Anda di halaman 1dari 11

KEPENTINGAN MEMULIHARA BANGUNAN BERSEJARAH

Pembangunan di negara kita semakin hari semakin maju dan pesat seiring dengan nama Malaysia yang kini lebih dikenali sebagai negara yang sedang membangun. Banyak kilang perindustrian, pusat belibelah dan rumah dibina yang menggunakan ruang yang luas sehingga memakan tanah yang berhektarhektar. Antara isu yang hangat yang telah dibincangkan di kedai kopi sehingga sidang di Dewan Parlimen mutakhir ini ialah isu meruntuhkan bangunan bersejarah tetapi perbincangan itu telah membuat keputusan muktamad untuk tidak meruntuhkan bangunan tersebut. Walau bagaimanapun, terdapat juga negara-negara yang telah merobohkan bangunan bersejarah seperti di Surabaya, Jakarta. Mengapakah ada kejadian seperti ini berlaku? Adakah perlu bangunan tersebut diruntuhkan? Tepuk dada tanyalah selera. Sebenarnya, terdapat pelbagai kepentingannya kita perlu mengekalkan bangunan bersejarah yang terdapat di negara kita.

Satu daripada kepentingan bangunan bersejarah perlu dikekalkan ialah bangunan bersejarah atau monumen dapat dijadikan sebagai bukti yang kukuh kepada sesuatu era atau peristiwa sejarah yang telah berlaku. Monumen, mengikut Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat bermaksud bangunan yang dibina untuk memperingati seseorang atau peristiwa penting. Walaupun Malaysia telah mencapai kemerdekaan selama 50 tahun, kesan yang ditinggalkan oleh penjajah kolonial seperti British, Belanda dan Portugis masih dapat dilihat dan perlu dijaga dan bukanlah untuk dimusnahkan. Di samping itu, bangunan bersejarah amat penting untuk generasi kini dan juga generasi yang akan datang kerana dengan kewujudan bangunan bersejarah, kita dapat membuktikan bahawa sejarah Malaysia yang telah dibukukan oleh penulis-penulis yang terkenal merupakan sesuatu yang realistik dan bukanlah ceritacerita dongeng, mitos atau lagenda. Sebagai contohnya, zaman kegemilangan bandar pelabuhan Melaka pada abad ke-15 dan abad ke-16 dapat dirasai dengan wujudnya Pintu Gerbang Porta de Santiago, Gereja Christ, Bangunan Stadhuys dan Gereja St.Paul. Selain itu, Kota Cornwallis, Masjid Kling, Gereja St.George di Georgetown, Pulau Pinang dapat mengimbas kembali detik-detik sejarah negara yang pernah suatu masa dahulu dijajah dan juga dapat membuktikan berlakunya penjajahan awal pemerintahan British di Semenanjung Tanah Melayu pada akhir abad ke-18. Tegasnya, usaha meruntuhkan bangunan bersejarah dan monuman negara tidak wajar dilaksanakan.

Pendapat sesetengah pihak yang mengatakan bahawa bangunan bersejarah perlu diruntuhkan adalah tidak berasas kerana bangunan bersejarah dan monumen lama dapat memberikan teladan dan iktibar kepada masyarakat terutamanya remaja kini yang mempunyai semangat patriotisme yang semakin menipis. Walaupun ada antara bangunan bersejarah yang hanya menggambarkan sejarah hitam negara namun jika kita menghayati sejarah di sebalik bangunan tersebut semula serta mengambil pengajaran daripada peristiwa yang telah berlaku, maka kita dapat terus mara ke hadapan tanpa mengulangi kesilapan yang telah dilakukan oleh masyarakat terdahulu. Sebagai contohnya, Kota A Famosa di Melaka yang merupakan sebuah kubu pertahanan yang kukuh telah dibina oleh Portugis setelah mereka berjaya

menakluki Melaka dapat dijadikan iktibar. Penaklukan ini terjadi kerana terdapatnya masalah perpaduan, kelemahan kepemimpinan dan juga kelemahan tentera yang mengawal Melaka. Negara kita juga mampu menjadi negara yang setaraf dengan negara-negara maju yang lain sekiranya kita tidak mengambil mudah dan mengambil iktibar daripada sejarah negara. Oleh itu, bangunan bersejarah di negara kita sememangnya tidak perlu diruntuhkan kerana yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan.

Bukan itu sahaja, dari sudut pelancongan pula, bangunan bersejarah dan monumen dapat menarik pelancong baik pelancong tempatan mahupun pelancong dari luar negara untuk melawat ke negara kita. Bangunan ini juga menjadi salah satu faktor dominan pelancong bercuti di negara kita selain menyaksikan Menara Berkembar Petronas. Oleh itu, bangunan bersejarah tidak perlu diruntuhkan sebaliknya dipulihara dan diubah suai. Sebagai contohnya, bangunan lama hendaklah diubah suai untuk dijadikan muzium, galeri seni lukis dan pusat pelancongan. Fenomena ini sudah menjadi suatu perkara biasa di beberapa buah negara Eropah seperti di England, Perancis, Itali, dan Belanda. Bandar-bandar bersejarah seperti York, Bath, Oxford, dan Cambridge di England telah berjaya melindungi sebahagian besar daripada bangunan bersejarah mereka dengan baik. Usaha seperti ini dapat menarik lebih ramai pelancong dari seluruh dunia dan dapat menjadi sumber pendapatan negara. Di samping itu, pelancong juga dapat melawat bangunan bersejarah dan melihat monumen-monumen yang terdapat di sekitar bangunan selain menikmati keindahan alam semula jadi negara kita dan artifak-artifak di dalam muzium dan galeri seni lukis. Oleh itu, bangunan dan monumen ini secara tidak langsung dapat membantu industri pelancongan negara.

Di samping itu, bangunan dan monumen lama juga memainkan peranan yang penting dalam pendidikan di negara kita khususnya para pelajar dan penyelidik. Pelbagai ilmu yang dapat dipelajari dengan memahami dan mengkaji bangunan dan monumen lama. Sebagai contohnya, dengan terdapatnya bangunan dan pancutan air Horse di sekitar Dataran Merdeka dan Masjid Jamek di pertemuan Sungai Gombak dan Klang di Kuala Lumpur, seseorang dapat mengetahui bukan sahaja kepentingan Kuala Lumpur dalam era kolonial British tetapi juga kehidupan dan kebudayaan masyarakat penjajah dan tempatan pada ketika itu. Bangunan Kelab Di Raja Selangor dan Dataran Merdeka telah dibina bagi kemudahan sosial dan rekreasi khasnya kepada rakyat British dan Eropah yang berkhidmat di Tanah Melayu pada akhir abad ke-19. Begitu juga halnya dengan kepentingan pancutan air Horse yang telah dibina di persimpangan Jalan Raja dan Jalan Raja Laut pada tahun 1897. Pancutan air Horse dibina sebagai memperingati seorang inspektor polis negeri Selangor, iaitu Encik Steve Harper. Pemuliharaan dan penghayatan kemaslahatan bangunan bersejarah persis peribahasa, yakni tak kenal maka tak cinta. Oleh itu, bangunan bersejarah dan monumen sememangnya mempunyai nilai yang tersendiri.

Secara tuntas, bangunan bersejarah amat penting dalam pembentukan minda generasi muda negara terutamanya ke arah penghayatan warisan dan khazanah negara. Bangunan dan monumen yang

bersejarah merupakan aset yang patut dipelihara dan diwarisi dari satu generasi ke satu generasi. Dengan terdapatnya bangunan bersejarah, generasi baharu akan lebih menghargai dan peka akan perkembangan sejarah negara. Hal ini akan membentuk sebuah masyarakat yang sensitif terhadap sebarang perobohan atau pemusnahan bangunan bersejarah. Sesungguhnya, pihak kerajaan pula perlulah mewartakan bangunan bersejarah sebagai bangunan yang perlu dikekalkan. Oleh hal yang demikian, mana-mana pihak yang merobohkan atau memusnahkan bangunan bersejarah, mereka perlulah dikenakan tindakan undang-undang.

Karangan Bangunan Bersejarah

Karangan Bangunan Bersejarah 1:

Bangunan bersejarah di negara kita amat perlu dikekalkan demi generasi yang akan datang. Bincangkan langkah-langkah yang dapat diambil untuk mengekalkan bangunan bersejarah tersebut.

Dalam era permodenan yang dihambat dengan pelbagai kemajuan, Malaysia masih mampu mengekalkan bangunan-bangunan bersejarah sebagai warisan budaya yang unggul. Di kota raya Kuala Lumpur sahaja, tersergam indah bangunan Sultan Abdul Samad yang menjadi mercu tanda kebanggaan penduduknya. Kerajaan turut mengorak langkah untuk mengekalkan bangunan-bangunan bersejarah ini bagi memastikan bangunan tersebut terus utuh sebagai bangunan yang bakal menjadi kebanggaan generasi akan datang. Pada masa yang sama, bangunan bersejarah yang memiliki seni bina yang unik ini dapat dijadikan satu tarikan kepada para pelancong untuk berkunjung ke negara kita. Justeru, pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi memelihara dan memulihara keunikan bangunan tersebut agar tidak pupus ditelan zaman.

Antara usaha yang telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan ialah mengorak langkah bagi mewartakan bangunan bersejarah ini sebagai satu warisan kebangsaan yang perlu dipelihara. Dengan pewartaan ini, bangunan-bangunan yang kebanyakannya dibina pada era penjajah dan berusia ratusan tahun, dapat dijamin kewujudannya dan terhindar daripada sebarang usaha pemusnahan. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur umpamanya, telah meletakkan Bangunan Sultan Abdul Samad sebagai bangunan bersejarah yang perlu dipertahankan dalam Pelan Induk Pembangunan Kuala Lumpur. Bagi memastikan bangunan tersebut terus kekal, usaha mengindahkan semula bangunan ini telah

dilaksanakan sejak tahun 2002 lagi. Kesannya, bangunan kebanggaan negara tersebut kini tersergam indah menanti kunjungan pelancong sama ada dari dalam atau dari luar negara.

Bagi memenuhi impian seluruh masyarakat yang ingin melihat bangunan bersejarah di negara kita terus kekal, kerajaan juga telah mengambil inisiatif bagi menjalankan usaha pemeliharaan dan pemuliharaan bangunan bersejarah di seluruh negara. Kerajaan memperuntukkan sejumlah wang yang bukan kecil jumlahnya demi menjalankan usaha membaik pulih bangunan-bangunan lama tetapi mempunyai nilai sejarah yang tinggi. Sebagai contohnya, usaha membaik pulih Bangunan Sultan Abdul Samad pada sekitar tahun 2007 yang diselia oleh Jabatan Kerja Raya telah menelan belanja sebanyak RM20 juta. Hal ini meliputi kerja-kerja menambah kemudahan asas di bangunan tersebut serta menambah baik struktur bangunan yang telah rosak. Perlu diingat bahawa segala kerja baik pulih tersebut hanya melibatkan bahagian dalam bangunan sahaja, manakala struktur dan bentuk bahagian luar bangunan tersebut masih dikekalkan dengan ciri-ciri lamanya. Maka, dengan usaha yang bersungguh-sungguh ini, hasrat masyarakat untuk melihat bangunan bersejarah di negara kita terus kekal akan dapat dicapai.

Pada masa yang sama, malaksanakan usaha bagi mengindahkan kawasan persekitaran bangunan bersejarah yang terdapat di negara kita dengan lanskap yang menarik. Antaranya adalah dengan mengindahkan taman-taman bunga daripada pelbagai jenis flora yang terdapat di negara kita. Hal ini bertujuan untuk memastikan bangunan tersebut sentiasa mendapat kunjungan daripada orang ramai. Kemudahan-kemudahan awam yang terdapat di bahagian dalam mahupun di bahagian persekitaran turut diperbaiki atau ditambah nilai. Sebagai contohnya, Bangunan Sultan Abdul Samad turut dilengkapi dengan kemudahan lift, alat keselamatan serta tempat meletak kenderaan kepada para pengunjung. Dengan usaha yang bersungguh-sungguh ini, bangunan-bangunan bersejarah tersebut mampu menggamit kehadiran pengunjung sekali gus memperkenalkan budaya kita kepada masyarakat luar negara.

Selain itu, salah satu elemen penting yang mendasari usaha pemuliharaan bangunan bersejarah di negara kita adalah keterlibatan semua agensi yang berkaitan dengan kerja-kerja penyelidikan dan pembangunan. Jabatan Arkitek Malaysia dan Jabatan Kerja Raya sebagai contohnya sentiasa memantau perkembangan usaha-usaha pengekalan bangunan-bangunan bersejarah di seluruh negara. Hal ini adalah bagi tujuan memastikan agar semua bangunan yang telah diwartakan sebagai warisan kebangsaan sentiasa terpelihara dan selamat dikunjungi. Tida cukup dengan usaha tersebut, beberapa buah universiti di tanah air kita sering kali menjalankan penyelidikan bagi mengenal pasti struktur dan reka bentuk bangunan ini menepati ciri-ciri yang diharapkan oleh masyarakat Malaysia. Usaha ini turut ditanamkan dalam jiwa kalangan pelajar yang mengambil mata pelajaran sejarah di mana mereka turut menjalankan kajian tentang bangunan-bangunan bersejarah di negara kita. Penyelidikan yang

berterusan ini mampu menanamkan sikap cinta akan warisan budaya kita sesuai dengan matlamat kerajaan membangunkan nilai patriotism dalam jiwa remaja kita hari ini.

...Bagi menyempurnakan cita-cita luhur untuk mengekalkan bangunan-bangunan bersejarah di negara kita, kerajaan turut bertindak memperkenalkan bangunan warisan tersebut kepada pelancong dari seluruh dunia. Usaha ini didepani oleh Kementerian Pelancongan dan juga Lembaga Penggalak Pelancongan Malaysia yang sentiasa merintis jalan bagi memperkenalkan tempat-tempat menarik di Malaysia. Melalui usaha ini, bangunan-bangunan bersejarah dijadikan sebagai tempat lawatan wajib bagi pelancong yang mengikuti pakej anjuran Kementerian Pelancongan. Langkah memperkenalkan bangunan bersejarah seperti Bangunan Sultan Abdul Samad, Kota A famosa, Istana Jugra dan sebagainya mampu merealisasikan hasrat kita bagi mengekalkan bangunan bersejarah tersebut agar terus kekal di persada dunia. Pada masa yang sama, pemeliharaan bangunan bersejarah ini dapat mengekalkan faktafakta yang lebih jelas tentang budaya masyarakat kita yang hidup dan berkembang dalam lingkungannya yang begitu unik.

Intiharnya, kewujudan bangunan bersejarah di negara kita yang wujud sejak abad ke dua puluh lagi, mengambarkan kepelbagaian corak hidup masyarakat dahulu kala. Justeru, usaha untuk mengekalkan bangunan tersebut bagi tatapan generasi akan datang adalah amat perlu dilaksanakan demi kesinambungan budaya masyarakat kita. Budaya silam adalah cerminan masyarakat kita hari ini kerana budaya menunjukkan bangsa. Lantas, tanggungjawab kita adalah perlunya memberi kerjasama kepada pihak yang terbabit agar usaha memelihara dan memulihara bangunan bersejarah tersebut akan terus kekal padu dan berpanjangan. ................................................................................................................................ Karangan Bangunan Bersejarah 2: Tulis sepucuk surat kepada seorang rakan anda yang berada di luar negara bagi menceritakan sebuah bangunan bersejarah yang terdapat di negara anda. Di dalam surat tersebut, tuliskan keindahan yang terdapat pada bangunan itu dan langkah-langkah untuk memuliharanya.

.............Ajila Binti Ajijul .............No.3, Jalan Kayu Ara, .............Taman Kayu-kayan, Cheras, .............56100 Kuala Lumpur. .............13 Julai 2009.

Menemui sahabatku yang jauh di mata, Saudari Anne Van Der Houston yang kini berada di Armsterdam, Belanda. Semoga saudari dan keluarga saudari berada dalam keadaan sihat walafiat dan sejahtera selalu.

Saudari Anne, .Bagaimanakah keadaan diri saudari di sana? Saya berharap agar saudari sentiasa dalam keadaan gembira. Saya dan keluarga saya di Kuala Lumpur sihat seperti selalu. Namun begitu, keadaan cuaca yang agak panas terik sejak akhir-akhir ini membuatkan saya berasa mudah letih. Untuk makluman saudari, pada masa ini saya sedang sibuk mengikuti kelas tambahan yang dianjurkan oleh sekolah saya terutamanya pada waktu petang iaitu selepas waktu persekolahan. Hal ini bertujuan agar kami dapat mengingati semula isi-isi pelajaran yang telah kami pelajari di samping memperkenalkan kami pada bentuk soalan Sijil Pelajaran yang akan datang. Biasanya saya akan tiba di rumah pada lewat petang. Walau bagaimanapun, saya berharap agar saudari mendoakan saya supaya saya lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan tersebut.

Sahabatku Anne, Sebenarnya tujuan saya menulis bingkisan ini adalah untuk menceritakan bangunan bersejarah yang terdapat di negara saya. Bangunan yang saya maksudkan ialah bangunan Sultan Abdul Samad. Bangunan ini merupakan sebuah bangunan yang telah diwartakan sebagai warisan kebangsaan. Jika saudari ke Kuala Lumpur, saudari akan dapat melihat bangunan ini tersergam indah di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur. Kedudukannya terletak di pertemuan antara Sungai Kelang dengan Sungai Gombak. Untuk makluman saudari, bangunan ini telah dibina pada tahun 1893 iaitu semasa Malaysia masih dijajah oleh kuasa British. Sehingga hari ini, bangunan ini masih tegap berdiri serta menjadi mercu tanda bandar raya Kuala Lumpur.

Bangunan Sultan Abdul samad merupakan sebuah bangunan yang unik dan mempunyai ciri seni bina Islam yang dibawa masuk dari luar negara. Tingkap dan pintunya berbentuk lengkung yang menandakan ciri bangunan di Cordova, manakala tiga buah kubah separuh bulat yang terdapat di atas bumbung bangunan tersebut bercirikan seni bina istana Taj mahal di India. Keindahan seni bina ini telah berjaya menggamit kehadiran pelancong dari dalam dan luar negara. Sekiranya saudari berkunjung ke Kuala Lumpur, rugi rasanya jika saudara tidak singgah ke bangunan ini. Hal ini bukan sahaja dari segi keunikannya malah bangunan ini turut memiliki pelbagai nostalgia dan sejarah kepada penduduk di negara saya. Justeru, Kementerian Pelancongan dan Lembaga Penggalak Pelancongan Malaysia telah menjadikan bangunan ini sebagai pusat kunjungan para pelancong yang melawat ke Malaysia.

Saudari Anne, Keindahan Bangunan Sultan Abdul Samad ini bukan hanya terletak pada ukirannya di bahagian luar sahaja malah bahagian dalam bangunan ini turut dilengkapi dengan seni bina yang amat unik. Bahagian lantai bangunan ini dilengkapi dengan kemasan jubin bermutu tinggi berwarna kemerahan. Dindingnya pula dihiasi dengan corak dan lakaran yang amat halus buatannya dan sukar ditandingi oleh pereka moden pada hari ini. Turut menampilkan ciri unik di dalam bangunan ini ialah terbentuknya sebuah dataran yang luas di bahagian dalam bangunan ini yang menempatkan hiasan pokok-pokok bunga dengan penjagaan yang kemas dan rapi. Akhir sekali, saudari juga berpeluang melihat tangga berpusing yang menghubungkan tingkat bawah ke bahagian kubah di tingkat atas bangunan itu. Jadi, jika berkesempatan ke Malaysia jangan ketinggalan untuk singgah ke bangunan ini.

Sahabatku Anne, Memandangkan Bangunan Sultan Abdul Samad sebuah bangunan yang amat berharga dan memiliki nilai kesenian yang tinggi, pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan Malaysia bagi memelihara bangunan ini supaya terus kekal. Antaranya adalah dengan mewartakannya sebagai warisan kebangsaan. Dengan pewartaan itu, bangunan ini menjadi bangunan yang terpelihara dan tidak boleh diganggu gugat. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur telah meletakkan bangunan ini sebagai bangunan bersejarah yang perlu dipelihara dalam Pelan Pembangunan Bersepadu Kuala Lumpur. Perisytiharan tersebut turut menjadikan Bangunan Sultan Abdul Samad sebagai mercu tanda Kuala Lumpur dan sebagai khazanah lampau yang terus terpelihara.

Pada masa yang sama, kerajaan juga berusaha untuk membaik pulih struktur bangunan yang telah rosak dengan melaksanakan usaha pemeliharaan dan pemuliharaan. Pada tahun 2007 sahaja, Jabatan Kerja Raya telah menjalankan usaha baik pulih berjumlah RM20 juta. Usaha menaik taraf bangunan ini dilakukan bagi meningkatkan kemudahan asas di bahagian dalam bangunan ini termasuk menyediakan kemudahan keselamatan, ruang pameran, lift, tempat letak kereta dan sebagainya. Walaupun usaha baik pulih ini dilaksanakan namun keaslian bahagian luar bangunan ini tetap dipelihara kerana ciri-ciri keaslian dan ketulinan struktur bangunan ini masih dikekalkan mengikut bentuk asal bangunan ini.

Sahabatku Anne, Memandangkan masa yang tidak mengizinkan, setakat ini dahulu bingkisan yang sempat saya tulis untuk saudari. Saya amat berbesar hati menjemput saudari sekeluarga datang ke negara saya untuk menikmati keindahan bangunan-bangunan bersejarah yang terdapat di negara saya. Di sini nanti,

bolehlah saudari mengambil gambar di kawasan bangunan tersebut atau menjalankan kajian untuk menambah pengetahuan saudari.

Akhir kata, sambutlah salam manis daripada saya dan keluarga saya di sini. Sampaikan salam saya kepada keluarga saudari di Belanda. Jumpa lagi pada bingkisan yang akan datang.

Sekian, terima kasih.

Keperluan/mustahak/kebaikan/keuntungan/manfaat/faedah

Contoh Karangan PMR: Kepentingan Memelihara dan Memulihara Bangunan dan Tempat Bersejarah Era globalisasi yang sarat dengan pelbagai cabaran zahir dan maya ini, Malaysia sedang giat melaksanakan pelbagai pembangunan demi mencapai status negara maju menjelang tahun 2020. Mercu tanda negara yang serba moden seperti Menara Kuala Lumpur, Menara Berkembar Petronas dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur telah dibina agar Malaysia dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara-negara maju yang lain. Pada masa yang sama, pelbagai pihak terutamanya pihak kerajaan tidak pernah terlepas pandang terhadap pemeliharaan dan pemuliharaan bangunan dan tempat bersejarah. Kota A' Famosa, Bangunan Sultan Abdul Samad dan Menara Condong Teluk Intan merupakan antara contoh bangunan serta tempat bersejarah yang terkenal di Malaysia. Hakikatnya, terdapat pelbagai kepentingan khazanah negara yang tidak ternilai ini.

Pertama sekali, bangunan dan tempat bersejarah harus dipelihara dan dipulihara supaya sejarah tanah air tidak mudah hilang ditelan zaman. Hal ini demikian kerana bangunan bersejarah mampu menjadi bukti yang penting berlakunya sesuatu peristiwa pada masa lampau. Generasi muda kini lebih gemar melihat sendiri bukti sebenar sesuatu sejarah berbanding dengan membaca mengenainya dalam buku sahaja. Contoh jelas yang dapat kita lihat sehingga hari ini ialah bukti penjajahan Portugis terhadap Melaka. Tinggalan bangunan gereja dan kubu pertahanan mereka masih dapat dilihat di bandar raya bersejarah itu. Secara tidak langsung, apabila generasi muda melawat bangunan-bangunan bersejarah, mereka dapat mengetahui dan mempelajari sejarah Malaysia secara lebih mendalam.

Di samping itu, bangunan bersejarah juga penting untuk menyemai semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda. Golongan belia yang merupakan insan kerdil ciptaan Tuhan bakal menjadi pemimpin negara pada masa hadapan. Namun begitu, kumpulan individu ini perlu dipupuk dengan rasa

cinta akan Malaysia sejak mereka kecil lagi supaya kesetiaan mereka terhadap negara sentiasa kekal. Salah satu cara untuk berbuat demikian adalah dengan mempelajari dan menghayati sejarah negara. Generasi muda boleh mengetahui perjuangan tokoh-tokoh negara sebelum kemerdekaan tanah air dengan melawat tempat-tempat bersejarah. Misalnya, Bandar Hilir Melaka, Stadium Merdeka dan Dataran Merdeka yang telah menyaksikan peristiwa pengumuman tarikh dan pemahsyuran kemerdekaan mampu memberi kesedaran kepada golongan belia negara supaya sentiasa mempertahankan kebebasan Malaysia daripada penjajahan kuasa asing. Maka, keadaan inilah yang mampu melahirkan golongan muda yang bersemangat patriotik tinggi.

Seterusnya, bangunan bersejarah mampu menaikkan nama negara di persada antarabangsa. Pelbagai langkah sentiasa dilaksanakan oleh pihak kerajaan untuk mengekalkan bangunan bersejarah di Malaysia kerana ia mampu memberi sumbangan yang besar terhadap ekonomi negara. Bangunan-bangunan bersejarah sememangnya mampu menjadi tempat pelancongan yang menarik. Contohnya, Makam Mahsuri di Pulau Langkawi dan Candi di Lembah Bujang, Kedah senantiasa mendapat kunjungan puluhan ribu pelancong tempatan dan pelancong asing sepanjang tahun. Keadaan ini seterusnya menyumbang kepada ekonomi negara apabila pelancong-pelancong tersebut sanggup berbelanja semata-mata untuk melihat tinggalan bangunan bersejarah. Lebih-lebih lagi, situasi ini akan turut mengharumkan nama negara. Georgetown, Pulau Pinang dan Melaka kini dikenali oleh masyarakat di seluruh dunia setelah diiktiraf sebagai Warisan Dunia oleh UNESCO. Oleh itu, benarlah bahawa kita harus memelihara dan memulihara bangunan serta tempat bersejarah.

Intihanya, semua pihak, terutamanya pihak kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan harus berganding bahu ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni dan melaksanakan langkah-langkah kamil untuk memelihara dan memulihara bangunan serta tempat bersejarah di negara kita secara bersama kerana bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Pemodenan tidak harus dijadikan alasan untuk memusnahkan warisan negara yang berharga ini. Oleh itu, kita harus mencontohi negara-negara asing seperti China dan Egypt yang telah menjadi negara membangun tanpa mengorbankan khazanah negara.

Gambar di bawah menunjukkan bangunan bersejarah. Huraikan pendapat anda tentang kepentingan memelihara dan memulihara bangunan bersejarah. Panjang huraian anda hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.

Bangunan Bersejarah 1. Pengenalan: Tidak dapat dinafikan, warisan negara yang telah diabaikan dewasa ini ialah bangunan bersejarah yang banyak terdapat di seantero negara. Jika ditinjau secara umum, kebanyakan bangunan bersejarah yang dipulihara akan disuaigunakan semula sebagai muzium, pejabat, tempat kediaman, premis perniagaan, dan kegunaan awam.Sejak UNESCO mengiktirafkan bandar Melaka dan Geogetown sebagai bandar warisan bersejarah, baru timbullah kesedaran tentang kepentingan bangunan-bangunan bersejarah. Persoalannya, apakah kepentingan pemuliharaan bangunan-bangunan bersejarah dalam konteks Malaysia?

2. PERENGGAN ISI 1 ) Bangunan-bangunan bersejarah memang mempunyai nilai sejarah yang tidak ternilai. Melalui darmawisata ke tempat-tempat bersejarah, generasi muda dapat menghayati fakta-fakta sejarah yang dipelajari dalam buku teks Sejarah.Misalnya, pembinaan kota A Famosa (bermaksud Yang Termasyhur dalam bahasa Portugis) atas arahan Alfonso de Albuquerque boleh dikatakan menjadi lambang penentangan penduduk Melaka terhadap penjajah. Dengan erti kata lain, fakta-fakta sejarah ini dapat memupuk nilai patriotisme dalam kalangan generasi muda kita.

3. PERENGGAN ISI 2 Selain nilai sejarah, bangunan-bangunan bersejarah memaparkan seni bina awal yang begitu unik. Selain rumah kediaman, seni bina Melayu turut dizahirkan ke atas binaan-binaan lain seperti masjid, istana raja-raja, rumah wakaf, dan seni bina makam atau pusara.Ciri-ciri seni bina tradisional Melayu dapat dilihat pada bangunan-bangunan lama yang masih kekal ibarat tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas seperti Istana Kenangan di Perak, Istana Balai Besar di Kelantan, Masjid Tengkera di Melaka, dan sebagainya. Pendek kata, seni bina Melayu yang indah ini bukan sahaja unik malahan memberikan nilai estetika yang begitu tinggi dan seharusnya dipelihara untuk pengekalan atau pelestarian identiti bangsa.

4. PERENGGAN ISI 3 Tidak ketinggalan juga, bangunan bersejarah dapat menyumbang kepada kerancakan industri pelancongan negara kita.Hal ini demikian kerana bangunan-bangunan bersejarah yang mempunyai nilai sejarah dan seni bina yang unik dapat menjadi tarikan pelancong.Tamsilnya, para pelancong yang berpendidikan akan terpesona oleh zaman kegemilangan bandar pelabuhan Melaka pada abad ke-15

dan ke-16 apabila melihat Pintu Gerbang Porta de Santiago, Gereja Christ, Bangunan Stadhuys dan Gereja St. Paul. Pendek kata, bangunan dan monumen ini secara tidak langsung dapat membantu industri pelancongan negara.

KESIMPULAN: KCHP (Kami Campur Hal Perempuan) Ayat Kesimpulan / Ayat Cadangan / Ayat Harapan / Ayat Penegasan Ijmalnya, sudah terang lagi bersuluh bahawa bangunan bersejarah sangat bermakna kepada nusa dan bangsa.. Oleh itu adalah menjadi kewajipan pihak berkuasa untuk memelihara dan memulihara bangunan-bangunan bersejarah yang terdapat di negara kita. Sekiranya kerajaan bersungguh-sungguh dalam hal ini, sudah pasti bangunan-bangunan bersejarah akan menjadi tatapan generasi yang akan datang seperti kata peribahasa tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Maklumlah bangunan bersejarah bangunan kebanggaan kita.

Kepentingan Memelihara Tempat-Tempat Bersejarah di Malaysia


Di Malaysia terdapat banyak tempat-tempat bersejarah hasil peninggalan penduduk yang terdahulu daripada kita. Terdapat pelbagai faedah sekiranya tempat-tempat tersebut dijaga dengan baik. Antara kepentingan menjaga tempat-tempat ini adalah kerana menjadi tarikan pelancong untuk melawat ke sesuatu tempat. Tamsilnya, bangunan A Famosa di Banda Hilir, Melaka sentiasa dikunjungi pelancong dalam dan luar negara pada saban hari. Selain itu, dengan melawat tempat bersejarah ini juga kita dapat memupuk semangat patriotik dalam kalangan warganegara. Lantaran itu, kita akan lebih menyayangi negara dan sanggup berkorban demi mempertahankan kedaulatannya. Di samping itu, pemeliharaan bangunan-bangunan bersejarah di tempat-tempat tersebut dapat membantu mengekalkan nilai seni dan budaya sesuatu bangsa.Tamsilnya, bangunan-bangunan di Jalan Jonker di Melaka masih mengekalkan seni dan budaya masyarakat Baba dan Nyonya pada suatu masa dahulu. Konklusinya,tempat-tempat bersejarah perlulah dipelihara kerana terdapat banyak kepentingannya kepada generasi yang akan datang.Justeru, pihak yang bertanggungjawab hendaklah memastikan bangunan-bangunan tersebut sentiasa dalam keadaan terpelihara.

Anda mungkin juga menyukai