Anda di halaman 1dari 5

RASUAH: GEJALA SOSIAL

Dalam usaha menuju era modenisasi, negara kita terpaksa berhadapan dengan suatu penyakit sosial yang sungguh berbahaya sehingga boleh meranapkan peradaban bangsa kita, yakni gejala rasuah.Rasuah boleh diertikan sebagai amalan makan suap dan kegiatan memberikan dan menerima sogokan kebendaan untuk mencapai matlamat tertentu.Rasuah boleh berlaku dalam berbagai-bagai bentuk dan situasi.Misalnya, rasuah dalam politik, sukan, mendapat sesuatu projek, mengelakkan diri daripada ditahan oleh pihak berkuasa, dan seumpamanya. Gejala ini kian serius di Malaysia.Saban hari, kemelut rasuah sering kali lihat di kaca televisyen dan juga di dada akhbar.Jika dibiarkan berleluasa, masalah ini boleh menghancurkan kemantapan ekonomi dan memburukkan imej negara.Pada umumnya, amalan rasuah ini merupakan suatu perbuatan jahil, jahat dan menyalahi undang-undang negara.Mengapakah amalan rasuah ini masih berlaku?Siapakah yang harus dipersalah? Sebenarnya, sikap manusia yang ingin mengejar kekayaan dan kemewahan telah menyebabkan berlakunya gejala tumbuk rasuah ini.Masyarakat semakin bersikap individualistik dan materialistik. Maka, mereka boleh menggunakan apa-apa cara sahaja untuk mencari wang termasuklah rasuah. Sikap mereka sendiri yang tamak dan tidak bertanggungjawab sanggup menerima sogokan yang diberi tanpa berfikir panjang.Sikap jujur dan amanah sudah ditepikan.Pada zaman ini, kita sering melihat berita rasuah yang menghiasi dada akhbar.Bekas Presiden Indonesia, Suharto telah banyak merasuahi pihak-pihak lain untuk membolot khazanah dan kekayaan Indonesia.Perbuatan pemimpin tersebut telah membawa penderitaan kepada rakyatnya. Manifestasinya,keinginan menjadi kaya merupakan faktor perdana kepada berlakunya gejala rasuah. Sejak belakangan ini, kita banyak mendengar berita tentang skandal rasuah dalam sukan. Atlik-atlik sukan negara kita memberikan rasuah kepada atlik-atlik negara lain agar keputusan sesuatu pertandingan sukan dapat ditukarkan. Pasukan bola sepak negara kita turut disyaki terlibat dalam rasuah apabila kandas dalam perlawanan dengan pasukan Indonesia.Biasanya,

rasuah boleh berlaku apabila seseorang mempunyai keinginan yang kuat untuk mencapai kejayaan dalam sesuatu yang diingini.

Selain itu, sesetengah pihak juga memberikan rasuah untuk mengelakkan diri daripada sesuatu hukuman.Lazimnya, kita boleh mendengar laporan tentang pihak polis yang menerima rasuah.Amalan ini biasanya berlaku apabila rakyat menyogok pihak polis dengan wang tunai apabila ditangkap kerana melakukan kesalahan, misalnya pengguna jalan raya yang melanggar undang-undang jalan raya.Statistik menunjukkan bahawa kes rasuah yang dilaporkan kebanyakannya melibatkan kesalahan undang-undang jalan raya. Oleh sebab kesedaran sivik yang masih rendah dalam kalangan rakyat, maka kebanyakan mereka akan melakukan amalan rasuah tanpa memikirkannya akibatnya. Seterusnya, kurang didikan agama juga menyebabkan gejala rasuah ini semakin kritikal dan kronik di negara kita.Kebanyakan individu yang terlibat dalam kes rasuah telah kehilangan pedoman hidup dalam marcapada yang penuh dengan kejahatan. Mereka bagaikan perahu yang patah pendayung di tengah lautan kerana senang diperdaya oleh orang lain dan tidak mempunyai matlamat tertentu. Tambahan pula, benteng ketahanan diri mereka juga mudah dibolosi. Jadi, tidak hairanlah mereka sanggup menerima sogokan wang walaupun mereka tahu perbuatan tersebut melanggar undang-undang negara dan norma hidup masyarakat. Faktor ini sedikit sebanyak juga diakibatkan oleh undang-undang yang luwes. Hal ini demikian kerana mereka tidak akan gentar melakukan amalan rasuah jika undang-undang terlalu longgar dan mereka dapat melepaskan diri daripada hukuman dengan senang sahaja. Oleh sebab kegiatan rasuah semakin serius dan kronik sehingga sukar dibendung, banyak implikasi negatif telah timbul.Implikasi negatif yang pertama ialah imej negara kita semakin terjejas di persada antarabangsa.Hal ini demikian kerana negara kita dianggap sebagai sebuah negara yang lemah dari segi pengurusan negara apabila angka kes rasuah semakin meningkat.Tambahan pula, rakyat negara kita juga dianggap tidak bermoral.Hal ini boleh menyebabkan bangsa kita terhina di mata dunia. Walaupun semenjak belakangan ini kita telah

menggapai banyak kejayaan dalam bidang teknologi ataupun sukan, tetapi kita tetap dipandang rendah oleh negara lain kerana kebolehan negara kita telah diragui. Adakah semua kejayaan ini juga diperoleh melalui rasuah? Sehubungan ini, negara-negara lain akan hilang kepercayaan pada kebolehan negara kita dalam menjana kemajuan yang lebih membanggakan. Selain itu,rasuah juga boleh menyebabkan keruntuhan tamadun sesebuah negara. Jika kita menyorot sejarah peradaban dunia, kita akan mendapati bahawa rasuah telahpun diamalkan oleh paderi-paderi Kristian di Eropah sebelum berlaku revolusi. Kesan amalan rasuah, negara mereka mengalami kemunduran dari segi ekonomi, malah membawa kepada perpecahan politik.Hal ini menyebabkan zaman tersebut dikenali sebagai Zaman Gelap. Maka, perkara yang sama juga boleh berlaku di negara kita sekiranya rakyat tidak mengikis amalan rasuah. Tamadun yang telah dibina oleh bangsa kita ini akan runtuh dan musnah begitu sahaja jika gejala rasuah tetap membelenggu masyarakat. Begitu juga, banyak kerajaan di benua Afrika tumbang atau diguling gara-gara pemimpinnya mengamalkan rasuah yang menyebabkan rakyat hilang kepercayaan kepada mereka. Seterusnya, rasuah juga mewujudkan ketidakstabilan sosial.Rasuah amat bertentangan dengan alam. Misalnya, hanya mereka yang sanggup melakukan rasuah sahaja akan mendapatkan projek yang ditawarkan walaupun mereka tidak berkelayakan menjalankan sesuatu kerja dengan baik. Ini bermakna, hasil daripada perbuatan rasuah, golongan yang kaya aka terus kaya manakala golongan miskin akan terus tertindas. Umpamanya, banyak projek kerajaan di negara ini dimonopoli oleh golongan tertentu yang mempunyai kaitan persaudaraan atau hubungan intim dengan pihak tertentu, walhal kerja yang dihasilkan tidak berkualiti atau mengikut piawai yang ditetapkan.Masalah jenayah juga kian meningkat ekoran amalan rasuah.Hal ini demikian kerana penjenayah boleh melepaskan diri daripada tindakan undangundang dengan mudah melalui rasuah.Masalah rasuah juga boleh menyebabkan keselamatan negara terjejas.Misalnya, kemasukan pendatang tanpa izin ke negara ini ada kaitan dengan unsur rasuah oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Sebagai akibatnya, kes jenayah, rompakan dan pembunuhan yang dilakukan oleh pendatang semakin meningkat, sekali gus menggugat keamanan negara.

Rasuah juga menyebabkan ekonomi negara terjejas.Kekacauan politik berlaku kerana amalan rasuah yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya negara kita. Institusi kerajaan yang ampuh dan mapan ini akan menjadi porak-peranda dan huru-hara, akhirnya rakyat akan menderita. Kesannya, pelabur asing akan menghentikan keinginan mereka untuk melabur di negara kita. Kekurangan modal seterusnya boleh membantutkan perkembangan ekonomi negara. Lantaran ini, perjalanan projek-projek mega akan tergendala dan syarikat-syarikat akan muflis jika kita tidak mengatasi kemelut sosial ini dengan cepat. Rasuah menjadi musuh utama negara kerana boleh menghilangkan semangat kerja seseorang dan menindas mereka yang bekerja dengan jujur dan penuh tanggungjawab. Produktiviti pekerja yang rendah akan memburukkan ekonomi negara. Langkah-langkah untuk menbendung gejala rasuah ini ialah kerajaan perlu memperketat undang-undang dan melaksanakan dasar-dasar kerajaan.Sistem perundangan negara ini masih kurang mampu untuk menghadapi masalah rasuah kerana hukuman ke atas penjenayah ini tidak setimpal dengan perbuatan keji mereka.Kerajaan harus menggubalkan undang-undang yang lebih ketat dengan mengenakan hukuman berat, seperti melanjutkan tempoh hukuman penjara, mengenakan hukuman rotan atau merampas harta benda yang dimiliki oleh mereka yang terbabit dalam rasuah atau melesapkan sumber kewangan syarikat. Tindakan yang berat nescaya akan menyedarkan orang ramai supaya mereka tidak melibatkan diri daripada perbuatan maksiat ini. Usaha kerajaan melaksanakan Lempen Kepimpinan Melalui Teladan bertujuan memupuk sikap bersih, cekap dan amanah serta menerapkan nilai-nilai Islam di kalangan pegawai kerajaan dan rakyat jelata merupakan strategi yang positif ke arah menghapuskan jenayah rasuah.Atas dasar ini, pihak berkuasa telah melarang pegawai kerajaan menerima sebarang hadiah daripada orang ramai.Selain itu, setiap pegawai kerajaan juga diwajibkan untuk mengisytiharkan harta mereka untuk memastikan kekayaan mereka selaras dengan pendapatan yang diterima. Langkah seterusya ialah menerapkan pendidikan moral dan agama.Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) telah dilaksanakan untuk melahirkan generasi muda yang bukan sahaja berilmu tetapi memiliki nilai-nilai rohaniah yang tinggi.Institusi keagamaan kekeluargaan juga menyamai nilai-nilai moral dan akhlak serta kepercayaan keagamaan kepada setiap anggota masyarakat, terutama kanak-kanak dan golongan belia.Hanya melalui asas pendidikan agama yang kuat sahaja dapat membantu membanteras amalan rasuah ini.Penyelewengan dan pecah amanah tidak mungkin berlaku selagi seseorang itu mematuhi undang-undang negara dan mempunyai keimanan yang kuat. Selain itu, pihak-pihak berkuasa perlu memperhebat penyiasatan tentang kes rasuah juga merupakan langkah efektif untuk mengurangkan amalan rasuah ini terus serius di negara kita.Badan Pencegah Rasuah (BRP) perlu memperhebat penyiasatan terhadap mana-mana pegawai kerajaan yang dipercayai terlibat dalam kegiatan rasuah, pecah amanah atau penipuan wang.Polis Diraja Malaysia juga mesti mengambil lebih ramai pegawai yang berkebolehan dan benar-benar jujur untuk menjalankan penyiasatan.Pegawai-pegawai Polis Cawangan Khas boleh ditugaskan untuk membanteras jenayah rasuah.Pembentukan Jawatankuasa Mengenai Penyelewengan dan Penyalahgunaan kuasa dalam pentadbiran awam merupakan langkah positif kerana badan ini badan tertinggi yang bebas daripada cengkaman politik. Kerjasama orang ramai merupakan langkah terakhir dalam mengatasi amalan rasuah ini.Tindakan yang berkesan hanyalah melalui tindakan bersepadu iaitu melibatkan badan-badan,

jabatan-jabatan lain serta penglibatan anggota masyarakat keseluruhannya.Kerjasama segenap lapisan masyarakat mustahak untuk mengurangkan jenayah rasuah.Maklumat daripada orang ramai amat diperlukan supaya pihak berkuasa dapat mengambil tindakan yang segera ke atas mereka yang terlibat.Orang ramai juga mesti berani tampil ke hadapan untuk memberi bukti yang cukup kepada pihak polis supaya masalah rasuah dapat dibendung. Kesimpulan, rasuah merupakan barah dalam masyarakat yang sukar diubati.Gejala ini telah semakin menghimpit masyarakat kita.Maka, kita perlu berganding bahu dan mengorak langkah untuk memerangi jenayah kolar putih ini sehingga ke akar umbi.Kerajaan perlu mengaturkan strategi yang lebih efisien dan efektif untuk membendung masalah sosial ini supaya negara kita bebas daripada amalan rasuah dan menjadi masyarakat sakinah yang beretika.Gejala rasuah merupakan perbuatan terkutuk kerana gejala ini boleh mengundang banyak masalah kepada negara. Marilah kita bersama-sama memerangi amalan rasuah agar Wawasan 2020 yang sering dilaung-laungkan akan menjadi kenyataan.

Anda mungkin juga menyukai