Anda di halaman 1dari 2

ISU PENDIDIKAN : Peluang lanjut pengajian martabatkan profesion keguruan

DEWASA ini terdapat banyak peluang dan ruang untuk guru-guru kita melanjutkan pelajaran bagi mendapatkan ijazah pertama, ijazah sarjana dan ijazah kedoktoran. Peluang ini seharusnya digunakan oleh guru yang terbabit tanpa menoleh ke belakang lagi. Hal yang demikian kerana terdapat banyak kemudahan dan insentif bagi guru terbabit untuk menggapai cita-cita tersebut. Cara untuk membayar yuran kolej dan pengajian telah menjadi begitu mudah dan toleran mengikut tempoh yang ditetapkan. Perundingan dan perbincangan untuk ke arah berkenaan menjadi teras pengajian ini berjalan lancar walaupun ada segelintir guru terbabit mengalami masalah kewangan, penjagaan anak, suami atau isteri yang berjauhan. Menuntut ilmu hukumnya wajib. Guru-guru yang masih berkhidmat dan layak untuk menyambung pelajaran ini sebenarnya adalah kumpulan guru yang bertuah. Mereka dapat menghabiskan tempoh pengajian dan dapat menikmati hasil peningkatan kelayakan mereka pada ketika mereka masih berkhidmat lagi. Tentu mereka akan diangkat ke tahap yang lebih tinggi atau naik pangkat berpandukan kelayakan dan kebolehan mereka. Lambat laun mereka akan memperoleh banyak lagi kemudahan hasil usaha penambahbaikan dasar-dasar kerajaan yang sentiasa mengangkat darjat para penjawat awam seperti guru. Yang bulat tidak datang bergolek dan yang pipih tidak datang melayang. Apa sahaja yang ingin kita peroleh memerlukan usaha dan pengorbanan yang berterusan.

Bagi mereka yang sudah berkeluarga perkara ini amat dirasakan. Meninggalkan anak, suami atau isteri mewujudkan sedikit ketidakselesaan kepada mereka dalam sepanjang tempoh kuliah itu berlangsung semenangnya menjadi kebiasaan. Berkat kesabaran kedua-dua belah pihak, guru yang terbabit dapat menamatkan pengajian dan menggenggam segulung ijazah yang diidam-idamkan. Tahniah para guru dan rakan-rakan yang memperoleh kejayaan ini. Memang benarlah kata-kata bijaksana hendak seribu daya dan tak nak seribu dalih. Dengan niat yang telah ada hendak menyambung pelajaran, usaha keras para guru dan doa yang khusyuk lambat laun apa yang kalian perjuangkan akan berhasil. Ini sunnatullah, hukum Tuhan. Bak kata pepatah Arab Man Jadda, Wajada - Sesiapa yang bersungguh-sungguh, dia berjaya. Bagi sekelumit guru yang tidak berpeluang dan ruang untuk sama-sama merebut kemudahan dan keistimewaan tetapi berkeinginan, itu semenangnya terasa sedikit termengkelan. Apa yang diharapkan kini ialah kalau-kalau mereka ini dapat diangkat ke tahap yang lebih tinggi daripada kedudukan sekarang sejajar dengan pengalaman yang ada. Kalau diselidiki sesetengah daripada mereka ini mempunyai kebolehan dan kemahiran yang masih bersangkutan dengan dunia pendidikan. Didapati ada guru yang menjadi penulis, mendapat tempat di akhbar dan majalah dan telah menghasilkan buku, novel, cerpen, puisi atau lain-lain genre penulisan dalam koleksi mereka. Selain itu ada juga antara mereka yang mendapat kemenangan dalam pertandingan penulisan yang dianjurkan pada peringkat negeri dan kebangsaan. Rekod yang baik dan penampilan yang berkesan juga wajar diperhatikan. Ada juga antara mereka yang memiliki kursus lanjutan dengan pengkhususan tertentu contohnya selama setahun di institut pendidikan, wajar juga diambil kira untuk kenaikan pangkat. Kalau tidak golongan ini akan hanya melihat seorang demi seorang rakan mereka meniti anak tangga demi anak tangga. Bohong kalau dikatakan golongan ini tidak berhasrat untuk menggapai jawatan nombor satu di sekolah pada ketika ini. Yang bersinar bukan semuanya bercahaya. Kelulusan penting tetapi pengalaman juga tidak wajar ditolak sama sekali.

ABDULLAH ABDUL RAHMAN