Anda di halaman 1dari 1

PRAKATA Matlamat kurikulum Bahasa Iban adalah untuk melengkapkan murid dengan ketrampilan berbahasa dan berkomunikasi bagi

memenuhi keperluan diri dalam urusan harian, pendidikan, pekerjaan dan meneruskan warisan budaya. Sehubungan itu, Unit Bahasa Etnik, Bahagian Pembangunan Kurikulum berusaha menghasilkan buku ‘Sempama’ bagi membantu murid memahami peribahasa Bahasa Iban dengan berkesan. Guru boleh menggunakan buku ini sebagai bahan bantu pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Buku ini terdiri daripada 9 bahagian yang dirancang untuk memudahkan guru memilih dan menyesuaikan isi kandungan setiap bahagian dengan tahap kebolehan murid. Guru perlu sentiasa peka terhadap penggunaan dan penguasaan Bahasa Iban murid agar mereka mampu menguasai kemahiran dan mencapai hasil pembelajaran yang ditetapkan. Pengajaran dan pembelajaran harus dirancang dengan baik, agar dapat melahirkan murid yang mampu berkomunikasi dengan berkesan serta peka terhadap penerusan warisan budaya Iban. Penguasaan peribahasa yang mantap adalah merupakan satu kekuatan untuk murid menghasilkan penulisan yang berkesan. Justeru, murid perlu dibimbing untuk menggambarkan sesuatu peristiwa atau perwatakan seseorang menggunakan peribahasa yang tepat. Pembelajaran melalui aktiviti yang terancang dan berkesan boleh membantu murid memperoleh pengalaman untuk diaplikasikan dalam kehidupan seharian. Kreativiti guru dalam mempelbagaikan kaedah dan teknik penyampaian boleh memberikan kesan mendalam terhadap proses pembelajaran murid. Aspek kesepaduan ilmu, nilai dan amalan dalam kalangan murid perlu ditekankan, demi memupuk kesedaran untuk meneruskan warisan budaya yang sesuai dengan kesejahteraan diri, masyarakat dan negara. Kepada semua pihak yang telah memberikan sumbangan kepakaran, masa dan tenaga sehingga terhasilnya buku ‘Sempama’ ini, Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih.

(HJ ALI BIN AB. GHANI AMN) Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum Kementerian Pelajaran Malaysia