Anda di halaman 1dari 6

Topik 2:

Teori-teori pendidikan seni


Oleh: Hassan Mohd Ghazali
Fakulti Seni dan Muzik

Falsafah Estetika

Pandangan mengenai falsafah dan estetika sangat berhubung rapat tentang


kesenian. Apabila disentuh tentang keindahan maka secara langsung akan
dibicarakan hal-hal yang berkaitan dengan ‘seni’ dan kesenian. Persoalan
estetika banyak dibincangkan oleh ahli-ahli falsafah kuno dan ahli falsafah
sekarang. Apabila persoalan estetika dibahaskan maka secara langsung
persoalan kesenian dan nilai keindahan akan disentuh. Nilai estetika itu
sendiri adalah seni. Perkataan estetika dalam bahasa Yunani ialah
aisthesis membawa maksud hal-hal yang dapat diserapkan oleh
pancaindera atau lebih khusus lagi ialah ‘kepekaan’. Estetika juga boleh
diertikan sebagi persepsi pancaindera (sense of perception). Ahli Filsafah
Jerman bernama Alexander Baumgarten (1714-1716) adalah orang
pertama yang memperkenalkan perkataan ‘aisthetika’. Namun demikian
Cottfried Leibniz (1646-1716) telah meneruskan pendapatnya mengenai
estetika dan memberi penekanan kepada pengalaman seni sebagai suatu
bentuk ilmu.
Estetika sering diungkapkan sebagai persamaan makna seni, tetapi
ia berbeza dengan ‘falsafah keindahan’, kerana estetika tidak semata-mata
menjadi permasalahan falsafah. Di dalamnya menyangkut perbahasan
ilmiah berkaitan dengan karya seni, sehingga menangkapi bidang ilmiah,
antaranya meliputi perbincangan tentang keindahan dalam seni atau
pengalaman estetik, gaya atau aliran seni, perkembangan seni dan
sebagainya. Secara langsung pengkajian falsafah estetika bersangkutan
dalam bidang-bidang seperti psikologi, sosiologi, antropologi dan lain-lain
yang bersangkutan.
George T. Dickie dalam bukunya ‘Aesthetic’ telah mengajukan
tiga permasalah yang sering dikemukakan dalam estetika antaranya ialah:
1. persoalan kritis yang menggambarkan, menafsirkan atau
menilai karya-karya seni yang khusus.
2. Penyataan yang bersifat umum oleh pada ahli sastera, muzik
dan seni halus untuk memberikan ciri-ciri khas genre artistik.
3. Persoalan tentang keindahan, seni imitasi dan lain-lain.
Menurut Dharsono Dalam bukunya pengantar estetika mengatakan cabang
estetika dipecahkan kepada empat bidang utama iaitu:

Nota Kuliah SSP2233 dan SRP2233 Teori Pendidikan Seni 1


@ Hassan Mohd Ghazali
1. Nilai estetika (esthetic value)
2. Pengalaman estetika (esthetic experience)
3. Pengkarya atau seniman
4. seni.
Secara umumnya persoalan-persoalan perbincangan persoalan
estetika adalah membincangkan persoalannya apakah itu seni. Apakah
teori-teori seni. Apakah keindahan dan teori tentang keindahan dan apakah
keindahan itu objektif atau subjektif dan apakah keindahan itu berperanan
dalam kehidupan manusia seharian. Persoalan ini akan terjawab dalam
topik-topik selanjutnya.

Estetika dan seni


Tokoh-tokoh ahli falsafah barat klasik seperti Plato, Aristotle,
Hegel dan ramai lagi berbahan tentang persoalan keindahan melalui
pembicaraan dalam bentuk estetika. Misalnya Plato dalam bukunya
Symposium telah menghuraikan panjang lebar mengenai persoalan objek
cinta ialah keindahan. Dalam bukunya itu beliau menyampaikan dalam
bentuk dialog-dialog watak utama seperti Phaedrus, Eryximachus,
Aristophanes, Agathon dan Socrates. Terang-terang dalam dialog watak
ini menyatakan bahawa proses mencintai tentang keindahan itu perlu
diasaskan pada zaman kanak-kanak lagi.
Sebenarnya bangsa Yunani kuno telah pun menghayati
pengalaman keindahan sebagai mewarisi bangsa mereka. Bangsa Yunani
juga mengenal kata keindahan dalam erti estetik yang disebutnya sebagai
‘symmetria’ untuk keindahan visual. Sementara perkataan ‘harmonia’
adalah keindahan pendengaran. Lantaran itu pengertian keindahan adalah
meliputi persoalan keindahan seni, alam, moral dan intelektual.
Sejak zaman ahli falsafah Socrates lagi telah membincangkan
persoalan nilai keindahan dan terlibat dalam pemikiran tentang apakah
yang berada dalam objek yang menyebabkan ia indah. Mereka yang
menikmati karya-karya seni mengalami penghayatan estetika. Pengalaman
itu adalah perasaan yang timbul kepada seseorang ketika memandang
sesuatu yang indah pada alam atau karya seni. Apabila membincangkan
berkenaan keindahan pertanyaan yang sering disoal ialah “Apakah benda
itu indah atau cantik?”. Secara langsung ia telah memperkatakan tentang
estetika dalam diri orang yang bertanya. Walau pun keindahan dan
kecantikan adalah nilai yang subjektif, dua orang yang bertanya tentang
kecantikan kepada sesuatu barang itu sifatnya berbeza pada nilai
keindahan. Tetapi setiap orang inginkan benda-benda yang cantik dan
indah. Tidak manusia yang mahu kepada yang buruk. Itulah hakikatnya
fitrah manusia yang dikurniakan oleh tuhan.

Nota Kuliah SSP2233 dan SRP2233 Teori Pendidikan Seni 2


@ Hassan Mohd Ghazali
Ramai lagi tokoh-tokoh falsafah kuno dan falsafah moden
membicarakan persoalan kesenian dalam kehidupan manusia. Seni tidak
dapat lari dalam kehidupan harian, justeru seni adalah sebagai fitrah dalam
diri manusia. Seperti definisi seni oleh Herbert Read (1959) yang
menyatakan kesenian adalah penciptaan bentuk-bentuk yang
menyenangkan, yang membawa maksud bahawa seni itu adalah
penjelmaan rasa estetika yang mengarah kepada kebenaran melalui
penjelmaan fitrah manusia.
Menurut Jakob Sumardjo (2000), dalam buku bertajuk ‘Filsafat
Seni’ memperjelaskan perbezaan antara falsafah estetika dan falsafah seni.
Antara lain beliau menerangkan bahawa estetika mempersoalkan hakikat
keindahan alam dan karya seni, sedangkan falsafah seni mempersoalkan
hanya karya seni atau benda seni atau artifak yang disebut seni. Beberapa
hujah mendorongkan perbincangan tentang falsafah seni antara lain:
1. Karya seni mengekspresikan gagasan dan perasaan, sedangkan
alam tidak mengandungi makna ekspresi semacam itu.
2. Dalam karya seni, orang akan bertanya, apakah yang ingin
dikatakan karya ini atau apa maksud karya itu?, tetapi tidak
pernah bertanya serupa ketika menyaksikan keindahan
matahari terbenam di pantai, atau menyaksikan bentuk awam
senja, desasnya air terjun, jadi karya seni selalu membawa
makna tertentu dalam dirinya, yakni ada komunikasi seni
dengan orang lain. Sebagai contoh kecantikan seorang wanita
apabila dilihat pada mata kasar adalah sesuatu yang indah.
Sebaliknya dalam sebuah karya seni lukisan wanita yang muda
atau yang tua tetap akan kelihatan indah dalam makna karya
seni.
3. Seni dapat meniru alam, tetapi alam tidak mungkin meniru
artifak seni.
4. Melalui alam kita melihat keindahan yang azali dan melihat
kebesaran tuhan yang mencipta alam ini. Sebaliknya karya seni
tetap mempunyai makna dan dapat menyalami makna-makna
tersirat yang boleh dinilai.
Melihat karya seni melalui perbincangan falsafah kesenian, maka
persoalan falsafah moden dalam falsafah estetika yang mempersoalkan
tentang hasil seni dan produk seni. Di samping itu juga membicarakan
tentang pengkarya dan penaja sebagai pelengkap kepada mengkaji
mengenai nilai karya seni tersebut. Perbincangan mengenai hasil seni dan
produk seni disebut sebagai estetika morfologi, sementara perbincangan
mengenai karyawan seni dan kepentingan seni itu disebut sebagai estetika
psikologi. Persoalan pokoknya yang terlibat dalam kesenian ini ialah
penghasil seni (seniman), karya seni (Produk seni) dan kumpulan
penerima seni (penggemar seni).
Nota Kuliah SSP2233 dan SRP2233 Teori Pendidikan Seni 3
@ Hassan Mohd Ghazali
Enam perkara yang penting dalam membincangkan tentang seni
iaitu:
1. benda seni (karya seni)
2. pencipta seni (seniman)
3. publik seni
4. konteks seni
5. nilai-nilai seni
6. pengalaman seni
Benda Seni
Benda seni secara langsung berkisar kepada karya seni itu sendiri.
Apakah medium atau material karya seni yang menghasilkan suatu bentuk
seni yang indah. Seni wujud melalui media pendengar untuk audio, media
penglihatan untuk visual (tampak). Media ini memberi peranan kepada
kategori kepada seni misalnya seni halus lebih kepada media visual, seni
teater lebih kepada media dengar dan visual, seni muzik lebih kepada
media audio dan lain-lain.
Persoalan yang diperdebatkan sejak zaman Plato dan Aristotle
mengenai benda seni ialah persoalan ekspresi seni, unsur peniruan
(mimesis), persoalan siapakah seniman sebenarnya dan pengamatan seni
itu sendiri.
Pencipta seni
Persoalan pengkarya seni adalah persoalan asas dalam konteks
kreativiti dan ekspresi seniman. Yang sering diperbincangkan ialah soal
gaya (style) karyanya, peribadinya misalnya pengaruhnya, persekitaran
dan jantinanya menjadi persoalan dalam penghasilan karyanya. Di
samping itu perbincangan juga menyentuh mengenai zaman dan
bermulanya karya seni dihasilkan.
Publik seni
Publik seni menyentuh persoalan komunikasi karya seni terhadap
orang awam atau masyarakat. Seni itu adalah publik, tanpa orang lain
menghayati karya seni maka karya seni itu tidak dapat berdiri dengan
sendiri. Maka komunikasi dalam karya seni membuahkan sesebuah karya
seni akan berjaya dan menjadi milik masyarakat.
Nilai seni
Nilai seni selalunya berhubungan dengan normal-normal yang
esensial di samping sesuatu kepentingan yang sangat peribadi.
Kebiasaannya nilai seni adalah bersangkutan mengenai kualiti, bersifat
kontekstual dan esensial-universal.

Nota Kuliah SSP2233 dan SRP2233 Teori Pendidikan Seni 4


@ Hassan Mohd Ghazali
Pengalaman seni
Pengalaman seni adalah terlibat dalam penghayatan seni itu secara
langsung. Pengalaman bersangkutan tentang ruang waktu dan penglibatan
seni. Seni sebagai komunikasi adalah pengalaman yang melibatkan
kegiatan pancaindera, nalar, emosi dan intuisi seniman. Oleh sebab itu
pengalaman seni terlibat dalam ruang waktu ‘sebelum’, ‘semasa’ dan
‘sesudah’.
Konteks seni
Bagi membincangkan konteks seni, secara langsung akan
membincangkan keperluan masyarakat terhadap seni. Seni secara
langsung menyangkut nilai-nilai setempat atau sezaman. Oleh yang
demikian pemahaman seni amat erat dengan konteks zaman tersebut.
Misalnya seni zaman sebelum merdeka di negara ini konteksnya adalah
bentuk seni zaman tersebut. Begitu juga dalam konteks masyarakat yang
Islam tidak menerima patung sebagai karya seni kerana bertentangan
dengan syariah Islam.
Dalam membincangkan enam persoalan tentang seni ia saling
berhubung rapat antara satu dengan yang lain. Sebenarnya persoalan seni
selalunya sangat subjektif sifatnya. Di bawah ini adalah hubungan
persoalan yang dibincangkan di atas dan hubungannya antara satu dengan
yang lain.

Nilai-nilai seni

Seniman Benda seni Publik seni

Pengalaman seni

KONTEKS SENI

Gambar rajah 1: Perbincangan persoalan seni (Petikan Buku Filsafat


seni)

Walau bagaimana pun menghayati falsafah tentang kesenian perlu


mendapat suntikan kebenaran melalui agama. Sidi Gazalba (1977)

Nota Kuliah SSP2233 dan SRP2233 Teori Pendidikan Seni 5


@ Hassan Mohd Ghazali
menyatakan bahawa hubungan agama dalam kehidupan harian berhubung
rapat dengan bidang-bidang kebudayaan lain antaranya ialah:
• Sistem sosial yang bersangkutan hubungan manusia dengan
manusia
• Sistem ekonomi yang berhubungan antara manusia dengan benda
• Pengetahuan dan teknik yang berhubungan manusia dengan alam
dan kerja
• Seni yang berhubungan antara manusia dengan bentuk-
bentuk yang menyenangkan.
• Falsafah yang mempunyai hubungan manusia dengan kebenaran
dan kemuliaan.
Sejak awal sejarah kehidupan manusia, kebudayaan menjadi faktor
utama dalam kehidupan manusia. Agama menjadi pelindung kepada
pembentukan kebudayaan dan adat resam sesesuatu kaum. Oleh itu agama
menjadi pelindung dalam hubungan seni dan manusia. Dalam kebudayaan
di mana agama menduduki tempat yang dominan, etika (akhlak)
mengawal kesenian (Sidi Gazalba, 1977). Namun demikian manusia mulai
lupa bahawa hubungan antara seni dan agama menjadi faktor penentu
persoalan akhlak. Selalunya materialistik telah menjadi faktor utama dan
mulalah seniman pengabaian nilai-nilai normal dalam penghasilan sesuatu
karya seni.

Penutup
Falsafah Estetika ada hubungannya dengan nilai keindahan dan
nilai keindahan adalah berpaksi kepada kesenian. Sejak zaman Yunani
Kuno lagi ahli-ahli falsafah telah membicarakan tentang kesenian dan
hubungannya dengan seniman. Sebagai contoh Plato dengan tegasnya
tidak menerima para seniman dan menyatakan bahawa para seniman
sepatutnya dibuang dari republik (negeri). Alasan beliau bahawa seniman
adalah seorang yang suka meniru objek fizikal dan menipu dalam
penghasilan karya. Karya seniman bukanlah sesuatu sumber sebenar untuk
dijadikan sumber pengetahuan. Sebagai contoh dalam dialognya berkata,
kalau manusia ingin mengkaji kerusi mesti melihat kerusi sebenar
bukannya lukisan atau karya kerusi. Beliau juga menyatakan bahawa
karya lukisan boleh menghalang manusia daripada pengetahuan sebenar.
Oleh yang demikian beliau telah pun membicarakan persoalan kesenian
dalam falsafah kehidupan manusia. Sementara itu Aristotle telah
mempertahankan mengenai mimesis dan menyatakan bahawa peniruan itu
adalah satu unsur yang perlu ada dalam fitrah manusia. Manusia sering
meniru alam ciptaan Tuhan.

Nota Kuliah SSP2233 dan SRP2233 Teori Pendidikan Seni 6


@ Hassan Mohd Ghazali