Anda di halaman 1dari 8

membawa maksud atau konotasi yang sama sekali berlainan daripada permukaan makna nahuan.

di

Makna interpretatif ini diperoleh melalui interpretasi tanda-tanda yang digunakan dalam chengyu-chengyu yang telah dihuraikan dalam kajian ini. Interpretasi dilakukan bukan secara sembarangan tetapi secara yang ditakrif oleh pengguna bahasa yang secara pragmatiknya difahami oleh masyarakat bahasa yang sama. Kefahaman inilah yang ditarik sebagai konotasi terhadap sistem tanda yang digunakan dalam chengyu-chengyu tersebut. Apa yang jelas ialah bahawa setiap tanda dalam urutan dengan tanda-tanda lain dalam chengyu yang dikaji akan dapat menunjukkan kolokasi yang tuntas antara satu sama lain. Kolokasi yang dimaksudkan ialah teknik linguistik dalam analisis ungkapan-ungkapan seperti chengyu, puisi, narasi, dialog dan sebagainya. Oleh sebab yang menjadi tumpuan dalam kajian ini ialah interpretasi terhadap unsur alam, setiap lambang dalam pengungkapan peristiwa alam akan berada dalam deretan yang seimbang dari segi nilai yang mendukung konsepsi sosiobudaya sebagaimana yang ditakrif serupa oleh pengguna bahasa Cina.

Kajian ini jelas menonjolkan nilai-nilai unsur sosiobudaya masyarakat Cina yang dimaksudkan berdasarkan chengyu yang dipilih, malah wujud pemikiran dan pandangan masyarakat Cina dalam hubungan penggunaan unsur alam sebagai yang tercermin dalam penggunaan bahasanya.

BAB 5 PENUTUP

152

5.1

Kesimpulan

Peribahasa sebagai suatu bentuk ungkapan yang mempunyai susunan bahasa yang indah dan menarik, merupakan hasil ciptaan masyarakat Cina silam yang diperturunkan dan berkembang secara lisan dari satu generasi ke satu generasi. Keunikan ungkapan peribahasa ini bukan sahaja terletak pada bentuknya yang ringkas, indah, sedap didengar dan benar pada perasaan, pemikiran, dan pandangan malah peribahasa menjadi teladan, bandingan dan pengajaran yang amat bermakna.

Manusia sebagai makhluk sosial yang hidup bermasyarakat, tentunya ingin berinteraksi di antara satu sama lain bagi memenuhi kehendak dan keperluan sosial mereka. Dari situasi inilah peribahasa sebagai gaya bahasa yang beradat dan berkesan, memainkan peranan penting dalam menyalur segala bentuk pengajaran atau falsafah hidup.

Dalam saat-saat kita menghadapi segala kemajuan yang serba canggih, peribahasa tetap unggul. Keunggulan peribahasa terserlah bukan hanya pada pengucapannya yang indah dan bersopan, malah pada makna dan susunan kata-katanya. Seperti dahulu, begitulah bentuk yang kita terima sehingga kini. Peribahasa tidak berubah dan tidak pula diubahkan walaupun dunia telah mengalami banyak perubahan. Sebarang perubahan dilakukan terhadap peribahasa bukan sahaja mengubah bentuk fizikal, malah perubahan turut menjejaskan maksud, falsafah serta pemikiran di sebalik peribahasa tersebut. Walau bagaimanapun, ciri longgar peribahasa yang boleh diaplikasikan dalam sebarang pengucapan dan situasi yang sesuai, menyebabkan peribahasa dapat mempertahankan keaslian sama ada dari segi bentuk, penggunaan, susunan kata, maksud dan fungsinya sehingga sekarang.

153

Sejarah dan kelangsungan hidup masyarakat Cina tradisi telah membuktikan betapa mereka mempunyai hubungan yang sangat intim dengan persekitaran alam. Kepercayaan dan budaya hidup itu diilhamkan daripada alam sekitar. Sebagai salah satu cabang kesusasteraan lisan masyarakat Cina, chengyu khususnya merupakan warisan masyarakat Cina tradisi yang tercipta hasil pengamatan dan pemerhatian terhadap alam sekeliling. Kebanyakan fenomena, gejala dan unsur alam semula jadi yang diperhatikan dan diteliti, dikaitkan pula dengan pengalaman kehidupan sehari-hari, digunakan untuk menggambarkan sifat-sifat manusia dan keadaan masyarakat yang wujud di sekitar secara halus melalui chengyu. Gaya penyampaian chengyu yang singkat dan bernas itu disampaikan secara tersirat atau tidak langsung dengan menggunakan tanda-tanda atau lambang-lambang alam yang sesuai dan penuh makna. Tanda atau perlambangan dalam chengyu itu mengambil ciri-ciri persamaan dengan unsur-unsur alam semula jadi untuk memberi makna yang tepat dan padan pula dengan kumpulan sasara yang ditujukan chengyu tersebut.

Penggunaan pelbagai tanda (sign) dalam menyalurkan pandangan, buah fikiran, nasihat, teguran, sindiran, cacian dan sebagainya membuktikan tingginya daya intelek masyarakat Cina zaman dahulu. Lebih penting lagi, chengyu boleh digunakan sebagai media pendidikan yang sesuai diteladani, lebih-lebih lagi tatkala institusi rumah tangga berperanan sebagai wadah pendidikan tidak formal. Biasanya chengyu yang berisikan pendidikan dan tunjuk ajar didedahkan kepada anak-anak supaya mereka nantinya mampu menghayati dan menjana pemikiran dan pandangan

yang sesuai dengan dukungan falsafah chengyu berkenaan.

Sifat kritis dan kreatif dalam penjanaan idea masyarakat Cina tergambar dengan rapi dalam setiap ungkapan yang dicipta. Berdasarkan kajian yang dibuat, nyata bahawa 154

tanda-tanda alam yang digunakan dan kata-kata yang dipilih khusus mempunyai hubungan erat dengan corak hidup masyarakat Cina. Kata-kata yang digarap dan tandatanda yang dipilih jelas membuktikan pandangan masyarakat yang tinggi dalam melahirkan chengyu berkenaan.

Hasil daripada pemerhatian, penelitian, kepekaan akan perubahan alam sekitar di samping pengalaman hidup yang ditempuh telah cukup untuk masyarakat Cina mengambil dan menjadikan unsur-unsur alam yang berbagai-bagai itu sebagai iktibar. Walaupun mungkin penggunaan satu-satu ungkapan itu bersifat peribadi tetapi kerana acap kali dituturkan dan meluas pula penggunaannya, maka akhirnya ungkapan tersebut diterima benar dan menjadi milik masyarakat keseluruhannya. Justeru itu, kita dapati sukar untuk menentukan siapa pencipta sebenar setiap chengyu berkenaan tetapi chengyu dikatakan wujud sezaman dengan perkembangan sesuatu bahasa itu sendiri.

Kepentingan bahasa itu ketara lagi apabila kita dapati bahasa, pemikiran serta alam mempunyai hubungan yang amat rapat. Bahasa memainkan peranan penting dalam kehidupan manusia kerana melalui bahasa manusia dapat berkomunikasi antara satu sama lain di samping menyatakan persekitarannya menurut tanggapan masing-masing. Jelaslah bahawa tidak ada alat yang lebih konkrit untuk mencerminkan pemikiran dan alam budaya sesuatu masyarakat melainkan bahasa yang dimiliki oleh satu-satu masyarakat itu. Oleh yang demikian, kajian yang dibuat ke atas chengyu telah dapat memberi gambaran jelas tentang aspek pemikiran dan pandangan masyarakat Cina zaman dahulu.

Apabila diteliti secara mendalam didapati amat banyak chengyu yang mampu menongkah arus pemodenan zaman. Biarpun chengyu tersebut telah tercipta lama

155

dahulu, namun falsafah yang dikandungnya masih boleh diterima, dan diguna pakai oleh masyarakat zaman kini. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa sebahagian besar pemikiran, pandangan, dan falsafah yang terkandung dalam chengyu tersebut sesuai untuk dimanfaatkan oleh manusia pada abad mendatang. Walaupun kebanyakan chengyu tersebut dicipta oleh para cendekiawan Cina dahulu, namun chengyu berkenaan sesuai dipelajari dan diamalkan oleh sesiapa sahaja.

Zhou (2002:ii) menyatakan bahawa penekanan dalam pembelajaran chengyu semakin dititikberatkan selaras penggunaan bahasa Cina yang makin umum dan penting di era dunia kini. Peribahasa sebagai gaya berbahasa yang indah tetap berfungsi untuk membentuk perhubungan sosial di kalangan masyarakat. Chengyu sebagai pembentuk peribadi boleh menjadi petunjuk untuk memilih cara hidup yang baik dan menjadi panduan mengenai sikap yang harus diikuti dan wajar dihindari. Fungsi peribahasa untuk mendidik khususnya, memang tepat digunakan sebagai salah satu cara menyemai nilai-nilai moral yang semakin terhakis di kalangan anak muda kini.

Kesimpulannya, dapatlah dikatakan bahawa masyarakat Cina mempunyai daya pemikiran yang tajam, kreatif dan imaginatif. Penciptaan chengyu melambangkan ketinggian pemikiran masyarakat Cina. Sehubungan itu, perkaitan antara falsafah dengan pemikiran amat rapat dalam pengalaman hidup masyarakat Cina. Keadaan ini juga mencerminkan pemikiran dan pandangan masyarakat Cina begitu luas, iaitu mencakupi kehidupan harian. Kita juga boleh lihat kepentingan chengyu selain asal usul, pengklasifikasian, peranan, pemikiran dan pandangan yang terkandung dalam chengyu tersebut.

156

5.2

Cadangan

Memandangkan martabat bahasa Cina semakin meningkat dan memainkan peranan penting di era dunia kini, kajian ini adalah mustahak kerana pengkaji berharap kajian ini seboleh-bolehnya sebagai usaha dalam mengekalkan khazanah budaya bangsa Cina. Hasil daripada usaha itu nanti akan memberi peluang kepada kalangan muda kini mahupun kelak untuk turut menghargai dan menyanjung tinggi warisan budaya bangsa Cina yang amat bernilai ini. Justeru itu, dicadangkan :

i. Pada masa akan datang diharapkan lebih ramai pengkaji tempatan memperbanyak pengkajian yang teliti dan meluas tentang segala aspek dalam peribahasa seperti pemikiran dan falsafah dari pelbagai sudut. Hal ini disebabkan penerokaan bidang ini dari segala segi masih kurang dijalankan khususnya di negara kita.

ii. Menubuhkan satu badan khusus untuk merancang dan melaksanakan usaha-usaha pengumpulan dan pendokumentasian peribahasa Cina di negara kita. Pembentukan badan ini perlu bagi menyelaras usaha dan program penyelidikan dan pengumpulan bahan agar dapat dilaksana dengan lebih tersusun.

iii.

Pembelajaran bahasa Cina telah dilaksanakan di peringkat sekolah kebangsaan sejak akhir-akhir ini. Sehubungan itu, memastikan pembelajaran mengenai peribahasa diberi ruang khusus dalam sistem pendidikan negara di peringkat sekolah kebangsaan rendah 157

mahupun sekolah menengah. Hal ini penting bagi menjamin penguasaan dan pembelajaran peribahasa yang berterusan di kalangan pelajar berbilang kaum. Di samping itu, guru-guru digalakkan sentiasa menilai kembali pengajaran mereka dan berusaha meningkat mutu pengajaran dan pembelajaran. Strategi pengajaran peribahasa yang lebih efektif dapat disusun untuk meningkatkan penguasaan dan penggunaan peribahasa di kalangan pelajar dalam pertuturan harian mahupun penulisan.

iv.

Memperbanyak sumber bacaan yang berkaitan peribahasa di pusat sumber tempatan. Para penulis boleh mengupasnya dari pelbagai aspek. Yang penting, segala yang menjadi keunikan peribahasa tersebut dapat diketengah untuk pengetahuan umum.

v.

Meningkatkan penggunaan media massa untuk berperanan sebagai agen penyebar maklumat mengenai peribahasa. Dalam hal ini, pihak media tempatan seperti akhbar, majalah, televisyen, radio dan sebagainya boleh menganjurkan pelbagai aktiviti berbentuk kreatif seperti pertandingan yang memberi penekanan tentang kepentingan menguasai peribahasa Cina. Secara tidak langsung, usaha ini akan mencetuskan minda, minat dan kesedaran khalayak ramai khususnya generasi baru akan keindahan dan keistimewaan peribahasa di samping terus mempraktikkan penggunaanya.

158

Cadangan-cadangan di atas sekurang-kurangnya dapat dijadikan langkah awal untuk membantu generasi muda khasnya untuk mengenal hasil cipta dan warisan masyarakat Cina. Walau bagaimanapun, untuk mendapatkan hasil seperti yang dicitacitakan sudah tentu memerlukan peruntukan dan masa. Di samping itu, usaha ini menuntut komitmen jitu daripada semua pihak untuk memastikan segala perancangan dan usaha mencapai matlamatnya.

BIBLIOGRAFI
Adullah Hassan, 1989. Penerbitan Kata Dalam Bahasa Malaysia. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd. 159

Anda mungkin juga menyukai