Anda di halaman 1dari 11

PORTAL CAKNA KAJIANTM SEBAGAI SUMBER RUJUKAN PROJEK PENYELIDIKAN TINDAKAN PELAJAR PISMP

Tengku Zawawi bin Tengku Zainal, PhD (nama pelajar) Jabatan Matematik, IPG Kampus Dato Razali Ismail tzz@ipgmkdri.edu.my Mohd Asri bin Harun (nama pensyarah) Jabatan Pengajian Melayu, IPG Kampus Dato Razali Ismail asri@ipgmkdri.edu.my ABSTRAK Semua pelajar PISMP yang berada pada tahun akhir dikehendaki melaksanakan satu kajian tindakan sebagai projek akhir dan menjadi salah satu syarat penganugerahan ijazah. Dalam pro forma kursus telah disenaraikan beberapa bahan rujukan berkaitan dengan konsep dan prosedur pelaksanaan kajian tindakan. Semasa menyiapkan kertas cadangan, pelajar memerlukan beberapa contoh kajian lepas yang berkaitan dengan tajuk dan bidang pengkhususan masing-masing. Beberapa contoh kajian bercetak yang ada di perpustakaan agak terhad dan sukar untuk diperoleh. Membawa laporan kajian tersebut ke dalam bilik kuliah juga adalah tidak praktikal dan membebankan. Bagi mengatasi masalah ini, pengkaji telah membangunkan satu aplikasi yang diberi nama Portal Cakna Kajian. Portal Cakna Kajian yang boleh diakses secara online melalui alamat http://ojs.cakna.net mengandungi beberapa koleksi kertas penyelidikan termasuk laporan kajian tindakan pelajar PISMP. Portal Cakna Kajian mula diperkenal dan digunakan oleh pelajar PISMP Pengkhususan Matematik ambilan Januari 2010 di IPG Kampus Dato Razali Ismail. Pelajar kerap menggunakan portal ini, khususnya untuk memahami prosedur pelaksanaan kajian tindakan dan mengenal pasti bentuk intervensi dalam PdP matematik. Didapati penggunaan Portal Cakna Kajian telah membantu para pelajar, pensyarah dan penyelia, di samping telah memperkayakan sumber rujukan untuk kursus kajian tindakan. Kata kunci : Kajian tindakan, Portal Cakna Kajian, Intervensi, Inovasi

PENGENALAN Semua pelajar program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) di Institut Pendidikan Guru yang berada pada tahun akhir akan mengikuti satu kursus yang berkaitan dengan penyelidikan tindakan. Kursus ini membincangkan pengenalan terhadap pelbagai kaedah dalam penyelidikan pendidikan, pengenalan terhadap pelbagai reka bentuk penyelidikan tindakan, prosedur penyelidikan pendidikan, konsep dan model-model penyelidikan tindakan, proses penyelidikan tindakan, perancangan dan cadangan, kaedah-kaedah pengumpulan data, pertimbangan dalam pengumpulan data, analisis data, interprestasi data
1

penyelidikan tindakan, penulisan laporan dan artikel penyelidikan tindakan, dan cara-cara menyebarkan data penyelidikan tindakan. Laporan penyelidikan tindakan adalah merupakan projek akhir dan menjadi salah satu syarat penganugerahan ijazah (IPGKDRI, 2007). Bermula dengan penulisan proposal pada semester 7, para pelajar dikehendaki membentangkan laporan kajian masing-masing pada semester 8 dalam Seminar Penyelidikan Tindakan yang dikendalikan oleh Jabatan PIPK, IPG Kampus Dato Razali Ismail. Dalam proforma kursus telah disenaraikan beberapa bahan rujukan berkaitan dengan konsep dan prosedur pelaksanaan penyelidikan tindakan. Semasa menyiapkan kertas cadangan, pelajar memerlukan beberapa contoh kajian lepas yang berkaitan dengan tajuk dan bidang pengkhususan masing-masing. Beberapa contoh kajian bercetak yang ada di perpustakaan agak terhad dan sukar untuk diperoleh. Membawa laporan kajian tersebut ke dalam bilik kuliah juga adalah tidak praktikal dan membebankan. Bagi mengatasi masalah ini, pengkaji telah membangunkan satu aplikasi yang diberi nama Portal Cakna Kajian. Portal Cakna Kajian yang boleh diakses secara online melalui alamat http://ojs.cakna.net mengandungi beberapa koleksi kertas penyelidikan termasuk laporan penyelidikan tindakan pelajar PISMP. Terdapat empat skop utama penyelidikan tindakan, iaitu pembelajaran pelajar, pengajaran, kurikulum dan pengembangan staf (Wiersma & Jurs, 2009). Projek penyelidikan tindakan yang dilakukan oleh pelajar PISMP adalah berkait dengan masalah pembelajaran yang dihadapi oleh murid sekolah semasa proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Namun dalam kajian ini, pengkaji memberi fokus kepada penambahbaikan bidang kurikulum yang berkait dengan sumber rujukan kursus MTE3113 Penyelidikan Tindakan I.

Objektif Kajian Objektif utama kajian tindakan ini adalah untuk membantu pelajar PISMP Matematik Pendidikan Rendah Ambilan Januari 2011 di IPG Kampus Dato Razali Ismail melaksanakan projek penyelidikan tindakan dengan bersumberkan Portal Cakna Kajian.

Tinjauan Literatur Perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) yang semakin pesat telah memberi manfaat kepada setiap bidang kehidupan manusia. Dalam bidang pendidikan, penggunaan teknologi komputer dan rangkaian bukanlah sesuatu yang baharu, malah telah lama diperkenalkan di negara-negara maju seperti Amerika dan Eropah sejak awal tahun 60an lagi. Malaysia tidak ketinggalan dalam menikmati arus pembangunan yang berasaskan komputer ini. Penggunaan TMK bukan hanya mampu membantu tugas-tugas pengurusan dan pentadbiran, tetapi berpotensi sebagai alat untuk memperkayakan lagi persekitaran pengajaran dan pembelajaran bagi hampir semua mata pelajaran (Tengku Zawawi, 2007). Selain proses PdP, TMK boleh meningkatkan keberkesanan dalam proses penyebaran dan perkongsian sumber PdP. Teknologi Internet dan rangkaian telah memudahkan capaian pelajar terhadap sumber PdP secara online untuk memungkinkan pembelajaran mengikut kadar kendiri, akses kendiri dan terarah kendiri.
2

Komputer dan Internet telah lama dikenal pasti mempunyai peranan penting dalam bidang pentadbiran dan pengurusan pendidikan serta dapat membantu pelaksanaan proses pengajaran pembelajaran di dalam dan luar bilik darjah (Tengku Zawawi, 1999; Tengku Zawawi, 2004a). Pembelajaran secara elektronik (e-pembelajaran) atau pembelajaran berasaskan Web contohnya, kini semakin dikenal sebagai salah satu cara untuk mengatasi masalah pendidikan, baik di negara-negara maju mahu pun di negara yang sedang membangun (Pollard & Hillage, 2001; Waddill, 2004). Manakala pusat sumber atau perpustakaan telah dinaiktaraf kepada perpustakaan elektronik (e-library) atau perpustakaan digital (digital library). Perpustakaan elektronik adalah inovasi dan transformasi daripada versi konvensional perpustakaan tradisional kepada penggunaan keupayaan teknologi maklumat dan komunikasi sebagai platform operasi (Abd. Manaf & Nurwahida, 2010). Kewujudan perpustakaan digital telah memudahkan lagi pengurusan dan kebolehcapaian bahan sumber PdP. Bersandarkan kelebihan dari segi penjimatan kos, masa, ruang fizikal dan tenaga kerja, pusat sumber elektronik ini telah menjadi keperluan setiap organisasi, khususnya institusi pendidikan. Kualiti pembelajaran bergantung kepada kandungan kurikulum yang terkini, fleksibel dan memenuhi keperluan semasa pelajar. Koleksi buku, artikel dan jurnal dalam bentuk digital dan diurus secara online boleh membantu pelajar menguasai sesuatu tajuk dan kemahiran dengan lebih cekap dan berkesan.

METODOLOGI Kajian tindakan ini berkait dengan penambaikan kurikulum dan amalan pengajaran pengkaji sebagai pensyarah bagi kursus MTE3113 Penyelidikan Tindakan I. Responden yang terlibat adalah terdiri daripada 25 orang pelajar PISMP Matematik Pendidikan Rendah, ambilan Januari 2010 di IPG Kampus Dato Razali Ismail. Satu borang soal selidik yang ditadbirkan secara online digunakan untuk mengumpul data berkaitan dengan penggunaan Portal Cakna Kajian sebagai satu intervensi. Rajah 1 menunjukkan contoh item dalam borang soal selidik. Analisis data dilakukan secara deskriptif.

Rajah 1. Contoh item dalam borang soal selidik.


3

Spesifikasi Portal Cakna Kajian dan Prosedur Penggunaan Portal Cakna Kajian yang menggantikan nama Open Journal System dibangunkan menggunakan open source yang boleh dimuat turun daripada internet. Portal ini boleh diakses oleh semua pelajar dan pensyarah melalui alamat http://ojs.cakna.net. Pendaftaran adalah percuma dan pengguna boleh sama ada papar abstrak sahaja atau memuat turun teks penuh bagi setiap kertas kajian dalam format pdf. Selain daripada kertas penyelidikan tindakan pelajar PISMP, terdapat juga koleksi kertas penyelidikan pensyarah IPG dan universiti yang dibentangkan dalam seminar peringkat zon atau kebangsaan. Contohnya, Seminar Pendidikan Khas IPG 2012 dan Seminar Majlis Dekan IPTA. Bagi memudahkan pencarian artikel, pengguna boleh menggunakan ruangan search dengan menulis kata kunci tajuk atau nama pengkaji. Maklumat lengkap tentang sesuatu artikel boleh didapati dalam Indexing metadata. Para pengguna juga boleh menghantar artikel untuk dimuatkan dalam portal ini mengikut jenis koleksi yang disediakan. Artikel tersebut akan melalui proses review dan editing sebelum dipaparkan kepada umum. Rajah 2, 3, 4 dan 5 di bawah adalah print screen beberapa halaman contoh, seperti paparan muka hadapan, artikel semasa (current issue), paparan abstrak dan teks penuh kajian.

Rajah 2. Muka hadapan Portal Cakna Kajian

Rajah 3. Koleksi penyelidikan tindakan pelajar PISMP, IPG Kampus Dato Razali Ismail

Rajah 4. Contoh paparan abstrak kajian

Rajah 5. Contoh paparan teks penuh kajian dalam format pdf

Semasa kuliah pertama, pengkaji telah membuat penerangan berkaitan dengan spesifikasi portal dan cara menggunakannya. Semua pelajar mendaftarkan diri sebagai pengguna. Pelajar log in dan meneroka artikel-artikel yang ada, khususnya berkaitan dengan projek kajian tindakan bagi subjek matematik. Semua pelajar belajar beberapa kemahiran penting, seperti papar abstrak, muat turun artikel dan searching. Pelajar diminta memut turun beberapa artikel berkaitan yang akan digunakan dalam kelas pada hari-hari berikutnya. Contoh-contoh berkaitan dengan penulisan refleksi PdP, objektif, fokus kajian, tinjauan dan analisis awal masalah, perancangan dan instrumen akan dirujuk kepada contoh artikel yang dimuat turun oleh pelajar. Kekuatan dan kelemahan penulisan, seperti ejaan dan struktur bahasa turut dibincangkan.

DAPATAN KAJIAN
6

Analisis data yang diperoleh daripada soal selidik telah dianalisis secara deskriptif. Seramai 21 orang daripada 25 orang responden telah menjawab soal selidik secara online menggunakan kemudahan google form yang diposkan melalui ruangan facebook. Jadual 1 di bawah menunjukkan min bagi setiap item. Jadual 1 Min Bagi Setiap Item Item 1. Saya kerap melayari portal Open Journal System 2. Portal OJS membantu saya menjalankan kajian tindakan. 3. Portal OJS mudah dilayari (akses). 4. Paparan antaramuka (interface) portal OJS menarik. 5. Artikel dalam OJS mudah dimuat turun (download). 6. Portal ini perlu disebarkan kepada seluruh warga pendidik. Min 3.5 4.2 3.7 3.4 3.5 4.7

Dapatan menunjukkan bahawa tahap kekerapan responden melayari Portal Cakna Kajian adalah sederhana (M = 3.5). Kebanyakan mereka melayari portal ini di peringkat awal penulisan proposal bertujuan untuk melihat contoh-contoh kajian tindakan dan bentuk intervensi yang pernah diuji. Mereka memuat turun semua artikel yang berkaitan dan dikehendaki sahaja, seterusnya bekerja menyiapkan penulisan secara offline. Dari segi manfaat, majoriti responden mengakui bahawa Portal Cakna Kajian sangat membantu mereka dalam menjalankan penyelidikan tindakan (M = 4.2). Antara komen responden (R) : sangat berguna dalam mencari maklumat yang diperlukan dalam kajian tindakan (R11) Portal ini banyak membantu pendidik melakukan kajian. (R13) Usaha yg perlu diteruskan dan sgt membantu para guru dan bakal guru (R4) Portal Cakna Kajian juga dianggap sebagai sumber rujukan semasa melaksanakan kajian tindakan. Portal ini dapat ... membantu pelajar dalam menyediakan bahan rujukan dalam melaksanakan kajian tindakan (R7). Responden turut mengakui bahawa portal ini sangat bagus dan menjimatkan masa. sangat bagus dan menjimatkan masa. ia sangat membantu pelajar dalam penyediaan kerja kursus dan kajian penyelidikan. (R2) Lantaran kelebihan Portal Cakna Kajian dalam membantu pelajar melaksanakan penyelidikan tindakan, para responden sangat bersetuju agar portal ini disebarkan kepada seluruh warga pendidikan (M = 4.7). R4 memberi komen, Portal ini perlu dibuka pada
7

umum untuk sebarang perkongsian maklumat. Manakala R17 mencadangkan agar portal ini ... mudah diakses oleh semua warga pendidik dan guru pelatih. Malah mereka turut mencadangkan agar lebih banyak artikel dimuat naik, khususnya laporan kajian tindakan pelajar PISMP daripada IPG kampus lain. tambahkan jurnal daripada IPG lain, Universiti tempatan dan luar negara (R2) Pada pendapat saya, perlu diperbanyakkan lagi Kajian Tindakan yang lepas-lepas. (R3) Menambah lagi jurnal-jurnal mengenai pendidikan serta meluaskan lagi hebahan mengenai portal OJS ini. (R5) Dari segi kebolehcapaian, loading Portal Cakna Kajian agak perlahan menyebabkannya tidak begitu mudah untuk diakses (M = 3.7). Keadaan ini memberi kesan kepada proses memuat turun artikel oleh pengguna (M = 3.5). Ada responden mengadu, portal ini Sukar nak membuka (R4) dan tidak begitu mesra pengguna, sukar diakses (R17). Mereka mencadangkan supaya portal ini ... lebih mesra pengguna supaya semua guru pelatih atau guru-guru mudah untuk mengkases laman ini (R17). Terdapat beberapa sebab kenapa sesuatu laman web menjadi perlahan, antaranya kemampuan komputer pengguna, kelajuan internet dan bandwidth server. Ujian telah dibuat dengan menggunakan notebook berspesifikasi Intel Core 2, RAM 1 GB, Window 7 dan internet streamyx 1 MB. Didapati capaian adalah sangat baik dan proses muat turun satu artikel kurang daripada 20 saat, bergantung kepada saiz fail. Malah disokong oleh seorang responden yang menyebut bahawa Portal Cakna Kajian adalah Website yang mudah digunakan dan laju .... (R5). Dapatan kajian seterusnya menunjukkan bahawa antara muka (interface) portal kurang menarik (M = 3.4). Ada yang menganggap Portal Cakna Kajian adalah kurang menarik ... nampak seperti website dari tahun 2000 (R5). Mereka memberi beberapa cadangan untuk penambahbaikan antaranya; perlu lebih menarik lagi... pemilihan warna amat penting dalam menceriakan portal ini (R11). Perbaiki interface supaya menjadi lebih menarik (R5) disusun mengikut topik dan jurnal boleh difilter bagi memudahkan pencarian (R6) cantikkan paparan dengan grafik terkini mengikut selera orang muda (R10) Cadangan-cadangan tersebut telah disedari sejak dari awal pembinaan portal dan akan menjadi perhatian utama semasa proses penambahbaikan nanti. Secara keseluruhannya, penggunaan Portal Cakna Kajian didapati berkesan dalam membantu pelajar PISMP Pendidikan Matematik Rendah Ambilan Januari 2010 melaksanakan projek penyelidikan
8

tindakan. Portal ini boleh menjadi salah satu sumber rujukan utama kursus penyelidikan tindakan dan disenaraikan bersama dengan rujukan lain dalam proforma kursus dan rancangan mingguan (LAM-PT05-03).

PERBINCANGAN DAN KESIMPULAN Sesuai dengan perkembangan teknologi dan konsep dunia tanpa sempadan, resos pembelajaran dalam bentuk digital dan diurus secara online amat sesuai dengan minat dan gaya pembelajaran pelajar. Di samping itu, pelbagai kemudahan ICT sama ada infrastruktur dan infostruktur telah sedia ada dan boleh dimanfaatkan oleh setiap individu pada bila-bila masa dan di mana sahaja. Sama seperti e-pembelajaran, bahan kursus secara online yang disediakan dalam Portal Cakna Kajian telah terbukti dapat membantu para pelajar memahami dan menguasai prosedur pelaksanaan penyelidikan tindakan. Contoh-contoh projek lepas telah menyenaraikan pelbagai bentuk inovasi yang digunakan untuk menyelesaikan masalah pembelajaran murid dalam bilik darjah. Inovasi-inovasi tersebut boleh membantu pelajar PISMP menjana idea baru yang lebih inovatif dan kreatif. Terdapat beberapa kelebihan pada koleksi bahan sumber secara online yang sepatutnya menjadi perhatian semua pihak. Pertama, ia cepat serta menjimatkan kos, masa dan tenaga. Segalanya berada dihujung jari. Boleh diakses pada bila-bila masa dan di mana sahaja. Artikel dalam bentuk softcopy hanya perlu dimuat turun ke komputer peribadi dan tidak perlu dicetak. Begitu juga pencarian sesuatu artikel mengikut tajuk atau nama penulis menjadi sangat mudah dan cepat. Kedua, perkongsian maklumat antara penyelidik dengan penyelidik yang lain atau antara penyelidik dengan penyelia adalah mudah, cekap dan berkesan. Portal Cakna Kajian boleh menjadi satu saluran penyebaran dan perkongsian maklumat kajian secara pintar. Ketiga, setiap artikel yang dipilih telah tersedia bersama kemudahan How to cite item mengikut format APA atau MLA, sama seperti mana jurnal online yang terkenal, seperti ProQuest, ERIC, EBSCOhost dan seumpamanya. Pada peringkat awal pembinaan dan pelancaran sesebuah portal atau laman web sememangnya mengandungi beberapa kekurangan dan sukar untuk memenuhi cita rasa semua peringkat pengguna. Oleh sebab itu, pembangunan portal secara online perlu dilakukan secara berperingkat dan berterusan (Armatas & Rice, 2003). Penambahbaikan dari segi kualiti isi kandungan, paparan dan kebolehcapaian harus menjadi perhatian utama agar ia kekal relevan untuk semua pengguna pada setiap masa dan peringkat. Portal Cakna Kajian masih perlu dimurni dan dikemaskinikan, terutama dari segi koleksi kertas kajian dan artikel ilmiah. Usaha sedang dilakukan untuk mengumpul projek kajian tindakan pelajar PISMP dari semua IPG, guru-guru sekolah dan pensyarah universiti, Institut Pendidikan Guru, kolej komuniti dan politeknik dari seluruh Malaysia.

PENUTUP Diyakini bahawa Portal Cakna Kajian boleh menjadi alternatif dan jalan penyelesaian kepada masalah kekurangan sumber dan bahan rujukan bagi kursus penyelidikan tindakan.
9

Tambahan pula, semua IPG telah sedia terbina dengan kemudahan teknologi rangkaian tersendiri, makmal komputer dan komputer peribadi pengguna. Kemudahan seperti ini telah memenuhi keperluan asas untuk mengurus dan meneroka bahan sumber PdP secara online bagi semua kursus dan program pengajian.

RUJUKAN Abdul Manaf Bohari, Shukry Aboulgasem Amer & Nurwahida Fuad. (2010). Perpusatakaan elektronik sebagai sumber maklumat global: Satu kajian penerokaan. Kertas yang dibentangkan dalam Seminar Kebangsaan Teknologi Maklumat Di Perpustakaan, Pulau Pinang, 3 5 Ogos. Armatas, C., Holt, D., & Rice, M. (2003). Impacts of an online-supported, resource-based learning environment: Does one size fit all? Distance Education, 24(2), 141-158. Imel, S. (2002). E-Learning Trends and issues alert. (ERIC Document Reproduction Service No. ED469265). Institut Pendidikan Guru Kampus Dato Razali Ismail. (2007). Buku Panduan Pelajar Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan Dengan Kepujian (Pendidian Rendah). Pollard, E & Hillage, J. (2001). Exploring e-learning. IES Report 376. (ERIC DocumentReproduction Service No. ED452399). Tengku Zawawi Tengku Zainal. (2007). Merekabentuk kursus secara online bagi subjek TMK untuk program persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan. Kertas kerja Seminar Penyelidikan Pendidikan Kebangsaan, Kota Bharu, Julai. Tengku Zawawi Tengku Zainal. (2009). Kesesuaian program E-Praktis untuk peringkat UPSR. Kertas kerja Seminar Penyelidikan Pendidikan Kebangsaan, Kota Bharu, September. Tengku Zawawi Tengku Zainal. (2000). Pembelajaran secara elektronik. http://www.cakna.net/artikel/e-learning.htm Tengku Zawawi Tengku Zainal. (2004a). Penggunaan Internet dalam pendidikan matematik. Kertas kerja Persidangan Kebangsaan Pendidikan Matematik. Kota Bharu, 1214 September Tengku Zawawi Tengku Zainal. (2004b). Webagogi. Buletin Rakit, IX. Maktab Perguruan Kuala Terengganu. Waddill, D. D. (2004). Action e-learning: The impact of action learning on the effectiveness of a management-level web-based instruction course. Dissertation Abstracts International,65(03), (UMI No. 3126204).

10

Wiersma, W. & Jurs, S. G. (2009). Research methods in education an introduction. Boston: Pearson/Allyn and Bacon

11

Anda mungkin juga menyukai