Anda di halaman 1dari 4

LANGKAH-LANGKAH MENGENAL PASTI TINGKAH LAKU 2.2.

1 Jenis-jenis tingkah laku bermasalah Secara umumnya, tingkah laku bermasalah dapat dikategorikan kepada tingkah laku bermasalah positif dan tingkah laku bermasalah negatif. Tingkah laku bermasalah positif Tingkah laku bermasalah positif bermaksud tingkah laku positif yang ditunjukkan oleh kanak-kanak tetapi tingkah laku itu akan menjadi bermasalah sekiranya dilakukan secara berlebihan atau tanpa kawalan dan boleh menimbulkan masalah kepadanya. Misalnya, sifat ingin tahu yang berlebihan kepada seorang kanak-kanak boleh menyebabkannya bertindak keterlaluan sehingga menyusahkan dirinya dan orang lain. Tingkah laku bermasalah negatif

Tingkah laku bermasalah negatif adalah jelas iaitu tingkah laku yang menimbulkan masalah kepada dirinya dan juga orang lain. Beberapa contoh tingkah laku bermasalah negatif adalah seperti berikut: i. disruptif/mengganggu Perlakuan sentiasa mengganggu perjalanan pengajaran dan pembelajaran dalam kelas. Tingkah laku ini juga berlaku di luar kelas dan juga di rumah. ii. Pergantungan berlebihan Kanak-kanak yang sangat bergantung kepada orang lain, tidak dapat berdikari, dan tidak berupaya membuat keputusan sendiri. iii. Agresif Tingkah laku agesif adalah seperti suka memulakan pergaduhan, suka bergaduh, suka memaki hamun, dan sebagainya. iv. Distruktif Perlakuan yang suka merosakkan benda seperti kerusi meja, barangan kawan sekelas, mengoyak poster atau notis di papan kenyataan dan sebagainya. v. Kebimbangan Perasaan kurang senang atau takut akibat anggapan bahawa sesuatu yang tidak diingini akan berlaku. Keadaan ini akibat daripada pengalaman emosi yang tidak menggembirakan yang dialami oleh seseorang . vi. Pengasingan diri

Suka menjauhkan diri daripada orang lain yang kurang disenangi. Tingkah laku ini juga dijadikan sebagai mekanisme helah bela diri untuk mengelakkan diri daripada berkomunikasi dengan orang lain. vii. Ponteng sekolah Perlakuan yang sengaja dibuat iaitu tidak hadir ke sekolah tanpa pengetahuan ibu bapa dengan membuang masa di tempat lain seperti pusat membeli belah atau taman permainan. viii. Enggan ke sekolah Enggan ke sekolah akibat daripada perasaan fobia terhadap sekolah. Kanak-kanak ini berasa bimbang untuk berpisah dengan keluarga dan bimbang meninggalkan kawasan rumahnya. ix. Mencuri Mengambil hak orang lain tanpa kebenaran tuannya. Tabiat mencuri barang rakan sekelas akan menyebabkan pertengkaran, pergaduhan, dan dipulaukan oleh rakan sekelas. 2.2.2 Punca salah laku Tingkah laku yang ditunjukkan oleh kanak-kanak berpunca daripada faktor-faktor tertentu. Guru perlu memahami faktor-faktor yang menjadi punca masalah tingkah laku muridnya supaya menjadi panduan dalam merangka program pengurusan tingkah laku bagi murid tersebut. Roger Stancliffe (tidak bertarikh) telah menyenaraikan 9 faktor yang dikaitkan dengan masalah tingkah laku kanak-kanak. i. ii. iii. iv. v. vi. vii. viii. ix. persekitaran tekanan psikologikal ketakutan dan fobia peneguhan yang kurang sesuai kemahiran komunikasi dan sosial yang terhad kesukaran tugasan aktiviti dan tahap rangsangan kesihatan dan perubatan jangkaan tingkah laku

Faktor persekitaran Sesetengah kanak-kanak sangat sensitif terhadap persekitaran seperti bunyi bising, sejuk, panas, dan lain-lain. Perubahan tingkah laku akan ditunjukkan terutamanya bagi kanak-kanak yang mengalami kecacatan teruk, autisme, dan lain-lain. Tekanan psikologi

Individu yang mengalami masalah tingkah laku obsesif dan tingkah laku yang sudah menjadi tabiatnya akan berasa senang dengan tingkah laku tersebut. Mereka akan berasa tertekan apabila kebiasaan tingkah laku itu diganggu atau dihalang. Ketakutan dan fobia Fobia adalah ketakutan yang keterlaluan terhadap sesuatu. Fobia termasuk juga takut terhadap sesuatu yang berbahaya seperti ular atau ketinggian yang melebihi tahap bahaya sebenar perkara tersebut. Ketakutan ini boleh menyebabkan bahaya kepada individu tersebut seperti berlari melintas jalan raya kerana takutkan anjing. Peneguhan yang kurang sesuai Tingkah laku bermasalah ada kalanya dikukuhkan secara tidak sengaja. Tindak balas semula jadi kita secara serta merta terhadap tingkah laku tertentu ada kalanya menjadikan tingkah laku itu lebih teruk. Sebagai contoh, seorang kanak-kanak yang enggan makan ubat akan dipujuk serta dijanjikan dengan beberapa ganjaran oleh ibu dan bapanya. Oleh itu, kanak-kanak itu akan sengaja enggan makan ubat kerana mahukan perhatian daripada ibu bapanya. Kemahiran komunikasi dan sosial yang terhad Terdapat bukti yang jelas menunjukkan bahawa kadar tingkah laku bermasalah yang tinggi di kalangan kanak-kanak yang kurang berkomunikasi berbanding kanak-kanak yang boleh berkomunikasi dengan baik. Kesukaran tugasan Kesukaran tugasan boleh menyebabkan kanak-kanak melakukan kesilapan dan mengalami kegagalan. Keadaan kekecewaan ini berkait rapat dengan masalah tingkah laku yang mereka tunjukkan. Aktiviti dan tahap rangsangan Kekurangan aktiviti yang membina akan menyebabkan berlakunya masalah tingkah laku. Sebagai contoh, guru bukan hanya setakat memberi mainan atau buku kepada muridnya tetapi perlu mengajar murid tersebut kemahiran yang perlu untuk melakukan aktiviti tersebut. Kesihatan dan perubatan Kesakitan atau keadaan tertekan yang berkaitan dengan keadaan kesihatan tertentu boleh menyebabkan rasa kurang selesa dan boleh menyebabkannya berkelakuan kurang sesuai. Jangkaan tingkah laku Ada kalanya ibu bapa atau guru menjadi letih dengan tingkah laku kanak-kanak-kanak dan membiarkannya berkelakuan sedemikian dengan anggapan bahawa tingkah laku itu akan hilang dengan sendirinya. Jangkaan terhadap tingkah laku kanak-kanak tersebut adalah rendah daripada yang sepatutnya. Sebenarnya mereka ini terperangkap dengan anggapan bahawa itulah sifat kanak-kanak tersebut dan tidak boleh diubah lagi (the way he/she is). 3

2.2.3 Kesan-kesan salah laku terhadap pembelajaran Kesan masalah tingkah laku terhadap pembelajaran adalah jelas, antaranya adalah: i. murid tidak memberi tumpuan terhadap pengajaran guru Tingkah laku hiperaktif dan kurang tumpuan menyebabkan pelajar tidak memberi tumpuan terhadap pengajaran guru dan seterusnya menjejas pencapaiannya. ii. mengganggu perjalanan pengajaran dan pembelajaran Tingkah laku agresif, hiperaktif, dan disruptif sangat mengganggu perjalanan proses pengajaran dan pembelajaran dalam kelas.

iii.

sukar memahami pengajaran guru Kebanyakan tingkah laku bermasalah menyebabkan murid tidak memberi tumpuan kepada pengajaran guru dan kebanyakan mereka sangat sukar memahami pengajaran guru.

iv.

gagal menyiapkan tugasan yang diberi Kebanyakan murid bermasalah tingkah laku tidak memberi tumpuan terhadap tugasan yang diberi oleh guru.

v.

enggan bekerjasama dengan rakan dalam aktiviti berkumpulan Kebanyakan murid bermasalah tingkah laku gagal berinteraksi dengan baik dengan rakan-rakan. Mereka enggan melakukan aktiviti bersama-sama dan selalunya menimbulkan masalah semasa melakukan aktiviti kumpulan.

Kesimpulannya guru perlu peka dan memahami masalah tingkah laku murid-muridnya. Sebarang kelainan tingkah laku yang ditunjukkan oleh murid perlu ditangani dengan segera melalui proses intervensi yang sesuai. Pengajaran dan pembelajaran tidak akan berhasil sekiranya tingkah laku tidak diurus terlebih dahulu.

Anda mungkin juga menyukai