Anda di halaman 1dari 20

PERANAN KELUARGA DALAM MENANGANI GEJALA SOSIAL Pada alaf globalisasi dan modenisasi ini, gejala sosial sentiasa

menghiasi lembaran akhbar. Gejala sosial yang semakin meruncing telah menggusarkan masyarakat. Fenomena ini diibaratkan duri dalam daging dalam sosial kita. Kenapa pembangunan mentaliti rakyat kita tidak selaras dengan pembangunan fizikal kita sehingga penyakit sosial sentiasa menjadi-jadi bagai cendawan tumbuh selepas hujan? Tampaknya, masalah gengsterisme, vandalisme, samseng jalanan, pembuangan bayi, remaja lari dari rumah sering berkait rapat dengan kebejatan institusi keluarga. Walhal, peranan keluarga amat signifikan untuk mengekang sindrom sosial terutamanya masalah remaja. Salah satu peranan institusi keluarga adalah ibu bapa perlu memberikan didikan agama dan moral kepada anak mereka sejak kecil kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Didikan agama dan moral bagaikan perisai yang berupaya menghalang segala godaan maksiat . Senario ini dapat membantu anak-anak mengelakkan diri daripada terlibat dengan gejala sosial. Sebagai contoh, bapa boleh mengajar anakanak mereka sendiri atau menghantar mereka ke sekolah agama. Ketua keluarga perlu membimbing anggota keluarga untuk menjalankan solat sembahyang dan mengaji kitab-kitab. Sehubungan dengan itu, anak-anak dapat membezakan antara kaca dengan permata kerana mempunyai jati diri yang kukuh sebagai pedoman hidupnya. Selain itu, ibu bapa juga bertanggungjawab untuk mengawasi pergerakan anak-anak. Ibu bapa perlulah mengawasi tingkah laku anak mereka sama ada di sekolah mahu pun di luar kawasan sekolah. Hal ini terjadi demikian kerana banyak pengaruh luaran seperti pengaruh rakan sebaya akan menghasut jiwa remaja yang bertelinga nipis dan pantang dicabar. Jika rakan sebaya mereka tidak berperibadi mulia, remaja yang setahun jagung dan darah setampuk pinang pasti akan mengikut jejak langkah rakan mereka, seperti melepak, berlumba haram dan sebagainya. Lantarannya, pergaulan anak tidak boleh dipandang enteng oleh ibu bapa. Dengan kata lain , ibu bapa perlu mewujudkan keluarga yang bahagia demi membentuk personaliti anak-anak yang mulia sehingga berjaya. Tidak dapat disangkal lagi bahawa ibu bapa dan ahli keluarga yang lebih tua perlu menjadi contoh dan teladan yang baik kepada anak-anak. Suri teladan ibu bapa mampu membentuk sahsiah anak-anak. Tambahan pula, sikap anak-anak yang suka meniru apa-apa sahaja yang dilihatnya. Bak kata peribahasa, bagaimana acuan begitulah kuihnya. Ibu bapa perlu menjauhi kegiatan yang negatif seperti merokok, minum alkohol, mengakses laman web lucah dan lain-lain lagi. Bapa borek anak rintik merupakan peribahasa yang perlu dihayati oleh ibu bapa. Sikap ibu bapa yang ego, individualistik, materialistik, dan bongkak akan mencanai generasi muda yang berakhlak biadab dan berbudaya sumbang.

Dimensi keluarga 2013

Dalam pada itu, kasih sayang yang sempurna dan kamil amat diperlukan oleh anakanak. Ekoran daripada itu , ibu bapa wajar memberikan kasih sayang yang sepenuhnya kepada anak-anak. Kejadian ini berlaku kerana anak-anak yang kurang mendapat kasih sayang akan mudah terpengaruh oleh gejala sosial. Ibu bapa perlu sentiasa melayani anak mereka bagai menatang minyak yang penuh. Sebagai contoh, ibu bapa sewajarnya membelai dan mengucapkan kata-kata sayang kepada anak-anak mereka. Sementelahan, ibu bapa perlu memberikan pujian yang ikhlas ketika anak mereka mencapai sesuatu kejayaan atau melakukan perkara yang betul. Dengan itu, anak-anak akan berasa gembira dan seronok berada di rumah bersama-sama keluarga mereka. Mereka pun sanggup meluahkan isi hati ketika mengalami kemusykilan kerana ibu bapa mereka bersedia mendengar rintihan jiwa mereka. Ternyata keluarga yang harmoni berdominan untuk membanteras kegiatan negatif. Di samping itu , setiap ahli keluarga juga perlu sentiasa berkongsi masalah. Ibu bapa harus sentiasa bertanyakan masalah anak-anak. Seterusnya, ibu bapa perlu membantu anak-anak menyelesaikan masalah yang dihadapi. Sebagai contoh, ibu bapa boleh meluangkan masa untuk membantu masalah pelajaran anak-anak. Sebaliknya anakanak perlu memahami tanggungjawab dan bebanan ibu bapa mereka. Anak-anak perlu sentiasa membantu ibu bapa membuat kerja rumah tangga untuk meringankan tekanan mereka. Dengan itu, setiap anggota keluarga akan berasa diri mereka diberikan perhatian oleh ahli keluarga yang lain. Aktiviti keluarga seperti gotongroyong dan hari keluarga patut diadakan dari semasa ke semasa supaya mengeratkan silaturahim sekeluarga. Secara tuntasnya, segala langkah di atas tidak akan berjaya sekiranya tidak mendapat kerjasama daripada semua ahli keluarga seperti ibu bapa, abang dan kakak. Slogan Keluargaku, syurgaku, dan Semakin hari semakin sayang patut dihayati oleh seisi komuniti kita supaya melahirkan masyarakat madani dan sakinat. Soalan 10 : Setiap ahli keluarga memainkan perananan masing-masing untuk menjamin kebahagiaan keluarga. Selain ibu bapa, setiap anak perlu memikul tanggungjawab untuk membahagiakan keluarga. Bincangkan peranan anak untuk membahagiakan institusi kekeluargaan. Setelah mendepani gelombang globalisasi yang penuh dengan ranjua dan onak duri, hubungan institusi kekeluargaan semakin renggang. Hal ini turut mencetuskan pelbagai sindram sosial yang bagai duri dalam daging masyarakat kita, terutamanya penganiayaan kanak-kanak, lari dari rumah, mat rempit, penagihan dadah dan lain-lain lagi. Dalam konteks ini, ibu bapa sering diberikan amanah yang berat untuk memperkukuh ikatan institusi kekeluargaan. Bagiamanapun, bertepuk sebelah tidak akan berbunyi. Anak yang masih kecil juga perlu memikul tanggungjawab untuk menjamin kebahagiaan keluarga. Hal ini seiring dengan katakata mutiara, Orang yang paling tidak bahagia ialah mereka yang paling takut
2 Dimensi keluarga 2013

pada perubahan. Lantaran itu, anak yang kecil juga perlu dicelikkan peranan mereka dengan mengubah sikap mereka untuk menjayakan program keluargaku, syurgaku.

Salah satu peranan yang prioriti anak untuk menjamin kebahagiaan keluarga adalah bersahsiah mulia dan berbudi bahasa. Hal ini demikian kerana tingkah laku anak yang sopan dapat melegakan ibu bapa yang menghadapi pelbagai persaingan dalam kerjaya mereka. Hal ini selaras dengan peribahasa, yang merah itu saga, yang kurik itu kundi, yang baik itu bahasa, yang indah itu budi.Sehubungan dengan itu, setiap anak perlu sentiasa bertutur dengan lemah lembut dan berhemah tinggi untuk melayani ibu bapa mereka. Kita tidak patut bertengkar dengan adik-beradik sehingga merisaukan orang tua kita. Sebagai jantung hati ibu bapa, anak hendaklah bersalam kepada orang tua dan mesti meminta kebenaran daripada mereka sebelum membuat sesuatu keputusan. Kata-kata hikmat harus sentiasa tertanam dalam bibir anak, seperti terima kasih, maafkan saya, bolehkah saya, tolong dan lainlain lagi. Segala penat lelah ibu bapa akan reda ketika menghadapi anak mereka yang berperangai murni . Tegasnya, tingkah laku anak yang berjati diri dan berbudi bahasa dapat meningkatkan keharmonian dalam rumah.

Selain itu, anak perlu mendukung tanggungjawab untuk meringankan beban ibu bapa dengan melakukan kerja rumah tangga. Pada alaf baru yang sentiasa berkompetitif, kebanyakan ibu telah bekerja di luar di samping memainkan peranan sebagai suri rumah tangga. Senario ini menyebabkan mereka sentiasa menghadapi lambakan kerja yang tidak pernah habis. Sebagai anak yang bertimbang rasa, kita juga patut melakukan kerja-kerja rumah tangga untuk meringankan beban ibu yang disayangi. Sebagai contoh, kita boleh menyapu rantai, mencuci baju dan kasut sekolah , mengelap tingkap, mencuci kereta malah memasak. Semangat berat sama dipikul, ringan sama dijinjing harus diamalkan oleh setiap ahli keluarga. Bagaimanapun, kebanyakan remaja sekarang meremehkan kerja rumah tangga malah keadaan bilik mereka berselerakan. Ibu bapa yang penat dan sibuk dengan kerja rumah tangga pasti tidak mungkin dapat menaruh kasih sayang kepada anak mereka bagai menatang minyak yang penuh. Dengan kata lain, anak yang sanggaup melakukan kerja-kerka rumah tangga dapat meningkatkan kualiti kesejahteraan keluarga.

Seterusnya, anak yang bertanggungjawab hendaklah berdisiplin dan menjauhi kegiatan yang negatif. Sejak kebelakangan ini, ibu bapa sentiasa gelisah dan risau akan anak mereka yang terlibat dalam pelbagai kemelut sosial, tamsilnya gengsterime, vandalisme, melepak, mat rempit, merokok bahkan menagih dadah. Silaturahim ibu bapa dengan anak semakin tegang dan tidak mesra lagi ketika ibu
3 Dimensi keluarga 2013

bapa asyik menegur perbuatan anak mereka yang tidak sihat. Sebelum senario ini terjadi, anak yang terdidik perlu ada kesedaran diri dan membuat pertimbangan yang sewajarnya. Golongan remaja dan belia harus memiliki keimanan sebagai pedoman bagai jauhari yang mengenal manikam. Ajakan syaitan dan bisikan iblis harus dijauhi dengan mendalamkan ajaran agama. Ketika menghadapi sesuatu dilema, anak perlu meminta nasihat daripada ibu bapa atau adik-beradik mereka. Seandainya anak dapat mengamalkan prinsip yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan, mereka pasti dapat melepaskan diri daripada kepompong sindrom sosial. Perselisihan dalam keluarga pasti dapat diminimumkan. Natijahnya, anak yang berdisiplin dapat memastikan keamanan keluarga mereka.

Di samping itu, salah satu peranan anak adalah menghargai jasa ibu bapa mereka. Nilai kesyukuran perlu ada pada setiap insan. Kata orang yang bijak pandai, orang yang bersyukur ialah manusia yang bahagia kerana dapat menikmati segala kurniaan-Nya.Rentetan daripada itu, setiap anak perlu menghargai segala nikmat yang diperoleh. Mereka perlu mengenang jasa ibu bapa seperti peribahasa, hutang emas boleh dibayar, hutang budi dibawa mati. Untuk berterima kasih kepada ibu bapa yang mengasuh, membimbing dan mendidik kita, sebagai anak, kita harus taat dan hormat kepada mereka. Ketika hari jadi ibu bapa, anak boleh membuat kad hari jadi kepada mereka. Anak boleh membeli hadiah kepada ibu bapa dengan wang saku. Kad yang berharga satu dua ringgit itu membawa makna yang tidak ternilai kepada penerima kerana anak itu sedar akan kesusahan dan pengorbanan ibu bapa mereka. Ketika Hari Bapa atau Hari Ibu, adik-beradik boleh menyediakan hidangan yang disukai oleh ibu bapa untuk mengambil hati mereka. Natijahnya, anak perlu menghargai jasa ibu bapa mereka dan berusaha membahagiakan mereka.

Sementelahan, anak berkewajipan untuk belajar dangan bersungguh-sungguh. Anak yang cemerlang dalam akademik, kokurikulum dan sukan dapat mengharumkan nama keluarga. Ibu bapa akan berasa bahagia dan berpuas hati ketika anak mereka mencapai kejayaan dalam pelajaran. Tidak dapat dinafikan bahawa senario ini merupakan impian setiap ibu bapa. Mereka bekerja keras untuk menyekolahkan anak mereka supaya anak mereka dapat melanjutkan pelajaran ke menara gading. Sebagai pelajar, anak perlu memikul tanggungjawab tersebut dengan belajar bersungguhsungguh, ibarat genggam bara api, biarlah sampai jadi arang. Kepandaian atau kecerdikan setiap orang adalah berbeza tetapi usaha tangga kejayaan. Jika setiap anak dapat menelaah pelajaran dengan tekun dan teliti, pelajaran mereka pasti dapat menuju ke arah kegemilangan kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Segala usaha yang pahit dapat melahirkan buah yang manis. Kecemerlangan anak dalam pelajaran turut membantu mereka memperoleh biasiswa sehingga
4 Dimensi keluarga 2013

meringankan beban ibu bapa untuk menanggung kos pendidikan anak. Dengan kata lain, anak perlu belajar dengan tekun untuk mengharumkan nama keluarga.

Secara tuntasnya, anak memainkan peranan yang penting untuk membahagiakan keluarga mereka. Anak yang bersopan, bertanggungjawab, berdisiplin, rajin dan menghargai jasa ibu bpa dapat mencambahkan keluarga yang sakinat. Walau bagaimanapun, setiap anggota keluarga perlu bermuafakat seperti peribasasa, bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat untuk mewujudkan institusi kekeluargaan yang utuh dan sejahtera. Atas persefahaman dan kerjasama setiap anggota keluarga, progaram Keluargaku, syurgaku dan Semakin Hari Semakin Sayang baru dapat direalisasikan.

Dicatat oleh CIKGU RAZAK di Jumaat, September 09, 2011 1 ulasan: Label: karangan dimensi keluarga pmr Reaksi: Karangan peranan ibu bapa 4 Soalan 7: Jelaskan peranan ibu bapa dalam membentuk masyarakat penyayang. Pada alaf baru ini, ibu bapa memberi peranan yang penting kepada masyarakat dan negara. Media cetak mahupun media elektronik sering menyiarkan isu ini. Dalam kalangan ibu bapa dalam masyarakat ini selalu diberi perhatian oleh orang ramai terutamanya kerajaan. Menurut Perdana Menteri Malaysia ke-5 Dato Seri Abdullah Bin Haji Ahmad Badawi memberitahu bahawa membentuk masyarakat penyayang amat penting sekali. Oleh itu, terdapat pelbagai langkah-langkah yang boleh diambil untuk membentuk masyarakat penyayang. Sehubungan dengan hal itu, ibu bapa seharusnya memberikan kasih sayang kepada anak-anak. Namun begitu, terdapat kalangan ibu bapa yang mengabaikan anak-anak mereka. Hal ini kerana, ibu bapa tersebut lebih mementingkan kemewahan hidup dan kekayaan. Oleh itu, ibu bapa seharusnya meluangkan lebih banyak masa dengan anak-anak mereka pada alaf globalisasi ini. Sebagai contoh, ibu bapa boleh membawa anak-anak mereka semasa cuti sekolah untuk mengeratkan hubungan dan mengurangkan tekanan anak-anak dalam aspek pembelajaran serta ibu bapa. Jadi, impian ibu bapa atau negara untuk membentuk masyarakat penyayang akan tercapai jua. Sejajar dengan itu, ibu bapa sewajarnya memberi didikan agama kepada anak-anak semenjak kecil lagi. Bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. Sebaliknya, ibu bapa mengagung-agungkan kemodenan sehingga mengabaikan anakanak dalam didikan agama. Hal ini kerana, mereka beranggapan didikan agama tidak
5 Dimensi keluarga 2013

penting dalam arus kemajuan teknologi satelit masa kini. Oleh itu, ibu bapa sewajarnya menerapkan didikan agama kepada anak-anak mereka. Misalnya, menggalakkan anak-anak mengikut kelas kifayah supaya anak-anak akan menjadi insan yang berakhlak mulai. Di samping itu, mereka seharusnya memberikan pengajaran yang baik kepada anak-anak mereka ketika anak-anak itu masih dalam buaian lagi. Jelaslah, hasrat ibu bapa dalam melahirkan generasi yang berguna akan menjadi kenyataan pada suatu hari nanti. Malahan, ibubapa haruslah menyediakan semua keperluan atau kemudahan kepada anak mereka. Penyediaan tempat belajar yang sesuai amat penting. Begitu juga dengan hubungan ayah dan ibu yang mesra tanpa sebarang masalah sudah pasti akan memberi keselesaan kepada anak untuk menjadi manusia yang penyayang. Ringkasnya, sikap ibubapa yang sebegini mampu melahirkan satu generasi muda yang penyayang di negara ini. Seiring dengan itu, ibu bapa seharusnya menunjukkan contoh teladan yang baik kepada anak-anak. Namun demikian, terdapat kalangan ibu bapa yang berperangai buruk. Contohnya, menjadi penagih dadah, pencuri, perogol dan sebagainya. Hal ini jelas, mereka akan mengalami kesempatan wang dan tekanan emosi. Bak kata pepatah bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Hal ini demikian, ibu bapa perlu menunjukkan sikap yang baik kepada anak-anak sejak kecil lagi. Umpamanya, mengamalkan tabiat rajin membaca buku di hadapan anak-anak. Lama-kelamaan tabiat ini dalam kalangan generasi muda akan mengikut tabiat yang positif ini. Ringkasnya, peranan ibu bapa amatlah besar dalam melahirkan masyarakat yang berguna pada alaf globalisasi ini. Tuntasnya, semua pihak sewajarnya memberikan kerjasama kepada pihak kerajaan dan pihak swasta. Dalam hal ini, ibu bapa memainkan peranan yang terpenting untuk memupuk masyarakat penyayang. Justeru, peribahasa bagai aur dengan tebing hendaklah diamalkan oleh semua warganegara Malaysiaterutamanya generasi muda sejak belakangan ini. Soalan 8 :Peranan keluarga dalam memupuk semangat perpaduan. Terdapat peribahasa Melayu yang berbunyi ,"bulat air kerana pembentung , bulat manusia kerana muafakat ". Semangat perpaduan berperanan signifikan dalam usaha melahirkan masyarakat yang bermuafakat dan menyemarakkan semangat integrasi nasional dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum selaras inspirasi "Satu Malaysia". Walau bagaimanapun , alangkah kecewanya melihat semangat yang murni ini kian hari kian di telan dek kemodenan dan diabaikan oleh generasi muda mutahir ini . Untuk mengelakkan semangat perpaduan daripada terkubur begitu sahaja , institusi keluarga memainkan peranan vital untuk menyuntik semangat perpaduan yang luhur dalam sanubari generasi muda yang merupakan bakal pelapis kepimpinan tanah air.
6 Dimensi keluarga 2013

Setelah meneliti dan mengkaji sehingga ke akar umbi , teladan ibu bapa atau lebih dikenali sebagai "role model" merupakan uslub primer yang efektif dan pragmatik untuk menyemai semangat solidariti dalam kalangan anak-anak. Dalam konteks ini , ibu bapa wajar menunjukkan suri teladan yang baik dengan menjalinkan perhubungan yang yang erat dan karib dengan jiran tetangga. Sempena sambutan perayaan , ibu bapa haruslah mengadakan majlis rumah terbuka . Secara tidak langsung , amalan ini dapat membentuk ikatan silaturahim dan memperkukuh semangat kejiranan dalam kalangan jiran tetangga setempat. Justeru, perpaduan akan bertambah utuh dan teguh . Di samping itu , memang tidak dinafikan bahawa ibu bapa turut berperanan penting dalam mengajar anak-anak mereka menghayati prinsip-prinsip Rukun Negara serta menghormati adat istiadat kaum-kaum lain dengan penuh berdedikasi. Pada realitinya , ibu bapa haruslah memastikan generasi muda berpegang teguh kepada prinsip-prinsip Rukun Negara untuk melahirkan masyarakat yang bersatu-padu dan harmoni dalam pelbagai aspek. Bertitik tolak daripada itu , ibu bapa turut bertanggungjawab memastikan anak-anak mereka memahami dan menghormati adat istiadat , pantang larang serta kebudayaan pelbagai kaum di Malaysia demi mengelakkan konflik antara kaum . Selain itu , semangat mahmudah yang jitu ini turut mampu diterap dalam jiwa generasi muda melalui dorongan yang diberi oleh anak-anak mereka untuk menyertai aktiviti-aktiviti yang dapat mengukuhkan perpaduan antara kaum di sekolah seperti PLKN , RIMUP dan sebagainya. Maka , program-program khas yang diwujudkan untuk remaja ini amatlah efektif dalam menjana peluang untuk mewujudkan interaksi antara generasi muda. Strategi serampang dua mata ini bukan sahaja dapat menyemai semangat perpaduan dalam kalangan remaja malahan mampu menyemarakkan semangat patriotisme mereka , bak kata pepatah "sambil menyelam minum air". Bukan itu sahaja , langkah bercerita tentang susur galur sejarah bangsa Malaysia kepada anak-anak juga merupakan satu minhaj yang ideal diambil oleh ibu bapa. Ibu bapa perlu menekankan bahawa kemerdekaan tanah air kita yang dicapai hari ini adalah berkat perjuangan semua kaum dan semua anak watan wajib menghargai titik peluh bekas pemimpin kita yang tidak ternilai ini. Sebagai analoginya , generasi muda yang umur baru setahun jagung , darah baru setampuk pinang tidak akan terlalu taksud dengan kenikmatan materialistik sehingga hidup dalam kepompong sendiri dan mengambil enteng tentang kepentingan mewujudkan perpaduan dalam tanah air sendiri . Seterusnya, ibu bapa juga perlulah menggalakkan anak-anak mereka menonton filem , drama dan iklan yang bertemakan perpaduan antara kaum. Statistik yang sahih telah menunjukkan filem-filem ini memang jauh lebih efektif dan berkesan berbanding
7 Dimensi keluarga 2013

dengan bahan bertulis kerana persembahan media elektronik lebih menarik , kreatif dan inovatif. Maka , pelbagai iktibar dan pengajaran dapat diperoleh oleh generasi muda melalui persembahan-persembahan elektronik ini . Rentetan itu, wujudlah garis panduan yang berladaskan segala iktibar dan pengajaran yang diperolehi oleh generasi muda untuk mengecapi perpaduan dan keharmonian . Seperti yang terkandung dalam pepatah Melayu "bersatu kita teguh, bercerai kita roboh", semangat perpaduan yang menjadi panduan hidup anak watan merupakan inti kepada pembentukan masyarakat sakinat dan harmoni. Untuk merealisasikan matlamat ini , iaitu membentuk masyarakat sakinat dan mengecapi perpaduan antara kaum , segenap lapisan masyarakat sayugialah bersinergi bagai aur dengan tebing dan jangan sekali-kali bernafsi-nafsi bagai enau dalam belukar ,melepaskan pucuk masing-masing . sebagai intihanya , iltizam dan komitmen masyarakat amatlah vital dan berperanan signifikan . Dicatat oleh CIKGU RAZAK di Jumaat, September 09, 2011 Tiada ulasan: Label: karangan dimensi keluarga pmr Reaksi: Karangan peranan ibu bapa 3 Soalan 5: Faktor-Faktor Lepak dan hubungan Keibubapaan di kalangan Pelajar Remaja Masalah sosial memberikan gambaran umum mengenai pelbagai gejala yang tidak baik berlaku di seluruh dunia dengan memberikan penumpuan kepada beberapa gejala sosial yang berlaku di Malaysia. Masalah sosial dan psikologikal di kalangan remaja telah banyak menarik perhatian ramai orang. Masalah sosial bersifat subjektif dan boleh berubah mengikut keadaan, tempat dan masa. Laporan yang disiarkan di dada akhbar, majalah dan media massa telah membuktikan kepada umum bahawa gejala tidak sihat telah melanda kaum remaja di Malaysia. Kegiatan melepak merupakan suatu masalah sosial yang dipandang serius oleh masyarakat Malaysia. Ia telah menjadi tema perbincangan forum, seminar, bengkel dan ceramah mengenai remaja. Gejala membuang masa dengan melepak pastinya merupakan suatu penyakit di dalam masyarakat. Kegiatan ini bukan sahaja dilakukan oleh remaja lelaki tetapi juga remaja perempuan. Tingkah laku ini dilakukan oleh golongan remaja yang menjadi golongan terbesar penduduk negara. Golongan remaja yang dianggap oleh Hall (1904) sebagai kumpulan individu yang sedang berada di dalam zaman yang penuh dengan keributan dan tekanan perasaan. Kedudukannya di dalam tahap yang sedang memikirkan tujuan kehidupan. Menurut Harre dan Lamb (1983) remaja mula melakukan penyesuaian diri yang lebih kompleks dengan keluarga, teman sebaya dan guru, melalui aktiviti seharian dan kehidupan sosial sesuai dengan perasaannya.
8 Dimensi keluarga 2013

Corak didikan ibu bapa adalah aspek utama yang memberi kesan mendalam terhadap perkembangan fizikal, mental dan sosial seseorang individu. Secara tidak langsung ia membentuk personaliti seseorang individu. Ini bermakna ibu bapa mempunyai tanggungjawab yang besar dalam mendidik anak-anak. Ibu bapa perlu melengkapkan diri dalam bidang keibubapaan untuk membentuk diri dan jiwa anakanak ke arah kebaikan. Tingkah laku ibu bapa akan dapat mempengaruhi jiwa anakanak. Robiah et.al (2001) berpendapat kepercayaan agama adalah tenaga paling unggul bagi menentang semua unsur negatif yang menyerang emosi dan mental. Pegangan prinsip dan pendirian yang kukuh berlandaskan ajaran agama dapat mencegah remaja daripada dipengaruhi oleh unsur-unsur pergaulan bebas yang melampaui batasan. Sarina Othman (1995) mengatakan pendidikan agama yang disemai sejak zaman kanak-kanak dapat membentuk remaja yang mempunyai nilai-nilai murni dalam jiwa serta dapat menolak unsur-unsur yang bertentangan dengan ajaran agama. Anak-anak remaja khasnya pelajar yang terlibat dengan masalah disiplin di sekolah akan mengakibatkan penurunan prestasi dalam pelajaran. Sememangnya secara logik dapat dilihat perkaitan yang ketara antara disiplin dengan pencapaian akademik. Sebagaimana kajian Othman (dalam Oskasmazila, 2000) yang dijalankan kepada 723 sampel dari sepuluh buah sekolah di daerah Johor Bahru. Dapatan beliau menunjukkan bahawa suasana keluarga murid-murid tidak mempunyai kesan langsung yang signifikan terhadap tingkah laku akademik mereka. Walaupun remaja sedang menuju ke arah berdikari, mereka memerlukan ibu bapa yang dapat memberi sokongan kepada mereka. Menurut Small (1990) menyatakan remaja inginkan ibu bapa yang menghormati mereka, memberi kasih sayang, mempunyai minat yang sama, mengakui dan menerima perkembangan kognitif dan sosioekonomi mereka. Keibubapaan yang merupakan corak asuhan dan peranan ibu bapa pasti berfungsi dalam menunjukkan arah, membimbing, mendidik dan menggerakkan individu yang berada dalam institusi tersebut. Ibu bapa mempunyai tanggungjawab memberi didikan agama kepada anak-anak. Kewajipan ini mesti dilaksanakan dengan contoh dan amalan seharian. Solat berjemaah adalah cara yang terbaik mengumpulkan semua ahli keluarga. Perbincangan, teguran dan ajaran boleh dilakukan selepas solat. Hukum-hakam dan peraturan agama mengenai hidup perlu diajar kepada anak sebelum mereka mencapai baligh, khususnya perkara-perkara yang seksualiti. Kesimpulannya, aktiviti melepak bukanlah perkara baru, ianya sudah lama wujud di Malaysia. Ibu bapa sewajarnya turut memberi perhatian kepada corak asuhan dan peranan ibu bapa yang dilakukan di rumah kerana ianya memberi kesan yang tersendiri kepada
9 Dimensi keluarga 2013

keterlibatan aktiviti lepak dalam kalangan anak-anak mereka. Ibu bapa perlu melengkapkan diri anak-anak mereka dengan ilmu agama yang cukup. soalan 6 : Peranan keluarga dalam pembangunan modal insan. Dalam era globalisasi tanpa limitasi ini, negara Malaysia kini sedang pesat membangun dari sehari ke sehari. Persoalannya, apakah faktor yang mendorong pembangunan ini? Sebenarnya, pembangunan negara adalah sejajar dengan pembangunan modal insan kelas pertama yang berilmu pengetahuan dan berkemahiran tinggi. Modal insan ini lahir daripada generasi muda kita yang berwawasan tinggi. Generasi yang berwawasan memiliki sikap-sikap positif seperti dinamik, proaktif, beriltizam dan berdaya saing. Tetapi apakah pula rahsia pembentukan generasi berwawasan yang mendukung pembangunan modal insan di negara ini? Dalam hal ini, keluarga memainkan peranan dan tanggungjawab yang sangat penting untuk dipikul demi merealisasikan hasrat negara untuk melahirkan lebih ramai modal insan yang cemerlang dalam pelbagai aspek.Generasi hari ini merupakan pemimpin masa hadapan. Mereka mesti menyediakan diri dengan ciri-ciri kepimpinan dan memantapkan ilmu serta kemahiran. Di sini jugalah keluarga khususnya ibu bapa memainkan peranan untuk memimpin tangan dan membantu anak mereka dalam mengharungi kehidupan dengan cara yang paling efektif sekali. Hal ini demikian kerana keluarga merupakan pihak yang paling dekat dengan anak-anak. Ibu bapa seharusnya menunjukkan teladan yang baik terhadap anak-anak kerana segala perbuatan dan tingkah laku ibu bapa pasti akan diikut oleh anak-anak mereka. Di mana tumpahnya kuah kalau bukan ke nasi merupakan peribahasa yang relevan dengan isu ini. Sudah menjadi lumrah hidup manusia, anak-anak sememangnya akan akan memperhatikan dan meniru gerak tari ibu bapanya. Jika sumbang gerak tari ibu bapanya maka sumbanglah juga gerak tari mereka. Justeru, ibu bapa perlu bersikap optimistik tidak kira dalam apa-apa keadaan demi memastikan anak-anak sentiasa berada di landasan yang betul dan seterusnya melahirkan anak yang sentiasa bersikap positif.Selain itu, ibu bapa turut memainkan peranan untuk mewujudkan suasana yang harmoni dalam keluarga. Hal ini demikian kerana suasana yang harmoni dapat mengelakkan anak-anak daripada terlibat dengan gejala negatif. Apabila suasana ini dapat diwujudkan ikatan silaturahim antara keluarga akan lebih utuh. Hal ini seterusnya dapat mengelakkan gangguan emosi dalam kalangan anak-anak dan seterusnya membendung anak-anak daripada tergelincir dari landasan yang benar. Setiap hari di dada akhbar kita dapat melihat bahawasanya remaja kini kebanyakannya terlibat dengan masalah sosial yang menjadi-jadi bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Justeru, ibu bapa dan keluarga harus membimbing dan
10 Dimensi keluarga 2013

memantau anak-anak supaya tidak terjebak ke dalam sesawang negatif dan menghancurkan usaha untuk membina modal insan.Peribahasa Melayu ada mengatakan, kepapaan menajamkan akal manusia, kekayaan menumpulkan akal manusia. Peribahasa ini memberi maksud yang sangat jelas bahawa ibu bapa tidak harus melimpahkan kemewahan terhadap anak-anak kerana kemewahan dan kekayaan akan menyebabkan anak-anak lalai dalam menjalani kehidupan. Sebaliknya anak-anak lebih suka berfoya-foya dan mengabaikan tanggungjawab utama mereka iaitu menuntut dan menimba ilmu. Sememangnya, ibu bapa harus bijak menguruskan kewangan anak-anak mereka dan mendidik mereka bagi mengelakkan mereka tergolong dalam golongan yang lalai dan rugi.Di samping itu, ibu bapa harus mengikuti perkembangan pembelajaran anak-anak dan sentiasa memberi sokongan kepada mereka. Dalam hidup ini, setiap manusia yang memperoleh kejayaan pasti pernah menemui kegagalan pada suatu ketika dahulu. Dalam hal ini, jika anak-anak gagal dalam sesuatu perkara misalnya peperiksaan, ibu bapa tidak seharusnya menghukum mereka sebaliknya memberi dorongan dan menasihati mereka. Pengalaman ialah ibu segala kejayaan merupakan peribahasa Jepun yang sangat sesuai dengan isu ini. Sebaik-baiknya kegagalan yang pernah dihadapi itu dijadikan pengalaman dan sejarah yang tidak boleh diulang kembali. Jelaslah di sini bahawa, dorongan dan sokongan ibu bapa dapat mendidik anak-anak untuk mengawal emosi mereka dan seterusnya membentuk modal insan yang cemerlang dari aspek emosinya. Seterusnya, didikan agama merupakan aspek yang paling penting bagi membentuk generasi yang bersih dari segi rohani dan jasmani. Dalam hal ini juga ibu bapa ialah pihak yang bertanggungjawab untuk menerapkan nilai-nilai agama dalam diri anakanak mereka. Hal ini demikian kerana dengan pengetahuan agama yang menebal dalam diri, anak-anak dapat membezakan perkara yang benar dan batil. Anak-anak juga lebih terdorong untuk melakukan kebaikan dan secara tidak langsung dapat menyuntik semangat mereka untuk berusaha dengan gigih demi mencapai matlamat. Perkara ini juga dapat membina disiplin diri anak-anak dan melicinkan usaha untuk menambah bilangan modal insan dalam negara kita.Natijahnya, ibu bapa dan keluarga memainkan peranan yang begitu penting dalam pembentukan modal insan dalam kalangan anak-anak mereka. Bahawasanya, gabungan nilai-nilai murni, ilmu pengetahuan dan kemahiran serta disiplin diri yang tinggi boleh melahirkan generasi berwawasan yang menjadi akar kepada pembangunan modal insan kelas pertama yang cemerlang dari aspek fizikal, mental dan emosi. Dalam hal ini, ruyung perlulah dipecahkan untuk menikmati sagunya. Oleh itu, ibu bapa tidak boleh berputus asa berusaha untuk mendidik anakanak menjadi insan yang berguna dalam masyarakat, bangsa dan agama serta membatu merealisasikan satu agenda penting negara iaitu melahirkan generasi berwawasan yang menjadi penggerak kemajuan negara.
11 Dimensi keluarga 2013

Dicatat oleh CIKGU RAZAK di Jumaat, September 09, 2011 Tiada ulasan: Label: karangan dimensi keluarga pmr Reaksi: Karangan peranan ibu bapa 2 Soalan 3: Peranan Ibu Bapa Dalam Mengatasi Masalah Remaja Remaja, Ingatlah masa depanmu, Kenanglah, Jasa ibu dan ayahmu, Susah payah mereka membesarkan kita. Cebisan puisi di atas cukup jelas memanifestasikan satu mesej kepada para remaja supaya sentiasa menghargai ibu dan bapa mereka. Umum mengetahui, para remaja marcapada ini terlalu lalai dan leka dibuai arus modenisasi. Penglibatan mereka dalamdelinkuen social sudah menjadi buah mulut dan mauduk utama perbualan orang mutakhir ini. Justeru, ibu bapa dilihat sebagai satu komponen paling utama malah turut dianggap formula yang cukup mujarab bagi mengatasi masalah dalam kalangan remaja. Pertama, ibu bapa perlu menghulurkan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi kepada anak-anak. Hal ini demikian kerana remaja merupakan golongan yang sangat menginginkan perhatian. Naluri mereka yang mudah memberontak sudah pasti dapat ditenangkan menerusi perasaan cinta ibu bapa terhadap anak-anak. Api kemarahan dan banteng keegoan yang menebal di dada mereka pasti mudah diruntuhkan dengan kasih sayang ibarat menatang minyak yang penuh kepada anak-anak. Andai kata remaja ketandusan kasih sayang, sudah pasti mereka akan mecari haluan lain untuk melepaskan diri dari kepompong ketidakselesaan. Natijahnya, mereka akan mula berjinak-jinak dengan najis dadah dan tidak mustahil akan terjerumus dalam kancah kemaksiatan. Berdasarkan statistic yang dikeluarkan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, kadar remaja lari dari rumah kian meningkat sebanyak 5.7 peratus dari tahun 2007 ke 2008. Justeru, sebelum nasi sudah menjadi bubur, ibu bapa perlu mengutamakan anak-anak mereka berbanding hal-hal lain. Selain itu, ibu bapa juga perlu meluangkan masa bersama anak-anak. Hal ini cukup bertepatan dengan langkah Kementerian Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat yang telah mengisytiharkan cuti pada hari Sabtu dan Ahad kepada semua pegawai kerajaan. Perkara ini cukup membuktikan keprihatinan kerajaan Malaysia dalam menyediakan ruang dan peluang kepada ibu bapa untuk bersama anak-anak. Percayalah, anak-anak akan berasa lebih dihargai apabila ibu
12 Dimensi keluarga 2013

bapa menghabiskan masa berkualiti bersama mereka. Tamsilannya, ibu bapa boleh membawa anak-anak melancong, beriadah bersama-sama malahan menjalankan aktiviti kerohanian secara berjemaah. Melihat kepada scenario masyarakat kontemporari, ibu bapa lebih cenderung untuk mengejar materialistic dan menjadikan pejabat sebagai rumah kedua mereka. Sikap ibarat enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing ini perlu dikikis segera bagi memastikan para remaja tidak terlibat dalam gejala social. Maka, jelaslah anak-anak remaja perlu dijadikan priority utama dalam usaha membendung kemelut ini. Di samping itu, ibu bapa perlu menyediakan pendidikan yang secukupnya kepada anak-anak. Pendidikan ini merangkumi pendidikan formal mahupun pendidikan tidak formal. Tindakan kerajaan Malaysia mewajibkan keseluruhan kanak-kanak di negara ini mendapat pendidikan di sekolah amatlah wajar dan perlu disokong. Sehubungan dengan itu, ibu bapa perlulah memastikan anak-anak mereka memperoleh pendidikan sewajarnya, selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Sementelahan itu, ibu bapa juga perlu menerapkan pendidikan berbentuk tidak formal kepada anak-anak. Pengajaran ilmu-ilmu agama dan nilai-nilai murni selaras dengan norma masyarakat pada hari ini amat penting bagi memastikan kerohanian yang mantap dalam diri anak-anak. Ingatlah, segala-galanya bermula di rumah. Begitulah ungkapan kalimah tokoh filsuf terkenal, Franklin D. Roosevelt. Maka, ibu bapalah yang bertindak sebagai agen pencorak utama karakter anak-anak agar mereka tidak mencetuskan cangkaliwang pada hari muka. Justeru, penerapan pendidikan yang sempurna pasti dapat menangani masalah ini. Seterusnya, ibu bapa perlu mengawasi perilaku anak-anak. Peribahasa Melayu ada menyebut, kalau tiada angin masakan pokok akan bergoyang. Setiap perbuatan yang dilakukan oleh anak-anak pasti ada penyebabnya. Sehubungan dengan itu, adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk sentiasa mengikuti perkembangan diri anak-anak remaja mereka. Pergaulan bebas anatara lelaki dan perempuan sudah sinonim dengan masyarakat. Seluar ketat, baju singkat hingga menampakkan pusat ibarat suatu adat. Maka, di sinilah ibu bapa perlu memainkan peranannya iaitu meninjau perubahan sikap anak-anak mereka. Serbuan pihak polis di kota metropolitan Kuala Lumpur iaitu di kelab-kelab malam disana mendapati hampir 15 peratus anak-anak remaja di bawah umur ditahan positif dadah. Perkara ini jelas menunjukkan andai ibu bapa membiarkan anak-anak mereka tanpa tempat bergantung, mereka akan mudah terlibat dalam kebejatan sosial pada masa ini. Maka, ibu bapa perlu bertindak proaktif dan pragmatic dalam usaha membasmi gejala sosial dalam kalangan anak-anak remaja. Akhir sekali, ibu bapa perlu melengkapkan keperluan asas anak-anak. Sekali air bah, sekali pantai berubah. Begitu juga dengan perkembangan dunia yang kian ekstrem menjengah kita. Justeru, dalam kita mengharung arus pascamodenisme, sudah tentu anak remaja tidak mahu dihimpit dengan ketidakselesaan dan pemikiran yang jumud.
13 Dimensi keluarga 2013

Maka, sebagai ibu bapa, mereka perlu menyediakan keperluan asas anak-anak bagi menjamin keselesaan. Tempat tinggal yang kondusif, pakaian yang bersesuaian serta makanan dan minuman yang berkhasiat perlu disediakan. Hal ini amat penting bagi memastikan anak-anak berasa seronok berada di rumah lantas tidak terlibat dalam gejala sosial. Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh sekumpulan mahasiswa Fakulti Sains Kemasyarakatan, Universiti Malaya, anak-anak remaja daripada golongan miskin lebih cenderung untuk terlibat dalam penagihan najis dadah. Hal ini pastinya akan dapat dibendung andai segala keperluan asas remaja dilengkapkan walaupun ibu bapa tidak melambakkan kemewahan kepada mereka. Intihanya, ibu bapa perlu memantapkan kemahiran keibubapaan mereka lagi dalam mendidik anak-anak. Contohilah ketokohan Luqmanul Hakim yang cukup hebat mendidik anak-anaknya berorientasikan Al-quran dan al-Hadis. Kita tidak mahu remaja-remaja yang bobrok dan kaya dengan pidana dihasilkan. Sebaliknya, kita inginkan barisan remaja yang berkaliber, cukup syumul dan utopia hasil didikan kedua-dua ibu bapa mereka. Marilah kita berubah, sebelum padi di tangan menjadi lalang dan ayam ditambat disambar helang, ayuhlah ibu bapa, berkorbanlah demi masa depan anak-anak tercinta.

Soalan 4 : Obesiti Kanak-kanak: Dimanakah Peranan Ibu Bapa? Norkumala bt. Awang Kanak-kanak montel, mungkin dianggap comel tetapi pernahkah kita terfikir jika kemontelan itu berterusan sehingga dewasa? Di tambah lagi, penyakit tidak berjangkit pada masa kini tidak mengenal usia dan jantina. Bahkan ia terus bermaharajalela dalam masyarakat kita. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa masyarakat kita sekarang sedang membentuk dan menyediakan generasi yang gemuk dan berpenyakit pada masa akan datang. Kanak-kanak obes kini sudah tidak asing lagi dalam masyarakat kita tetapi senario ini tidak dipandang sebagai satu masalah kesihatan awam. Bahkan ia menjadi sesuatu yang normal pada pandangan masyarakat. Hakikatnya, masyarakat kita telah pun menyedari tentang peri penting menjaga kesihatan tetapi kadangkala sikap dan tabiat gaya hidup yang tidak sihat diamalkan secara tradisi menjadi ikutan. Lantas, ia menjadi satu kelaziman dan akhirnya pelbagai masalah yang menyusup masuk dalam kehidupan mengundang bala yang tidak disedari. Lihat saja, berapa ramai antara kita yang sihat, tiba-tiba meninggal dunia akibat penyakit pembunuh secara senyap? Berapa ramai pula sekarang anak-anak telah pun mengidap penyakit diabetes sejak kecil dan paling malang lagi di bangku sekolah telah mengambil suntikan insulin sebagai rawatan diabetes? Siapakah yang harus ditunding jari ? Secara asasnya, pendidikan pemakanan dibentuk oleh kedua ibu bapa, keluarga atau
14 Dimensi keluarga 2013

orang yang menjaga anak-anak sejak dari kecil. Segala aspek bermula daripada pemilihan makanan, tabiat, cara makan dan jenis makanan adalah dicedok daripada apa yang diberikan, dibentuk dan ditunjukkan oleh ibu bapa. Kemudian barulah faktor-faktor luaran yang memainkan peranan dalam membentuk tabiat pemakanan anak-anak. Jika di sekolah, mereka mungkin terpengaruh dengan kawan-kawan dan juga persekitaran yang mereka lalui. Tetapi di rumah, ahli keluarga dan persekitaran rumah adalah penting dalam mencorak pola pemakanan anak-anak. Setiap ibu bapa mahu melihat anak-anak mereka membesar dengan sihat dan kuat. Justeru itu, sudah pastilah anak-anak disediakan dengan makanan yang berkhasiat. Pada umur awal tumbesaran, masalah pemakanan menjadi agenda utama dalam perkembangan mereka. Ini kerana sesetengah kanak-kanak mungkin menjadi kurang berselera dan ada yang mempunyai selera yang berlebihan terhadap sesuatu makanan. Ia adalah lumrah dalam perkembangan awal kanak-kanak. Mungkin disebabkan faktor ini, ibubapa memanjakan anak-anak dengan memberi segala jenis makanan dengan harapan agar mereka mendapat semua khasiat yang diperlukan. Akhirnya mereka gagal untuk mengawal pemakanan malah anak-anak cenderung untuk mengambil makanan secara berlebihan. Tidak mustahil, makanan tersebut juga tidak berkhasiat dan tidak sesuai untuk mereka akhirnya akan menyumbang kepada masalah obesiti. Walaupun faktor genetik atau keturunan tidak dapat dinafikan menyumbang kepada masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak namun punca luaran atau persekitaran tidak boleh dipandang sepi. Kanak-kanak cenderung menjadi obes apabila ibu bapa mereka juga obes. Walaupun berlaku ketidakseimbangan genetik menyebabkan individu makan secara berlebihan namun faktor ini tidak dapat diuruskan dalam kita menangani obesiti kanak-kanak. Namun, kita boleh melihat corak pemakanan anakanak juga dicontohi daripada ibu bapa. Ibu bapa yang tidak mempunyai amalan pemakanan yang sihat boleh menyebabkan anak-anak mengikut acuan tersebut. Dalam pada masa yang sama, kita tidak boleh menyalahkan lambakan satu-satu makanan yang menyebabkan anak-anak kecil menjadi obes. Budaya semasa masyarakat yang gemarkan makanan berkalori tinggi contohnya nasi lemak, roti canai, teh tarik dan makanan segera yang lain juga menyumbang kepada masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak. Corak pemakanan sebegini memberi contoh kepada anak-anak. Namun begitu, ia tidak menjadi satu-satunya punca kepada permasalahan ini berlaku. Oleh itu, amatlah tidak wajar jika trend ini dipersalahkan sedangkan pokok pangkal penyebabnya tidak diperbetulkan. Contohnya, jika makanan seperti nasi lemak mudah didapati tetapi pengambilannya tidak dikawal, maka ia juga boleh menyumbang kepada masalah obesiti disebabkan kekerapan pegambilannya. Pokok pangkalnya adalah pendidikan daripada ibu bapa yang menentukan corak pemakanan mereka.
15 Dimensi keluarga 2013

Dalam hal sebegini, kesibukan ibu bapa menyebabkan pemilihan makanan yang berkhasiat agak terhad. Ibu bapa yang sibuk cenderung memilih makanan segera sebagai hidangan untuk keluarga disebabkan kekangan masa. Akhirnya ia menjadi satu budaya dalam sesebuah keluarga. Begitu juga dengan pengaruh persekitaran seperti rakan sebaya dan media massa memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada permasalahan obesiti kanak-kanak. Jika di sekolah, anak-anak di luar pengaruh dan kawalan ibu bapa, maka rakan sebaya dan persekitaran menjadi contoh utama mereka dalam memilih sesuatu makanan. Di sekolah, pemilihan makanan yang berkhasiat juga terhad malah kebanyakan makanan yang disediakan tidak cukup seimbang, berkalori tinggi, tinggi gula, garam dan juga kolesterol. Kewujudan dan kemudahdapatan snek dan minuman manis seperti "vendor machine" di sekolah juga menyebabkan anak-anak cenderung untuk mengambil gula secara berlebihan. Apatah lagi, jika pembekal makanan di sekolah lebih suka menjual makanan rapu atau "junk food" yang menjadi kesukaan kanak-kanak. Seharusnya pihak tersebut tidak mementingkan keuntungan semata-mata dengan menjual makanan yang tidak berkhasiat. Hal ini demikian kerana makanan ringan akan menyumbang lebih banyak kalori malah menyebabkan pengguna menjadi cenderung untuk mengambilnya lebih banyak dan mengehadkan pengambilan makanan berkhasiat lain. Senario ini kerap berlaku dalam kalangan kanak-kanak, dan mereka lebih cenderung untuk menghabiskan wang belanja harian semata-mata untuk membeli makanan ringan berbanding makanan berkhasiat yang lain seperti hidangan nasi dan sebagainya. Pengambilan kalori yang tinggi, gula dan garam berlebihan akan menyumbang kepada masalah obesiti kanak-kanak. Seharusnya, permasalahan sebegini diberi perhatian serius oleh ibu bapa, pihak sekolah dan juga pembekal makanan di sekolah. Kawalan dan pemantauan terhadap bekalan makanan ringan dan minuman yang tidak baik untuk kesihatan harus dipertingkatkan malah makanan yang tidak berkhasiat ini perlu dihadkan atau diberhentikan penjualannya. Kanak-kanak yang obes akan cenderung menjadi obes apabila dewasa kelak ataupun mengalami berat badan berlebihan sepanjang hayat mereka jika tidak dirawat dan dipantau. Di samping pelan pemakanan yang sihat, anak-anak juga perlu diterapkan latihan fizikal yang mantap. Bukan sekadar menghabiskan masa terluang di hadapan televisyen dan komputer. Ibu bapa yang memiliki anak-anak obes perlu tahu bahawa mengurangkan berat badan dan mengekalkan berat badan unggul adalah satu perkara yang sukar. Justeru, ia memerlukan kefahaman yang mantap tentang permasalahan ini dan menekankan tabiat pemakanan yang sihat. Bukan setakat diterapkan kepada anak-anak malah perlu dilakukan bermula daripada diri sendiri. Barulah ia mempunyai sinergi yang cukup kuat dalam menyediakan kanak-kanak yang sihat dan generasi tidak obes pada masa akan datang.
16 Dimensi keluarga 2013

Kesimpulannya, kita perlu mengamalkan sikap mencegah lebih baik daripada mengubat. Kita perlu mencegah penyakit yang bakal timbul akibat keobesan generasi masa kini dengan menerapkan amalan pemakanan sihat dan berbudaya hidup sihat. Semuanya bermula daripada ibu bapa sebagai pasak utama dalam pendidikan pemakanan anak-anak. Sejajar dengan saranan dalam surah Isra' ayat 7 yang bermaksud "Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga...". Jika kita tidak berkorban untuk anakanak pada hari ini bermakna kita menyediakan generasi yang tidak sihat pada masa akan datang. Ayuh, perkasakan peranan ibu bapa dengan menilai pelan pemakanan sihat anak-anak pada hari ini.

Dicatat oleh CIKGU RAZAK di Jumaat, September 09, 2011 Tiada ulasan: Label: karangan dimensi keluarga pmr Reaksi: Karangan peranan ibu bapa Soalan:Ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam memupuk budaya membaca dalam diri anak-anak. Huraikan pendapat anda tentang pernyataan di atas. Peribahasa bagaimana acuan begitulah kuihnya memberikan bukti yang jelas akan peranan utama ibu bapa dalam aspek pembacaan anak-anak. Ibu bapa menjadi tunggak atau pendorong utama dalam memupuk sikap membaca generasi muda kita kelak. Maka, pelbagai peranan yang mampu dilaksanakan oleh ibu bapa dalam menyelesaikan isu ini. Ibu bapa perlulah menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak dalam aspek ini. Mereka perlulah sendiri mengamalkan sikap membaca dengan jelas seperti membaca semua bahan-bahan penting seperti akhbar atau bersama-sama membaca bersama anak mereka. Contoh yang diberikan oleh ibu bapa ini sudah pasti akan tertanam dalam dalam sanubari anak-anak mereka lalu menjadi satu tabiat positif pula. Malah, ibu bapa boleh membelikan bahan-bahan bacaan yang bersesuaian dengan peringkat umur anak mereka. Bahan bacaan ini tidak semestinya merupakan bahan bacaan sekolah sahaja tetapi mungkin bacaan umum. Kepelbagaian bahan bacaan ini mampu memberikan satu dimensi pengetahuan yang unik kepada anak selain memupuk sikap membaca mereka. Malahan, satu sudut khas untuk menyimpan buku atau ruang membaca harus
17 Dimensi keluarga 2013

disediakan di rumah oleh ibu bapa. Ruang atau bilik ini perlulah dilengkapi dengan pelbagai jenis buku dan kerusi serta meja untuk menjadikan suasana membaca lebih selesa. Bilik ini boleh menjadi tempat anak-anak menghabiskan masa lapang mereka dengan begitu berfaedah. Tambahan pula, ibu bapa boleh menggalakkan anak-anak mereka menyimpan wang untuk membeli buku. Setiap hujung bulan ibu bapa boleh membawa anak ke kedai buku dan membenarkan mereka membeli buku-buku yang mereka suka. Mungkin juga ibu bapa boleh memberi sedikit bantuan kewangan jika harga buku yang dibeli oleh anak itu melebihi daripada wang yang mereka kumpul sebelum ini sebagai tanda menghargai sikap membaca mereka itu. Kesimpulannya, amalan membaca membolehkan pelbagai jenis ilmu diperoleh oleh generasi muda kita. Peranan dan sikap ibu bapa amat penting dalam memupuk sikap membaca ini kerana merekalah yang menjadi teladan kepada anak-anak. Sikap membaca yang tinggi juga mampu menjadikan warga masyarakat kita satu kelompok masyarakat yang berilmu tinggi kelak.

Soalan 2: Peranan Ibu Bapa Mengatasi Masalah Sosial Remaja Baru-baru ini, negara dikejutkan dengan penemuan seorang bayi yang baru lahir dalam bilik air di sebuah sekolah menengah di Gurun. Apa yang lebih menyedihkan ialah masalah ini melibatkan golongan remaja yang diharapkan bakal mencorak kegemilangan negara kelak. Pelbagai strategi telah dijalankan oleh pihak kerajaan dalam usaha untuk membendung masalah ini. Namun, masalah ini masih gagal diatasi. Dalam hal ini, ibu bapa selaku golongan yang paling hamper dengan remaja perlu memainkan peranan yang besar dalam menangani masalah remaja pada masa ini. Ibu bapa hendaklah memberikan kasih sayang yang secukupnya kepada anak-anak. Kasih sayang yang mencukupi akan dapat menghalang anak-anak untuk mencari keseronokan di luar. Namun, sering kali kita lihat, ibu bapa kini lebih cenderung untuk menyerahkan tanggungjawab mendidik dan mengasuh anak-anak kepada pembantu rumah lantaran sibuk dengan kerjaya, seperti kata pepatah, kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan. Tidak dapat dinafikan pada zaman ini, ibu bapa perlu bekerja keras demi menjamin kehidupan yang stabil. Walau bagaimanapun, ibu bapa perlulah bijak membahagikan dan meluangkan masa yang berkualiti bersama anak-anak. Contohnya, ibu bapa membawa anak-anak bersiar-siar pada hujung minggu. Melalui kasih sayang yang secukupnya, anak-anak tidak akan terasa tersisih sehingga menyebabkan mereka terdorong untuk mencari keseronokan
18 Dimensi keluarga 2013

di luar dan terjebak dengan budaya yang tidak sihat seperti melepak, merempit, dan mengunjungi pusat-pusat hiburan. Selain itu, ibu bapa juga perlulah sentiasa menjaga kerukunan rumah tangga. Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat tahun 2007, 90 peratus daripada pelajar yang bermasalah mempunyai latar belakang keluarga yang juga bermasalah. Ibu bapa seharusnya berusaha untuk mewujudkan suasana `Rumahku Syurgaku supaya anak-anak berasa seronok dan tidak tertekan berada di samping keluarga. Bait lagu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, ada menyatakan sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. Masalah dalam keluarga memang tidak dapat dielakkan, namun ibu bapa perlu bijak menyelesaikannya, tanpa perlu sama mengheret anak-anak. Anak-anak yang berasa tertekan dengan keadaan keluarga, mempunyai kemungkinan yang tinggi untuk mereka melepaskan tekanan tersebut di luar rumah. Contohnya, mereka akan membuli rakan-rakan di sekolah. Oleh itu, untuk mengelakkan perkara seperti ini terjadi, ibu bapa perlulah terlebih dahulu memelihara keharmonian rumah tangga. Di samping itu, ibu bapa perlu prihatin terhadap kehidupan sosial anak-anak. Sepertimana yang kita ketahui, rakan merupakan golongan kedua terhampir dengan remaja selepas ibu bapa. Pepatah arab ada menyebut, sekiranya kita berkawan dengan penjual minyak wangi, nescaya kita turut berbau harum dan sekiranya kita berkawan dengan pembuat besi, kita juga akan turut terkena percikan apinya. Ibu bapa seharusnya mengetahui dan memastikan anak-anak mempunyai rangkaian rakan-rakan yang positif dan berminat untuk belajar. Sifat lepas tangan sesetengah ibu bapa yang tidak menghiraukan keadaan anak-anak, mereka akan mendedahkan remaja tersebut untuk berkawan dengan mereka yang bersifat negatif dan terdorong untuk terlibat dengan gejala-gejala yang tidak sihat seperti merokok, mencuri, dan penyalahgunaan dadah. Sesungguhnya, keprihatinan ibu bapa sangat penting dalam memastikan remaja tidak terlibat dengan masalah sosial dan jenyah. Ibu bapa juga perlu menunjukkan teladan yang baik dan menerapkan budaya-budaya sihat kepada anak-anaknya. Kebiasaannya, anak-anak akan terdorong untuk mencontohi perlakuan ibu bapa mereka. Seperti kata pepatah Melayu, bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Ibu bapa perlulah terlebih dahulu membudayakan sifatsifat positif seperti menghormati orang tua, bersifat penyayang dan berdisiplin dengan harapan anak-anak akan berasa hormat kepada kedua-dua ibu bapa mereka dan seterusnya terdorong untuk mencontohi sifat-sifat tersebut. Dalam hal ini, ibu bapa seharusnya menyiapkan anak-anak dengan sifat-sifat terpuji sejak kecil lagi sebelum mendedahkan mereka kepada masyarakat kini yang semakin buas seperti kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Selain itu, ibu bapa berperanan memberikan didikan agama yang secukupnya kepada anak-anak. Didikan agama yang cukup dapat melahirkan anak-anak yang dapat
19 Dimensi keluarga 2013

membezakan antara baik dan buruk serta mempunyai jati diri yang utuh bagi melawan serangan-serangan pemikiran dan budaya negatif. Namun, ibu bapa kini lebih cenderung untuk menghantar anak-anak mereka menghadiri kelas-kelas tambahan akademik berbanding program-program kerohanian, dengan alasan unsurunsur kerohanian tidak memberi sumbangan yang besar kepada kemajuan diri seseorang. Pandangan ini sudah semestinya salah dan harus diubah. Sesungguhnya, tamadun Rom yang pernah gah suatu ketika dulu mampu membina tamadun dan melakar sejarah yang agung kerana rakyatnya mementingkan kestabilan antara unsur rohani, mental, dan fizikal. Sesungguhnya, didikan agama penting dalam mengawal perlakuan remaja supaya mereka tidak terjebak dengan budaya negatif. Kesimpulannya, ibu bapa memainkan peranan penting dalam menangani masalah remaja pada masa ini. Ibu bapa haruslah menyedari bahawa anak-anak ibarat pohon kecil yang perlu sentiasa dibaja dengan kasih sayang dan digemburkan dengan semangat dan harapan agar mereka dapat tumbuh menjadi remaja yang mampu menggalas aspirasi negara pada masa hadapan.

20

Dimensi keluarga 2013