Anda di halaman 1dari 2

Tajuk 6: Secara individu, pilih satu aspek amalan pengajaran yang anda ingin melakukan penambahbaikan.

Sediakan satu pernyataan tentang aspek yang akan diubah. Seterusnya, sediakan satu cadangan tindakan bagaimana anda akan menjalankan penyelidikan itu. P&P berkesan boleh ditarifkan sebagai proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang berkualiti iaitu proses yang dapat mengembangkan potensi insan dari segi psikomotor, kognitif dan afektif ke tahap yang optimum. Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Dato' Dr. Abdul Shukor Abdullah (1999) menyatakan P&P berkualiti lahirnya dari seorang guru yang berkesan iaitu guru yang memiliki ciri sentiasa berusaha meningkatkan kualiti hasil pengajaran, berupaya membentuk perwatakan murid dengan pelbagai keteguhan nilai diri seperti bermoral, berakhlak mulia, berketrampilan dan dapat menyesuaikan diri dengan situasi tertentu. Merujuk kepada Dasar Penyataan Standard Tinggi Kualiti Pendidikan Malaysia, (2001), proses pengajaran dan pembelajaran perlu dirancang dan dilaksanakan mengikut beberapa prinsip yang digariskan. Antaranya ialah:a. pendekatan, kaedah dan teknik yang dipelbagaikan dengan melibatkan murid secara aktif; b. berpandukan bahan-bahan sokongan yang relevan dengan tahap pencapaian semasa, potensi dan kemajuan murid; c. penilaian dan penambahbaikan P&P secara berterusan. Oleh itu, dalam menghasilkan P&P berkesan, dengan mempraktikan Teori Kecerdasan Pelbagai, dapat memberi peluang kepada setiap pelajar memahami hasil pembelajaran yang dihasratkan mengikut kebolehan mereka. Menurut teori kecerdasan pelbagai, setiap individu mempunyai kecerdasan berbeza (Gadners, 1999). Justeru, guru perlu lebih kreatif dan berupaya untuk mensintesis pengetahuan serta kemahiran dengan mengintegrasikan 9 jenis kecerdasan ini bagi menghasilkan pembelajaran yang lebih berkesan dan adil untuk semua. Bertitik tolak daripada penyataan ini, guru perlu meningkatkan kompetensinya dalam P&P di bilik darjah. Hal ini adalah penting kerana guru perlu memiliki kemahiran dan kepakaran dalam mengabungjalinkan dan menyepadukan isi pelajaran dengan agenda nasional negara. Maka, dalam proses P&P, selain guru perlu kreatif dan inovatif dalam pengurusan bilik darjah, guru juga perlu mempertimbangkan beberapa elemen bagi membolehkan P&P yang dilaksanakan berkesan dan berkualiti.

Dalam menyediakan bahan pembelajaran, perlulah mengambil kira tahap kecerdasan murid. Bimbingan rakan sebaya berlaku secara berterusan dan guru bertindak sebagai pemudah cara yang berkesan. Dengan kreativiti yang ada ini, guru turut melengkapkan mereka melalui kombinasi kaedah pembelajaran yang lain seperti eksperimen, kerja lapangan dan sebagainya. Bahan-bahan yang disediakan menuntut mereka untuk berfikir dan bersedia untuk mencetuskan idea bagi menghadapi cabaran dalam dunia pendidikan yang sentiasa berubah. Mereka dapat memanipulasikan bahan sumber yang disediakan secara maksimum dan adil selari dengan kecerdasan pelbagai (Gadners, 1999). Abdul Rahman (1995) mendapati penggunaan bahan bantu mengajar yang sesuai dengan tahap kecedasan dapat

mempertingkatkan kejayaan murid. Antara aspek penambahbaikan yang akan dibuat melalui teori kecerdasan pelbagai ini ialah membina bahan bantu mengajar daripada sumber pembelajaran berasaskan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK). Sebagai seorang guru perlu kreatif dan inovatif untuk mengintergrasikan TMK dalam P&P. Roblyer & Edwards (2000) mendapati pengguna perisian pembelajaran berbantukan komputer dapat belajar sejumlah bahan pengajaran dalam masa yang singkat berbanding dengan kaedah konvensional. Kajian sikap pelajar terhadap penggunaan Edutainment Interaktif oleh Mohd Nazri (2006) mendapati pembelajaran berbantukan komputer dapat menggalakkan pelajar bersikap lebih positif, matang dan mempunyai kendiri yang tinggi. Pelajar dikatakan merasa seronok, terhibur untuk belajar dan mempunyai kawalan sepenuhnya terhadap proses pembelajaran. Oleh sebab itu, guru perlu menekankan kepada penggunaan teknologi dalam menyediakan bahan pembelajaran supaya selari dengan keperluan zaman mereka Secara ringkasnya dapatlah disimpulkan pengajaran berkesan oleh guru bukan sahaja meliputi aspek kurikulum yang diajar di dalam bilik darjah, malahan meliputi skop yang lebih luas seperti gaya kepimpinan, budaya ilmu dan berfikir, pengurusan bilik darjah, motivasi dan dorongan serta kepimpinan kurikulum di tempat kerja.