Anda di halaman 1dari 2

Perbezaan Jurnal dan artikel

Pelajar saya, sama ada yang sedang menyempurnakan latihan ilmiah peringkat Ijazah Sarjana Muda atau menulis tesis peringkat Ijazah Sarjana, sering keliru atau memang tidak tahu tentang perbezaan antara jurnal dan monograf. lantaran itu, mereka akan menyenaraikan kedudukan jurnal dan monograf bersekali dalam senarai pada bahagian "rujukan" dan "bibliografi". beberapakali saya menegur untuk pelajar semester ini, kemudian berulang pula pada para pelajar semester akan datang. maka, ini menunjukkan dalam kalangan mereka memang tidak tahu dan memang tidak mahu tahu, begitu agaknya sangka saya. lantaran hal ini menjadi suatu perkara besar yang harus saya ulang, ulang dan ulang setiap masa sepanjang proses penyeliaan.

Mengikut Kamus Dewan, jurnal adalah "terbitan atau majalah berkala yang khusus bagi sesuatu perkara, profesion, atau bidang tertentu" manakala monograf pula adalah "tulisan huraian, rencana, dan sebagainya berkenaan sesuatu perkara atau masalah yang khusus atau bukan sesuatu aspek daripada sesuatu bidang ilmu." dan andai kalian meneliti jurnal dan monograf di mana-mana perpustakaan, pasti ketara perbezaan antara kedua-duanya daripada segi penghasilan mutu tulisan para penulisnya dan mutu persembahan pendekatan yang ditampilkan. pengalaman saya, menulis di jurnal, memang berat-sukar, tambahan mutakhir ini yang kesemuanya mahukan penggunaan teori atau pendekatan. malahan, sebelum tulisan disiarkan di dalam jurnal, ada sarjana penilai yang menilai "layak atau tidak tulisan seseorang pengkaji atau sarjana terbabit" untuk dipilih dalam keluaran tahun tersebut. kenangan manis tertancap apabila tulisan pertama saya tersiar dalam Jurnal Pengajian Melayu Akademi Pengajian Melayu (UM) sekitar tahun 2004 dengan tajuk "Sahsiah Wanita Islam dalam Novel-novel Penulis Wanita Malaysia" ketika saya sedang menyempurnakan penulisan tesis Ijazah Doktor Falsafah. kemudian disusuli dengan penerbitannya di Jurnal Beringin Akademi Seni Kebangsaan (ASWARA), pada tahun 2005 diikuti di Jurnal Pangsura (Asia Tenggara) pada tahun 2007, Jurnal Pengajian Melayu APM, UM (2009) dan Jurnal Malay Literature, Dewan Bahasa dan Pustaka (2010). Oh, dihitung-hitung, baru lima rupanya tulisan saya mendapat tempat di jurnal-jurnal yang memuatkan kajian persuratan Melayu tanahair.

Sedangkan jurnal yang memuatkan tulisan tentang persuratan Melayu di Malaysia dan rantau nusantara ini cukup banyak seperti Gema (UKM), Sari (UKM), Pendeta (UPSI) dan lain-lain. cuma barangkali saya tidak punya masa yang cukup untuk menguruskan penulisan di jurnal lantaran tumpuan saya kepada banyak tulisan seperti makalah dalam prosiding, bab dalam buku dan tentunya tidak ketinggalan karya kreatif; yang akhir-akhir ini saya gemar menulis cerpen yang saya namakan ia "cerpen kampus" atau "cerpen terapi" atau "cerpan ilmiah" atau istilah baru ciptaan saya "cermiah" (cerpen + tulisan ilmiah). dan saya tidak pernah menghantar tulisan untuk penerbitan monograf lantaran sebagai seorang ahli akademik, merit untuk tulisan di dalam monograf juga agak rendah berbanding dengan tulisan di dalam jurnal. atau barangkali saya tidak didedahkan dengan tulisan dalam monograf semasa menyempurnakan tesis dulu. malahan dari sudut lain pula, penulisan dalam jurnal akan membabitkan pengiraan markah KPI yang tinggi berbanding tulisan dalam penerbitan lain hatta bab dalam buku sekalipun. atau laluan kenaikan pangkat seseorang penjawat awam dalam dunia akademik, turut diperhati kepada "berapa banyak pensyarah menghasilkan tulisan di dalam jurnal." malah, di UM, tulisan di dalam jurnal bukan sekadar pada penerbitan peringkat tempatan atau nusantara, bahkan menjangkau jurnal yang bertaraf ISI atau scorpus. aduhai kata teman saya. menurut teman saya lagi, kalau begitu alangkah sukarlah para pensyarah UM untuk kenaikan pangkat. alahai kata saya.

Justeru, para pelajar kampus saya yang sedang melaksanakan penulisan sama ada latihan projek ilmiah atau tesis sarjana dan doktor falsafah, ayuh, bersiap siaga kalian dengan penelitian terhadap tulisan jurnal. cuba perhatikan ciri yang membezakan tulisan dalam jurnal dengan tulisan dalam monograf agar selepas ini kalian lebih prihatin dan cermat kala menulis!