Anda di halaman 1dari 4

WAJ 3101: TAMADUN ISLAM TAMADUN ASIA (TITAS)

Isu-isu semasa mengenai Tamadun Barat.


Tamadun manusia pada masa depan sudah pasti akan berhadapan dengan pelbagai cabaran besar. Ledakan teknologi maklumat dan segala cabangnya yang dikuasai oleh pihak Barat merupakan satu cabaran kepada masyarakat Islam dan Asia untuk mempertahankan jati diri masing-masing. Dalam esei ini, kita akan membincangkan dua isu yang berkaitan dengan Tamadun Barat, iaitu hegemoni Barat dan globalisasi. Hegemoni ialah satu konsep yang datang daripada pemikiran Barat. Istilah hegemoni berasal daripada istilah Yunani, hegeisthai (to lead). Perkataan hegemoni dalam perkataan Inggeris hegemony pula membawa makna pengaruh dan penguasaan. Perkataan dalam kamus bermaksud pengaruh atau dominasi sesebuah negara atas negara-negara lain yang merangkumi pelbagai sudut seperti politik, ekonomi, sosial, budaya, pendidikan, perundangan, dan sebagainya. Globalisasi pula merujuk kepada satu idea untuk melahirkan satu dunia yang tidak bersempadan dari semua aspek. Dengan kata yang mudah, globalisasi ialah satu proses pemencilan dunia atau menjadikan dunia sebuah perkampungan yang kecil. Secara komprehensif, globalisasi didefinisikan sebagai himpunan pengaliran global berbagai-bagai jenis objek yang melibatkan pelbagai aktiviti manusia. Menurut Kamus Dewan, global bermaksud mengenai dunia seluruhnya, globalisasi sebagai fenomena yang menjadikan dunia mengecil dari segi perhubungan manusia disebabkan kepantasan perkembangan teknologi maklumat. Terdapat perkaitan yang rapat dan penting antara hegemoni Barat dengan globalisasi. Kedua-dua perkara ini sebenarnya dimulakan oleh masyarakat Barat. Sungguhpun globalisasi dan hegemoni Barat tidak diwujudkan secara sengaja oleh masyarakat Barat, ia memainkan peranan penting dalam pembentukan dunia moden dan pengekalan kuasa masyarakat Barat di dunia pada hari ini. Globalisasi yang

famchiewgiekppgsn1611

dilaungkan oleh Barat sebenarnya lebih banyak membawa keburukan terhadap negara lain selain Amerika Syarikat dan tamadun Barat. Kita boleh melihatnya dari segi media, ekonomi, politik, sosial, budaya, dan hak asasi manusia. Dari segi media, hegemoni Barat terhadap media merupakan saluran informasi penting dalam era moden ini, sama ada media cetak mahupun elektronik. Globalisasi yang diperkenalkan oleh Barat menjadikan media komunikasi sebagai alatan utama yang utama menyebarkan segala maklumat. Dengan ini, mereka bias mencorak dan menwarnakan apa-apa sahaja demi kepentingan mereka. Contohnya, media-media asing seperti BBC, CNN, Reuters, dan sebagainya tidak pernah ketinggalan untuk melaporkan isu-isu semasa dunia di mana sahaja ia berlaku dan dalam apa jua keadaan. Stesen-stesen penyiar tempatan terpaksa bergantung kepada mereka untuk mendapatkan maklumat terkini berkaitan dengan isu konflik dan peperangan. Oleh itu, sesuatu peristiwa itu boleh diolah dan disalahtafsirkan oleh mereka bagi memperoleh kepentingan-kepentingan tertentu. Kesan-kesan lain yang dibawa oleh media termasuklah ilmu dan maklumat akan mudah diekses oleh sesiapa, kebanjiran maklumat yang tidak berguna, dan masalah jurang perbezaan peluang untuk mengekses maklumat antara masyarakat bandar dan luar bandar. Dari segi ekonomi pula, sifat eksploitasi Barat telah bermula sejak berabad yang lalu. Globalisasi ekonomi ialah satu kod undang-undang ekonomi seragam yang diamalkan dan membawa kepada penghapusan halangan ekonomi antara negara pada kadar yang amat pantas terutamanya dalam tiga aspek utama ekonomi negara, iaitu perdagangan, kewangan, dan pelaburan. Apabila membincangkan tentang ekonomi, kita harus sedar bahawa sistem ekonomi yang dibicarakan dalam buku-buku teks hanya membincangkan sistem ekonomi Barat, yang dihasilkan oleh orang-orang Barat. Sistem ekonomi Marx, sosialis dan komunis semuanya merupakan hasil orang Barat yang menolak ekonomi kapitalis ataupun pasaran bebas. Sistem ekonomi pasaran bebas juga berasal daripada pemikiran Barat. Dasar-dasar kerajaan Barat yang mengawal ekonomi asing daripada mempengaruhi ekonomi tempatan semakin longgar dan ekonomi tempatan terpaksa mengikut rentak ekonomi asing. Globalisasi ekonomi mampu membawa pelbagai krisis dan spekulasi pasaran antaranya serangan para spekulator telah mengakibatkan nilai mata wang sesetengah negara jatuh merudam berbanding dengan Dollar Amerika.

famchiewgiekppgsn1611

Hegemoni Barat terhadap politik dan dunia biasanya tidak dapat dipisahkan dengan kekuatan ketenteraan. Penubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) gagal melakukan sesuatu untuk mengekalkan kepentingan bersama antara negara di dunia, memandangkan ia hanya dikuasai oleh beberapa negara Barat yang mempunyau kuasa pembatal veto. Kini, kita menghadapi cabaran penyebaran ideaidea dan fahaman politik yang salah seperti demokrasi ala Barat, pluralisme, dan hak asasi manusia. Fenomena deterritorialisation (penyalahwilayahan) iaitu satu proses dan tindakan politik yang melintasi perbatasan wilayah negara dapat diperhatikan dengan ketara. Hari ini, politik antarabangsa didominasikan sepenuhnya oleh beberapa buah negara kuasa besar yang menggambarkan diri mereka sebagai polis dunia. Dalam sosial, kebudayaan dan masyarakat Inggeris, socialable bermaksud seseorang yang cuba membuat baik dam membuat kawan dengan sesiapa sahaja. Akan tetapi, perbuatan ini mempunyai nilai yang agak berbeza dalam masyarakat Melayu yang beranggapan bahawa orang yang sosial biasanya melampaui batasan kebudayaan dan dikatakan tidak baik. Hal ini kerana masyarakat Melayu mempunyai nilai kebudayaan yang tidak sukakan keterlaluan, terutamanya bergaul dengan orang asing dan juga jantina yang berlainan. Selain itu, hiburan juga menunjukkan kesan yang paling ketara. Seluruh dunia menyaksikan produk-produk hiburan Barat sama ada muzik, nyanyian, lakonan, filem, kartun, mahupun komik sangat-sangat mendapat sambutan luar biasa. Penampilan gaya hidup artis-artis Barat yang bertentangan dengan nilai-nilai ketimuran seperti menghisap dadah, vandalisme, menjalinkan hubungan seks rambang akan menjadi ikutan orang ramai. Hak asasi manusia seperti yang difahami dan dimaksudkan pada hari ini datangnya daripada warisan sejarah dan kebudayaan masyarakat Eropah (dan Barat). Pemikiran tentang hak-hak asasi manusia bermula akibat daripada penindasan masyarakat Eropah dari segi ekonomi, politik, dan agama oleh golongan diraja dan Gereja Khatolik Rom pada masa dahulu. Kini, hak asasi asas seperti kehidupan, kebebasan dan mengejar kebahagiaan telah dicabuli. Contohnya, Amerika Syarikat telah menyerang negara berdaulat Afganistan di atas alasan peperangan melawan pengganas telah menawan ribuan tawanan perang. Mereka dilayan dengan buruk dan hak-hak sivil mereka dinafikan sama sekali. Di manakah suara penjuang hak asasi manusia?
famchiewgiekppgsn1611

Rumusan/ Ringkasan: Melalui hegemoni dan globalisasi yang begitu kuat pengaruhnya, sama ada media, ekonomi, politik, sosial, ataupun hak asasi manusia, tamadun Barat seolaholeh berjaya menguasai dunia tanpa sempadan. Melalui perkembangan teknologi yang begitu hebat, penjajahan ini tetap akan berlaku walaupun tanpa kehadiran mereka dalam kalangan negara-negara yang dijajah. Oleh itu, cabaran-cabaran ini memerlukan pembentukan generasi muda yang berdaya tahan melalui ilmu dan kemahiran. Penerimaan terhadap perubahan haruslah difikirkan dan diterima secara positif dan membina untuk kemajuan diri, keluarga, agama, bangsa, dan negara. Sesungguhnya hanya manusia yang mempunyai kekuatan dan jati diri mampu bertahan daripada arus ini.

Bibliografi Arif, S., Noor, A. R. M., Sulaiman, N., Hassan, M. A. & Rawi, A. H. M. (2007). Tamadun Islam dan Tamadun Asia. Selangor: McGraw-Hill (Malaysia) Sdn. Bhd. Aros, A. M., Dali, A. M., Noor, A. M., & Zainol, S. (2001). Siri Sejarah Fajar Bakti TITAS Kertas 1. Selangor Darul Ehsan: Penerbitan Fajar Bakti Sdn. Bhd. Mohamad, Z., Yunos, N., & Haron, M. S. (2006). Tamadun Islam & Tamadun Asia TITAS. Bangi: Pusat Pengajian Umum Universiti Kebangsaan Malaysia. Siri Teks Pengajian Tinggi Tamadun Islam dan Tamadun Melayu. (2006). Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.

famchiewgiekppgsn1611