Anda di halaman 1dari 4

JURNAL MINGGU PERTAMA (15 19 JULAI 2013) MASALAH KAWALAN KELAS

Masalah

Masalah yang saya hadapi ialah sukar mengawal kelas ketika menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Murid-murid bising ketika menjalankan aktiviti. Apabila ditegur, mereka diam sebentar namun kembali bising apabila melaksanakan aktiviti dalam kumpulan. Majoriti murid yang bising ialah murid lelaki. Apabila bising mereka tidak mendengar arahan yang saya berikan dan kerap bertanya berulang kali.

Analisis Masalah Dalam konteks pendidikan, tingkah laku bermasalah merujuk kepada sebarang tingkah laku murid yang boleh menjejaskan kelicinan atau keberkesanan pengajaran dan pengajaran khasnya di dalam bilik darjah. Antara soalan-soalan yang timbul dalam pemikiran saya ialah:

Adakah murid tidak minat terhadap mata pelajaran yang diajar? Adakah murid tidak memahami arahan yang diberikan? Adakah murid tidak menghormati guru baru? Adakah cara kawalan kelas yang saya gunakan tidak sesuai dengan murid-murid? Apakah yang harus saya lakukan untuk mengatasi masalah kawalan kelas ini?

Ketika sesi perkenalan dengan kelas 4 Bestari, saya telah menjalankan kaji selidik tentang minat mereka terhadap Subjek Sains dan terdapat beberapa orang murid yang mengaku tidak meminati subjek ini. Hanya terdapat lima orang murid yang memilih subjek Sains sebagai subjek yang disukai mereka. Oleh itu, saya dapat merumuskan bahawa:

Masalah kawalan kelas ini boleh wujud disebabkan oleh kurangnya kesedaran murid-murid tentang pentingnya menjaga kelakuan dan kesan tingkah laku mereka terhadap P&P harian.

Mereka kurang berminat dengan subjek Sains kerana berpendapat ia susah dan tidak menarik. Mereka tidak menghormati guru dan juga rakan-rakan sendiri kerana terdapat murid yang gemar berbual dan menganggu rakan-rakan ketika sesi pengajaran dan pembelajaran berlangsung.

Cadangan

Menurut Woody (1992) semua tingkah laku di sekolah dapat diperlihatkan dalam berbagai bentuk dan ragam. Kanak-kanak yang menghadapi masalah tingkah laku tidak boleh menyesuaikan dirinya dengan kelakuan-kelakuan yang diterima oleh masyarakat dan selalunya keadaan ini menjejaskan keadaan pelajarannya, keupayaan untuk belajar dan perhubungannya dengan orang lain. Menurut Eileen (2000) dalam kajiannya tentang kawalan kelas, selalunya sistem kawalan kelas yang lemah menjadi punca utama kebanyakkan proses p&p tidak dapat dijalankan dengan baik. Keadaan ini timbul disebabkan oleh beberapa perkara seperti, kurangnya minat murid terhadap proses P&P serta kaedah tradisional dalam proses p&p masih digunakan. Sebelum ini, saya selalu berpegang kepada nilai dan kepercayaan bahawa sekiranya aktiviti p&p yang disediakan adalah berpusatkan kepada murid dan menarik, maka kawalan kelas tidak akan menjadi satu masalah kerana apabila murid-murid tertarik dengan p&p, mereka tidak akan mengundang masalah kepada guru. Namun, pada hakikatnya hasil yang saya perolehi adalah berbeza dengan nilai dan kepercayaan saya. Murid teruja untuk melakukan aktiviti dan tingkah laku mereka tidak terkawal. Berdasarkan perbincangan dengan guru pembimbing, saya perlu lebih tegas dalam menetapkan peraturan sebelum memulakan sesuatu aktiviti. Pada pendapat saya, penggunaan ICT juga dapat menarik minat mereka. ICT boleh digunakan secara interaktif di mana guru boleh memberikan penerangan melalui penggunaan video atau

slaid power point. Sesi soal jawab juga boleh diadakan. Aktiviti kumpulan juga dapat menarik perhatian mereka kerana mereka gemar melibatkan diri dalam aktiviti.

Tempoh Penyelesaian Tempoh penyelesaian yang diambil selama 7 minggu. Jadi, dalam tempoh ini, saya akan mempraktikkan sebaik mungkin langkah-langkah penyelesaian kepada masalah ini. Tindakan Susulan Untuk mencari penyelesaian kepada masalah ini iaitu mencari pendekatan yang sesuai untuk p&p bagi murid Tahun 4 iaitu berbincang dengan guru pembimbing dan bertanya cara beliau mengajar dan mengawal kelas. Saya juga perlu kreatif dan mencari kesesuaian khususnya dari segi penggunaan BBM. BBM yang digunakan mesti sesuai dengan tahap penerimaan murid Tahun 4, menarik minat untuk melakukan aktiviti dan dapat memberi nilai selepas pembelajaran. Guru pembimbing memberi beberapa penekanan untuk proses pengajaran dan pembelajaran murid iaitu menetapkan peraturan sebelum memulakan sesuatu eksperimen atau aktiviti. Saya juga akan mengubah semula kumpulan murid sedia ada bagi memastikan mereka tidak berbual bersama rakan ketika sesi p&p berlangsung. Saya akan menggunakan sistem ekonomi token iaitu menyediakan papan ganjaran. Satu bintang akan diberikan sekiranya ahli dalam kumpulan tersebut menunjukkan tingkah laku yang dingini dan satu bintang akan dicabut setiap kali murid menunjukkan tingkah laku yang negatif. Kesimpulan Sekolah merupakan institusi sosial yang memainkan peranan penting dalam melahirkan insan yang cemerlang. Keberkesanan dalam proses pengajaran dan pembelajaran merupakan salah satu elemen penting dalam merealisasikan matlamat sekolah. Sekiranya saya tidak membetulkan keadaan ini, saya pasti murid-murid dalam kelas ini tidak akan mengubah tingkah laku negatif yang ada pada mereka sekarang.

Lama-kelamaan masalah akan menjadi lebih serius dan seterusnya mengundang pelbagai masalah sosial kepada diri, keluarga, sekolah, masyarakat dan juga tanah air kita. Menurut Stone (2007), kalau tingkahlaku boleh dipelajari maka sudah tentu ia boleh diubah atau diubahsuai. Oleh itu, saya juga percaya bahawa tingkah laku negatif yang ada pada murid-murid saya dapat diubah dengan menggunakan pendekatan yang sesuai seperti penggunaan BBM yang menarik dan peraturan-peraturan dalam kelas.