Anda di halaman 1dari 2

SEMANGAT 1MALAYSIA TERAS KEJAYAAN

Sejambak kasih, seharum kasturi buat saudara/i peneraju majlis, kombinasi kehakiman yang berlandaskan neraca keadilan, guru-guru penggerak generasi berwawasan seterusnya warga dewan sekalian. Assalamualaikum wm..wbt... Semangat 1Malaysia Teras Kejayaan. Begitulah tajuk pidato saya pada hari ini. Semangat bolehlah ditakrifkan sebagai perasaan dan jiwa, 1Malaysia bolehlah ditakrifkan sebagai rakyat yang berdiri, berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. Teras kejayaan pula bermaksud sesuatu yang menjadi asas agar berjaya untuk kemenangan ataupun hasil yang diperoleh. Aspirasi ini adalah untuk mewujudkan sebuah negara bangsa yang mempunyai sikap kesamaan dan kekitaan dalam kalangan rakyat. Warga dewan yang dirahmati Allah sekalian, Semangat persaudaraan membawa kejayaan negara tercinta. 1Malaysia adalah lahir daripada semangat setiakawan. Walaupun berbeza asal keturunan, kepercayaan agama dan akar budaya namun rakyat Malaysia berpegang pada satu prinsip yang sama iaitu Rukun Negara. Kita berdiri, berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. One People (Dengan Izin). Dalam hal ini, 1Malaysia, menuntut rakyat berfikir melepasi sempadan kaum dan etnik masingmasing. Hubungan kaum dan etnik dipereratkan bagi jangkamasa panjang. Kewujudan satu bangsa Malaysia membentuk sikap menghormati, ikhlas, saling mempercayai dan persaudaraan. Buktinya RIMUP dan e-intergrasi telah mensasarkan murid-murid dari SK, SJK(C) dan SJK(T) bersama-sama mengikuti satu program bersama. Pelaksanaan RIMUP dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan adalah untuk membina negara bangsa. Ideologi dengan semangat persaudaraan dalam 1Malaysia pasti menggerakkan kejayaan negara. Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Sidang intelektual sekalian, Meniti wasilah kedua saya dengan untaian kata, Kemajuan ekonomi dinikmati, kemakmuran negara dikecapi. 1Malaysia dapat membangunkan ekonomi negara. Pelancong dan pelabur asing mengenali rakyat Malaysia yang berintegriti tinggi. Kini, Malaysia menerokai bidang sains angkasa, bioteknologi dan teknologi nano. Menurut laporan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa, Malaysia mencatatkan nilai digital 0.57 bermakna kita mendahului kemudahan akses digital dalam kalangan negara ASEAN.

Justeru, 1Malaysia telah meningkatkan taraf ekonomi negara menjadikan Malaysia berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara lain. Hadirin yang dihormati sekalian, Idea terbilang terakhir saya dengan gagasan bicara, perpaduan dan semangat nasionalisme, negara aman dan sentosa. Peristiwa berdarah pada 13 Mei 1969 perlu dijadikan iktibar. Formula yang dicipta oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tun Tan Siew Sin dan Tun Sambanthan adalah untuk perpaduan dan semangat nasionalisme. Kini 1Malaysia disandarkan dalam memperkukuhkan perpaduan nasional. Negara ini adalah negara kita. Kita adalah bangsa Malaysia di mana segalanya perlu dinikmati dan dikongsi secara bersama. Segala pembangunan adalah limpahan daripada perpaduan yang diteruskan dalam 1Malaysia. Lihatlah apa yang berlaku pada negara-negara yang sedang bergolak seperti Mesir, Syria dan Libya. Perpaduan sudah tiada. Kemusnahan berlaku di mana-mana. Rakyat menderita dan sengsara. Mengorbankan banyak nyawa. Sehingga melibatkan campur tangan negara luar. Kasihan.... Jangan sampai negara kita menerima nasib seperti mereka. Kami, anak-anak pasca merdeka dahagakan keamanan untuk kesejahteraan.Saya menyeru tuan-tuan, puan-puan dan rakan-rakan sekalian berpegang pada konsep 1Malaysia agar negara ini terus cemerlang, gemilang dan terbilang. Bersatu kita teguh bercerai kita roboh. Sekian, salam ilmiah menjana sahsiah.