Anda di halaman 1dari 2

Ramai daripada kita menerima budaya Barat tanpa memilih apa yang boleh dan tidak untuk diterapkan

dalam kehidupan seharian. Ingat apa kurangnya kebolehan orang kita dalam membawa nama negara ke persada dunia. EH! bersempena bulan kemerdekaan ini berkongsi dengan anda cara terbaik untuk kita semua menunjukkan semangat patriotik kepada negara.

KENAL SEJARAH Ramai daripada kita lupa akan sejarah bagaimana kepayahan nenek moyang kita berkorban untuk negara. Apatah lagi jika anda lahir selepas merdeka. Silapnya bila disuruh mempelajari sejarah ada suara sumbang yang mengatakan semua itu ilmu ketinggalan zaman. Ambil tahu sejarah agar bila kita mengembara ke tempat orang sejarah itulah yang akan menjadi topik bual dan jika anda kenal sejarah pasti ia akan menampakkan anda lebih menghargai negara.

IKON Hidup dalam kemodenan yang mana kebijaksanaan individu semakin bergantung kepada teknologi membuatkan kita lebih terdedah dan bangga dengan apa yang dihidangkan oleh budaya Barat. Dan pasti ada antara kita yang menjadikan ikon dari Barat sebagai idola atau penyuntik semangat dalam kehidupan. Tidak salah, tapi apa kurangnya ikon dalam negara seperti Datuk Nicol David, Safee Sali dan Yuna? Mereka juga berjaya di mata dunia dan dengan cara menyokong mereka juga anda sudah boleh dianggap cukup patriotik.

BELI BARANGAN BUATAN MALAYSIA Dengan membeli barangan buatan tempatan anda mampu menyumbang kepada ekonomi negara dan perkembangan industri tempatan selain menunjukkan sokongan kepada produk buatan anak tempatan. Dengan menonton filem tempatan serta tidak membeli barangan cetak rompak juga antara cara anda menunjukkan rasa patriotisme anda.

MENYAMBUT FESTIVAL Sama-sama meraikan sesuatu acara yang berbentuk kebudayaan atau bertaraf kebangsaan seperti Citrawarna, Festival Layang-Layang dan sambutan Hari Kemerdekaan adalah salah satu cara anda menunjukkan patriotisme. Anda boleh menyumbang dengan menyertai acara tersebut atau cukup sekadar menghadiri acara yang diadakan sebagai tanda sokongan.

KARYA Generasi muda nyata tertarik akan kreativiti yang disulam elemen moden. Baik dalam apa jua bentuk karya sama ada fesyen, lukisan, penulisan dan lain-lain, tapi tidak salah jika anda menyuntik elemen tempatan dalam karya anda. Jadikan seni tradisi sebagai rujukan dan memperbaharui elemen yang ada dengan cara anda sendiri. Di sini anda akan lebih mengenali sejarah apabila rujukan mendalam harus dilakukan pada setiap hasil karya yang ingin dihasilkan.

MELANCONG Ramai di kalangan kita yang memilih destinasi luar negara untuk bercuti, padahal tempat-tempat menarik dalam negara tidak pernah sekali dikunjungi. Dalami dulu destinasi dalam negara, seperti membuat kunjungan ke pulau-pulau dan tempat bersejarah. Pengalaman di tempat itu boleh dibawa kala bertemu kenalan di luar negara, secara tidak langsung anda mempromosikan negara ke mata dunia, dan ini antara semangat patriotisme yang boleh dibanggakan.

Anda mungkin juga menyukai