Anda di halaman 1dari 6

LAPORAN KESAN KEGIATAN MANUSIA TERHADAP ALAM SEKITAR Dalam usaha mengejar kemodenan negara dan meningkatkan taraf

hidup penduduk, kegiatan ekonomi dan projek-projek pembangunan sesebuah negara tidak dapat dielakkan, manusia sering mengabaikan masalah-masalah alam sekitar yang timbul akibat pelaksanaan aktiviti ekonomi dan projek -projek pembangunan. Kesan-kesan negatif akibat proses pembangunan dan modernisasi secara terburu-buru semakin mendesak dan hal ini mengakibatkan kesan pencemaran alam sekitar yang teruk. Kesemua kesan negatif ini semakin menggugat kesihatan manusia,sumber-sumber ekonomi dan kemandirian bumi. Untuk mengurangkan kesan-kesan negatif pembangunan ke atas alam sekitar,setiap aktiviti ekonomi dan pembangunan mestilah diseimbangkan dengan usaha pemeliharaan dan pemuliharaan alam. Pencemaran boleh ditakrifkan sebagai pembuangan benda-benda atau bahan-bahan hasil dari aktiviti manusia ke alam persekitaran menyebabkan terganggunya keselesaan atau kemandirian kehidupan alam. Takrifan pencemaran yang lebih bermaklumat adalah menurut Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 yang menyatakan bahawa pencemaran adalah sebarang perubahan sama ada secara langsung atau tidak langsung kepada sifat-sifat fizik, kimia, biologi atau aras-aras radiasi mana-mana bahagian alam sekeliling dengan melepaskan, mengeluarkan atau meletakkan buangan hingga menjejaskan keguanaan-kegunaan berfaedah yang menimbulkan sesuatu keadaan berbahaya atau mungkin berbahaya kepada kesihatan, keselamatan atau kebajikan awam atau organismaorganisma lain, tumbuhan dan haiwan. Pertanian pindah dijalankan oleh petani pindah secara traditional di kawasan tanah tinggi pedalaman negara. Mereka menebang hutan dan membakar pokok-pokok yang ditebang di kawasan yang dipilih untuk bercucuk tanam secara sara diri. Pertanian pindah yang dilakukan telah memusnahkan kawasan tadahan hujan dan mempercepat hakisan tanah. Penebangan hutan untuk kegiatan pertanian pindah akan menambah kandungan asid tanih yang dapat menjejaskan kualiti tanih. Penanaman satu jenis tanaman bagi satu jangka masa yang panjang akan menyebabkan tanih kehilangan kesuburannya. Apabila tanih kurang subur dalam masa beberapa tahun, petani akan berpindah ke kawasan baru dan memulakan proses pertanian pindah yang baru. Lebih-lebih lagi, pembakaran hutan yang tidak dikawal telah memusnahkan hutan dara di kawasan itu. Ini juga menyebabkan jerebu dan pencemaran udara berlaku di kawasan persekitaran. Di Tanah Tinggi Cameron dan Kundasang, tanaman sayur-sayuran hawa sederhana seperti kubis, tomato dan strawberi diusahakan di cerun-cerun buki. Kegiatan pertanian ini menyebabkan kejadian hakisan tanah dan tanah runtuh di lereng bukit, terutama ketika musim hujan lebat. Pembukaan ladang kelapa sawit, getah dan koko menyebabkan hutan ditebang. Permukaan bumi menjadi tandus sehingga menyebabkan berlaku hakisan tanih oleh aliran air hujan. Kesuburan tanih terjejas kerana lapisan humus di permukaan tanah telah dihakis. Hutan merupakan khazanah alam yang amat berharga kepada umat manusia. Hutan bukan sahaja berfungsi membekalkan oksigen kepada kita, malah menyediakan habitat

kepada flora dan fauna. Namun, pokok-pokok di hutan ditebang untuk kegiatan pembalakan dan pertanian ladang. Tanpa pokok, permukaan bumi yang gondol akan terdedah kepada hakisan hujan, iaitu hakisan titisan air hujan yang jatuh ke muka bumi dari langit dan hakisan air larian permukaan. Tanpa akar pokok yang menjadi pengikat butiran tanih, membolehkan aliran air hujan lebih mudah menjalankan proses hakisan. Kemudian, tanih yang dihakis oleh air larian permukaan akan diangkut dan dimendapkan ke dasar sungai, terutamanya apabila kuasa angkutan sungai semakin lemah. Proses pemendapan beban ini menyebabkan dasar sungsi menjadi cetek dan hanya berupaya menampung kuantiti air hujan yang sedikit. Kesannya, akan berlaku banjir di kawasan lembangan sungai terutama ketika hujan lebat. Di samping itu, penebangan pokok di hutan tanpa kawalan telah memusnahkan habitan hidupan liar dan tumbuhan. Sebagai contohnya, banyak kawasan hutan yang dimusnahkan kerana pembangunan atau aktiviti pembalakan secara haram. Tanpa tempat tinggal yang selamat, haiwan-haiwan ini akan mati dan seterusnya pupus. Selain itu, hutan kaya dengan tumbuhan-tumbuhan yang menjadi sumber ubat atau penawar bagi pelbagai penyakit. Kemusnahan hutan bererti kehilangan bahan-bahan yang berharga ini. Penebangan pokok turut menjejaskan kawasan tadahan air. Ini menyebabkan kekurangan sumber air semula jadi dan mengakibatkan berlakunya krisis air. Seterusnya, kekurangan hutan akan menyebabkan suhu dunia akan meningkat. Hal ini demikian kerana hutan berperanan untuk menyerap gas karbon dioksida dan membekalkan gas oksigen kepada hidupan di muka bumi. ]ika hutan ditebang dengan sewenang-wenangnya, maka peluang untuk menambah isi padu gas oksigen dalam udara akan berkurangan. Peratus gas karbon dioksida pula dalam udara akan terus meningkat. Hal ini akan menyebabkan berlakunya peningkatan suhu dunia. Apabila situasi ini berlaku, jumlah isi padu lautan juga akan bertambah sebagai akibat pencairan ais di Kutub Utara dan Kutub Selatan. Sebagai contohnya,fenomena pemanasan global berpunca daripada aktiviti penebangan atau pengurangan kawasan hutan yang leluasa di dunia. Sebagai akibat fenomena ini, kesan rumah hijau turut berlaku. Pembinaan jalan raya di lereng bukit menyebabkan kejadian tanah runtuh dan kesotan tanah, terutamanya jika struktur fizikal bentuk muka bumi diabaikan. Kejadian tanah runtuh di Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Gua Tempurung (Perak) dan jalan raya menghubungkan Tapah ke Tanah Tinggi Cameron menunjukkan kesan kegiatan manusia terhadap alam sekitar. Pembinaan jalan raya telah menyebabkan sistem saliran semula jadi diubah dan dialihkan ke kawasan lain. Terdapat juga kejadian sistem saliran buatan manusia yang musnah kerana tidak mampu menampung aliran air dan menenggelamkan kawasan sekitarnya. Tambahan pula, pembinaan jalan raya dan lebuh raya di kawasan tanah tinggi dan melalui kawasan pedalaman telah menyebabkan banyak pokok ditebang. Lereng-lereng bukit juga terpaksa ditarah. Kegiatan ini mendedahkan tanah kepada agen hakisan, terutamanya air hujan. Ini menyebabkan struktur cerun berubah, seterusnya menyebabkan kejadian tanah runtuh dan kesotan tanah berlaku di lereng-lereng bukit yang terdedah kepada agen-agen hakisan selepas tumbuh-tumbuhan semula jadi diterangkan. Kejadian hakisan cerun di lereng-lereng bukit yang ditarah sering terjadi

selepas hujan lebat. Cerun-cerun tidak dapat menampung air kerana tiada lagi tumbuhtumbuhan sebagai pengikat butiran tanah untuk menghalang larian air permukaan. Penebangan pokok telah mengganggu habitat hidupan liar yang ada. Pembinaan jalan raya dan lebuh raya telah mengubah pandang darat (landskap) yang lama kepada yang baru. Penggunaan baja kimia dan racun serangga secara meluas telah mencemarkan alam sekitar. Penggunaan bahan kimia dalam sektor pertanian jika tidak diurus dengan cekap akan menyebabkan kesan keracunan makanan kepada manusia. Penggunaan racun serangga pada sayur-sayuran secara berlebihan akan menyebabkan kadar racun serangga dan bahan kimia akan terserap pada sayur-sayuran amat tinggi. Ini akan mendatangkan kesan keracunan kepada manusia jika sayur-sayuran ini dimakan. Selain itu, semburan menggunakan bahan kimia bagi mengekalkan kesegaran buah-buahan dan sayur-sayuran menyebabkan kandungan bahan kimia sentiasa bertambah pada hasil pertanian. Kandungan bahan kimia ini akan menyebabkan keracunan ataupun kesan sampingan kepada manusia. Penggunaan bahan kimia yang tidak diurus dengan cekap dalam sektor pertanian telah menyebabkan gangguan kesihatan. Bahan kimia yang digunakan bagi tujuan pembesaran tumbuh-tumbuhan jika tidak dinyahtoksidkan sebelum dijual akan menyebabkan bahan kimia yang terserap berpotensi untuk mengaktifkan kuman kanser dalam tubuh manusia. Begitu juga dengan agen penggalak berasaskan bahan kimia untuk tumbesaran buahbuahan jika kandungan penggunaannya tidak dikawal boleh mendatangkan komplikasi kepada saraf dan sistem badan manusia. Selain mendatangkan kemudaratan kepada manusia, penggunaan bahan kimia yang tidak diurus dengan cekap dalam sektor pertanian juga boleh memudaratkan alam sekitar seperti pencemaran air dan mengancam hidupan air. Racun kimia jika tidak dilupus dengan betul akan menyebabkan sisa racun atau baja kimia ini mengalir masuk ke punca air seperti sungai atau parit. Ini akan menyebabkan berlakunya pencemaran air. Begitu juga jika sisa racun ini diserap oleh tanah akan menyebabkan kandungan air bawah tanah akan tercemar dengan sisa kimia. Pengurusan sisa kimia yang tidak cekap juga akan mencemarkan udara. Semburan debu kimia dan racun cecair di dalam kawasan pertanian yang berskala besar secara kerap akan menyebabkan banyak bahan kimia terampai di ruang udara. Bahan kimia ini bukan sahaja akan menjejaskan kualiti udara, tetapi juga berpotensi untuk berlakunya hujan asid yang boleh menjejaskan semua hidupan sekiranya hujan asid kerap berlaku. Sekiranya keadaan ini dibiarkan, manusialah yang akan menerima padahnya pada suatu hari nanti. Memandangkan keadaan ini, maka pelbagai langkah drastik perlulah diambil sebelum nasi menjadi bubur. Persoalannya, apakah langkah yang boleh diambil untuk mengatasi pencemaran alam sekitar? Jawapannya terletak pada kita semua. Tidak kira siapa, yang pastinya semua pihak mempunyai tanggungjawab untuk mengatasi masalah ini. Pepatah Melayu ada mengatakan tiada penyakit yang tiada penawarnya. Usaha untuk mengatasi pencemaran alam sekitar ini sepatutnya dimulakan daripada institusi keluarga. Dalam hal ini, ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting. Mereka sebagai orang terdekat kepada anak-anak sepatutnya mendidik mereka untuk menghargai dan mencintai

alam sekitar sejak dari kecil lagi. Hal ini selaras dengan peribahasa Melayu yang berbunyi melentur buluh biarlah dari rebungnya. Ibu bapa haruslah sentiasa mendedahkan anak-anak tentang isu-isu pencemaran alam sekitar yang terkini untuk menyedarkan mereka tentang kepentingan menjaga alam sekitar. Mendidik sahaja tidak cukup, ibu bapa juga harus menjadi teladan kepada anak-anak mereka. Contohnya, mereka tidak sepatutnya membuang sampah di merata-rata tempat dan melakukan pembakaran terbuka yang boleh mencemarkan udara. Dalam hal ini, sikap seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul tidak harus diamalkan oleh ibu bapa, iaitu mengajar anak menjaga kebersihan alam sedangkan mereka sendiri tidak berbuat demikian. Sebaliknya, jika ibu bapa sendiri menjadi teladan, maka anak-anak juga akan terpengaruh dan terikut-ikut sikap ibu bapa. Dengan ini, nescaya pencemaran alam sekitar akan dapat diatasi. Langkah seterusnya untuk memulihara alam sekitar ialah penghutanan semula. Penghutanan semula merupakan kegiatan menanam pokok-pokok baru di kawasan hutan yang telah ditebang dengan spesies yang terpilih. Kawasan hutan yang ditebang perlu dijalankan penanaman semula pokok-pokok untuk mengurangkan hakisan tanah yang serius. Jenis pokok yang ditanam lazimnya dipilih daripada spesies yang cepat membesar dan matang antara 15 hingga 25 tahun seperti akasia, setang dan pain. Contoh lain pokok yang biasa ditanam adalah sepeti pokok kelampayan, sesenduk dan batai. Penghutanan semula giat dijalankan di ladang hutan seperti di Bukit Tinggi Pahang, Ulu Selangor, Tawau, Sandakan dan Miri. Tujuan dijalankan penanaman semula adalah untuk memastikan spesies pokok tidak pupus, mengekalkan kualiti alam sekitar, memulihara tanah dan sumber air, mengekalkan habitat flora dan fauna, mengekalkan warisan hutan dan mengatasi masalah bekalan sumber yang semakin kurang. Tanaman tutup bumi pula ialah penanaman tanaman menjalar seperti pokok kekacang dan ubi keledek yang ditanam di ladang getah dan kelapa sawit bertujuan menghalang hakisan tanih ketika pokok masih kecil. Tanaman kekacang turut menghasilkan nutrient yang diperlukan oleh tanaman utama di samping menyejukkan tanah. Pada masa yang sama isu pencemaran alam ini mampu diatasi menerusi kaedah biologi. Kaedah ini digunakan sebagai kaedah alternatif menggantikan penggunaan racun perosak dalam mengawal serangan haiwan perosak. Serangan haiwan perosak seperti tikus dan sebagainya di kawasan tanaman padi dan kelapa sawit akan menjejaskan hasil pertanian. Sebagai contohnya, burung helang dilatih dan digunakan untuk menangkap tikus di kawasan tanaman padi dan ladang kelapa sawit. Lebih-lebih lagi, kaedah biologi tidak mencemarkan alam sekitar berbanding penggunaan racun serangga. Dengan kaedah pembajakan kontur, kita juga dapat mengurangkan hakisan tanah. Kaedah ini ialah membajak atau menenggala tanah selari dengan kontur muka bumi di kawasan tersebut. Pembinaan jalan raya di cerun-cerun bukit di tanah tinggi juga perlu dibina tarahan untuk menghalang berlakunya kejadian tanah runtuh. Cerun bukit yang ditarah ditanam dengan rumput-rumpai dan pokok-pokok renek bertujuan menghalang hakisan tanah di cerun bukit. Contohnya, tarahan di Lebuh Raya Utara Selatan dan Lebuh Raya Timur-Barat. Terowong

juga dibina menembusi bukit-bukau, misalnya Terowong Genting Sempah di Bentong dan Terowong Jelapang di Ipoh. Isu pencemaran alam ini juga mampu diatasi menerusi tindakan membuat kempen kesedaran yang efektif. Kempen kesedaran ini boleh difokuskan terhadap golongan muda terutama yang masih berada di bangku sekolah kerana golongan inilah yang akan mewarisi alam sekitar kita. Kesedaran ketika masih muda menjadikan rakyat kita boleh melakukan sesuatu apabila mereka dewasa kelak terutama untuk memastikan alam sentiasa bersih dan berkekalan. Oleh itu, kempen yang difokuskan kepada sasaran yang tepat mampu membuahkan hasil yang baik kepada pengekalan alam sekitar di negara ini. Hutan simpan merupakan kawasan yang dilindungi daripada sebarang kegiatan pembangunan yang boleh menjejaskan ekosistemnya. Tujuan diwartakan hutan simpan adalah untuk mengekalkan kawasan tadahan air supaya bekalan air terjamin, terutama pada musim kemarau di samping mengekalkan habitat pelbagai spesies flora dan fauna. Bagi memastikan perlindungan habitat flora dan fauna. Bagi memastikan perlindungan habitat flora dan fauna, kerajaan telah menubuhkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN). Antara kawasan hutan simpan yang terdapat di negara Malaysia ialah Hutan Simpan Gunung Semanggol (Perak), Hutan Simpan Banggi (Selangor), Hutan Simpan Endau-Rompin (Johor) dan Hutan Simpan Sepilok (Sabah). Antara taman negara yang telah diwartakan ialah Taman Negara Pahang, Taman Negara Kinabalu (Sabah) dan Taman Negara Tunku Abdul Rahman (Sabah). Untuk melindungi hidupan laut, kerajaan telah mewartakan 38 buah pulau di negara ini sebagai taman marin. Antaranya ialah Pulau Redang, Pulau Tioman, Pulau Perhentian, Pulau Sipadan dan Pulau Payar.Jabatan Perhutanan Negeri pula memainkan peranan bagi memastikan kawasan hutan tidak ditebang secara meluas. Pengeluaran lesen pembalakan dikawal. Lesen hanya diberi kepada pengusaha balak secar terhad. Tindakan denda dikenakan kepada pemburu dan pembalak haram. Kegiatan mencuri balak berlaku di kawasan pedalaman Pahang, Sabah dan Sarawak. Tuntasnya,penderan alam sekitar melalui pencemaran udara timbul akibat daripada tindakan manusia itu sendiri.Setiap manusia menyumbang kepada kemusnahan alam sekitar seperti pembuangan sampahsarap ke sungai, menebang pokok dan sebagainya. Sebagai seorang individu yang bertanggungjawab haruslah menjaga alam sekitar agar ia sentiasa bersih untuk kegunaan generasi akan datang.Walaupun begitu,masyarakat juga harus mengamalkan sikap prihatin terhadap alam sekitar dan mengamalkan sikap "SELAMATKAN BUMI KITA" untuk menjaga dan memelihara alam sekeliling. Masalah pencemaran alam sekitar di negara kita haruslah ditangani dengan segera dan usaha ini memerlukan kerjasama padu daripada semua pihak. Alam sekitar telah dianugerahkan dan diamanahkan oleh Tuhan kepada manusia. Manusia haruslah menjaganya dengan penuh tanggungjawab kerana alam sekitar tidak sepatutnya dikorbankan dalam arus pemodenan dan pembangunan sesebuah negara. Seandainya masalah ini dibiarkan, kesannya akan memudaratkan manusia itu sendiri walaupun hidup dalam kemewahan. Adakah pemodenan negara lebih penting daripada keindahan alam sekitar? Adakah kita menginginkan kemewahan hidup semata-mata tanpa mengharapkan kesihatan? Tepuk dada tanyalah

selera. Dengan itu, penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar daripada pencemaran memerlukan kerjasama, kesedaran dan keprihatinan daripada setiap lapisan masyarakat. Mudah-mudahan generasi akan datang dapat menikmati keindahan dan kelestarian alam sekitar yang dianugerahkan kepada manusia.

Disediakan oleh,

15 SEPTEMBER 2012

KOK YONG EN

Anda mungkin juga menyukai