Anda di halaman 1dari 5

LAPORAN DOKUMENTASI PERKHEMAHAN UNIT BERUNIFORM PISMP SEMESTER 4 BAGI TAHUN 2010 DI KEM SERAI SAUJANA, BANTING, SELANGOR.

Bermula 29 September 2010, ahli Kadet Remaja Sekolah (KRS) telah mengadakan satu mesyuarat untuk mengagihkan tugas bagi mengikuti perkhemahan unit beruniform di Kem Serai Saujana, Banting, Selangor. Perkhemahan yang akan dijalankan ini melibatkan tiga unit beruniform yang berlainan iaitu Kadet Remaja Sekolah (KRS), Pandu Puteri Kadet, dan Puteri Islam. Mesyuarat ini mengagihkan bidang tugas yang perlu dilaksanakan dalam pra perkhemahan, semasa perkhemahan, dan pasca perkhemahan. AJK yang diagihkan telah berbincang secara ringkas dalam kelompok kecil. Antara AJK yang ada termasuklah AJK Kerohanian, AJK Majlis Penutup, AJK Peralatan, AJK Keselamatan dan Kebersihan serta AJK Dokumentasi. Semua AJK ini telah mendapatkan maklumat yang sewajarnya dari Ketua Unit Beruniform KRS iaitu saudara Hafizuddin bin Zukeri. Namun, mereka diingatkan untuk berjumpa dengan pensyarah penasihat terlebih dahulu bagi memurnikan tugas yang telah diagihkan. Dan mesyuarat susulan akan diadakan dalam masa yang terdekat mengikut kesesuaian dan kepentingan tugas. Pada 4 September 2010, mesyuarat susulan telah diadakan ketika sesi interaksi unit beruniform. Pada mesyuarat kali ini, semua AJK perlu membuat laporan akhir terhadap tugasan yang telah mereka lakukan. Antara isi mesyuarat tersebut ialah jadual tugasan imam dan bilal, jadual pembahagian jaga malam, tentatif aktiviti sepanjang perkhemahan, set peralatan yang harus dibawa oleh AJK dan setiap kadet, dan pengagihan kumpulan bagi aktiviti di sana nanti. Mesyuarat yang diadakan di bilik kuliah PISMP 4A itu telah tamat pada pukul 10.30 malam. Segala kelengkapan yang tersenarai disediakan walaupun terdapat beberapa kekurangan. Pun begitu, ia tidak menjejaskan perjalanan perkhemahan nanti.

Semasa perkhemahan, perjalanan aktiviti harian yang dirancang diikuti degan baik. Namun, terdapat banyak kekangan tugas, waktu dan cuaca yang memungkinkan kelancaran sesi perkhemahan terganggu. Pada hari pertama, sesi taklimat dan pembinaan tapak perkhemahan berjalan dengan lancar. Dan sebelah malamnya pula, ada sesi salam perkenalan dan peranan tanggungjawab yang dikelola oleh konstruktor yang ditetapkan ialah Encik Azman. Dalam sesi suai kenal, semua kadet dijelaskan dengan segala pantang larang dan penerangan tentang kawasan perkhemahan. Antara perkara yang dititikberatkan termasuklah sikap waspada terhadap binatang berbisa iaitu ular kapak dan haiwan-haiwan lain. Makluman sebegini telah difahami oleh AJK Keselamatan yang bertindak menabur garam sebagai langkah berjaga-jaga dengan sebarang musibah. Pada malam tersebut, disebabkan kemudahan lampu yang kurang sempurna ditambah pula keselamatan yang agak terancam, empat buah khemah kadet putera terpaksa dialihkan bersebelahan tapak khemah kadet puteri. Bagi hari kedua, perjalanan aktiviti perkhemahan berjalan dengan lancar. Sesi keagamaan, asas kawad kaki, senaman pagi, upacara menaikkan bendera, latihan ikatan dan membina kemudahan kem, latihan pertolongan cemas seperti bebat, balut, dan CPR, latihan uji sikap pemimpin, dan sesi menyediakan gajet telah dihabiskan sepanjang siang hari. Modul-modul yang telah disediakan oleh konstruktor terlatih dan berpengalaman itu, telah mendedahkan teknik dan isi modul secara teori, praktikal dan amali. Para kadet telah menunjukkan minat dan bakat apabila sama-sama membuat amali modul dengan baik. Pada sebelah malam pula, aktiviti yang dijalankan adalah mengikut unit beruniform tersendiri. Bagi unit uniform Kadet Remaja Sekolah, sesi malam dipenuhi dengan latihan pra pentauliahan yang diselia oleh Cik Krishna Kumary a/p Juval. Selepas itu, semua kadet KRS telah membuat sesi latihan tepukan dan sorakan kadet, lagu ciptaan kadet, dan logo yang perlu dipertontonkan setiap kali aktiviti berlangsung. Aktiviti malam berakhir dengan penghebahan kata laluan setiap kadet. Kata laluan ini ditetapkan secara bertukar-tukar setiap hari oleh AJK Keselamatan agar gangguan dari pihak luar tidak akan berlaku.

Malang tidak berbau, pada pagi hari ketiga ini, sekitar pukul 5.30 pagi, tapak perkhemahan telah dinaiki air. Kondisi paya bakau yang ditenggelami air akibat air pasang telah menyebabkan air melimpah membanjiri ruangan tapak perkhemahan. Hanya beberapa tempat yang tidak dinaiki air seperti segelintir kawasan tapak perkhemahan kadet KRS putera dan kadet KRS puteri. Ruang utama aktiviti di tengahtengah kawasan kanopi juga dinaiki air tetapi hanya sedikit sahaja. Semua kadet terpaksa dikejutkan dan bergegas dan mengemas segala kelengkapan dan peralatan yang ada. Semua peralatan dikumpulkan dan diletakkan di satu laluan berturap di sisi kawasan perkhemahan. Kadet-kadet tidak lagi tidur di dalam khemah, sebaliknya berselerakan di bawah kanopi, ruang utama aktiviti dijalankan. Pada hari ketiga ini, aktiviti perkhemahan lebih mencabar. Aktiviti dimulakan dengan aktiviti bergotong-royong membersihkan tapak perkhemahan. Air yang masih bertakung dalam kawasan perkhemahan terpaksa dialirkan melalui pembinaan lorong atau laluan dari tapak perkhemahan ke paya bakau. Setelah semuanya selesai, kami bersiap sedia untuk memulakan aktiviti seterusnya. Kali ini aktiviti dijalankan di paya bakau. Semua kadet diarah untuk berendam dan melumurkan selut lumpur yang ada pada dasar paya di seluruh kawasan muka rakan-rakan kadet. Dengan suasana yang agak gamat, kadet putera tidak lagi malu-malu kucing dengan selut lumpur walaupun baunya terlalu busuk. Ada juga kadet yang termuntah akibat tidak tahan dengan bau selut tersebut. Keadaan yang agak menjijikkan itu diikuti dengan semua kadet puteri yang hanya pada mulanya terkial-kial dengan rasa geli dengan keadaan lumpur itu. Walau bagaimanapun, segala-galanya dapat ditangkis dengan mudah. Semua kadet juga diminta untuk mereka cipta satu topi daripada unsur alam yang perlu disematkan di kepala tanpa tanggal ketika aktiviti meredah paya bakau nanti. Dengan arahan yang diterima jelas, semua kadet berusaha menyiapkannya dan aktiviti meredah paya bakau pun bermula. Dengan taklimat ringkas tentang keselamatan serta penerangan jelas tentang kawasan paya bakau, semua kadet telah bergerak dalam tiga pasukan besar yang diketuai oleh seorang pemandu arah bagi setiap pasukan. Pemandu arah yang terlatih itu hanya menunjukkan laluan bagi semua kadet dan kadet perlu membantu antara kadet yang lain dalam misi meredah paya ini.

Dengan semangat cekal dan kerjasama, semua kadet dapat melepasi misi meredah paya ini walaupun terdapat hampir 34 orang kadet yang tersangkut di dalam paya akibat terjerlus dalam lumpur yang terlalu dalam dan ada yang cedera ringan. Segala kecederaan ringan ini telah diatasi dengan bantuan rakan-rakan kadet. Namun, ada juga antara peserta kadet yang tidak mengikuti misi atas dasar gangguan kesihatan. Aktiviti diteruskan dengan taklimat ringkas tentang misi pertolongan cemas secara praktikal dan membina semangat pasukan melalui permainan berbalas sorakan. Aktiviti yang membina aktif kendiri ini diakhiri dengan sesi berjalan kaki ke tapak perkhemahan secara beramai-ramai. Selepas makan, semua kadet yang terlibat dengan mangsa banjir perlu mengemas khemah kumpulan kerana mereka akan tidur di bawah kanopi ruang utama aktiviti. Aktiviti sepanjang hari ini disusuli pula dengan latihan malam kebudayaan. Dan pada sebelah malamnya, aktiviti kebudayaan dijalankan dengan adanya penilaian daripada para pensyarah pembimbing. Hari ketiga perkhemahan ini ditutupi dengan persediaan untuk majlis penutupan. Pada hari terakhir perkhemahan, selepas mengemas tapak perkhemahan, upacara menyerahkan bendera perkhemahan dilakukan dalam majlis penutupan. Majlis penutupan perkhemahan kali ini telah dirasmikan oleh Timbalan Pengarah IPG Kampus Bahasa Melayu, Puan Jamaliah binti Saleh. Perkhemahan diakhiri dengan sesi refleksi setiap unit beruniform dan penyerahan borang penilaian bersama Puan Aishah binti Abdul Ghani, salah seorang pensyarah pembimbing unit beruniform. Semua kadet yang mengikuti perkhemahan selama empat hari ini tiba di perkarangan IPG KBM pada pukul 12.30 tengah hari. Secara keseluruhannya, perkhemahan yang dijalankan berlangsung dengan baik. Namun, terdapat beberapa kelebihan dan kekurangan yang perlu ditimbal tara. Dari aspek kelebihan, kerjasama antara setiap unit ada ditonjolkan walaupun unit-unit beruniform ini tidak pernah duduk semeja dan berbincang untuk melaksanakan perkhemahan ini. Kerjasama yang erat telah ditonjolkan sewaktu aktiviti meredah paya bakau, bergotong-royong membina laluan air banjir, aktiviti kebudayaan, majlis

penutupan, menyediakan gajet dan makanan serta sesi menjaga malam. Kesemua bantuan dan pertolongan antara setiap unit amat bermakna bagi melahirkan satu nilai kesatuan pasukan yang mantap. Namun, terdapat kekurangan yang jelas bagi perkhemahan ini ialah mesyuarat gabungan unit beruniform langsung tidak pernah berlaku sehinggakan ada

percanggahan maklumat bagi setiap unit. Oleh itu, dilantik ketua komanden kadet yang memimpin perjalanan keseluruhan kadet di sana iaitu saudara Afifin dari KRS. Selain itu, bagi setiap kali waktu makan, masa makan akan sentiasa lewat menyebabkan ada kalanya kelancaran aktiviti terganggu. Kemudahan air dan sumber cahaya yang kadang-kadang tersekat menyebabkan kadet kurang selesa. Sememangnya, adalah mustahil bagi keselesaan itu dipenuhi, namun, dalam beberapa perkara wajib, kemudahan ini amat diperlukan seperti air. Gangguan yang berterusan akan menyebabkan kelancaran terganggu. Di samping itu, tapak perkhemahan yang kurang strategik menyebabkan perkhemahan yang dijalankan tergendala seketika. Kawasan perkhemahan yang terlalu hampir dengan paya bakau memungkinkan keselamatan yang tidak terjamin dan mengundang risiko. Tapi, alhamdulillah, segala-galanya berada dalam keadaan selamat. Bagi sesi pasca perkhemahan, ahli KRS telah mengadakan sesi perjumpaan. Perjumpaan pada hari Sabtu, sekitar pukul 4.30 petang, semua kadet diberi taklimat ringkas dan refleksi ringkas sebelum sesi mengemas dan membersihkan khemah dan peralatan dijalankan. Pembersihan khemah itu dijalankan berhampiran Kolej Kediaman Dato Razali Ismail dan tamat sekitar pukul 6.00 petang.

Disediakan oleh,

19 Oktober 2010

(AHMAD FAIZ BIN AHMAD SUHAIME) AJK Dokumentasi Perkhemahan Kadet Remaja Sekolah 2010.

Anda mungkin juga menyukai