Anda di halaman 1dari 10

PENGENALAN Marcapada ini, negara kita telah berkembang pesat sama ada dari segi ekonomi, sosial ataupun

politik dalam menongkah arus modenisasi dan globalisasi. Kini, nama Malaysia begitu tersohor di pentas dunia. Sebagai rakyat Malaysia, kita haruslah berbangga dengan kejayaan yang telah ditempa oleh rakyat Malaysia di peringkat dunia. Namun begitu, di sebalik kegemilangan ini, masyarakat Malaysia masih dihantui satu penyakit sosial yang sudah lama bersarang dalam kalangan masyarakat kita, iaitu masalah pembuangan bayi. Persoalannya, apakah faktor pencetus utama masalah ini kerana ada asap ada apinya? Mengapakah hal ini boleh berlaku? Isu Pembuangan bayi yang semakin hari semakin meruncing dilaporkan di dada akhbar dan paling menyayat hati terdapat bayi yang tidak berdosa bukan saja dibuang, malah dibakar. Menurut pandangan Anitayahya (2007), pengguguran dan pembuangan bayi membawa maksud penamatan proses kehamilan sebelum cukup bulan yang mengakibatkan kemusnahan janin. Pandangan yang diberikan oleh saudari Anitayahya ini membuktikan bahawa pembuangan bayi sebagai satu jenayah berat dan teruk. Selain itu, definisi dari saudari Anitayahya turut memaparkan kesan negatif kepada ibu sekiranya proses kelahiran dalam melahirkan anak tidak mengikut kaedah yang betul. Mengikut Kamus Dewan Edisi 4, halaman 208, perkataan buang bermaksud

mencampakkan, melemparkan, menghapuskan, dan menghilangkan. Perkataan bayi bermaksud anak kecil yang baru dilahirkan oleh si ibu. Manakala, makna pembuangan bayi pula adalah perbuatan mencampakkan atau menghapuskan anak kecil yang tidak berdosa ke merata-rata tempat tanpa ada sifat berperikemanusiaan. Definisi yang ditakrifkan dalam kamus Dewan ini menjurus ke arah menerangkan makna pembuangan bayi yang lebih jelas. Maksud yang diberikan ini mampu memberi lebih kefahaman kepada pembaca untuk mengetahui lebih mendalam tentang masalah pembuangan bayi ini.

FAKTOR-FAKTOR PEMBUANGAN BAYI Pembuangan bayi melibatkan banyak faktor. Kita tidak boleh membuat tuduhan atau menuding jari kepada satu-satu pihak kerana menyebabkan kehamilan luar nikah yang bertambah, sebaliknya melihat punca tersebut daripada pelbagai aspek.

Kurang Didikan dan Kefahaman Agama

Kemelut ini berlaku lantaran kurangnya didikan agama dalam kalangan remaja kita. Kekurangan ini mungkin akibat kekurangan didikan dan perhatian ibu bapa serta impak kemodenan yang melanda negara kita. Remaja tidak mempunyai pegangan agama yang tebal dan mudah dipengaruhi oleh desakan seksual mereka itu. Tanpa didikan agama yang teguh, mereka tidak dapat membezakan sesuatu perbuatan mereka itu betul atau salah dan tidak dapat membezakan antara hak dengan batil. Hal ini dapat dilihat apabila remaja perempuan mudah terlibat dalam kancah perzinaan sedangkan berzina itu haram di sisi agama. Kesannya, banyak anak luar nikah yang lahir dan akhirnya bayi yang tidak berdosa itu dibuang demi menutup malu perbuatan remaja yang goyah imannya. Jadi, didikan agama yang kurang mantap menyebabkan masalah ini kian meruncinng.

Pengaruh Rakan Sebaya

Pengaruh rakan sebaya juga menyebabkan masalah kes pembuangan bayi berlaku. Hal ini dikatakan demikian kerana pada usia muda, remaja amat mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya mereka. Hal ini bertambah teruk apabila mereka hergaul dengan rakan sebaya yang negatif. Rakan-rakan yang negatif ini akan mengajak remaja untuk melakukan perkara di luar batasan agama dan norma maysarakat, tamsilnya pergi ke tempat hiburan seperti disko, menghisap dadah dan melakukan pergaulan bebas. Remaja yang terjerumus dalam kancahkancah negatif tersebut akan melakukan seks rambang dan akhirnya menemui jalan buntu apabila mendapati bahawa dirinya mengandung. Dalam keadaan yang terdesak, mereka terpaksa membuangkan bayi mereka.

Sikap Masyarakat

Sikap masyarakat yang terlalu suka menghukum turut menjadi penyebab pembuangan bayi ini berlaku. Kita suka menganggap bahawa wanita yang mengandung tanpa suami ini sebagai melakukan kesalahan tanpa menimbang keadaan yang menjurus kemelut itu berlaku. Mungkin ada antara mereka yang mengandung disebabkan tindakan manusia yang durjana sehingga sanggup merogol gadis yang tidak berdosa. Dalam hal ini, wajarkah remaja itu dipersalahkan oleh perbuatan manusia yang tidak berhati perut itu? Sememangnya kita harus bersimpati terhadap mereka tetapi keadaan menjadi lebih rumit apabila terdapat segelintir daripada ahli masyarakat kita yang lebih suka menunding jari kepada sesetengah remaja tanpa meneliti punca yang menjadi permasalahan ini. Malangnya, masih terdapat pemikiran masyarakat yang kolot lalu menyebabkan remaja tidak mempunyai tempat untuk mengadu masalah mereka sehingga sanggup membiarkan anak

mereka berada di tempat yang tidak sepatutnya daripada dipandang jijik oleh masyarakat. Tegasnya, sikap masyarakat seumpama ini merupakan pemangkin gejala ini.

Sikap Ingin Tahu

Faktor yang terakhir adalah sikap remaja yang ingin mencari sesuatu yang baru atau sikap ingin tahu. Sikap ingin tahu tentang sesuatu memang wujud dalam diri remaja. Biasanya, mereka gemar mencuba sesuatu yang baru. Setiap perkara yang dilarang, itulah yang ingin diterokai oleh mereka. Remaja berfikiran bahawa mereka menjadi lebih matang sekiranya mencuba benda yang jarang dilakukan oleh orang lain, lebih-lebih lagi seks rambang. Mereka juga beranggapan bahawa diwaktu usia remajalah mereka patut berseronok dan bergembira sehingga melakukan perkara seperti seks bebas ini. Sikap remaja yang ingin mencuba sesuatu ini sebenarnya tidak mengetahui baik dan buruknya serta akibat yang bakal diterima mereka. Sebagi remaja yang matang, mereka mestilah berfikiran rasional dan bijak dalam menilai sesuatu perkara supaya tidak menyesal dikemudian hari. Bak kata pepatah, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya

Arus Pemodenan

Arus kemodenan terutama melalui media massa telah menyemarakkan masalah ini. Program dari Barat yang mengaitkan kebebasan dalam pergaulan telah menyebabkan remaja mudah terpengaruh. Kehidupan moden sering dikaitkan dengan hubungan seksual yang bebas. Remaja yang baru berumur setahun jagung dan berdarah setampuk pinang sering dikuasai oleh perasaan ingin mencuba pasti akan meniru aksi-aksi atau adeganadegan panas yang terdapat dalam filem Barat bagi memuaskan nafsu mereka. Mereka tidak lagi berasa takut ketika melakukan perkara yang terkutuk itu asalkan nafsu berahi mereka dapat dipenuhi. Lantaran itu, masalah ini terus menerus menjadi sesuatu yang lumrah dan menjadi darah daging dalam hidup mereka. Sebagai akibatnya, lahirlah anak luar nikah dan masalah pembuangan bayi semakin sukar dikawal lantaran ingin menutup rasa aib atas perbuatan ibu bapa yang masih remaja itu.

Keruntuhan Institusi Kekeluargaan

Sudah menjadi kebiasaan kini sesebuah keluarga itu tidak mempunyai ayah atau ibu untuk mendidik. Ketiadaan ini menyebabkan tanggungjawab mendidik anak tidak menjadi satu keperluan yang harus dipenuhi dengan baik. Menurut kajian Jabatan Kebajikan Masyarakat

bahawa 50 peratus masalah sosial remaja berpunca daripada keluarga yang porak peranda. Ibu atau bapa yang tunggal sering sibuk mencari tuntutan nafkah untuk menyara kehidupan keluarganya. Lantaran itu, mereka telah mengabaikan tanggungjawab hakiki mereka dalam mendidik dan memantau setiap perlakuan anak mereka. Pengabaian ini akhirnya mengundang padah apabila anak mereka terlibat dalam perbuatan yang sumbang. Sesungguhnya, keadaan inilah yang menyebabkan masalah pembuangan bayi menjadi-jadi.

KESAN MASALAH PEMBUANGAN BAYI Bayi merupakan anugerah Tuhan yang paling berharga kepada pasangan suami isteri tetapi bayi juga menjadi bebanan kepada pasangan-pasangan kekasih yang telah terlanjur dan tidak bersedia memikul tanggungjawab di usia yang masih mentah iaitu usia remaja. Akibat daripada tiada perikemanusiaan, bayi telah menjadi mangsa dan kesannya mereka hidup tanpa mengenal ibu bapa kandung.

Kesan kepada Bayi

Mereka juga mungkin terpaksa memikul gelaran anak luar nikah walaupun mereka tidak berdosa. Apa yang lebih teruk, bayi-bayi ini mati akibat daripada perbuatan yang dilakukan oleh manusia yang tidak mempunyai hati nurani kerana bayi-bayi ini dibuang di tempat yang tidak sepatutnya diduduki oleh bayi yang masih lemah dan kecil, misalnya dibuang di tandas, rumah kosong, sungai, longkang, tong sampah atau rumah ibadat. Selain itu,tempat-tempat tumpuan awam seperti gerai makan, stesen kereta api dan pintu pagar klinik kesihatan turut menjadi pilihan.

Kesan kepada Ibu Bayi

Kesan yang kedua pula adalah kesan kepada ibu bayi berkenaan atau lebih tepat lagi pesalah. Hal ini kerana, sewaktu pesalah melahirkan anak, mereka tidak berada dalam keadaan dan situasi yang selesa dan mengizinkan. Tanpa persediaan yang rapi, pesalah ini pastinya mengalami jangkitan kuman yang serius, kecederaan semasa melahirkan anak, dan juga kehilangan darah yang banyak. Majoritinya, mereka melahirkan anak dengan menggunakan kudrat sendiri tanpa pertolongan daripada pihak hospital dan pihak lain. Selain itu, pesalah juga sudah semestinya mengalami pelbagai masalah dalam diri seperti kemurungan, hilang keyakinan diri, dan juga masalah emosi. Hal ini akibat daripada

perbuatan mereka sendiri yang sememangnya salah dari segi undang-undang, agama, dan negara.

Kesan kepada Institusi Kekeluargaan

Akibat daripada gejala pembuangan bayi,keruntuhan institusi kekeluargaan berlaku. Apabila institusi keluarga runtuh, keharmonian dalam kekeluargaan juga terkena tempiasnya. Mereka menganggap anak menconteng arang ke muka mereka dan berasa malu mempunyai anak yang sedemikian rupa. Dalam hal ini akan menyebabkan ibu bapa menunding jari , menyalahkan antara satu sama lain kerana tidak pandai mendidik dan memelihara anak-anak hingga anak tersebut sanggup melakukan perbuatan terkutuk itu. Sebagai ibu bapa,janganlah terus menyalahkan anak-anak mereka tetapi memberi sokongan dan panduan untuk mereka meneruskan hidup.

Kesan kepada Masyarakat

Kes pembuangan bayi ini juga mampu memberi impak kepada masyarakat sekeliling. Antara kesannya ialah menjejaskan imej masyarakat sekeliling. Sebagai rakyat yang hidup dalam komuniti yang sama, mereka pasti berasa kecewa dengan apa yang berlaku. Dalam hal ini, remaja atau pelaku sudah semestinya dipersalahkan kerana mereka yang melakukan gejala yang tidak bermoral ini. Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Peribahasa ini amat bertepatan dengan situasi ini.

Kesan kepada Negara

Pembuangan bayi ini juga memberi impak yang sangat besar kepada negara. Secara ironinya, pembangunan sesebuah negara terletak pada akhlak pemuda pemudi generasi sekarang. Kesan yang pastinya berlaku ialah kerancakan pembangunan negara terbantut serta ekonomi negara sukar dikembangkan disebabkan oleh gejaka sosial ini. Selain itu, perbelanjaan kerajaan turut meningkat untuk menampung bayi yang ditempatkan di rumah kebajikan masyarakat. Perkara seperti ini pastinya membebankan pihak kerajaan dan pihak lain dari segi kewangan .

LANGKAH-LANGKAH MENGATASI

Sebelum kudis menjadi tokak, kemelut remaja ini haruslah diatasi segera. Kita tidak seharusnya mendopang dagu tetapi pelbagai pendekatan yang proaktif perlulah diambil demi menangani masalah ini kerana di mana ada kemahuan di situ ada jalan.

Pendidikan Keibubapaan

Satu daripada langkah yang perlu dilaksanakan ialah semua lapisan masyarakat hendaklah diberi pendidikan keibubapaan melalui pelbagai program. Pendidikan ini bertujuan memberikan buah fikiran mengenai perkahwinan yang sah kepada rakyat. Melalui cara ini, orang ramai akan menjadi lebih berhati-hati supaya tidak melakukan perbuatan sumbang. Perkara ini harus ditekankan kepada seluruh rakyat Malaysia terutamanya para remaja. Sebagai contohnya, program pendidikan keibubapaan perlu diadakan untuk mendidik remaja tentang perkara yang perlu diamalkan dalam kehidupan berkeluarga. Tegasnya, orang ramai perlu diberi kesedaran tentang kesan buruk aktiviti pembuangan bayi.

Kempen Kesedaran

Pihak kerajaan mahupun Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hendaklah berganding bahu mengadakan ceramah atau kempen pada peringkat sekolah mahupun peringkat tamantaman perumahan. Melalui program tersebut, masyarakat dapat diberi kesedaran tentang keburukan pergaulan bebas. Seperti yang kita ketahui, kes pembuangan bayi berpunca daripada pergaulan bebas yang dianggap sebagai suatu perkara biasa bagi warga urban kini. Kita seharusnya mengelakkan diri daripada unsur negatif tersebut supaya tidak menjadi seperti sudah terhantuk baru nak tengadah. Sebagai contohnya, kempen kesedaran ini perlu dilakukan secara besar-besaran melalui iklan, risalah dan lain-lain. Kempen murni ini haruslah dilakukan secara berketiak ular dan bukannya hangat-hangat tahi ayam. Sesungguhnya, usaha dinamik dan secara konsisten ini diperlukan untuk membimbing rakyat supaya sentiasa berada di landasan yang betul dalam kehidupan.

Perkhidmatan Kaunseling yang seterusnya ialah pihak kebajikan masyarakat perlu menyediakan

Langkah

perkhidmatan kaunseling. Khidmat nasihat hendaklah diberikan kepada mangsa rogol dan individu yang mengandung tanpa nikah. Hal ini disebabkan mangsa mengalami ketidakstabilan emosi dan mungkin akan cuba mencederakan diri sendiri. Sebagai contohnya, mangsa rogol sanggup membunuh diri kerana tidak dapat menerima kenyataan

sebenar. Penubuhan Rumah Sri Puteri oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat dapat memberikan perlindungan dan khidmat nasihat kepada mereka yang telah terlanjur ini. Oleh hal yang demikian, pusat kaunseling perlu diperbanyak di seluruh negara untuk membantu mangsa-mangsa tersebut daripada terus melakukan perkara yang terkutuk.

Mengetatkan Hukuman

Di samping itu, pesalah yang disabitkan kesalahan berzina atau kes rogol perlu dikenakan hukuman yang berat. Perogol atau orang yang mencabul kehormatan wanita merupakan manusia yang tidak berperikemanusiaan. Mereka perlu dijatuhi hukuman yang berat sebagai peringatan kepada orang lain. Hal ini menyebabkan wanita-wanita ini kehilangan harga diri dan terpaksa menanggung malu sepanjang hayatnya. Perkara tersebut juga akan menconteng arang ke muka ahli keluarga mangsa. Oleh sebab itu, undang-undang negara perlu dikuatkuasakan supaya perogol atau mereka yang berzina berasa serik atau takut untuk melakukan perkara tersebut yang salah di sisi agama. Sebagai contohnya, hukuman bagi kesalahan berzina dan merogol adalah seperti penjara dan hukuman sebat. Hal ini dapat mengurangkan jenayah pembuangan bayi yang tidak berdosa itu di negara kita.

Peranan Ibu Bapa

. pendidikan agama dan moral harus dititikberatkan oleh ibu bapa untuk menyedarkan anakanak tentang dosa dan balasan yang akan diterima. Ibu bapa hendaklah menitikberatkan pendidikan agama dan moral kepada anak-anak dan proses ini hendaklah diteruskan walaupun seseorang itu telah meningkat umur dewasa. Pendidikan agama dan moral amatlah penting dan perlulah disemaikan dalam sanubari rakyat. Albert Einstein pernah berkata bahawa agama tanpa ilmu adalah buta dan ilmu tanpa agama adalah lumpuh. Hal ini menunjukkan peri pentingnya didikan agama dan moral dalam kehidupan kita supaya kehidupan tidak menjadi terumbang-ambing seperti kapal tanpa nakhoda. Sebagai contohnya, anak-anak perlu diberi didikan agama sejak kecil kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya dengan menyuruh anak-anak tidak mengabaikan solat kerana bersolat itu dapat mencegah daripada melakukan kemungkaran. Cara ini adalah efektif untuk mewujudkan masyarakat yang bebas daripada kes pembuangan bayi.

Pencegahan sebelum berlaku

Pencegahan merupakan strategi jangka panjang yang bertujuan mencegah seseorang daripada terlibat dengan gejala yang tidak sihat seperti pergaulan bebas lelaki dan perempuan, dan sebagainya. Walaupun gejala ini bermula dengan masalah individu tetapi jika tidak dibendung ianya akan memberi kesan yang mendalam kepada keseluruhan masyarakat sekitarnya. Masalah pembuangan bayi boleh diklasifikasikan sebagai salah satu jenayah yang paling kritikal di Malaysia. Sehubungan dengan itu, semua pihak mestilah bekerjasama dalam mewujudkan kesedaran tentang kesan dan bahaya pembuangan bayi. Di samping itu, mereka juga perlu merangsang penglibatan seluruh masyarakat setempat dalam usaha memerangi masalah pembuangan bayi yang semakin meruncing ini. Setiap individu, keluarga dan masyarakat di satu-satu kawasan perlu bekerjasama dan mempunyai peranan dalam pencegahan gejala ini dan memastikan kawasan mereka bersih daripada gejala sosial ini. Pemimpin-pemimpin masyarakat setempat juga perlu tampil ke hadapan bagi membantu kerajaan dalam melaksanakan program-program seperti pencegahan pergaulan bebas di kawasan mereka. Strategi jangka panjang ini juga untuk mewujudkan kesedaran kepada semua lapisan masyarakat bahawa pergaulan bebas membawa mudarat kepada diri, keluarga dan masyarakat.

STATISTIK PEMBUANGAN BAYI Statistik pembungan bayi juga menunjukkan peningkatan yang ketara dari tahun ke tahun dan bukanlah sesuatu yang boleh di banggakan bagi Malaysia sebagai sebuah negara islam. Statistik dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendapati purata tiga bayi dibuang setiap dua minggu di negara ini sepanjang 2007 hingga April lalu, membabitkan 312 kes. Pengarah Institut Sosial Malaysia (ISM), Mohamed Fadzil Che Din, berkata perangkaan itu mungkin lebih tinggi kerana ia yang disenaraikan itu hanyalah kes yang dilaporkan kepada JKM. Kemudian, Statistik kes pembuangan bayi dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula menunjukkan 396 kes dicatatkan dari 2005 hingga tahun lalu. Ia menunjukkan trend peningkatan walaupun ada penurunan pada 2007. Sebanyak 67 kes dilaporkan pada 2005, 83 kes (2006) yang menurun kepada 65 kes pada 2007, 102 kes (2008) dan 79 kes (2009). Sebilangan besar individu yang terbabit dalam kes pembuangan bayi berusia antara 18 hingga 25 tahun, 20 kes membabitkan individu berusia bawah 18 tahun, 33 dilakukan individu 25 tahun ke atas, manakala 403 individu lagi gagal dikesan peringkat umur mereka. Daripada jumlah 396 kes itu, 137 kes membabitkan pembuangan bayi lelaki, 102 bayi perempuan dan selebihnya tidak diketahui jantina.

Berdasarkan statistik Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi 2000 hingga 2008 pula, 257,000 kanak-kanak didaftarkan tidak mempunyai nama bapa. Lebih menyedihkan bagi tempoh 1999 hingga 2003 saja, 44 peratus anak yang tidak mempunyai nama bapa adalah anak orang Islam iaitu 30,978 daripada 70,430 kanak-kanak yang didaftarkan. Dalam perkembangan berkaitan Ketua Jabatan Obstetrik dan Ginekologi dan Pakar Runding Kanan HKL, Datuk Dr J Ravindran, berkata kes wanita melahirkan anak luar nikah di hospital terbabit mencatatkan peningkatan pada tahun ini berbanding tahun lalu. Tahun lalu 392 wanita melahirkan anak luar nikah. Daripada itu, 62 adalah berumur bawah 18 tahun. Pada tahun ini terdapat penambahan kes iaitu sehingga bulan Julai, terdapat 301 kes termasuk 34 kes bawah umur 18 tahun,.

KESIMPULAN Kesimpulannya, setiap warga masyarakat tanpa mengira kaum haruslah bersatu padu menggembleng tenaga mencegah dan membanteras supaya penyakit sosial ini tidak menular dengan lebih serius. Pihak atasan seperti badan-badan kerajaan dan kerajaan juga perlu lebih peka dan menganjurkan pelbagai ceramah atau motivasi kepada remaja supaya mereka mendapat pelbagai informasi berkenaan gejala ini dan sedar akan kesan daripada perbuatan tidak bermoral itu. Dengan usaha-usaha yang dilakukan secara bersama dan menyeluruh ini, sedikit sebanyak dapat mengurangkan masalah ini daripada terus menjadi satu penyakit berbahaya di negara Malaysia ini. Tiada siapa yang patut menunding jari kepada pihak yang lain, kerana setiap daripada kita adalah merupakan ahli masyarakat. Menurut Hall (1904),usia remaja adalah masa yang penuh dengan kekeliruan ,kesedihan dan konflik. Oleh itu, adalah penting bagi orang dewasa khususnya ibu bapa, pendidik dan ahli masyarakat untuk mengikuti perkembangan remaja, mereka patut membantu golongan remaja agar mengelakkan diri daripada terjebak dengan kegiatan negatif. Sekiranya mengabaikan dan tidak peduli kepada perilaku dan akhlak remaja, maka dengan sendirinya akan lahirlah remaja bermasalah. Sebagai contohnya, Rasulullah SAW telah menunjukkan bahawa golongan yang menjadi fokus dan sasaran utama sejarah pembinaan akhlak dan budi pekerti adalah golongan remaja atau muda-mudi. Kita harus sedar dan yakin bahawa cara tindakan menyelesaikan masalah mengikut pendekatan agama lebih berkesan dan berterusan memberikan ketenangan kepada golongan remaja berbanding dengan cara tindakan umum atau tidak menggunakan pendekatan agama. Pada masa yang sama, pendekatan kaunseling dan nasihat juga perlu bergerak seiring supaya nilai-nilai keagamaan sentiasa subur di sanubari anak-anak remaja. Hakikatnya, segenap lapisan masyarakat harus bersatu-padu dan mengaplikasikan pelbagai

pendekatan dalam menyelesaikan masalah gejala sosial ini. Setiap individu termasuk ibu bapa perlu peka dan memainkan peranan khususnya dalam memastikan anak-anak tidak terjebak dengan gejala sosial yang merosakkan masa depan mereka. Cabaran menangani gejala sosial terutama yang melibatkan kes pembuangan bayi semestinya diberi perhatian yang lebih besar dan memandang serius masalah ini. Justeru, sesuatu perlu dilakukan sebelum ia menjadi penyakit sosial yang sukar untuk diubati, secara tidak langsung akan mencemarkan nama negara di mata dunia.