Anda di halaman 1dari 12

1.0 PENGENALAN Malaysia didiami oleh sebuah masyarakat majmuk. J.S.

Furnival mentafsirkan masyarakat majmuk ialah masyarakat yang mempunyai pelbagai etnik (kaum) dan hidup dalam sebuah negara, tetapi dipisahkan oleh ciri-ciri ekonomi, tempat tinggal, sosial dan budaya. Etnik dan bahasa yang berbagai di Malaysia memerlukan kekuatan perpaduan dan integrasi yang tinggi bagi menjadikannya aman dan harmoni.

Perpaduan negara ialah penyatuan secara fizikal antara negeri-negeri dan anggota masyarakat seluruh Malaysia. Integrasi Nasional adalah satu konsep yang lebih luas iaitu proses penyatuan antara kelompok-kelompok yang berbeza latar belakang, menjadi satu entiti yg terikat oleh norma dan nilai serta kepentingan bersama. Ia adalah hasil ikatan batin dan akhirnya berlaku perkongsian pemikiran dan hati antara kaum.

Perlaksanaan proses bagi mewujudkan identiti nasional di kalangan kumpulan yang terpisah dari segi kebudayaan ,sosial dan lokasi boleh berlaku melalui proses akomodasi, amalgamasi, alkuturasi, asimilasi dan segregasi.

2.0 KONSEP-KONSEP 2.1 KONSEP AKOMODASI Akomodasi merupakan satu proses yang memerlukan kerjasama daripada dua atau lebih pihak yang mempunyai matlamat yang berbeza untuk membentuk satu matlamat yang dapat memuaskan kedua-dua pihak. Dalam perkataaan lain, akomodasi juga dikenali sebagai situasi menang-menang di mana kedua-dua pihak yang bertentangan pendapat atau matlamat akan memperoleh faedah daripada matlamat baru yang telah dibina sebagai bersama dan kolektif. Sebagai contoh, walaupun bahasa Melayu diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan di Malaysia, bahasa-bahasa lain seperti bahasa Inggeris dan bahasa Cina masih boleh digunapakai selagi ia tidak bertentangan dengan prinsip perlembagaan. Akomodasi juga merupakan proses di mana etnik menyedari norma dan nilai mereka antara satu sama lain, namun mereka tetap

mempertahankan budaya hidup masing-masing. Maksudnya, setiap kelompok etnik ada sistem kepercayaan masing-masing, ada perayaan masing-masing dan ada pantang larang masing-masing. Dari segi ini semua kelompok etnik mempunyai persamaan, namun caranya masing-masing. Misalnya, rakyat Malaysia merayakan hari kebesaran masing-masing seperti Hari Raya, Tahun Baharu Cina, Hari Deepavali dan Hari Krismas. Atas asas persamaan ini setiap kelompok etnik menghormati perayaan masing-masing, malah sanggup pula saling merayakan hari-hari kebesaran tersebut. Selain itu, istilah dan konsep angpau sudah dihayati dan diamalkan dalam adat resam etnik Melayu. Tindakan setiap bank dan syarikat swasta menyediakan sampul khas untuk memberi angpau di Hari Raya Puasa sudah diamalkan lebih dari satu dekad di Malaysia. Ada banyak lagi contoh yang boleh kita kemukakan untuk menunjukkan bahawa wujud proses

pinjam-meminjam unsur budaya

dalam kalangan kelompok etnik di Malaysia.

Konsep akomodasi yang diamalkan di Malaysia menyebabkan hubungan antara etnik saling membuat penyesuaian dan bebas mengamalkan budaya masing-masing dalam keadaan harmoni. Oleh yang demikian, Malaysia mempunyai masyarakat majmuk yang unik. Walaupun Malaysia mengamalkan konsep akomodasi, masyarakat Malaysia juga berkongsi dari segi perayaan, aktiviti kebudayaan dan makanan. Masyarakat Malaysia berkongsi perasaan gembira apabila tiba musim perayaan sesuatu kaum. Contohnya, perayaan Hari Raya Aidilfitri yang disambut oleh masyarakat Melayu turut diraikan bersama oleh etnik yang bukan beragama Islam. Perayaan sambutan kemerdekaan juga mengeratkan hubungan antara etnik melalui aktiviti yang dijalankan dan dapat melahirkan perasaan patriotisme dan saling kerjasama.

Gambar 1 : Perayaan di Malaysia disambut bersama-sama oleh semua kaum.

2.2 KONSEP ASIMILASI Asimilasi merupakan satu proses percantuman dan penyatuan antara kumpulan etnik berlainan budaya sehingga membentuk satu kelompok dengan kebudayaan dan identiti yang sama. Menurut Vander Zanden (seorang ahli sosiologi), asimilasi ialah satu proses dalam mana

kelompok-kelompok yang berfikir, berperasaan dan bertindak secara berlainan, menjadi satu dalam kesatuan sosial serta budaya yang sama. Asimilasi mutlak atau sempurna menyebabkan berlakunya penghapusan penuh perbezaan dari segi kebudayaan dan identiti. konsep ini diwakili dengan formula A+B+C =A, di sini A dalam hal ini mewakili golongan dominan sementara B dan C mewakili kumpulan etnik minoriti. Contohnya, orang Melayu di Thailand telah mengalami proses asimilasi yang menyebabkan nama, bahasa dan hampir semua aspek cara hidup mereka (kecuali agama) telah disatukan dengan amalan dan cara hidup orang Thai. Kejayaan pemerintahan Thailand menjadikan orang-orang Melayu di Selatan Thai mengambil nama-nama Thai sebagai tanda berlakunya asimilasi dengan bangsa Thai. Misalnya, nama Wan Sulaiman telah disiamkan menjadi Waeselame.

Proses asimilasi berlaku apabila wujudnya interaksi yang erat antara ahli kumpulan etnik-etnik berbeza budaya bagi suatu tempoh yang lama. Kejayaan asimilasi umumnya bergantung kepada kesanggupan etnik minoriti

menghilangkan identiti mereka dan menerima identiti kumpulan etnik majoriti, wujudnya banyak persamaan budaya antara kumpulan etnik, dan

kesanggupan kumpulan etnik majoriti menerima kumpulan etnik minoriti.

Hakikatnya, asimilasi bukanlah konsep perpaduan yang baru atau asing di tanah air. Ini dapat dilihat pada masyarakat Baba dan Nyonya sebagai rujukan terbaik hasil daripada proses asimilasi etnik Cina dengan kebudayaan Melayu. Namun, bagi etnik Cina di Kelantan serta Baba dan Nyonya, asimilasi berlaku

dalam konteks budaya tanpa melibatkan anutan kepercayaan atau agama.

Malah, proses tersebut tetap berjalan seperti mana yang berlaku dalam masyarakat Cina Kelantan. Orang bukan Melayu juga sudah dapat diasimilasikan dengan dari segi pakaian dan makanan. Hari ini bukan suatu yang janggal untuk melihat orang Cina dan India berbaju kurung dan menjamah nasi lemak. Malah, berkat daripada sistem pendidikan kebangsaan, generasi muda bukan Melayu begitu fasih berbahasa kebangsaan.

Cina Peranakan di Negeri-negeri Selat satu ketika dulu dan Sikh Peranakan di Sabah pada waktu selepas Merdeka adalah contoh asimilasi yang jelas. Apatah lagi mereka yang hendak bernikah dengan orang Melayu Islam, diwajibkan oleh undang-undang untuk masuk Islam, yang menuntut asimilasi sebagai pra-syarat.

2.3 KONSEP AMALGAMASI Amalgamasi merupakan satu proses yang terjadi apabila budaya atau ras bercampur untuk membentuk jenis budaya dan ras baru. Cara utama dalam menentukan proses amalgamasi adalah dengan terjadinya perkahwinan campur antara kumpulan etnik.

Teori amalgamasi dinyatakan dalam bentuk formula A+B+C=D, di sini A,B, dan C mewakili kumpulan etnik berlainan dan D mewakili amalgam, satu kumpulan baru terhasil daripada penyatuan A, B dan C. Sebagai contoh, kumpulan-kumpulan etnik yang sedia wujud mengamalkan perkahwinan campur lalu membentuk satu genarasi baru atau budaya baru tanpa menuruti budaya asal mereka. Yang agak jarang berlaku di Malaysia adalah proses amalgamasi. Mungkin contoh Sekolah Wawasan boleh kita gunakan di sini. Tersulam dalam usaha ini adalah unsur akomodasi dan akulturasi. Cuma dalam kes Sekolah Wawasan ianya merupakan proses amalgamasi bersifat top-down, bukan yang terpancar daripada bawah memanjat ke atas. Sekolah Wawasan yang menempatkan tiga aliran sekolah yang berbeza akan membolehkan pelajar-pelajar SJK menguasai bahasa Melayu. Para pelajar juga dapat memahami budaya,bahasa dan pemikitan kaum lain. Antara contoh amalgamasi yang terjadi sekarang iaitu melalui kaedah percampuran budayaPortugal dan budaya Melayu lalu terjadinya percantuman budaya terbentuknya budaya baru.

Selain itu , kaum yang terhasil daripada almagamasi di Malaysia adalah perkahwinan Baba dan Nyonya. Saudagar Cina di Melaka zaman silam gemar menmperisterikan wanita Melayu dari Semenanjung Tanah Melayu atau Sumatera. Hasilnya, suku Baba dan Nyonya memperlihatkan campuran

budaya Cina dan Melayu yang bersinergi. Perkahwinan kaum ini banyak mengikut cara perkahwinan seperti masyarakat Cina seperti upacara Cheo Thau. Dari segi budaya ,Kaum Baba dan Nyonya ini juga amat terkenal dengan pelbagai masakan asam pedas dan kuih tradisional yang begitu sedap dan menarik di mana resepinya ada persamaan dengan masakan masyarakat Melayu seperti ondeh-ondeh, kuih apom balik, cendol dan tapai pulut. Walau bagaimanapun, masakan Baba adalah masakan campuran masyrakat Cina dan Melayu tetapi masih beridentitikan masakan Baba dan Nyonya.

Gambar 2: Perkahwinan baba nyonya.

Gambar 3: Murid-murid di sekolah wawasan.

2.4 KONSEP AKULTURASI Akulturasi boleh didefinisikan sebagai proses penerimaan unsur budaya dari satu kelompok kepada satu kelompok yang lain. Tahap penerimaan sesebuah masyarakat adalah bergantung kepada sejauh mana kebudayaan asing tersebut mampu memberikan kelebihan dan manfaat kepada kelompok tersebut. Di Malaysia, beberapa kes boleh dijadikan rujukan seperti penggunaan angpau, tali leher, hiburan dan sebagainya.

Akulturasi terjadi apabila satu kelompok manusia dengan kebudayaan tertentu dihadapkan dengan unsur dari suatu kebudayaan asing yang berbeza sehingga unsur kebudayaan asing itu akhirnya diterima dan diolah dalam kebudayaan sendiri. Berbeza dengan proses asimilasi, proses akulturasi tidak menyebabkan kehilangan identiti asal masyarakat penerima.

Dari segi budaya, komuniti Baba dan Nyonya ini telah mengalami proses akulturasi dalam budaya masyarakat tempatan, iaitu masyarakat Melayu. Identiti utama masyarakat Baba dan Nyonya di Melaka dapat dilihat melalui penggunaan dialek Melayu-Baba. Ketidakupayaan komuniti ini untuk berbahasa Cina telah secara langsung memisahkan mereka daripada masyarakat Cina. Namun, kehidupan mereka masih dipengaruhi adat dan budaya masyarakat Cina. Proses akulturasi yang dialami oleh masyarakat Baba dan Nyonya telah membolehkan mereka terus kekal sebagai sub-etnik dalam kategori ras Cina di Malaysia.

Dalam sejarah tamadun manusia, sering berlaku pertemuan atau pertembungan antara dua atau lebih kebudayaan. Proses ini menyebabkan berlakunya proses pinjam-meminjam. Pada peringkat awal, unsur pinjaman digunakan secara langsung dan kemudian diolah serta dijadikan unsur kebudayaan sendiri. Tidak mudah untuk membentuk sebuah masyarakat yang

mencapai tahap akulturasi. Akulturasi lebih mudah dicapai apabila melibatkan budaya bersifat kebendaan yang mendatangkan manfaat seperti pakaian barat. Unsur-unsur budaya yang tidak berbentuk kebendaan seperti ideologi dan pemikiran adalah lebih sukar diterima.

Rakyat Malaysia juga terkenal dengan pelbagai jenis makanan dan ini dapat melambangkan jati diri rakyat yang berbilang kaum. Makanan-makanan tersebut pada asalnya berasal dari pelbagai negeri dan suku kaum, tetapi kini telah disediakan sebagai hidangan biasa umum di Malaysia. Di antara makanan tradisi yang terkenal di Malaysia ialah nasi lemak, char koay teow, roti canai dan banyak lagi. Makanan tradisi ini bukan hanya digemari oleh kaum asalnya malahan turut digemari oleh kaum lain. Kini, rakyat Malaysia boleh menikmati pelbagai makanan yang sebelum ini berasal daripada kaum tertentu. Selain itu, rakyat Malaysia juga mempunyai pakaian tradisi. Pakaian seperti baju kurung, baju Melayu, cheongsam dan sari adalah contoh pakaian tradisi masyarakat majmuk di Malaysia. Cara pemakaian memainkan peranan penting dalam menentukan perbezaan kedudukan atau martabat setiap kumpulan dalam kaum Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan kaum etnik kecil yang lain di Malaysia. Baju kurung ialah pakaian tradisi orang Melayu tetapi jika diperhatikan sekarang kaum lain juga turut menggayakan baju kurung. Keadaan seperti ini boleh didapati di sekolah ataupun tempat kerja. Konsep penerimaan unsur kebudayaan ini melibatkan proses akulturasi yang mana tidak menyebabkan kehilangan identiti asal masyarakat penerima.

2.5 KONSEP SEGREGASI Segregasi merupakan pemisahan atau pengasingan antara satu

kumpulan etnik dengan kumpulan etnik yang lain dalam sesebuah negara. Pemisahan berlaku dalam beberapa keadaan, antaranya dari segi kawasan tempat tinggal, sistem persekolahan, pengangkutan dan kemudahan awam. Segregasi atau pengelompokan etnik merupakan satu keadaan yang biasa di mana-mana tempat di muka bumi. Keadaan ini bukan sahaja berlaku dalam kehidupan manusia, akan tetapi boleh berlaku secara tidak sengaja pada kehidupan lain seperti tumbuh-tumbuhan dan haiwan. Pola taburan seperti ini merupakan satu corak dan strategi hidupan secara semula jadi untuk membolehkan hidup bertahan dalam satu komuniti yang kukuh. Segregasi wujud sama ada didasari oleh undang-undang atau sebaliknya seperti Dasar Aparteid di Afrika Selatan yang dilaksanakan antara tahun 1948-1994.

Secara umumnya, segregasi ini wujud dalam aspek-aspek seperti tempat kediaman, perkhidmatan dan juga dari segi sosial, adat resam, tradisi dan agama. Segregasi ini berlaku atas dasar ras, agama, kebudayaan dan lain-lain ciri etnik. Sebelum tahun 1960-an, orang kulit hitam di Amerika Syarikat mengalami keadaan segregasi ini. Pemisahan bukan sahaja berlaku di sekolah dan gereja tetapi juga di restoran dan tempat hiburan. Pendek kata, kaum ini diasingkan dan dipisahkan daripada kaum kulit putih dalam segala aspek kehidupan.

Segregasi boleh dibahagikan kepada dua jenis, iaitu segregasi rela dan segregasi tidak rela. Segregasi rela merujuk kepada keadaan di mana golongan manusia yang memencilkan diri dengan tujuan menentang asimilasi manakala segregasi tidak rela pula timbul kerana paksaan daripada pihak

yang berkuasa.

Segregasi etnik merupakan satu keadaan yang lazim di Malaysia yang mempunyai penduduk berbilang kaum. Sejarah dan asal-usul sesuatu etnik telah membuktikan bahawa pewujudan segregasi etnik ini sudah berlangsung sejak sekian lama.

Di Malaysia, meskipun tanpa kehadiran pihak penjajah barat, pola segregasi ini tetap terjadi kerana atas alasan faktor amalan budaya, amalan nilai, kegiatan ekonomi dan faktor agama. Ini dapat dilihat daripada pola taburan suku kaum masyarakat di Malaysia yang hidup secara mengelompok berdasarkan budaya, amalan nilai, kegiatan ekonomi dan kepercayaan yang sama di sesuatu tempat. Pengaruh daripada faktorfaktor ini, telah memberikan satu pegangan tanpa paksaan dan diterima oleh semua lapisan masyarakat tanpa ada pertikaian. Senario ini telah mewujudkan nama-nama kampung seperti perkampungan orang Melayu, perkampungan orang Cina dan perkampungan orang India. Di Sabah khususnya kita dapat mengenal segregasi etnik yang amat jelas berdasarkan kaum. Ini dapat dilihat daripada melalui pola taburan suku kaum mengikut suku kaum, misalnya suku kaum Rungus, Dusun, Bajau, Eranun, Sungai, Kimaragang, Suluk, Murut mendiami satu-satu kawasan tanpa bercampur dengan suku kaum yang lain.

Pada zaman kolonial Inggeris pula, dasar Pecah dan Perintah telah mengasing-asingkan kaum-kaum mengikut pekerjaan dan petempatan. Kaum Melayu bekerja sebagai petani dan nelayan yang tinggal di kawasan luar bandar dan pedalaman. Orang Cina menjadi pelombong dan peniaga. Kebanyakan daripada mereka tinggal di kawasan bandar. Kaum India pula bekerja dan tinggal di ladang getah. Kesan dari dasar penjajah, interaksi antara kaum adalah sangat terhad.

Perubahan pembangunan yang pesat di Malaysia telah mengubah sedikit senario pola taburan etnik. Dasar kerajaan yang sangat progresif ke arah meningkatkan taraf hidup dan kualiti hidup yang lebih baik kepada rakyat, telah membantu mempercepat mengurangkan segregasi mengikut etnik secara nyata terutamanya di kawasan-kawasan bandar. Walau bagaimanapun, perubahan mekanisme ini tidak selalunya berjalan lancar dan sentiasa ada pengaruh lain yang boleh menyeragamkan semula seperti keadaan sedia kala.

2.6 PENUTUP Kefahaman tentang istilah dan konsep sosiologi membolehkan kita mendalami hubungan etnik secara mendalam. Secara tidak langsung, pemahaman ini menimbulkan suatu kesedaran baru memupuk keharmonian dalam kehidupan dan seterusnya menyumbang kepada perpaduan dan integrasi nasional. Di samping itu , kita dapat memahami perkara-perkara tersebut secara ilmiah dengan merealisasikan dan mengaplikasikan dalam kehidupan seharian dengan memupuk nilai-nilai murni dan mengelak tingkah laku negatif. Oleh yang demikian, sifat-sifat ini akan menghasilkan sikap rakyat yang lebih memahami budaya masyarakat lain ke arah pembinaan generasi bangsa Malaysia yang bersatu padu.

Gambar 4: Rakyat Malaysia yang berbilang kaum.