang saat sakaratul maut, insya-ALLAH. 2. Bertemu ALLAH sewaktu berbuat amal soleh. Sabda Rasulullah s.a.w: Sesiapa yang mengucap laa ilaaha illallah dengan mengharapkan redha ALLAH dan ia mengakhiri hayatnya dengan itu, dia pasti masuk syurga. Dan sesiapa yang berpuasa satu hari dengan mengharapkan redha ALLAH lalu mengakhiri hayatnya dalam keadaan itu, dia pasti masuk syurga. Sesiapa bersedekah dengan mengharap redha ALLAH dan mengakhiri hayatnya dengan sedekah itu, dia pasti masuk syurga. (H.R. Ahmad) BAB 7 PERPISAHAN YANG MENYEDIHKAN Pada masa itu, waktu Asar hari Jumaat. Bertempat di Padang Arafah, pada musim haji yang kita sebut sebagai Haji Wada, Rasulullah s.a.w menerima wahyu ketika berada di atas unta. Baginda bersandar pada untanya sambil berusaha memahami maksud wahyu yang baru diterima itu. Unta itu pun duduk perlahanlahan. Malaikat Jibril kemudian berkata: Wahai Muhammad, sesungguhnya pada hari ini telah disempurnakan urusan agamamu. Maka berakhirlah apa yang diperintahkan oleh ALLAH. Begitu juga dengan larang-NYA. Oleh itu, kumpulkanlah para sahabatmu dan khabarkanlah kepada mereka bahawa hari ini adalah hari terakhir aku bertemu denganmu.

Para sahabat pun bergembira mendengar perkataan Rasulullah s.a.w. Mereka berkata: Agama kita telah sempurna! Agama kita telah sempurna! Namun, Abu Bakar r.a malah menangis mendengarnya. Beliau tidak berupaya membendung kesedihannya. Beliau bergegas pulang, mengunci pintu dan menangis semahu-mahunya. Berita tentang Abu Bakar r.a menangis setelah Rasulullah berkhutbah begitu cepat tersebar. Maka, berkumpullah para sahabat di hadapan rumah Abu Bakar r.a. Mereka berkata: Wahai Abu Bakar, apa yang membuatkan engkau menangis? Bukankah engkau sepatutnya gembira kerana agama kita telah sempurna? Abu Bakar kemudian berkata: Sahabat-sahabatku, tidakkah kalian tahu bahawa turunnya ayat itu adalah pertanda bahawa perpisahan kita dengan Rasulullah sudah dekat? Hasan dan Husin akan kehilangan datuk dan isteri-isteri baginda akan menjadi janda. Para sahabat tersentak. Mereka pun menangis. Saat Rasulullah datang ke rumah Abu Bakar, didapatinya para sahabat sedang menangis. Mengapa kalian menangis? Tanya Rasulullah s.a.w. Ali berkata, ya Rasulullah, Abu Bakar menyatakan bahawa turunnya ayat ini menjadi pertanda waktu wafatmu telah hampir. Benarkah ya Rasulullah? Rasulullah berkata, semua yang dikatakan oleh Abu Bakar itu memang benar. Mendengar ungkapan itu, Abu Bakar kembali menangis, hingga jatuh pengsan. Tidak lama selepas itu, Rasulullah s.a.w mula jatuh sakit. Demam dengan suhu yang tinggi sering mendera tubuh baginda yang semakin menginjak usia. Dalam keadaan itu, baginda memanggil para sahabat untuk berkumpul. Ketika itu baginda berkata, sesiapa yang belakang tubuhnya pernah kusakiti, maka silalah balas kembali di atas belakangku ini. Sesiapa yang kehormatannya pernah kucalari, maka balaslah dengan kehormatanku ini. Berkata Ukasyah, ya Rasulullah, waktu itu tulang rusukku pernah terpukul tongkatmu. Kerana itu, aku ingin tahu, apakah engkau sengaja memukulku atau hendak memukul untamu? Rasulullah berkata, Ukasyah, waktu itu aku sengaja

memukulmu. Kemudian Rasulullah meminta Bilal pergi ke rumah Fatimah untuk mengambil tongkatnya. Bilal pun membawakan tongkat itu kepada Rasulullah. Rasulullah kemudian menyerahkannya pada Ukasyah. Melihat itu, Abu Bakar dan Umar tampil ke hadapan sambil berkata, Wahai Ukasyah, janganlah kamu membalas Rasulullah. Balaslah kami berdua. Rasulullah berkata, wahai Abu Bakar, Umar, duduklah! Kemudian Ali tampil lalu berkata, wahai Ukasyah! Aku adalah orang yang selalu berada di samping Rasulullah. Kerana itu, pukullah aku dan jangan kamu memukul Rasulullah. Rasulullah berkata, "wahai Ali, duduklah. Sesungguhnya ALLAH telah menetapkan tempatmu dan mengetahui isi hatimu. Setelah itu, Hassan dan Hussin bangkit dan berkata, Wahai Ukasyah, bukankah kamu tahu bahwa kami ini adalah cucu Rasulullah? Kalau kamu membalas kami, sama artinya dengan kamu membalas Rasulullah? Maka, balaslah ke atas kami! Mendengar kata-kata cucunya, Rasulullah pun berkata, wahai buah hatiku, duduklah kamu berdua. Wahai Ukasyah, pukullah aku! Ukasyah kemudian berkata, ya Rasulullah, ketika itu engkau memukulku, aku tidak memakai baju. Rasulullah pun membuka baju. Maka, menangislah semua yang hadir. Ukasyah pun menghampiri Rasulullah, memeluk dan menciumnya sambil berkata, akan kutebus dirimu dengan jiwaku ya Rasulullah. Siapakah yang sanggup memukul engkau? Aku melakukan ini semua hanya kerana aku ingin menyentuh tubuhmu yang dimuliakan ALLAH. Kemudian Rasulullah s.a.w berkata, sekiranya kalian hendak melihat ahli syurga, inilah orangnya. Para sahabat pun merasa lega. Rasulullah berkata kembali, wahai Ukasyah, inilah keuntungan terbesar bagimu. Engkau telah memperoleh darjat yang tinggi dan bertemankan Rasulullah s.a.w di dalam syurga. Ketika ajal semakin dekat, Rasulullah memanggil para sahabat ke rumah Aisyah. Rasulullah berkata, semoga ALLAH mengasihi kalian. Aku berwasiat kepada kalian agar bertakwa kepada ALLAH dan menaati segala perintah-NYA. Sesungguhnya hari perpisahanku dengan kalian sudah sangat hampir. Saat kembali seorang hamba kepada ALLAH pula semakin hampir. Jika telah sampai ajalku, Ali

adalah orang yang akan yang memandikanku, Fadhl bin Abbas hendaklah menuangkan air dan Usamah bin Zaid hendaklah menolong kedua-duanya. Setelah itu, kafankan aku dengan pakaianku sendiri atau dengan kain yaman yang putih. Setelah para sahabat mendengar ucapan yang menyayat hati itu, mereka pun menangis dan berkata, ya Rasulullah, engkau adalah seorang rasul yang diutus kepada kami dan untuk semua. Jika engkau telah tiada, kepada siapakah kami bertanya tentang setiap persoalan? Rasulullah berkata, dengarlah para sahabatku. Aku tinggalkan kepada kalian semua jalan yang benar dan jalan yang terang. Telah kutinggalkan kepada kalian dua penasihat yang satu daripadanya pandai bicara dan yang satu lagi diam saja. Yang pandai bicara itu adalah al-Quran dan yang diam itu adalah maut. Apabila ada persoalan yang rumit di antara kalian, hendaklah kalain kembali kepada al-Quran dan sunnahku. Sekiranya hatimu menjadi keras, lembutkan ia dengan mengingat maut. Setelah Malaikat Maut mendapat perintah ALLAH, ia pun turun dengan menyerupai seorang Arab Badwi. Setelah sampai di hadapan rumah Rasulullah, ia pun memberi salam, Assalaamualaikum yaa ahlal baitin nubuwwati wa ma danir risaalati adkhulu?" (Mudah-mudahan keselamatan tetap untuk kamu sekalian, wahai penghuni rumah nabi dan sumber risalah, bolehkan aku masuk?). Fatimah pun membukakan pintu dan berkata, Wahai hamba ALLAH, Rasulullah sedang

mengalami sakit yang semakin berat. Kemudian Malaikat Maut mengulang kembali ucapannya. Kali ini didengari oleh Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w pun bertanya pada puterinya, wahai Fatimah, siapakah orang di depan pintu itu? Berkata Fatimah, ya Rasulullah, ada seorang Arab Badwi hendak bertemu denganmu dan kukatakan padanya bahawa engkau sedang sakit tenat. Namun ia memandangku dengan tajam, sampai badanku terasa menggigil. Rasulullah bertanya lagi pada puterinya, tahukah kamu siapa orang itu? Tidak ayah," jawab Fatimah. "Dia adalah Malaikat Maut. Malaikat yang akan memutuskan segala macam nafsu syahwat. Yang memisahkan perkumpulan-perkumpulan, serta meramaikan kubur.

Fatimah tak dapat menahan air matanya. Saat Rasulullah mendengar tangisan puterinya, beliau berkata, janganlah kamu menangis wahai Fatimah. Engkaulah orang pertama dalam keluargaku yang akan bertemu denganku. Rasulullah s.a.w pun mengizinkan malaikat itu masuk. Assalamualaikum ya Rasulullah. Rasulullah menjawab, waalaikassalam. Wahai Malaikat Maut, engkau datang untuk menziarahiku atau untuk mencabut ruhku? Berkata malaikat itu, kedatanganku adalah untuk menziarahimu dan mencabut ruhmu. Itu pun kalau engkau izinkan. Kalau engkau tidak izinkan, aku akan kembali. Berkata Rasulullah, Di manakah kamu tinggalkan Jibril? Berkata Malaikat Maut, aku tinggalkan Jibril di langit dunia. Para malaikat sedang memuliakannya. Tak berapa lama kemudian Jibril pun datang dan duduk dekat kepala Rasulullah. Melihat kedatangan Jibril, Rasulullah berkata, wahai Jibril, tahukah engkau bahawa ajalku sudah dekat? Berkata Jibril, ya, aku tahu. Rasulullah s.a.w bertanya lagi, Wahai Jibril, beritahu kepadaku kemuliaan yang menggembirakan aku di sisi ALLAH. Jibril berkata, sesungguhnya semua pintu langit telah dibuka, para malaikat bersusun rapi menanti ruhmu di langit. Seluruh pintu-pintu syurga telah dibuka dan semua bidadari sudah berhias menanti kehadiran ruhmu. Berkata Rasulullah, alhamdulillah, sekarang kamu katakan pula tentang umatku di hari kiamat nanti. Berkata Jibril, ALLAH telah berfirman: Sesungguhnya AKU melarang para nabi masuk ke dalam syurga sebelum engkau masuk terlebih dahulu dan AKU juga melarang semua umat memasuki syurga sebelum umatmu memasuki syurga. Berkata Rasulullah, Sekarang hatiku telah lega dan hilang kesedihanku. Kemudian Rasulullah berkata lagi, Wahai Malaikat Maut, marilah dekat padaku. Malaikat Maut pun memulakan tugasnya. Ketika ruh Rasulullah telah sampai ke pusat, Rasulullah berkata, wahai Jibril, alangkah dahsyatnya rasa mati. Jibril mengalihkan pandangan dari Rasulullah ketika mendengar perkataan itu. Melihatkan Jibril seperti itu, Rasulullah bertanya, wahai Jibril, apakah engkau tidak suka melihat wajahku? Jibril berkata, wahai kekasih ALLAH, siapa yang sanggup melihat wajahmu dikala engkau dalam sakaratul maut? Ketika ruhnya telah

sampai dada beliau bersabda, aku wasiatkan kepadamu agar menjaga solat dan apa-apa yang telah diperintahkan ke atasmu. Ali r.a berkata, sesungguhnya ketika menjelang saat-saat terakhir, Rasulullah menggerakkan kedua bibirnya sebanyak dua kali dan aku mendekatkan telingaku. Kudengar Rasulullah berkata, umatku...umatku...

BAB 8 PESANAN BUAT YANG DITINGGALKAN Perasaan sedih dan pilu pasti dirasai oleh mereka yang ditinggalkan. Ketika Ibrahim, satu-satunya putera tempat baginda menanamkan cita-cita dan harapan menghembuskan nafas yang terakhir di pangkuannya akibat diserang penyakit, air mata baginda mengalir tanpa dapat ditahan. Sebuah tangisan daripada seorang ayah yang tidak mempunyai harapan lagi untuk memiliki anak. Mengapa dia harus ditimpa musibah sedemikian berat seperti ini? Namun, dalam kepasrahan baginda berkata, air mata boleh bercucuran dan hati boleh bersedih, namun kita tidak boleh mengeluarkan kata-kata yang tidak diredha TUHAN kita. Seandainya kematian bukan merupakan suatu janji yang harus terjadi dan benar dan seandainya orang-orang yang datang terkemudian dari kami tidak akan menyusul mereka terlebih dahulu wafat, nescaya kami akan lebih bersedih hati lagi dengan pemergianmu daripada yang kami rasakan saat ini, wahai Ibrahim puteraku. Sesungguhnya kita adalah kepunyaan ALLAH dan kepada-NYAlah kita akan kembali. Muhammad s.a.w mengantar jenazah puteranya hingga ke liang lahad. Baginda membisu penuh kesedihan sambil air mata tidak henti-henti berjujuran. Seorang lelaki tua berusia hampir 63 tahun dengan segala kemuliaannya dilihat seolah-olah tidak sesuai menangis sedemikian rupa. Abdul Rahman bin Auf yang kehairanan mendekati baginda lalu bertanya, bukankah engkau melarang kami menangis? Seolah-olah mengkritik baginda menangisi kematian Ibrahim. Jawab baginda, aku tidak melarang kalian untuk bersedih. Yang aku larang adalah menangis yang meraung-raung atau meratapi kematian. Apa yang kalian lihat pada diriku, adalah hasil daripada sifat kasih dan sayang yang tertanam di

dalam hatiku. Sesiapa yang tidak menunjukkan kasih-sayang kepada orang lain, maka orang lain pun tidak akan menunjukkan kasih-sayang kepadanya. Demikian berat kesedihan yang dirasakan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Namun, kesedihan itu tidaklah menjadikan baginda murung dan menjauhkan diri daripada orang ramai. Aktiviti harian baginda tetap diteruskan seperti biasa. Beliau berbicara tentang kehidupan, kematian, keadilan, kasih-sayang dan persaudaraan. Sambil mengusap air mata yang membasahi seluruh janggutnya. Setiap apa yang terjadi dalam babak kehidupan Rasulullah s.a.w telah diatur oleh ALLAH agar kelak dijadikan tauladan oleh seluruh umat manusia. Termasuk juga peristiwa kematian Ibrahim, anak bongsu yang amat dikasihinya. Begitu juga cara baginda menghadapi kematian tersebut. Ia menjadi tontonan umat manusia dan disampaikan kepada setiap generasi melalui catatan sejarah. Demikianlah tatacara yang wajar diikuti oleh seluruh umat manusia ketika berhadapan dengan kematian orang yang dikasihi. Menurut Ibnu Umar r.a, Rasulullah s.a.w bersama Abdul Rahman bin Auf r.a, Saad bin Abi Waqqash dan Abdullah bin Masud r.a menziarahi kematian Saad bin Ubadah, kemudian baginda menangis. Apabila para sahabat melihat Rasulullah s.a.w menangis, mereka pun turut menangis. Rasulullah s.a.w bersabda: Tidakkah kalian mahu mendengar? Sesungguhnya ALLAH tidak menyeksa seseorang kerana linangan air mata dan kesedihan hati. Tetapi ALLAH menyeksa atau mengasihi seseorang kerana ini. Lalu baginda menunjukkan ke arah lidahnya, bermaksud meratap. Menurut Usama bin Zaid r.a, ketika cucu Rasulullah s.a.w yang hampir meninggal dunia diserahkan kepadanya, kedua-dua mata baginda menitiskan air mata. Kemudian Saad bertanya kepada baginda, wahai Rasulullah, mengapa

engkau bersikap demikian? Baginda menjawab: Ini adalah suatu rahmat yang ALLAH limpahkan ke dalam hati hamba-hamba-NYA dan sesungguhnya ALLAH akan mengasihi mereka yang mempunyai perasaan belas kasihan.

Apabila orang yang kita cintai dipanggil mengadap-NYA untuk selama-lamanya, itu bukan bererti hubungan kita berakhir sampai di situ. Masih banyak yang dapat kita lakukan untuk orang yang kita cintai itu, antaranya: 1. Mendoakan kesejahteraan dan memohon keampunan untuknya atas segala dosa yang dilakukan. Tidak lupa juga memohon rahmat dan belas kasihan ALLAH buatnya. 2. Melunaskan segala hutang-hutang yang ditinggalkannya. 3. Menunaikan amanah yang dipesan. 4. Mengamalkan ilmu yang telah disampaikan 5. Bersilaturahim dengan rakan, sahabat dan kaum kerabatnya.
BIODATA PENULIS Dr. H. Hanny Ronosulistyo, Sp.OG(K)., M.M. Lahir di Harleem-Belanda, 26 September 1953. Jabatan beliau saat ini adalah Direktur RSUD al-Ihsan Provinsi Jawa Barat, Pensyarah Luar di Universiti Padjadjaran, Ketua Alumni Doktor Ahli Kebidanan FK Unpad, Ketua I PKBI Jabar, Konsultan Obstetri Sosial, Pengurus Besar Persatuan Judo Seluruh Indonesia (2007-2012), Ketua ICMI Orda Kota Cimahi (2006-2011) dan Ketua ESQ Peduli Kesehatan Wilayah Jawa Barat. K.H. Aceng Zakaria. Lahir di Wanaraja pada 11 Oktober 1948. Beliau adalah pemimpin Pondok Pesantren Rancabango, Tarogong, Garut. Selain itu, sejak tahun 2000, beliau diamanahi jabatan bidang garapan dakwah Pimpinan Pusat Persatuan Islam. Gani Yordani. Nama penuh beliau adalah Sugani Yurdani. Lahir di Bandung, tanggal 30 September 1973. Di samping menjadi tenaga pengajar di Sekolah Tinggi Pariwisata Bandung dan Akademi Pariwisata NHI, jebolah Fakulti Sastra Unpad ini, beliau mempunyai hobi sebagai penulis, editor dan moderator dalam berbagai-baga seminar dan diskusi ilmiah.

Anda mungkin juga menyukai