Anda di halaman 1dari 4

BAGAIMANA MAHU MENULIS CERPEN?

Bagi mana-mana penulis pun, cerpen merupakan medium cerita paling sesuai untuk dicuba. Tugas menulis novel sangat berat untuk permulaan, oleh itu mencipta cerpen sangat baik pada peringkat awal. Menulis dengan penuh sistematik dan kemas. Hal ini tidak bermakna cerpen terlalu mudah untuk ditulis. Cerpen ialah seni menulis novel pada peringkat permulaan. Sifat yang konsisten, kesabaran, dan semangat untuk terus menulis menjadi perencah utama untuk menghasilkan cerpen yang baik. Saya akan memberikan anda tips untuk menulis cerpen dan beberapa jenis idea ketika anda berada dalam belenggu kreatif. Selamat maju jaya!

1. Kumpul idea untuk cerita anda.

Inspirasi boleh menyerang pada bila-bila masa, jadi bawalah buku catatan anda ke mana sahaja anda pergi supaya anda boleh menulis idea-idea cerita yang datang kepada anda.

Pada banyak masa, anda hanya perlu memikirkan coretan kecil maklumat (peristiwa, bencana, dll) untuk membolehkan anda membina plot, mencari namanama watak (termasuk personalitinya). Lintasan-lintasan idea ini barangkali boleh berlaku sekelip mata atau dalam masa beberapa minit. Jangan lupa kuasa catatan. Sila catat apa yang terlintas. Jika tidak, lintasan itu akan hilang sekelip mata! Jika anda mempunyai masalah untuk mencari inspirasi, belajar untuk berbincang dengan orang-orang sekeliling. Kawan-kawan atau ibu bapa mungkin menjadi insan yang sangat membantu. Pengalaman biasanya membantu untuk membina plot yang baik. Banyak plot cerpen datang daripada pengalaman insiden tertentu.

2. Bermula dengan perenggan-perenggan pendek.

Selepas anda memilih idea, binalah perenggan-perenggan kecil secara berperingkat sebelum menulis cerpen secara sempurna. Idea anda boleh jadi tentang perjuangan seorang ibu tunggal, kisah cinta seorang tokoh mahasiswa, atau krisis rumah tangga. Langkah untuk menulis cerpen yang baik seperti berikut:

PENGENALAN: memperkenalkan watak, tetapkan masa, cuaca, dan hal-hal lain. MEMULAKAN AKSI: mulakan aksi dan konflik watak, perkembangan cerita berlaku. KLIMAKS: titik cerita paling genting berlaku, mungkin di sini perubahan ( twist) terjadi. PELERAIAN: cerita anda mula disimpulkan. PENGAKHIRAN: konflik utama diselesaikan atau gantungkan kepada pembaca (anda tidak perlu menulis cerpen secara teratur; di sini letaknya kemahiran teknik penceritaan seperti imbas kembali, imbas muka, dll).

3. Cari inspirasi daripada watak sebenar.

Jika anda mengalami masalah memahami atau mencari sifat-sifat watak, beralihlah kepada kehidupan secara realiti. Anda boleh dengan mudah meminjam sifat-sifat orang yang dikenali atau tidak dikenali.

Sebagai contoh, anda mungkin melihat seseorang yang sentiasa minum kopi, dia akan bercakap dengan kuat bersama-sama kawannya yang lain, suara menjadi hingar-bingar di warung. Mereka mungkin membawa komputer riba dan menaip sekali-sekala.

Pemerhatian ini dapat dirakamkan di dalam cerpen anda secara sangat menarik. Watak dalam cerpen anda juga boleh dicampurkan atau digabungkan dengan sifat beberapa orang lain.

4. Kenali secara mendalam watak yang ditonjolkan dalam cerpen anda.

Untuk menghidupkan cerpen, watak-watak perlu dipercayai dan realistik. Tugas ini barangkali sukar tetapi terdapat beberapa strategi untuk menghidupkan watak dalam cerpen seperti di bawah:

Tulis senarai atau borang personaliti. Tulis nama watak dan sifat-sifat yang anda fikirkan sesuai, kedudukan mereka dalam masyarakat, warna kegemaran, sifat dan kecenderungan politik atau agama, makanan kegemaran. Adakah mereka seorang yang mahir dan fasih berbicara? Adakah mereka mempunyai peribadi yang aneh? Anda tentunya tidak memasukkan semua maklumat ini di dalam cerita anda tetapi lebih banyak yang anda ketahui, semakin hidup watak-watak yang anda tonjolkan sehingga dinikmati oleh pembaca. Pastikan personaliti watak anda tidak sempurna. Setiap watak perlu memiliki beberapa kelemahan, masalah, ketidaksempurnaan, dan rasa tidak yakin diri. Anda mungkin menganggap bahawa orang tidak suka membaca tentang watak yang banyak kelemahan tetapi kehidupan realiti tidak seharusnya menjadi suatu kisah hipokrit. Konflik watak dapat digabungjalinkan daripada perkara ini. Pembaca boleh mengaitkan kehidupan dengan watak-watak yang bermasalah kerana hal itu realistik. Apabila anda menampilkan kelemahan, anda tidak perlu menampilkan watak sebagai tokoh yang terlalu sempurna. Cuba pelbagaikan masalah sekitar watak, misalnya berkonflik dengan keluarga, hidup dalam daif dan miskin, dll. Dari titik itu, konflik dapat dikembangkan dengan mudah.

5. Hadkan cerita anda.

Dalam novel, anda boleh melambakkan pelbagai subplot, latar tempat, dan watakwatak tanpa had. Walau bagaimanapun, jangan melakukan perkara yang sama ke dalam cerpen. Tuliskan hanya peristiwa utama dalam cerpen anda. Latar masa hanya berlaku dalam tempoh yang singkat (hari atau minit). Hanya satu plot dengan paling maksimum 3 orang watak utama perlu dimasukkan. Lebih daripada itu, cerpen anda akan menjadi longgar.

6. Buat keputusan tentang sudut pandangan.

Terdapat beberapa sudut pandangan dalam cerpen: sudut pandangan pertama (saya, beta, dll), sudut pandangan kedua (awak, kamu, dll), dan sudut pandangan ketiga (dia, mereka, dll). Untuk sudut pandangan pertama, perlu diingat, penulis hanya boleh memberitahu apa yang dilihat oleh watak tersebut (misalnya aku) manakala penyampai orang ketiga boleh melihat segala-galanya termasuk meneroka fikiran setiap watak; sama seperti pengarah filem.

Anda juga boleh mencampuradukkan sudut pandangan. Sebagai contoh, menggunakan teknik babakan (dipecahkan kepada beberapa bahagian misalnya I, II, III, dll). Bahagian I menggunakan sudut pandangan saya kemudian bahagian II sudut pandangan bertukar ketiga. Namun, teknik ini tidak digalakkan pada peringkat awal pengkaryaan.

7. Susun fikiran anda.

Apabila sudah selesai merangka elemen asas dalam cerpen, cerpen sudah boleh dimulakan. Cerpen terdiri daripada pengenalan, perkembangan, klimaks, peleraian, dan penyelesaian. Fikirlah secara tersusun supaya tidak terperangkap pada pertengahan cerita. Draf terlebih dahulu plot (sebab akibat) yang diperlukan sebelum melengkapkan dalam bentuk perenggan-perenggan.

8. Sunting cerpen.

Jangan lupa menyunting cerpen anda. Betulkan kesilapan yang berlaku secara logik dan semantik. Pastikan aliran cerita dan watak-watak diperkenalkan kemudian masalah mereka diselesaikan dengan cara sewajarnya. Paling akhir, tips paling berguna adalah dengan membaca cerpen-cerpen bermutu daripada cerpenis tanah air. Dengan bacaan yang pelbagai, idea dan teknik untuk mengarang cerpen akan dapat dikuasai.

Anda mungkin juga menyukai