Anda di halaman 1dari 20

SAYANG ADIK

Sekejap adik gosok sekejap adik picitkan hidung. Adik sanggup buat apa sahaja untuk

hilangkan bau itu, tapi bau itu tetap ada. Adik tidak suka bau itu tapi adik tidak boleh keluar

dari situ. Abah sudah pesan suruh adik duduk diam-diam di atas kerusi.

Adik selalu dengar pesan Abah. Bila Abah kata adik kena duduk diam-diam di situ,

maknanya adik kena duduk. Adik tidak boleh bangun jalan-jalan walaupun adik teringin

sangat nak berlari di situ, adik teringin nak baring-baring juga macam budak-budak lain ada

buat. Mak bapa mereka tidak marah pun budak-budak baring dan berlari di situ, tapi abah

adik sudah pesan jangan buat macam tu. Adik tidak boleh buat macam tu. Adik kena duduk

diam-diam atas kerusi.

Adik sudah berjanji dengan along yang adik akan selalu ikut cakap abah. Adik tidak

boleh bantah kata abah. Kalau adik bantah kata abah, nanti adik berdosa. Dulu adik degil, adik

pernah bantah kata abah. Adik sudah berdosa.

Sekarang, adik tak akan bantah kata Abah lagi. Walaupun hati adik teringin sangat-

sangat nak bermain, adik tidak akan bangun dari kerusi. Adik cuma pandang budak-budak

lain bermain dari pintu cermin. Kadang-kadang mereka cuma berhenti apabila ada lelaki dan

perempuan berbaju putih lalu lalang di situ. Lepas lelaki dan perempun lalu, budak-budak

akan kembali bermain di situ.

Adik tundukkan kepala. Perut adik sudah berbunyi tapi Adik tidak berani hendak

beritahu Abah. Bukan Abah akan marah adik, kalau adik kata dia lapar tapi adik tahu abah

berat hati hendak bangun dari kerusi itu. Abah hendak tunggu lelaki berbaju putih datang

pada abah dan beritahu abah mama sihat.


Abah kata mereka sekarang berada di hospital. Mama ada di dalam. Mereka datang ke

sini awal pagi tadi, bila mama mengadu yang dia sakit perut. Perut mama besar. Dulu adik

ingat perut mama masuk angin sebab Along pernah pesan yang kalau masuk angin, perut kita

akan kembung. Bila adik beritahu abah, dia cuma ketawakan adik.

Abah kata, perut mama besar bukan sebab dia kembung angin sebab dalam perut

mama ada “baby.” Abah kata lepas ni, abah dengan mama tidak boleh panggil adik lagi. Bila

“baby” sudah lahir, adik akan dipanggil kak Nini. Nama adik Hanini. Jadi bila “baby” sudah

besar, dia akan panggil adik kak Nini. Adik senyum. Mama pun senyum saja bila abah pegang

perut mama.

Perut mama semakin membesar. Pergerakan mama pun semakin lambat. Abah sudah

pesan pada adik yang adik jangan susahkan mama. Apa sahaja yang adik boleh buat, adik kena

buat sendiri. Adik boleh mandi sendiri, pakai baju sendiri dan makan dalam pinggan sendiri.

Nenek dari kampung pun duduk dengan adik bila perut mama sudah seperti belon.

Nenek yang tolong mama buat kerja rumah bila mama sudah tidak larat untuk berdiri lama.

Nenek juga jaga mama dan sesekali main dengan adik. Adik suka bila nenek datang rumah.

Walaupun kerja nenek banyak, nenek suka layan adik. Nenek layan adik macam along layan

adik.

Pagi tadi, bila mama mengadu sakit perut, abah terus papah mama sambil angkat beg

keluar rumah. Nenek cuba pegang adik, tapi adik tidak sanggup hendak berpisah dengan abah

dan mama. Adik terus masuk kereta dan tutup pintu. Abah tidak larat hendak melarang sebab

mama sudah mengaduh sambil pegang perut.

Tiba-tiba seorang lelaki berbaju putih datang mendekati Abah. Abah terus berdiri. Dia

pandang wajah lelaki itu. Lelaki itu tersenyum. Dia hulurkan tangan pada abah.
“Tahniah Encik Rosli. Isteri dan anak encik selamat,” kata doktor lelaki itu. Abah

tersenyum riang. Adik turut tersenyum riang. Lepas ini abah sudah tidak bimbang lagi. Adik

pun boleh balik rumah minta nasi dari nenek.

“Jom! Kita pergi tengok “baby”.” Abah tarik tangan adik. Adik dongak tengok muka

abah yang tersenyum.

***

Abah pesan dengan adik supaya jangan buat bising. “Baby” tengah tidur, kata abah.

Mama pun letih lagi. Abah kata, doktor kena bedah mama sebab “baby” songsang dalam perut.

Jadi, perut mama masih lagi sakit.

Adik tenung “baby” yang tidur di sebelah mama. Kulit “baby” berkedut-kedut, macam

kulit nenek. Abah kata itu “baby girl”. Abah dengan mama dah sepakat hendak namakan

“baby” Nurul Iman. Adik senyum. Adik suka nama itu.

Abah bawa mama dan “baby” Nurul Iman balik ke rumah selepas seminggu tinggal di

hospital. Doktor kata mama kena banyak berehat dan tak boleh bergerak banyak sebab nanti

jahitan diperut boleh terbuka. Abah pun pesan serupa pada mama. Mama cuma senyum

sahaja. Dia kucup dahi Nurul Iman.

Abah pun turut kucup pipi Nurul Iman. Adik hendak cium juga, tapi mama tarik

“baby” Nurul Iman. Mama tak bagi adik cium “baby” sebab takut “baby” menangis. Adik tak

kisah. Adik sengih saja tengok “baby” yang tengah nyenyak tidur dalam pelukan mama.

Nenek pegang bahu adik. Nenek senyum tapi adik tengok mata nenek berair.
“Kenapa nenek nangis?” Tanya adik pelik. Adik pegang tangan nenek. Adik usap jari

nenek.

Satu air mata nenek jatuh ke pipi. Nenek seka dengan jari. Nenek pandang adik dan

nenek senyum lagi. “Nenek bukan menangis, tapi nenek terlalu suka,” kata nenek lembut.

Nenek terus tarik tangan adik keluar dari bilik abah dan mama. Nenek kata “baby” nak tidur.

Adik ikut nenek keluar bilik. Kalau ikut hati, adik tak mahu keluar bilik. Memanglah

“baby” selalu tidur. Along pernah beritahu adik, yang budak kecil memang suka tidur. Dia

tidak boleh main, jadi dia tidurlah. Bila dia lapar, dia menangis.

Adik lari terus masuk ke bilik. Nenek sudah pesan nanti bila tiba masa makan, nenek

akan panggil. Sekarang nenek suruh adik main seorang diri. Jangan kacau “baby”, jangan

kacau mama dan jangan kacau abah.

Adik tutup pintu perlahan-lahan. Adik ingat pesan along. Kalau tutup pintu, jangan

hempas. Itu tanda orang marah. Kalau orang marah, Allah benci. Adik tak nak jadi marah.

Adik tak nak Allah bencikan adik. Adik pernah buat salah. Adik pernah buat Allah benci adik

dan adik sudah janji dengan along adik takkan buat lagi.

Adik tenung muka along, along senyum. Itulah along. Along sentiasa senyum. Along

tidak pernah marah adik. Seingat adik, along memang suka tersenyum.

Adik meniarap memandang Along. “Mama dah bawa balik “baby”,” katanya.

“Namanya Nurul Iman. Comel tau, Long!” Kata adik lagi. Along terus tersenyum.

“Abah kata, mama kena berehat sebab mama penat lahirkan “baby”. Adik eh! Sekarang ni tak

boleh panggil adik, kena panggil kak Nini sebab sekarang dah ada “baby”!”
Adik terus cerita pasal Nurul Iman. Adik kata kulit Nurul Iman berkedut macam

nenek. Adik beritahu Along, mama kata kedut adik akan hilang dan adik akan jadi bayi paling

comel di dunia.

“Abah ketawa bila mama cakap macam tu.” Adik diam. “Dah lama adik tak dengar

abah ketawa besar macam tu. Abah mesti suka sebab dapat “baby” baru kan long?”

Adik paling tengok tingkap. Di balik langsir lembut adik nampak cahaya matahari

semakin redup. Adik tak mandi lagi. Adik dengar nenek tengah rancak masak di dapur. Tak

lama lagi mesti nenek panggil untuk makan malam.

Adik paling balik menghadap along. Ini pertama kali adik cerita dengan along pasal

Nurul Iman. Dua tiga hari adik sibuk sebab temankan abah pergi ke hospital jenguk mama.

Adik rindu sangat hendak berbual dengan along.

Kali pertama adik berbual dengan along masa buat kenduri besar di rumah nenek.

Along sentiasa ada di sebelah adik. Tapi, along cuma duduk di bilik sahaja. Abah tak kasi adik

bawa along keluar. Adik rasa hendak marah, tapi sebab adik sudah janji dengan along, adik

tak akan marah-marah lagi, adik ikut cakap abah. Along tinggal dalam bilik.

Tapi, adik tak biarkan along keseorangan lama-lama di bilik. Adik keluar tengok

kenduri, lepas tu adik masuk dan cerita dengan along. Adik cerita pasal kompang, adik cerita

pasal bunga kelip-kelip yang orang lilit pada lidi dan cucuk atas buah betik muda. Kemudian

betik muda yang berhias bunga kelip-kelip orang cucuk atas batang kayu dan di bawa ke

depan. Nenek kata itu bunga manggar.

Adik cerita dengan along pasal bunyi kompang. Pasal abah dan mama yang diarak dan

duduk bersanding atas pelamin. Abah dan mama cantik sangat. Along senyum saja dengar

cerita adik. Nenek kata abah dan mama pakai kain songket Terengganu.
Nenek cerita lagi yang ini kali ke dua abah duduk atas pelamin. Kali pertama masa

abah kahwin dengan emak. Tiba-tiba nenek menangis. Nenek peluk adik erat-erat. Adik kerut

dahi. Bila adik tanya nenek kenapa menangis, nenek cuma geleng kepala.

Nenek usap muka adik. Nenek kata nenek rindu pada mak adik. Nenek rindu pada

along.

Adik ingat lagi macamana adik sapu air mata nenek. Adik kata “Nenek jangan rindu.

Emak tidur, along pun dah tidur. Nanti, bila emak dan along dah bangun, kita ajak balik

rumah jumpa abah dengan mama.” Adik ingat nenek anggukkan kepala, tapi nenek masih lagi

tak berhenti menangis.

Along ingat tak mak su Senah? Dia ada sebelah nenek masa tu. Adik tengok, mak su

Senah pun menangis. Adik tak faham, kenapa semua orang menangis bila ingat pada emak

dengan along. Adik tatap gambar along. Adik peluk gambar along sambil baring. Lama-lama,

adik tertidur…

***

Salmah menolak pintu bilik. Dia menjengukkan kepala. Ah! Sudah tidur rupanya anak

kecil ini, fikirnya. Salmah melangkah masuk ke dalam bilik. Hatinya tiba-tiba dilanda

perasaan sayu. Bilik itu sungguh kemas. Bersih. Tidak ada satu pun barang-barang mainan

yang berterabur di dalam bilik. Semuanya tersusun elok ditempat yang disediakan.

Kadang-kadang Salmah rindu hendak melihat keadaan yang berkecah. Teringin benar

dia hendak melihat bilik yang berterabur barang mainan dan dinding yang berconteng. Dia

menatap wajah lembut kanak-kanak comel yang terbaring tidur di atas katil. Kasihan sungguh

kau, Nini.
Salmah duduk di birai katil. Jari-jarinya lembut mengelus rambut lurus Hanini.

Hanini budak baik. Tetapi, keadaan Hanini tidak seperti kanak-kanak lain. Dia tidak pernah

meminta. Tidak pernah melakukan sesuatu tanpa meminta izin dari abahnya terlebih dahulu.

Dan, dia tidak pernah melawan.

Kalaupun dia teringin hendak bermain dengan anak-anak jiran di sebelah,

keinginannya akan dipendam. Dia hanya melihat dari jendela rumah. Salmah juga tahu dari

riak matanya yang memandang, cucunya itu kadang-kadang anak itu teringin hendak membeli

aiskrim dari penjual aiskrim bermotosikal, tapi keinginan itu tidak pernah disuarakan. Hanya

pandangan menyusuri pusingan roda motosikal dan telinga mendengar pukulan loceng

sehingga hilang.

Kebanyakan masanya dihabiskan di dalam rumah sahaja. Apabila selesai menulis atau

membaca, buku tersebut akan diletakkan di tempat asalnya kembali. Umurnya baru hendak

mencecah lima tahun, tapi anak kecil itu sudah pandai mandi dan berpakaian sendiri. Baju

yang kotor di masukkan ke dalam mesin basuh. Baju yang diambil di dalam almari pula

dipastikan tidak bersepah.

Kadang-kadang Salmah sendiri boleh terlupa bahawa ada kanak-kanak di rumah itu.

Hanini jarang membuat bising. Apatah lagi berlari ke sana sini. Jalannya sentiasa tertib. Kalau

menonton televisyen pun, suaranya diperlahankan.

Pernah juga Salmah terlupa hendak memberi makan tengahari kepada cucunya,

kerana Hanini tidak langsung merungut kelaparan. Cuma, apabila anak itu membuka tin

biskut di dapur, barulah Salmah teringat yang dia belum memberi makan pada Hanini.

Walaupun Hanini tidak merungut, Salmah pula yang hampir meraung. Kenapa

dengan cucunya itu? Kenapa dia seolah-olah takut dengan orang dewasa di sekelilingnya?
Setitis airmatanya gugur. Cepat-cepat Salmah seka dengan jari. Dia tidak mahu air matanya

menitis mengenai cucunya yang sedang tidur.

Salmah ingat, dia pernah bertanya kepada Marlina sanggupkah gadis itu berkahwin

dengan anaknya yang sudah berstatus duda beranak satu. Gadis itu mengangguk sambil

tersenyum. Dia sanggup, katanya.

“Lagipun, saya dengan Rosli sudah berkawan lama, makcik. Sebelum dia berkahwin

dengan arwah Syuhada lagi.” Itu kata Marlina. Salmah bimbang juga hendak membenarkan

Rosli berkahwin lagi sebab Syuhada baru saja empat bulan meninggal dunia. Nanti apa pula

kata orang kampung.

Tapi, apabila ditimbang-tara, Salmah fikir mungkin ini jalan yang terbaik. Lagipun,

Hanini perlukan kasih sayang seorang ibu. Tidak sanggup pula dia membenarkan anak comel

itu membesar tanpa didikan seorang wanita.

Lagipun, Salmah lihat Marlina memberikan layanan yang baik terhadap Hanini. Anak

itu juga dapat menerima Marlina sebagai pengganti ibunya. Salmah lega melihat keadaan

tersebut. Tapi, dalam kelegaan itu, dia masih lagi bimbang tentang perangai Hanini.

Sebelum kematian Syuhada dan anak sulung mereka Hamimi, Hanini sudah banyak

berubah. Dia tidak lagi keletah atau manja. Air mukanya sentiasa serius. Dia kelihatan lebih

matang dari usianya. Salmah ingat dia pernah mendengar Hanini berikrar dia tidak akan

nakal lagi. Dia tidak akan buat dosa ketika kedua-dua jenazah hendak diusung ke tanah

perkuburan.

Sungguh! Salmah tidak sangka yang Hanini akan pegang pada janjinya sendiri. Sejak

dari itu, dia tidak pernah membuat sesuatu yang boleh menaikkan kemarahan Salmah
padahal dulu, anak itu terlalu nakal sehingga serak suara memarahinya. Hanini sudah terlalu

banyak berubah.

Salmah pernah bertanya pada Marlina samada dia mempunyai masalah mendidik

Hanini. Menurut Marlina, dia langsung tidak ada masalah menerima Hanini sebagai anak

tirinya. Anak itu terlalu baik dan menurut kata. Mulanya Salmah gembira mendengar berita

baik itu, tetapi apabila melihat sendiri perubahan pada Hanini, dia mula merasa bimbang.

“Adik…” Panggil Salmah lembut. Dia menggerak-gerakkan sedikit bahu Hanini. “Adik,

bangun sayang.”

Hanini membuka mata. Matanya berkelip-kelip memandang wajah neneknya. Dia

bingkas duduk. “Ya, nek?”

Hati Salmah bertambah sayu apabila matanya terlihat bingkai gambar Hamimi dalam

pegangan anak kecil itu. Dia cuba menahan kesedihan itu. “Mari makan. Nini tertidur tadi.”

Tanpa berlengah, Hanini terus bangun dari katil. Dia meletakkan kembali bingkai

gambar di atas meja bersebelahan katilnya. Bingkai gambar itu diletak elok-elok di sebelah

bingkai gambar Syuhada. Dia menunggu neneknya bangun dari katil. Sekonyong-konyong

wanita itu bangun, Hanini segera membetulkan cadar tempat tidurnya. Kemas.

Salmah menggeleng-gelengkan kepala. Dia menarik lengan Hanini dengan lembut lalu

memimpinnya untuk turun ke dapur.

***
“Mak rasa ada yang tak kena tentang adik,” ujar Salmah ketika dia duduk minum

petang bersama Rosli dan Marlina di luar. Nurul Iman enak tidur dipangku ibunya. Salmah

mengerling ke arah Nini yang tekun mewarna buku di ruang tamu.

“Apa maksud mak?” Tanya Rosli. Dia memandang isterinya dengan tanda tanya.

Marlina mengangkat bahu.

“Takkan kamu sebagai ayahnya tidak tahu?” Tingkah Salmah. Pelik sungguh dia

mendengar soalan Rosli.

“Saya cuma tak faham maksud mak. Kalau dari segi kesihatan, saya tengok si Nini itu

sihat aje,” balas Rosli pula.

“Kalau kesihatan fizikal memanglah sihat, tapi cuba tengok perangainya. Mak rasa dia

tak seperti kanak-kanak normal,” ujar Salmah lagi. Dia bukan tidak berpendidikan. Dia bekas

guru sekolah rendah, jadi dia kenal sangat dengan perangai budak-budak.

Rosli bungkam. Apa maksud ibunya? Takkanlah Hanini sakit mental? Rosli berpaling

memandang Hanini. Anak itu sedang mewarna dengan tekun. Elok sahaja budak itu, getusnya

dalam hati.

“Kamu tak sedarkah yang adik bukan seperti anak-anak lain? Tidak berlari sana sini.

Tidak memerintah. Tidak bertanya itu ini. Kalau lapar pun tidak pernah merungut.” Salmah

memandang wajah anak lelakinya. “Kamu tak pelikkah tengok keadaan macam tu pada kanak-

kanak berusia empat tahun?”

“Eloklah macam tu mak,” balas Marlina pula. “Kami pun tak nak mengajar dia jadi

terlalu manja.”
Salmah diam. Bukan dia hendak campur tangan urusan anaknya mendidik anak-anak,

tapi keadaan Hanini sungguh membimbangkan. “Mak pun tak manjakan kamu, Rosli. Mak

cuma harap, kamu beri perhatian sedikit pada adik.”

“Bukan saya tidak beri perhatian pada dia, mak. Saya pun sibuk bekerja. Lagipun

dengan anak kecil ini…” Rosli mencuit mesra hidung Nurul Iman. “… tanggungjawab saya

sudah bertambah.”

“Gaji kamu sebagai pegawai bank, sudah lebih dari cukup, Li. Mak cuma harap kamu

luangkan sedikit masa untuk adik. Dulu, mak faham situasi kamu sebab arwah Syuhada baru

sahaja meninggal, sekarang kamu dah ada Marlina, apa salahnya kamu bawa dia berjalan-

jalan di padang ke,” Salmah memberi cadangan.

“Lain kalilah mak. Nini pun dah besar. Lagipun tak sedap hatilah nak tinggalkan

Marlina dengan Nurul Iman,” balas Rosli. Dia memandang wajah isterinya lalu tersenyum.

Salmah bungkam. Sakit hati juga dia melihat perangai Rosli. Dia bukan

mencadangkan untuk Rosli membawa anaknya pergi melancong, tetapi hanya meluangkan

masa antara ayah dan anak bersama-sama di padang.

Tanpa mereka sedari, Hanini sudah berdiri di sebelah Marlina. Tangan comelnya

mengusap lembut pipi adiknya. Cepat-cepat Marlina menolak tangan Hanini. Anak itu

memandangnya dengan penuh tanda tanya.

Marlina cemas. Dia pantas mengerling ke arah ibu mertuanya. Jantungnya berdegup

kencang. Janganlah orang tua itu mula menyangka yang bukan-bukan. “Er… tangan Nini

kotor pegang pensel warna. Nanti adik sakit,” ujar Marlina. Suaranya bergetar sedikit.
Entah mengapa sejak kelahiran Nurul Iman, dia merasa tidak senang sedikit dengan

Hanini. Kalau boleh dia tidak mahu Hanini menyentuh bayinya. Dia tidak mahu mengaku di

hadapan Salmah tapi sejak dia berkahwin dengan Rosli, dia melihat Hanini tidak seperti anak-

anak yang lain.

Boleh dikatakan Hanini seperti sebuah robot. Bergerak selepas hanya diprogramkan

oleh ayahnya sendiri. Bila ayahnya benarkan dia bangun, baru dia bangun. Keluar rumah pun

jarang sangat. Tidak pernah merengek manja meminta itu ini. Mulut anak itu seperti terkunci.

Hanya matanya sahaja yang berbicara.

“Biarlah Marlina.” Suara Salmah mematikan lamunannya. Dia memandang wajah ibu

mertuanya. “Biarlah dia hendak sentuh adiknya sendiri.”

“Janganlah mak. Tangannya kotor lepas pegang pensel.” Rosli membantah. Marlina

menarik nafas lega.

“Nini pergi masuk dalam. Basuh tangan. Lepas tu pergi masuk bilik,”arah Rosli pada

Hanini. Anak itu mengangguk. Dia memandang sekilas wajah adiknya lalu terus berlari masuk

ke bilik air.

Salmah hanya memandang sayu ke arah Hanini. Dia mengeluh.

***

Adik baring sambil pegang gambar along. Hari ini mama marah adik lagi. Mama kata

adik degil.

“Adik tak degil! Adik cuma nak pegang “baby” Nurul Iman, tapi mama tak bagi,”

rungut adik pada along. “adik tak tahu kenapa mama tak bagi adik pegang “baby”.”
Adik tarik nafas panjang-panjang. Adik kena buang rasa marah jauh-jauh. Dulu sebab

marahlah adik berdosa. Adik tak nak Allah benci adik lagi. Cukuplah sekali adik buat jahat.

Masa itu adik teringin sangat nak makan gula-gula yang boleh tiup buat wisel macam

dalam iklan televisyen tu. Emak dah janji nak belikan bila balik kerja, tapi emak lupa. Adik

marah-marah. Bentak-bentak kaki sebab adik nak sangat gula-gula tu. Puas emak pujuk, tapi

adik tak nak dengar. Emak kata dia akan belikan esok sebab hari sudah malam dan tak ada

kedai yang buka lagi. Adik menangis kuat-kuat. Adik tuduh emak mungkir janji.

Bila adik sudah jerit-jerit menangis, emak pun mengalah. Abah malas nak dengar

tangisan adik. Dia sudah naik ke atas, pergi ke bilik tidur. Emaklah yang kena pujuk adik.

Along pula tengah baca buku dalam bilik. Along pun tak nak campur sebab kalau along cuba

pujuk adik, adik akan menangis lagi kuat.

“Ok! Kalau adik nak gula-gula tu, adik duduk diam-diam di rumah. Adik jangan

nangis. Emak keluar dengan along, boleh?” Pujuk emak lagi.

Dengan air mata yang masih berjuraian, adik mengangguk. Adik janji dengan emak

adik akan duduk diam-diam di rumah.

Emak terus berlari naik ke tingkat atas, minta izin dengan abah untuk keluar ke kedai

24-jam untuk beli gula-gula adik. Abah merungut, dia kata emak terlalu manjakan adik, tapi

emak kata, itu salah emak sebab emak yang mungkir janji. Emak terus cium tangan abah.

Lepas jumpa abah, emak panggil along. Emak nak along temankan emak pergi beli

gula-gula di kedai. Along suka sebab dapat keluar jalan-jalan dengan emak.
Sebelum pergi, emak sempat pesan lagi dengan adik, emak kata; “Nanti, emak tak ada,

adik kena dengar cakap abah. Jangan minta yang bukan-bukan dan buat kerja yang adik boleh

buat, sendiri.”

Along pun sengih aje dengar cakap emak. Dia pun pesan pada adik. Along kata; “adik

jangan marah-marah, berdosa. Nanti Allah tak suka. Orang yang jahat akan terima balasan

yang jahat juga.”

Lepas itu, emak dan along keluar pergi ke kedai naik kereta proton Iswara emak.

Lama adik tunggu, sampai adik tertidur di atas sofa tapi emak dan along tak balik-

balik. Abah pun tertidur di bilik. Dia cuma sedar apabila ada orang bunyikan loceng rumah

berkali-kali.

Abah keluar dengan berkain pelekat dan bersinglet. Adik yang tertidur di atas sofa

pun terbangun bila dengar bunyi loceng rumah. Adik temankan abah di pintu. Dua orang polis

sudah ada menunggu. Adik kenal mereka polis sebab along pernah tunjuk gambar dan

beritahu adik polis kerjanya menolong orang.

Adik tak faham apa yang polis tu katakan pada abah. Adik cuma dengar perkataan

kemalangan dan maut. Tapi, adik masih tak faham. Apa dia kemalangan? Apa itu maut? Adik

cuma nak gula-gula saja dan adik nak tunggu emak dan along balik.

Abah terus bergegas masuk dan naik ke bilik. Adik tengok muka abah macam nak

menangis. Kenapa abah menangis? Adik pandang pada dua orang polis itu. “emak kat mana?”

Tanya adik.

Polis-polis itu pandang sesama sendiri. Seorang terus usap kepala adik. “Emak adik

ada. Dia tidur.”


Adik senyum. Adik tak sabar nak makan gula-gula manis yang boleh tiup buat wisel.

Abah tinggal adik di rumah makcik Leha di sebelah. Abah tak cakap apa-apa dengan

adik. Abah cuma beritahu makcik Leha sahaja. Makcik Leha pun menangis, tapi dia kata abah

boleh tinggalkan adik di situ.

Hampir sehari suntuk adik tinggal dengan makcik Leha. Bila adik tanya makcik Leha

pasal emak dengan along, makcik Leha mesti menangis. Adik tak tahu sebab apa makcik Leha

menangis, tapi adik sudah tak tanya lagi pasal emak dengan along lagi.

Bila abah balik tengahari itu, abah terus masuk rumah dan siap-siapkan barang adik.

Abah tak cakap nak pergi mana. Lama adik tanya barulah abah jawab. Abah kata abah nak

bawa adik bawa balik kampung ke rumah nenek.

Di rumah nenek semua orang menangis. Bila adik tanya nenek kenapa orang

menangis, nenek terus menangis lagi. Nenek pun sama macam makcik Leha.

Rumah nenek sudah macam orang kenduri. Ramai orang baca Al-Quran datang

rumah nenek. Adik tengok emak dan along baring di atas tilam di ruang tamu rumah nenek.

Mereka tidur nyenyak sangat sampaikan adik cuba gerakkan pun mereka tidak terjaga.

Bila orang sudah siapkan emak dengan adik dengan baju putih dan tudung putih,

nenek tarik adik ke depan. Nenek suruh adik cium pipi kanan dan kiri emak dan along. Adik

buat apa yang nenek suruh. Emak dan along bau wangi, tapi bau itu bukan macam bau minyak

wangi yang emak selalu guna.

Nenek kata emak dan along tidur. Adik buat-buat percaya. Adik tahu emak dan along

sudah mati. Emak dan along sudah pergi jumpa Allah. Along pernah cerita pasal mati. Along
kata semua benda-benda yang hidup mesti mati sebab itu janji Allah pada kita. Tapi, adik tak

nak beritahu ini pada nenek, nanti nenek sedih lagi.

***

Suara Nurul Iman menangis semakin kuat. Adik cepat-cepat bangun dari katil.

Perlahan-lahan adik menjingkit menuju ke pintu. Adik kuak pintu bilik perlahan-lahan.

Adik berjalan pergi ke bilik abah dan mama. Adik tolak pintu bilik sikit. Sikit lagi,

sampai adik nampak “baby” Nurul Iman terbaring di atas katil. Adik jenguk ke dalam bilik.

Mama tengah mandi di dalam bilik air. Mama tak dengar baby menangis.

Adik terus berlari masuk ke dalam bilik. Perlahan-lahan adik panjat katil. Adik tak

nak takutkan baby Nurul Iman. Adik tengok tangan adik. Bersih. Tadi, lepas makan dengan

nenek, adik sudah sabun tangan bersih-bersih.

Adik tak nak buat bising, takut nanti mama dengar. Kalau mama tahu adik dekat

dengan baby, mama akan marah. Mama tak suka adik pegang baby. Mama tak suka adik dekat

dengan baby.

Adik terlalu ingin nak pegang baby. Adik tengok kulit Nurul Iman sudah tidak

berkedut lagi. Nurul Iman memang baby comel. Perlahan-lahan adik sentuh pipi Nurul Iman

dengan jari. Nurul Iman buka mata, dia senyum pada adik. Dia pun sudah berhenti menangis.

Hati adik suka sangat. Sekali ini saja adik engkar dengan kata-kata abah. Adik teringin

sangat nak cium Nurul Iman. Mesti wangi, sebab mama sudah mandikan adik dan sapu badan

adik dengan bedak debu.


Perlahan-lahan adik tundukkan kepala dekat dengan Nurul Iman. Adik juihkan mulut

awal-awal. Bibir adik sentuh pipi Nurul Iman. Adik sedut nafas. Bau Nurul Iman memang

wangi. Adik buat sekali lagi. Kali ini adik cium dahi Nurul Iman. Adik suka bau Nurul Iman.

Nurul Iman pun suka dengan adik. Dia senyum lagi pada adik.

Tiba-tiba adik dengar pintu bilik air dibuka. Mama! Adik cuba turun dari katil secepat

mungkin tapi mama sudah berdiri di muka pintu. Mata mama bulat pandang adik yang berdiri

di birai katil.

“Nini!” Jerit mama.

Adik undur setapak. Adik sudah berdosa! Adik sudah engkar dengan kata-kata mama!

Adik sudah membantah kata abah! Allah akan membalas orang-orang yang suka membantah

kata orang tua!

“Mama dah kata, jangan dekat dengan baby!” Mama sudah berdiri cekak pinggang.

Adik takut tengok muka mama yang garang. Dulu mama jarang marah adik. Mama

tidak pernah kisah pasal adik. Cuma akhir-akhir ini muka mama jarang senyum dengan adik.

Muka mama jadi garang. Adik undur setapak lagi.

“Kenapa Nini degil sangat ni?!”

Adik janji tak buat lagi! Adik terus jalan undur. Adik tengok muka mama, adik tengok

baby Nurul Iman.

“Adik, jangan suka berjanji. Orang yang tidak pegang pada janji adalah orang yang

munafik!” Seakan terdengar suara emak berbisik di telinga adik. Adik jadi takut. Adik tak nak

jadi orang munafik. Adik terus berjalan undur…


Tiba-tiba adik terasa kaki adik tidak lagi berpijak di lantai. Badan adik melayang

kemudian jatuh menghempas anak tangga. Adik meluncur jatuh ke bawah. Sayup-sayup adik

terdengar suara mama menjerit.

Adik cuba bangun, tapi pandangan adik menjadi kelam. Badan adik terasa sakit-sakit.

Adik hendak buka mata pun susah. Adik terdengar suara nenek menangis. Adik terasa badan

adik diangkat. Adik cuba juga untuk buka mata. Adik nampak wajah abah. Adik senyum.

“Adik cuma nak cium Nurul Iman. Adik teringin sangat…”

Abah angguk kepala. Mata abah berkaca. Abah angkat adik dan peluk adik erat-erat.

Adik suka abah peluk adik. Sudah lama abah tidak peluk adik erat-erat macam ini. Adik

senyum.

***

Rosli mundar-mandir di koridor kosong. Badannya masih lagi menggeletar apabila

melihat tubuh kecil Hanini melayang lalu jatuh bergolek dari tingkat atas. Dia mendengar

Marlina menjerit memarahi Hanini dan Rosli pada masa itu pun sudah bersedia untuk

menaiki tangga ke tingkat atas dengan niat hendak memarahi Hanini juga.

Anak kecil itu sudah semakin nakal. Acapkali dipesan supaya tidak mendekati Nurul

Iman tetapi dia degil. Selalu dia mendekati adiknya dan merapatkan dirinya dengan Nurul

Iman. Marlina tidak suka keadaan itu, dan kerana hendak menjaga hati isterinya, Rosli turut

melarang Hanini.

Rosli menekan dahi dengan jari. Kenapalah dia begitu menurut perasaan? Kenapalah

dia tidak mendengar pesan ibunya supaya menyelami perasaan anak kecil itu?
Rosli tidak benci pada Hanini, mana mungkin dia membenci darah dagingnya sendiri.

Tetapi, sejak kematian Syuhada dan Hamimi, dia sukar untuk menerima kehadiran Hanini.

Kalau tidak kerana Hanini yang menangis mahukan gula-gula malam itu, sudah pasti Syuhada

tidak akan keluar dengan Mimi. Sudah pasti kereta mereka tidak akan dilanggar oleh

pemandu mabuk yang meragut nyawa kedua-dua insan tersayang itu.

Selama ini dia sukar hendak menerima kenyataan tersebut. Dia sukar untuk

memaafkan Hanini sedangkan anak itu terlalu kecil dan masih tidak faham tentang

kehidupan. Walaupun Hanini berubah sama sekali semenjak peristiwa itu, setiap kebaikan

yang dilakukan oleh anaknya itu, tidka pernah dia hargai.

Ya Allah! Aku berdosa dengan anakku sendiri! Rosli meraup muka dengan tangan. Dia

berdoa semoga Allah panjangkan umur Hanini. Dia ingin menebus kembali dosa-dosanya

terhadap anaknya. Dia ingin menghabiskan masa dengan Hanini.

“Encik Rosli?” Satu suara menyapa. Rosli berpaling menghadap seorang doktor muda.

“Minta maaf Encik Rosli. Hanini mengalami pendarahan dalaman yang serius. Kami

sudah berusaha sedaya upaya kami tetapi Allah lebih menyayanginya.”

Jantung Rosli hampir berhenti berdegup. Dia terduduk di atas lantai. Hanini sudah

tidak ada? Dengan mata yang berkaca dia berpaling menghadap isteri dan ibunya. Kedua-dua

wanita itu sudah terhinggut-hinggut menangis.

Marlina memeluk erat ibu mertuanya. Hatinya diterpa perasaan penyesalan yang

bertimpa-timpa. Salmah membalas pelukan erat menantunya. Dia harus belajar untuk redha.

Dia telah kehilangan tiga insan yang paling disayangi di dunia ini.
“Semoga kau tenang, adik!”

Anda mungkin juga menyukai