Anda di halaman 1dari 2

REFLEKSI

Syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurniaNya, saya telah berjaya mengikuti kursus Gerko Sukan dan Permainan WAJ3109 iaitu bagi sukan bola sepak. Sepanjang mengikuti kursus yang telah dikendalikan oleh pensyarah pembimbing Encik Johan Manggata ini, pelbagai kemahiran dalam bola sepak telah saya pelajari. Kemahiran pertama yang telah saya pelajari ialah Ball Feeling. Kemahiran ini merupakan kemahiran paling asas yang mana bertujuan membiasakan diri untuk memegang bola menggunakan kaki. Semasa mempelajari kemahiran ini, cabaran terbesar yang saya hadapi ialah dalam memastikan saya boleh membawa bola menggunakan kaki dengan memandang ke dua arah iaitu bola dan musuh. Tujuan memandang ke arah bola dan musuh ialah bagi memastikan bola yang dipegang tidak terlepas kepada musuh. Sekiranya kita hanya memandang ke satu arah sahaja semasa membawa bola, musuh dengan senang akan dapat merampas bola daripada kita. Selain itu, kemahiran ini juga melatih kita untuk mengelecek dengan bola. Kemahiran kedua yang saya pelajari ialah kemahiran Hantaran. Dalam mempelajari kemahiran ini, terdapat pelbagai jenis hantaran telah diajar kepada kami. Antaranya ialah hantaran pendek, hantaran jauh, leret dan lambung atau loop. Bagi setiap hantaran yang dilakukan, bahagian kaki yang berbeza digunakan untuk menghasilkan hantaran-hantaran tersebut. Misalnya, jika hendak membuat hantaran pendek dan leret, kita menggunakan bahagian kaki sebelah dalam. Jenis hantaran yang berbeza ini dilakukan mengikut kepada kedudukan rakan pasukan dan musuh semasa bermain. Dalam situasi sebenar, jika kita menggunakan satu jenis hantaran seperti hantaran leret sahaja, apabila rakan kita yang berada di belakang musuh meminta bola, hantaran tersebut kurang sesuai kerana musuh boleh memintas bola dengan mudah. Sebaliknya, jika kita menggunakan hantaran tinggi atau loop, musuh akan sukar menjangkau bola tersebut. Kemahiran ketiga yang telah saya pelajari pula ialah kawalan bola. Kawalan bola yang dimaksudkan di sini ialah kawalan ketika menerima bola, memegang bola

dan menghantar bola kepada rakan. Kemahiran kawalan bola ini sangat penting kerana kawalan bola yang baik dan sempurna dapat menjadikan permainan lebih menarik dan baik. Hal ini kerana, jika kawalan bola berada dalam satu keadaan yang kurang baik atau kurang sempurna, bola yang dipegang akan terlepas dengan mudahnya kepada musuh. Dalam melakukan kawalan bola ini juga, terdapat beberapa jenis kawalan telah diajarkan. Antara jenis kawalan yang boleh dilakukan ialah dengan menggunakan hujung kaki, paha, bahagian luar dan dalam kaki, dada, bahu dan kepala. Hal ini bergantung kepada keadaan bola yang dihantar atau sampai kepada kita. Misalnya, jika bola dihantar tinggi kepada kita, kita boleh menggunakan dada bagi mengawal bola tersebut. Secara keseluruhannya, selepas mengikuti kursus WAJ3109 ini iaitu Gerko Sukan dan Permainan Bola Sepak, saya telah berjaya meningkatkan sedikit sebanyak teknik dalam permainan bola sepak. Hal ini kerana, saya begitu meminati sukan bola sepak ini tetapi tidak mempunyai kemahiran asas dalam sukan ini. Kemahiran-kemahiran yang telah diajarkan ini sesungguhnya telah banyak membantu saya meningkatkan kemahiran permainan saya. Akhirnya, saya berharap saya akan diberi peluang pada masa hadapan untuk bermain di bawah kendalian jurulatih Encik Johan Manggata.