Anda di halaman 1dari 38

SEJARAH JIHAD NUSANTARA. Saya mulakan dengan meminjam kata-kata Al-Marhum Prof.

Ismail Faruqi di mana beliau mengatakan tentang perjuangan umat Islam di kepulauan melayu; "The bloodiest struggle the muslims ever waged against the Christian colonialist aggression" Lantaran itu Dr. Siddiq Fadhil di dalam salah satu dari ucapan dasar yang disampaikan di dalam mu'tamar ABIM mengatakan; "Sejarah kita bukan sejarah kalah dan sejarah menyerah; sejarah kita adalah sejarah perjuangan..." Inilah realiti perjuangan umat yang sebenarnya. Malangnya ia seumpama khazanah yang tidak dihargai. Sebabnya ialah kerana sejarah kita ditulis oleh 'mereka' dan penulisan 'mereka'lah yang telah membentuk pandangan sejarah kita. Saad bin Abi Waqqash (seorang sahabat Rasulullah saw) mengatakan; "Kami ceritakan kepada anak-anak kami al-Maghazi (kesah-kesah peperangan) sebagaimana kami ajarkan mereka al-Quran..." Inilah yang tiada pada diri kita - warisan yang hilang kerana tiada diperturunkan kepada kita. Lewat beberapa dekad yang lalu lahirlah beberapa ramai sarjana di kalangan umat Islam sendiri yang tampil untuk menilai semula sejarah kita. Antaranya Prof S.Q. Fatimi dari Pakistan yang menulis tentang proses pengislaman di kepulauan Melayu bertajuk "Islam comes to Malaysia (Malaysia merujuk kepada Nusantara sebelum nama yang sama terpakai sebagai nama resmi Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1963). Juga yang banyak menulis tentang sejarah Islam di Nusantara ialah al-Marhum Prof HAMKA yang menghasilkan 4 jilid buku mengenai sejarah umat Islam dan jilid ke 4 adalah khusus mengenai sejarah umat Islam Nusantara. Beliau juga ada menulis beberapa buah buku lagi antaranya 'Dari Perbendaharaan Lama' yang merupakan rujukan yang baik. Begitu juga Prof M.A. Rauf (rektor UIA yang pertama) juga ada menghasilkan sebuah buku yang berjudul "The islamization of the malay archipelago" (lebih kurang tajuknya). Sebuah buku yang ditulis oleh Prof Muhammad Naquib al-Attas berjudul "Islam dalam sejarah dan kebudayaan melayu" juga merupakan rujukan yang penting mengenai subjek ini. Selain dari buku-buku, ahli-ahli sejarah tempatan juga membuat beberapa penyelidikan dari 'inscription' atau stone tablets (batu bertulis) dan juga artifek-artifek lain untuk reconstruct semula sejarah 'kita' yang telah dikaburkan oleh 'mereka' (penjajah). Apa yang akan saya coretkan dalam siri ini insyaAllah adalah hasil dari kajian-kajian mereka. Semuga usaha yang kerdil ini insyaAllah dapat memberikan sedikit manfaat kepada kita di dalam menghayati perjuangan umat di Nusantara. Di dalam siri yang kedua ini kita akan melihat beberapa fakta yang boleh membina kefahaman kita tentang proses da'wah yang berlaku di Kepualaun melayu. Perkara ini penting kerana ianya akan memberi kita gambaran yang tepat dan adil tentang apa

yang disebut oleh ahli-ahli sejarah sebagai 'proses Islamisasi' atau 'pengislaman' Nusantara. Dua perkara pokok yang menjadi fokus ialah dari jurusan mana da'wah berkembang dan siapakah yang mempeloporinya. Pada hakikatnya perkara ini tidak penting kerana siapa dan dari jurusan mana da'wah berkembang adalah 'immaterial' kepada persoalan da'wah itu sendiri. Kita meyakini bahawa tiada siapapun yang boleh meletakkan dakwaan kepada golongan yang tertentu sebagai mereka yang memegang saham terbesar kepada usaha penyebaran da'wah di nusantara. Walaubagaimanapun dari sudut pemahaman sejarah perkara ini penting untuk menilai semula penulisan-penulisan orinetalis yang telah meletakkan satu teori tentang proses pengislaman tersebut. Teori-teori yang mereka kemukakan menjadi asas kepada kesimpulan-kesimpulan yang mereka capai di dalam menilai sejauh mana orang melayu menghayati Islam i.e. sejauh mana Islam mengesani dan merubah pandangan hidup mereka. Umum mengetahui bahawa da'wah Islam dikatakan mula berkembang secara resmi di kepulauan melayu menjelang kurun ke 15. Teori popular yang dikemukakan oleh pengkaji-pengkaji sejarah dari barat ialah Islam berkembang dari usaha-usaha pedagang-pedangang yang datang berniaga di pusat-pusat perniagaan di nusantara. Mereka ini dikatakan menyebarkan Islam secara tidak langsung kepada penduduk tempatan yang tertarik dengan akhlak dan ibadah mereka. Mereka juga berpendapat bahawa pengislaman raja-raja dan ketua-ketua kaum bertanggungjawab di dalam mempercepatkan lagi proses penerimaan Islam di kalangan penduduk tempatan. Kita tidak akan mempertikaikan kesimpulan-kesimpulan yang mereka capai. Cuma di dalam penulisan ini kita mahu menekankan bahawa usaha da'wah yang berlaku di nusantara meskipun berlangsung tanpa sebarang tentangan dari penguasa-penguasa tempatan tetap berlaku secara aktif dan penuh sedar. Hakikat ini penting disedari kerana da'wah punya dinamismenya yang tersendiri dan ianya tidak akan terlaksana tanpa usaha-usaha yang bersungguh-sungguh (jihad) oleh para da'i yang awal. Sebagai contoh pengislaman raja tempatan yang pertama tercatit dalam sejarah ialah pengislaman raja Pasai yang bernama 'Meurah Silu'. Beliau memeluk Islam pada tahun 1280 an dan menukar namanya kepada Al-Malik-us-Saleh. Dua orang da'i yang bertanggungjawab ke atas pengislamannya bukan merupakan pedagang tetapi sebaliknya mereka yang datang semata-mata atas kesedaran menyebarkan kalimah Allah di atas muka bumi ini. Yang pertama merupakan seorang syarif dari Makkah dan yang kedua ialah Faqir Muhammad (seorang pembesar yang meninggalkan kemewahan dan mewakafkan kehidupan untuk amal-amal da'wah). Begitu juga halnya dengan pengislaman Parameswara di mana beliau masuk Islam di tangan seorang ulama yang bernama Syeikh Abdul Aziz. (Parameswara menukar namanya kepada Sultan Iskandar Syah). Raja Kedah yang pertama menerima Islam juga masuk Islam di tangan seorang ulama.

Contoh-contoh ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa proses da'wah berlaku secara aktif dan bukannya secara bersahaja dan tidak langsung dari pedagangpedagang Islam yang datang dengan tujuan utama mereka untuk mengaut keuntungan. [Menerima teori pengislaman di tangan pedagang-pedagang tanpa penilaian kritikal samalah dengan menganggap kita datang belajar ke luar negara sebagai satu jihad untuk membangunkan 'umat' kononnya tetapi langsung tidak terlibat dengan program-program peningkatan iman dan amal, malahan meninggalkan pula amalamal Islam yang paling asas seperti solat atas nama akademik dan kecemerlangan!] Meskipun ahli-ahli sejarah meletakkan awal kurun ke 15 sebagai tarikh Islam mula bertapak di kepulaun melayu, ianya perlulah difahami bahawa tarikh itu boleh diambil sebagai bermulanya islam di nusantara dalam bentuk sistem dan kerajaan (walaupun bukan dalam ertikata negara Islam yang setulennya). Sedangkan usaha-usaha da'wah dan penyebaran risalah telah berlangsung lama sebelum tarikh itu. Ada banyak bukti-bukti sejarah yang boleh dikemukakan untuk menunjukkan bahawa risalah da'wah telah mula bertiup sejak kurun-kurun pertama hijrah lagi. Batu-batu nesan yang jelas menandakan tanah persemadian orang Islam yang ditemui berselerak di kepulauan melayu telah berusia begitu lama. Antaranya ialah kubur seorang wanita yang bernama Fatimah bintu Maimoon yang tapak perkuburannya di temui di Grisek, Leran, Jawa. Tarikh yang tertulis di atasnya ialah 1082 masehi - 500 tahun sebelum pengislaman raja melaka yang pertama. Artifek-artifek yang ditemui di tapak-tapak arkeologi di Kedah dan Pahang juga menunjukkan bahawa arus da'wah sudah bertiup di nusantara pada kurun ke 9 dan 10 lagi. Bukti-bukti ini disokong pula oleh rekod-rekod asing seperti dari tanah besar Cina yang mengisyaratkan bahawa usaha da'wah berlaku pada zaman yang lebih awal lagi. Al-Marhum T.Y. Ma (Tieng Yeng Ma) di dalam bukunya "Islam di Tiongkok" ada menyebutkan satu sumber dari tanah besar Cina di mana seorang arab Habsyi bernama Saad bin Lubaid telah berlayar ke negeri Cina dari Abbyssinia pada kurun yang pertama hijrah lagi dan membentuk sebuah komuniti muslim di Nanking. Dakwaan ini jelas menunjukkan bahawa para da'i sudah mulai menyebarkan Islam di tempat-tempat yang jauh seumpama timur jauh (Nusantara and beyond) pada kurunkurun awal lagi. Satu rekod dari tanah besar Cina juga menunjukkan bahawa sekitar tahun 700 masehi (dalam seratus tahun dari kewafatan Rasulullah saw) diberitakan seorang raja 'Tasyi' (bangsa Arab) telah datang ke 'Chopo' (Jawa). Jawa pada waktu itu diperintah oleh kerajaan 'Holing' (Kalinga) yang beragama Hindu. Orang Arab ini dikatakan duduk menetap di sana selama 3 tahun tetapi pulang setelah mendapati rakyatnya terlalu 'takut' (hormat) kepada raja. Khalifah Umar bin Abdul Aziz juga pernah menghantar surat kepada raja SriVijaya sekitar tahun 700 masehi mengajak kepada Islam. Raja yang dimaksudkan ialah raja Srindavarman. Usaha-usaha ini menunjukkan bahawa generasi dahulu begitu bersungguh-sungguh menyebarkan kalimah tauhid sehingga mereka mengembara ke tempat-tempat yang

jauh seperti di kepulauan melayu. Usaha-usaha mereka yang gigih ini telah diabadikan pada nama-nama beberapa tempat-tempat persinggahan penting mereka di dalam perjalanan da'wah yang mereka tempuhi. Dua darinya ialah Malabar (India) yang merupakan tempat persinggahan (Mu'tabar) dan Melaka yang merupakan tempat pertemuan (mulaqat). Inilah bentuk dinamisme da'wah yang ada pada generasi dahulu. Apabila mereka menerima Islam maka mereka mempunyai satu visi dalam kehidupan iaitu untuk membawa manusia 'siapa yang mahu di kalangan mereka untuk menyembah Allah serta membebaskan mereka dari segala bentuk penyembahan lain'. Apabila Musa bin Nusair sampai ke Maghrib di pantai barat Afrika dengan angkatan tentera muslimin dia lalu menjuruskan pandangannya ke lautan Atlantik dan berkata "Sekiranya aku tahu ada daratan di sebelah sana (Amerika - yang tidak diketahui manusia lagi) nescaya aku akan pergi untuk menyebarkan kalimah tauhid. Dinamisme yang samalah telah membawa Islam ini keserata dunia sehingga umat melayu di nusantara juga mendapat nikmat iman dan Islam. [Marilah kita sama-sama membalas jasa mereka yang dengan usaha mereka telah menyebabkan pintu hati kita terbuka kepada Islam - sedang mereka tidak meminta sebarang upah selain pahala dan syurga Allah swt. Maka seolah-olahnya sia-sialah usaha mereka sekiranya kita pada hari ini tidak memastikan proses kesinambungan risalah ini - sedangkan kecuaian kita tidak sekali-kali mengurangkan kedudukan mereka di sisi Tuhan. Untuk mereka apa yang telah mereka kerjakan dan untuk kita apa yang akan kita kerjakan] Sebenarnya bila memperkatakan tentang sejarah da'wah di tanah air dan kepulauan melayu amnya maka aspek yang lebih penting ialah kesan dari apa yang dinamakan sebagai 'proses islamisasi' yang dirujuk oleh pakar-pakar sejarah. Malangnya oleh kerana sejarah kita ditulis oleh orientalis barat yang lebih banyak menumpu kepada sejarah pra-Islam iaitu zaman animisme-Hindu-Buddha maka sejarah da'wah dan kesannya tidak begitu mendapat perhatian di dalam penulisanpenulisan sejarah sehinggalah akhir-akhir ini. Apabila memperkatakan tentang hal ini maka kita seolah-olahnya sedang mencari sebutir mutiara (sejarah kita yang sebenar) di celah-celah timbunan sampah sarap (sejarah 'kita' yang ditulis oleh orientalis). Apabila kita melihat sejarah kita maka timbul semacam 'inferiority complex' kerana orientalis memberikan gambaran seolaholahnya kita ini tidak mewarisi tamaddun selain dari tamaddun Hindu-Buddha yang rendah dan inferior. Bagi kita yang berada di bangku sekolah sekitar tahun-tahun 60'an dan 70'an, buku teks sejarah yang diajar di sekolah-sekolah menengah lebih banyak menumpu kepada era sebelum kedatangan Islam. Kerajaan-kerajaan yang 'obscure' yang kewujudannya hanya dapat dipastikan dari runtuhan-runtuhan arkeologi seperti Langkasuka, Champa diperuntukan bab-bab yang tersendiri. Perhatian yang detail diberikan kepada empayar-empayar SriVijaya dan Majapahit yang dikatakan mempelopori tamaddun Melayu/Indonesia pada hari ini. Kerajaan

Melaka hanya digambarkan sebagai sebuah kerajaan melayu semata-mata sedang kerajaan-kerajaan Islam yang lahir selepas kejatuhan Majapahit seperti Demak, Ternate, langsung tidak mendapat sebarang perhatian. Tidak hairanlah apabila kita bercakap tentang sejarah nenek moyang kita maka yang tergambar di hadapan kita ialah candi-candi Bukit Batu Pahat, runtuhan-runtuhan kuil Prambanan dan Borobudur. Dengan tidak kita sedari kita telah mengaitkan sejarah kita dengan nenek-moyang kita yang tidak beragama atau yang beragama Hindu dan Buddha seperti Hayam Wuruk, Adityawarman (Minangkabau sebelum Islam), Srindavarman (SriVijaya) dan Patih Gajah Mada (Majapahit). Hatta sehingga hari ini Gajah Mada diiktiraf sebagai pahlawan Nasional Indonesia. Dan nama-nama pejuang Islam yang gigih melawan kerajaan Hindu, Portugis dan Belanda seperti Syarif Hidayatullah, Sultan Agung Titayarsa, Sultan Hassanuddin dan Babullah, Fath Yunus (InsyaAllah dalam siri-siri akan datang kita akan hayati perjuangan mereka) tidak diketahui melainkan di kalangan ahli-ahli akademik di menara-menara gading...! Saudara-i yang dihormati sekelian. Sebenarnya inilah jenayah terbesar yang telah dilakukan oleh para orientalis dan penjajah barat kepada umat Islam. Mereka telah memilih bahagian-bahagian sejarah kita dengan penuh sedar untuk melahirkan satu generasi yang memiliki identiti yang mereka mahu - iaitu identiti mereka yang terjajah - bukan sahaja tanah airnya hatta pemikirannya - supaya mereka ini terus terjajah pemikirannya walaupun tanah airnya 'bebas merdeka'. Itulah besarnya kesan pembelajaran sejarah (ini memerlukan satu perbincangan yang khusus). Sejarah punya kekuatannya yang tersendiri. Kita mampu melahirkan melayu nasionalis melalui sejarah dan kita juga boleh menghasilkan melayu islamist melalui sejarah, malahan kita boleh melahirkan melayu yang hidupnya hanya untuk berpoyapoya dan berhibur melalui sejarah juga. Syed Muhammad Naquib al-Attas membongkar konspirasi barat di dalam mencorakkan identiti orang melayu pada hari ini. Beliau menegaskan di dalam bukunya "Islam dalam sejarah dan kebudayaan melayu" bahawa sejarah kita bermula dengan hadirnya al-Quran. Al-Quranlah yang telah menganugerahkan tammaddun kepada orang melayu. Sebelum Al-Quran orang melayu diliputi oleh takhyul dan khurafat, jiwa mereka diperhambakan oleh alam dan manusia. Raja dianggap sebagai jelmaan Tuhan yang ada 'siri' atau 'daulat' yang tidak boleh dilihat secara bertentangan mata apatah lagi untuk dipertikaikan perkataannya. Di Pulau Jawa, raja dikatakan 'Amangkurat' yang bermaksud 'pasak bumi' ataupun centre of the Universe. Kehidupan orang-orang melayu dipenuhi dengan ketakutan. Segala sesuatu mempunyai kuasa dan semangat - hatta bumi yang dipijak didiami oleh seorang dewi yang bernama 'Pratiwi' (asalnya perkataan 'ibu pertiwi') yang perlu dipuja dan dihormati.

Al-Quran telah menganugerahkan bahasa kepada orang melayu yang sebelumnya tidak dapat berkomunikasi lebih dari soal perut dan kata-kata pemujaan raja dan dewa. Dalam masa tidak sampai beberapa tahun, orang-orang melayu yang 'bodoh' dan rendah mentaliti telah menghasilkan para ilmuan yang kepakarannya diiktiraf oleh ulama-ulama dari Tanah Arab. Pemikiran orang melayu terus dibina oleh al-Quran dan darinya terhasilah sebuah tamaddun ilmu yang gilang-gemilang. (InsyaAllah kita juga akan memperuntukkan perbincangan dalam bab ini) Inilah kegemilangan silam kita. Kegemilangan silam kita bukan pada candi dan kuil, bukan pada budaya tari-menari yang rendah dan hina seperti yang mereka para orientalis dakwa. Sebagaimana yang disebut sebelumnya, siri ke 5 akan melihat aliran da'wah ke daerah kepulauan melayu dari jurusan tanah besar Cina (tiongkok). Sejarah 'official' yang ditulis oleh 'orang puteh' memberikan gambaran bahawa Islam (da'wah) datang dari benua kecil India. Ada sebabnya mengapa mereka beria-ia untuk memilih India sebagai punca kedatangan Islam ke Asia Tenggara. Untuk menguatkan hujjah-hujjah mereka maka diadakan bukti-bukti dari artifek-artifek yang terdapat di Nusantara - antaranya yang paling kukuh ialah batu-batu nesan raja-raja. Contohnya batu nesan Raja Pasai Samudera - Al Marhum Al-Malikus Soleh dipercayai datang dari Gujerat. Raja ini memeluk Islam di tangan dua orang mubaligh sekitar tahun 1284 (lihat beberapa siri awal). Sebab mengapa mereka ingin sangat mengaitkan kedatangan Islam dengan benua kecil India ialah pada tanggapan mereka Asia Tenggara tidak lebih dari 'an extension of the Indian subcontinent'. Begitu kuatnya hubungan sejarah Asia Tenggara dengan India sehingga sarjana sejarah dari barat yang tidak asing lagi iaitu G.Coedes menamakan daerah ini sebagai 'The Indianised states of South East Asia". G. Coedes beranggapan bahawa Asia tenggara tidak punya sejarah tanpa dibayangi oleh India, begitu juga budaya mereka dicedok bulat-bulat dari budaya induk yang berasal dari India. Begitu berpengaruhnya hipotesis Coedes sehingga timbul satu kecenderungan politik di India pada tahun-tahun 40'an yang melihat Asia Tenggara ialah sebahagian dari India yang perlu dikonsolidisasikan kedalam Kesatuan negara India. Kelompok ini menamakan diri mereka the Society of Greater India. Setengah-setengah sarjana menamakan Asia Tenggara sebagai 'India beyond the Ganges' (Maaf atas penulisan yang terlalu akademik ini - tujuannya ialah untuk menyatakan premis perbincangan ini dengan kukoh) Jadi apabila Islam datang ke Asia Tenggara, mereka mendakwa ianya juga tidak lebih dari pengaruh 'India' yang melimpah masuk ke sini, sama sebagaimana India telah menganugerahkan agama Hindu, Buddha dan kebudayaan serta sistem mereka. Mereka mendakwa proses kedatangan Islam ini tidak lebih dari satu proses yang menempel di atas watak orang melayu yang sudah tercanai oleh ugama, budaya serta kesenian India.

Oleh kerana ianya datang dari India maka proses asimilasi berlaku dengan baik dan sempurna. Orang melayu begitu mudah menerima Islam kerana Islam yang datang hanya perlu disesuaikan dengan kebudayaan Hindu yang telah mendarah daging pada mereka. Lantas mereka mengatakan Islam tidak membawa apa-apa perubahan dasar pada budaya, pemikiran dan cara hidup orang melayu. Al-Marhum Prof HAMKA mengatakan di dalam bukunya 'Dari Perbendaharaan Lama'; inilah taktik mereka - mereka mahu menekankan bahawa Islam yang datang kepada orang melayu bukan lagi Islam 'wahyu' tapi Islam yang 'telah disenyawakan dengan kebudayaan India'. Sedangkan kita tahu bahawa, arus kedatangan Islam jelas datangnya dari jazirah tanah arab sendiri. Lihat siri yang lebih awal (pengislaman Parameswara, pengislaman raja Kedah dsbnya). Selain dari benua kecil India dan datang terus dari Tanah Arab, kita juga mempunyai bukti bahawa arus hidayah juga datang dari utara - dari tanah besar Cina. Apabila bercakap tentang proses da'wah dari tanah besar Cina, maka ini merupakan satu subjek yang menarik kerana terlalu banyak yang boleh ditulis tentangnya. Cukuplah di dalam penulisan yang rengkas ini kita paparkan beberapa noktah penting bagi kita menghayati siri ini di celah kesibokan akademik kita masing-masing, Islam datang ke Tanah besar Cina dari dua arus; arus darat dan arus laut. Arus darat boleh dirujuk kepada pertempuran yang berlaku sekitar tahun 750 (tak pasti dengan ketepatan tarikh ini kerana makalah ini ditulis dari apa yang diingat di luar kepala) berlaku satu pertempuran di Sungai Talas (Amu Darya) di antara tentera muslimin dengan tentera Cina Dinasti Tang. Maharaja Cina (namanya perlu dirujuk dalam buku sejarah - dalam ensaiklopedia Britanica mungkin ada - atau sesiapa yang ada ENCARTA mungkin juga ada...?) telah bergabung dengan kerajaan Parsi tetapi tewas. Kemenangan ini telah membuka peluang da'wah di asia Tengah sehingga sebahagian dari daerah-daerah selatan Rusia (Kazastan, samarkand dll) dan barat Cina menerima Islam dan sehingga hari ini penduduknya kekal muslim. Dari arus laut pula, Islam datang ke selatan Cina di bawa oleh para da'i (salah seorang darinya Saad bin Lubaid al-Habsyi) ke daerah selatan Cina - Nanking, Hangchow dan Canton. Komuniti muslim pada kurun yang ke 8 dan 9 begitu makmur sehingga mendatangkan keresahan kepada pemerentah dan rakyat yang masih beragama majusi. Berlakulah satu pemberontakan yang menyebabkan ramai dari umat Islam Cina pada waktu itu dibunuh, yang lain terpaksa melarikan diri ke pulau-pulau selatan (Asia Tenggara). Mereka membuat penempatan-penempatan di Champa (daerah melayu hari ini Kampuchea) dan kehadiran mereka telah menyebabkan orang-orang melayu Champa menerima Islam. Selebihnya berhijrah ke Sumatera Utara, dan segenting Kra ke utara Kedah. Adalah dipercayai bahagian utara semenanjung (Kelantan, Kedah dan Terengganu) menerima Islam dari arus Tiongkok ini. Demikianlah serba rengkas proses penyebaran Islam yang dilakukan oleh orang-orang 'Cina muslim'.

Syed Muhammad Naquib Al-Attas selesa dengan pandangan ini - bermakna orang melayu (sebahagian besar darinya) masuk Islam di tangan orang-orang Cina. satu hakikat sejarah yang kita perlu akur! InsyaAllah diberi kekuatan di dalam beberapa siri kehadapan kita akan memperkatakan tentang Admiral Muhammad Cheng Ho serta kerajaan Ming yang diwakilinya - satu lagi hakikat sejarah yang menarik dan mengasyikkan. Dalam siri ke 6 (SJN 6) insyaAllah kita akan melihat bagaimana da'wah berkembang ke seluruh kepulauan melayu sebaik sahaja ianya mencecah daerah-daerah persisiran pantai di Sumatra dan utara Semenanjung. Dakwaan orientalis sekali lagi memberikan satu gambaran yang jauh menyimpang dari realiti proses da'wah yang berlaku. Mereka melihat proses ini dengan pandangan yang begitu simplistik yang mana ianya tidak bersesuaian sekali dengan roh da'wah itu sendiri. Tiga teori popular sering di ketengahkan oleh mereka. Teori pertama ialah teori pedagang. Para pedagang yang datang berniaga di Sumatra dan Melaka telah 'menurunkan' Islam secara tidak langsung kepada penduduk tempatan. Mereka tidak pula menjelaskan bagaimana proses ini boleh berlaku. Tetapi penulis-penulis tempatan yang cenderung untuk menerima pandangan ini menjelaskan bahawa mereka tertarik dengan akhlak dan agama para pedagang tadi sehingga mereka masuk Islam. Teori ini separa benar kerana penerimaan dan penghayatan Islam tidak akan berlaku secara sempurna tanpa berlakunya proses da'wah iaitu interaksi di antara duat (penda'wah) dan mad'u (mereka yang menerima da'wah). Bagi kita da'wah bukanlah satu proses bersahaja yang berlaku secara tidak langsung. Da'wah adalah satu amanah yang berat dan hanya akan berlangsung setelah adanya usaha bersungguh-sungguh di kalangan pendokong risalah. Adalah suatu yang agak sukar untuk kita menerima teori simplistik ini. Apakah orang melayu pribumi yang tidak terikat oleh sebarang peraturan (halal dan haram) dan begitu kuat pula kepercayaannya kepada kuasa-kuasa alam dapat menerima agama tauhid yang merupakan antitesis kepada 'worldview' mereka jika tidak berlakunya proses prolysitizing (da'wah dengan hujjah dan keterangan) oleh para du'at. Sejarah tempatan boleh dijadikan sebagai sandaran hujjah balas teori pedagang ini. Orang-orang asli Negeri Sembilan sebelum kedatangan suku Minangkabau diperentah oleh seorang batin bernama Batin Seri Alam. Apabila seorang mubaligh bernama syeikh Ahmad Makhdum datang ke tempat yang hari ini disebut sebagai Negeri Sembilan dari Sungai Linggi, orang-orang batin Seri Alam sebahagian besarnya masuk ke hutan kerana tidak dapat menerima 'doktrin' Islam. Teori yang kedua ialah teori politik. Teori ini menyebut bahawa raja-raja tempatan masuk Islam setelah tertarik dengan ajaran Islam yang di bawa oleh para pedagang (sekali lagi para pedagang mendapat kredit!). Orang-orang melayu pada masa itu sangat taat kepada raja. Apabila raja masuk Islam maka seluruh penduduk turut memeluk Islam. Kita juga tidak menolak akan adanya kebenaran dakwaan ini. Tetapi sekali lagi teori ini telah memberikan penumpuan kepada raja dan bukannya kepada 'mubaligh' dan para da'i yang menyebabkan perkara ini terhasil. Kita telah jelaskan sebelum ini bahawa Meurah Silu memeluk Islam di tangan dua orang da'i yang bernama Faqir Muhammad dan syarif dari Makkah - mereka datang atas tujuan da'wah semata-mata dan tidak disebut sedikitpun di dalam sejarah bahawa mereka ini datang untuk berniaga dan berda'wah secara sambil-sambilan. Teori ketiga ialah teori perkahwinan. Para pedagang yang datang untuk 'berda'wah sambil sambilan' ini telah mengambil peluang untuk mengahwini wanita-wanita tempatan. Dari perkahwinan ini lahirlah keluarga muslim dan anak-anak yang mewarisi agama bapanya. Perkahwinan memang berlaku di antara pedagang dan orang tempatan tetapi adalah sesuatu yang

agak sukar untuk kita menerima bahawa Islam tersebar ke seluruh kepulauan melayu melalui 'perkahwinan'!. Dengan menggunakan kaedah berfikir secara logik kita mampu menyangkal teori-teori simplistik hasil pemikiran tinggi sarjana-sarjana barat. Sejarah da'wah yang berlaku selepas dari masuknya Islam dari pintu-pintu masuknya di Sumatera dan Semenanjung menjadi hujjah yang muktamad untuk menolak teoriteori simplistik mereka. Kalau kita menyusuri sejarah perjalanan da'wah maka terlintaslah beberapa peribadi yang perlu diketahui oleh umat Islam. Di antaranya ialah Syeikh Burhanuddin Ulakan. Beliau yang berasal dari Sumatera Utara telah berda'wah dengan gigih sehingga berjaya mengislamkan penduduk-penduuk mandahiling dan Sumatera barat. Syarif Hidayatullah yang berasal dari Pasai yang berpindah ke Giri, Jawa setelah Pasai musnah akibat serangan Majapahit (kita akan perkatakan tentang jihad umat Islam di dalam menghadapi kerajaan-kerajaan Hindu sebelum kedatangan penjajah barat) mempunyai saham yang besar kepada usahausaha da'wah di sana. Syarif Kabungsuan dari selatan semenanjung (Johor) bersama 4 orang da'i yang lain bertanggungjawab di dalam memperkenalkan Islam kepada penduduk-penduduk di selatan Filipina (mindanao). seorang ulama bernama Syiekh Jana Khatib dari tengah semenanjung (Selangor - tetapi ada sumber yang mengatakan dari Singgora) telah berda'wah dengan gigih di Tumasik (Singapura) sehingga beliau terkorban syahid. Rekod-rekod sejarah kita dengan jelas menunjukkan bahawa yang membawa Islam dan yang bertanggungjawab di dalam menyebarkan risalah ialah para du'at yang gigih. Kalau mereka berniagapun mereka melakukan itu untuk menyara hidup mereka supaya mereka tidak meminta-minta hidup di negeri orang. Misi da'wah yang mereka dokong dan ketinggian akhlak mereka di hadapan oarng-orang tempatan itulah yang menyebabkan proses da'wah berlaku. Proses Islamisasi berlaku di tangan penda'wah yang berniaga secara sambil-sambilan dan bukannya peniaga yang berda'wah sambil-sambilan. Dalam siri ke 6 kita telah melihat betapa proses pengislaman di kepulauan melayu berlaku melalui da'wah dan bukannya secara tidak langsung sebagai kesan sampingan dari aktiviti ekonomi dan perdagangan. Kegigihan beberapa ramai ulama, mubaligh dan da'i yang berda'wah mengembangkan risalah Islam di seluruh nusantara merupakan bukti yang kukoh. Sebagai contoh pada siri yang lepas salah seorang dari ulama tersebut ialah Syeikh Jana Khatib. Walaupun riwayat serta perjuangan ulama' ini tidak diketahui setepatnya (tarikh serta asal-usul beliau) kerana rekod bertulis tentangnya boleh dikatakan hampir tiada, namun yang pastinya beliau telah menemui ajalnya di tangan penguasa yang memerentah Temasik pada waktu itu. Sebuah pantun klasik seperti di bawah adalah merujuk kepada insiden kematian beliau: Telor itek di Singgora Pulau Pandan dilangkahi Darahnya titik di Singapura Badannya terlantar di Langkawi. Jenazah ulama' ini dikatakan di pindahkan ke Langkawi. Sebab beliau dibunuh ialah kegiatan ulama ini dikatakan mendapat perhatian masyarakat termasuklah keluarga diraja (Permaisuri sendiri). Ekoran dari peristiwa inilah berlakunya tragedi 'Singapura dilanggar todak'. Kesah Singapura dilanggar todak ini merupakan kiasan sebenarnya kepada serangan Majapahit ke atas Temasik. Kemungkinan ianya merupakan balasan Tuhan ke atas perbuatan membunuh ulama tersebut. Wallahu'alam - ketepatannya tidak dapat kita pastikan. Oleh kerana kita tidak mempunyai bukti yang kukuh tentang kesah ini, maka kita beralih kepada contoh lain berdasarkan fakta sejarah yang boleh dipertanggungjawabkan. Sekali lagi apabila kita bercakap tentang proses da'wah di nusantara kita mendapat gambaran seolah-olahnya ia berlaku dengan licin dan lancar. Penduduk melayu pribumi seolah-olah menerima Islam dengan mudah tanpa sebarang masaalah. Tanggapan ini sebenarnya menguatkan hujjah orientalis yang mengatakan

bahawa Islam yang datang ke nusantara hanya perlu 'disenyawakan' dengan kebudayaan tempatan. Proses ini sangat mudah kerana masyarakat tidak dikehendaki untuk mengubah cara hidup mereka. Mereka boleh terus kekal mengamalkan kebudayaan lama. Kalau ada perubahanpun ianya adalah dalam aspek 'ritual' sematamata sepeti menjauhi makanan haram seperti 'babi' selain dari menghayati rukun islam dalam bentuk kefahaman yang mudah. Islam yang datang tidak mengubah status kuo masyarakat. Raja terus dianggap mempunyai kuasa mutlak ke atas rakyat dan setiap perkataannya dijunjung tidak dibantah. Kebudayaan dan kesenian jahiliyah warisan zaman ancestor worship dan ugama Hindu boleh terus diamalkan Maka tidak hairanlah kerajaan-kerajaan Hindu yang terus berkuasa dengan menjadikan raja sebagai bayangan Tuhan di bumi dapat menerima kedatangan agama baru ini dengan baik. Arus kedatangan Islam datang di saat-saat kerajaan Majapahit berada di kemuncaknya. Empayar Majapahit pada waktu itu meliputi seluruh pulau Jawa, Nusa Tenggara, Lombok, Bali, Sebahagian besar Sumatera (Sumatera Barat, Lampung, Siak dan Inderagiri), Riau, Lingga, Temasik (Singapura), Sebahagian Pahang dan Terengganu. Patih Gajah Mada dengan imperial designnya telah melafaskan sumpah Nusantaranya yang berbunyi "Selagi seluruh nusantara belum dapat ditakluki maka selama itu dia tidak akan berehat". Ikrar ini juga dinamakan 'Ikrar Palapa (Nusantara Pulau di antara lautan : basically merujuk kepada keseluruhan kepualauan melayu). Adalah agak sukar untuk menerima hakikat bahawa sebuah kuasa imperialis seperti Majapahit dapat menerima doktrin Islam yang jelas datang untuk menggugah segala bentuk kuasa yang menuhankan manusia dan memperhambakan sesama manusia. Manusia melayu yang menganut agama Hindu hidup di dalam sistem kasta. Sudah tentu sistem yang sedemikian akan bertembung dengan Islam yang mengiktiraf kemanusiaan manusia - iaitu manusia dilahirkan setaraf di sisi Tuhan dan yang membezakannya hanyalah taqwa. Dengan taqwa melayu 'parya' (the untouchables) dan 'sudra' (kasta hamba) dapat mengembalikan maruah dan harga diri mereka. Hakikat sejarah jelas menunjukkan Majapahit tidak dapat menerima arus kedatangan Islam. Kerajaan Islam yang pertama di Nusantara iaitu kerajaan Pasai Samudera telah diserang sebanyak dua kali pada pertengahan kurun ke 14. Serangan ke dua sekitar tahun 1360'an menyebabkan kerajaan Pasai terus lemah dan kedaulatannya tidak dapat dipertahankan lagi. Kerajaan Minangkabau semasa zaman Hindu (Raja Adityawarman) telah menerima arahan dari kerajaan Majapahit yang berpusat di Jawa untuk melancarkan serangan-serangan tersebut ke atas Pasai. (Kita akan menyebut tentang kerajaan Samudera Pasai dalam beberapa siri di hadapan). Orientalis cenderung untuk mengemukakan teori bahawa transition di antara kerajaan Hindu kepada kerajaan Islam berlaku secara lancar. Penguasa-penguasa yang memrentah bagi behak Majapahit dengan mudah telah mengakomodasi sistem islam sehingga kerajaan tersebut bertukar menjadi kerajaan Islam secara tidak langsung dan secara beransur-ansur. Kita tidak dapat menerima pandangan ini. Hakikatnya kerajaankerajaan Hindu terus menunjukkan permusuhan mereka terhadap Islam meskipun empayar Majapahit telah berakhir dengan berdirinya kerajaan Melaka, Acheh dan Demak di pulau Jawa. Apabila Alfonso d'albuqueque menawan Melaka, dia ingin meneruskan cita-citanya menakluki Acheh dan kepulauan Maluku. Sisa-sisa kerajaan Majapahit di pulau Jawa (vassal states) seperti Pasuruan dan Pajajaran telah membuat pakatan sulit dengan Portugis untuk mengalahkan kerajaan islam yang berpusat di Demak. Atas tindakan cepat pemerentah Islam pada waktu itu dan kepahlawanan seorang ulama mujahid Syarif Hidayatullah, kedua-dua kerajaan Hindu ini dapat di tewaskan. Sebahagian besar dari penduduknya melarikan diri ke pulau Bali (mengapa

pada hari ini Bali merupakan satu-satunya tempat di mana orang melayu masih beragama Hindu). Demikianlah beberapa fakta sejarah yang boleh membantu kita memahami konflik yang wujud di antara kerajaan Hindu dengan da'wah islam di Nusantara. 'Berakhirnya kekuasaan Majapahit di tangan Islam' Netters yang dihormati sekelian. Dalam siri ke 7 kita telah melihat bagaimana empayar Majapahit menghadapi ancaman da'wah Islam. Cita-cita imperialis Kertanegara dan Patih Gajah Mada telah cuba untuk menyekat atau membendung kemaraan Islam yang mula berkembang di Sumatera Utara. Meskipun kerajaan Samudera-Pasai musnah akibat serangan bertubi-tubi dari Majapahit namun pengaruh dan kesan da'wah tidak dapat dibendung lagi. Dari celah-celah puing kehancuran kerajaan Pasai, pancaran nur hidayah terus menyinari seluruh kepulauan melayu. Akhirnya Majapahit bungkem, tewas bukan di tangan pedang dan kekuatan senjata umat Islam, tetapi tewas di tangan ilmu dan hidayah. Di saat-saat pergolakan ini lahirlah sebuah kerajaan yang dahulunya pernah mencipta nama di timur dan di barat. Kerajaan itu tidak lain dan tidak bukan kerajaan melayu Melaka. Dari sebuah perkampungan nelayan, Melaka meningkat naik menjadi sebuah bandar pelabuhan yang menjadi tumpuan pedagangpedagang dari timur dan barat. Beransur-ansur Melaka menjadi kuasa maritim yang disegani dan akhirnya berkembang menjadi kuasa politik yang diiktiraf di kepulauan Melayu. Jajahan takluknya meliputi Pahang, Selangor, Sungai Ujung, siak, Kampar, Inderagiri dan Rokan. Kehadiran pusat perdagangan di Melaka telah mengubah kecenderungan dan tumpuan dari tanah Jawa kepada Selat Melaka. Para orientalis dengan pantas membuat kesimpulan. Kelahiran negeri Melaka dan kemunculan Melaka sebagai sebuah kuasa maritim itulah yang menjadi punca kepada kejatuhan empayar Majapahit. Emapayar Majapahit adalah sebuah kerajaan 'agro-based' yang bergantung kepada sumber-sumber pertanian dan 'agrikultur' seperti padi, tembakau, kopi dan lain-lain. Apabila Melaka berkembang menjadi sebuah pelabuhan entreport pertemuan pedagang-pedagang dari timur dan barat untuk mendapatkan bekalanbekalan rempah, barang-barang bermutu tinggi seperti sutera, 'china' wangi-wangian (camphor, barus etc) maka kecenderungan ekonomi juga turut beralih. Daerah-daerah melayu kini lebih suka membuat pelaburan di Melaka yang sudah tentu mendatangkan pulangan yang tinggi. Hubungan dagang akhirnya berkembang menjadi hubungan diplomatik. Ada juga jajahan yang mengiktiraf serta menyatakan kesetiaan kepada kesultanan melayu Melaka. Emapayar Majapahit kehilangan sebahagian besar dari 'revenue'nya yang kini mengalir dengan deras di Selat Melaka. Di tambah lagi dengan kegagalan kerajaan pusat mengawal pergeseran-pergeseran dalaman akhirnya Majapahit yang 'gah' itu hilang lenyap dari peta tidak ketahuan di mana hujung perjalanan sejarahnya. Kesimpulan yang cukup akademik! Mereka (orientalis) juga sempat memberi sedikit kredit kepada agama Islam di dalam hal ini. Oleh kerana sultan Melaka memeluk Islam, maka pedagang-pedagang dari Parsi, India dan tanah Arab sangat selesa untuk datang berniaga di Melaka. Pedagangpedagang inilah yang bertanggungjawab menaikkan ekonomi negeri Melaka yang secara tidak langsung telah membawa kepada kemunduran kerajaan Majapahit. Kesimpulannya kemakmuran ekonomi yang dicapai oleh Melakalah akhirnya menyebabkan kerajaan Majapahit tidak dapat bertahan lagi. Kita tidak dapat menerima pandangan ini. Kekalahan Majapahit bukan disebabkan oleh ekonomi walaupun kegiatan ekonomi punya sedikit saham kepada kejatuhannya. Sebab sebenar kepada berakhirnya empayar Majapahit bersama tamaddun Hindu-animisme yang menjadi dukungannya ialah berkembangnya satu tamaddun yang jauh lebih superior daripadanya. Tamaddun itu tidak lain dan tidak bukan ialah tamaddun ilmu.

Tamaddun ini telah membebaskan umat melayu yang hidup di bawah kekuasaan dewa-dewa dan raja-raja jelmaan Tuhan. Melaluinya subjek-subjek Majapahit di seluruh Nusantara memperoleh harga diri. Mulai saat itu tidak ada kuasa lagi yang dapat merampas hak mereka yang paling asasi - iaitulah hak dan kebebasan untuk menggunakan aqal dengan berpandukan kepada hidayah dari langit. Dalam masa yang begitu sengkat tamaddun ini telah mengangkat martabat umat melayu dari satu bangsa yang hina dan inferior kepada satu bangsa yang mulia dan berperibadi. Di saat-saat penguasa-penguasa Majapahit menikmati tarian-tarian yang dipersembahkan oleh gundek-gundek Istana dan menikmati puisi-puisi cabul yang memabukkan, para mubaligh dan da'i mengembara dari desa ke desa mengajak manusia supaya kembali mentauhidkan Tuhan rabb yang satu. Sedikit demi sedikit masyarakat mula memberikan perhatian kepada agama baru yang menjanjikan sesuatu yang tidak pernah mereka impikan sebelumnya iaitulah harga diri dan kemanusiaan mereka. Sebelumnya mereka tiada harga diri melainkan budak-budak suruhan Tuhan yang bertakhta di atas bumi yang mewakili dewa-dewa yang berkuasa dan bengis. Sehingga anak-anak perempuan mereka yang akan memasuki alam rumahtangga perlu 'direstui' oleh dewa-dewa dengan menyerahkannya kepada wakil-wakil tadi! [Ini fakta sejarah] Masa senggang mereka yang sebelumnya dipenuhi dengan permainan-permainan dan pementasan-pementasan penglipur lara kini mula diperuntukkan bagi mendengar penerangan mengenai agama baru ini. Balai-balai tempat pertemuan dan perapatan menjadi tumpuan utama. Tempat-tempat peribadatan hindu iaitu 'surau' (sehingga kini nama ini kekal menjadi tempat musalla/solat bagi masyarakat dalam sebuah kariah) bertukar menjadi pondok pengajian. Di dalamnya anak-anak muda mengaji dan mendalami agama baru ini. Para mubaligh bekerja menyediakan kader-kader da'wah untuk melanjutkan usaha-usaha da'wah keserata negeri. Ada tempat yang mudah menerima dan ada juga yang 'resistant' seperti masyarakat Batak di Sumatra Utara. Namun usaha gigih mereka telah berjaya mengislamkan sebahagian besar dari masyarakat melayu jauh di dalam daerah jajahan Majapahit sendiri. Pengislahan masyarakat di peringkat 'grass-root' inilah yang akhirnya melemahkan sendi dan foundation empayar Majapahit yang gagah itu. Sistem yang berdiri di atas kezaliman tidak akan dapat bertahan apabila berdepan dengan keadilan Islam. Maka runtuhlah Majapahit dan di atasnya berdiri tamaddun Islam yang berasaskan ilmu dan hidayah. Dalam siri ke 8 kita telah melihat bagaimana akhirnya Majapahit terpaksa mengundurkan diri dan mengosongkan kedaulatannya untuk diisi oleh Islam. Hakikat ini sebenarnya tidak sukar untuk difahami. Bagi mereka yang faham tentang hakikat aqidah Islam dan kesejahteraannya, maka peristiwa peralihan kuasa dari jahiliyyah kepada Islam ini adalah fenomena yang dijangka. Keadaan yang sama berlaku di seluruh dunia Islam samada ianya diiringi oleh kuasa tentera, pedagang mahupun mubaligh (guru-guru yang berda'wah kepada masyarakat yang jahil). Keindahan Islam serta keserasiannya dengan fitrah dan jiwa manusia sudah cukup untuk menjadi daya tarikan. Keadaan ini berlaku di Mesir, Asia Tengah, India dan juga Andalusia. Sungguhpun Islam di daerah-daerah tersebut datang dengan kekuatan tentera dan persenjataan, namun kemasukan ataupun penerimaan manusia terhadap Islam adalah atas kerelaan mereka sendiri setelah melihat keadilan Islam. Sebagai contoh kita perhatikan bagaimana orang-orang Farsi yang sejak ratusan tahun menganut agama Zoroastrian yang menyembah Tuhan api. Apabila tentera Islam menggempur bumi Farsi masyarakat bukan sahaja terpesona dengan keberanian dan kemahiran tempur tentera-tentera Islam, tetapi mereka semakin terpesona apabila melihat ketinggian akhlak mereka. Masyarakat Farsi tidak pernah melihat pasukan tentera yang begitu

kuat 'fisik' dan kelengkapannya dan di masa yang sama memiliki akhlak yang tiada tolok bandingnya. Mereka menjangka orang-orang 'Arab' yang datang untuk menjarah negeri mereka akan melakukan apa yang dilakukan oleh tentera yang menang iaitu membunuh orang-orang yang tidak berdosa, memperkosa wanita-wanita, memusnahkan harta benda. Apa yang mereka lihat adalah di luar dari jangkaan mereka - jangankan membunuh dan mencuri, mereka malahan menundukkan pandangan apabila terlihatkan wanita tempatan! Semasa pemerentahan Umar bin Abdul Aziz, tentera Islam telah mara sehingga ke Samarkand. Tanpa mengistiharkan peperangan, panglima mereka telah menyerang negeri Samarkand. Penduduk Samarkand yang tidak bersedia untuk mempertahankan diri telah mengajukan bantahan kepada Khalifah Umar bin Abd Aziz mengenai tindakan tentera Islam. Khalifah Umar apabila menerima bantahan ini telah menghantar utusan dan mengeluarkan arahan agar tentera Islam keluar dari bumi Samarkand kerana tidak mengikut aturan peperangan. Atas arahan tersebut, mereka berundur keluar dan kembali ke perbatasan wilayah Islam. Penduduk Samarkand merasa tertegun dengan ketinggian akhlak tentera-tentera Islam sehingga mereka mengatakan 'Kami ingat mereka ialah penakluk-penakluk tetapi mereka adalah pembawa-pembawa hidayah'. Demikianlah manusia menerima Islam kerana ketinggian akhlak penganutpenganutnya. Orang-orang koptik (Kristian) di Mesir, orang-orang Katholik di Andalus dan orang-orang Hindu di India kesemuanya memasuki Islam atas faktor ini. Bandingkan fakta sejarah ini dengan dakwaan orientalis - 'Islam disebarkan dengan pedang'. Jawapan kita ialah memang benar Islam disebarkan dengan mata pedang tetapi ianya adalah untuk menghapuskan sekatan-sekatan yang diletakkan oleh penguasa-penguasa yang menghalang masyarakat manusia dari menerima da'wah Islam. Kekerasan hanya digunakan untuk menumpaskan kuasa-kuasa taghut yang berdiri dengan memperhambakan manusia di bawah pemerentahannya. Akidah Islam punya kekuatannya yang tersendiri, kekuatan yang tidak dapat diatasi oleh kekuatankekuatan lain. Hakikat ini bukan sahaja benar disaat Islam berada di atas tetapi juga disaat Islam menghadapi zaman-zaman kemelesetannya. Apabila Baghdad diserang oleh Monggol pada tahun 1258, sebahagian besar dari umat Islam termasuk khalifahnya dihukum bunuh. Perpustakaan yang memuatkan khazanah ilmu umat Islam di universiti-universiti (tempat-tempat pengajian) dimusnahkan. Buku-buku dicampak ke dalam sungai sehingga dikatakan sungai Furat berubah warna menjadi hitam kerana dakwat. Tetapi kita lihat apakah yang berlaku selang beberapa tahun selepasnya. Orang-orang Monggol yang ganas dan bengis itu akhirnya memeluk Islam dan keturunan-keturunan mereka akhirnya menerajui Khilafah Islam yang terakhir iaitulah Khilafah Uthmaniah. Tidak pernah berlaku di dalam sejarah orangorang yang menang memeluk ugama orang-orang yang tewas. Itulah kekuatan tersendiri akidah Islam. Kembali ke nusantara, kita telah sebut di dalam siri yang lepas bagaimana para duat dan mubaligh telah berusaha untuk memperkenalkan Islam dan mengajak manusia kepada da'wah Islam. Kita juga telah tekankan betapa Islam yang bertunjangkan ilmu dan akhlaq ini akhirnya telah berjaya meyakinkan masyarakat melayu yang sebelumnya hidup dibendung oleh takhyul dan khurafat. Dalam masa yang sengkat masyarakat melayu mengalami transformasi yang tidak pernah disaksikan di dalam sejarah. Apabila pengembara Ibn Battutah melawat Asia, beliau telah singgah di Pasai pada tahun 1345. Beliau telah menceritakan pengalamannya di dalam bukunya yang masyhur iaitu 'ar-Rehlah'. Di dalamnya beliau mengatakan yang beliau sempat menghadiri majlis ilmu yang dihadiri oleh Sultan alMalikus Zahir, pemerentah Pasai pada zaman itu. Sultan dikatakan mengikuti

perbincangan-perbincangan ulama-ulama fiqh dengan penuh minat. Majlis ilmu (halaqat) tersebut di adakan seminggu sekali pada setiap hari Jumaat. Bandingkan senario di atas dengan gambaran yang dilukiskan oleh Marco Polo apabila beliau melawat tempat yang sama 'Pase' pada tahun 1290an, lebih kurang 50 tahun sebelumnya. Di dalam buku catatannya 'Il Milionne' (Description of the world), Marco Polo mengatakan penduduk-penduduk di Sumatera Utara mempunyai ekor dan mereka ini memakan daging manusia. Kapal yang dinaiki oleh Marco Polo sendiri berlabuh jauh ke tengah laut kerana takut ditangkap oleh manusia-manusia 'cannibal' tersebut. Marco Polo juga menceritakan bagaimana setengah-setengah bandar pelabuhan rakyatnya telah memeluk agama 'Muhammadan' (Islam) dan mereka ini bertamaddun dan hidup dengan makmur. Dalam masa tidak sampai 50 tahun, Islam telah mengubah rupa bentuk, budaya dan pemikiran orang melayu, mengangkat martabat mereka ke tempat yang selayaknya iaitu manusia dengan segala maruah dan kehormatan diri. Dan tiada yang dapat menghasilkan perubahan ini selain dari ilmu pengetahuan dan kefahaman. Kita melihat dalam period transition dari Hindu kepada Islam ini ditandai oleh kelahiran penulisan-penulisan ilmiah yang bermutu tinggi. Sedikit demi sedikit hasil-hasil sastera karut-marut seperti 'Hikayat Seri Rama', 'Hikayat Pandawa Lima' digantikan oleh kitab-kitab akidah dan fiqh. Sastera-sastera rakyat turut diresapi oleh unsur-unsur Islam sehingga lahirlah beberapa karya penting seperti 'Hikayat Umar Umaiyah' dan 'Hikayat Muhammad Hanafiyah'. Rakyat yang tidak tahu membaca akhirnya menguasai satu bahasa yang memberikan mereka identiti yang tersendiri - bahasa itu ialah bahasa al-Quran. Al-Quran telah membuka kotak pemikiran orang melayu sehingga mereka dapat memikirkan tentang kebesaran Allah serta keindahan ciptaannya. Worldview mereka berubah dari sesuatu yang berasaskan estetik (rasa dan nafsu) kepada sesuatu yang tinggi berdasarkan ilmu dan wahyu. Jiwa mereka yang terikat di bumi, dibelenggu oleh kepercayaan terhadap dewa-dewa dan hantu-hantu jembalang akhirnya lepas bebas menerawang di alam tinggi, mendalami ilmu wahyu dan filsafat ketuhanan. Tidak ada lagi Sang Kelembai yang mereka takuti atau jembalang tanah yang perlu disajikan kerana kini orang melayu punya Tuhan Allah untuk ditauhidkan. Raja tidak lagi menjadi bayangan Tuhan malahan hamba Tuhan yang diamanahkan untuk menjaga kemaslahatan rakyat pimpinannya. Meskipun proses transisi ini mengambil waktu yang lama, namun revolusi pemikiran yang dicetuskan oleh Islam ini bertanggungjawab kepada kelahiran satu kelompok manusia muslim di timur jauh, menjadi sebahagian dari warga umat Islam sejagat. Menemui netters sekali lagi di dalam siri SJN. Di dalam siri ini kita akan melihat peranan dan sumbangan da'wah wali songo - sekumpulan du'at 9 orang yang sangat terkenal di kepulauan melayu khususnya di pulau Jawa. Siapakah dia wali songo (wali sembilan ini?) Ketokohan sebenar wali songo ini tidak dapat dipastikan dengan tepat kerana peribadi mereka telah 'dikeramatkan' oleh orangorang melayu. Kehadiran mereka di dalam sejarah da'wah nusantara lebih merupakan satu lagenda. Kewujudan mereka walaubagaimanapun tidak dipertikaikan dan sumbangan mereka kepada da'wah cukup besar. Tidak ada kesepakatan tentang siapa-siapa dia yang dikatakan wali songo ini. Nama-nama mereka yang sebenarpun tidak dapat dipastikan. Mereka hanya dirujuk berdasarkan tempat mereka menetap dan berda'wah seperti Sunan Bonang, Sunan Giri, Sunan Ampel, Sunan Kalijaga, Sunan Gunungjati, Sunan muria dan sebagainya. Ini merupakan sebahagian dari adab orang melayu di hadapan ulama dan pejuang Islam. Seorang ulama itu biasanya dirujuk kepada tempat asalnya seperti Syeikh Abdul Rauf Singkel (berasal dari Singkel, Sumatera), Syeikh Nuruddin Ar-Raniri (berasal dari Ranir, India), Syeikh

Abd. Samad Palembang (berasal dari Palembang, Sumatera Selatan), Syeikh Daud Fattani (dari Pattani), Syeikh Arshad al-Banjari (dari suku Banjar, Kalimantan) dsbnya. Rasa hormat itu semakin menyerlah apabila ulama berkenaan pulang ke rahmatullah seperti Syeikh Abdul Rauf Singkel hanya dikenali dengan panggilan Syeikh di Kuala kerana jenazahnya dikembumikan di Kuala, Acheh. Begitu juga Assyahid Raja Haji hanya dikenali dengan Marhum Ketapang kerana beliau gugur syahid sewaktu menentang Belanda di Ketapang, Melaka. Kemungkinan wali-wali songo juga dirujuk berdasarkan adab-adab yang terpakai oleh masyarakat melayu apabila berhadapan dengan ulama. Wali Songo melaksanakan aktiviti da'wah mereka di tanah Jawa. Jawa adalah merupakan kawasan yang paling kuat pengaruh dan budaya Hindu kerana ia merupakan pusat pemerentahan Majapahit. Jawa adalah pusat tamaddun Hindu di kepulauan melayu yang mencapai kemuncaknya sekitar kurun ke 14 masihi. Selain dari Majapahit, beberapa kerajaan Hindu yang lain juga pernah memerentah tanah Jawa samada sebagai wilayah yang mengiktiraf hegemoni Majapahit ataupun lanjutan sisa-sisa empayar Majapahit seperti Sailendra, Pasuruan, Pajajaran dan Mataram. Sastera-sastera epik Hindu seperti hikayat Seri Rama dibaca dengan meluas di kalangan lingkungan kraton (istana) dan golongan bangsawan. Kitab-kitab suci Mahabrata diterjemahkan ke dalam bahasa Jawa dengan menggunakan penulisan kawi (tulisan jawa kuno). Seni kebudayaan yang bertemakan epik-epik Hindu mendapat tempat di dalam masyarakat desa. Upacara-upacara agama Hindu diraikan dengan penuh ghairah dan mendapat penyertaan yang meluas. Gambaran ini boleh dilihat pada hari ini di pulau Bali. [Tidak hairanlah mengapa para orientalis memberikan tumpuan yang cukup besar kepada Jawa apabila memperkatakan tentang sejarah dan kebudayaan melayu. Bagi mereka kebudayaan dan keagungan sejarah orang melayu mencapai kemuncaknya di tanah Jawa. Malahan nama Nusantara itu sendiri dipilih oleh mereka. Van Vlekke, sejarawan ulung orientalis memilih-pakai nama Nusantara yang berasal dari kamus Majapahit untuk merujuk kepada seluruh kepulauan melayu. Nusantara berasal dari dua kata punca nusa dan antara - nusa bererti tanah, jadi nusantara ialah pulau antara lautan. Istilah nusantara ini digunakan oleh Majapahit apabila merujuk kepada daerah-daerah di bawah jajahan takluknya. Implikasinya Nusantara ialah daerah-daerah kepulauan melayu yang dirujuk dari Pulau Jawa sebagai pusat dan tumpuan (Van Vlekke)) Dalam keadaan kekufuran yang melata dan sebati dengan jiwa orang-orang Jawa itulah wali songo menjalankan kegiatan da'wah mereka. Dengan berdasarkan kepada ijtihad, kumpulan wali songo ini telah menggunakan dua pendekatan. Pendekatan yang pertama ialah pendekatan yang menolak samasekali cara hidup dan amalan masyarakat setempat sedang pendekatan kedua menggunakan amalan kebiasaan masyarakat untuk mengenengahkan risalah Islam. Dua pendekatan ini akhirnya melahirkan dua kelompok besar umat Islam di Pulau Jawa. Golongan yang pertama dinamakan golongan 'putehan' yaitu golongan yang berpegang teguh kepada ajaran islam dengan mengamalkan semua tuntutan-tuntutan pokok syariah. Golongan yang kedua ialah golongan 'abangan' yaitu golongan yang mencampur-adukkan syariat dan adat setempat. Identiti kedua golongan ini semakin jelas di zaman penjajahan barat. Penjajah Belanda telah menggunakan golongan abangan untuk memenuhi cita-cita imperialis mereka. Golongan ini mudah dipengaruhi kerana pegangan mereka terhadap Islam yang agak kabur sedang golongan kedua yaitu mereka yang berpegang teguh dengan syariat mempelopori perjuangan menentang Belanda. Keadaan yang sama berlaku di Sumatera Barat apabila penjajah Belanda menggunakan golongan 'adat' untuk menentang golongan 'agama'. Salah seorang dari ulama wali songo ini

ialah Sunan Gunung Jati atau lebih dikenali dengan Syarif Hidayatullah. Beliau berasal dari Pasai yang kemudiannya berpindah ke tanah besar Jawa. Syarif Hidayatullah merupakan seorang ulama mujahid kerana usaha beliau mempertahankan kedaulatan Islam dari serangan dan penjajahan Portugis. Kerana kepahlawanannya beliau dikenali sebagai Fathillah (kemenangan dari Allah) dan terkenal dengan sebutan 'Falatehan' di dalam penulisan-penulisan Belanda. Seorang lagi wali songo yang terkenal ialah sunan Giri. Beliau merupakan ulama yang mempunyai sumbangan yang besar kepada kerajaan Islam Demak yang berdiri selepas kejatuhan Majapahit di tanah Jawa. Giri merupakan tempat pengajian Islam yang penting di pulau Jawa. Ulama-ulama di Giri telah meniupkan semangat jihad orang-orang Jawa untuk berhadapan dengan Portugis di Melaka (kita akan membicarakan tentang hal ini di dalam siri-siri akan datang). Salah seorang dari wali songo ini bernama Syeikh Siti Jenar. Beliau bagaimanapun telah melakukan penyelewengan kerana mencampuradukkan doktrin 'wihdatul wujud' - kesatuan segala di dalam ajarannya. Wihdatul wujud adalah doktrin yang dipengaruhi oleh unsurunsur agama Hindu yang melihat segala sesuatu ialah jelmaan Tuhan di bumi (ajaran wihdatul wujud ini juga muncul di Farsi dan dipelopori oleh Ibnu Arabi). Beliau telah dihukum bunuh oleh ulama-ulama wali songo yang lain kerana kefahaman yang membahayakan kesejahteraan akidah Islam. Walaubagaimanapun seperti yang akan dilihat nanti, kefahaman wihdatul wujud ini mendapat tempat di kepulauan melayu dan tersebar dengan meluas sehingga mengkaburkan risalah untuk ratusan tahun yang berikutnya. "Berkembangnya da'wah disaat kejatuhan umat" Apabila memperkatakan tentang proses da'wah di kepulauan melayu maka di sana terdapat satu pemerhatian yang agak menarik. Proses penyebaran Islam di tempat-tempat lain di luar jazirah Arab lazimnya mengiringi penaklukan ketenteraan seperti di Mesir (Amr bin Al-As), Farsi (Khalid al-Walid dan Saad bin Abi Waqash, Rub'i bin Amir), Afrika Utara (Musa bin Nusair), Andalusia (Tariq bin Ziad), India (Muhammad alQasim, Mahmood Ghazni) dan sebahagian France (Abdul Rahman). Ini tidak bermakna Islam disebarkan dengan mata pedang seperti yang cenderung dikemukakan oleh para orientalis. Kekuatan senjata hanyalah untuk memastikan bahawa proses da'wah berlaku dengan sejahtera tanpa sekatan dan halangan penguasa-penguasa yang berkepentingan. Kekuatan tersebut akan digunakan apabila ada usaha untuk menghalang manusia daripada mendengar isi kandungan risalah yang dibawa.. Ini dirumuskan oleh Rub'i bin Amir apabila berhadapan dengan Panglima Rustum (Farsi) dengan perkataannya yang masyhur. "Kami datang untuk mengeluarkan manusia siapa yang mahu dikalangan mereka dari penyembahan sesama manusia kepada penyembahan kepada Allah dari kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat dan dari keza liman agama-agama kepada keadilan Islam." Jelas dari ungkapan di atas tiada unsur-unsur paksaan di dalam mengajak manusia kepada kebenaran Islam. Namun apabila misi ini disekat oleh Kisra (Raja Farsi), umat Islam tidak punya pilihan lain selain dari mengangkat senjata. Dalam ertikata yang lain, jihad qital (senjata) adalah pilihan terakhir apabila masyarakat dihalang dari mendengar penerangan-penerangan Islam oleh pehak yang berkuasa. Senjata digunakan ke atas tentera musuh dan bukan diacungkan kepada rakyat untuk memaksa mereka supaya menganut Islam. Seperti yang telah disebut sebelum ini, penduduk pribumi yang dilewati oleh tentera Islam menerima Islam atas 'free-will' mereka dan dengan 'consciouns' mereka sendiri setelah melihat akan keadilan dan keindahan Islam yang dipamerkan oleh penganut-penganutnya. Proses da'wah yang sedemikian walaubagaimanapun hanya berlangsung dalam jangkamasa seratus tahun

dari kewafatan Rasulullah saw. Kelemahan-kelemahan yang dialami oleh kerajaankerajaan Islam selepasnya menyebabkan ekspedisi-ekspedisi ketenteraan untuk membawa Islam ke tempat-tempat yang jauh tidak lagi menjadi keutamaan. Sebaliknya usaha-usaha lebih banyak ditumpukan untuk mengawal sempadan/wilayah umat Islam ancaman-ancaman musuh yang semakin meningkat. Ancaman terbesar datangnya dari tentera-tentera salib di Eropah yang melancarkan kempen-kempen untuk merampas kembali BaitulMuqaddis dari tangan umat Islam menjelang kurun ke 10 masehi. Ancaman yang berlangsung sehingga kurun ke 12 ini telah menumpukan usaha jihad umat Islam untuk mempertahankan bumi Baitulmuqaddis dari serangan tentera salib. Kurun ke 13 juga menyaksikan kejatuhan Khilafah Abbassiyah apabila Baghdad musnah akibat serangan Monggol (1258). Khilafah Ummayyah yang berpusat di Cordoba, Andalus juga berhadapan dengan ancaman-ancaman negaranegara kota Kristian di semenanjung Iberia. Dalam suasana kemelut yang melanda pusat-pusat pemerentahan Islam itulah da'wah disebarkan di Nusantara. Perkara ini wajar menjadi bahan renungan bersama kerana ia menunjukkan dinanisme da'wah itu sendiri. Pendukong-pendukong risalah generasi terdahulu mempunyai visi yang jelas terhadap peranan serta tanggungjawab yang terpikul di atas pundak mereka. Meskipun kekurangan sumber dan sokongan logistik dan ketenteraan, mereka tetap melaksanakan tugas membawa Islam ke tengah-tengah masyarakat manusia. Modus penyebaran yang sedemikianlah yang telah membawa Islam ke selatan Sahara sehingga Afrika Tengah dan Afrika Selatan. Di timur jauh, para penda'wah telah memanfaatkan 'trade routes' dan 'trading winds' yang sedia wujud untuk mempersembahkan Islam kepada rumpun bangsa melayu. Zaman kemelesetan dunia Islam juga ditandai oleh pelbagai bentuk 'heresies'- penyelewengan-penyelewengan yang menjejas kesejahteraan aqidah umat. Pandangan-pandangan yang asing mengenai konsep 'ketuhanan' yang dipengaruhi oleh falsafah Yunani (Greek) dan kepercayaan-kepercayaan asal pribumi merupakan cabaran besar yang dihadapi oleh umat Islam pada ketika itu. Penyelewengan-penyelewengan ini turut mempengaruhi dan mencorakkan usaha-usaha da'wah di nusantara. Kefahaman-kefahaman berunsur Syiah berjaya menapak di beberapa tempat di Sumatra Barat khususnya: setengah tempat merayakan perayaan Tabut Ali - sama seperti hari memperingati hari karbala' di Iran hari ini), meskipun lama-kelamaan ia diganti dengan pengaruh dan amalan Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Kefahaman sufi yang melampau walaubagaimanapun meninggalkan kesan yang berpanjangan dan berterusan. Pandangan-pandangan yang bertentangan dengan aqidah tauhid seperti 'wihdatul wujud' (kesatuan Tuhan dengan makhluk atau jelmaan Tuhan di dalam ciptaanNya) mencapai kemuncaknya di kurun ke 17 dalam bentuk ide-ide Hamzah Fansuri. Penulisan-penulisan beliau yang mempunyai nilai sastera yang tinggi seperti 'syair perahu', syair burung pingai' merumuskan kefahaman beliau terhadap zat Tuhan yang tidak jauh berbeza dengan pandangan Ibnu Arabi di Farsi. Falsafah wihdatul wujud ini begitu tersebar sehingga di satu ketika menjadi pegangan resmi kesultanan Islam Acheh. Walaubagaimanapun usaha-usaha gigih yang dilakukan oleh ulama-ulama ulung seperti Syeikh Abdul Rauf Singkel dan Nuruddin Ar-Raniri telah berjaya membendung pengaruh falsafah tersebut - sekurang-kurangnya dari terus menjadi amalan masyarakat secara terbuka. Kita dapat membayangkan betapa sukarnya usaha-usaha ulama terdahulu untuk mengislamkan masyarakat melayu yang telah sebati jiwanya dengan kepercayaankepercayaan terhadap Tuhan yang menjelmakan dirinya di dalam makhluk (samada dalam bentuk semangat, penunggu, dewa mahupun raja). Kesukaran ini ditambah lagi dengan bentuk-bentuk 'Islam' yang menyeleweng yang seakan-akan menunjukkan

persamaan dengan agama asal mereka. Namun 'against all kinds of odds' mereka, i.e. ulama berjaya melahirkan umat melayu Islam yang sejahtera akidah dan ibadahnya. Cabaran terbesar yang pernah ditangani oleh umat melayu Islam bukan Syiah atau kefahaman sufi yang melampau tetapi ancaman ini datangnya dari jurusan barat penjajahan Portugis, Sepanyol, Belanda dan Inggeris yang mencorakkan sejarah da'wah dan jihad di nusantara selama 500 tahun yang berikutnya. "Admiral Muhammad Cheng Ho: seorang envoy muslim dari sebuah kuasa besar Islam?" Cheng Ho adalah satu nama yang tidak asing lagi bagi kita. Tokoh ini bukan sahaja terkenal di Malaysia malahan juga di tempat-tempat lain di dunia khususnya di Asia Tenggara. Di Thailand, Cheng Ho dikenali sebagai Sam Po kong. Dalam konteks sejarah tanah air, tokoh ini dikaitkan dengan kesultanan melayu Melaka. Beliu melawat Melaka di zaman pemerentahan Sultan Mansur Syah sebagai wakil kerajaan Cina dinasti Ming. Dinasti Ming pada waktu itu merupakan satu kuasa besar yang diiktiraf oleh negara-negara serantau. Untuk menguatkan pengaruhnya, kerajaan Ming telah menganjurkan beberapa siri misi diplomatik ke negara-negara selatan. Misi-misi ini bertujuan untuk menjalin hubungan dengan dunia luar, menjaga keamanan di laut selatan, menghapuskan ancaman lanun serta memberikan perlindungan kepada negara-negara yang lemah. Dinasti Ming mencapai kemuncaknya di zaman pemerentahan emperor Yung Lo. Emperor Yung Lo telah menganjurkan beberapa banyak misi diplomatik tersebut. Sebahagian besar darinya (sebanyak 9 kali) dipimpin oleh Admiral Cheng Ho. Satu hakikat sejarah yang jarang diperkatakan tentang Cheng Ho ialah mengenai keperibadiannya serta kerajaan yang diwakilinya. Admiral Cheng Ho yang harum namanya di dalam sejarah kesultanan Melayu Melaka adalah seorang muslim dan namanya yang sebenar ialah Muhammad Cheng Ho. Beliau dilahirkan di dalam keluarga muslim yang taat. Ibu dan ayah saudaranya telah menyempurnakan ibadah haji. Cheng Ho sendiri pernah melaksanakan ibadah umrah sebanyak dua kali dalam misi diplomatiknya (lihat ensaiklopedia Britannica) Kajiankajian yang dilakukan oleh sejarawan-sejarawan Cina memberikan sedikit gambaran tentang misi-misi diplomatik di bawah pimpinan Cheng Ho. Sebelum berangkat beliau dikatakan mengerjakan sembahyang sunat dua rakaat bersama anggota-anggota rombongannya. Satu sumber sejarah menyebut bilangan anggota rombongannya ialah seramai 27,000 orang dan sebahagian besar dari mereka adalah muslim. Vice Admiral beliau bernama 'Ho shein' iaitu sebutan Hussein dalam bahasa Cina. Begitu juga navigator beliau bernama 'Fa shein' - sebutan Cina bagi Faisal. Sekiranya sebahagian besar dari angkatan Cheng Ho terdiri dari kalangan muslim apakah yang boleh diperkatakan tentang Kerajaan Ming. Besar telahan kita bahawa Islam di zaman dinasti MIng kalau tidakpun menjadi anutan resmi, merupakan satu agama yang diterima baik oleh pemerentah. Perkara ini diketengahkan oleh Al-Marhum Teing Yeng Ma (PERKIM) di dalam bukunya 'Perkembangan Islam di Tiongkok'. Beliau menyatakan penyelidikan sejarah telah membuktikan bahawa Empress Ma (permaisuri kepada Maharaja Yung Lo) adalah seorang muslimah. Ahli-ahli sejarah walaubagiamanpun tidak dapat menetapkan status maharaja Yung Lo. Tetapi beberapa puisi hasil nukilan maharaja Yung Lo sendiri menunjukkan kecenderungannya kepada Islam - antara lain isi kandungan puisi tersebut memujimuji Rasulullah saw dan memperkatakan tentang al-Quran. (Puisi ini di salin dalam buku Perkembangan Islam di Tiongkok - malangnya tiada dalam simpanan saya di UK ini untuk diperturunkan buat tatapan pembaca). Peraturan yang terdapat pada zaman itu juga menguatkan lagi andaian mengenai status keislaman maharaja Yung Lo. Salah satu dari peraturan yang dikuat kuasakan ialah pengharaman daging khinzir

(babi). Sekiranya pegawai-pegawai atau tentera didapati melanggar aturan ini mereka akan dibuang wilayah untuk mengawal pos-pos yang terletak diperbatasan negara. Berdasarkan kepada petunjuk-petunjuk sejarah ini kita boleh membuat beberapa kesimpulan. Pertama, usaha-usaha yang disebut sebagai 'pelayaran Cheng Ho' bukan semata-mata untuk memenuhi objektif-objektif diplomatik tetapi lebih dari itu iaitu untuk menjalin hubungan dengan negara-negara umat Islam di Asia Tenggara, Asia Selatan dan Afrika Timur. Antara tempat-tempat yang pernah diziarahi oleh Cheng Ho di Afrika Timur ialah Malindi dan Mombasa, dua bandar pelabuhan muslim yang penting di sana. Kedua, perlindungan yang diberikan oleh misi-misi diplomatik ini telah membantu mengekalkan keamanan dan keselamatan di rantau sebelah sini. Kedaulatan Melaka sebagai pusat pemerentahan, perdagangan dan pengajian Islam juga turut terpelihara dari ancaman musuh serantau khususnya Siam. Dari perspektif ini sumbangan Adm. Muhammad Cheng Ho terhadap kesejahteraan kepulauan melayu telah secara langsung dan tidak langsung membantu memantapkan perkembangan Islam di sini. Apapun, sebuah armada yang dimiliki oleh satu kuasa besar (Islam) telah meronda dan mengawal perairan antarabangsa di lautan Hindi, Selat Melaka, Laut Cina Selatan dan Laut Sulu 100 tahun sebelum ianya dicerobohi oleh armada-armada Portugis dan Sepanyol. "Sultan Alauddin Ri'ayat Syah - adil lagi wara'" Apabila bercakap tentang kesultanan melayu Melaka maka di sana hanya terdapat satu sahaja rujukan tempatan bertulis yang 'berotoriti' iaitu Salalatus Salatin atau Silsilah Raja-raja. Sumber bertulis sejarah yang pertama dalam konteks Tanah melayu ini lebih dikenali dengan nama 'Sejarah Melayu'. Pengarangnya tidak lain dari Tun Seri Lanang yang namanya diabadikan menjadi nama perpustakaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). 'Authenticity'nya bagaimanapun tidak dapat dipertanggungjawabkan kerana di dalam terdapat ciri-ciri 'anakronism' iaitu mencampuradukkan dua kejadian yang berlaku pada zaman yang berbeza (seperti halnya Hang Tuah pergi ke istana Majapahit - sedangkan Kerajaan Majapahit telah lama berakhir). Sebabnya sedia dimaklumi kerana 'Sejarah Melayu' ditulis selepas kejatuhan Melaka dan dipenulisannya adalah di bawah patronize (naungan) keluarga di Raja. Tun Seri Lanang juga sangat berhati-hati dengan penulisannya dengan menggunakan kiasan-kiasan sepertimana yang akan kita perhatikan. Hanya dua naskhah Manuskrip 'Sejarah Melayu' yang asal yang dapat dikesan. Kedua-duanya didokumentasikan oleh Shellabear* dan Raffles, makanya dirujuk sebagai naskhah Shellabear dan naskhah Raffles. 'Sejarah Melayu' merupakan sumber utama apabila memperkatakan tentang kesultanan Melayu Melaka. Di dalamnya terdapat satu kesah dongeng yang menjadi lagenda sehingga hari ini. Kesah dongeng itu tidak lain dari 'Kesah Puteri Gunung Ledang'. Sekadar mengungkap kembali kesah ini, Sultan Melaka dikatakan bermimpi menemui Puteri Gunung Ledang yang cantik dan rupawan. Makanya diperentahkan supaya dihantar satu rombongan masuk meminang. Berangkatlah rombongan meminang mendaki Gunung Ledang. Dipendekkan cerita mereka menemui Puteri Gunung Ledang yang dimimpikan oleh Sultan, maka disampaikanlah hajat Sultan. Puteri Gunung Ledang tidak keberatan tetapi meletakkan beberapa syarat sebagai hantaran belanja. Maka disenaraikan satu persatu, antaranya: 7 dulang hati nyamuk setempayan air mata perawan jambatan emas dari Gunung Ledang ke Melaka semangkuk darah raja (atau putera raja) Maka dipersembahkan kepada Sultan syarat-syarat yang diletakkan. Anehnya Sultan bersedia memenuhi syarat-syarat yang diletakkan kecuali satu iaitu semangkuk darah raja. Di sinilah kebijaksanaan Tun Sri Lanang terserlah. Kesah dongeng ini sebenarnya merupakan sindiran kepada Sultan Melaka. Setempayan air mata perawan

adalah simbol kepada penderitaan anak-anak gadis dan isteri orang yang telah dipaksa oleh Sultan. Sultan sanggup membelanjakan perbendaraan negara semata-mata untuk memuaskan nafsu dan kehidupannya yang 'extravagant'. Lantaran itu baginda Sultan menyatakan kesanggupannya untuk membina sebuah jambatan yang merentang dari kota Melaka ke Gunung Ledang. Baginda juga sanggup melakukan sesuatu yang mustahil semata-mata untuk memenuhi hajatnya, seperti yang digambarkan oleh kesah ini - 'sedulang hati nyamuk'. Tetapi kesediaan baginda untuk menyediakan semua itu tidak memadai untuk memenangi hati puteri Gunung Ledang. Baginda rupanya tidak sanggup untuk menumpahkan darah baginda sendiri - bukan banyak, semangkuk cuma! Sikap sultan yang hidup mewah yang agenda utamanya hanya untuk melempiaskan nafsu ditelanjangi oleh Tun Sri Lanang. Baginda tidak sanggup mempertahankan kedaulatan negeri yang diperentahnya... Ahli sejarah berpendapat personaliti sultan yang digambarkan oleh TSL ini ialah Sultan Mahmood, (pun ada juga yang merujuk kepada Sultan Mansur Syah). Sejarah Melayu mendedahkan bagaimana sikap Sultan Mahmood yang rakus sanggup membunuh Bendahara Seri Maharaja yang terkenal dengan kebijaksanaan beliau mentadbir kota Melaka sematamata untuk mengahwini puterinya Tun Fatimah. Sultan sanggup merampas Tun Fatimah dari tangan suaminya yang sah. Sultan tergamak menumpahkan darah rakyatnya untuk memenuhi kehendak nafsunya tetapi sultan yang sama tidak sanggup bertahan apabila Melaka diserang oleh Feringgi. Demikianlah gambaran kezaliman seorang raja.... Namun demikian apabila bercakap tentang sejarah kesultanan melayu Melaka, maka di sana perlu disebut mengenai Sultan Alauddin Ri'ayat Syah - sultan yang kedua terakhir sebelum Melaka jatuh ke tangan Portugis. Tidak banyak yang diketahui mengenai Sultan Alauddin Ri'ayat Syah kerana umurnya yang pendek dan pemerentahannya yang sengkat. Namun demikian baginda telah meninggalkan contoh seorang pepimpin model yang perlu diikuti oleh sesiapa sahaja yang di amanahkan pemerentahan negara ke atas dirinya. Baginda sangat terkenal dengan sikap adil dan wara'nya. Seringkali baginda meronda kota Melaka di tengah malam sendirian untuk memastikan keselamatan rakyat di bawah pemerentahannya. Baginda pernah menumpaskan sekumpulan penyamun tanpa sebarang bantuan dari pasukan pengawal negeri. Selain dari Sejarah Melayu, terdapat dua sumber penulisan mengenai kerajaan Melaka yang ditulis oleh orang asing. Sumber tersebut ialah 'Suma Oriental' yang ditulis oleh seorang pengarang Portugis bernama Tome Pires dan sebuah rekod catatan penulis Belanda bernama De Eredia. Tome Pires antara lain menulis mengenai Sultan Alaudin sebagai raja yang sering melakukan sembahyang di malam hari. Kalau sdr/i dalam perjalanan ke Johor dan melalui lebuh raya utara selatan, singgahlah sebentar di Pagoh. Keluar di simpang tol ikut arah ke Pagoh. Singgahlah sebentar di makam Sultan Alauddin yang tidak jauh dari sana untuk menghadiahkan fatihah. Kenapa baginda bersemadi di Pagoh? Satu pertanyaan yang sehingga hari ini tidak ditemui jawapannya. Ada ahli sejarah mengatakan baginda meninggal akibat diracun oleh orang-orang yang mengkhianati baginda. Cuma yang kita tahu sewaktu meninggalnya, baginda sedang bersiap-siap untuk berangkat menunaikan ibadat haji. Makam Sultan Alauddin Ri'ayat Syah adalah satu-satunya makam Sultan Melaka yang dapat dikesan (selain makam Sultan Mahmood Syah di Julang, Kota Tinggi). Makam sultan yang terdahulu tidak dapat dikesan kerana telah dimusnahkan oleh Portugis bersama dengan mesjid negeri Melaka - batu-batu dari mesjid dan makam yang telah dimusnahkan itu digunakan untuk membina kota 'A Famosa' yang masyhur itu. Sdr/i yang dihormati. Menyambung siri SJN ke 14. Sebelum kita dapat memahami perjalanan sejarah da'wah di Nusantara dari kurun ke 16 seterusnya adalah

perlu bagi kita melihat sejarah umat Islam dari sudut pandangan yang global. Apa yang berlaku di timur jauh pada zaman itu adalah sebahagian dari rentetan peristiwa yang berlaku di Timur Tengah dan Eropah Barat. Kurun ke 16 menyaksikan fasa per juangan umat yang getir serta meninggalkan kesan kepada seluruh dunia Islam yang berlanjutan sehingga ke hari ini. Menjelang kurun ke 13, kerajaan-kerajaan Islam Andalus telah kehilangan sebahagian besar daripada wilayah jajahan takluknya di Semenanjung Iberia. Kemaraan tentera salib Kristian tidak dapat dibendung lagi oleh kerajaan-kerajaan kecil (at-Tawaif) Islam yang sendiri telah runtuh dari dalam akibat pergeseran-pergeseran yang tidak berkesudahan. Di saat-saat keruntuhan Empayar Islam Sepanyol, dua kedaulatan Kristian, Castille dan Arragone telah bersatu tenaga untuk seterusnya mencorakkan perjalanan sejarah Kristian Sepanyol yang gilang gemilang. Kekuatan umat Islam Sepanyol yang tersisa tidak lagi dianggap merbahaya kepada kesejahteraan peradaban dan agama Kristian. Umat Islam yang digeruni ketika menyeberangi Selat Gibraltar (Jabal Tariq) dan ketika melintasi perbatasan Pyrenness suatu waktu dulu kini terjepit dalam satu wilayah, Granada di pinggir selatan pantai Sepanyol. Kiranya Islam tidak juga diberi peluang untuk bernafas dalam satu-satunya wilayah yang diharapkan akan dapat diperturunkan kepada generasi akan datang sebagai tanda dan bukti bahawa sayap dakwahnya pernah terbang ke Eropah Barat. Pada tahun 1492, jatuhlah kerajaan Islam Granada sekaligus menutup episod 800 tahun pemerentahan Islam di Andalus. Kristian Eropah semacam memperoleh kekuatan yang baru dari kekalahan Islam di Semenanjung Iberiaa. Semangat keagamaan dan kefanatikan Kristian terus membara menghidupkan dhamir dan sanubari bangsa-bangsa Eropah untuk membangkitkan semangat 'crusade' dan telah menggenapkan cita-cita `Reconquista' untuk membebaskan tanah air mereka dari kekuasaan Islam. Semangat yang sama telah membawa mereka anean untuk melancarkan seranganserangan balas ke atas persada umat Islam sendiri. Ekspedisi sulung yang dilancarkan oleh Portugis pada tahun 1415 telah berjaya merebut Ceuta di pantai barat-laut Afrika Utara. Pertahanan Islam di Tangier dan Casablanca turut kecundang lalu lahirlah Empayar seberang laut Portugis yang pertama. Sepanyol tidak ketinggalan di dalam menye diakan tapak pengluasan pengaruh dan kekuasaan di Afrika Utara dengan merebut wilayah-wilayah pantai dari Melilla sehingga ke Tripoli. Tujuan mereka adalah untuk memastikan bahawa Islam terus lemah di Eropah. Walaubagaimanapun kedaulatan umat Islam masih terpelihara di bawah kedaulatan Turki Uthmani di Anatolia. Kewibawaan armada Turki Uthmani yang meronda perairan Mediteranean telah menghalang cita-cita Portugis dan Sepanyol dari terus membina kekuatan di Afrika Utara. Konflik Islam/Kristian terus melanda bumi Eropah. Kembalinya Semenanjung Iberia ke tangan Portugis dan Sepanyol tidak bermakna tamatnya cabaran dan ancaman Islam. Dari jurusan timur, satu kekuatan baru telah lahir dari musuh yang sama, iaitu kerajaan Utkmaniyah. Di bawah pimpinan Sultan Muhammad al-Fateh (Muhammad penakluk), Constantinople (Istanbul) yang terletak di di selat Bosphorus akhirnya jatuh ke tangan umat Islam setelah cubaan selama 800 tahun sejak zaman Khalifah Usman bin Affan r.a. lagi. Kota kebanggaan umat Islam itu jatuhnya pada tanggal 1453M. Kerajaan Uthmaniyah terus menggempur Eropah Timur dan menawan wilayah wilayah Albania dan Balkan. Di sebelah selatan, armada Turki telah berjaya menawan pelabuhan Otranto dan bersiap untuk memasuki Rome.Di Eropah Timur, Greek dan Hungary sudah jatuh ke dalam wilayah kekuasaan Islam. Wilayahwilayah Islam di Asia Barat dan Afrika Utara telah mengiktiraf khilafah di

Istanbul. Armada Turki semakin diperbesar untuk mengawal kepentingan perkapalan dan perdagangan Islam di Laut Mediterranean, di Lautan Hindi dan malahan di Lautan Atlantik. Zaman kemuncak segera disusuli oleh zaman kemunduran. Bersama terhakisnya kekuatan dan kewibawaan Turki sebagai kuasa militer di Eropah ialah kelahiran kuasa maritim Portugis dan Sepanyol yang kelak membuka episod baru dalam sejarah konflik Islam/Kristian. Pertembungan yang sebelumnya lebih tertumpu di dalam daerah lingkungan Mediteranean dari Timur tengah dan Asia Kecil sehingga ke Afrika Utara dan Semenanjung Iberia kini mula mengambil bentuk yang global. Seluruh dunia Islam akhirnya terseret ke dalam pertembungan dua agama samawi sekaligus membuka tirai `penerokaan' dan penjajahan ke atas wilayah umat Islam. Kita masih memperkatakan tentang 'the Portuguese exploit' dalam rangka untuk melihat perang sabil yang berlaku di Nusantara menjelang kurun ke 16 Dengan berbekalkan semangat waja dan kegigihan, pelaut-pelaut Bangsa Portugis, Hispanik dan Genoese mengharung lautan dalam, menerokai kawasan-kawasan yang jauh dan asing dalam rangka melaksanakan tugas `suci' dan mencapai matlamat kenegaraan dan ekonomi. Walau apapun motif sebenar yang menggerakkan ekspedisi-ekspedisi pelayaran jarak jauh ini, yang pasti ianya wajar untuk dikagumi. Dengan nisbah kependudukan yang kecil berbanding dengan misi yang terpikul, mereka telah berjaya menjelajah dan menerokai hampir separuh dari pusat-pusat perdagangan dunia. Dari pelabuhanpelabuhan yang diduduki mereka telah menguasai jalan-jalan perdagangan laut, meruntuhkan hegemoni politik dan ekonomi kuasa-kuasa tempatan lalu menggantikannya dengan otoriti yang berpusat di Lisbon dan Madrid. Mereka menjelajah dan membahagi-bahagikan dunia luar sesama mereka seolah-olah seperti mengagih-agihkan harta rampasan perang dari musuh yang ditewaskan. Batu-batu `tanda' penerokaan dan penjelajahan menjadi bukti hak milik supaya tidak dipertikaikan oleh pesaing-pesaing yang sama-sama keluar memburu kekayaan. Dengan perentah dan `regimento' yang diluluskan di Portugal dan Sepanyol mereka telah membentuk satu order baru dunia di tanah-tanah jajahan mereka dari timur hingga ke barat. Kepentingan-kepentingan kuasa-kuasa Eropah kini merentasi dunia dari Tanjung Pengharapan ke Kalikat, dari Goa hingga Melaka, dari Maluku hingga Manila, dari Macao hingga Nagasaki dan dari Brazil hingga Mexico. Bermula dari kurun ke 15, barat telah muncul sebagai juara dunia. Usaha-usaha penerokaan dan penjelajahan Portugis dan Sepanyol, telah disusuli oleh `campurtangan' dan penjajahan Inggeris, Belanda dan Peranchis dan akhirnya dilanjutkan dengan dasar imperialis kuasa-kuasa besar dewasa ini. Senario di atas memberikan satu gambaran mengenai fenomena yang telah mengalihkan perhatian kita dari pertentangan yang berlanjutan di antara Islam dan Kristian di Asia Barat menjelang kurun ke 16. Bedilan-bedilan meriam di antara armada muslim dan Kristian bukan sahaja menggegarkan pelabuhan Iskandariah, Istanbul, Otranto, Tripoli dan Casablanca tetapi juga Aden, Diu, Goa, Pasai dan Melaka. Pendeknya konflik sabil/salib yang lebih `regional' sifatnya iaitu di daerah lingkungan Mediteranean dan Timur dekat kini diperluaskan ke medan dan perbatasan daerah Teluk Farsi, Lautan Hindi dan Timur Jauh. Peralihan in sebenarnya yang telah memberikan perhitungan yang menentukan di dalam pertentangan dan pertembungan Islam dan Kristian, satu perhitungan yang akibatnya masih dideritai oleh umat Islam hingga saat ini. Dengan mengenepikan cabaran Islam di Eropah Barat, kerajaan Portugal dan Sepanyol yang berdiri di Semenanjung Iberia dapat memberikan tumpuan kepada usaha penerokaan dan pelayaran, dua aktivitii yang menjadi semakin penting natijah dari

perkembangan-perkembangan semasa di dalam dan di luar Eropah. Faktor pendorong penting yang menggalakkan orang-orang Spanyol dan Portugis keluar menerokai dunia luar khususnya Benua Afrika dan pulau-pulau sekitaran ialah untuk menyampaikan `message Tuhan' kepada penduduk-penduduk 'biadab' diluar dari lingkungan kebudayaan Eropah serta untuk membina empayar seberang laut yang pasti mendatangkan laba kepada pemerentahan pusat. Faktor memerangi `pengikut Muhammad' bertindak sebagai mangkin dalam mempercepat proses penerokaan dunia luar. Sementara kebolehan semulajadi orang-orang Portugis dan orang-orang Genoese yang berkhidmat bagi pehak kerajaan Sepanyol sebagai pelaut-pelaut yang unggul memberikan mereka kelebihan dalam soal pelayaran. Cita-cita penerokaan pula mendapat kerjasama penuh dari individu-individu dan pehak-pehak yang berpengaruh di dalam menyediakan kemudahan dan tajaan ekspedisi pelayaran. Nama seperti `Henry the navigator' mungkin tidak perlu diperkenalkan lagi sebagai orang yang menjadikan aktiviti pelayaran untuk tujuan penerokaan, penjelajahan, penyebaran agama Kristian dan memerangi orang Islam sebagai cita-cita seumur hidup. Begitu juga Cristopher Columbus, ahli pelayaran bangsa Genoese yang menemui pulau-pulau Hindia Barat (West Indies) ditaja dan dibiayai oleh Ratu Isabella, pemimpin kerajaan Castille sendiri di dalam menjalankan ekspedisi pelayaran rentas Atlantik. Apakah yang mencetuskan keghairahan bangsa Portugis dan Sepanyol untuk mengadakan pelayaran-pelayaran penerokaan ke dunia luar? Jawapannya memerlukan penelitian ke atas perkembangan yang berlaku di Eropah pada waktu itu. Sebelum kurun ke 16, bahagian-bahagian dunia adalah merupakan satu entiti yang terpisah di antara satu dengan lain. Sangat sedikit yang diketahui mengenai Asia khususnya Timur Jauh (yang disebut sebagai Cathay) dan benua kecil India oleh orang-orang Eropah dan begitu juga sebaliknya. Malahan Benua Amerika (Utara dan Selatan) yang kini dikenali sebagai Dunia Baru memang tidak diketahui kewujudannya sehinggalah menjelang kuru16. Berita-berita mengenai dunia luar hanya diperolehi dari mubaligh-mubaligh Kristian dan pengembarapengembara, yang paling terkenal di kalangan mereka ialah Marco Polo. Gambarangambaran mengenai keindahan, kemakmuran, kekayaan dan keganjilan dunia timur benar-benar memukau sesiapa sahaja yang mendengarnya. Hasil mahsul Dunia Timur seperti emas dan tembikar, ubat-ubatan dan rempah-ratus merupakan daya tarikan kepada orang-orang Eropah yang senantiasa memerlukan bekalan barangbarang tersebut. Barang-barang tersebut yang diperniagakan di pelabuhan Venice diperolehi dari pedagang-pedagang Arab dengan harga yang sangat tinggi. Menjelang kurun ke 15, permintaan terhadap barang-barang tersebut meningkat dengan banyaknya. Keadaan bertambah buruk apabila jalan darat untuk membawa masuk barang-barang dagangan dari Timor semakin merbahaya akibat dari aktiviti rompakan dan samun menyamun. Pungutan cukai yang tinggi oleh penguasapenguasa tempatan meningkatkan lagi kos pengangkutan dan bekalan. Akhir sekali dan yang terpenting ialah kebangkitan kuasa militer Uthmaniah di Eropah Timor telah menutup jalan-jalan darat ke timur. Kesan-kesan inilah yang telah mendorong orang-orang Eropah untuk menemukan jalan-jalan alternatif bagi mendapatkan bekalan barang-barang dagangan dari timur khususnya rempah-rempah dan ubatubatan. Pilihan yang paling menarik meskipun merbahaya ialah mencari jalan laut ke Timur lantas mendapatkan bekalan dagangan terus dari sumbernya sendiri. Dalam hal ini, dua bangsa pelaut Eropah, Portugis dan Sepanyol telah merintis satu usaha yang telah merevolusikan corak perhubungan dagang antarabangsa dengan menemukan jalan laut ke timur jauh. Kejayaan-kejayaan ini telah mendorong

bangsa-bangsa Eropah yang lain iaitu Belanda dan Inggeris untuk menyusul pula. Usaha-usaha pelayaran inilah akhirnya menjelma menjadi ancaman ke atas kepentingan-kepentingan perdagangan umat Islam di Timur Jauh. Pertembungan dua kepentingan dan dua kebudayaan yang berdiri di atas akidah yang saling bertentangan inilah yang telah melanjutkan konflik Islam/Kristian ke rantau sebelah sini. Sungguhpun konflik ini sering dilihat dalam konteks penjajahan kuasa-kuasa Barat atas sebab-sebab ekonomi, namun semangat peperangan salib bangsa Kristian Eropahlah yang telah mempercepatkan proses tersebut. SJN 16: Portugis menguasai Lautan Hindi. Sebagaimana yang dijangkakan, penemuan jalan laut ke India, telah membawa orang-orang Eropah berhadapan sekali lagi dengan musuh tradisi yang mereka perangi berabad-abad di tanah air mereka sendiri. Kaum muslimin telah lama bertapak di pusat-pusat kuasa dan perdagangan yang menjadi idaman bangsa-bangsa Eropah semenjak mereka mengangkat sauh meninggalkan pelabuhan-pelabuhan Lisbon dan Madrid. Dakwah Islam telah mendahului mereka dalam perlumbaan menerokai dunia timur sehingga penduduk-penduduk yang mendiami pantai Afrika Timur, Teluk Parsi, Teluk Benggala, Selat Melaka, Laut Sulu sampai ke Teluk Tonkin adalah penganut-penganut agama Islam belaka. Orang-orang Sepanyol yang berhempas pulas untuk menjinakkan orang-orang `pagan' dan `biadap' menurut tafsiran mereka di Amerika Selatan akhirnya menemui diri mereka berhadap-hadapan dengan arus dakwah Islam yang deras melanda kepulauan Filipina. Menjelang kurun ke 15, seluruh rantau yang dipinggiri oleh Lautan Hindi dari Mozambique, Mombasa dan Malindi menganjur ke Semenanjung Arab, Farsi, Benua kecil India, Nusantara dari Sumatera sehingga Mindanao dan Kepulauan Sulu dan Maluku telah berada di dalam lingkungan pengaruh dan kebudayaan agama Islam. Suku-suku bangsa yang telah sekian lama berhubungan kerana urusan niaga kini terkumpul dalam satu ikatan yang meleburkan segala batas kebudayaan dan bahasa yang memisahkan mereka. Semua jalan-jalan perdagangan laut dari Iskandariah sehingga Kepulauan Maluku menjadi hak monopoli pedagang-pedagang Islam. Inilah bentuk gambaran yang melatari dunia Timur sewaktu Vasco da Gama memulakan ekspedisinya ke India. Sebenarnya monopoli pedagang-pedagang Islam ke atas jalan-jalan dagang di Lautan Hindi serta komoditi-komoditi utama khususnya rempah dan memberikan sumbangan yang bermakna kepada survival dan keunggulan Islam di Asia Kecil dan Anatolia. Keuntungan yang diperolehi dari penjualan barang-barang tersebut di Iskandariah, Acre, Sidon dan Tyre memberikan sokongan ekonomi kepada Khilafah Uthmaniah di Istanbul dan kerajaan Fatimiyah di Mesir. Hakikat ini amat difahami oleh pelaut pelaut Portugis. Kehadiran mereka di Lautan Hindi bukan setakat untuk melabur dalam perniagaan rempah tetapi untuk merampas hak monopoli dan emporium pedagang-pedagang Islam di Timur Jauh. Misi tersebut secara tidak langsung akan melemahkan kedudukan Islam dan akan membantu kerajaan-kerajaan Kristian di Eropah Timur dalam menghadapi ancaman umat Islam. Sumbangan ini besar ertinya di dalam konteks peperangan salib. Angkatan perniagaan Portugis di bawah pimpinan da Gama bertemu dengan pelbagai suku kaum yang beragama Islam di pantai timur Benua Afrika. Ternyata dalam beberapa insiden, umat Islam gagal untuk membaca niat sebenar orang-orang Portugis. Di setengah-setengah tempat angkatan da Gama telah disambut meriah oleh ketua-ketua suku kaum dan agama. Da Gama juga telah menggunakan kehebatan armada dan persenjataannya untuk memaksa beberapa komuniti dan kerajaan untuk menyatakan kesetiaan kepada Raja Portugal1. Dengan bantuan seorang `pilot' yang beragama Islam, da Gama akhirnya sampai ke Kalikat, India pada tahun 1498. Di Kalikat, da Gama telah mencuba untuk menjalin hubungan

dagang dengan kerajaan Kalikat di bawah pimpinan Putera Zamorin yang beragama Hindu. Walaubagaimanapun hasrat tersebut tidak tercapai kerana pedagangpedagang Arab yang berkepentingan di Kalikat telah berjaya meyakinkan Putera Zamorin mengenai komplotan Portugis. Pehak Portugis tidak berputus asa lalu mengirim misi kedua, kali ini di bawah pimpinan Pedro Alvares Cabral. Malangnya misi diplomasi ini telah disambut dengan tembakan meriam. Kerajaan Lisbon bertindak balas dan Armada Portugis dikejarkan ke Kalikat, sekali lagi di bawah pimpinan da Gama. Pehak Portugis segera membentuk pakatan- pakatan diplomasi dan pertahanan dengan negara-negara kota yang bermusuhan dengan Kalikat seperti Cochin dan Cinnanore. Da Gama benar-benar mempamerkan keunggulan Portugis, membedil pelabuhan Kalikat dan memusnahkan kapal-kapal Arab yang cuba memberikan penentangan.Sememangnya konflik sulung di Lautan Hindi ini merupakan provokasi yang dirancang oleh Lisbon. Tindakbalas dan penerimaan umat Islam ke atas kehadiran Kristian Portugis memberikan Lisbon cukup alasan untuk memusnahkan kepentingan perniagaan umat Islam di Timur Jauh. Malahan permusuhan tradisi yang dicetuskan oleh perkembangan- perkembangan di Lautan Hindi telah mendorong orang- orang Portugis untuk melakukan jenayah yang berat ke atas umat Islam. Vasco da Gama telah melampaui batas-batas kemanusiaan dengan membakar sebuah kapal yang sarat membawa para hujjaj yang kembali dari tanah suci berhampiran Cinnanore. Netters yang dihormati sekelian. Maaf kerana siri SJN telah terhenti sejak sekian lama. Alhamdulillah dalam siri SJN ke 17 ini kita akan melihat kepada peristiwa yang berlaku sewaktu Melaka berada di ambang kejatuhannya. Usaha-usaha Da Gama telah diteruskan oleh Afonso de Albuquerque, satu nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi kepada umat Islam di rantau sebelah sini khususnya di Nusantara13. Beliau dipilih untuk menjalankan usaha-usaha memerangi kepentingan perdagangan umat Islam di samping meneruskan dasar pengluasan empayar Portugis. Kemampuannya untuk menggarap tugas yang berat ini tidak perlu diragukan lagi berdasarkan rekod perkhidmatannya yang cemerlang semasa bertugas memerangi wilayah Islam di Afrika Utara. Albuquerque telah mengambil bahagian dalam penaklukan ke atas Arzila dan Tangier, Maghribi pada tahun 1471. Misinya yang pertama di India pada tahun 1503 ialah untuk membangunkan pusat perniagaan Portugis yang pertama di timur jauh. Dia telah memilih Quilon. Sebuah kota turut didirikan di Cochin atas alasan untuk melindungi Cochin dari serangan Kalikat. Dasar pecah dan perentah pehak penjajah benar-benar dipraktik kan oleh Albuquerque di dalam memperdalamkan permusuhan di antara negara-negara yang bertetangga. Kemudian pada tahun 1506 beliau dihantar semula oleh kerajaan Lisbon ke India bagi menyempurnakan tugas yang lebih aggresif di dalam melumpuh kan aktiviti perkapalan dan perdagangan Arab di timur jauh. Langkah pertamanya ialah menawan pulau Socotra yang berhampiran dengan laut Merah bagi menghalang laluan perdagangan Arab dengan India. Ini disusuli dengan penaklukan ke atas pulau Hormuz untuk membuka hubungan dagang di antara Eropah dan Parsi. Dari pen gkalan- pengkalan tersebut Albuquerque melancarkan serangan-serangan ke atas kawasan pinggir pantai Arab dan Parsi. Sementara itu, pertempuran sekali lagi meletus di luar pelabuhan Kalikat di antara armada Portugis di bawah pimpinan Dom Fransisco de Almeida dengan angkatan laut Mesir. Pertempuran yang berlaku pada tahun 1509 itu berakhir dengan kemenangan di pehak Portugis14. Selepas kemenangan ini Albuquerque telah dilantik sebagai gabenur di India menggantikan Almeida. Dengan kedudukan tersebut Albuquerque menggerakkan rancangannya untuk menguasai semua jalan-jalan perdagangan laut

yang utama di timur jauh dengan mendirikan kubu-kubu pertahanan dan menempatkan penduduk Portugis di semua wilayah-wilayah yang ditawan. Albuquerque berpendapat bahawa selagi kekuatan Islam di India tidak dihapuskan maka selama itulah objektif Portugis tidak akan tercapai.Oleh itu langkah berikutnya ialah memusnahkan pusat kekuasaan Islam di Goa. Dilengkapi dengan 23 kapal perang, Albuquerque melancarkan serangan ke atas Goa dengan ditentang hebat oleh pertahanan Islam. Kemenangan silih berganti di antara kedua belah pehak. Walaubagaimanapun kemenangan akhirnya berada di pehak Portugis kerana kelebihan dari segi persenjataan dan teknik peperangan. Goa secara resminya menjadi jajahan takluk Portugis pada bulan November, 1510. Sebagaimana yang diramalkan, kesemua wilayah-wilayah pinggir pantai yang dikuasai oleh raja-raja Hindu menerima kehadiran Portugis selepas kejatohan Goa. Goa dijadikan pengkalan bagi melancarkan serangan-serangan selanjutnya ke atas tempat- tempat kepentingan perdagangan umat Islam. Dari Goa, Albuquerque menjuruskan pandangannya ke timur. Agenda seterusnya ialah Melaka yang menjadi pusat perniagaan rempah di Nusantara. Peluang yang dinantikan akhirnya tiba. Provokasi yang diatur berjalan mengikut rancangan. Sauh diangkat dari Goa dan armada Portugis menyusuri selat Melaka bersama kedatangan arus barat-daya. Destinasi_Melaka. Kedudukan Melaka yang strategik, di tengah-tengah laluan ke benua kecil India dan ke tanah besar Tiongkok, menjadikan ia tempat pertemuan dagang antarabangsa, sehingga di kalangan saudagar Arab, Melaka lebih dikenali sebagai `Mulakat' iaitu `tempat pertemuan'15. Menjelang kurun ke 15, pelabuhan Melaka semakin mashyur di Eropah sebagai pusat perniagaan rempah di timur jauh16. Sebagaimana yang dijangkakan Melaka juga tidak terlepas dari senarai `penerokaan' Portugis sehingga pemerentah pusat di Lisbon mengarahkan wizurai Goa iaitu Almeida supaya mengadakan lawatan ke Melaka untuk meninjau peluang-peluang perniagaan bagi Portugis. Walaubagaimanapun lawatan Almeida terpaksa dibatalkan apabila pehak Portugis mendapat tahu mengenai satu percubaan untuk menggagalkan misi tersebut17. Rancangan menghantar misi perdagangan ke Melaka diteruskan pada tahun 1508 di bawah pimpinan Diego Lopez de Sequeira yang belayar terus dari Lisbon. Rombongan tersebut berlabuh di pelabuhan Melaka pada tahun 1509 dan disambut oleh Bendahara Sri Maharaja, Tun Mutahir18. Sebagai tanda persahabatan, sebuah kalung mutiara sebutir dihadiahkan kepada Bendahara. Walaubagaimanapun saudagar- saudagar Arab dan India yang peka dengan perkembangan- perkembangan di Teluk Parsi dan di lautan Hindi merasakan kehadiran Portugis di Melaka adalah sebahagian dari perancangan mereka untuk membolot seluruh perniagaan rempah di samping melumpuhkan kepentingan perniagaan umat Islam. Atas nasihat mereka yang mulai sangsi dengan niat sebenar Portugis, Bendahara Sri Maharaja yang mewakili Sultan Mahmud Syah telah mengarahkan agar orang-orang Portugis tersebut diberkas dan ditahan untuk dibicarakan. Dua puluh orang kelasi Portugis berjaya ditangkap. Walaubagaimanapun Lopez de Sequeira bersama rombongannya berjaya meloloskan diri setelah mendapat maklumat mengenai rancangan musuh. Menemui netters semua dalam siri SJN ke 18 Bencana yang menimpa rombongan dagang Lopez de Sequeira telah menimbulkan reaksi yang dijangkakan. Dengan sertamerta Albuquerque menyiapkan armada Portugis di Goa untuk menyerang Melaka19. Sebanyak 800 orang soldadu Portugis dan 300 askar Malbari dikerah untuk melancarkan serangan ke atas Melaka20. Di sepanjang perjalanan, Albuquerque telah bertindak ganas dengan menyamun dan merampas kapal-kapal dagang orang Islam yang menggunakan jalan perdagangan selat Melaka. Usaha-usaha untuk memberikan

amaran awal kepada Melaka mengenai persediaan perang Portugis telah dipatahkan oleh Albuquerque yang memastikan bahawa tidak ada kapal dagang yang membawa maklumat tersebut ke Melaka. Setelah singgah di Pidir, Sumatera Utara, Albuquerque meneruskan perjalanannya dan tiba di Melaka pada 1 Julai, 1511. Sebagai amaran awal, kapal-kapal Portugis telah melepaskan beberapa bedilan ke kawasan pantai yang menyebabkan kegemparan kepada penduduk Melaka yang tidak pernah mengalami peristiwa tersebut. Albuquerque mendesak kepada pemerentah Melaka agar melepaskan semua tawanan-tawanan Portugis dan membayar semua ganti rugi yang terpaksa ditanggung oleh Portugis. Di samping itu Albuquerque juga mendesak agar Portugis diberikan kemudahan untuk membina kubu serta pusat perdagangannya di Melaka. Permintaan tersebut ternyata mustahil untuk dipenuhi oleh kerajaan Melaka yang merasakan bahawa ianya adalah satu pencabulan ke atas kedaulatan dan kemerdekaan negeri. Kegagalan kerajaan Melaka untuk menunaikan permintaan Portugis telah mengundang pengisytiharan perang dari pehak Portugis. Bandar Melaka seterusnya menjadi sasaran bedilan meriam dari kapal-kapal Portugis. Kemampuan persenjataan Portugis tidak mampu dihadapi oleh pertahanan Melaka. Gudang-gudang perniagaan dan tempat-tempat kediaman menjadi sasaran mudah peluru-peluru jarak jauh Portugis. Bedilan- bedilan meriam kemudian disusuli dengan pendaratan askar Portugis yang menggempur pantai Melaka untuk menguji kekuatan dan kepahlawanan pejuang-pejuang Nusantara. Serangan tersebut dilancarkan pada waktu fajar, tanggal 25 Julai, 1511. Kejatuhan_Melaka21. Dalam serangan yang pertama pehak Portugis telah berjaya menawan jambatan dekat kuala Sungai Melaka. Walaubagaimanapun mereka terpaksa berundur setelah mengalami kemalangan jiwa yang besar akibat serangan balas tentera bergajah Melaka. Portugis melancarkan serangan kedua yang lebih kemas pada 8 Ogos iaitu pada hari Jumaat. Benteng pertahanan Melaka di Kuala Sungai Melaka berjaya ditembusi oleh Portugis. Pahlawan-pahlawan Melayu terpaksa berundur sehingga ke kaki Bukit Melaka dan berkubu di Mesjid Negeri yang kemudiannya jatuh ketangan musuh. Menjelang petang, askar-askar Portugis membakar rumah-rumah orang melayu di sekitar mesjid. Angin yang berhembus kencang dari arah laut menyebabkan api membakar dengan marak. Kemenangan sudah hampir pasti berada dipehak Portugis. Hanya sisa-sisa kekuatan sahaja yang masih tinggal pada pertahanan Melaka, sisa yang terbit dari semangat kental jiwa kepahlawanan melayu yang tidak banyak menolong untuk merubah suasana peperangan. Apabila malam berlabuh, semangat tadi ditampung dengan membaca dan menghayati karya-karya sastera keagamaan seperti `Hikayat Muhammad Hanafiyah' dan `Hikayat Amir Hamzah'22. Galia-galia Portugis terus membedil kota Melaka dari arah laut, untuk memberikan sokongan persenjataan kepada askar- askar Portugis di daratan dalam menghadapi musuh yang jauh lebih ramai dari mereka. Walaubagaimanapun kelengkapan dan kemahiran berperang yang dimiliki oleh Portugis jarang dapat diatasi oleh pahlawan-pahlawan melayu yang setakat ini hanya mampu menghadapi musuh-musuh serantau dari Majapahit dan Siam. Kali ini mereka bukan lagi berhadapan dengan keris dan kerambit tetapi dengan meriam dan istinggar. Serangan pehak Portugis diperhebatkan lagi pada 10 Ogos. Pertahanan Melaka telah mulai kucar-kacir dan sedang menunggu saat keruntuhan. Pahlawan-pahlawan melayu tidak lagi menerima arahan terus dari istana. Kepimpinan telah diserahkan kepada putera mahkota, Raja Ahmad yang berjuang sehingga beliau pula gugur23. Jatuhlah Melaka ke tangan Portugis bersama terungkainya benteng pertahanan Melayu yang terakhir. Menjelang 14 Ogos apabila Albuquerque tidak menerima sebarang jawapan dari

Sultan Mahmud Syah mengenai tuntutan Portugis beliau telah memerentahkan askaraskarnya untuk merampas apa sahaja yang ditemui dan membunuh penduduk Melaka termasuk wanita dan kanak-kanak. barang-barang perhiasan istana diangkut sebagai harta rampasan perang24. Kemudian mereka telah bertindak di luar batas-batas kemanusiaan dengan memecahkan makam diraja dan batu-batu nesan perkuburan umat Islam. Istana sultan dan mesjid negeri dibakar dan diruntuhkan. Binaannya kemudian digunakan untuk membina kubu A Famosa dan gereja St. Paul25. Kejatuhan Melaka telah memberikan pukulan hebat kepada umat Islam yang selama ini memonopoli perniagaan rempah dan meguasai ekonomi dunia. Lautan Hindi yang sebelumnya merupakan laluan perkapalan umat Islam beransur lengang dan dikuasai sepenuhnya oleh Portugis. Rempah-rempah tidak lagi disalurkan ke pelabuhanpelabuhan di laut Merah dan laut Mediterranean, sebaliknya telah diangkut terus untuk dibawa ke Lisbon. Peranan yang dimainkan oleh lautan Hindi kemudiannya diambil alih oleh Lautan Atlantik26. Bersama penjajahan wilayah ialah penjajahan ekonomi ke atas umat Islam. Lisbon berusaha untuk menghadkan bekalan dan eksport rempah dari timur jauh untuk memastikan kawalan harga yang menguntungkan di pehak penjajah. Portugis sudah tentu tidak berhalangan untuk melaksanakan rancangan ini kerana Melaka yang menjadi pusat pengumpulan dan penyebaran rempah di timur jauh sudah menjadi miliknya. Walaubagaimanapun untuk menjamin penguasaan tersebut Portugis perlu menimbangkan kemungkinan memilik negarakan kebun-kebun dan ladang-ladang rempah yang sebenar. Pandangan rakus Portugis kini tertumpu pada gugusan pulau-pulau melayu yang terletak lebih jauh ke timur iaitu daerah asal rempah-rempah yang menjadi rebutan semua. Kepulauan Maluku semakin indah pada penglihatan Portugis. Walaubagaimanapun cabaran hari-hari mendatang untuk Portugis menggenapkan cita-cita semakin menguji semangat `crusade' yang berkobar-kobar di dalam jiwa mereka. Kejatuhan Melaka telah disusuli dengan kebangkitan tiga pusat kuasa umat Islam di Nusantara iaitu Aceh di Sumatera Utara, Demak di Jawa Timur dan Ternate di kepulauan Maluku27. Netters yang dihormati sekelian. Menyambung siri SJN ke 19: Kejatuhan Melaka dalam retrospeck. National Geographic, sebuah jurnal prestig di dunia telah menerbitkan sebuah artikel bertajuk 'Portuguese seaborne empire' dalam isu belakangannya dalam rangka menyambut 500 tahun 'Portuguese exploits'. Di dalamnya 'a revisit' telah dibuat ke semua destinasi-destinasi yang pernah dijelajahi oleh Portugis dari Azores di lautan Atlantik sehinggalah Nagasaki di Jepun. Dinyatakan juga bahawa Portugal sebagai negara kolonial yang pertama di Asia dengan menakluki Pulau Socotra, Aden, Goa dan Melaka juga merupakan negara kolonial yang paling lama bertahan di benua Asia apabila jajahan takluknya yang terakhir (Macao) dilepaskan padatahun 1998 (setahun selepas Hong Kong dipulangkan semula kepada Tanah Besar Cina). 'The first to arrive was afterall the last to leave'. Di penutup artikel tersebut disalin sebuah maxim 'God has given the Portuguese people a small piece of land as their cradle (Portugal) and the whole world as their graveyard.' Salah seorang dari mereka yang diwawancara berkata 'They should have put the Portuguese people as the worst businessmen on earth in the Guiness books of records, they have controlled all the major trade centres and ended up poorer.' Kenyataan-kenyataan seperti di atas dan gambaran yang dinyatakan di dalam artikel tersebut tidak lain dari ingin mengungkap kembali kegemilangan mereka (barat) di dalam mencorakkan perjalanan sejarah Asia. Secara tidak langsung mereka juga memberikan tanggapan bahawa orang-orang Asia hanyalah merupakan penerima-penerima yang pasif terhadap kehadiran mereka sekaligus menyatakan

bahawa kalau sejarah mereka sejarah menang dan gemilang maka sejarah kita ialah sejarah kalah dan menyerah! Inilah yang telah dinyatakan oleh Ust Sidiq Fadhil dalam satu ucapan dasarnya di dalam muktamar ABIM satu waktu dahulu. '...bahawa sejarah kita bukan sejarah kalah dan sejarah menyerah...sejarah kita adalah sejarah perjuangan.' Sejarah kita bukan sahaja sejarah perjuangan malah sejarah yang penuh bermaruah. Inilah barangkali yang diungkapkan oleh Al-Marhum Ismail al-Faruqi apabila beliau mengatakan 'the bloodiest struggle the muslims have ever waged against the cristian colonialist aggression' apabila merujuk kepada jihad umat islam nusantara (insyaAllah kita akan cuba paparkan episod-episod jihad yang gemilang yang pernah ditempa di Muar, Melaka, Sumatera Barat, Sulawesi, Kepulauan Maluku, Kalimantan dan Aceh dalam siri-siri yang mendatang insyaAllah). Sejarah yang kita belajar sewaktu dibangku sekolah (tahun-tahun 60'an dan 70'an) memberikan gambaran bahawa proses penjelajahan Portugis berlaku secara lancar dan penuh prestig. Vasco da Gama dikatakan orang yang pertama belayar dari Afrika ke India dan diraikan sedemikian rupa sebagai tokoh yang mencipta sejarah. Tidak pula dinyatakan bahawa Vasco Da Gama hanya berjaya berbuat demikian dengan bantuan seorang 'pilot' muslim. Tidak pula dinyatakan jenayah terbesar yang dilakukan oleh Da Gama yang bertindak membakar kapal-kapal yang sarat dengan para hujjaj yang kembali dari menunaikan ibadah haji. Proses penaklukan Asia digambarkan berlaku secara mudah tanpa banyak 'resistant' dan halangan. the truth is, walaupun mereka tidak menghadapi persenjataan yang seimbang dari musuh muslim mereka, mereka terpaksa berdepan dengan kekuatan jihad umat Islam yang kental dan tidak pernah luntur. Sejarah mengabadikan bagaimana Alfonso de Albuqueque dengan 3,000 askar Portugis mengalami kemalangan jiwa yang besar dan tewas sewaktu cubaan mereka untuk menakluki Aden. Mereka hanya berjaya menakluki Goa setelah pertahanan muslim di sana 'almost down to the last man'. Melaka juga menyaksikan pertahanan umat islam yang tidak kurang hebatnya. Keruntuhan Melaka adalah kerana penyelewengan-penyelewengan istana yang telah mengkucar-kacirkan negeri sewaktu di ambang serangan Portugis. Ahli sejarah mengatakan bahawa 'Melaka tetap akan jatuh meskipun ditakdirkan tidak berlaku serangan Portugis - jatuh akibat tindakan pemerintah yang korrupt.' Kejatuhan Melaka walaubagaimanapun tidak menandakan bahawa berakhirnya jihad umat islam. Penentangan masih terus berlangsung meskipun dalam bentuk psikologis. Orang melayu dengan sensitivitinya yang tinggi telah mengkiaskan penjajahan yang mereka alami dalam bentuk kiasan. Lahirlah satu karya sastera klasik yang berjudul 'Anggun Cik Tunggal' (versi Sumateranya ialah Nan Tunggal Megat Jebang). Kesah ini menceritakan bagaimana sebuah negeri telah dijarah oleh Raja Badurai Puteh. Raja Badurai puteh dikatakan seperti berikut: Tujuh hasta bidang dadanya Ada cop di lengannya (tatto) Gearahamnya empat serumpun Segantang memakan daging Dua cupak lekat di giginya.. Raja Badurai puteh datang menjarah negeri dan membahagikan kepada raja Anggarai dan Raja Partukah. Mereka juga datang untuk menculik puteri mas manah (emas galian), puteri pinang masak (rempah ratus). Demikianlah orang melayu menggambarkan the white viceroy (badurai puteh) dan ketua-ketua mereka (Raja Inggeris dan Portugis) dalam usaha untuk terus menghidupkan semangat penentangan ke atas penjajahan barat. Namun penentangan terhadap penjajahan bukan sahaja berlaku dalam bentuk kesah-kesah penglipur lara dan hasil-hasil literary. Penentangan bersenjata tidak berakhir di Melaka. Seluruh kepulauan melayu bangkit menyambut kedatangan Portugis dengan pedang yang terhunus. Pada tahun 1521 berangkatlah satu armada mengandungi 20,000 mujahid dari tanah besar Jawa dan berlakulah pertempuran yang getir

berhampiran Muar - sangat banyak menghasilkan para syuhada. Kalau roboh kota Melaka Papan di Jawa kami dirikan Kalau sungguh bagai dikata Badan dan nyawa hamba serahkan. Kalau roboh kota Melaka, papan di Jawa kami dirikan. Walaupun papan, kami tetap akan dirikan. Kalau sungguh bagai dikata, kalau benar khabar berita yang bertiup dari selat Melaka, badan dan nyawa hamba pertaruhkan. Pantun ini sdr/i bukan pantun cinta. bukan pantun seorang dara kepada teruna kekasih hatinya tetapi pantun ini adalah pantun perjuangan. Pantun ini melambangkan solidariti yang telah dibuktikan oleh umat Islam disaat-saat menghadapi pencerobohan Feringgi (Portugis). Pantun ini punya latar belakang sejarahnya. Sejarah tersebutlah yang diabadikan dalam rangkap pantun di atas. Ianya merujuk kepada satu usaha berani yang telah ditunjukkan oleh pemerentahan Islam dari Demak, Pulau Jawa untuk mengembalikan kedaulatan negeri Melaka serta mengusir Portugis dari persada kepulauan Melayu. Peristiwa tersebut berlaku pada tahun 1521 - sepuluh tahun selepas Melaka jatuh ke tangan Portugis. Peranan Melaka sebagai pusat umat islam di nusantara telah diambil alih oleh tiga pemerentahan Islam iaitu Aceh di Sumatera, Demak di Jawa dan Ternate di pulau Maluku. Portugis yang mempunyai imperial design untuk meluaskan jajahan takluk dan pengaruhnya telah mengambil beberapa langkah bagi menghadapi ancaman-ancaman yang datang dari pusat-pusat pemerentahan tersebut. Alfonso De Albuqueque telah berusaha untuk mengenakan tekanan-tekanan ekonomi ke atas Aceh dan usaha tersebut tidak mendatangkan hasil. Sebaliknya kedudukan Aceh semakin bertambah teguh. (Kita akan melihat selepas ini betapa Aceh di bawah pimpinan yang adil dengan dibantu oleh ulama-ulama berwibawa telah melancarkan seberapa banyak ekspedisi jihad bagi menghadapi Portugis di Melaka). Sementara itu kerajaan Islam Demak di bawah pimpinan Raden Fath dan anak Fath Yunus terus maju dan berkembang. Kehadiran ulama-ulama mujahid seperti Syarif Hidayatullah merupakan tonggak kekuatan dan kestabilan kerajaan Demak. Albuqueque yang mempunyai banyak pengalaman di dalam menghadapi kerajaan-kerajaan Islam di India telah menggunakan taktik yang sama. Beliau telah menjalin hubungan dengan Siam, musuh tradisi umat Islam melayu sejak zaman berzaman. Sementara itu Albuqueque juga mengadakan pakatan sulit dengan sisa-sisa kerajaan Hindu di pulau Jawa seperti Pasuruan dan Pajajaran untuk melemahkan kedudukan Islam di sana. Kerajaan Demak telah bertindak cepat dengan menyerang kedua-kedua kerajaan Hindu tersebut untuk menggagalkan rancangan Portugis. Sementara itu Maluku yang menjadi pusat pengeluaran rempah merupakan destinasi utama Portugis. Alfonso de Albuqueque telah melancarkan beberapa usaha untuk menundukkan kerajaan Islam Ternate. Resistance yang ditunjukkan oleh umat Islam Ternate telah menybabkan ahli sejarah berpendapat 'telah menangguhkan proses penjajahan Indonesia 100 tahun ke hadapan'. Dalam saat-saat genting umat Islam menghadapi ancaman Portugis, muncul pula satu lagi kuasa dari Eropah kali ini dari Sepanyol dari jurusan timur. Setelah mengelilingi Amerika Selatan dan merentas lautan Pasifik akhirnya armada Ferdinand Magellan sampai ke Filipina pada tahun 1521. Magellan telah diraikan sebagai orang yang pertama mengelilingi dunia tetapi satu hakikat sejarah yang tidak disedari oleh umat Islam ialah, Magellan juga bertanggungjawab kepada berakhirnya kesultanan Islam Manila. Demikianlah sejarah mendedahkan betapa Manila adalah berasal dari perkataan arab 'Fi Amanilah'. Keimanan dan semangat jihad umat Islam di Nusantara benar-benar teruji. Apakah yang akan berlaku sekiranya ancaman-ancaman dari musuh Islam ini tidak dibendung. Da'wah Islam yang baharu sahaja berkembang dengan kelahiran pusat-pusat pemerentahan islam kini berhadapan dengan musuh salibiyyah yang datang dengan

niat untuk menghancurkan tamaddun dan aqidah umat Islam. Atas kesedaran untuk melihat da'wah terus terpelihara dan umat terus sejahtera di bawah naungan Islam dilaungkanlah usaha jihad yang ulung bagi membebaskan kepulauan melayu dari cengkaman musuh salibiyyah Kristian. Usaha tersebut dipelopori oleh kerajaan Islam Demak. Sebuah armada yang mengandungi 20,000 pahlawan merentas laut Jawa untuk berhadapan dengan Portugis di Selat Melaka. Angkatan laut Demak bertembung dengan armada Portugis dalam satu pertempuran yang sengit berhampiran dengan Muar. Pahlawan-pahlawan Jawa dengan berani telah menggempur galia-galia Portugis yang lengkap bersenjata. Pertempuran tersebut berakhir dengan angkatan Demak kehilangan 12,000 dari pahlawannya yang gugur syahid. Selat Melaka yang tenang bermandikan darah pejuang Islam. Sungguhpun Portugis berjaya membendung ancaman Demak namun ahli sejarah mengatakan usaha tersebut telah berjaya melemahkan kedudukan dan mengurangkan kekuatan Portugis sebagai kuasa maritim di selat Melaka. Kalau roboh kota Melaka papan di jawa kami dirikan Kalau sungguh bagai dikata badan dan nyawa hamba serahkan Mereka telah menyerahkan jiwa dan raga mereka untuk memastikan umat terus sejahtera di bawah naungan islam... Sekalung al-fatihah kita hadiahkan untuk mereka. Di dalam masyarakat adat perpateh Negeri Sembilan ada 12 suku yang diiktiraf. Salah satu dari suku tersebut ialah suku anak Aceh (suku nak ceh - mengikut sebutan loghat daerah). Sebelas suku yang lain berasal dari luhak-luhak alam Minangkabau (Sumatera barat) seperti suku sari lamak (selomak), suku tiga nenek, suku mungkal (mungkaa), suku batu hampar (tuhampar) dan lain-lain kecuali suku Biduanda yang merupakan penduduk asal Negeri Sembilan yang bersemenda (berkeluarga melalui ikatan perkahwinan) dengan pendatang-pendatang dari Minangkabau. Persemendaan juga berlaku dengan masyarakat luar dan menghasilkan pecahan suku seri lemak Pahang dan Biduanda Jawa. Fokus penulisan kali ini ialah suku Anak Aceh. Suku Anak Aceh jelas berdasarkan namanya berasal dari Aceh, Sumatera Utara. Berdasarkan kepada tambo (sejarah lisan) negeri Sembilan, kehadiran suku Anak Aceh adalah agak terkemudian jika dibandingkan dengan pendatang-pendatang dari Sumatera Barat seperti suku Batu Hampar dan suku Tanah Datar. Sejarah lisan juga menyebut bahawa pengasas-pengasas suku ini terdiri dari para pejuang dan juga guru-guru agama (ulama'). Oleh kerana kelebihan dan keistimewaan orang-orang Aceh inilah barangkali mereka diberi penghormatan dan diiktiraf sebagai salah satu suku yang 12 dalam susunan masyarakat adat perpateh Negeri Sembilan. Atribut pejuang yang ada pada orang-orang Aceh memang menyerlah di kalangan bangsa melayu se nusantara. Jarang ada dikalangan suku bangsa melayu yang menghasilkan sedemikian banyak para pejuang dan mujahid seperti yang telah dianugerahkan oleh masyarakat Aceh. Nama-nama seperti Teuku Umar, Tjoet Nya' Dien, Tengku Muhammad Daud Di berueh terus mekar dalam lipatan sejarah perjuangan jihad umat Islam Aceh. Aceh juga terkenal dengan ulama-ulama muktabar yang terkehadapan di dalam memikul tugas-tugas da'wah dan memelihara kesejahteraan Ad-Deen seperti Syeikh Abdul Rauf Singkel dan Syeikh Nuruddin Ar-Ranir. Di bawah pemerentahan sultan yang adil dan berwibawa seperti Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam dan Sultan Iskandar ath-Thani (yang kedua), Aceh telah mempelopori usaha-usaha jihad mempertahankan kedaulatan umat yang tidak ada tolok bandingnya sepanjang sejarah. Kecemerlangan umat Islam Aceh di dalam hal ini terbukti apabila di dalam sejarah getir 500 tahun berhadapan dengan penjajah, daerah Aceh merupakan 'the final bastion' of the muslim in the east that came under the colonial rule'. Kita akan menyelusuri perjuangan berdarah yang getir ini insyaAllah dalam siri-siri yang mendatangkan (kepahlawanan

wanita Islam Aceh yang bernama Tjoet Nya'Dien dan muslihat Snouck Hurgronje yang membawa kepada kejatuhan Aceh di tangan Belanda; antara lain). Tetapi kali ini kita akan menumpu kepada sumbangan Aceh Darus Salam terhadap usaha-usaha jihad menentang penjajahan pada kurun yang ke 16 Masehi. Sejarah official yang kita pelajari dibangku sekolah memang ada menyebut tentang peranan Aceh di dalam menggugat kedudukan Portugis di Melaka tetapi peranan tersebut dibincangkan dalam konteks perang tiga segi yang melibatkan Portugis, kerajaan Aceh dan kerajaan Johor yang mewarisi Kesultanan Melayu Melaka. Kita tidak menafikan percaturan politik yang berlaku di antara ketiga belah pehak di dalam rangka untuk menguasai negeri Melaka dan jajahan takluknya. Namun fokus yang diberikan telah mengalih perhatian kita dari perjuangan untuk membebaskan bumi umat Islam dari pencerobohan musuh kepada perbalahan yang berlaku di antara kerajaan Aceh dan Johor. Kelengkapan 'sejarah tanah-air' kita semakin dipersoalkan apabila peristiwa-peristiwa penting yang berlaku di dalam konteks pembebasan bumi Melaka tidak diberikan perhatian dan malahan tidak dinyatakan. Contoh yang ketara ialah usaha yang berpunca dari kerajaan Islam Demak (lihat siri SJN 20). Serangan Demak dan pertempuran di laut berlangsung berhampiran Muar yang menyusul ada dinyatakan di dalam jurnal Sejarah terbitan Universiti Malaya - tetapi tidak diberikan perhatian di dalam pengajaran sejarah tempatan. Contoh kedua ialah perjuangan Al-Marhum Raja Haji (Bugis) yang terkorban di teluk Ketapang dalam melawan Belanda juga di dalam rangka untuk membebaskan Melaka dari cengkaman barat (InsyaAllah akan disentuh dalam siri yang mendatang) Apakah yang menyebabkan sejarah jihad umat Islam tidak mendapat perhatian sewajarnya? InsyaAllah kita juga akan cuba memberi pandangan kita terhadap isu ini dalam siri-siri berikutnya. Kembali kepada peranan Aceh Darus Salam. Sepanjang 100 tahun dari kejatuhan Melaka sehingga kurun ke 17 Masehi (1600 an) Aceh telah melancarkan tidak kurang dari 6 ekspedisi utama untuk membebaskan kota Melaka, tidak termasuk berpuluh-puluh serangan lain. Salah satu dari serangan tersebut berlaku pada tahun 1546 (tarikh tak pasti kena semak, rujukan tiada di sisi - phon maaf). Serangan amphibuous (pendaratan dari laut) yang dilancarkan merupakan saat-saat paling getir dalam lipatan sejarah umat Islam. AlMarhum Prof HAMKA telah merakamkan peristiwa serangan ini dengan penuh detail di dalam bukunya yang berjudul 'Dari Perbendaharaan Lama' (saya sarankan agar mereka yang mengikuti siri ini dapat merujuk terus kepada buku tersebut). Tulisan Al-Marhum Prof. HAMKA akan membawa kita bersama laungan 'Allahu Akbar' pejuang-pejuang Aceh sewaktu mereka menggempur pantai Melaka, memanjat kota A Famosa dengan senjata yang terhunus dan mengasak askar-askar Feringgi sehingga mereka terpaksa berundur dari pertahanan mereka ke Bukit St Paul. Kalau sdr/i ke Melaka maka singgahlah sebentar di Bukit Senjuang (sebutan orang Aceh bagi St. John). Bukit ini menyaksikan kemaraan pejuang-pejuang Aceh merempuh kedudukan askar-askar Portugis dengan bilangan korban yang tidak terperikan. Bumi Melaka merah basah disirami darah pejuang islam Aceh. Pertahanan Portugis yang semakin terdesak hampir sahaja menyerah kerana kehabisan peluru dan bekalan. Tetapi Portugis telah memohon bantuan dari Goa terlebih awal. Di saat-saat akhir 'relief armada' dari Goa sampai untuk menguatkan kedudukan pertahanan Portugis. Pertempuran berada di kemuncaknya apabila dengan tidak disangka-sangka kedudukan pertahanan Aceh diserbu oleh orang-orang Pahang. Rupa-rupanya Pahang telah mengambil kesempatan di saat-saat getir tersebut 'to settle old scores' dengan Aceh. (Inilah hakikat sejarah yang amat memilukan). Dalam keadaan tersepit akibat dibedil dari laut oleh Portugis dan di asak oleh Pahang dari arah darat, pertahanan

Aceh beransur-ansur lemah dan tewas. Pimpinan Aceh iaitu Orang Kaya Laksamana berjaya ditawan oleh Portugis. Telah menjadi tradisi Portugis untuk membawa pimpinan musuh yang ditawan ke Portugal untuk diarak di jalan-jalan di Lisbon 'to humiliate them' before their fate be decided'. Orang Kaya Laksamana yang tertawan di bawa belayar untuk dipersembahkan kepada Raja Portugal. Di tengah perjalanan beliau hilang tidak dapat dikesan. HAMKA mengatakan OKL berjaya lolos dari tahanan dan terjun ke dalam laut untuk mengelak dari penghinaan musuh. Ada juga pendapat yang mengatakan beliau mati dibunuh sewaktu dalam perjalanan lagi. Apapun sumbangan beliau dan ribuan pejuang Aceh terus harum dalam lipatan sejarah jihad umat ini. Allahu akbar Walillahilhamd! Lewat siri ke 2o dan 21 kita telah melihat usaha-usaha berani yang telah dipelopori oleh Demak dan Aceh Darus Salam untuk membebaskan Melaka dari cengkaman Portugis. Serangan bertubi-tubi umat Islam dari mereka dan kerajaan Johor, kadang-kadang secara berasingan dan kadang-kadang secara bersekutu meskipun gagal mengeluarkan Portugis tetapi berjaya dari satu segi iaitu menghalang pengluasan empayar Portugis yang bercitacita untuk mengusai pusat-pusat pengeluaran rempah di Sumatera dan Jawa barat (lada hitam). Kerajaan Demak di dalam menghalang cita-cita Portugis ini telah menundukkan kerajaan-kerajaan Hindu persisiran pantai Jawa lalu membentuk satu garrison yang ampuh dari ditembusi oleh pengaruh Portugis. Satu demi satu prinsipaliti Hindu ditundukkan seperti Pajajaran, pasuruan dan Sunda Kalapa dengan kerjasama sebuah lagi kerajaan Islam di Bantam. Demak mencapai kemuncak kekuasaannya pada tahun 1540. Walaubagaimanapun pemerentah Demak terbunuh pada tahun 1546 semasa melancarkan perang jihad ke atas kerajaan-kerajaan Hindu di Jawa Timur. Peranan Demak akhirnya diambil alih oleh kerajaan Islam Japara. Kerajaan Japara inilah yang telah diakui oleh sejarawan Portugis sebagai paling merbahaya kepada sekuriti Portugis di timur Jauh (rujukan H.J. de Graaf, 'De Regering van Panembahar Senapati Ingalaga, Jilid XIII (The Hague 1954). Ancaman terbesar tersebut merujuk kepada period pemerentahan seorang permaisuri yang bernama Senopati Ingalaga. Di bawah kepimpinan beliau, Japara telah mengepung Melaka sebanyak dua kali iatu pada tahun 1550 dan 1574, yang pertama secara bersekutu dengan Johor dan yang kedua secara usahasama dengan kerajaan Aceh. Van Vlekke - orientalis paling otoriti apabila memperkatakan tentang beliau di dalam bukunya 'Nusantara' mengatakan "Her attempts to dislodge the Portuguese from their main stronghold miscarried but she made her influence felt from Sumatra to the Moluccas (Maluku), and wherever her ships came, Islam gained the upper hand" Di sini perhatian pembaca di bawa kepada peranan wanita di dalam perjuangan umat Islam Nusantara (and hence siri ini dinamakan SJN 22 khas). Sejarah umat Islam kepulauan melayu sebenarnya sarat dengan kesah-kesah keberanian serikandiserikandi muslimah umat ini - sangat jarang diketahui oleh kita kerana mungkin kurangnya pendedahan sejarah terhadapnya. Saya pernah melihat sebuah gambarfoto dari sedutan sebuah filem yang berjudul 'Tjoet Nya' Dien'. Gambar tersebut memaparkan seorang wanita berkerudung (bertudung - Indonesia) yang diusung di atas tandu oleh pejuang-pejuang Aceh meredah kawasan padang lalang. Di satu gambar yang lain memaparkan pula wanita tadi mengadap tentera-tentera Aceh, jelas menunjukkan 'battle-weary faces' mereka sambil memberikan arahan-arahan. Dari celah kerudungnya memperlihatkan wajah tua seorang wanita. Dialah Tjoet Nya' Dien yang peranannya dimainkan oleh Cristine Hakim. Saya kemudiannya pergi ke Perpustakaan untuk mencari bahan-bahan penulisan perjuangan umat Islam Aceh untuk mengenali dengan lebih lanjut lagi tentang wanita berkerudung tadi.Beliau ialah

isteri kepada Teuku Umar yang memimpin perjuangan umat Islam Aceh lewat kurun ke 20 ini. Apabila Teuku Umar terbunuh kepimpinan diserahkan kepada isteri beliau 'Tjoet Nya' Dien. Beliau terus memimpin perjuangan meskipun dalam usia yang telah lanjut. Lantaran semangatnya yang tinggi askar-askar Aceh telah mengusung beliau di atas tandu meredah hutan dan mendaki bukit serta menuruni lembah akibat diburu oleh tentera-tentera kompeni (Belanda). Tjot Nya' Dien akhirnya tertawan dan dipaksa agar memberhentikan penentangan beliau terhadap pemerentahan Belanda di Sumatera Utara. Beliau enggan dan dipenjarakan. Dalam usianya yang telah lanjut beliau akhirnya hilang daya penglihatannya dan menghembuskan nafas terakhirnya dalam tahanan Belanda. Saya kemudiannya pergi ke Kedutaan Indonesia untuk mendapatkan salinan video tape filem Tjoet Nya' Dien sebab tidak ada kedai yang menjual atau menyewa vidoe tersebut (sedangkan filem ini memenangi anugerah pesta filem Indonesia dan juga France). Malangnya pegawai yang saya temui tidak dapat membantu bagi saya mendapatkan salinan video tersebut. (Dalam hati timbul rasa kesal - filem Indonesia berlambak-lambak di pasaran tetapi filem-filem bejat yang memaparkan wanita-wanita genit Indonesia yang menggiurkan - merosakkan akhlak umat). Kehebatan pejuang-pejuang wanita Aceh memang tidak asing lagi dalam sejarah perjuangan umat Islam di dalam menentang penjajahan. Satu kesah lagi yang saya baca dalam buku 'Ghirah (Maruah) dan tantangannya terhadap Islam' tulisan Al-Marhum Professor HAMKA. Di dalamnya beliau menyalin sebuah catatan peribadi seorang askar Belanda dari buka 'Ziesgraaf'. Satu platoon askar kompeni (Belanda) memasuki sebuah kampung di Aceh. Tiba di sebuah rumah terlihat seorang wanita sedang menjemur pakaian. Salah seorang dari askar tersebut bertanya 'di rumah ada orang laki-laki?' wanita tersebut menjawab 'Enggak...semua laki-laki pergi bermuslimin ('muslimin' ialah istilah aceh untuk berjihad i.e. mereka memahami bahawa jihad is very much part of Islam). Askar-askar tadi tidak berpuas hati lalu mereka naik ke atas rumah dan mereka geledah rumah tersebut. Mereka menemui seorang laki-laki yang sedang bersembunyi di bawah katil. Laki-laki tadi diheret ke tengah laman dan ditunjukkan kepada wanita tadi. "Tadi kamu kata tiada laki-laki... yang ini apa?". Dengan selamba wanita itu menjawab " Dia tidak pergi bermuslimin... maka dia bukan laki-laki!" HAMKA mengatakan sekiranya masih ada wanita yang seperti ini di zaman ini maka itulah tandanya Islam akan menang..... Sebuah kesah benar yang diceritakan oleh yang empunya badan - masih hidup lagi pada hari ini. Sepasang suami isteri bersama dua anaknya melarikan diri dari buruan askar-askar Belanda. Oleh kerana khuatir akan keselamatan anak mereka, kedua anak tadi ditinggalkan di dalam sebuah pondok buruk di pinggir hutan. Si ibu memerahkan susu ke dalam sebuah bekas dan kemudian berpesan kepada si kakak. "kalau adekmu menangis - berikan susu ini" Kemudian kedua suami isteri menadah tangan ke langit dan berdoa "wahai Tuhan kami peliharalah anak-anak ini sepeninggalan kami dan besarkanlah mereka menjadi pejuang-pejuang agamamu". Dengan pasrah mereka tinggalkan anak kesayangan dan masuk ke dalam hutan - sehingga hari ini tidak ketahuan apakah kesudahan mereka. Saudara-saudari yang dikasihi. Demikianlah sedikit dari kesah-kesah yang dapat kita paparkan tentang semangat juang dan jihad umat Islam yang tidak ada tolok bandingnya di dalam sejarah. Sememangnya umat ini kaya dengan sumbangan serikandi-sekandinya. Siapa yang tiada mengenali Ummu Ammarah yang turut bersama sahabat yang lain menangkis tetakan pedang dan panahan musuh bagi mempertahankan Rasulullah saw. Bukankah beliau (Ummu Amarah) meminta supaya Rasulullah saw mendoakan agar dia turut bersama dalam pertempuran di laut yang pertama yang diceburi oleh umat Islam sebagaimana yang

diperlihatkan kepada rasulullah saw melalui petunjuk nubuwwahnya - petunjuk tersebut menjadi kenyataan apabila di zaman Muawiyah bin Abi sufyan, Ummu Amarah turut sama dalam ekspedisi naval untuk menakluki pulau Crete dan beliau terkorban dalam pertempuran yang menyusul. Mari kita hayati kesah-kesah perjuanagn ini dengan anak-anak kita yang laki-laki dan yang perempuannya. Mari kita paparkan model sebenar pemuda dan pemudi islam yang menjadi idaman kita semuga masa depan umat ini diterajui oleh generasi yang menjadikan jihad dan mati syahid sebagai cita-cita dan matlamat hidup mereka. Seperti yang saya sebut dalam siri SJN yang pertama di mana kita salin kata-kata Saad bin Abi Waqqash: "Kami ceritakan kepada anak-anak kami al-Maghazi (kesah-kesah peperangan) sebagaimana kami ajarkan mereka al-Quran" SJN ke 23: Membendung kemaraan Spanyol - dari Brunei ke Manila. Kalau umat Islam kepulauan melayu menghadapi ancaman Portugis dari jurusan barat maka mereka juga menghadapi ancaman yang sama dari jurusan timur - iaitu dari Sepanyol, negara yang berjiran dengan Portugis di semenanjuang Iberia. Berbeza dengan Portugis, usaha-usaha penerokaan Sepanyol tidak banyak menghadapi tantangan dari umat Islam sehinggalah pada tahun 1521, apabila Ferdinand Magellan melabuhkan sauhnya di kepulauan Filipina. Sebelum dari period itu, mereka hanya berhadapan dengan suku-suku 'biadap' (mengikut istilah mereka) di benua Amerika (Carribean, Amerika Tengah dan selatan) yang mereka sangka 'India'. Cristopher Columbus yang melihat peranannya sebagai menjalankan 'tugas suci' telah berusaha untuk 'subdue' penduduk tempatan di pulau-pulau Carribean supaya menerima ajaran Kristian. Sedang Hernando Cortez mengambil tindakan yang lebih drsatik dengan membunuh suku-suku kaum Amerika Latin dan Tengah serta memusnahkan tamaddun mereka (Aztec, Maya dsbnya). Penemuan 'India' oleh Columbus diteruskan oleh Ferdinand Magellan. Beliau menyusuri benua Amerika Selatan sehingga ke Terra del Feugo dan terus membuat pelayaran rentas 'Pasifik' sehingga akhirnya mereka (3 buah kapal) menemui gugusan pulau-pulau Filipina. Buat pertama kalinya mereka berhadapan dengan musuh sebenar yang mereka perangi dan keluarkan dari bumi Andalus iaitulah orang-orang 'moor' (panggilan Spanyol ke atas orang-orang Islam; asal perkataan MORO (Moro National Liberation Front - MNLF). Da'wah Islam pada waktu itu sudah mula disebarkan di beberapa tempat di Filipina. Sebuah kerajaan Islam juga telah dibentuk di Manila (mengambil sempena dari perkataan Arab - Amaanilah). Di samping itu terdapat juga suku-suku kaum yang masih mengamalkan ajaran tempatan. Magellan berusaha untuk menda'wahkan mereka kepada agama Kristian. Di tangan mereka jugalah Magellan terbunuh. Selepas kematiannya, rombongan beliau telah meneruskan perjalanan ke selatan dan menyusuri pulau Borneo. Borneo pada waktu itu berada di bawah kekuasaan kesultanan Islam Brunei, sebuah kerajaan yang telah lama berdiri di atas Islam. Petunjuk-petunjuk sejarah menunjukkan bahawa Brunei (Borneo) merupakan antara tempat yang paling awal menerima da'wah Islam. Artifak-artifak yang ditemui, yang termasyur ialah nesan dari kubur seorang wanita yang bernama Ruqayyah atau 'Makhdarah' bertarikh 1404 M, lebih kurang bersamaan tarikh penerimaan Islam oleh Parameswara di Melaka. Sumber sejarah tanah besar Cina juga menunjukkan bahawa seorang raja yang bergelar 'Ali dari negeri bernama 'Poni' (Brunei) pernah melawat tanah besar Cina menjadi tetamu kerajaan pada awal kurun ke 15. Ini menunjukkan bahawa Brunei merupakan antara wilayah pemerentahan umat Islam yang terawal di Nusantara. Apabila kapal 'Victoria' Magellan sampai ke Brunei, Raja Brunei dikatakan sedang sebuk menyebarkan Islam di pulau Borneo, Sulu, Palawan dan Mindanoa. Usaha-usaha penyebaran Islam ini barangkali boleh dirujuk di dalam buku

yang berjudul 'Islam di Filipina' tulisan Ceasar Majul terbitan DBP - antara lain membicarakan tentang kesultanan Islam Sulu. Kedatangan rombongan dari Sepanyol ini tidak disenangi dan beberapa siri konflik berlaku di antara kerajaan Brunei dan Sepanyol di pesisiran utara Borneo, Sulu dan Mindanao. Rombongan dari Sepanyol terpaksa berpatah balik dan menumpukan usaha-usaha missionary mereka di Filipina. Sungguhpun mereka berjaya di pulau-pulau Visayas (Cebu, Panay, Leyte dsbnya) dan Luzon, kekuasaan Islam yang berpusat di Brunei berjaya membentuk benteng yang menghalang penyebaran pengaruh Kristian dan dasar imperialis Sepanyol di Mindanao. Mereka, orang-orang Sepanyol, lebih berjaya di dalam usaha mereka di sebelah utara Mindanoa. Pada tahun 1574 misalannya, mereka mengalahkan kerajaan Islam Manila dan mulai saat itu berakhirlah period Islam dan bermulalah era Kristian di Filipina. Sehingga hari ini orang-orang Sepanyol berbangga dengan dua pencapaian mereka - mengeluarkan Islam dari Andalus (semenanjung Iberia) dan menyekat kemaraan Islam di Filipina. Pencapaian yang menyebabkan satu-satunya pecahan ethnik dari rumpun bangsa melayu menjadikan Kristian sebagai pegangan hidup mereka. Sekiranya Aceh, Demak dan Japara berperanan mempertahankan kekuasaan dan maruah umat di Sumatera Barat, Tengah dan Jawa Barat maka Kerajaan Islam Brunei bertanggungjawab di dalam menjaga kesejahteraan Islam dari Borneo ke Mindanao. Sulawesi, Halmahera dan Maluku - perlumbaan di antara da'wah Islam dan missionary Kristian. Kemenangan Portugis di Melaka merupakan kejayaan pertama di dalam usaha-usaha kuasa maritim Eropah untuk menguasai perniagaan rempah, komoditi paling berharga di dunia pada zamannya. Sehingga masyhurlah diperkatakan 'Whoever rules Malacca has his hands on the throat of Venice. Melaka walaubagaimanapun hanya merupakan pusat entreport, sesuai dengan kedudukannya sebagai pelabuhan yang terletak pada pertemuan dua tradewinds utama barat daya dan timur laut. Kedudukannya di antara Lautan Hindi dan Laut Cina Selatan serta Laut Sulu menjadikan ia sebagai 'distribution centre' kepada komoditi rempah-ratus dan barang-barang eksotik seperti sutera, china, wangiwangian (camphor - barus) dsbnya. Untuk melengkapkan hegemoni Portugis di kepulauan rempah Asia Tenggara, menakluki Melaka sahaja tidak memadai. Meluaskan pengaruh dan jajahan takluk Portugis di pusat-pusat pengeluaran rempah itu sendiri akan menyempurnakan monopoli Portugis ke atas perdagangan rempah. Monopoli perniagaan rempah ini penting kerana ianya akan mengekalkan harga yang tinggi di pasaran-pasaran Eropah. Di samping itu Protugis boleh mengenakan sekatan-sekatan eksport ke atas pusat-pusat perdagangan di Mesir dan Syria. Di sinilah Portugis melihat usaha mereka sebagai sebahagian dari tugas 'suci' di dalam membantu Kristian Eropah menghadapi Islam di bawah kekuasaan Turki Uthmaniyah di Laut Mediterranean. Van Vlekke di dalam bukunya 'Nusantara' menulis: "Every pound of nutmeg (buah pala) taken away from the muslim traders was a blow at the prosperity of the trading cities of Syria and Egypt, which recently had come under the political authority of the sultan of Turkey. This meant loss of income for Istanbul and thus would be of advantage to the Cristians who had to fight the Turkish fleets on the Mediterranean. So it was at once a laudable and a profitable undertaking to throw the muslims out of bussiness..." Pulau-pulau pengeluar rempah yang utama ialah Maluku, Sumatera dan Jawa Barat. Kepulauan Maluku yang terdiri dari pulau-pulau Ternate, Tidore, Halmahera dan beberapa pulau lain merupakan pusat pengeluar bunga cengkih dan buah pala yang utama. Lada hitam ditanam di Sumatera dan Jawa Barat. Bunga cengkih dan buah paha hanya boleh diperolehi di kepulauan Maluku sedang lada hitam boleh diperolehi dari beberapa tempat yang

lain seperti Malabar, Siam dan Cochin China (IndoChina pada hari ini). Oleh itu kepulauan Maluku akan memberikan kelebihan strategik kepada Portugis dalam menggenapkan cita-citanya. (Sedikit gambaran betapa pentingnya kepulauan Maluku kepada cita-cita imperialis Portugis. Harga rempah di Maluku hanya dalam sekitar 1 atau 2 ducat (matawang pada zaman itu) tetapi harganya meningkat sebanyak 2500% apabila dijual di pasaran-pasaran Eropah.) Atas kepentingan ekonomi dan strategik ini, Alfonso d albuqueque menghantar 3 buah kapal di bawah pimpinan Antonio d'Abreu. D'Abreu menerima 'specific instruction' dari Alfonso untuk membawa misi dagang dari Portugis dan menjauhi provokasi-provokasi ketenteraan - taktik yang sama yang mereka gunakan sebelum menyerang dan menguasai Goa (India) dan Melaka. D'abreau kehilangan sebuah kapal di antara pulau Jawa dan kepulauan Banda dan dua yang lain tidak meneruskan perjalanan ke Maluku. Sebuah dari kapal beliau dipukul ribut dan mendarat di Amboina (Kepulauan Ambon). Francesco Serrao, kapten kepada kapal tersebut berjaya mendarat di Ternate dan menjalin perhubungan dagang dengan penguasa tempatan di sana. Di waktu yang sama, kapalkapal Sepanyol mendarat di Filipina. Portugis merasa kedudukannya semakin terancam dengan saingan Sepanyol. Mereka perlu melakukan sesuatu yang drastik untuk 'consolidate' kekuasaan mereka di pulau-pulau rempah. Maka bermulalah satu lagi episod yang penting di dalam mencorakkan perjalanan perjuangan umat Islam di Nusantara. Netters sekelian boleh view peta pelayaran Dinasti MIng (9 dari 11 dipimpin oleh Adm Muhammad Cheng Ho) di URL berikut. http://ccat.sas.upenn.edu/~rs143/map6.jpg Tajuk: Map of the Muslim World c.A.D. 1500 Peta tersebut jelas menunjukkan route yang dilalui termasuk Laut Merah dan singgah di Jazirah Arab berhampiran Jeddah. Bagi netters yang ingin mengetahui serba sedikit mengenai tokoh pelayaran muslim ini boleh juga merujuk kepada artikel SJN (Sejarah Jihad Nusantara siri ke 11) yang telah diarkibkan dalam homepage MSM. Url spt berikut: http://www.liv.ac.uk/~mujahid/ARKIB/sejarah_jihad_nun.asc Encyclopedia Britannica juga menyediakan satu entry yang lengkap mengenai Adm. Cheng Ho. (Macropaedia) Untuk mengetahui lebih lanjut lagi mengenai Dinasti Ming (petunjuk sejarah menunjukkan Islam mendapat pengiktirafan kerajaan Ming) boleh rujuk kepada tulisan Allahyarham Teing Yeng Ma (Hj. Ibrahim T.Y. Ma) di dalam bukunya yang berjudul 'Perkembangan Islam di Tiongkok'. Saya juga telah merumuskannya dalam SJN siri yang ke 5 berjodol 'Arus Hidayah dari Tanah Besar Cina' ------------------------------------------------------- Bagi netters yang berminat untuk melihat-lihat peta-peta Sejarah perkembangan da'wah Islam bolehlah melawat site berikut: http://ccat.sas.upenn.edu/~rs143/map.html Senarai peta yang boleh didapati ialah: Maps of the Umayyad Caliphate in the Second Half of the 9th and the Second Half of the 10th Centuries Map of the Empire of Sultan Salah Al-Din (1171-1193) and Map of the Crusaders' Principalities in Syria and Palestine Map of Spain in the 13th and 14th centuries. The Reconquest by the Christian Kingdoms of the North. The Kingdom of Granada. Maps of Spain after the Fall of the Umayyad Caliphate in the Periods of the Party Kings and ofthe Almoravids Map of the Growth of the Ottoman Empire From the Early 14th Century Till 1512 Map of The Ottoman Sultanate in the 16th and 17th Centuries Map of the Later Timurid Period; and Map of Safawid Persia in the 16th and 17th Centuries Map of the Muslim East in the First Half of the 13th Century Map of Muslim Expansion in the East in the Umayyad Period (661-750) W.C. Brice. An Historical Atlas of Islam Maps Map of Muslim Expansion until A.D. 661 Map of the Umayyad Empire c.A.D.750 Map of the Late Abbasid

Caliphate c.A.D.900 Map of Almoravid, Saldjuk, and Ghaznavid Expansion c.A.D. 1100 Map of the Muslim World c.A.D. 1300 Map of the Muslim World c.A.D. 1500 Sekian. 'MENYUSURI SEJARAH MEMBANGKITKAN 'IZZAH UMAT' Bersambung insyaAllah: SJN 25: "Perjuangan umat Islam Ternate - Menunda penjajahan 100 tahun ke belakang" Hafidzi MN Aberdeen ______________________________________________________"Allah Matlamat Kami"