Anda di halaman 1dari 17

Artikel 2: Isu Guru Menjalankan Kerjaya Sambilan

1.0 PENGENALAN ISU Profesion perguruan adalah suatu profesion yang mulia, dihormati dan disanjungi. Guru merupakan seorang yang akan dikenang jasanya oleh anak didiknya hingga ke akhirnya. Ia adalah suatu profesion yang mempunyai etikanya tersendiri di mana guru dianggap segala-galanya. Guru ibarat pakar rujuk dalam setiap bidang dan menjadi orang yang dihormati serta disegani dalam masyarakat. Walaubagaimanapun, profesion perguruan abad ini tidak terlepas daripada isu-isu hangat yang diperkatakan seperti isu penyalahgunaan dadah, salah laku seks, rasuah, salah guna kuasa, mendera, sakit mental dan sebagainya. Isu-isu yang diperkatakan menjadi semakin bertambah hari demi hari yang menampakkan keburukan serta kepincangan yang mencalar profesion perguruan itu sendiri walaupun ianya berpunca dari individu tertentu yang bergelar guru. Isu kebiasaannya dikaitkan dengan sesuatu perkara yang diperkatakan dan boleh menjadi sesuatu yang besar. Tidak banyak definisi isu yang dapat dinyatakan namun menurut satu laman web (artika.com), isu adalah suatu masalah yang dikedepankan atau diperkatakan untuk ditanggapi oleh orang ramai. Ia juga merupakan suatu berita yang tidak jelas asal usulnya dan tidak terjamin kebenarannya. Dalam era globalisasi masa kini, seseorang yang ingin berjaya dalam apa jua bidang haruslah mempunyai ciri-ciri berdisiplin, bertanggungjawab, amanah, ikhlas dan nilai-nilai murni. Nilai-nilai murni ini akan membentuk etika seseorang individu tersebut. Etika ditakrifkan sebagai satu cabang ilmu pengetahuan yang berurusan dengan apa yang baik dan tidak baik dan dengan kewajiban dan tanggungjawab moral (Harold Koontz & Heinz Weihrich Pengurusan terjemahan Mohd Salmi Mohd Sohod & Siti Nadzrah Sheikh Omar DBP). Istilah etika atau ethic berpunca daripada perkatan Greek ethos yang bermaksud perwatakan atau keperibadian. Mengikut pengertian Kamus Dewan (1995), etika bermaksud satu sistem dasar akhlak, adat atau tingkah laku atau kesusilaan. Pengertian dari sudut Islam pula menyatakan etika adalah akhlak. Manakala dalam konteks pekerjaan merujuk kepada tingkah laku baik sewaktu menjalankan setiap amanah yang dituntut oleh syarak. Ia juga merupakan suatu sistem yang berkaitan dengan dasar akhlak atau tingkah laku bagi sesuatu kumpulan atau organisasi. Sistem dasar meliputi aspekaspek moral yang baik atau buruk serta betul atau salah sebagai panduan kepada ahliahli. Dalam kehidupan manusia memerlukan satu sistem atau panduan untuk

menentukan mereka bertingkah laku. Perkara ini mendasari perkembangan etika dalam masyarakat tersebut. Menurut sarjana barat, J.L. Mackie beliau mentakrifkan etika sebagai disiplin yang dapat menerangkan nilai baik dan buruk sesuatu perbuatan serta menyediakan garis-garis perbezaan antara kebaikan dan keburukan seseorag. Menurut A.R. Licey dan W.L. Reese, etika dikatakan sebagai kegiatan aktiviti praktikal yang melibatkan tingkah laku, adat dan cara hidup serta aspek niat dan kecenderungan seseorang atau masyarakat dalam melakukan sesuatu aktiviti. Dari sudut pandangan ahli falsafah, etika merujuk kepada pengajian moral yang bertumpu kepada nilai dan kelakuan manusia. Etika juga dikatakan menggariskan semua panduan yang bertujuan meningkatkan tahap kualiti, produktiviti dan disiplin dalam perkhidmatan dengan memberi penekanan terhadap semua aspek yang berkaitan dengan peraturan dan peradaban, peranan nilai serta tingkah laku profesion dalam masyarakat. Skop Etika Profesional mencakupi sebahagian besar kehidupan ahli profesional kecuali hal-hal yang benar-benar peribadi. Dalam Islam, etika ialah akhlak yang diamalkan oleh manusia yang bertakwa dalam keseluruhan hidupnya. Oleh itu berdasarkan pengertian di atas, jelas bahawa etika berkaitan dengan pembuatan keputusan bagi semua jenis tindakan di mana tindakan-tindakan tersebut membawa seseorang untuk berinteraksi dengan orang lain secara berprotokol, sempurna, berhemah dan berkesan. Di samping itu juga, etika melihat secara khusus mengenai tingkah laku manusia yang dikira patut atau tidak patut dilakukan selaras dengan norma-norma dan nilai-nilai yang diterima oleh semua masyarakat pelbagai kaum di Malaysia. Guru perlu mempunyai sahsiah yang tinggi dan memberi komitmen yang tinggi terhadap tugas sebagai pendidik yang baik. Media massa banyak melaporkan pelbagai kes dan isu seperti guru memukul murid, guru menerima rasuah, guru pecah amanah, cikgu cabul murid dan sebagainya yang menarik perhatian umum serta menguji kredibiliti profesion perguruan. Namun kes-kes seperti ini semakin meningkat setahun demi setahun. Berdasarkan pelbagai isu yang berkaitan dengan guru dan keguruan ini, maka saya telah memilih satu artikel yang bertajuk Guru menjalankan kegiatan penyalahgunaan dadah sebagai kerja sambilan. Saya berpendapat bahawa is u ini melibatkan guru dikategorikan sebagai melanggar etika profesion perguruan. Fenomena masyarakat yang bekerja sambilan merupakan perkara asas yang jarang diperkatakan. Namun ia bukan sesuatu yang asing dalam kalangan masyarakat termasuk di kalangan guru pada hari ini. Guru-guru di Malaysia umumnya tidak diketahui secara jelas sejauhmana seriusnya mereka terlibat dengan aktiviti pekerjaan sampingan. Bahkan, untuk mengetahui statistik sebenar golongan yang bekerja sampingan, ia tidak mudah untuk diperolehi disebabkan kebanyakan mereka yang terlibat tidak bersedia untuk membuat pengakuan atas alasan-alasan yang tersendiri. Walaubagaimanapun, fenomena ini dapat dilihat di kebanyakan sekolah

berdasarkan kepada pemerhatian yang dilakukan oleh guru-guru sendiri di sekolah masing-masing. Kerja sampingan merupakan istilah yang membawa maksud seseorang yang melakukan sesuatu pekerjaan yang dapat menambahkan pendapatannya walaupun memiliki kerjaya utama. Guru merupakan golongan profesional yang diberi peranan penting sebagai agen perubahan dalam masyarakat. Menurut Noriati et. al. (2010), guru yang komited diperlukan untuk menyediakan program pengajaran dan pembelajaran yang berkualiti dan berpegang teguh dengan strategi-strategi akauntabiliti yang berkesan. Guru sebagai kakitangan sekolah pula harus memberikan sepenuh komitmen kepada pihak pentadbiran bagi melancarkan urusan berkaitan pengurusan sekolah selain memberikan sokongan padu dalam merealisasikan visi dan misi sekolah yang telah digariskan (Abdullah Sani et. al. 2007). Komitmen guru menjadi salah satu faktor yang penting dalam menentukan kejayaan perubahan sesuatu dasar dan agen pendidikan yang dirancang. Malah ia bukan sekadar ketika berada dalam waktu bertugas di sekolah, malah pada bila-bila masa. Selain menjalankan tugas pengajaran dan pembelajaran, bidang tugas guru turut merangkumi pelbagai perkara yang berkaitan dengan bidang pengurusan akademik termasuk penglibatan dalam pengurusan kokurikulum, pengurusan kebajikan murid, terlibat dalam mesyuarat serta menghadiri kursus dan sebagainya (Burnham, 2011). Keadaan itu telah memperlihatkan kepelbagaian tugas seorang guru dalam dunia pendidikan yang sentiasa wujud perubahan seiring dengan keperluan semasa (Mohamad Najib, 2004). Walaubagaimanapun, sebagai seorang manusia guru tetap memerlukan masa yang perlu diluangkan untuk menguruskan hal-ehwal peribadi sama seperti individu lain (Lambert, 2003). Ini merupakan hak guru melakukan semua perkara untuk kepentingan dirinya di luar waktu bertugasnya di sekolah. Selain melakukan tugas peribadi, mengurus keluarga atau terlibat dengan sebarang aktiviti komuniti setempat, terdapat dalam kalangan guru yang mengambil inisiatif melakukan sesuatu yang dapat menambahkan pendapatannya dengan melakukan kerja sambilan. Terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada situasi ini di mana kesan-kesan yang wujud daripadanya menjadi kayu ukur kepada tahap komitmen guru-guru yang terlibat. Menurut Mariatin (2009), oleh kerana kejayaan sesebuah organisasi banyak bergantung kepada kesungguhan dan komitmen yang diberikan oleh kakitangan maka, seharusnya tidak ada sebarang halangan yang dapat menyumbang kepada kegagalan guru dalam memberikan komitmen kepada organisasinya. Ini disebabkan komitmen semua guru diperlukan bagi memastikan pengurusan sekolah dapat dijalankan dengan jayanya kerana guru adalah sebahagian daripada kakitangan yang menggerakkan organisasi sekolah bagi mencapai misi dan visi yang selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (Abdullah Sani, 2005).

2.0

Kerja sambilan merupakan istilah yang diadaptasi daripada perkataan Bahasa Inggeris iaitu moonlighting di mana perkataan ini pada asalnya diambil daripada perkataan moonlight. Menurut kamus Oxford (2011), kerja sambilan membawa maksud seseorang yang mempunyai pekerjaan kedua di mana kebiasaannya dilakukan pada waktu malam secara rahsia sebagai tambahan daripada pekerjaan utamanya. Kemudian, Pere (2007) dan Betts (2002) menyatakan istilah moonlighting ini seerti dengan istilaah second job, part-time job, dual job, multiple job dan seumpamanya. Kesemua ini bermaksud bahawa seseorang yang bekerja sambilan secara separuh masa namun pada masa yang sama mempunyai pekerjaan lain yang utama di mana ia dilakukan secara sepenuh masa. Idea ini selari dengan Champion (2010), Michael (2010) dan Betts (2006) yang menyatakan moonlighting di dalam Bahasa Melayu adalah kerja luar yang bermaksud mempunyai dua pekerjaan atau lebih separuh masa serta pekerjaan tambahan ini berlaku kepada seseorang yang memiliki sesebuah kerjaya yang menjadi pekerjaan utamanya. Azanza (2000) pula berpendapat bahawa kerja sambilan merupakan salah satu cara untuk memperolehi pendapatan walaupun seseorang itu mempunyai pekerjaan tetap. Di samping itu beliau turut menyatakan kerja sambilan itu merangkumi seseorang yang bekerja sendiri seperti menjadi perunding, mengajar kelas malam, membuat pelaburan selain menjadikan hobi dan kemahiran yang dimiliki sebagai cara untuk menambahkan pendapatan. Berdasarkan kepada definisi dan konsep kerja sambilan yang telah dihuraikan di atas, isu ini memfokuskan kepada guru yang terbabit dengan sebarang kegiatan atau aktiviti yang boleh mendatangkan pendapatan sampingan semasa berada di dalam kawasan sekolah atau sebaliknya pada bila-bila masa (Parham, 2006). Keadaan ini sama ada bekerja separuh masa secara makan gaji di tempat lain selepas waktu mengajar, menjalankan perniagaan sendiri dengan menjual produk atau sebagai agen jualan, penyediaan sesuatu perkhidmatan, memiliki syarikat perusahaan sendiri atau usahasama dengan keluarga atau sebarang sumber yang dapat menambahkan pendapatan mereka walaupun aktiviti berkenaan dijalankan secara kecil-kecilan. PERKEMBANGAN HUJAH Isu berkenaan guru yang bekerja sambilan ini bukanlah satu trend atau khusus di sesebuah tempat malahan di mana-mana tempat dan organisasi akan wujud kakitangan yang melakukan pekerjaan sampingan. Walaupun faktor kewangan dilihat lebih dominan dalam kalangan guru yang melakukan kerja sampingan (Livanos & Zangelidis 2008, McClintock et. al. 2004), Robinson & Wadsworth (2007) menyatakan ia bukan disebabkan masalah kewangan atau menerima gaji yang rendah daripada pekerjaan utama semata-mata. Sebaliknya terdapat juga pelbagai faktor lain yang turut menyumbang kepada seseorang itu mengambil keputusan untuk melakukan

pekerjaan sambilan yang merangkumi faktor peribadi dan faktor kerjaya (Betts 2002). Menurut Betts (2002), dalam laporannya menyatakan salah satu faktor daripada pekerjaan sampingan itu dilakukan adalah kerana faktor peribadi. Pandangan ini juga turut diselari dengan para pengkaji yang lain di mana kerjaya sampingan yang dilakukan itu tidak berkaitan dengan faktor kewangan dan tidak dipengaruhi oleh unsur lain selain atas kehendak diri sendiri semata-mata. Kebanyakan mereka yang bekerja sambilan juga didapati sangat menyukai untuk melakukannya tanpa terikat dengan faktor kewangan (Hipple, 2010). Dickey et. al. (2011) dan Betts (2002) berpendapat seseorang yang menjalankan kerja sampingan adalah disebabkan oleh faktor peribadi iaitu untuk memenuhi minat serta mengisi masa lapang di luar waktu bertugas mereka. Bahkan wujud dalam kalangan mereka untuk memenuhi kepuasan mereka dalam bekerjaya di mana ia tidak diperolehi daripada pekerjaan utamanya (Dickey et. al. 2011, Panos et. al. 2011) dengan melakukan sesuatu pekerjaan lain yang diminati. Winters (2010) dalam kajiannya mendedahkan, walaupun seseorang itu melakukan pekerjaan sampingan tetapi ia bukan atas alasan kewangan walaupun memperolehi pendapatan kecil daripada kerjaya utamanya seperti mana yang dijelaskan oleh Hipple (2010). Malahan kajian ke atas guru menunjukkan majoriti daripada mereka yang terlibat mengakui mereka tetap akan melakukan pekerjaan sampingan walaupun tangga gaji mereka sebagai guru dinaikkan (Pearson et. al. 2001). Keadaan ini menunjukkan mereka sememangnya menyukai dan gembira dengan kerja sampingan yang dilakukan (Renna & Oaxaca 2009) walaupun terpaksa mengorbankan masa lapang di luar waktu bekerja. Selain itu, seseorang yang menjalankan pekerjaan lain selepas waktu bertugas adalah bagi meningkatkan bakat dan kemahiran yang dimiliki serta mempunyai minat mendalam terhadap aktiviti sampingan yang dilakukan. Hipple (2010) berpendapat pekerjaan sampingan yang dilakukan seseorang adalah sebagai cara untuk membina kemahiran baru dan menimba pengalaman lain yang berbeza daripada pekerjaan utama sedia ada yang dimiliki (Dickey et. al. 2011, Renna & Oaxaca 2009). Terdapat juga dalam kalangan individu yang melakukan kerja sampingan bagi membina rangkain hubungan sosial dengan rakan baru (Betts 2002). Salah satu tujuannya adalah untuk mengenali seseorang yang dapat membantunya mencapai sesuatu yang diingini seperti peluang pekerjaan baharu (Pere 2007). Kesemua alasanalasan berbentuk peribadi ini memperlihatkan mereka melakukan kerja sampingan adalah atas dasar sukarela dan merasa bahagia melakukannya (Hipple 2010, Averett 2001) walaupun menyedari pelbagai kesan yang akan dihadapi daripada tindakan melakukan pekerjaan sampingan. Kebanyakan pengkaji mengatakan bahawa faktor ekonomi atau kewangan merupakan penyebab utama kepada seseorang itu melakukan kerja sampingan (Dickey et. al. 2009) termasuklah dari kalangan guru. Walaupun mempunyai pendapatan

daripada pekerjaan utama sebagai guru secara sepenuh masa, terdapat juga di kalangan mereka yang melakukan pekerjaan sambilan bagi mengatasi masalah kewangan yang dihadapi. Hipple (2010) berpendapat bahawa mereka yang memiliki kerjaya lain yang mendatangkan pendapatan adalah berpunca daripada faktor kewangan sebagai sebab utama. Beliau turut menyebut keadaan ini adalah disebabkan mereka mempunyai beban tanggungan hutang atau pinjaman yang perlu dijelaskan sama seperti mana yang dilaporkan oleh Verma (2008) dan Averett (2001). Laporan daripada Parham (2006) juga menyebutkan faktor penyebab guru menjalankan kerja sambilan adalah kerana masalah kewangan dan ianya sukar untuk dihentikan setelah terlibat dengan aktiviti bekerja sambilan walaupun mengetahui terdapat kesan di sebaliknya. Keinginan untuk meningkatkan taraf kehidupan yang lebih baik dengan memperolehi pendapatan tambahan telah menyebabkan ramai yang mengambil keputusan untuk bekerja sampingan. Kenyataan ini selari dengan Hyder & Ahmed (2009), Guanglia & Kim (2004), Kimmel & Conway (2002) dan Partridge (2002) yang mengemukakan alasan gaji atau pendapatan yang kecil daripada kerjaya utama menjadi punca kepada seseorang itu melakukan pekerjaan sampingan. Terdapat kajian yang menunjukkan individu menjalankan kerja sambilan adalah disebabkan faktor kerjaya. Keadaan ini bermaksud seseorang itu menjalankan kerja sampingan atas tuntutan yang berhubung dengan kerjaya mereka sendiri (Dickey et. al. 2009), untuk menimba pengalaman baharu (Dickey et. al. 2011), memperolehi pengetahuan bagi memperkukuhkan kerjaya pada masa depan dan sebagai satu cara bagi meninggalkan kerjaya perguruan (Henderson 2000) atas pelbagai asalan. Terdapat pelbagai kerja sambilan yang dilakukan oleh guru-guru pada masa kini. Ada antara mereka yang mengajar di pusat-pusat tuisyen, menjadi penceramah dalam sebarang khusus atau seminar, berniaga di pasar-pasar malam, MLM, memandu teksi malah ada antara mereka yang mungkin turut terlibat dengan pekerjaan jenayah yang menyalahi undang-undang negara. Jesteru, fenomena guru menjalankan kerja sambilan telah mendapat perhatian daripada pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Bagi mengatasi masalah tersebut, pihak kementerian telah mengeluarkan Surat Pekeliling Perkhidmatan Bil. 1 Tahun 1999 mengenai penglibatan pegawai dan kakitangan di bawah dalam Pekerjaan Luar. Menerusi surat tersebut, Ketua Jabatan telah diberi kuasa meluluskan permohonan dan membuat pemantauan terhadap mereka yang berkenaan. Namun begitu, sejak kebelakangan ini banyak aduan yang telah diterima dan dibangkitkan sama ada di media cetak mahupun elektronik mengenai salah laku pegawai yang terlibat sebagai guru tuisyen mahupun tenaga pengajar sambilan sama ada mereka telah diberi kebenaran atau tidak telah didapati tidak mengutamakan tanggungjawab ke atas tugas hakiki yang disandang malahan ada yang mengambil kesempatan menjadikan institusi pendidikan sebagai platform atau medan perniagaan dalam mempromosi khidmat tuisyen berbayar yang berunsur kepentingan peribadi.

Pada dasarnya pegawai perkhidmatan awam dilarang melakukan pekerjaan luar atau kerja sampingan yang mendatangkan sebarang bentuk faedah atau keuntungan sama ada dalam bentuk upah atau keuntungan. Namun demikian, atas keprihatinan kementerian terhadap keperluan para murid dalam mendalami ilmu dan menguasai pembelajaran tambahan, pihak kementerian telah membenarkan para pendidik untuk membimbing murid melalui kelas persendirian di mana-mana institusi pendidikan swasta dengan syarat aktiviti yang dijalankan tidak bertentangan dengan kepentingan dirinya sebagai penjawat awam. Kebenaran bersyarat ini adalah sebagai alat kawalan dalaman bagi memastikan aktiviti tersebut selaras dengan kehendak Peraturan 5, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993. Tujuan Surat Pekeliling Perkhidmatan itu dikeluarkan adalah untuk memberi garis panduan yang terperinci mengenai pengendalian dan syarat-syarat khusus kepada pekerjaan luar sebagai guru tuisyen atau tenaga sambilan bagi anggota Kementerian Pelajaran Malaysia. Sebagai kesimpulannya, kerja sampingan boleh dilakukan oleh guru tetapi pertimbangan yang sewajarnya haruslah diberikan supaya kerja sampingan tersebut tidak mengganggu tugas hakiki guru di sekolah. Setiap guru harus secara bertanggungjawab terhadap tugas sebenar di sekolah dan menjadikan kerja sampingan benar-benar sebagai sampingan. Guru sebaliknya tidak boleh sama sekali menjadikan tugas hakiki di sekolah sebagai kerja sampingan. Namun demikian, kebenaran ini juga telah disalah ertikan oleh guru dengan melakukan pekerjaan jenayah sebagai kerja sampingan yang menyalahi undangundang. Merujuk kepada laporan berita-berita semasa yang disiarkan melalui media massa, terdapat pelbagai isu yang melibatkan guru dikategorikan sebagai melanggar etika profesion perguruan sekarang ini. Antara salah satu isu hangat yang telah menimbulkan permasalahan serta memberi kesan terhadap profesion keguruan ialah yang dipetik dari artikel melalui sumber laman web rasmi, Guru Sains disyaki edar dadah akan digantung kerja (Berita Harian Online: 21 Februari 2010). Merujuk kepada laporan akhbar dalam Berita Harian Online melaporkan: Guru Sains Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Rengit, Batu Pahat yang ditahan polis, Rabu lalu selepas dipercayai mengedar dadah bakal berdepan tindakan digantung kerja, dipindahkan atau dibayar separuh gaji. Guru sains tersebut dipercayai mengedar dadah secara sambilan kerana mahu menjalani kehidupan mewah dan bergaya. Menurut sumber, guru berusia 31 tahun itu baru saja berjinak-jinak dalam pengedaran dadah kira-kira dua bulan lalu dengan menggunakan kereta Proton Savvy miliknya untuk menghantar sendiri bekalan apabila menerima tempahan dan ditahan kira-kira jam 10 malam dalam satu sekatan jalan raya di sekitar daerah Batu Pahat. Sumber itu berkata, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom menyatakan tindakan pentadbiran serta merta yang dikenakan kepada guru terbabit membuktikan Kementerian Pelajaran tidak pernah bertolak ansur kepada mana-mana

pihak yang cuba mencemarkan imej profesion perguruan di negara ini. Menurut beliau juga, pihaknya memandang serius kejadian seumpama itu dan tidak teragakagak untuk mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang cuba mencemarkan profesion perguruan yang selama ini dipandang tinggi di kalangan masyarakat. Berdasarkan laporan yang dibuat dalam akhbar terkenal itu jelas menunjukkan bahawa guru tersebut secara terang melanggar etika profesion perguruan dan kod etika perguruan di Malaysia yang menyatakan bahawa guru perlu mematuhi kod etika perguruan iaitu menjalankan tanggungjawabnya sebagai guru kepada pelajar, ibu bapa pelajar, rakan sejawat, masyarakat dan negara. Namun dalam kes ini guru telah membelakangkan tugas awamnya demi kepentingan peribadi. Dengan ini jelas menunjukkan sikap tidak profesional guru tersebut yang tidak berfikir dengan wajar tentang impak negatif yang akan dihadapi sebelum melakukan pekerjaan sambilan tersebut yang jelas menjejaskan masa depannya serta memburukkan nama baik profesion perguruan yang sepatutnya disanjung tinggi. Jesteru itu, guru berkenaan akan dikenakan tindakan tatatertib mengikut peraturan tatakelakuan yang ditetapkan dalam Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 dimana Pihak Berkuasa Tatatertib akan mengenakan hukuman gantung kerja kerana guru tersebut telah disabitkan melakukan kegiatan jenayah dalam penyalahgunaan dadah secara kerja sambilan. Malahan, baru-baru ini sudah terdapat isu berkenaan guru melanggar etika profesion perguruan iaitu bekerja sambilan telah dilaporkan menerusi Berita Harian Online: 4 Januari 2010 Guru abai tanggungjawab calar imej profesion perguruan. Menurut sumber, beberapa persatuan guru mengakui wujud kes terpencil guru lebih mengutamakan kerja luar berbanding tugas hakiki mereka di sekolah kerana mengejar pendapatan yang lumayan. Dalam laporan tersebut, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan, Loke Yim Pheng, berkata tindakan segelintir guru yang lebih rajin mencari pendapatan tambahan itu umpama nila setitik rosak susu sebelanga. Maka, keadaan ini akan memperlihatkan kesan negatif terhadap bidang profesion perguruan dimana tindakan guru berkenaan boleh mencalarkan imej golongan pendidik kerana kebanyakan guru adalah komited menjalankan tanggungjawab mereka masing-masing. Tambahan lagi, isu guru melakukan penyalahgunaan dadah secara sambilan ini menjadi semakin hangat apabila timbul pula laporan akhbar yang ditulis oleh M Hifzuddin Ihksan dalam Berita Harian Online melaporkan BETONG: Kegiatan seorang guru dari Semenanjung menjual dadah dan pil khayal kepada pelajar di sebuah sekolah menengah di sini terbongkar apabila polis menahannya bersama 1,862 pil nospan di sini petang semalam. Ketua Polis Daerah Betong, Deputi Superintendan Mohd Bukhori Saffai, berkata suspek yang bertugas di sebuah sekolah di Beladin dipercayai menjadi pengedar dadah kepada pelajar sekolah sekitar kawasan

berkenaan. Suspek menjalankan kegiatan mengedar dadah di Beladin sejak tahun lalu dan mempunyai rangkaian pelajar yang dijadikan orang tengah. Guru yang disebutkan di atas sememangnya mementingkan kehendak dan kepuasan diri tanpa memikirkan nilai sahsiah dan moral yang sepatutnya dimiliki oleh seorang pendidik. Selain menggelapkan masa depannya sendiri, tindakan di luar kewarasannya itu turut memusnahkan masa depan pelajarnya ke arah melahirkan generasi pengedar dadah yang sepatutnya di jaga dan dilindungi olehnya sekaligus memburukkan nama atau mencemarkan nama profesion perguruan. Malah keadaan ini bukan sahaja mencemarkan imej perguruan tetapi turut menjejaskan kredibiliti dan kepercayaan masyarakat setempat terhadap peranan guru sebagai pendidik. Profesion perguruan merupakan sebuah profesion yang sangat mulia dan dipandang tinggi oleh semua golongan lapisan masyarakat. Dengan kesalahankesalahan segelintir guru yang melanggar etika perguruan sesungguhnya telah mencemarkan kemuliaan profesion itu. Kegagalan sahsiah guru itu adalah kegagalannya secara individu, namun mungkinkah ianya adalah kegagalan pihak lain yang menyumbang kepada kesalahan dan pelanggaran nilai sahsiah dirinya sendiri. Jika kesalahan yang dilakukannya adalah disebabkan faktor kewangan yang mendesak guru tersebut melakukan kerja sambilan dengan mengedar dadah untuk mendapatkan pendapatan yang lumayan, perkara ini hendaklah dipandang serius oleh pihak-pihak tertentu supaya dapat memantau dan mengambil tindakan tegas terhadap guru yang lebih mengutamakan kerja luar untuk kepentingan diri sendiri. Mungkinkah perkara ini tidak berlaku jika guru berkenaan dapat mengawal kemahuan peribadi yang menginginkan kehidupan mewah dan bergaya tanpa memikirkan keperluan utama atau dengan tujuan memenuhi kepuasan mereka dalam bekerjaya. Jesteru itu, sebagai seorang guru yang berprofesional harus bijak dalam menguruskan bidang kerjaya dan peribadi dari segi kewangan serta kecenderungan minat kerana kebijaksanaan dalam pengurusan ini akan memberi kesan kepada kejayaan pengajaran guru di dalam kelas. Maka, guru perlu mengenalpasti dan merancang setiap keperluan dan kemahuan dalam kehidupan mereka bagi menjamin kejayaan dan kualiti hidup sebagai pendidik. Kesalahan individu sering kali dilihat sebagai kegagalan individu itu sendiri, namun jika diteliti dan diperhalusi terdapat beberapa faktor lain yang turut menyumbang kepada berlakunya gejala sosial seperti melakukan kegiatan penyalahgunaan dadah sebagai pekerjaan sambilan semata-mata untuk mengejar kemewahan hidup. Tanpa pegangan agama yang kuat, kewarasan akal kadang kala tidak dapat menyekat kehendak naluri individu itu untuk terus cenderung melakukan kesalahan. Jika menurut teori Maslow (1968), kegagalan manusia mendapatkan sesuatu keperluan yang utama boleh menyumbang kepada seseorang cenderung melakukan

kesalahan demi mengisi keperluan yang dihajatinya. Manakala, teori ini juga turut bertepatan dengan teori Psikoanalitik yang diasaskan oleh Sigmund Frued (1856-1939) melihat manusia dilahirkan dengan sifat semula jadi dan tingkah lakunya lebih kepada naluri kehaiwanan yang hanya dapat dibendung dengan pengalaman-pengalaman dalam masyarakat dan sosialisasi. Sekiranya pengalaman ini tiada atau kurang, maka ia cenderung ke arah merosakkan peraturan-peraturan dalam sesebuah masyarakat. Fenomena bekerja sambilan bukanlah sesuatu yang baru wujud dalam kalangan masyarakat malah dalam kalangan guru yang bekerjaya pun situasi ini tidak terkecuali. Faktor kewangan bukanlah satu-satunya punca yang menyumbang kepada penglibatan guru di dalam aktiviti bekerja sambilan dengan melakukan kegiatan jenayah dalam kalangan guru bahkan berkait rapat dengan faktor peribadi dan kerjaya mereka. Walaupun seseorang yang melakukan kerja sampingan tersebut atas kemahuan sendiri yang menginginkan hidupan yang mewah serta pendapatan yang lumayan, namun secara tidak langsung keputusan yang dibuat itu bukan sahaja memberi kesan kepada diri sendiri tetapi juga melibatkan organisasi di tempat kerja (Betts, 2002).

3.0

IMPLIKASI HUJAH Setiap isu yang timbul atau ditimbulkan oleh guru sudah semestinya akan memberi implikasi secara langsung atau tidak langsung terhadap diri guru itu sendiri, pelajar, sekolah, masyarakat dan juga negara. Pembangunan sahsiah seseorang guru sebenarnya terbentuk sejak kecil lagi bahkan sejak di dalam kandungan ibunya dan suasana di dalam rumah tempatnya membesar. Peranan keluarga sangat penting sebagai memainkan peranan utama manakala pembangunan sahsiah di sekolah hanyalah program sokongan peneguhan dan pengayaan peribadi seseorang. Pembangunan guru juga bermula dari pembangunan individu dan ia dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti baka dan persekitaran. Tahap pendidikan dan penghayatan ilmu membantu perkembangan dan pembangunan sahsiah ke arah lebih positif. Jika terdapat guru yang mempunyai sahsiah buruk dan menimbulkan isu yang negatif, pembangunan sahsiah di kalangan guru seolah-olah tidak berjaya dan ia sesuatu yang membimbangkan memandangkan guru merupakan golongan yang menjadi harapan untuk membangunkan bangsa dan negara. Sahsiah sering dikaitkan dengan peribadi yang ditonjolkan oleh seseorang guru melalui tindakan atau perlakuannya. Tindakan yang dipilih dapat dilihat sebagai tindakan yang boleh diterima atau tindakan positif yang merupakan tindakan yang sejajar dengan jangkaan masyarakat dan kehendak Kementerian Pelajaran Malaysia.

Berita-berita membanggakan yang melambangkan sahsiah positif seorang guru seperti guru bertindak berani menyelamatkan anak muridnya serta ketabahan guru menghadapi dugaan dan cabaran untuk mendidik anak bangsa merupakan perkhabaran yang membuatkan kita kagum dengan profesion perguruan. Namun tindakan negatif yang tidak melambangkan sahsiah guru seperti isu guru edar pil khayal kena tahan dan guru abai tanggungjawab calar imej profesion perguruan turut menjadi fokus perbincangan utama media massa dan para penyelidik. Isu-isu yang positif mahupun negatif sebegini telah memberi impak yang besar terhadap profesion perguruan. Isu positif akan meningkatkan semangat dan motivasi para guru, meningkatkan kepercayaan masyarakat serta turut mengharumkan persada pendidikan. Walaubagaimanapun, kewujudan isu negatif telah mula menjadikan kebanggaan kita terhadap profesion perguruan kini semakin pudar. Malah, pihak media, penyelidik bahkan masyarakat telah memberikan tekanan dan desakan yang hebat terhadap pihak warga pendidik, sekolah dan Kementerian Pelajaran Malaysia khasnya. Isu guru mengedar dadah secara kerja sambilan adalah antara isu yang melanggar etika perguruan dan ianya semakin hangat diperkatakan. Ia boleh meninggalkan kesan yang bukan sedikit terhadap pembangunan sahsiah individu itu sendiri dan terhadap pembangunan sahsiah golongan guru yang lain. Kesan tindakan itu turut memberi impak terhadap pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung termasuklah pihak sekolah, Jabatan Pendidikan serta Kementerian Pelajaran Malaysia. Malahan tindakan guru mengedar dadah menggunakan rangkaian pelajar sebagai orang tengah akan turut mendatangkan impak kepada pelajar dan keluarga pelajar tersebut. Guru berkenaan telah melakukan satu kesalahan jenayah menyalahgunakan dadah yang menunjukkan kelakuannya yang dilarang dengan cara yang boleh memburukkan atau mencemarkan nama baik perkhidmatan profesion perguruan. Kesalahan guru berkenaan akan dikenakan tindakan tatatertib Peraturan 7 mengikut peraturan tatakelakuan yang ditetapkan dalam Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 dimana Pihak Berkuasa Tatatertib akan mengenakan hukuman gantung kerja. Malah, berdasarkan laporan akhbar tersebut menyatakan bahawa guru dipercayai mengedar dadah secara kerja sambilan kerana mahu menjalani kehidupan mewah. Jesteru itu, kes ini menunjukkan guru tersebut melanggar peraturan tatakelakuan dan tatatertib iaitu Peraturan 4(2), di mana guru berkenaan membelakangkan tugas awamnya demi kepentingan peribadinya. Jika disabitkan kesalahaan tindakan tatatertib akan dikenakan di mana ia bergantung kepada jenis pelanggaran tatakelakuan seperti tindakan amaran, denda atau lucut hak emolumen, tangguh pergerakan gaji, turun gaji, turun pangkat dan penggantungan kerja.

Guru yang telah melakukan kesalahan jenayah seperti mengedar dadah secara sambilan ini telah menampakkan sahsiahnya yang sangat rendah dan martabatnya sebagai guru dikesali kerana seorang guru tidak sepatutnya memiliki sahsiah sedemikian, bahkan guru antara golongan terpelajar dan berilmu. Sepatutnya, guru memainkan peranan cuba membimbing generasi muda mengenai bahaya penyalahgunaan dadah dan bukannya guru sendiri bertindak membekalkan dadah tersebut kepada pihak lain. Pembangunan sahsiah guru terbabit akan dikategorikan sahsiah yang negatif walaupun dia seorang guru yang berkaliber dan berjasa. Moralnya akan menjadi persoalan dan diperkatakan oleh setiap lapisan masyarakat serta mendapat cemuhan. Segala kebaikan dan bakti yang dicurahkan selama ini akan hilang begitu sahaja. Malahan, kes pengedaran dadah ini juga merupakan satu kegiatan jenayah yang boleh membawa hukuman mati dan penjara jika disabitkan kesalahan. Jika dia dijatuhkan hukuman, alangkah rendahnya martabat seorang pendidik yang terpaksa menghabiskan masa bersama-sama pesalah lain yang rata-rata bukanlah dari golongan cendikiawan sepertinya. Sekiranya guru berkenaan sudah selesai menjalani hukuman atau berjaya membayar denda yang dikenakan, isu ini pasti tidak akan berhenti begitu sahaja. Isu dan sashsiah guru ini akan tetap menjadi tajuk bualan dan dia akan dipandang serong oleh orang lain. Di sekolah, guru ini tidak lagi dihormati malah mungkin akan ditakuti oleh pelajar. Rakan sekerja juga berkemungkinan akan mempertikaikan tugasnya mendidik pelajar dan jika dia sudah insaf, guru ini masih terpaksa menerima balasan di dunia mahupun di akhirat di atas perbuatannya sekiranya ia masih diragui serta tidak diberi kepercayaan. Malahan guru-guru dari sekolah lain juga akan menjadikannya sebagai bualan atau akan menjadikannya sebagai sempadan dan ingatan terhadap perkara yang sudah terjadi. Masyarakat sekeliling pula akan turut menjadikan perkara sebegini adalah lumrah di dalam masyarakat kita dan melabelkan guru tersebut sebagai penjenayah yang boleh membunuh generasi bangsa. Kesan daripada itu, sahsiah guru yang akan dibina selepas itu akan menjadi lebih sukar dan dan memerlukan banyak kesabaran untuk melaluinya. Ia perlulah tabah menghadapinya kerana tindakan yang dilakukan akan meninggalkan kesan mendalam dan sepanjang hayat. Selain itu, kesan buruk seorang guru sebagaimana tertuduh melakukan kes berkenaan bukan sahaja memburukkan imejnya sebagai guru secara peribadinya, malah tempiasnya turut dirasai oleh semua guru. Ia seolah-olah menunjukkan keperibadian guru yang gagal mencerminkan seorang guru yang sebenarnya sebagaimana yang diaspirasikan oleh Negara. Melalui kod etika guru yang diperkenalkan, guru bertanggungjawab terhadap rakan sekerja. Namun, perbuatan jenayah ini diibaratkan telah mengkhianati rakan sekerja lain yang turut menanggung malu akibat daripada perbuatan rakan mereka yang bergelar seorang guru. Dari segi pembangunan sahsiah guru, perbuatan mengedar dadah secara kerja sambilan yang dilakukannya menyebabkan masyarakat menilai sahsiah guru secara

umum bahawa guru-guru sekarang sudah tidak bersahsiah. Adakah benar bahawa guruguru sekarang menjadi guru bukan atas dasar minat dan tanggungjawab, tetapi disebabkan mahu mendapat sesuatu pekerjaan demi menjamin ekonominya? Adakah gaji pekerjaan seorang guru tidak mencukupi di sebabkan desakan kewangan, tekanan hidup dan desakan nafsu kemahuan mengejar pendapatan tambahan yang lumayan serta menginginkan kehidupan mewah dan bergaya tanpa mempunyai rasa bersyukur di atas rezeki yang diperolehi sehingga sanggup melakukan kegiatan mengedar dadah sebagai kerja sambilan? Guru-guru ini tidak menghayati sepenuhnya akan tanggungjawab, maksud yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Negara dan kod etika perguruan kerana jawatannya dianggap sebagai sandaran untuknya mendapatkan sumber ekonomi, bukan atas dasar tanggungjawab. Isu guru menjalankan kegiatan mengedar dadah sebagai kerja sambilan yang menyalahi undang-undang negara ini biasanya ia dilakukan tanpa mengira masa sama ada setelah tamat waktu kerja rasmi atau dilakukan pada waktu malam dan masa terluang. Setelah penat bekerja di sekolah sepanjang hari, guru menyambung kerja mereka dengan melakukan kerja sampingan tersebut. Keadaan ini sudah pasti memerlukan tenaga kerja yang maksimum dan akhirnya guru berkenaan yang akan menerima kesanya. Mereka pasti akan keletihan dan pergi ke sekolah pada keesokan harinya dalam keadaan yang lesu dan tidak bermaya atau pergi ke sekolah sibuk melakukan pekerjaan sampingan. Akhirnya segala perancangan pengajaran dan pembelajaran tidak dibuat dan tugas mengajar dilaksanakan secara ala kadar sahaja, sekadar melepaskan batuk di tangga. Guru seharusnya menjadikan tugas di sekolah sebagai tugas utama, kerja luar hanya sampingan sahaja. Namun, agak malang kerana perkara yang terjadi adalah di sebaliknya. Kerja luar sudah menjadi kerja utama, sebaliknya tugas mengajar pula yang menjadi kerja sampingan mereka. Keadaan ini amatlah menyedihkan dan sekiranya ia tidak diatasi para murid akan turut menjadi mangsa tindakan segelintir guru berkenaan. Golongan yang melakukan kerja sambilan ini memberi kesan tumpuan terhadap kerjaya utamanya sebagai pendidik. Guru berkenaan akan dilihat kurang memberikan komitmen terhadap tugas seterusnya organisasi mereka iaitu sekolah. Keadaan ini akan menyumbang kepada pelbagai masalah lain yang berhubungkait dengan bidang tugas yang dipertanggungjawabkan ke atasnya. Selain itu, kurangnya komitmen terhadap kerjayanya telah menyebabkaan prestasi menjadi merosot disebabkan hilang daya tumpuan semasa melakukan tugas. Hyder & Ahmed (2009) menyatakan individu yang menjalankan pekerjaan sampingan memperuntukkan masa selepas waktu bekerja utamanya hingga menjejaskan produktiviti dan prestasi mereka sendiri. Pendapat ini turut disokong oleh Champion (2010) yang menyatakan mereka yang bekerja sambilan ini mengalami masalah kekurangan tenaga dan kurang daya keupayaan sehingga menjejaskan tumpuan untuk menjalankan tugas. Ini kerana guru terbabit biasanya menjalankan kegiatan tersebut pada waktu malam dan memerlukan

4.0

tenaga untuk menjalankan pekerjaannya. Maka, keadaan ini juga akan menyebabkan tahap poduktiviti berkurangan yang dilihat sebagai satu liabiliti kepada pihak sekolah. Kesan yang wujud hasil daripada perbuatan guru tersebut yang melakukan pekerjaan sambilan dengan mengedar dadah adalah berhubung dengan komitmen mereka terhadap sekolah sebagai guru dan kakitangan perlu dinilai adakah ia menjejaskan komitmennya sebagai guru di sekolah terhadap proses pengajaran dan pembelajaran, organisasi dan juga profesion. Ini disebabkan kerjaya perguruan memerlukan komitmen yang tinggi memandangkan guru merupakan agen yang membawa kepada perubahan bagi sesebuah negara melalui sistem pendidikan yang bersifat dinamik. CADANGAN/RUMUSAN Berdasarkan kepada huraian yang dijelaskan berkenaan isu guru melakukan kegiatan penyalahgunaan dadah sebagai kerja sambilan, saya mencadangkan bahawa setiap guru perlu mempunyai sahsiah yang baik dan dapat dihormati serta boleh dicontohi oleh murid. Pembentukan sahsiah ini termasuklah tingkah laku dan sikap yang elok, bersabar, bermurah hati, sentiasa bersifat tenang dan mampu menguruskan kehidupan serta kewangan dengan lebih berkesan. Kebanyakan kualiti kecerdasan dan sahsiah guru adalah hasil daripada latihan yang diikutinya semasa menjalani kursus di institusi perguruan. Latihan itu termasuklah kefahaman terhadap sifat kejasmanian dan sifat psikologi kanak-kanak serta teori penyampaian pelajaran yang berkesan. Selain daripada menjalankan tugas di dalam bilik darjah, guru juga perlu sedar akan peranan lain yang diharapkan oleh masyarakat. Misalnya, guru diharapkan menjadi pengganti ibu bapa, menjadi penasihat dan pembimbing di dalam pembentukan sahsiah murid, menjadi kaunselor, pengamal dan penyebar nilai kebudayaan yang baik dan seterusnya menjadi contoh sahsiah yang terpuji kepada masyarakat. Sebagai seorang guru perlu membimbing generasi muda kini tentang keburukan penyalahgunaan dadah dan bukannya dia sendiri yang bertindak mengherat pelajarnya ke kancah dadah yang menjadi musuh pembunuh utama negara. Pada masa yang sama, guru juga harus sentiasa mengikuti kursus-kursus dan seminar motivasi pendidikan yang dianjurkan oleh pihak Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah mengenai etika profesion perguruan. Sebagai contoh, guru boleh mengikuti Kursus Dalam Perkhidmatan ataupun Kursus Peningkatan Profesionalisme Keguruan. Kursus-kursus pendidikan ini penting bagi seseorang guru untuk mempertingkatkan keupayaan dan prestasi dalam profesion pendidikan yang kian mencabar dan kompleks selari dengan era globalisasi kini. Oleh kerana sistem pendidikan yang dilaksanakan adalah untuk menyokong usaha-usaha kerajaan, maka profesion keguruan dharapkan dapat membuat anjakan paradigma kepada budaya yang berasakan ilmu dan pemikiran (Rohani Abdul Hamid, 1998) demi meletakkan nama negara setanding dengan negara maju yang lain.

Selain daripada itu, saya juga ingin mencadangkan supaya pihak Kementerian Pelajaran Malaysia mempelbagaikan aktiviti dan program kepada bakal pendidik semasa menjalani kursus latihan di institusi perguruan lagi. Contohnya, mengadakan bengkel, ceremah, seminar, pertandingan, aktiviti sukan dan sebagainya. Di dalam program ini guru-guru pelatih akan didedahkan dengan konsep sebenar berkenaan kod etika dan akauntabiliti keguruan. Penyediaan program dan aktiviti seperti ini akan melahirkan pendidik negara bangsa yang beretika dan mempunyai sahsiah yang tinggi. Di samping itu, berkenaan isu kegiatan guru mengedar dadah secara kerja sambilan dengan menggunakan rangkaian pelajar sebagai orang tengah perlu dipandang serius oleh pihak berkaitan terutamanya pihak sekolah, pihak berkuasa dan juga Kementerian Pelajaran. Saya mencadangkan agar guru terbabit dikenakan hukuman yang berat seperti buang kerja dan tidak dibenarkan untuk memohon sebarang pekerjaan di bawah perkhidmatan awam kerana tindakan yang dilakukan merupakan satu kegiatan jenayah yang bukan sahaja mencemarkan imej profesion perguruan malah dadah adalah merupakan musuh utama negara. Pandangan saya ini adalah selari dengan pendapat Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, yang menyatakan tindakan pentadbiran serta merta yang dikenakan kepada guru terbabit membuktikan Kementerian Pelajaran tidak pernah bertolak ansur kepada mana-mana pihak yang cuba mencemarkan imej profesion perguruan di negara ini. Maka, saya sangat bersetuju dengan pendapat beliau bahawa peraturan dan hukuman sedia ada yang telah ditetapkan perlu dilaksanakan dengan tindakan yang tegas. Seterusnya, sebagai guru terlatih kelak seharusnya menunjukkan penampilan diri sebagai pendidik dengan mempunyai pelbagai ilmu tradisional dan moden. Guru juga perlulah mempunyai kefahaman terhadap dasar dan aspirasi pendidikan negara dengan jelas dan mantap. Guru yang bersahsiah tinggi akan menunjukkan etika cemerlang dalam perkhidmatan mereka. Guru dengan etiket sosial tidak dapat dipisahkan. Etiket sosial merupakan perilaku, budi bahasa, kebijaksanaan, imej, gerak-geri yang elok mengikut kesesuaian semasa berinteraksi dan pergaulan sehariannya. Guru haruslah berupaya menjadi agen pembangunan dan pembaharuan dalam masyarakat dengan menampilkan etiket sosial yang disenangi. Tambahan lagi, guru merupakan golongan yang sentiasa mendapat perhatian walau di mana mereka berada. Segala tindak tanduknya sering diperhatikan oleh masyarakat sekeliling. Keadaan ini menjadi satu kewajipan bagi guru-guru mengamalkan penampilan diri dan menunjukkan contoh akhlak yang baik bagi memelihara martabat profesion perguruan. Oleh kerana guru ibarat idola dalam masyarakat, maka guru perlu berupaya menampilkan diri dan mengaplikasikan nilainilai kesantunan agar dapat menyesuaikan diri dalam sebarang keadaan yang dihadapinya. Sebagai seorang guru iaitu pendidik generasi bangsa perlu sentiasa mendalami diri dengan pelbagai ilmu dan kemahiran yang dapat mengimbangi pemikiran sedar

dan bawah sedarnya supaya setiap tindakan yang diambil tidak akan menjejaskan etika profesionnya yang akan meninggalkan impak ke atas semua pihak termasuklah dirinya sendiri. Sememangnya banyak isu yang timbul atau ditimbulkan melibatkan guru dilihat sebagai melanggar etika perguruan seperti isu melakukan kegiatan menyalahgunakan dadah sebagai pekerjaan sambilan. Etika seorang guru yang perlu dipatuhi melibatkan tanggungjawabnya terhadap semua pihak yang terlibat dengannya secara langsung atau tidak langsung. Pelanggaran etika perguruan sebagai profesionnya akan mengakibatkannya dilabel sebagi individu gagal dan bersahsiah negatif. Secara keseluruhannya dapatlah saya rumuskan bahawa setiap individu telah dilahirkan dengan sifat-sifat yang baik dan faktor-faktor pembelajaran, nilai, pergaulan banyak mempengaruhi keputusan yang dibuat. Setiap isu yang timbul melibatkan guru sebenarnya bukan menunjukkan kegagalan guru secara keseluruhannya, namun ia hanyalah kegagalan guru terlibat secara individu disebabkan kegagalannya menterjemahkan sesuatu keburukan yang dilakukan akan meninggalkan impak terhadap dirinya serta banyak lagi pihak yang lain. Kebebasannya untuk membuat sesuatu pilihan dan keputusan menyebabkannya gagal menginterpretasikannya dalam keadaan yang betul lantaran wujud gangguan psikologi kawalan luaran yang menghalangnya daripada membuat keputusan yang terbaik. Semuanya adalah kerana kekurangan nilai dan moral serta akibat beberapa keperluan asasnya tidak dapat dipenuhi dengan baik.
Posted by edu3108ipgktb at 03:45 Email ThisBlogThis!Share to TwitterShare to Facebook Labels: Isu Keguruan 2: Guru Kerja Sambilan oleh Nursyahida bt Mohd Yusoff

1 comment:
1. emi nizam7 January 2013 07:38 salam... good job. belajar rajin2. nanti kalau buat kajian ilmiah harus lebih berintegriti dalam mendapatkan maklumat dan bahan. okay :P Reply

Newer PostOlder PostHome


Subscribe to: Post Comments (Atom)

About Me

edu3108ipgktb

erupakan cetusan idea empat orang guru pelatih 8 PISMP Prasekolah IPGKTB. Blog ini diwujudkan untuk memenuhi ubjek EDU 3108: Asas Kepimpinan dan Perkembangan Profesional Guru. Selain itu, ia juga bertujuan untuk berkongsi dengan pengunjung blog ini. Terima kasih. View my complete profile

Feedjit Blog Archive


2012 (5) o September (5) Artikel 4: Guru Wanita Trauma Dicabul Artikel 3: Isu Kerjaya Guru Bukan Pilihan Terakhir... Artikel 2: Isu Guru Menjalankan Kerjaya Sambilan Artikel 1 : Guru Sambung Belajar Selamat Datang ke blog kami

Followers
Watermark template. Powered by Blogger.

Anda mungkin juga menyukai