Anda di halaman 1dari 34

Soalan 5: Individu dan kerajaan telah melabur dalam sector pendidikan bagi melahirkan modal insan yang berkemahiran

tinggi dan dengan itu akan menjana pendapatan tinggi di masa depan. Bincangkan kos dan faedah kepada pelaburan dalam modal insane kepada individu dan negara dan pulangan dalam pelaburan dalam pendidikan kepada indvidu dan negara. Jawapan:

Pendidikan adalah pelaburan yang sangat penting dalam sesebuah negara. Pencapaian yang dijana melalui sistem pendidikan akan menentukan hala tuju negara pada masa depan. Malahan proses pendidikan merupakan kaedah yang sangat berkesan bagi membentuk dan mengembangkan minda, jiwa dan rohani ke arah mengenali diri dan mencapai tahap kehidupan bermasyarakat yang baik dan sempurna.

Daripada perspektif yang berbeza, bidang pendidikan adalah jambatan yang membawa pengetahuan, latihan, potensi, minat dan semua elemen kualiti yang ada pada manusia iaitu modal insan ke suatu dimensi yang lebih dinamik dan progresif bagi menggerakkan kemajuan negara. Jepun dan Korea Selatan adalah dua buah negara yang aset materialnya sangat sedikit, berjaya membuktikan bahawa pembangunan modal insan yang mantap dapat membantu memajukan diri dan negara mereka setanding dengan negara-negara maju yang lain. Gary S. Becker, penerima Hadiah Nobel dalam ekonomi pada tahun 1992 menyatakan bahawa perkara terpenting untuk menarik pelaburan asing bukanlah kerana sesebuah negara itu mempunyai golongan elit atau rakyat yang terpelajar. Faktor yang utama ialah golongan pekerja khususnya yang mempunyai tahap literasi yang tinggi, budaya kerja yang positif dan potensi mendapatkan pengetahuan bagi membentuk kemahiran-kemahiran baru. Pengaruh ketiga-tiga elemen ini sangat ketara kerana pekerja yang berupaya menerapkan budaya ilmu dan mahir dalam bidangnya adalah mereka yang akan menghasilkan produk berkualiti seperti yang dikehendaki oleh syarikat-syarikat luar yang membuat pelaburan. Inilah keputusan pertama yang akan difikirkan dan isu utama yang diberi penekanan oleh pelabur luar negara.

Generasi muda Malaysia pada hari ini memperuntukkan masa yang lebih lama di sekolah iaitu 11.5 tahun. Oleh itu, asas pendidikan formal yang dilaksanakan kini oleh kerajaan sangat memberangsangkan kerana 95 peratus daripada rakyat negara ini celik huruf. Pertambahan bilangan institusi pengajian tinggi awam dan swasta akan turut mempercepatkan proses pembangunan modal insan kerana rakyat yang terpelajar adalah kunci kepada pembentukan negara maju pada tahun 2020 nanti.

Modal Insan Hasrat kerajaan untuk memberi penekanan terhadap pembangunan modal insan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) adalah sangat luar biasa dan meyakinkan. Pelaburan dalam modal insan ini dilihat sebagai usaha kerajaan bagi meningkatkan daya tahan dan pertumbuhan ekonomi serta membentuk sebuah masyarakat yang mempunyai sistem nilai yang boleh diteladani. Fokus akan diberi kepada galakan dan usaha membina serta membangunkan modal insan yang bersifat holistik, lengkap dengan pengetahuan dan kemahiran serta mempunyai nilai moral dan etika yang teguh.

Terdapat pelbagai definisi mengenai modal insan. Ada yang melihat daripada perspektif ekonomi, sosial dan agama. Para pengkaji di Barat melihat daripada perspektif yang berbeza. Gary S. Becker berpendapat modal insan adalah berkaitan dengan ekonomi masyarakat dan negara kerana individu tidak dapat dipisahkan daripada pengetahuan, kemahiran, kesihatan ataupun nilai. Oleh sebab itulah pendapatan yang tinggi, kesihatan yang baik dan pembentukan nilai dan tabiat yang baik akan memberi kesejahteraan kepada kehidupan seseorang.

Beliau menekankan dua elemen yang penting sebagai pelaburan masa depan dalam modal insan iaitu pendidikan dan latihan. Bagi beliau, institusi pendidikan seperti sekolah, universiti, kelas komputer, pembelajaran kesihatan dan perbincangan-perbincangan mengenai nilai hidup juga dianggap sebagai modal insan ke arah meningkatkan aset insan itu sendiri. Oleh itu modal

insan adalah harta terpenting yang ada pada seseorang yang membawa pendapatan kepadanya. Seorang lagi sarjana yang melihat modal insan daripada perspektif ekonomi ialah Theodore W. Schultz yang memperkenalkan teori modal insan. Beliau berhujah menyatakan bahawa pengetahuan dan kemahiran adalah elemen modal yang terhasil daripada pelaburan yang disengajakan. Contoh yang jelas ialah peningkatan hasil ekonomi di negara-negara Barat adalah kesan positif daripada pelaburan dalam modal insan. Dengan kata lain, wujud hubungan di antara peningkatan pelaburan modal insan dan peningkatan pendapatan pekerja. Selari dengan pandangan Gary S. Becker, Schultz turut bersetuju dengan konsep pelaburan modal insan ini. Jadi, negara-negara maju yang melabur dalam pendidikan, kesihatan dan latihan dalam jangka panjang akan menguatkan struktur ekonomi dan meningkatkan taraf hidup masyarakat mereka.

Manakala negara-negara membangun dan mundur masih mementingkan pelaburan jangka pendek bagi memenuhi keperluan asas seperti makanan, tempat perlindungan dan keselamatan. Definisi modal insan dalam Islam sangat berbeza daripada Barat yang asasnya adalah fahaman kapitalis. Islam mengenal pasti pembangunan sumber manusia sebagai elemen terpenting dalam modal insan kerana sumber yang utama ialah individu. Modal insan tidak seharusnya dilihat dari sudut latihan, kemahiran, kepakaran, profesional, kelebihan maklumat dan sebagainya malah harus mempunyai ciri-ciri pembangunan ke atas insan yang menerapkan sifat-sifat amanah, jujur, berakhlak mulia, progresif, cergas dan bertamadun.

Keperluan dunia semata-mata tidak akan memberi kelebihan ke atas pembangunan modal insan kerana tujuan penciptaan manusia ialah jelas seperti maksud Surah Az-Zariyat ayat 56; Tidaklah aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaKu.

Hasil akhir yang cemerlang adalah tonggak utama pembangunan modal insan dalam Islam kerana Islam telah menyediakan satu sistem hidup yang lengkap dari mula lahir hinggalah ke akhir hayat. Konsep pembangunan sumber manusia dalam Islam adalah proses menyeluruh untuk membentuk insane yang berguna. Manusia yang lahir kelak akan menerima janji daripada Tuhannya iaitu;

Sekiranya penduduk sesuatu negeri itu bertakwa nescaya Kami akan membuka kepada mereka (pintu-pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya dari langit dan bumi. (Surah Al-Araf ayat 96)

Modal insan yang diketengahkan oleh Islam bukan hanya melahirkan individu yang pakar, mahir ataupun profesional dalam bidang masing-masing tetapi penuh dengan nilai-nilai positif seperti amanah, jujur dan sebagainya. Pembentukan nilai-nilai ini tidak sekadar memenuhi kehendak organisasi malah untuk masyarakat dan negara.

Pendekatan fizikal melalui sesebuah dasar yang memberi fokus terhadap ekonomi tidak akan dapat memaksimumkan pembangunan modal insan. Dasar Ekonomi Baru (1971-1990) yang memberi perhatian terhadap membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat, strategi seterusnya beralih kepada memberi keutamaan terhadap pembangunan jasmani dan rohani melalui Rangka Rancangan Jangka Panjang (1991-1995), (A.Aziz Deraman, 2005). Perhatian yang lebih serius terhadap modal insan ini terserlah dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Keseriusan kerajaan terhadap pembangunan modal insan ini diterjemahkan sebanyak RM45.1 bilion yang diperuntukkan bagi melaksanakan pelbagai program pendidikan dan latihan yang dirancang dalam Rancangan Malaysia Kesembilan.

Sebanyak lapan teras Dasar Pembangunan Modal Insan yang telah digariskan iaitu :

1. Melaksanakan penambaikan serta komprehensif terhadap sistem penyampaian pendidikan dan latihan.

2. Memperkasa sekolah kebangsaan untuk menjadi sekolah pilihan utama rakyat Malaysia bagi meningkatkan perpaduan negara. Untuk tujuan ini, subjek bahasa Mandarin dan Tamil akan diperkenalkan. 3. Melaksanakan langkah bagi merapatkan jurang prestasi di antara sekolah luar bandar dan bandar termasuk menggantikan semua sekolah daif bagi menyediakan persekitaran pengajaran dan pembelajaran yang lebih kondusif serta menempatkan guru berpengalaman di sekolah luar bandar. 4. Mewujudkan universiti bertaraf antarabangsa dan memastikan pendidikan dan latihan di peringkat tertiari memenuhi keperluan majikan.

5. Menyediakan lebih banyak peluang dan akses kepada pendidikan latihan dan pembelajaran sepanjang hayat (lifelong learning) yang berkualiti di semua peringkat.

6. Membina masyarakat yang inovatif dengan keupayaan sains dan teknologi yang kukuh dan memiliki kemampuan memperoleh dan menggunakan pengetahuan.

7. Memperkukuh perpaduan nasional dan membangunkan masyarakat yang mempunyai

perspektif progresif, sistem nilai yang boleh diteladani dan budaya mengutamakan prestasi tinggi serta menghargai tradisi dan warisan.

8. Memperluas dan memperkemas forum perbincangan dan perundingan antara kerajaan, sektor swasta, ibu bapa dan masyarakat dalam pembangunan modal insan.

Permintaan ekonomi terhadap kualiti tenaga buruh dipertingkatkan dengan menambah peratusan kelompok ini yang mempunyai pencapaian pendidikan di peringkat tertiari. Dijangka pada tahun 2010, seramai 12.4 juta tenaga kerja ini diperlukan.

Pelaksanaan pembangunan modal insan di peringkat negara akan dijalankan oleh Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi yang akan bertanggungjawab menyediakan lebih banyak peluang pendidikan prasekolah, rendah dan menengah serta pendidikan guru yang berkualiti seterusnya meningkatkan peluang pendidikan tertiari yang berkualiti.

Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Kementerian Belia dan Sukan akan mengambil tanggungjawab bagi menyediakan program latihan untuk meningkatkan kemahiran tenaga buruh.

Peranan pendidikan sentiasa mendapat perhatian utama oleh kerajaan yang memperuntukkan jumlah yang sangat besar dalam belanjawan tahunan. Justeru, agenda pembangunan sumber manusia perlu diutamakan dalam proses pembangunan sesebuah negara kerana modal insan adalah pemangkin yang bakal mencorak tahap kemajuan dan kemunduran masyarakat dan negara berkenaan.

Kepentingan modal insan dalam pendidikan

Dalam tahun-tahun menuju kemerdekaan telah timbul kesedaran di kalangan para pemimpin dan rakyat Malaysia betapa mustahaknya diadakan satu sistem pendidikan kebangsaan untuk menggantikan sistem pendidikan penjajah demi memenuhi kehendak negara (Fadzilah Abdullah, 1993).

Dasar Pendidikan Kebangsaan secara tidak rasminya bermula selepas pilihan raya 1955 setelah wujudnya manifesto oleh parti Perikatan untukmembentuk sistem pendidikan yang seragam dan bersepadu. Jawatankuasa pendidikan telah dibentuk pada tahun 1956 yang diketuai oleh Tun Abdul Razak. Laporan jawatankuasa ini telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Perundangan Persekutuan pada 16 Mei 1956 yang dikenali sebagai Penyata Razak. Tumpuan khas Tun Abdul Razak dan jawatankuasanya ialah (Asnarulkhadi Abu Samah, 1997): 1. Membentuk satu sistem pendidikan kebangsaan yang seragam.

2. Menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi

3. Memastikan bahasa dan kebudayaan lain dipelihara.

Undang-undang Pelajaran 1957 digubal dan diluluskan oleh Dewan Negara pada tahun 1957. Dasar pendidikan ini telah disemak semula pada tahun 1960 dan telah menghasilkan Laporan Rahman Talib.

Dasar Pendidikan Kebangsaan secara rasminya diisytiharkan pada tahun 1961 dan digubal berdasarkan kedua-dua laporan iaitu Penyata Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960 (Zulhilmi Paidi & Rohani Abd. Ghani, 2003).

Sebuah jawatankuasa telah dibentuk pada tahun 1974 bagi mengkaji semula dasar pendidikan untuk menambah baik dan memantapkan pelaksanaan dasar sedia ada. Di samping itu matlamat untuk melahirkan masyarakat yang bersepadu dan berdisiplin serta memenuhi keperluan semasa rakyat yang terlatih untuk pembangunan negara (Fadzillah Abdullah, 1993). Laporan jawatankuasa ini telah ditambah keada Dasar Pendidikan Kebangsaan yang merangkumi beberapa matlamat yang dikenal pasti iaitu (Asnarulkhadi Abu Samah, 1997: 1. Menyatukan sistem pelajaran bagi memupuk kesedaran dan perpaduan kebangsaan.

2. Memperluaskan serta mengubah suai rancangan-rancangan pelajaran dan latihan bagi memenuhi memenuhi keperluan tenaga kerja.

3. Memperbaiki mutu pelajaran bagi membina suatu masyarakat yang progresif berlandaskan sains dan teknologi moden.

4. Memperbaiki kemudahan-kemudahan penyelidikan, perancangan dan pelaksanaan bagi mencapai objektif di atas.

Perkembangan modal insan di Malaysia telah bermula dengan terancang selepas negara

mencapai kemerdekaan. Rancangan Lima Tahun yang diperkenalkan oleh kerajaan sentiasa menitikberatkan sumber manusia sebagai tumpuan. Kajian oleh NAFSA (National Association of Foreign Students in America) pada tahun 1985 meletakkan pelajar Malaysia di tangga kedua (32,000 orang) selepas Taiwan (35,000 orang) dari segi bilangan pelajar asing yang menuntut di sana.

Malaysia akan mencapai status negara maju kira-kira 14 tahun yang akan datang. Jangka masa ini akan diisi oleh generasi muda yang berada dalam masyarakat kita yang sedang ghairah meniti perkembangan usia dan mereka inilah akan merasai sepenuhnya nikmat negara maju. Merealisasikan Wawasan 2020 adalah suatu tugas yang penuh kebertanggungjawaban di atas bahu semua pihak khususnya peneraju pendidikan negara. Sembilan cabaran Wawasan 2020 yang sebahagian besarnya berkaitan pembangunan modal insan bermula dengan cabaran membentuk sebuah negara bangsa yang bersatu padu dan berakhir dengan cabaran membentuk masyarakat yang makmur (Mahathir Mohamad, 1991).

Melihat cabaran-cabaran ini yang begitu besar, pengisian terhadap sumber utama ialah prasyarat terhadap kemajuan sains dan teknologi serta penyelidikan dan pembangunan.

Abad ke-19 adalah detik yang menyaksikan pelaburan modal insan secara sistematik tidak begitu diutamakan di semua negara. Keperluan terhadap pendidikan, latihan dalam kerja dan semua jenis pelaburan adalah begitu kecil. Perubahan secara radikal yang berlaku pada abad ini telah bermula di Great Britain setelah aplikasi dan pembangunan sains bagi mencipta barangan baru dan kaedah pengeluaran yang lebih cekap. Perubahan demi perubahan berlalu dan merebak ke negara-negara lain dalam masa yang singkat.

Pertumbuhan ekonomi yang sangat pantas pada abad ke-20 boleh dianggap sebagai era modal insan kerana taraf hidup, pembangunan ilmu, kemahiran, kesihatan dan produktiviti telah

meningkat di negara-negara yang membuat pelaburan besar dalam pendidikan. Malaysia juga telah membuat pelaburan yang banyak bagi meningkatkan modal insan.

Pentingnya modal insan terhadap sesebuah negara boleh dilihat daripada pencapaian Jepun, Taiwan, Hong Kong, Korea Selatan dan negara-negara Asean yang pesat membangun. Negara-negara ini tidak mempunyai sumber semula jadi yang banyak bagi membangunkan negara masing-masing tetapi keupayaan mereka ialah mengurus apa yang ada sangat membanggakan. Mereka mempunyai masyarakat yang terlatih, berpendidikan, tenaga kerja yang gigih dan ibu bapa yang berdedikasi.

Pelaburan modal insan akan meningkatkan kebajikan ekonomi dan mengurangkan kemiskinan. Usaha kerajaan Malaysia melaksanakan program pendidikan kepada seluruh lapisan masyarakat kena pada masanya kerana hasil daripada proses pembelajaran dapat membantu masyarakat berpendapatan rendah mengubah kaedah pemikiran, sikap dan amalan seterusnya menjayakan program kerajaan bagi mengurangkan tahap kemiskinan di kalangan rakyat berpendapatan rendah.

Masyarakat yang berpendidikan akan lebih cenderung membuat pelaburan ke atas kesihatan diri dan keluarga. Apatah lagi berkemungkinan pendidikan adalah satu-satunya faktor tunggal yang menentusahkan kesihatan dan jangka hayat.

Umpamanya di Amerika Syarikat dan negara-negara yang kaya, tidak ramai golongan terpelajar yang merokok. Tabiat merokok di Amerika Syarikat hanya terhad kebanyakannya kepada mereka yang tidak ada pendidikan dan pelajar sekolah yang tercicir.

Pendidikan kepada golongan miskin dan berpendapatan rendah membantu meningkatkan

pengambilan makanan dengan cara melatih mereka untuk memilih makanan yang sihat, bersih dan segar. Secara umum, mereka yang berpendidikan lebih cenderung mengamalkan diet yang lebih baik.

Persekitaran ekonomi moden meletakkan pendidikan, latihan dan sumber-sumber ilmu pengetahuan sebagai sangat relevan walaupun dalam jangka masa 50 tahun. Perubahan di antara pendidikan dan tahap pendapatan boleh dilihat di banyak negara. United Kingdom contohnya, 40 tahun yang lepas menyaksikan para graduan memperolehi 40 hingga 50 peratus lebih pendapatan daripada lulusan sekolah tinggi. Mereka yang berpendidikan amat diperlukan di Korea Selatan sejak 20 tahun yang lepas bagi memenuhi keperluan pembangunan negara.

Pendidikan dan latihan bukan sekadar menggalakkan pertumbuhan dan kecekapan ekonomi malah turut mengurangkan ketidaksamaan dan impak ke atas golongan yang tidak berkemampuan. Pendidikan merupakan kaedah paling berkesan kepada orang muda yang datang daripada kelompok miskin untuk meningkatkan tahap ekonomi kerana modal insan merupakan 90 peratus aset berharga untuk mana-mana penduduk sesebuah negara. Jurang pendapatan yang tidak seimbang pada sesebuah negara menjadi lebih besar apabila jurang dalam pendidikan menjadi besar.

Modal insan tidak banyak menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi jika mereka yang terlibat tidak dilatih dengan berkesan. Jika sesebuah organisasi tidak cekap, pekerjanya akan mendapat kemahiran yang salah disebabkan insentif yang lemah. Sebagai contoh, sistem pekerjaan yang tidak menggalakkan pekerja terlatih mendapatkan gaji lebih tinggi akan memberi kesan terhadap pelaburan dalam meningkatkan latihan dan kemahiran mereka. Itulah yang berlaku ke atas bekas Kesatuan Soviet dan negara-negara komunis. Mereka mempunyai program pendidikan yang meluas dan menarik tetapi sistem ekonomi kekurangan kakitangan yang terlatih dan berkemahiran.

Institusi pendidikan mempunyai tiga peranan utama dalam masyarakat iaitu: (i) sosialisasi (ii) menyediakan tenaga kerja, dan (iii) promosi integrasi dalam masyarakat.

Sosialisasi Sosialisasi adalah proses pembelajaran sosial melalui pelbagai aktiviti seperti berfikir, bertaakul dan bertingkah laku sesuai dengan kehendak masyarakat. Oleh yang demikian kebanyakan negara telah menetapkan tempoh tertentu bagi kanak-kanak untuk melalui proses pendidikan formal. Dalam pada itu, terdapat kanak-kanak yang menghadiri kelas di luar masa persekolahan seperti kelas bahasa, agama, muzik tarian dan seni.

Kepentingan pendidikan adalah jauh melebihi apa yang terdapat di dalam silibus. Sekolah adalah tempat belajar bagaimana untuk bersama dengan orang lain, patuh kepada peraturan, belajar bagaimana untuk belajar, menilai kebolehan diri dan berusaha memenuhi pengharapan masyarakat dan negara. Semua ini dapat menyediakan kehidupan dewasa yang lebih baik dengan meningkatkan keupayaan diri untuk bekerjasama dengan orang lain.

Menyediakan tenaga kerja

Sekolah dan institusi pendidikan turut mengajar pengetahuan dan kemahiran yang sangat berguna bagi pasaran kerja. Memandangkan gaji adalah sangat penting, persediaan ke arah prospek kerjaya yang baik sangat penting. Jika dahulu proses pemilihan kerjaya sebahagiannya ditentukan oleh keluarga, pada hari ini keputusan terhadap masa depan pelajar lebih banyak ditentukan oleh sekolah, institusi dan dasar kerajaan.

Terdapat beberapa sebab kenapa hal ini wajar berlaku. Pertama ialah bertambahnya pengkhususan terhadap ilmu dan kemahiran yang memerlukan tumpuan. Kedua ialah kebanyakan pekerja dewasa bekerja di luar kawasan kediaman yang kadangkala tidak

diketahui oleh anak-anak. Keadaan ini meyebabkan anak-anak mereka tidak dapat memerhati dengan dekat jenis kemahiran yang ada pada ibu bapa. Ketiga ialah peningkatan tahap kelayakan bagi sesuatu jawatan. Sebahagian besar pekerjaan pada hari ini memerlukan pendidikan peringkat tertiari untuk mendapatkannya.

Promosi integrasi dalam masyarakat

Pendidikan adalah kaedah yang sangat penting untuk proses integrasi pelbagai kaum dan latar belakang. Perbezaan budaya memberi pelbagai dimensi terhadap usaha mempromosi integrasi. Pendidikan memberi ruang yang banyak bagi penyuburan nilai-nilai positif, menghormati antara satu sama lain dan kesedaran memberi sumbangan ke arah kesatuan masyarakat. Reformasi pendidikan

Malaysia bersama-sama negara-negara Asean yang lain sedang berhadapan dengan cabaran yang tidak dapat dijangka dan salah satu daripadanya ialah ekonomi pengetahuan (k-ekonomi) iaitu pengumpulan pengetahuan dan menggunakannya secara produktif. Pembangunan ekonomi sangat penting mengambil kira k-ekonomi dan sedang dipergiatkan oleh kerajaan. Kualiti modal insan negara dilihat sebagai penentu utama kejayaan sebagai sebuah ekonomi berasaskan pengetahuan.

Terdapat beberapa usaha yang telah diambil oleh Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi bagi menjadikan Malaysia sebagai hab untuk pendidikan tinggi seperti menarik kemasukan pelajar-pelajar luar negara, membenarkan universiti luar membuka cawangan, kerjasama pintar di antara universiti tempatan dan luar negara dan penubuhan kampus pengajian oleh beberapa institusi Malaysia di luar negara. Kawalan kualiti ke atas institusi pendidikan tinggi bagi mencapai taraf antarabangsa akan menjadi mantap dengan penubuhan Malaysian Qualification Agency (MQA).

Pengantarabangsaan universiti adalah satu langkah yang sangat tepat bagi menjadikan Malaysia mempunyai universiti bertaraf global supaya para pensyarah dan penyelidik dapat bekerjasama dengan para akademik daripada luar negara. Bagi merealisasikan hasrat berkenaan, globalisasi adalah elemen utama bagi mendapatkan tenaga kepakaran dari seluruh dunia untuk memenuhi fakulti-fakulti di universiti dengan tenaga pengajar yang bertaraf dunia. Mereka ini bukan sahaja bertindak sebagai memberi nilai tambah terhadap imej dan kedudukan universiti malah terhadap kerajaan dan organisasi antarabangsa.

Pembinaan modal insan melalui pendidikan harus bermula seawal yang boleh dan berbentuk formal supaya sistem yang dilalui oleh seseorang itu akan menghasilkan produk yang sama di semua tempat. Pembentukan nilai bagi hidup seseorang bermula sejak kecil iaitu ketika perkembangan mental dan fizikal sedang pesat berlaku (Siegler & Alibali, 2005). Umur kritikal ketika ini ialah tiga hingga lima tahun. Pembentukan mental umpamanya, amat pesat semasa kanak-kanak berumur tiga tahun dan masa inilah proses pembelajaran mudah berlaku. Penyerapan maklumat dan informasi amat pantas dan mudah berlaku kerana bagi memenuhi keperluan perkembangan mental tersebut.

Pelaburan bagi membina asas pendidikan prasekolah tidak boleh dipandang mudah begitu sahaja ketika ini kerana penyelidikan dalam kaedah pembelajaran dan pengajaran prasekolah sangat cepat berubah. Infrastruktur yang sempurna dan tenaga pengajar yang profesional di samping sokongan ibu bapa adalah antara prasyarat yang perlu bagi membentuk warganegara kecil yang mempunyai nilai dan jati diri yang positif.

Hasrat kerajaan untuk menerapkan pendidikan awal sebagai asas melahirkan generasi muda yang lebih hebat dan menjadi modal insan yang berguna kepada negara amat dihargai. Pembangunan pendidikan prasekolah adalah di antara fokus utama dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Sebanyak 1400 tadika baru akan dibina yang melibatkan kos

RM450 juta. Tadika-tadika yang uzur dan usang akan dibaik pulih dan dinaik taraf supaya para pelajar dapat berada dalam suasana pembelajaran yang lebih sesuai. Bagi membolehkan ia berkembang, modal insan perlu dilaburkan dalam persekitaran yang betul dan berupaya memberi pulangan yang maksimum. Pendidikan awal usia adalah sangat perlu kerana bagi jangka masa panjang, Malaysia memerlukan sebuah masyarakat yang berilmu pengetahuan. Kajian Kementerian Pelajaran telah mendapati 165,000 pelajar di negara ini masih buta huruf. Daripada jumlah ini, 125,000 orang adalah pelajar sekolah rendah dan selebihnya di sekolah menengah. Kajian oleh seorang pensyarah Universiti Sains Malaysia pada April 2005 mendapati masih ramai murid yang tertinggal dalam pelajaran termasuk tidak tahu membaca, menulis dan mengira (3M).

Kajian ini melibatkan pencapaian murid-murid Tahun Satu di 121 buah sekolah luar bandar di Pulau Pinang pada tahun 2003. Hasil kajian mendapati 59 peratus masih belum dapat mengenal pasti 26 abjad; 17 peratus belum lagi mengenal sebutan suku kata yang mudah dan 24 peratus masih kurang lancar membaca.

Kemahiran asas mengira turut didedahkan melalui kajian ini yang mana didapati 12 peratus murid dapat mengira di bawah angka 10, 23 peratus tidak yakin dengan tambah dan tolak (bawah angka 10) dan 12 peratus tidak tahu hendak mendarab atau membahagi. Kelemahan kemahiran asas akan membantutkan hasrat negara untuk mencapai tahap pendidikan kelas dunia. Infrastruktur yang baik tidak dapat membantu jika kemahiran asas tidak diperkasakan.

Program terkini yang diperkenalkan oleh Kementerian Pelajaran bagi mengatasi masalah ini ialah Kelas Intervensi Awal Membaca dan Menulis atau KIA2M pada awal tahun 2006.

Matlamatnya ialah untuk mempastikan 100 peratus pelajar Tahun Satu mampu menguasai kemahiran asas membaca dan menulis dalam Bahasa Melayu.

Bagi mempastikan pelajar-pelajar Islam lancar dan fasih membaca al Quran, Bahasa Arab dan Jawi, kerajaan memperkenalkan j-QAF untuk membentuk generasi pelajar yang berkemahiran dalam pelbagai bidang seperti ilmu pengetahuan, ekonomi, budaya, nilai-nilai moral dan ketahanan diri. Seramai 30,000 orang guru diperlukan untuk melaksanakan program ini. Rumusan Modal insan adalah teras kepada pembangunan sesebuah negara. Pembangunan aspek modal insan sangat penting bagi menjadikan negara lebih berdaya saing. Ia sememangnya menjadi cabaran utama untuk mencapai Wawasan 2020. Rakyat yang berpendidikan dan berkemahiran berpotensi memiliki modal insan yang besar untuk dirinya sendiri, masyarakat dan negara. Bersusah payah meningkatkan tahap pendidikan adalah usaha murni yang hanya akan dikecapi dalam jangka masa panjang. Ia selari dengan perkembangan dunia yang menyaksikan persaingan sihat antara negara untuk memperkasakan pendidikan masing-masing.

Pendidikan menguatkan pembinaan modal insan. Individu yang berpendidikan lebih berjaya di tempat kerja dan kurang memerlukan bantuan. Keluarga yang berpendidikan juga akan membantu memperkukuhkan modal insan setiap individu yang ada di dalamnya. Modal insan yang berkualiti merupakan elemen paling kritikal dalam mencapai Misi Nasional yang kedua iaitu meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi negara serta memupuk minda kelas pertama. Sepanjang tempoh RMK-9, kerajaan akan terus giat membangunkan modal insan untuk memacu transformasi ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan.

Di sekolah, para guru membangunkan dan menerapkan silibus yang menekankan nilai-nilai seperti patuh kepada peraturan, berkongsi dan bekerjasama dalam konteks yang luas. Kesedaran untuk berkongsi pengalaman dan memahami peranan masing-masing boleh meningkatkan kepercayaan masyarakat umum terhadap keharmonian negara pada masa depan. Kesungguhan kerajaan meletakkan 40 peratus daripada rakyat Malaysia mendapat pendidikan

peringkat tertinggi sebagai tanda aras untuk mencapai status negara maju sebelum tahun 2020 adalah cabaran kepada semua pihak. Halangan kewangan bukanlah masalah besar kerana kerajaan sendiri sentiasa memperuntukkan sejumlah perbelanjaan yang besar setiap kali belanjawan tahunan dibentangkan. Ahli sosiologi Islam tersohor, Ibnu Khaldun memberi ingatan melalui buku Mukadimah bahawa kecemerlangan sesebuah tamadun akan hilang apabila nilai dan budaya keseronokan yang melampau menjadi kompas yang dijunjung di kalangan masyarakat. Pendidikan yang membina modal insan masyarakat dan negara adalah sangat penting dan perlu terus diberi perhatian.

Rujukan A.Aziz Deraman (2005). Intelektualisme budaya. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Asnarulkhadi Abu Samah & Jayum A. Jawan (1997). Kenegaraan Malaysia. Serdang, Selangor: Penerbit Universiti Putra Malaysia.

Fadzilah Abdullah (1993). Dasar pendidikan kebangsaan dalam Yusuf Ismail & Khayati Ibrahim (ed.) Dasar-dasar kerajaan Malaysia. Kuala Lumpur: A.S. Nordeen.

Federico R. C & Whitaker W. H. (1997). Social welfare in todays world. New York: MMcGrawHill. Second edition.

Ibnu Khaldun (1993). Mukadimah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Karya terjemahan Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia.

Ibrahim Ahmad Bajunid (2005). Pendidikan sepanjang hayat: cabaran revolusi cara fikir dan cara hidup kualiti tinggi. Kertas kerja yang dibentangkan dalam Kongres Pendidikan Melayu Ke2, Persekutuan Badan Pendidikan dan Pembangunan Melayu. Kuala Lumpur.

Mahathir Mohamad (1991). Malaysia melangkah ke hadapan. Kuala Lumpur: Pecetakan Nasional.

Mohamad Zahir Zainudin (2005). Memperkasa pendidikan di Malaysia: kelangsungan kecemerlangan dalam Roziah Omar dan Sivamurugan Pandian Malaysia isu-isu sosial semasa . Kuala Lumpur: Institut Sosial Malaysia.

Mohd Amim Othman (2004). Pendidikan dan pembangunan modal insan dalam Golongan berpendapatan rendah: realiti dan cabaran. Serdang, Selangor: Penerbit Universiti Putra Malaysia.

Senu Abdul Rahman (2002). Revolusi mental. Kuala Lumpur: Utusan Publications and Distributors Sdn Bhd. Edisi pertama.

Siegler, R. S. & Alibali, M. W. (2005). Childrens thinking. New Jersey: Prentice Hall. Fourth edition.

Zulhilmi Paidi & Rohani Abdul Ghani (2003). Pendidikan negara bangsa. Bentong: PTS Publications and Distributors Sdn Bhd.

Zainal Abidin Ahmad (Zaba) (2005). Perangai bergantung kepada diri sendiri. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Cetakan ketiga.

Teori dan bukti empirik lampau tentang sumbangan pelaburan pendidikan dan latihan pembangunan modal insan kepada peningkatan produktiviti dan pertumbuhan ekonomi dilihat selari dangan hasrat Maalaysia untuk mencapai status negara maju menjelang 2020. Modal insan adalah suatu elemen penting yang menyumbang kepada pembangunan dan kesejahteraan negara. Pelaburan dalam pendidikan tinggi dan pembangunan modal insan di Malaysia adalah sangat penting dalam menyediakan masyarakat yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi. Kejayaan masa hadapan negara sangat bergantung kepada kualiti modal insan yang dimiliki, bukan sahaja dari segi intelek, tetapi juga keperibadian. Justeru, modal insan menjadi peneraju utama membentuk sebuah negara yang maju serta seimbang pembangunan ekonomi dan sosialnya, memiliki warga yang bersatu padu, berbudaya, berpekerti mulia, berkemahiran, berfikiran maju dan berpandangan jauh. Langkah yang lebih agresif dan berkesan dalam pelaburan di sektor pendidikan modal insan dan pelaburan bagi modal fizikal dijangka dapat meningkatkan daya serap teknologi agar terus mengukuhkan daya saing negara dalam pasaran antarabangsa.

Sektor industri pendidikan di negara sedang berubah secara dinamis dan dikira akan mengalami banyak perubahan dan pembaharuan menjelang abad ke-21. Matlamat menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan (center for academic excellence) di rantau asia dan juga di peringkat antarabangsa pada abad ke 21 ini nanti memerlukan negara ini meningkatkan kecemerlangan imej dan kualiti pendidikannya ke taraf dunia atau memperolehi status "World Class Education".

Pendidikan bertaraf dunia menunjukkan perkembangan dan kemajuan pesat serta dinamis pendidikan negara, khususnya dari segi kualiti, kuantiti, standard, kecemerlangan dan kredentialiti yang diakui dan diterima di peringkat antarabangsa atau dunia. Dilihat dari perspektif yang luas, Pendidikan Bertaraf Dunia bermaksud kemampuan dan pencapaian cemerlang Malaysia dalam membangunkan sektor pendidikan untuk mempelopori perubahan dan kemajuan dinamis, iaitu :

Pembangunan tenaga manusia Kepesatan pertumbuhan ekonomi Pembaikan taraf dan kualiti kebajikan sosial Pemodenan dan reformasi sosial masyarakat Kecemerlangan budaya fikir dan intelektual Pembangunan teknologi dan sains Kejayaan meningkatkan kadar celik huruf yang tinggi di kalangan masyarakat.

Pendidikan Bertaraf Dunia merupakan satu komitmen dan usaha Kementerian Pendidikan bagi memperbaiki kualiti pendidikan negara supaya ia dapat ditingkatkan kepada satu standard yang tinggi dan mampu menyaingi negara maju yang lain. Sebagai sebuah negara yang berkembang pesat dalam berbagai aspek pembangunan, sektor pendidikan perlu berkembang dan mengalami perubahan anjakan paradigma yang dapat merintiskan alaf baru dalam segala aspek. Ianya juga merupakan satu langkah penting bagi mengangkat martabat dan status Malaysia dalam dunia pendidikan di peringkat antarabangsa. SUMBANGAN PENDIDIKAN BERTARAF DUNIA KEPADA SEKTOR PENDIDIKAN Apabila Kementerian Pendidikan telah menetapkan satu matlamat untuk menjadikan pendidikan bertaraf dunia, dengan sendirinya matlamat tersebut telah mengariskan apakah langkahlangkah yang perlu diambil. Langkah-langkah tersebut adalah: 1. Pengkorporatan Universiti. Untuk menjadikan pendidikan negara bertaraf dunia, semua pihak di negara ini yang terlibat dengan kegiatan pendidikan perlu meningkatkan komitmen mereka supaya sentiasa berusaha

mengekalkan dan meningkatkan kualiti pendidikan untuk kemajuan dan perubahan. Pendidikan yang berkualiti amat penting bagi mencorakkan perubahan dan kemajuan pembangunan sumber tenaga manusia yang produktif di negara ini yang sedang mengorak langkah mencapai status negara maju. Langkah pengkorporatan universiti-universiti tempatan mempunyai motif tertentu bukan sahaja bagi tujuan mendapatkan lebih banyak keuntungan dengan mengurangkan tanggungan kerajaan bagi membiayai perbelanjaan pengajian tinggi, bahkan juga bagi menjadikan sektor pendidikan di negara ini lebih dinamis perkembangannya. Selaras dengan pengkorporatan universiti, adalah diharapkan supaya pihak pentadbiran universiti mengadaptasikan pengurusan universiti mengikut model-model penswastaan, pengkorporatan dan pensyarikatan yang menekankan kepada perkhidmatan keuntungan dan produktiviti. Kerenah birokrasi dan pelbagai red tape yang mengekang perjalanan universiti akan dapat diatasi melalui pengkorporatan universiti. Dengan ini universiti akan bertenaga meningkatkan kewibawaan dan memulakan anjakan paradigma barunya membawa era pendidikan bertaraf antarabangsa. Autonomi universiti akan digunakan untuk kepentingan korporat. Pasaran pendidikan tinggi juga akan diperluaskan melalui pengeksportan pendidikan ke negara lain di samping menarik pelajar ke Malaysia dengan menggunakan bahasa inggeris sebagai bahasa pengantar utama bagi menjamin kualiti, akauntabiliti dan kredibiliti pendidikan tinggi tempatan. 2. Reformasi pelbagai aspek organisasi pendidikan Pendidikan bertaraf dunia adalah satu wawasan unggul bagi mereformasikan pelbagai aspek organisasi pendidikan di semua peringkat persekolahan. Ini termasuklah membaiki :

Kualiti pengajaran Kualiti perkhidmatan Kualiti kurikulum Kualiti penilaian dan pensijilan Kualiti pensyarah

Kualiti perkembangan dan kebajikan pelajar Kualiti persekitaran budaya pelajar dan organisasi Kualiti pengurusan dan pentadbiran universiti Kualiti kepimpinan universiti Kualiti penyeliaan Kualiti mentoring Kualiti perkembangan staf atau tenaga pengajar

1. Perubahan Sistematik Untuk menjadikan pendidikan negara bertaraf dunia, perubahan yang hendak dibuat mestilah sesuai dengan tuntutan semasa. Dalam kontek Malaysia sistem pendidikan mesti dibangunkan dan dibuat pembaharuan supaya ia dapat memenuhi tuntutan wawasan 2020 kerana wawasan ini tidak akan menjadi kenyataan tanpa pembangunan sumber manusia dari segi kuantitif dan kualitif. Perubahan dan pembaharuan adalah berdasarkan kepada hakikat bahawa tanpa sistem pendidikan yang bertaraf dunia, impian untuk mentransformasikan Malaysia menjadi negara maju tidak mungkin dapat dicapai. Bertitik tolak dari kesedaran ini, Kementerian Pendidikan membuat pembaharuan yang disifatkan sebagai sesuatu yang mesti menjangkau tempoh masa yang agak lama. Ia mestilah bersifat sistematik iaitu ia tidak boleh terdiri dari satu komponen pendidikan iaitu educational content, educational tools dan infrastruktur pendidikan mestilah diolah sedemikian rupa supaya perubahan menjadi lebih bersepadu, holistik serta komprehensif. Perubahan sistematik ini mestilah dilihat secara menyeluruh dan dalam kontek yang lebih luas. Pertama, soal asas iaitu perundangan. Sejauh manakah kuasa yang ada pada Kementerian Pendidikan dalam membuat beberapa perubahan sistem pendidikan. Pembentangan Rang Undang-Undang Pendidikan 1995 membolehkan reformasi pendidikan dilaksanakan. Antara lain, rang undang-undang tersebut menggariskan :

Sistem pendidikan kebangsaan dicorakkan untuk menghasilkan pendidikan bertaraf dunia dari segi kualiti untuk mencapai aspirasi negara.

Falsafah Pendidikan Negara dijadikan landasan kepada dasar pendidikan kebangsaan Tempoh pendidikan rendah adalah antara lima hingga tujuh tahun Pendidikan prasekolah sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan Pendidikan teknik dan politeknik dipertingkatkan Peruntukan diadakan bagi mengawal selia pendidikan swasta

Bermula dengan akta, perubahan boleh dibuat terhadap komponen-komponen lain sistem pendidikan yang merangkumi ketiga-tiga komponen penting di atas iaitu isi kandungan pendidikan, alat-alat pendidikan dan infrastruktur. Contohnya, apabila kita mengubah kurikulum sekolah, faktor-faktor latihan guru, soal fizikal, soal kemasukan teknologi baru, sistem penilaian, kebajikan guru, profesionalisme dan lain-lain lagi hendaklah diambil kira. Begitu juga peningkatan taraf institusi pendidikan tinggi contohnya Institut Perguruan Sultan Idris yang telah dinaikan taraf sebagai Universiti Perguruan Sultan Idris. Sejajar dengan peningkatan taraf ini, adalah diharapkan kewibawaan guru-guru akan dipertingkatkan untuk melahirkan insan yang cemerlang. Sehubungan dengan matlamat pendidikan bertaraf dunia, profesyen perguruan perlu pengkajian semula. Profesyen perguruan di Malaysia memerlukan reformasi profesionalisme yang radikal dan drastik bagi mengatasi masalah, cabaran dan jangkaan baru dalam merealisasikan agenda-agenda pembangunan pendidikan menjelang abad ke 21. Imej dan status perguruan yang semakin tidak bermaya perlu dipulihkan segera. Penawaran kursus-kursus perguruan lepasan diploma dan ijazah di institusi pengajian tinggi adalah merupakan salah satu usaha untuk meningkatkan kualiti dan status profesyen perguruan.

1. Penggredan Universiti Penggredan universiti sebagaimana yang diura-urakan oleh Kementerian Pendidikan adalah satu langkah positif dan menunjukkan komitmen kerajaan untuk meningkatkan kualiti pendidikan tinggi selaras dengan wawasan pendidikan bertaraf dunia. Secara tidak langsung perlaksanaan penggredan universiti ini menggalakkan universiti tempatan mengambil inisiatif untuk mempertingkatkan kualiti dan status pengajaran pensyarah dan profesor di universiti

khususnya bagi mereka yang tidak mempunyai pengetahuan pedagogi dan asas kaedah pengajaran. Melatih semula pensyarah dan profesor khususnya dalam bidang baru seperti teknologi maklumat, komputer, teknologi pendidikan adalah antara langkah-langkah penting bagi meningkatkan kualiti pendidikan tinggi dan dianggap sebagai satu program perkembangan staf yang perlu dilaksanakan oleh institusi pengajian tinggi yang ingin berkembang secara progresif dan dinamis. 2. Penubuhan Institusi Pengajian Tinggi Swasta Penubuhan institusi pengajian tinggi swasta yang begitu banyak mempunyai implikasi yang besar kepada perkembangan industri pendidikan negara. Perlaksanaan program berkembar oleh insitusi-institusi swasta ini, membolehkan wujudnya peluang pembelajaran yang lebih tinggi dari segi penawaran kursus-kursus pengajian hasil dari kewujudan program berkembar, sekaligus menyediakan penempatan pembelajaran yang lebih banyak. Sehubungan dengan ini, pendidikan di Malaysia tidak hanya akan bergantung kepada universitiuniversiti tempatan yang sedia ada sahaja. Natijahnya, impian negara untuk melahirkan bakalbakal pekerja berilmu sebagaimana yang disuarakan oleh Perdana Menteri dapat direalisasikan. 3. Kelonggaran Sistem Pendidikan Pendidikan untuk satu dekad yang akan datang digerakkan dengan lebih dinamik untuk melahirkan lebih ramai golongan pekerja berilmu sebagai langkah dan strategi pembangunan sumber manusia yang penting untuk mempercepatkan proses pembangunan negara. Selaras dengan wawasan 2020, Malaysia sedang menyusun dan merangka satu paradigma perubahan ekonomi untuk menjadikan Malaysia negara maju dan membangun sepenuhnya dalam bidang perindustrian. Perubahan paradigma bagi memasuki alaf baru gelombang perubahan ekonomi dan pembangunan sumber manusia abad ke 21 amat bergantung kepada peranan serta dasar liberalisasi sistem pendidikan negara ke arah melahirkan lebih banyak pekerja berilmu, rajin, tekun dan produktif. Dalam satu ucapan dasarnya semasa mempromosikan Koridor Raya Multimedia (MSC) Malaysia di London, Perdana Menteri Datuk seri Dr. Mahathir Mohamad menegaskan kerajaan

Malaysia akan melonggarkan sistem pendidikan negara bagi membolehkan pelajar dengan keputusan cemerlang di peringkat persekolahan meneruskan pelajaran pada peringkat pengajian tinggi selaras dengan usaha kerajaan untuk melahirkan pekerja yang berilmu. Langkah melonggarkan peluang pendidikan ini dikira perlu kerana negara kekurangan pekerja yang berilmu bagi menghadapi cabaran masa depan terutama sekali dalam era teknologi maklumat abad ke 21. Dengan mewajibkan semua murid mengikuti pendidikan awal di sekolah rendah secara percuma di samping melonggarkan peluang pendidikan menengah dan tinggi, Malaysia dikira akan mencapai satu taraf pendidikan yang maju di dunia. Malaysia juga dikira mempunyai kadar buta huruf yang rendah berbanding dengan negara-negara membangun yang lain. Kelonggaran sistem pendidikan juga menjadi satu strategi untuk merapatkan jurang kemiskinan dalam masyarakat. Pendidikan, latihan dan pembangunan tenaga manusia mempercepatkan perubahan sosial, meningkatkan produktiviti, membentuk warganegara yang produktif, menjadi penggerak kepada pembangunan sains dan teknologi dan kegiatan ekonomi moden selaras dengan kemajuan yang ingin dipelopori melalui pendidikan bertaraf dunia. Perubahan alaf baru pembangunan negara abad ke 21 juga memerlukan ribuan tenaga mahir dan tenaga profesional yang berilmu. Oleh sebab itu pelaburan pendidikan yang merupakan agenda pembangunan sosial juga menjadi satu agenda yang amat mendesak bagi meliberalisasikan peluang pendidikan dan latihan ke arah pembentukan pekerja berilmu. Langkah bagi melahirkan pekerja berilmu mendorong sesebuah negara memperuntukan pelaburan yang tinggi dalam pendidikan dan latihan. Langkah ini juga selaras dengan Teori Modal Manusia (Human Capital Theory) yang menganggap pendidikan sebagai satu strategi penting bagi meningkatkan potensi modal manusia seperti kepakaran, kemahiran, berpengetahuan, efisyen, produktif, berdedikasi dan kreatif, sikap yang baik terhadap kerja dan sebagainya. CABARAN KE ARAH MENUJU PENDIDIKAN BERTARAF DUNIA. Dalam Malaysia kearah menuju pendidikan bertaraf dunia, kita tidak dapat lari daripada cabaran-cabaran yang boleh memberi kesan kepada dunia pendidikan. Di antara cabarancabaran tersebut ialah : 1. Penghijrahan pensyarah (brain drain)

Penghijrahan pensyarah institusi pengajian tinggi awam bukanlah satu fenomena yang baru. Ia telah lama berlaku. Menurut Encik Wan Mokhtar Wan Yusuf ( Y.D.P. Persatuan Kakitangan Akademik UKM), penghijrahan ini merupakan satu fenomena biasa yang sering berlaku dalam mana-mana sektor. Penghijrahan ini sepatutnya dilihat sebagai tuntutan kepada keperluan tenaga pengajar yang bertambah dalam sektor pendidikan swasta sejajar dengan perkembangan pendidikan negara ini. Persoalannya apakah penghijrahan pensyarah menjadi satu ancaman kepada pendidikan di negara ini ? Sudah tentu pasti kerana untuk menghasilkan seorang pensyarah bukannya satu perkara yang mudah. Institusi pengajian tinggi awam menghadapi saingan untuk memikat graduan ijazah pertama sewaktu mereka menamatkan pengajian. Memang tidak dapat dinafikan sektor swasta menawarkan skim gaji dan beberapa kemudahan yang menarik berbanding dengan apa yang disediakan oleh institusi pengajian tinggi awam. Dilihat dari sudut yang lain, kestabilan politik dan kemantapan ekonomi memberi ruang kepada pensyarah institusi pengajian tinggi awam memilih haluan karier masing-masing dan tidak bergantung sepenuhnya kepada agensi-agensi yang berada di bawah naungan Kementerian Pendidikan. Penghijrahan pensyarah bukan sahaja disebabkan oleh gaji pensyarah yang kecil tetapi juga harus dilihat dari pelbagai sudut sama ada ia berbentuk peribadi atau sebaliknya. Banyak lagi faktor lain yang dapat dikaitkan seperti tidak mendapat pengiktirafan pada masa yang diharapkan, rasa terkongkong dan sebagainya. Penghijrahan pensyarah sebenarnya tidak hanya tertumpu kepada institusi pengajian tinggi swasta sahaja, malahan ia juga melibatkan sektor yang lain seperti sektor swasta, sektor kerajaan atau bekerja sendiri. 2. Dominasi Jantina Dalam Profesyen Perguruan Keunggulan idealisme perguruan di negara ini menjadi semakin malap apabila profesyen perguruan ini dimonopoli oleh kaum wanita. Trend yang berlaku sekarang menunjukkan profesyen perguruan pada masa kini dan menjelang pada abad 21 akan terus dimonopoli oleh wanita. Salah satu implikasi negatif pendominasian gender, khususnya kaum wanita dalam profesyen ini ialah meluasnya pelbagai perkembangan yang tidak sihat seperti kenakalan remaja, keruntuhan moral, masalah disiplin, jenayah berat yang semakin meluas berlaku disebabkan komitmen yang rendah dan ketidakmampuan guru wanita menangani masalah sosial yang semakin mencabar.

Kekurangan peranan bapa di sekolah serta corak sosialisasi yang lemah sekaligus menunjukkan profesyen perguruan tidak berkemampuan dalam menangani masalah asas pendidikan yang dihadapi oleh masyarakat pada masa ini dan menjelang abad ke-21. Perasaan ketidakpuasan hati di kalangan guru dalam profesyen perguruan kebelakangan ini telah meningkat dengan begitu tinggi. Ini disebabkan meningkatnya beban kerja dan jangkaan yang pelbagai yang dilakukan oleh guru. Fenomena ini juga mendorong ramai bilangan guru ingin berhenti dan memohon untuk pilihan bersara daripada profesyen ini. Selain itu, kaum guru tidak dapat melarikan diri daripada menjadi sasaran kritikan kerana pendidikan adalah sentiasa terbuka kepada penilaian dan akauntabiliti pelbagai pihak. Banyak pekembangan terbaru yang berlaku yang memerlukan golongan pendidik di negara ini lebih bersifat profesional dalam melaksanakan tugas dan menangani masalah rumit yang berkembang dalam masyarakat sekarang. Kemalangan yang berlaku dari masa ke semasa mendedahkan golongan pendidik di negara ini dengan pelbagai tekanan psikologi dan mental yang memerlukan semangat kental dan kesabaran kaum guru. 3. Peperiksaan Mengikut Keupayaan. Konsep baru peperiksaan yang akan diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan yang memberi peluang kepada pelajar-pelajar mengambil peperiksaan mengikut keupayaan, dikira akan memberi kesan yang luas kepada sistem penilaian dan sistem pelajaran di sekolah. Konsep yang dicadangkan oleh Menteri Pendidikan, Dato Seri Najib Tun Abdul Razak ini, sudah tentu mempunyai implikasi sosial dan moral yang luas kepada perkembangan pelajar. Murid-murid sememangnya berbeza dari segi kebolehan dan kecerdasan mereka. Ini menyebabkan sebilangan murid didapati lebih mudah dan cepat menguasai sesuatu pelajaran dan kemahiran berbanding dengan segolongan lagi murid yang lemah dan lembab. Banyak faktor yang menyebabkan mengapa perbezaan ini wujud dan memberi kesan pada pencapaian individu murid. Dari kajian-kajian yang telah dilakukan menunjukkan faktor sosioekonomi khususnya latar belakang keluarga seperti pekerjaan, pendapatan dan pendidikan ibu-bapa mempunyai kesan yang amat besar kepada pencapaian murid-murid. Konsep peperiksaan yang memberi peluang pelajar mengambil peperiksaan mengikut keupayaan yang dicadangkan ini adalah bertujuan menggalakkan pelajar yang pintar dan cerdik

atau murid-murid yang telah pun bersedia boleh mengambil peperiksaan lebih awal bagi tahaptahap tertentu. Isu kritikal di sebalik perlaksanaan sistem peperiksaan ini ialah ia boleh menggoncangkan sistem persekolahan kerana ia boleh menjadi alat untuk mengukuhkan kedudukan dan pengaruh golongan elit dan golongan berada mendapat pengiktirafan memihak kepada kepentingan mereka berbanding anak-anak golongan kurang berada dan golongan miskin. Liberalisme konsep peperiksaan mengikut keupayaan bagaimanapun dikira akan memberi peluang kepada pelajar lemah menangguhkan peperiksaan yang sepatutnya mereka duduki mengikut sistem peperiksaan berjadual sehingga mereka benar-benar yakin dan bersedia. Soalnya, sehingga bilakah pelajar yang lemah boleh membina keyakinan mereka untuk menduduki peperiksaan dan adakah mereka yakin mereka akan berjaya dalam peperiksaan. Peratusan dan bilangan besar pelajar lemah di sekolah didapati tidak mempunyai keyakinan dan harapan yang mereka akan lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan. Sistem peperiksaan yang diujudkan juga lebih cenderung untuk mengukur kebolehan dan kecerdasan yang mirip kepada pelajar berkebolehan tinggi di samping ia mengiktiraf kegagalan pelajar lemah dan kurang kebolehan dari segi akademik. Sistem peperiksaan yang dikira liberal ini juga tidak menjadikan sesuatu perubahan kepada yang berkebolehan rendah. Meliberalisasikan konsep peperiksaan tanpa mengubah rancangan dan program pendidikan untuk memperbaiki kelemahan akademik golongan berkebolehan rendah sudah tentu tidak memberi apa-apa makna ke arah merintis masa depan yang cerah kepada golongan yang berkebolehan rendah. Selain itu, boleh ditimbulkan satu persoalan disini, apakah falsafah dan rangka ideologi yang mendasari konsep peperiksaan mengikut keupayaan yang dicadangkan ini ? Adakah ia boleh dikira satu perubahan yang penting ke arah menyumbang reformasi sistem peperiksaan yang sedia ada ? Setakat manakah falsafah dan konsep peperiksaan mengikut keupayaan ini memberi faedah dan mendukung wawasan pendidikan untuk melahirkan warga negara yang seimbang serta berketrampilan ? Cadangan dikemukakan bagi menjadikan sistem peperiksaan dan persekolahan dan pengajian tinggi di negara kita lebih fleksible dengan cara membenarkan pelajar merujuk buku dan bahanbahan yang dikirakan penting semasa di bilik peperiksaan. Bagaimanapun ia dianggap tidak praktikal dari segi keboleh percayaan dan validitinya sesuatu peperiksaan. Idea ini juga dikira

mempunyai kecenderungan mengalakkan pelajar meniru dalam peperiksaan yang sukar dikesan. Salah satu amalan negatif peperiksaan mengikut keupayaan ialah menkelaskan pelajar mengikut kelas dan kriteria baik, sederhana baik, lemah dan sebagainya. Amalan ini juga dikenali sebagai "streaming" atau pengaliran. Pengaliran biasanya dibuat oleh pihak sekolah mengikut pencapaian keseluruhan pelajar, dan kedudukannya yang bersiri di kalangan pelajar di tahap yang sama. Konsep peperiksaan seperti ini mengalakkan lebih banyak pertumbuhan pusat-pusat tuisyen yang memberi keuntungan yang lumayan di samping mengekspoitasi murid dan ibu bapa demi mendapatkan kelulusan yang baik di dalam peperiksaan yang diadakan. Pertumbuhan pusatpusat tuisyen adalah satu fenomena yang tidak sihat dan ia mencerminkan kegagalan sistem pendidikan dan sistem persekolahan di negara ini yang kurang cekap menjamin kejayaan yang baik di dalam peperiksaan. Selain itu peperiksaan akan mempengaruhi ibu bapa sehingga boleh memberi tekanan mental dan psikologi kepada anak-anak mereka semata-mata didorong oleh desakan untuk mencapai kejayaan yanga cemerlang. Kejayaan di dalam peperiksaan dikira merupakan satu tiket untuk mendapatkan peluang pekerjaan yang lebih baik di samping untuk mendapatkan tempat memasuki institusi pengajian tinggi yang begitu berpegang teguh kepada merit dan prinsip kecemerlangan pencapaian akademik seseorang pelajar. Dilihat dari perspektif sosiologi, radikal, konsep peperiksaan yang dicadangkan ini akan mendorongkan kepada satu corak "class struggle" yang lebih ketara yang mencerminkan realiti keadaan persaingan dan pergelutan masyarakat di luar sekolah. Keseluruhan falsafah, prinsip, dan proses pendidikan akan terjejas sekiranya sistem peperiksaan yang mendasari wawasan pendidikan itu menyimpang dari matlamat-matlamat unggul pendidikan untuk membentuk dan melahirkan insan yangg seimbang dan sempurna yang perlu dilaksanakan melalui sistem dan proses persekolahan yang progresif dan dinamis. CADANGAN MENANGANI CABARAN KEARAH MERIALISASI PENCAPAIAN MATLAMAT PENDIDIKAN BERTARAF DUNIA. Meningkatkan profesionalisme perguruan

Adalah amat mustahak diingat golongan pendidik di negara ini perlu sentiasa menghidupkan motivasi diri dengan menguatkan keazaman dan sedia menghadapi cabaran-cabaran baru, disamping meningkatkan kewibawaan keilmuan mereka sebagai golongan pendidik yang dihormati dan disanjungi oleh murid, ibubapa dan masyarakat. Budaya mengajar yang masih bersifat usang, tradisional dan kurang berkesan menangani masalah asas pendidikan seperti buta huruf, buta budaya, buta ilmu adalah di antara krisis pendidikan yang mencerminkan krisis profesionalisme perguruan di negara-negara membangun khususnya di Malaysia memerlukan resolusi yang lebih redikal dilakukan. Profesyen perguruan boleh dikatakan tidak banyak mengalami perubahan dari segi inovasi dari segi teknologi walaupun perkembangan teknologi maklumat berlaku dengan pesatnya dan dalam sektorsektor lain. Selaras dengan perubahan era multimedia dan teknologi maklumat profesyen di negara ini perlu di reformasikan supaya ia benar-benar mampu menjadi agen perubahan kepada budaya literasi teknologi, khususnya bagi melahirkan masyarakat yang celik komputer dan bersikap terbuka bagi mengembangkan budaya saintifik. Pendidikan guru perlu di reformasikan bagi menyediakan guru-guru yang berwibawa dengan ilmu pengetahuan, mengamalkan sikap nilai dan falsafah pendidikan yang progresif, dapat mengembangkan profesionalisme perguruan yang idealistik untuk membangunkan generasi muda yang celik budaya, mempunyai kualiti sosial dan moral yang tinggi, bersifat futuristik dan positif untuk mencapai kemajuan dan perubahan. Peranan profesyen perguruan dalam masyarakat membangun seperti Malaysia menjelang abad ke 21 tidak seharusnya di bataskan di atas andaian dan pandangan yang sempit. Sebarang langkah bagi mengongkong dan menyempitkan peranan golongan guru sudah tentu akan merugikan masyarakat dan negara. Profesyen perguruan harus berkembang dengan lebih pantas dan progresif bagi mencorakkan perkembangan individu, masyarakat dan negara. Dari satu segi yang lain, profession perguruan yang menjadi agen perubahan sosial harus menjadi penyelamat kepada krisis kemelut sosial yang dihadapi oleh masyarakat yang sedang bergelut dengan tuntutan kemajuan dan perubahan. Profesyen perguruan perlu diberi ruang yang lebih terbuka supaya konsep memasyarakatkan sekolah, murid, pendidikan dan guru boleh memberi faedah yang besar kepada pembangunan masyarakat setempat.

Pendidikan sebagai asas pembinaan masa depan bangsa dan negara bergantung kepada profesyen perguruan yang berkembang secara dinamik dan progresif. Profesyen perguruan yang dinamis perlu melahirkan kepimpinan guru yang berkualiti, sentiasa memperbaiki dan mempertahankan etika profesionalisme pendidikan, berbanding dengan tugas yang mengabdikan diri sebagai golongan pendidikan yang berwibawa dan dapat menjadikan diri sendiri lebih berketrampilan dengan mendokong belajar seumur hidup (life long learning), belajar untuk mengubah dan belajar untuk berubah. Usaha-usaha lain sepearti melatih pensyarah bagaimana mengajar di institusi pengajian tinggi. Langkah ini turut mencadngkan supaya pensyarah-pensyarah universiti mestilah memiliki diploma pendidikan bagi membolehkan mereka melayakkan diri untuk mengajar. Walaupun mendapat reaksi yang "panas dan sinis" daripada pensyarah dan professor, cadangan ini bagaimanapun perlu dianggaap sebagai satu cadangan yang positif bagi meningkatkan kualiti pengajaran pensyarah dan profesor di universiti khususnya bagi mereka yang tidak mempunyai pengetahuan pedagogi dan asas kaedah pengajaran. Mengatasi masalah "Brain Drain" di kalangan pensyarah Kebanyakkan pensyarah yang memilih kerjaya ini adalah kerana komited dengan apa yang dilakukan. Penyelidikan menjadikan visi hidup mereka. Kerjaya sebagai pensyarah mempunyai banyak insrintik yang terus menambat hati pensyarah agar terus kekal di institusi pengajian tinggi. Namun apa yang menyebabkan wujudnya masalah 'brain drain' antaranya ialah layanan yang mereka terima berbanding dengan pensyarah yang berrkhidmat di luar negara. Wan Mokhtar mempersoalkan apakah adil hanya menggangapkan pensyrah yang berkhidmat di luar negara ditawarkan dengan gaji yang berlipat ganda apabila kembali ke Malaysia, sedangkan antara keduanya mempunyai kemahiran dan pendedahan yang sama. Dalam menangani isu ini, ia melibatkan banyak pihak. Namun begitu ia bukanlah sesuatu perkara yang sukar. Kerajaan sebagai tunggak, hendaklah peka dengan keperluan dan tuntutan semasa institusi pengajian tinggi awam agar penghijrahan keluar pensyarah dapat di atasi. Jangan biarkan pensyarah meminta-minta hak mereka kerana martabat pensyarah amat tinggi kedudukannya.

Memperbaiki Kualiti Sistem Peperiksaan Adalah penting langkah dan strategi pembaharuan dilakukan oleh Kementerian Pendidikan bagi memperbaiki dan meningkatkan kualiti sistem peperiksaan. Sistem peperiksaan yang dibentuk bukan sahaja perlu menguji kebolehan akademik semata-mata tetapi keseluruhan aspek perkembangan dan kualiti serta potensi individu sejajar dengan falsafah pendidikan negara. Peperiksaan yang menekankan kepada kecemerlangan akademik semata-mata tidak memberi gambaran menyeluruh terhadap perkembangan pelajar. Selain itu, langkah-langkah perrlu dibuat bagi memperbaiki kualiti dengan menekankan aspek-aspek kognitif dengan menguji kebolehan pelajar dari segi pemikiran kritis, rasionaliti, logik, pertimbangan dan nilai, ketepatan fakta, penyelaisaian masalah, aplikasi, membuat penilaian dan sebagainya. Konsep peperiksaan berterusan dalam konteks sekolah perlu di ambil kira sebagai kriteria keseluruhan mengukur perkembangan masyarakat yang sihat, berdaya maju dan cemerlang di samping memberi peluang kepada kepada setiap orang untuk mencapai rasa kejayaan dan penghargaan diri. Perubahan asas dalam sistem pendidikan perlu dibuat. Perubahan ini bukan bersifat kosmetik tepi perubahan substantif supaya kurang berorientasikan peperiksaan. Antaranya cadangan supaya tiga peperiksaan sekolah menengah dikurangkan kepada dua. Ini akan mengurangkan tekanan. Antara perubahan tersebut ialah membolehkan kegiatan ko-kurikulum diambil kira untuk memasuki universiti. Ketika ini sepuluh peratus daripada nilai markah kemasukan universiti datangnya daripada aktiviti ko-kurikulum. Apabila kita berubah kepada sekolah bestari nanti, penekanan akan diberikan kepada soal penguasaan ilmu dan kemampuan pelajar mengikut kemampuan sendiri iaitu konsep kendiri. KETERSEDIAAN PENDIDIK MENGHADAPI REFORMASI PENDIDIKAN Golongan pendidik adalah murabi dan ahli ilmu yang membimbing manusia kejalan yang betul dalam pegangan hidup, kerohanian, akhlak dan bidang ilmu yang berfaedah. Mereka bertanggungjawab mendidik pelajar mengenal dan menghayati nilai kebenaran, keindahan dan keadilan dengan spektrumnya yang seimbang dan benar, sesuai dengan potensinya sebagai khalifah Allah dan hambanya. Dalam menuju alaf baru pendidikan bertaraf dunia paradigma pendidikan perlukan anjakan yang dapat mendorong para pendidik memainkan peranan

mereka dengan lebih agresif dan progresif. Paradigma pendidikan perlu diubah daripada menerima kepada mencipta atau mencari, daripada ketaatan kepada komitmen , daripada individu kepada perkongsian, daripada rutin kepada inovatif dan kretif, daripada reaktif kepada proaktif dan daripada pasif kepada progresif. Sebelum perlaksanaan reformasi dibuat secara total ke atas sistem pendidikan negara, apakah semua yang akan terlibat dalam mendokong dan melaksanakannya telah tersedia? Kementerian Pendidikan perlu terlebih dahulu memastikan semua dalam keadaan bersedia bagi mendokong semua dasar atau sistem baru yang lebih futuristik. Janganlah semua kesilapan seperti pengenalan kurikulum baru sekolah rendah (KBSR), subjek alam dan manusia (ADM), dasar disiplin dan sistem kenaikan pangkat baru berdasarkan kepada kelayakan akademik berulang lagi - kasihan generasi remaja kita yang menjadi mangsa kerana impak dari kesilapan penghitungan dalam menanam modal dalam"komoditi pendidikan", ia akan memberi impak jangka panjang. Sebagai contoh, hasil daripada kegagalan KBSR dan subjek ADM yang dilaksanakan 10 tahun dahulu, bahangnya kita dapat rasai kini dengan kurangnya pelajar kita (melayu khususnya) yang berminat unutk memilih sains sebagai bidang pilihan mereka di IPT. Pendidikan telah mempunyai agendanya untuk menubuhkan Sekolah Bestari, Pendidikan Bertaraf Dunia, Guru Bertaraf Dunia dan berbagai lagi yang akan bertaraf dunia. Persoalannya, apakah semua kominiti guru telah bersedia untuk mengikut arus reformasi yang akan mendatang dalam era pasca Teknologi Maklumat masa kini ? Ada baiknya fenomena ini dibetulkan terlebih dahulu sebelum memikirkan reformasi pendidikan secara total. Janganlah anjakan paradigma itu dibuat berkelompok-kelompok, biar ia menyeluruh kepada semua golongan pendidik. Kerana mereka inilah yang akan membina asas-asas yang mantap dan teguh.

Kesimpulan Dalam menuju ke arah pendidik dan pendidikan bertaraf dunia setiap lapisan masyarakat mahupun individu haruslah memainkan peranan masing-masing. Kita perlu bekerjasama dan berganding bahu dalam melaksanakan dan merealisasikan wawasan negara demi untuk melahirkan insan yang berilmu pengetahuan, bertanggungjawab, inovatif, kreatif, progresif dan berakhlak mulia selaras dengan falsafah pendidikan negara. Sebagai golongan bukan pendidik,

kita janganlah meletakkan seluruh tanggungjawab ini hanya kepada golongan pendidik sahaja, tetapi haruslah memberikan komitmen yang menyeluruh dan bersepadu.