Anda di halaman 1dari 4

1 Aspirasi 1 Agenda merupakan tema hari Guru tahun 2013.

. Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia dalam perutusan Hari Guru telah menyatakan bahawa sebagai golongan professional yang menjana dan menjuarai perubahan, warga guru perlu peka dan bersedia untuk melengkapkan diri menjadi guru yang inovatif supaya berupaya menjana idea, konsep atau strategi baru yang boleh mempertingkat amalan berkesan dalam menyampaikan ilmu kepada generasi anak didik. Menurut beliau, guru yang inovatif juga berkemampuan mencipta kelainan atau modifikasi menggunakan unsur dan sumber sedia ada serta menjelmakannya sebagai elemen sintesis yang memudah dan melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, seorang guru inovatif juga mempunyai tahap ketekunan yang tinggi, belajar daripada kesilapan, menyusun dan mengurus idea secara perekodan sistematik serta sentiasa cenderung mendapatkan pengetahuan baharu. Natijah yang akan dihasilkan ialah modal insan yang berpengetahuan dan bermaklumat serta berinovatif dalam memajukan teknologi, berkebolehan mencerna dan mengadaptasikan teknologi dan seterusnya berupaya mengembangkan idea-idea baru yang mampu memberikan kejayaan duniawi dan ukhrawi kepada pelajar. Dalam bidang pendidikan,kebolehan para guru dalam menjalankan aktiviti pengurusan di dalam kelas dan kepimpinan banyak bergantung kepada kefahaman mereka tentang matlamat pendidikan. Guru yang baik dan professional bukanlah sekadar menyampaikan ilmu pengetahuan dalam buku teks sahaja tetapi merangkumi proses perkembangan pelajar itu sendiri. Antaranya ialah dari segi jasmani emosi, rohani dan intelek, ini selaras dengan falsafah pendidikan kebangsaan yang menekankan kepada pembangunan secara menyeluruh terhadap pelajar. Keadaan ini dapat melahirkan pelajar yang berinovasi dan dapat mengembangkan potensi diri mereka, seterusnya memberikan impak yang positif terhadap agama ,masyarakat dan Negara. Matlamat Pendidikan Islam menurut A. Athiyah al-Abrasyi, pendidikan hendaklah menyediakan seseorang itu sehingga ia dapat hidup dengan sempurna, bahagia, cintakan negara, kuat jasmaninya, sempurna akhlaknya, teratur pendidikannya, halus dan murni perasaannnya, cekap dalam kerjanya, bekerjasama dengan orang lain, baik bahasanya, tulisannya dan lisannya serta tangannya dapat membuat

sesuatu pekerjaan itu dengan baik. Secara keseluruhannya matlamat di atas berteraskan akhlak seorang insan. Justeru itu, saya sebagai guru cemerlang pendidikan islam di Sekolah Kebangsaan Seri Bayu akan memainkan peranan yang lebih proaktif dalam membentuk keperibadian dan kecermelangan pelajar. Pelbagai usaha telah dijalankan bersama-sama dengan panitia pendidikan Islam. Dengan bantuan rakanrakan pelbagai agenda utama dapat dijalankan untuk membantu pelajar yang secara keseluruhannya berada di kawasan kampung atau luar bandar. Antara usaha yang dilakukan ialah berkait rapat dengan 3 perkara utama iaitu, guru, pelajar, sekolah dan ibubapa. Perkara pertama yang perlu ada dalam setiap diri guru itu ialah mestilah berilmu, sentiasa peka terhadap perubahan dan teknik pengajaran dan pembelajaran masa kini. Perkara ini amat penting kerana perubahan dari satu generasi kepada generasi yang baharu turut menyebabkan perubahan dalam pengajaran dan pembelajaran. Seterusnya sebagai seorang guru, sikap Husnuzon perlu ada dalam diri setiap guru bahawa setiap pelajarnya akan berjaya, maksudnya bersangka baik terhadap keadaan sekelilingnya, selain itu kita juga perlu memandang positif terhadap pelajar-pelajar bahawasanya mereka akan menjadi manusia yang berguna kepada agama, bangsa dan Negara. Selain itu juga, kepelbagaian alat bantu mengajar dapat memberikan sesi pengajaran dan pembelajaran yang lebih menarik dan situasi ini pastinya dapat menarik minat para pelajar untuk lebih tekun dan khusyuk dalam sesi pembelajaran. Saya juga telah merancang beberapa rancangan bagi meningkatkan mutu dan kualiti pelajar dengan merancang pelan strategik tahunan dan 5 tahun akan datang, ini selaras dengan pelan induk pembangunan pendidikan Negara(PIPP) yang telah dirangka oleh pihak kementerian bagi melahirkan modal insan yang berkualiti tinggi. Hubungan dan kerjasama yang baik antara rakan-rakan sejawatan juga telah membantu saya dalam menjalankan program yang dirangka, bagi memperkukuhkan lagi keadaan ini, hubungan yang baik dengan para waris juga telah dijalankan oleh pihak sekolah dan inisiatif ini telah diguna pakai bagi menjalankan program kerohanian.

Antara program yang telah dibentuk dan dirancang ialah program penghayatan formal seperti solat Jemaah, dan juga qiamulail. Selain itu, saya bersama-sama dengan jawatankuasa panitia mewujudkan program membina akhlak dengan menjadikan beberapa orang murid sebagai role model (kepimpinan). Bagi pelajar yang bermasalah pelbagai program telah diatur antaranya ialah program keagamaan secara santai seperti rehlah, dan juga lawatan. Pelajar bermasalah perlu didekati dengan cara memujuk dan aktiviti yang lebih santai supaya mereka tidak melihat ada paksaan dalam penerapan ilmu dan pengajaran. Satu program telah dijalankan iaitu Taffaquh yang bermaksud memperkukuhkan kefahaman tentang agama kepada pelajar yang baik dan berpotensi sebagai pemimpin dakwah. Bagi kumpulan sederhana pula, program berbentuk kumpulan dilaksana bagi meningkatkan keyakinan diri bahawa mereka juga boleh berjaya. Penumpuan lebih diberikan kepada pelajar-pelajar lemah dengan penerapan cerita-cerita teladan dan juga memberi galakkan dan pujian yang berbentuk material atau katakata. Usaha yang dijalankan ini selari dengan firman Allah S.W.T dalam surah al-asr yang bermaksud: Demi masa. Sesungguhnya manusia itu kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan yang beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. (Surah al asr ayat 1-3) Harapan saya sebagai seorang guru pastinya ingin melihat kejayaan kepada pelajar selaras dengan gagasan Allah yang mahukan umatnya berjaya didunia dan juga diakhirat. Segala ilmu yang dicurahkan diharap untuk menjadi payung kepada para pelajar dalam meniti arus kehidupan yang akan datang. Selain itu saya juga berharap agar pelajar saya menjadi murid yang syukur , berjaya dan taat kepada allah,rasul, dan ibu bapa, tidak ada yang lebih manis bagi seorang guru kecuali melihat anak didiknya menjadi manusia yang berjaya, bersyukur dan taat. Selain itu, harapan saya juga ialah ingin melihat pelajar saya berjaya dan berjasa kepada agama, masyarakat dan Negara sebagai qudwah atau daie selari dengan firman Allah S.W.T

"Kalian adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang maruf dan melarang yang mungkar dan beriman kepada Allah, dan kalau sekiranya ahlul kitab beriman, tentulah hal itu lebih baik bagi mereka, diantara mereka ada orang-orang yang beriman dan kebanyakan mereka adalah orang-orang fasik Surah Al imran ayat 110.

Kesimpulannya Pendidikan adalah lambang ketamadunan sesebuah bangsa. Ianya dapat diukur dengan melihat secara fizikal kepada perkembangan karakter dan pembinaan keperibadian setiap muslim itu. Ketinggian sesuatu tamadun itu diukur dengan pembentukan akhlak dan sahsiah sesebuah ummah. Maka Pendidikan Islam mempunyai tujuan-tujuan dan matlamat-matlamat tertentu yang semata-mata untuk mewujudkan kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat dan seterusnya untuk memperolehi keredaan Allah s.w.t. Selain itu, insan tersebut juga hendaklah mempunyai akhlak yang luhur dan sosial yang baik. Pembentukan akhlak dan sahsiah yang terpuji mampu dizahirkan oleh semua umat Islam. Ini selaras dengan Falsafah Pendidikan Islam yang sangat menekankan aspek pembentukan keperibadian seseorang individu.Jelasnya, matlamat membina manusia yang baik yang dihasratkan dalam Falsafah Pendidikan Islam memerlukan pendekatan yang rapi dan komprehensif. Konsep ini adalah merupakan perkara pokok kepada usaha pembentukan kemenjadian individu murid yang berakhlak menerusi bidang pendidikan. Peranan Falsafah Pendidikan Islam memang besar, perlu, penting dan kritikal sekali dalam konteks pembinaan insan. Ini membuktikan Falsafah Pendidikan Islam yang bersifat menyeluruh dan bersepadu menekankan keperluan pembinaan tingkah laku yang selaras dengan fitrah kejadian manusia. Bermakna, ianya begitu saling berkaitan dalam pembinaan modal insan yang dihajati oleh Negara kita.

Anda mungkin juga menyukai