Anda di halaman 1dari 3

APRESIASI DAN KRITIKAN KARYA

Sorrow

Karya seni digital yang bertajuk Sorrow ini telah dihasilkan dengan menggunakan perisian grafik Adobe Photoshop. Dari pemerhatian awal yang saya jalankan, karya Sorrow yang dihasilkan ini membawa makna kesedihan dan kedukaan. Jika sekali imbas karya ini menggambarkan figura mata seorang wanita yang sedang menangis kerana terdapat titisan air mata yang mengalir dan matanya digenangi oleh air mata. Dari kaca mata saya, pengkarya telah berjaya menimbulkan suasana sedih dan duka. Selain itu, saya juga dapat membuat andaian bahawa mata wanita yang berwarna kemerah-merahan di dalam karya tersebut menggambarkan kesedihan yang telah lama ditanggung olehnya akan tetapi tidak dapat diluahkan dengan sempurna. Ekspresi yang ditonjolkan pada mata wanita tersebut menunjukkan bahawa wanita tersebut seperti sudah berhenti untuk berharap. Unsur seni reka yang dapat dilihat pada imej mata wanita tersebut ialah rupa geometri yang dapat dilihat pada bebola mata yang bulat serta garisan berbulu yang terdapat pada bulu mata wanita tersebut. Selain itu, warna yang terdapat pada mata wanita tersebut ialah warna neutral iaitu warna putih dan hitam serta terdapat sedikit warna kemerahmerahan yang melambangkan warna panas.

Seterusnya, bagi saya imej air mata yang mengalir menggambarkan kesusahan dan kesedihan yang sungguh berat untuk ditanggung oleh seorang wanita. Air mata sememangnya sinonim dengan kesedihan dan kedukaan. Manakala titisan air mata yang membentuk seperti tasik pula melambangkan kesedihan dan kedukaan yang melampau yang dilalui oleh wanita tersebut dalam jangka masa yang panjang serta wanita tersebut sudah melalui berbagai-bagai jenis kesedihan sepanjang hidupnya. Prinsip rekaan yang boleh dilihat pada imej titisan air mata yang membentuk tasik ialah pergerakan air yang terhasil daripada titisan air mata wanita tersebut. Selain itu, imbangan simetri juga boleh dilihat pada setiao titisan air mata. Pergerakan titisan air mata telah menimbulkan kesan kesatuan pada karya iaitu selesa apabila dipandang. Selain itu, imej bukit-bukau yang ditonjolkan oleh pengkarya telah menarik minat saya untuk membuat apresiasi dan kritikan mengenainya. Pada pandangan saya, imej bukit-bukau melambangkan perjalanan dan ranjau hidup yang penuh dengan dugaan dan cabaran yang pernah dilalui oleh wanita ini. Setiap lekukan bukit tersebut membawa makna yang tersirat dan tersurat. Warna hitam yang terdapat pada bukit tersebut melambangkan bahawa wanita ini tidak melalui kehidupannya dengan ceria dan gembira akan tetapi sebaliknya. Unsur seni yang terdapat pada imej bukit-bukau tersebut ialah garisan yang beralun. Warna yang digunakan ialah warna hitam yang menunjukkan kemurungan, kegelapan dan kesedihan. Akhir sekali, pada saya imej awan yang berarak mendung yang terdapat pada karya Sorrow ini melambangkan kepada emosi pengkarya yang ingin menonjolkan suasana sedih. Awan yang sepatutnya menceriakan hari-hari wanita tersebut telah berubah menjadi suatu beban yang amat berat untuk ditanggung oleh wanita tersebut. Warna jingga yang terdapat pada kaki langit pula melambangkan terdapat suatu cahaya atau sinar baru yang bakal datang untuk menghiasi kehidupan wanita itu agar kesedihan yang ditanggung olehnya berkurang dan hilang. Pengkarya menggunakan ruang hadapan, tengah dan belakang dalam menghasilkan karya ini. Seterusnya, saya ingin memberi sedikit kritikan terhadap karya ini agar ianya dapat diperbaiki supaya menjadi karya yang lebih baik. Pengkarya harus menambah titisan air mata pada mata wanita tersebut supaya ianya kelihatan bergenang di tepi kelopak mata bagi menampakkan wanita itu benar-benar di dalam kesedihan. Kesimpulannya, karya yang dihasilkan ini telah berjaya menepati tema Sorrow yang

diketengahkan oleh pengkarya. Asas seni reka juga terdapat dalam karya ini di samping menyampaikan mesej yang tersirat.