Anda di halaman 1dari 4

MINGGU 1

[PENULISAN JURNAL MINGGUAN]

MURID 6 TAHUN TIDAK DAPAT MENGUASAI KEMAHIRAN MENULIS

MASALAH Minggu ini merupakan minggu pertama saya menjalani praktikum fasa 2 bagi memenuhi syarat Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) yang sedang saya jalani ini. Saya telah ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Bukit Lintang, Melaka oleh pihak IPG Kampus Perempuan Melayu, Melaka bagi melaksanakan praktikum selama dua bulan yang bermula dari 15 Julai 2013 hingga 20 September 2013. Pada hari pertama berada di sekolah ini, saya telah ke Prasekolah Harmoni iaitu prasekolah yang terdapat di SK Bukit Lintang sebaik sahaja tamat berjumpaan dengan pihak pentadbir sekolah memandangkan opsyen saya dalam kursus perguruan ini ialah Pendidikan Prasekolah. Sepanjang sehari saya bersama murid-murid Prasekolah Harmoni, saya lihat murid-murid ini sangat ceria dan aktif. Setiap tugasan dan aktiviti yang diberikan oleh guru prasekolah akan dilaksanakan dengan bersemangat. Walau bagaimanapun, terdapat seorang murid yang kurang menunjukkan minat apabila tugasan yang diberi melibatkan penulisan. Oleh itu, saya telah membuat pemerhatian terhadap murid ini selama seminggu di samping bertanya kepada guru prasekolah mengenai masalah murid tersebut. Berdasarkan pemerhatian yang dibuat, murid tersebut iaitu Faris dilihat bukan sahaja tidak dapat menulis huruf dan perkataan dengan sendiri, malah Faris juga tidak dapat membuat contengan yang baik seperti kanak-kanak yang lain. Saya juga pernah menyuruh Faris untuk menulis apa sahaja di satu kertas kosong, tetapi tidak berhasil kerana kertas itu dikembalikan dengan keadaan kosong tanpa sebarang lukisan. Apabila ditanya mengapa tidak melukis pada kertas tersebut, Faris hanya memberi jawapan tidak tahu. Seterusnya, saya menulis beberapa huruf pada kertas tersebut dengan tulisan dalam bentuk dot dot, dan meminta Faris menulis semula huruf tersebut mengikut garisan dot dot yang telah saya buatkan itu. Hasilnya, Faris boleh menyambung garisan dot dot tersebut untuk membentuk huruf walau pun bukan dengan cara menulis huruf yang betul.

MINGGU 1

[PENULISAN JURNAL MINGGUAN]

ANALISIS MASALAH Pada awal pemerhatian, sikap Faris dilihat agak membimbangkan kerana kanak-kanak pada peringkat umur 6 tahun seharusnya telah menguasai kemahiran menulis walau bukan sepenuhnya. Malahan, kemahiran menconteng juga sepatutnya telah dikuasai oleh Faris kerana tahap contengan dalam lukisan kanak-kanak boleh dilihat apabila kanak-kanak mencecah umur 2 hingga 4 tahun mengikut kajian Victor Lowerfeld. Walau bagaimanapun, sikap Faris yang mula berani untuk menconteng setelah diberi sedikit bimbingan menunjukkan bahawa kanak-kanak ini boleh membuat contengan tetapi mungkin terdapat beberapa faktor yang menyebabkan dia tidak berminat untuk melukis dan menulis yang akhirnya menyebabkan kemahiran menulis tidak dapat dikuasai Faris. Antara faktor yang mungkin menjadi penyebab kepada masalah yang dihadapi Faris ialah:a) Sikap ibu bapa yang tidak memberi perhatian yang menyeluruh terhadap perkembangan anak. Ibu bapa seharusnya memberi tinjuk ajar kepada anak-anak apabila mereka berada dirumah supaya perkara yang dipelajari disekolah dapat diingat kembali sekaligus dapat mengukuhkan kemahiran yang telah diajar oleh guru di sekolah. b) Sikap kanak-kanak itu sendiri yang menginginkan perhatian lebih daripada orang sekeliling terutama gurunya. Oleh itu, dengan mengambil tindakan untuk tidak melaksanakan tugasan yang diberi, kanak-kanak seperti ini biasanya mengharapkan guru dapat memberi perhatian yang lebih kepada mereka. Sikap ini dikategorikan sebagai tingkahlaku negatif. Tingkah laku ini boleh mengakibatkan kanak-kanak ini tidak dapat menguasai kemahiran menulis mengikut tahap perkembangan yang sepatutnya kerana tidak melakukan aktiviti ini seperti kanak-kanak lain. c) Tiada motivasi dalam diri. Faktor ini juga memainkan peranan penting dalam diri kanak-kanak kerana motivasi sangat perlu untuk menggalakkan kanak-kanak dapat melakukan aktiviti dengan semangat dan penuh yakin.

MINGGU 1

[PENULISAN JURNAL MINGGUAN]

CADANGAN Bagi memastikan kanak-kanak ini dapat menguasai kemahiran menulis seperti rakanrakannya, beberapa perkara boleh dilakukan oleh guru, rakan sebaya dan ibu bapa. Antaranya ialah : 1. Guru memberi galakan supaya kanak-kanak ini melakukan aktiviti khususnya yang melibatkan kemahiran menulis. Galakan tersebut boleh melibatkan pujian dan katakata semangat supaya kanak-kanak tersebut lebih yakin akan kebolehan diri sendiri. 2. Guru juga perlu memberi bimbingan lebih kepada kanak-kanak ini supaya kemahiran menulis dapat dikuasai dengan cepat. 3. Penggunaan strategi pengajaran yang pelbagai juga boleh bagi memastikan kanakkanak tersebut dapat menguasai kemahiran menulis seperti rakan-rakan yang lain. Contohnya, guru boleh menggunakan lembaran kerja yang mempunyai tulisan dot dot untuk kanak-kanak ini sesuai dengan tahap perkembangannya sekarang. 4. Peneguhan seperti dendaan juga boleh digunakan supaya kanak-kanak tersebut tidak lagi malas untuk melakukan aktiviti yang dirancang. 5. Guru juga boleh menasihati ibu bapa kanak-kanak berkenaan supaya turut memberi bimbingan kepada anak mereka semasa berada di rumah. 6. Seterusnya, guru boleh meletakkan kanak-kanak ini di sebelah rakannya yang lebih pandai supaya rakan dapat memberi tunjuk ajar apabila melakukan aktiviti khususnya aktiviti yang melibatkan kemahiran menulis.

TEMPOH PENYELESAIAN 22 Julai 2013 hingga 13 September 2013

MINGGU 1

[PENULISAN JURNAL MINGGUAN]

TINDAKAN SUSULAN Bermula minggu kedua praktikum, saya akan cuba untuk melaksanakan satu demi satu cadangan yang telah saya nyatakan supaya kanak-kanak tersebut akan dapat menunjukkan peningkatan dalam kemahiran menulis sebelum saya menamatkan praktikum di sekolah SK Bukit Lintang.

KESIMPULAN Setiap kanak-kanak akan melalui perkembangan yang sama tetapi mungkin akan berlaku pada waktu dan tahap umur yang berlainan. Oleh itu, guru perlu memainkan peranan yang penting bagi memastikan kanak-kanak yang kurang menonjol dalam sesuatu kemahiran dapat menguasai kemahiran tersebut seperti rakan-rakan yang lain.