Anda di halaman 1dari 6

SEPAK MANGGIS Permainan ini merupakan satu tradisi yang akan diadakan semasa keraian, contohnya majlis perkahwinan.

Permainan ini dikenali sebagai Sepak Manggis yang merupakan sejenis sukan tradisi warisan masyarakat Kadazandusun Tindai dan Bajau. Permainan ini diwujudkan untuk memupuk semangat persaudaraan dan perpaduan kedua-dua masyarakatan tersebut. Selain itu, permainan ini penuh dengan budaya yang telah diadunkan. Sebagai contohnya, dalam majlis perkahwinan, permainan ini akan dimain di satu kawasan lapang yang diadakan berhampiran dengan rumah pengantin.

Permainan ini memerlukan satu tiang yang setinggi 25 kaki yang diperbuat daripada buluh. Di samping itu, satu kotak yang dihiasi berwarna-warni akan digantung pada titik tertinggi buluh tersebut dengan diisi penuh dengan hadiah bertunai lumayan yang disedia oleh pengantin lelaki. Selain itu, satu bola yang diperbuat daripada rotan akan ditendang oleh peserta untuk mencapai sasaran, iaitu kotak berwarna-warni itu. Permainan ini akan dimula oleh kanak-kanak, diikuti remaja dan seterusnya orang dewasa. Peserta boleh menendang berkali-kali sehingga mencapai sasaran. Oleh sebab kotak diikat tinggi, maka susah untuk mereka menepati target, jadi permainan ini akan dibuat sepanjang hari. Biasanya hadiah akan disedia sekurang-kurangnya RM1000 kepada sesiapa yang mencapai sasaran. Permainan ini dapat mengeratkan hubungan antara kedua-dua pihak keluaga. Unsur-unsur budaya inilah merupakan apa yang hendak diwarisi oleh kedua-dua nenek moyang masyarakat tersebut. Oleh itu, permainan ini harus diteruskan dan diwarisi secara turun-temurun supaya keunikan permainan tradisional Sabah tidak akan lenyap.

RAMPANAU Sukan Rampanau merupakan salah satu Sukan Rakyat yang popular dikalangan masyarakat Dusun terutama di Daerah Tambunan, Keningau, Ranau dan beberapa lagi daerah di Sabah. Sukan Rampanau atau berjalan dengan menggunakan cangkungan merupakan sejenis sukan tradisi yang sering dilakukan semasa lapang dan juga satu kaedah untuk menyeberang sungai atau parit atau berjalan pada kawasan yang becak pada zaman dahulu. Namun Sukan Rampanau ini juga berbeza panggilannya mengikut sesuatu daerah, ada dikalangan beberapa daerah menyebutnya Rampanau dan ada juga yang menyebutnya Minsurukud (KG.Sunsuron,Tambunan). Sukan Rampanau ini kini hanya dapat kita saksikan pada keramaian Pesta Kaamatan dan jarang sekali dimainkan oleh masyarakat zaman ini akibat pengaruh arus pemodenan zaman. Pemain Rampanau ini akan menaiki batang buluh yang direka khas sebagai kasut tinggi dan direka dengan berbagai-bagai ketinggian mengikut selera pemainnya. Permainan ini memerlukan keseimbangan badan. Rampanau ini selalunya diperbuat daripada dahan sagu, kayu keras dan 2 batang bambu. Namun ia berbeza di setiap daerah, contohnya, di daerah Tambunan keseluruhan Rampanau ini diperbuat dari buluh. Bambu berkenaan berukuran kirakira 3M hingga 10M.Dahan sagu dan kayu keras pula digunakan untuk meletakkan kaki semasa sukan dalam lubang yang ditebuk pada bambu yang berukuran kira kira 8cm dan 5cm.

MOMOLOSITIK Pada zaman dahulu kala, momolositik ataupun melastik adalah satu aktiviti yang hanya digunakan semasa memburu binatang sahaja. Oleh kerana dahulunya senapang masih belum digunakan lagi, maka lositik digunakan sebagai senjata semasa berlakunya sebarang peperangan. Momolositik secara meluas digunakan oleh suku kaum KadazanDusun. Lositik ini diperbuat daripada dahan bercabang (takang), getah digunakan sebagai pengikat, minulang, iaitu tempat menyimpan peluru dan juga batu sebagai peluru. Tanah liat juga digunakan sebagai peluru untuk mengenakan sasaran utama seperti binatang ataupun musuh. Tanah liat ini diambil di lereng-lereng bukit dan di dalam dasar sungai. Ianya dibentuk menjadi ketulan batu dan dijemur sehingga keras. Menurut sumber yang diperolehi, aktiviti momolositik ini juga ada keunikannyadi mana kulit kambing sering digunakan sebagai minulang iaitu tempat menyimpan peluru (batu/tanah liat) semasa aktiviti lositik dijalankan. Kulit kambing ini di ambil semasa upacara penyembelihan kambing di jalankan yang mana kulit tersebut akan dipisahkan daripada isinya. Selepas dibersihkan, kulit tersebut akan dijemur sehingga kering dan disimpan atau digunakan sebagai bahan-bahan lositik.